AMARAN JAKIM TERHADAP PENYEBARAN HADIS FADHILAT TERAWIKH (HADIS PALSU)

Sumber Internet:
http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Monday/Nasional/20070903084809/Article/

Tarikh:
03/03/2007

Di bawah tajuk:
Rujuk majlis agama isu solat Tarawih (Berita Harian)

KUALA LUMPUR: Orang ramai, termasuk media massa perlu merujuk dengan Majlis Agama Islam negeri jika ada pihak menyebar risalah atau mengumumkan fadilat solat Tarawih bersandarkan hadis palsu mengikut kelebihan setiap malam sepanjang Ramadan.Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Abd Aziz Sheikh Wan Mohamed, berkata pihaknya maklum mengenai isu berkenaan yang pernah timbul beberapa tahun lalu yang dipercayai dipelopori golongan Syiah.

“Hal berkaitan hadis seumpama ini sememangnya diketahui pihak berkuasa agama dan sesiapa yang berhadapan dengan situasi berkenaan diminta segera merujuk kepada Majlis Agama Islam negeri bagi mengelak sebarang kekeliruan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Baru-baru ini, akhbar ini menerusi ruangan Surat & Emel menyiarkan rungutan pembaca, Rahman Ariffin dari Shah Alam yang bimbang kerana masih ada jawatankuasa masjid dan surau yang mengumumkan kepada jemaah fadilat solat Tarawih bersandarkan hadis palsu.
Rahman yang dukacita dengan tindakan sesetengah pihak yang menghebahkan kelebihan solat Tarawih mengikut giliran malam itu, meminta Jakim atau Majlis Agama Islam negeri supaya mengingatkan umat Islam mengenai perkara ini.

Kelebihan solat tarawih mengikut hari itu pernah dipaparkan dalam akhbar dan televisyen sebagai galakan kepada umat Islam menunaikan ibadah sunat, menyebabkan umat Islam memenuhi masjid dengan harapan memperoleh pahala besar tanpa menyedari mereka tidak mendapat penjelasan yang sebetulnya.
Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest