Sampaikah Pahala Bacaan Al-Quran Untuk Si Mati Berdasarkan Mazhab Asy-Syafi’i?

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Al-Imam Asy-Syafi’i rahimahullah (Wafat: 204H) berkata:al-quran sebagai peringatan

يَلْحَقُ الْمَيِّتَ من فِعْلِ غَيْرِهِ وَعَمَلِهِ ثَلَاثٌ حَجٌّ يُؤَدَّى عنه وَمَالٌ يُتَصَدَّقُ بِهِ عنه أو يُقْضَى وَدُعَاءٌ فَأَمَّا ما سِوَى ذلك من صَلَاةٍ أو صِيَامٍ فَهُوَ لِفَاعِلِهِ دُونَ الْمَيِّتِ

“Amalan orang lain yang boleh disampaikan (pahalanya) kepada si mati ada tiga, iaitu haji (yakni haji wajib – pent.) yang dilaksanakan untuknya, harta yang disedekahkan untuknya atau bayaran hutang baginya, dan doa. Adapun selain dari itu, termasuk solat atau puasa, amalan tersebut hanyalah untuk mereka yang melakukannya dan tidak sampai (pahalanya) kepada orang yang telah meninggal dunia.” (Al-Umm oleh Asy-Syafi’i, 4/120 – Daar Al-Ma’rifah. Manaaqib Asy-Syafi’i oleh Al-Baihaqi, 1/430 – Maktabah Daar At-Turats)

Kefahaman Teks:

Dari teks Al-Imam Asy-Syafi’i ini menunjukkan bahawa bacaan Al-Qur’an orang lain untuk si mati tidaklah termasuk dalam amalan yang sampai pahalanya sebagaimana solat dan puasa.

Dukungan dalil:

Ini antaranya berdasarkan keumuman firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

أَلا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى (٣٨) وَأَنْ لَيْسَ لِلإنْسَانِ إِلا مَا سَعَى

“Bahawasanya seseorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain, dan bahawasanya seorang manusia tidak mendapat melainkan apa yang telah diusahakannya.” (Surah An-Najm, 53: 38-39)[1]

Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) berkata di dalam tafsirnya:

{ وَأَنْ لَيْسَ لِلإنْسَانِ إِلا مَا سَعَى } أي: كما لا يحمل عليه وزر غيره، كذلك لا يحصل من الأجر إلا ما كسب هو لنفسه. ومن وهذه الآية الكريمة استنبط الشافعي، رحمه الله، ومن اتبعه أن القراءة لا يصل إهداء ثوابها إلى الموتى؛ لأنه ليس من عملهم ولا كسبهم؛ ولهذا لم يندب إليه رسول الله صلى الله عليه وسلم أمته ولا حثهم عليه، ولا أرشدهم إليه بنص ولا إيماء، ولم ينقل ذلك عن أحد من الصحابة، رضي الله عنهم، ولو كان خيرا لسبقونا إليه، وباب القربات يقتصر فيه على النصوص، ولا يتصرف فيه بأنواع الأقيسة والآراء

“Firman Allah (maksudnya: dan bahawasanya seorang manusia tidak mendapat melainkan apa yang telah diusahakannya…) maksudnya:

Sebagaimana seseorang itu tidak akan memikul dosa orang lain, maka demikian jugalah bahawa seseorang itu tidak akan mendapat ganjaran (pahala) melainkan dari apa yang telah dia usahakan untuk dirinya sendiri. Dan dari ayat yang mulia ini, Al-Imam Asy-Syafi’i rahimahullah bersama para ulama yang mengikutinya telah beristinbath (mengeluarkan hukum) bahawa bacaan Al-Qur’an tidak akan sampai hasil sedekah pahalanya kepada orang yang telah mati. Kerana bacaan tersebut bukan dari amal dan usaha dia sendiri.syafaat al-quran

Atas sebab inilah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak pernah mensyari’atkan kepada umatnya (supaya menghadiahkan pahala bacaan Al-Qur’an kepada orang yang mati) dan tidak pula memberikan petunjuk kepada mereka sama ada dengan nash (yang jelas) mahupun dengan isyarat. Dan tidak pula dinukilkan dari walau seorang pun sahabat radhiyallahu ‘anhum.

Kalaulah amalan tersebut baik, sudah tentu para sahabat telah mendahului kita dalam mengamalkannya.

Dan dalam permasalahan ibadah, ianya terbatas (terhenti) berdasarkan dalil-dalil, dan tidak boleh dipalingkan dengan qiyas-qiyas (analogi) atau pendapat-pendapat (pemikiran) tertentu.” (Tafsir Ibn Katsir, 7/465)[2]

Tokoh dalam mazhab Asy-Syafi’i, Ibnu Hajar Al-Haitami rahimahullah berkata:

الْمَيِّتُ لَا يُقْرَأُ عليه مَبْنِيٌّ على ما أَطْلَقَهُ الْمُتَقَدِّمُونَ من أَنَّ الْقِرَاءَةَ لَا تَصِلُ إلَى الْمَيِّتِ لِأَنَّ ثَوَابَهَا لِلْقَارِئِ وَالثَّوَابُ الْمُتَرَتِّبُ على عَمَلٍ لَا يُنْقَلُ عن عَامِلِ ذلك الْعَمَلِ قال تَعَالَى وَأَنْ ليس لِلْإِنْسَانِ إلَّا ما سَعَى وَوُصُولُ الدُّعَاءِ وَالصَّدَقَةِ وَرَدَ بِهِمَا النَّصُّ فَلَا يُقَاسُ عَلَيْهِمَا

“Mayat tidak dibacakan Al-Qur’an ke atasnya sebagaimana keterangan yang ditetapkan oleh orang-orang terdahulu, bahawa bacaan Al-Qur’an tidak sampai kepada si mati, oleh kerana itu, pahala bacaannya hanya untuk si pembaca. Pahala amalan pula tidak boleh dipindah-pindahkan dari si pengamal berdasarkan firman Allah Ta’ala:

“dan bahawasanya seorang manusia tidak mendapat melainkan apa yang telah diusahakannya.”

Manakala doa dan sedekah, ianya sampai berdasarkan nash, dan tidak boleh diqiyaskan kepada amalan yang lain dari keduanya.” (Al-Fatawa Al-Kubra Al-Fiqhiyyah oleh Ibnu Hajar Al-Haitami, 2/26)

Firman Allah Ta’ala:

إِنْ هُوَ إِلا ذِكْرٌ وَقُرْآنٌ مُبِينٌ (٦٩) لِيُنْذِرَ مَنْ كَانَ حَيًّا

“Al-Qur’an itu tidak lain hanyalah pelajaran dan kitab yang memberi penerangan. Supaya dia (Muhammad) memberi peringatan kepada orang-orang yang hidup.” (Surah Yaasiin, 36: 69-70)

Firman Allah Ta’ala:

كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ رَهِينَةٌ

“Setiap diri bertanggungjawab atas apa yang telah dilakukannya.” (Surah Al-Muddatsir, 74: 38)

Firman Allah Ta’ala:

لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ

“Dia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya.” (Surah Al-Baqarah, 2: 286)

Firman Allah Ta’ala:

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا فَلِنَفْسِهِ وَمَنْ أَسَاءَ فَعَلَيْهَا وَمَا رَبُّكَ بِظَلامٍ لِلْعَبِيدِ

“Sesiapa yang mengerjakan amal yang soleh, maka amal tersebut adalah untuk dirinya sendiri dan sesiapa yang melakukan kejahatan (dosa), maka itu adalah atas dirinya sendiri dan tidaklah Rabb-mu menganiaya hambanya.” (Surah Fushilat, 41: 46)doa_untuk_diri_ibu_bapa_kaum_mukminin

Firman Allah Ta’ala:

وَمَا تُجْزَوْنَ إِلا مَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ

“Kamu tidak akan diberi balasan melainkan apa yang telah kamu usahakan.” (Surah As-Shaaffaat, 37: 39)

Firman Allah Ta’ala:

مَنْ كَفَرَ فَعَلَيْهِ كُفْرُهُ وَمَنْ عَمِلَ صَالِحًا فَلأنْفُسِهِمْ يَمْهَدُونَ

“Sesiapa yang kafir, maka dia sendirilah yang menanggung (akibat) kekafirannya dan sesiapa yang beramal soleh, maka amal tersebut adalah untuk diri mereka sendiri. (Surah ar-Ruum, 30: 44)

Firman Allah Ta’ala:

فَالْيَوْمَ لا تُظْلَمُ نَفْسٌ شَيْئًا وَلا تُجْزَوْنَ إِلا مَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ

“Maka pada hari Kiamat tiada seorang pun yang dianiaya dan tidak dibalas kepada kamu melainkan apa yang kamu telah kerjakan.” (Surah Yasin, 36: 54)

Berdasarkan keumuman dalil-dalil Al-Qur’an ini menunjukkan bahawa amalan orang lain tidak akan sampai pahalanya atau dosanya kepada orang lain, melainkan apa-apa yang dikhususkan dari keumuman ini berdasarkan keterangan yang terdapat pada dalil-dalil yang lain.

Al-Hafiz Ibnu Katsir berkata:

جزاء الله تعالى وحكمه وعدله، أن النفوس إنما تجازى بأعمالها إن خيرًا فخير، وإن شرًا فشر، وأنه لا يحمل من خطيئة أحد على أحد

“Allah Ta’ala membalas dengan kebijaksaan dan keadilan-Nya. Sesungguhnya manusia itu hanya menerima balasan berdasarkan amalnya, jika baik, maka baiklah balasannya dan jika buruk, maka buruklah balasannya dan bahawasanya seseorang itu tidaklah menanggung dosa bagi seseorang yang lain.” (Tafsir Ibn Katsir, 3/384)

Pendapat dalam kalangan mazhab Asy-Syafi’i

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:

وأما الصلاة والصوم فمذهب الشافعى وجماهير العلماء أنه لا يصل ثوابهما إلى الميت الا اذا كان الصوم واجبا على الميت فقضاه عنه وليه أو من أذن له الولي فان فيه قولين للشافعى أشهرهما عنه أنه لا يصح وأصحهما عند محققى متأخرى أصحابه أنه يصح وستأتى المسألة فى كتاب الصيام ان شاء الله تعالى

“Adapun solat dan puasa, maka menurut mazhab Asy-Syafi’i dan jumhur ulama, bahawa pahala amalan tersebut tidaklah sampai kepada orang yang telah meninggal dunia kecuali jika ia adalah puasa wajib bagi si mati (yang belum sempat ditunaikan), lalu walinya atau orang yang diizinkan walinya meng-qadha’kannya (yakni menggantikannya) untuk si mati, maka dalam perkara ini ada dua pendapat menurut Asy-Syafi’i.

1, Yang masyhurnya, ianya tidak sah.

2, Namun yang ashah dari keduanya dari kalangan muhaqqiq mazhabnya terkemudian, bahawa ianya sah.

Dan akan datang perbahasannya di Kitab Ash-Shiyaam (di Syarh Shahih Muslim oleh An-Nawawi – pent.), insyaAllaahu Ta’ala.

وأما قراءة القرآن فالمشهور من مذهب الشافعى أنه لا يصل ثوابها إلى الميت وقال بعض أصحابه يصل ثوابها إلى الميت وذهب جماعات من العلماء إلى أنه يصل إلى الميت ثواب جميع العبادات من الصلاة والصوم والقراءة وغير ذلك

“Adapun bacaan Al-Qur’an, maka yang masyhur dari mazhab Asy-Syafi’i tidaklah sampai pahalanya kepada si mati. Namun sebahagian pengikut mazhab Asy-Syafi’i mengatakan pahalanya sampai kepada si mati, dan pendapat sejumlah dari ulama bahawa pahala seluruh ibadah sama ada solat, puasa, bacaan Al-Qur’an, mahupun amalan yang lainnya adalah sampai kepada si mati.

وفى صحيح البخارى فى باب من مات وعليه نذر أن بن عمر أمر من ماتت أمها وعليها صلاة أن تصلى عنها وحكى صاحب الحاوى عن عطاء بن أبى رباح واسحاق بن راهويه أنهما قالا بجواز الصلاة عن الميت

Dalam Shahih Al-Bukhari di bab “Siapa yang mati sedangkan atasnya ada nadzar (yang belum tertunai)” disebutkan (pada bab ini) bahawa Ibnu ‘Umar pernah memerintahkan orang yang ibunya meninggal sedangkan si ibu memiliki kewajiban solat, agar melaksanakan solat untuknya. Dan diriwayatkan oleh penulis Al-Hawi dari ‘Atha’ bin Abi Rabah dan Ishaq bin Rahawayh bahawa kedua mereka berpendapat bolehnya solat untuk si mati.

وقال الشيخ أبو سعد عبد الله بن محمد بن هبة الله بن أبى عصرون من أصحابنا المتأخرين فى كتابه الانتصار إلى اختيار هذا وقال الامام أبو محمد البغوى من أصحابنا فى كتابه التهذيب لا يبعد أن يطعم عن كل صلاة مد من طعام

Berkata Asy-Syaikh Abu Sa’d ‘Abdullah bin Muhammad bin Hibatullah bin Abu ‘Ashruun dari kalangan mazhab kami terkemudian di kitabnya Al-Intishar cenderung memilih pendapat ini. Dan berkata Al-Imam Abu Muhammad Al-Baghawi dari kalangan mazhab kami di kitabnya At-Tahdzib, (beliau berkata), “Tidak mengapa jika dia memberi makan (sebagai fidyah) seukuran satu mud makanan bagi setiap solat (yang ditinggalkan).”

وكل هذه المذاهب ضعيفة ودليلهم القياس على الدعاء والصدقة والحج فانها تصل بالاجماع ودليل الشافعى وموافقيه قول الله تعالى وأن ليس للانسان الا ما سعى وقول النبى صلى الله عليه و سلم اذا مات بن آدم انقطع عمله الا من ثلاث صدقة جارية أو علم ينتفع به أو ولد صالح يدعو له واختلف أصحاب الشافعى فى ركعتى الطواف فى حج الأجير هل تقعان عن الأجير أم عن المستأجر والله أعلم

Dan (bahawasanya) seluruh pendapat ini adalah dha’if (lemah), dan dalil mereka hanyalah qiyas kepada doa, sedekah, dan haji yang mana ketiga amalan ini sampai (kepada si mati) dengan ijma’. Sedangkan Al-Imam Asy-Syafi’i dan orang-orang yang bersepakat dengan beliau berdalil dengan firman Allah Ta’ala:

وَأَنْ لَيْسَ لِلإنْسَانِ إِلا مَا سَعَى

“Bahawa seorang manusia tidak mendapat (pahala) melainkan apa yang dia usahakan.” (Surah An-Najm, 53: 39)

Dan sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Apabila mati anak Adam, terputuslah (pahala) amalannya melainkan tiga, iaitu sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat, atau anak soleh yang mendoakan untuknya.”

Pengikut mazhab Asy-Syafi’i berbeza pendapat berkenaan dua raka’at thawaf pada haji yang diwakilkan (atau diupah/sewakan), adakah ianya dilaksanakan oleh orang yang diwakilkan (yang disewa) atau yang mewakilkan (yang menyewa). Wallaahu a’lam.” (Syarh Shahih Muslim, 1/90)

Al-Imam Asy-Syafi’i dan Al-Imam An-Nawawi berdasarkan teks di atas menyebutkan sampainya pahala sedekah[3], haji[4], doa[5], dan pembayaran hutang, kerana amalan-amalan ini semuanya tsabit berdasarkan nash (dalil). Adapun puasa (qadha Ramadhan), ianya digantikan dengan fidyah (berupa makanan). Manakala puasa nadzar, maka walinya yang berpuasa untuknya.[6]

Manakala para ulama yang lain yang mengatakan sampainya pahala bacaan Al-Qur’an bersama amalan-amalan yang lainnya dari amalan-amalan badaniyah, mereka menetapkannya berdasarkan qiyas dari amalan sedekah, pelunasan hutang, haji, dan doa serta pembayaran fidyah bagi puasa wajib. Menurut mereka, seandainya amalan sedekah, haji, dan doa dapat sampai kepada si mati, sudah tentu amalan-amalan yang lainnya seperti pahala bacaan Al-Qur’an dari yang hidup kepada si mati juga sampai, bahkan juga solat dan puasa.

Sedangkan Al-Imam Asy-Syafi’i bersama-sama para ulama yang mengikuti beliau menetapkan tidak adanya qiyas dalam hal ini di mana ibadah itu bersifat tauqifi berdasarkan nash.

Pendapat yang rajih

Adapun pendapat yang rajih (kuat) adalah pendapat yang menyatakan tidak sampainya pahala bacaan Al-Qur’an kepada si mati. Pendapat ini dipegang oleh Al-Imam Malik, Asy-Syafi’i, dan para ulama yang mengikuti mereka termasuk Al-Imam An-Nawawi dan Ibn Katsir rahimahumullaah. Mereka membatasi amalan orang hidup yang boleh sampai (pahalanya) kepada si mati berdasarkan ketetapan yang terdapat pada tekstual nash sahaja, dan mereka mencegah amalan-amalan yang lainnya dan tidak bolehnya menetapkan dengan qiyas padanya.

Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin Baz rahimahullah berkata:doa utk ibu bapa

ولكن الصواب هو القول الأول للحديث المذكور وما جاء في معناه، ولو كان إهداء التلاوة مشروعا لفعله السلف الصالح. والعبادة لا يجوز فيها القياس؛ لأنها توقيفية لا تثبت إلا بالنص من كلام الله عز وجل أو من سنة رسوله للحديث السابق وما جاء في معناه.

“Adapun yang tepat adalah pandangan pertama (tidak sampai pahala bacaan Al-Qur’an) kerana berdasarkan hadis yang disebutkan dan apa yang jelas adalah menunjukkan makna yang sama. Sekiranya menghadiahkan pahala bacaan (Al-Qur’an) itu disyari’atkan, sudah tentu ia dilakukan (diamalkan) oleh para salafussoleh. Sedangkan dalam penetapan ibadat, kita tidak boleh membuat qiyas padanya, ini adalah kerana ia bersifat tawqifiyah (terbatas pada dalil). Tidak tsabit sesuatu bentuk ibadah melainkan dengan nash dari kalamullah (Al-Qur’an) atau sunnah rasul-Nya sebagaimana hadis yang dijelaskan pada awal tadi.” (Dari website rasmi beliau: www.binbaz.org.sa/mat/1831)

Asy-Syaikh Al-Albani rahimahullah (Wafat: 1420H) berkata:

قلت: فقول الناس في بعض البلاد: ( الفاتحة على روح فلان ) مخالف للسنة المذكورة فهو بدعة بلا شك لا سيما وأن القراءة لا تصل إلى الموتى على القول الصحيح كما سيأتي إن شاء الله تعالى

“(Aku katakan): Ucapan masyarakat di sebahagian negeri (di saat adanya kematian), mereka mengatakan:

“Al-Fatihah untuk ruh fulan…”

maka ini merupakan amalan yang menyelisihi sunnah sebagaimana disebutkan (dalam hadis-hadis), maka ianya merupakan bid’ah tanpa syak, lebih-lebih lagi bahawa bacaan Al-Qur’an tersebut tidaklah sampai kepada si mati berdasarkan pendapat yang sahih…” (Talkhis Ahkam Al-Jana’iz, m/s. 20)

Alasan-alasan Yang Menguatkan Pendapat Al-Imam Asy-Syafi’i

1, Prinsip dasar dalam Ibadah adalah tawaqquf (diam, yakni tidak mengamalkannya) sampai terdapat dalil yang menunjukkan pensyari’atannya.[7] Dan dalam hal ini, keumuman dalil menunjukkan tidak sampainya pahala amalan orang lain kepada si mati melainkan pada amalan tertentu yang telah dikhususkan oleh dalil-dalil lain yang mengeluarkannya dari keumuman dalil asal.

Maka dari sini, amalan yang dapat sampai pahalanya kepada si mati hanyalah pada sebahagian amalan yang memiliki dalil tersendiri seperti haji wajib, puasa yang belum sempat di-qadha atau puasa nadzar yang belum sempat tertunai, sedekah yang di-atasnamakan si mati, atau hutang yang belum sempat dibayar.

2, Tidak ada riwayat dari masa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang menunjukkan ada dari kalangan sahabat yang membaca Al-Qur’an lalu pahalanya disedekahkan atau dihadiahkan kepada orang yang telah meninggal dunia. Seandainya ini merupakan kebaikan, sudah tentu mereka telah terlebih dahulu mendahului kita dalam mengamalkannya kerana mereka adalah orang yang paling mengetahui tentang agama Allah dan paling menginginkan kebaikan, serta dari merekalah kita mengambil agama.

3, Membuka ruang qiyas dalam hal ini akan membuka pintu kepada ahli bid’ah untuk memasukkan apa jua amalan yang mereka sukai ke dalam agama ini tanpa berdasarkan nash dan kaedah yang benar.

4, Membuka ruang qiyas dalam hal ini dengan membolehkan menghadiahkan (atau mensedekahkan) pahala bacaan Al-Qur’an untuk si mati telah membuka banyak ruang kepada berkembangnya bid’ah-bid’ah dan hal-hal yang bathil; antaranya seperti mengupah qari untuk membacakan Al-Qur’an di kuburan dan penganjuran majlis khas tahlilan untuk si mati. Sedangkan hal ini telah jelas tidak ada contohnya sedikitpun dari Nabi mahupun kalangan sahabat-sahabat beliau.

5, Setiap hal yang diada-adakan dalam agama itu pasti akan menutupi sunnah dan membuat manusia lupa dari amal-amal ibadah yang benar-benar disyari’atkan. Maka, hendaklah kita mencukupkan pada amal-amal ibadah yang telah tsabit nash dan dalilnya.

Wallaahu a’lam.


[1] Al-Imam Ibn Jarir Ath-Thabari rahimahullah (Wafat: 311H):

أنه لا يُجَازي عامل إلا بعمله، خيرا كان ذلك أو شرّا

“Bahawasanya seseorang itu tidak menerima balasan amal, melainkan dari apa yang telah dia usahakan, sama ada amalnya yang baik atau yang buruk.” (Al-Jami’ Al-Bayan fi Ta’wil Al-Qur’an, 22/546)

Juga:

لا يؤاخذ بعقوبة ذنب غير عامله، ولا يثاب على صالح عمله عامل غيره

“Tidaklah disiksa seseorang itu dengan sesuatu siksaan sekiranya dia tidak mengerjakan dosa tersebut, dan tidaklah dia diberi ganjaran di atas amal soleh yang mana dia tidak mengerjakannya.” (Al-Jami’ Al-Bayan fi Ta’wil Al-Qur’an, 22/547)

Al-Imam asy-Syaukani rahimahullah (Wafat: 1250H):

ليس له إلاّ أجر سعيه، وجزاء عمله ، ولا ينفع أحداً عمل أحد

“Seseorang tidak akan mendapat melainkan balasan atas usahanya dan ganjaran amalan (yang dia sendiri amalkan), dia tidak memberi manfaat (pahalanya) kepada orang lain.” (Fathul Qodir, 7/78)

[2] Syaikh Al-Albani rahimahullah menjelaskan berkenaan perkataan Ibnu Katsir di atas (katanya):

وما ذكره ابن كثير عن الشافعي رحمه الله تعالى هو قول أكثر العلماء وجماعة من الحنفية كما نقله الزبيدي في (شرح الاحياء) (10 / 369.

“Apa yang disebutkan oleh Ibnu Katsir dari Asy-Syafi’i rahimahullah tersebut adalah merupakan pendapat majoriti ulama dan sekelompok pengikut mazhab Hanafi, sebagaimana yang dinukilkan oleh Az-Zubaidi di dalam Kitab Syarah Al-Ahyaa’, 9/369.”

Selain itu, Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah turut menjelaskan:

وقد قال شيخ الاسلام ابن تيمية رحمه الله تعالى في (الاختيارات العلمية) (ص 54): (ولم يكن من عادة السلف إذا صلوا تطوعا أو صاموا تطوعا أو حجوا تطوعا، أو قروؤا القرآن يهدون ثواب ذلك إلى أموات المسلمين، فلا ينبغي العدول عن طريق السلف فإنه أفضل وأكمل)

“Berkata Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah di kitab Al-ikhtiyaraat Al-‘Ilmiyyah (m/s. 54), “Tidak termasuk kebiasaan para ulama salaf (ulama generasi awal/para sahabat), iaitu jika mereka solat tathawwu’ (yakni solat sunnah), atau berpuasa tathawwu’, atau haji tathawwu’, atau membaca Al-Qur’an, lalu pahalanya dihadiahkan (atau disedekahkan) kepada kaum Muslimin yang telah meninggal dunia. Maka tidak sepatutnya menyimpang dari jalan ulama Salaf kerana mereka lebih diutamakan dan sempurna.”

[3] Dari hadis Abu Hurairah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

“Apabila mati seorang manusia, maka terputuslah amalannya melainkan tiga perkara, (iaitu) sedekah jariyah, ilmu yang dimanfaatkan, atau anak soleh yang mendoakannya.” (Shahih Muslim, no. 1631)

Sedekah yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah sedekah beliau yang dimanfaatkan atas kebaikan, termasuk di dalamnya adalah sedekah yang dilakukan oleh orang yang hidup dengan meniatkan atas namanya.

Sebagaimana dari hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau menceritakan:

أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ أُمِّي افْتُلِتَتْ نَفْسُهَا، وَأَظُنُّهَا لَوْ تَكَلَّمَتْ تَصَدَّقَتْ، فَهَلْ لَهَا أَجْرٌ إِنْ تَصَدَّقْتُ عَنْهَا؟ قَالَ: «نَعَمْ»

“Bahawa ada seorang lelaki berkata kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dengan tiba-tiba dan tidak sempat berwasiat. Aku mengira, seandainya beliau sempat berwasiat, nescaya dia akan bersedekah. Maka, adakah baginya pahala jika aku bersedekah untuknya?”

Maka jawab Nabi, “Ya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1388)

Si mati juga mendapat pahala dari amalan anak yang soleh.

Ini adalah berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

وَأَنْ لَيْسَ لِلإنْسَانِ إِلا مَا سَعَى

“Dan bahawasanya seseorang manusia itu tidak mendapat (pahala) melainkan dari apa yang telah diusahakannya.” (Surah An-Najm, 53: 39)

Dan anak-anak adalah termasuk hasil usahanya, sama ada pada pendidikannya (ilmu yang bermanfaat), doanya, mahupun kesolehannya.

Dari hadis ‘Aisyah, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ أَطْيَبَ مَا أَكَلَ الرَّجُلُ مِنْ كَسْبِهِ، وَإِنَّ وَلَدَهُ مِنْ كَسْبِهِ

“Sesungguhnya sebaik-baik yang dimakan oleh seseorang itu adalah makanan yang diperolehi dari usahanya sendiri. Sesungguhnya anak itu termasuk dari hasil usahanya.” (Musnad Ahmad, no. 24032)

Dalam sebuah hadis dari Abu Mas’oud Al-Anshari radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ

“Siapa yang menunjukkan suatu kebaikan, maka baginya pahala yang semisal orang yang mengerjakan kebaikan tersebut.” (Shahih Muslim, no. 1893)

[4] Dari hadis Ibn ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

 

أَنَّ امْرَأَةً مِنْ جُهَيْنَةَ، جَاءَتْ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَتْ: إِنَّ أُمِّي نَذَرَتْ أَنْ تَحُجَّ فَلَمْ تَحُجَّ حَتَّى مَاتَتْ، أَفَأَحُجُّ عَنْهَا؟ قَالَ: «نَعَمْ حُجِّي عَنْهَا، أَرَأَيْتِ لَوْ كَانَ عَلَى أُمِّكِ دَيْنٌ أَكُنْتِ قَاضِيَةً؟ اقْضُوا اللَّهَ فَاللَّهُ أَحَقُّ بِالوَفَاءِ

“Bahawa seorang wanita dari Juhainah datang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, lalu beliau berkata:

“Sesungguhnya Ibuku telah bernadzar untuk melaksanakan ibadah haji, tetapi belum sempat dia melaksanakannya, dia telah meninggal dunia. Bolehkah aku melaksanakan haji untuknya?”

Nabi pun bersabda:

“Ya, boleh. Berhajilah untuknya. Bagaimana sekiranya menurutmu jika ibumu memiliki hutang, wajibkah engkau melunaskannya? Maka lunaskanlah hutangnya kepada Allah kerana hutang itu lebih berhak untuk dilunaskan.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1852)

Haji yang dimaksudkan adalah haji wajib yang dia telah mampu untuk melaksanakannya, namun terhalang kerana udzur tertentu dan dia telah menyatakan hasrat atau wasiatnya untuk itu.

[5] Sampainya doa kaum muslimin, sebagaimana firman Allah Ta’ala:

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِنْ بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ

“Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Anshor), mereka berdoa: “Ya Rabb kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman; Ya Rabb kami, Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.”.” (Surah Al-Hasyr, 59: 10)

Dan dalam hal ini banyak sekali dalil-dalil yang lain yang menganjurkan memohonkan rahmat dan keampunan bagi kaum muslimin yang meninggal dunia.

Bahkan sebagaimana dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ الرَّجُلَ لَتُرْفَعُ دَرَجَتُهُ فِي الْجَنَّةِ فَيَقُولُ: أَنَّى هَذَا؟ فَيُقَالُ: بِاسْتِغْفَارِ وَلَدِكَ لَكَ

“Sesungguhnya seseorang akan diangkat darjatnya di dalam Syurga.” Lalu dia bertanya, “Dari mana ini?”

Lalu dijawab kepadanya, “Dengan sebab istighfar (permohonan ampun) anakmu untukmu.” (Musnad Ahmad, no. 10610. Sunan Ibnu Majah, no. 3660. Dinilai hasan oleh Al-Albani dan Syu’aib Al-Arnauth)

[6] Dari hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha beliau berkata:

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ

“Siapa yang mati dan atasnya ada kewajiban puasa (yang tertunggak), hendaklah walinya berpuasa untuknya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1952. Sunan Abi Dawud, no. 2400)

Kata Abu Dawud:

هَذَا فِي النَّذْرِ وَهُوَ قَوْلُ أَحْمَدَ بْنِ حَنْبَلٍ

“Yang dimaksudkan puasa dalam hadis ini adalah puasa nadzar, dan ia adalah pendapat Imam Ahmad.”

Manakala bagi puasa qadha yang tertunggak, maka walinya mengeluarkan fidyah (berupa makanan).

Ini sebagaimana hadis Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma di Sunan Abi Dawud, beliau berkata:

إِذَا مَرِضَ الرَّجُلُ فِي رَمَضَانَ، ثُمَّ مَاتَ وَلَمْ يَصُمْ أُطْعِمَ عَنْهُ، وَلَمْ يَكُنْ عَلَيْهِ قَضَاءٌ، وَإِنْ كَانَ عَلَيْهِ نَذْرٌ قَضَى عَنْهُ وَلِيُّهُ

“Apabila seseorang sakit di bulan Ramadhan kemudian dia meninggal dunia, maka puasanya dibayar dengan memberi makan orang miskin (oleh walinya atau warisnya) dan ianya tidak diqadha’. Manakala bagi puasa nazdzar, maka walinya (atau warisnya) mengqadha (yakni berpuasa) untuknya.” (Sunan Abi Dawud, no. 2401)

Di riwayat yang lain dari Ibnu ‘Abbas, beliau berkata:

لَا يُصَلِّي أَحَدٌ عَنْ أَحَدٍ، وَلَا يَصُومُ أَحَدٌ عَنْ أَحَدٍ وَلَكِنْ يُطْعِمُ عَنْهُ مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ مُدًّا مِنْ حِنْطَةٍ

“Tidak boleh seseorang bersolat untuk menggantikan solat seseorang yang lain, dan tidak boleh seseorang berpuasa untuk menggantikan puasa seseorang yang lain, tetapi dia memberikan makanan berupa satu mud gandum bagi setiap sehari puasa yang tertunggak.” (As-Sunan Al-Kubra oleh An-Nasaa’i, no. 2930. Musykilul Atsaar oleh Ath-Thahawi, no. 1986)

Al-Imam Al-Baghawi rahimahullah (Wafat: 516H) berkata:

ورُوِيَ عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ أَنَّهُ إِنْ كَانَ عَلَيْهِ قَضَاءُ رَمَضَانَ يُطْعِمُ عَنْهُ، وَإِنْ كَانَ عَلَيْهِ صَوْمُ نَذْرٍ، صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ، وَقِيلَ: هَذَا قَوْلُ أَحْمَدَ، وَإِسْحَاقَ.

“Telah diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas, jika atasnya ada qadha’ puasa Ramadhan, maka walinya mengeluarkan makanan (sebagai fidyah), dan jika atasnya hutang puasa nadzar, maka walinya berpuasa untuknya. Inilah pendapat Imam Ahmad dan Ishaq.” (Syarhus Sunnah oleh Al-Baghawi, 6/326)

[7] Ini antaranya berdasarkan dalil dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ، فَهُوَ رَدٌّ

“Siapa yang membuat perkara baru dalam urusan agama kami ini yang bukan darinya, maka ianya tertolak.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2697)

Para ulama menegaskan:

الأصل في العبادة التوقف \ التوقيف

“Asal dalam ibadah itu adalah tawaqquf (terbatas pada dalil).” (lihat: Fathul Bari Syarh Shahih Al-Bukhari oleh Ibn Hajar, 3/54. Syarh Al-Zarqoni ‘ala Muwaththa’, 1/434. Ghoyatul Bayan, 1/79. Dan yang lainnya)

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest

Comments

  1. Abdullah
    November 5, 2009 at 6:52 am

    Assalamualaikum…
    Anak yang mendoakan?? baca yasiin kemudian doa,lagi afdhol…

  2. Khairuddin
    November 8, 2009 at 10:26 am

    Assalamu'alaikum warahmatullah

    Doa anak kpd ibubapa termasuk dalam hadith yg tersebut di atas (Apabila manusia itu telah meninggal dunia, maka terputuslah amalan-amalannya melainkan tiga perkara, …).
    Hadith tersebut menyebut doa anak, bukan hadiah baca alquran.
    Walaubagaimana pun, segala amalan baik yg dilakukan seorang anak, akan terus sampai pahalanya kepada ibubapa. Ini termasuk didalam "Ilmunya yang dimanfaatkan" yg tersebut dalam hadith diatas.
    Maka tidak perlu niat hadiah baca alquran kpd ibubapa, ianya otomatik sampai!
    Jangan fikirkan baca alquran, solat, puasa & sebagainya sahaja, malah menyapu rumah, basuh pinggan, masak nasi yg diajar ibubapa pun secara otomatik pahala sampai kpd mereka setiap kali ianya dikerjakan.
    Semua ini berterusan hingga keanak cucu sampai hari kiamat! Bayangkan betapa banyaknya pahala yg diperolehi ibubapa! Tak perlu panggil jiran buat majlis tahlil.

Comments are closed.