Bolehkah Menetapkan Fulan Mati Syahid?!

www.ilmusunnah.com

Mungkin kita pernah mendengar seseorang yang telah meninggal dunia disebut namanya dengan gelaran “Asy-Syahid fulan…” atau mungkin pernah kita diberitahu bahawa, “Si fulan telah Syahid…”.

Maka, ini kita letakkan sebagai perkataan kategori pertama.

Dengan itu, adakah ini bermakna si fulan telah dipastikan masuk Syurga dan diampuni segala dosa-dosanya?

Kemudiannya, terdapat satu lagi ungkapan yang sekali imbas hampir sama, tetapi hakikatnya berbeza iaitu:

“Sesiapa yang mati di medan perang di jalan Allah, maka dia mati syahid.”

Walau bagaimana pun, dua ungkapan di atas adalah berbeza sama sekali. Jenis perkataan dari kategori pertama menjelaskan soal kesyahidan seorang individu secara khusus dan pasti. Manakala perkataan kedua, menjelaskan hanya secara umum bahawa sesiapa sahaja yang benar-benar berjihad di jalan Allah dan terbunuh maka dialah yang mati syahid dan dijamin masuk Syurga tanpa mengkhususkan atau memastikan kepada mana-mana individu tertentu.

Bantahan untuk perkataan kategori yang pertama, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

فَلَا تُزَكُّوا أَنْفُسَكُمْ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ اتَّقَى

“…Maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci. Dialah yang paling mengetahui tentang orang yang bertaqwa.” (Surah An-Najm, 53: 32)

Ini adalah disebabkan persoalan niat merupakan persoalan hati. Tidak ada yang mengetahui hati seseorang melainkan Allah. Dan Dia-lah yang maha Mengetahui tentang kedudukan seseorang itu secara pasti lagi terperinci.

Rasulullah Shallallahu ‘alahi wa Sallam juga bersabda:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لاَ يُكْلَمُ أَحَدٌ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِمَنْ يُكْلَمُ فِي سَبِيلِهِ إِلَّا جَاءَ يَوْمَ القِيَامَةِ، وَاللَّوْنُ لَوْنُ الدَّمِ، وَالرِّيحُ رِيحُ المِسْكِ

“Demi Yang diriku di Tangan-Nya, tidaklah seseorang terluka di jalan Allah, dan hanya Allah yang maha Mengetahui siapa yang terluka di jalan-Nya, melainkan dia pasti akan datang pada hari kiamat dalam keadaan luka berlumuran darah, tetapi baunya bau misk (kasturi).” (Shahih Al-Bukhari, no. 2803)

Dengan penjelasan bahawa “… hanya Allah yang maha Mengetahui siapa yang terluka di jalan-Nya…” menunjukkan bahawa kita tidak mengetahui niat seseorang yang berjihad.tunjukilah jalan lurus

Al-Imam Al-Bukhari juga telah meletakkan bab di dalam Shahihnya dengan judul:

بَابُ لاَ يَقُولُ فُلاَنٌ شَهِيدٌ

“Bab: Tidak Boleh Mengatakan Si Fulan Telah Syahid.”

Perbuatan menetapkan seseorang sebagai mati syahid bukanlah tugas manusia melainkan melalui ketetapan yang ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dan juga Rasul-Nya melalui wahyu yang diterimanya.

‘Umar radhiyallahu ‘anhu pernah berkata dalam khutbahnya:

وَأُخْرَى تَقُولُونَهَا لِمَنْ قُتِلَ فِي مَغَازِيكُمْ  أَوْ مَاتَ: قُتِلَ فُلانٌ شَهِيدًا، وَمَاتَ فُلانٌ شَهِيدًا، وَلَعَلَّهُ أَنْ يَكُونَ قَدْ أَوْقَرَ عَجُزَ دَابَّتِهِ، أَوْ دَفَّ رَاحِلَتِهِ ذَهَبًا، أَوْ وَرِقًا يَلْتَمِسُ التِّجَارَةَ، لَا تَقُولُوا ذَاكُمْ، وَلَكِنْ قُولُوا كَمَا قَالَ النَّبِيُّ، أَوْ كَمَا قَالَ مُحَمَّدٌ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ قُتِلَ أَوْ مَاتَ فِي سَبِيلِ اللهِ، فَهُوَ فِي الْجَنَّةِ

“Dan yang lain, adalah ketika ada orang yang terbunuh dalam peperangan atau mati, lalu kalian pun mengatakan:

“Fulan syahid,” dan “mati Fulan syahid.” Sedangkan mungkin dia sedang membawa haiwan tunggangannya atau pelana kudanya dengan berisi emas atau perak dengan tujuan berdagang, maka janganlah kalian mengatakan demikian, akan tetapi katakanlah sebagaimana yang dikatakan oleh Nabi atau Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Sesiapa terbunuh atau mati (dalam berperang) di jalan Allah maka dia di Syurga.” (Musnad Ahmad, no. 285)

Dalam Shahih Muslim, dari hadis ‘Umar Al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

لَمَّا كَانَ يَوْمُ خَيْبَرَ، أَقْبَلَ نَفَرٌ مِنْ صَحَابَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالُوا: فُلَانٌ شَهِيدٌ، فُلَانٌ شَهِيدٌ، حَتَّى مَرُّوا عَلَى رَجُلٍ، فَقَالُوا: فُلَانٌ شَهِيدٌ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «كَلَّا، إِنِّي رَأَيْتُهُ فِي النَّارِ فِي بُرْدَةٍ غَلَّهَا – أَوْ عَبَاءَةٍ -» ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «يَا ابْنَ الْخَطَّابِ، اذْهَبْ فَنَادِ فِي النَّاسِ، أَنَّهُ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ إِلَّا الْمُؤْمِنُونَ»، قَالَ: فَخَرَجْتُ فَنَادَيْتُ: أَلَا إِنَّهُ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ إِلَّا الْمُؤْمِنُونَ

“Ketika di hari perang Khaibar, sekumpulan sahabat menghadap Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan berkata, “Fulan syahid, fulan syahid”, sampailah mereka melalui seorang lelaki, mereka pun berkata, “fulan syahid.” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Tidaklah demikian, sesungguhnya aku melihatnya di dalam Neraka dalam pakaian atau jubah yang diambilnya (sebelum diagihkan).”

Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda lagi:

“Wahai Ibn Al-Khaththab (‘Umar), pergi dan serukanlah kepada manusia bahawa tidak akan masuk Syurga kecuali orang-orang yang beriman.” Maka ‘Umar berkata, “Aku keluar lalu berseru, “Ketahuilah, tidak akan masuk Syurga kecuali orang yang beriman.”  (Shahih Muslim, no. 114)

Ingatlah bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah bersabda:

إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّياَتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلىَ دُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ إِلَى امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَر إِلَيْهِ

“Sesungguhnya amal-amal itu tergantung pada niatnya, dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang hijrahnya kepada dunia yang dia inginkan, atau wanita yang ingin dia nikahi, maka hijrahnya adalah kepada apa yang dia inginkan.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1. Muslim, no. 1907)

Dan tidaklah ada yang dapat memastikan niat seseorang melainkan Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Dalam sebuah hadis, dari Sahl bin Sa’ad As-Saa’idi radhiyallahu ‘anhu:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، التَقَى هُوَ وَالمُشْرِكُونَ، فَاقْتَتَلُوا، فَلَمَّا مَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى عَسْكَرِهِ، وَمَالَ الآخَرُونَ إِلَى عَسْكَرِهِمْ، وَفِي أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلٌ، لاَ يَدَعُ لَهُمْ شَاذَّةً وَلاَ فَاذَّةً إِلَّا اتَّبَعَهَا يَضْرِبُهَا بِسَيْفِهِ، فَقَالَ: مَا أَجْزَأَ مِنَّا اليَوْمَ أَحَدٌ كَمَا أَجْزَأَ فُلاَنٌ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَمَا إِنَّهُ مِنْ أَهْلِ النَّارِ»، فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ القَوْمِ: أَنَا صَاحِبُهُ، قَالَ: فَخَرَجَ مَعَهُ كُلَّمَا وَقَفَ وَقَفَ مَعَهُ، وَإِذَا أَسْرَعَ أَسْرَعَ مَعَهُ، قَالَ: فَجُرِحَ الرَّجُلُ جُرْحًا شَدِيدًا، فَاسْتَعْجَلَ المَوْتَ، فَوَضَعَ نَصْلَ سَيْفِهِ بِالأَرْضِ، وَذُبَابَهُ بَيْنَ ثَدْيَيْهِ، ثُمَّ تَحَامَلَ عَلَى سَيْفِهِ، فَقَتَلَ نَفْسَهُ، فَخَرَجَ الرَّجُلُ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: أَشْهَدُ أَنَّكَ رَسُولُ اللَّهِ، قَالَ: «وَمَا ذَاكَ؟» قَالَ: الرَّجُلُ الَّذِي ذَكَرْتَ آنِفًا أَنَّهُ مِنْ أَهْلِ النَّارِ، فَأَعْظَمَ النَّاسُ ذَلِكَ، فَقُلْتُ: أَنَا لَكُمْ بِهِ، فَخَرَجْتُ فِي طَلَبِهِ، ثُمَّ جُرِحَ جُرْحًا شَدِيدًا، فَاسْتَعْجَلَ المَوْتَ، فَوَضَعَ نَصْلَ سَيْفِهِ فِي الأَرْضِ وَذُبَابَهُ بَيْنَ ثَدْيَيْهِ ثُمَّ تَحَامَلَ عَلَيْهِ فَقَتَلَ نَفْسَهُ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَ ذَلِكَ: «إِنَّ الرَّجُلَ لَيَعْمَلُ عَمَلَ أَهْلِ الجَنَّةِ، فِيمَا يَبْدُو لِلنَّاسِ، وَهُوَ مِنْ أَهْلِ النَّارِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَعْمَلُ عَمَلَ أَهْلِ النَّارِ، فِيمَا يَبْدُو لِلنَّاسِ، وَهُوَ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bertembung dengan kaum musyrikin lalu saling berperang. Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bergabung dengan bala tentera beliau dan musuhnya pun bergabung dengan bala tentera mereka, terdapat seorang lelaki dari kalangan sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang tidak membiarkan musuh berlalu begitu sahaja melainkan dia mengejar dan menyerang musuh dengan pedangnya. Sahabat Rasulullah yang lain berkata: “Pada hari ini tidak ada seorang pun di antara kita yang mendapat ganjaran pahala sebagaimana yang diraih oleh fulan (yang berani) ini.”

Tetapi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Ketahuilah sesungguhnya dia termasuk dari ahli Neraka.” Lalu ada seorang lelaki di tengah-tengah orang ramai berkata:

“Aku akan ikut menemaninya (untuk menyiasat dan memerhatikannya).”

(Sahl menerangkan): “Maka lelaki itu pergi bersamanya sehingga apabila dia (sahabat yang berani itu) berhenti maka lelaki itu pun berhenti bersamanya, dan apabila dia mara menyerang lelaki itu pun ikut menyerang bersamanya. (Setelah beberapa ketika) dia terluka dengan sangat parah sehingga menghampiri maut. Maka dia meletakkan pedangnya di tanah dan hujung pedangnya yang tajam diletakkan di antara dadanya lalu dia membunuh dirinya sendiri.”

Maka lelaki yang ikut menemaninya itu pun pergi menemui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan berkata: “Aku bersaksi bahawa engkau benar-benar utusan Allah.” Rasulullah bertanya: “Kenapa engkau berkata begitu?” Dia pun menjawab:

“Lelaki (pemberani) yang engkau sebutkan tadi benar-benar dari kalangan ahli neraka.” Orang-orang pun menjadi hairan mendengar ucapannya itu. Lelaki itu menambah:

“Aku menjadi saksi bagi kalian. Aku telah keluar untuk memperhatikan tindakan (sahabat yang berani itu), kemudian aku mendapati dia dalam keadaan luka yang sangat parah sehingga menghampiri maut. Dia meletakkan pedangnya di tanah dan hujung pedangnya yang tajam diletakkan di antara dadanya lalu dia membunuh dirinya sendiri.”

Maka pada kesempatan itu juga Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesungguhnya ada seseorang yang mengamalkan amalan ahli Syurga berdasarkan apa yang tampak zahir pada manusia akan tetapi dia adalah dari golongan ahli neraka. Dan ada seseorang yang mengamalkan amalan ahli neraka berdasarkan apa yang tampak zahir oleh manusia akan tetapi dia adalah dari golongan ahli Syurga.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2898. Bab: Tidak Boleh Mengatakan Si Fulan Mati Syahid)

Dari Sa’id bin Al-Musayyib, bahawa Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata:

أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: شَهِدْنَا خَيْبَرَ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِرَجُلٍ مِمَّنْ مَعَهُ يَدَّعِي الإِسْلاَمَ: «هَذَا مِنْ أَهْلِ النَّارِ». فَلَمَّا حَضَرَ القِتَالُ قَاتَلَ الرَّجُلُ أَشَدَّ القِتَالِ، حَتَّى كَثُرَتْ بِهِ الجِرَاحَةُ، فَكَادَ بَعْضُ النَّاسِ يَرْتَابُ، فَوَجَدَ الرَّجُلُ أَلَمَ الجِرَاحَةِ، فَأَهْوَى بِيَدِهِ إِلَى كِنَانَتِهِ فَاسْتَخْرَجَ مِنْهَا أَسْهُمًا فَنَحَرَ بِهَا نَفْسَهُ، فَاشْتَدَّ رِجَالٌ مِنَ المُسْلِمِينَ، فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، صَدَّقَ اللَّهُ حَدِيثَكَ، انْتَحَرَ فُلاَنٌ فَقَتَلَ نَفْسَهُ، فَقَالَ: «قُمْ يَا فُلاَنُ، فَأَذِّنْ أَنَّهُ لاَ يَدْخُلُ الجَنَّةَ إِلَّا مُؤْمِنٌ، إِنَّ اللَّهَ يُؤَيِّدُ الدِّينَ بِالرَّجُلِ الفَاجِرِ»

“Bahawa Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata:

“Kami turut serta pada perang Khaibar. Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata tentang seorang lelaki yang turut serta bersamanya yang mengaku masuk Islam:

“Beliau dari kalangan penghuni Neraka.”

Ketika terjadi pertempuran, lelaki itu pun luka parah dan mengalami banyak kecederaan sampai sebahagian orang pun menjadi ragu (dengan perkhabaran Nabi). Ternyata lelaki itu sangat menderita dengan kesakitan yang dialaminya. Lelaki itu pun mengambil bekas anak panahnya lalu dia mengeluarkan satu anak panah darinya lalu membunuh dirinya.

Beberapa orang muslimin bergegas menemui Nabi lalu berkata:

“Wahai Rasulullah, Allah telah membenarkan ucapan engkau, si fulan yang engkau maksudkan telah membunuh diri.”

Rasulullah pun bersabda:

“Berdirilah engkau wahai fulan. Umumkanlah bahawa tidak akan masuk Syurga kecuali orang yang beriman. Sesungguhnya Allah memperteguhkan agama ini (adakalanya) dengan orang-orang yang fajir (yakni orang yang pendosa atau bermaksiat).” (Shahih Al-Bukhari, 4204)

Maka dari sini, yang dibolehkan adalah menyatakan secara umum sebagaimana dikatakan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Sesiapa terbunuh atau mati (dalam berperang) di jalan Allah maka dia di Syurga.” Dan urusan perorangannya adalah milik Allah, sebagaimana dikatakan oleh ‘Umar radhiyallahu ‘anhu:

“Ketahuilah, tidak akan masuk Syurga kecuali orang yang beriman.”

Atau dengan mendoakan mereka, semoga mereka beroleh syahid di sisi Allah.

Kerana hanya Allah yang mengetahui secara pasti untuk apa dan bagaimana niat seseorang yang keluar di medan perang.

Kalau begini halnya dengan peperangan yang syar’i di medan jihad, lalu bagaimana halnya dengan pergolakkan penuh fitnah seperti di medan demonstrasi, pemberontakkan, dan seumpamanya? Tentu lebih perlu berhati-hati, agar tidak seenaknya memperkatakan setiap yang terkorban padanya dikatakan sebagai syahid, sehingga seolah-olah Syurga telah pasti bagi mereka.

Wallahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest

Comments

  1. ibnyaacob
    May 22, 2009 at 2:53 pm

    pernah juga mendengar dr asri mensyarahkan bab ini,dan beliau juga mnyatakan perkara yang sama tidak boleh di panggil as syahid syed qutb, as syahid hassan al banna..tahniah artikel yang menarik dan teruskan menulis memberi manfaat kepada semua..

  2. zul
    May 23, 2009 at 12:41 am

    saya tak tahu kenapa blog ini dipanggil golongan yg sesat atau lebih spesifik golongan ‘wahhabi’..

    sedangkan, isi kandungannya, benar mengikut hadis dan mengkormati hadis2 spt yg ditetapkan ulama’ hadis bukan seperti kitab fadhail amal (kitab jemaah tabligh) yg tidak hormat hadis…

    bila kita berinteraksi dgn masyarakat dan berbeza dgn amalan stempat, maka kita dtuduh wahhabi…

    biasanya, puak2 tuduh nih, ada akal dan ilmu di dada, tapi tidak mggunakkannya pd yg hak..taksub semata pd imam mrk..walhal, nabi SAW jelas mengatakan yg terbaik adalah golongan salaf…kita ikut yg tuu..

    bersabar lah dalam berjuang menegakkan Sunnah…biarkan puak2 pnuduh wahhabi dari ‘ustaz2’ malaysia atau yg len..

    yg pnting, SUNNAH mesti diutamakan…

Comments are closed.