Beginilah Selawat Ke Atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam
www.ilmusunnah.com

Selawat dan salam kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah salah satu ibadah yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada orang-orang yang beriman. Perintah ini terdapat di dalam al-Qur’an, pada Surah Al-Ahzaab, ayat 56.

Di dalam hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang sahih pula banyak disebutkan tentang saranan dan ganjaran (atau fadhilat) bagi mereka yang berselawat ke atas beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Malah pada sebahagian hadis yang lainnya, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mencela orang yang tidak berselawat kepadanya pada masa-masa tertentu seperti di ketika namanya disebutkan.

Ganjaran dan fadhilat berselawat ke atas Nabi dapat diperolehi apabila seorang muslim itu melaksanakannya dengan memenuhi syarat-syarat selawat bersesuaian dengan apa yang telah ditunjuk-ajarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Ini adalah kerana selawat itu merupakan salah satu bentuk ibadah, dan ibadah itu tidak akan diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala melainkan dengan apa yang telah Allah tetapkan serta dengan apa yang telah ditunjuk-ajarkan oleh Rasul-Nya.

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah berkata:

التقرير فى العبادة إنما يؤخذ عن توقيف

Terjemahan: “Perlaksanaan di dalam ibadat adalah dengan mengikuti atau mengambil dari apa yang telah ditetapkan (melalui dalil).” (lihat: Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani, Fathul Bari Syarah Shahih Al-Bukhari, 2/80)

Juga:

الأصل في العبادة التوقف \ التوقيف

Terjemahan: “Asal setiap ibadat itu adalah tawaqquf (iaitu behenti melainkan ada dalil padanya, maka barulah dilaksanakan).” (lihat: Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani, Fathul Bari Syarah Shahih Al-Bukhari, 3/54. Imam Muhammad bin ‘Abdul Baqi Al-Zarqani, Syarah Al-Zarqani ‘ala Muwaththa’, 1/434. Imam Muhammad bin Ahmad Ar-Ramli Al-Anshari, Ghayatul Bayan, 1/79)

Fudhail bin ‘Iyaadh rahimahullah (Wafat: 187H) berkata:

إنَّ العملَ إذا كان خالصاً، ولم يكن صواباً، لم يقبل، وإذا كان صواباً، ولم يكن خالصاً، لم يقبل حتّى يكونَ خالصاً صواباً، والخالصُ إذا كان لله عز وجل، والصَّوابُ إذا كان على السُّنَّة

“Apabila amal dilakukan dengan ikhlas tetapi tidak dilakukan dengan benar, amalan tersebut tidak diterima.

Demikian juga apabila suatu amalan dilakukan dengan benar tetapi tidak ikhlas, amalan tersebut juga tidak diterima sampailah ia ikhlas dan benar.

Ikhlas adalah apabila amalan tersebut dilakukan semata-mata kerana Allah ‘Azza wa Jalla dan benar ialah jika amal perbuatan tersebut bertepatan dengan sunnah.” (Ma’alim At-Tanziil Tafsir Al-Baghawi, 8/176. Ibnu Rajab Al-Hanbali, Jami’ ul-‘Ulum wa al-Hikam, 3/20)

Cuma sangat dikesalkan pada hari ini, terdapat segolongan orang yang dikenal dengan gelar ustaz dan tok guru, mereka ini mengubah-suai dan mereka-cipta lafaz-lafaz selawat yang tidak pernah ditunjukkan oleh Nabi, kemudian mereka meletakkan sendiri kaifiyat (tatacara) mengamalkannya, sekaligus menegaskan pula fadhilat-fadhilat dan keutamaan-keutamaan selawat yang dia reka tersebut tanpa berdasarkan dalil.

Dan ketahuilah bahawa ini semua termasuk perbuatan berdusta atas nama agama, atas nama Nabi, dan atas nama Allah Ta’ala.

Ingatlah Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman:

فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَى عَلَى اللَّهِ كَذِبًا لِيُضِلَّ النَّاسَ بِغَيْرِ عِلْمٍ إِنَّ اللَّهَ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

“Maka siapakah yang lebih ZALiM daripada orang yang berdusta terhadap Allah untuk menyesatkan manusia dengan tidak berdasarkan ilmu pengetahuan? Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang ZALiM.” (Surah al-An’am, 6 : 144)

Definisi dan Perintah Supaya Berselawat Ke Atas Nabi

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Terjemahan: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.” (Surah Al-Ahzaab, 33: 56)

Imam Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) berkata:

والمقصود من هذه الآية: أن الله سبحانه أخبر عباده بمنزلة عبده ونبيه عنده في الملأ الأعلى، بأنه يثني عليه عند الملائكة المقربين، وأن الملائكة تصلي عليه. ثم أمر تعالى أهل العالم السفلي بالصلاة والتسليم عليه، ليجتمع الثناء عليه من أهل العالمين العلوي والسفلي جميعا

“Maksud dari ayat ini: Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala mengkhabarkan kepada para hamba-Nya tentang kedudukan hamba dan Nabi-Nya di sisi-Nya di alam yang tinggi, iaitu Allah memujinya di sisi para malaikat al-muqarrabin (yang dekat dengan Allah) dan bahawasanya para malaikat pun berselawat kepadanya. Maka Allah Ta’ala memerintahkan penduduk alam bawah (bumi) supaya mengucapkan selawat dan salam kepadanya agar pujian di antara penduduk langit (alam atas) dengan bumi (alam bawah) sama-sama berlangsung secara keseluruhan.” (Tafsir Ibn Katsir, 6/457)

Imam At-Tirmidzi rahimahullah (Wafat: 279H) berkata:

وَرُوِي عَنْ سُفْيَانَ الثَّوْرِيِّ، وَغَيْرِ وَاحِدٍ مِنْ أَهْلِ العِلْمِ، قَالُوا: صَلَاةُ الرَّبِّ الرَّحْمَةُ، وَصَلَاةُ المَلَائِكَةِ الِاسْتِغْفَارُ

Terjemahan: Diriwayatkan daripada Sufyan Ats-Tsauri dan para ahli ilmu selainnya berkata, “Selawat Allah adalah al-Rahmah, manakala selawat para malaikat adalah istighfar.” (lihat: Sunan at-Tirmidzi, 2/355, no. 485)

Imam Al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) berkata:

قَالَ أَبُو الْعَالِيَةِ صَلَاةُ اللَّهِ ثَنَاؤُهُ عَلَيْهِ عِنْدَ الْمَلَائِكَةِ وَصَلَاةُ الْمَلَائِكَةِ الدُّعَاءُ قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ

 {يُصَلُّونَ}

يُبَرِّكُونَ

Terjemahan: “Abul ‘Aliyah (rahimahullah) berkata: Selawat Allah (ke atas Nabi-Nya) maksudnya adalah pujian yang Allah berikan kepada Nabi di hadapan para malaikat, manakala selawat para malaikat (kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam) adalah doa (untuk beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam).

Ibnu ‘Abbas berkata: Maksud dari lafaz “Yushalluuna” adalah:

Allah dan para malaikat-Nya memberkahi Nabi.” (lihat: Shahih Al-Bukhari, 6/120)

Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) berkata:

وقال الحليمي في الشعب معنى الصلاة على النبي صلى الله عليه و سلم تعظيمه فمعنى قولنا اللهم صل على محمد عظم محمدا والمراد تعظيمه في الدنيا بإعلاء ذكره وإظهار دينه وابقاء شريعته وفي الآخرة باجزال مثوبته وتشفيعه في أمته وابداء فضيلته بالمقام المحمود وعلى هذا فالمراد بقوله تعالى صلوا عليه ادعوا ربكم بالصلاة عليه

Terjemahan: “Al-Hulaimi berkata di Kitab Asy-Syu’ab (Syu’abul Iman): Makna selawat kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah pengagungan terhadap beliau. Maka, apabila kita mengucapkan:

“Ya Allah, berilah selawat ke atas Muhammad”:

Maksudnya adalah agungkanlah beliau dan muliakanlah beliau di dunia dengan meninggikan namanya, memenangkan agamanya, dan mengekalkan syari’atnya. Muliakanlah beliau di akhirat dengan melipat-gandakan pahalanya, mengizinkannya untuk memberi syafa’at kepada umatnya, serta menampakkan fadhilatnya dengan memberikannya “al-Maqam al-Mahmud” (kedudukan dan tempat yang terpuji).

Dan atas sebab inilah, Allah Ta’ala berfirman (maksudnya):

“Berselawatlah kamu ke atasnya…” bermakna:

Mohonlah kepada Rabb kalian untuk mengagungkan dan memuliakan beliau.” (lihat: Ibnu Hajar Al-‘Asqalani, Fathul Bari Syarah Shahih Al-Bukhari, 11/156)

Lafaz-lafaz Selawat Ke Atas Nabi Yang Sahih Daripada Sunnah

Berikut adalah beberapa contoh lafaz atau kaifiyat (tata cara) selawat sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada para sahabat berdasarkan kepada riwayat-riwayat yang sahih.

Dari sini, dapat kita akan dapat lihat bahawasanya beginilah sewajarnya kita melafazkan serta mengungkapkan kata-kata selawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan bukan dengan lafaz-lafaz selawat yang lain, yang tidak pernah diajarkan oleh Nabi, dan tidak pula diberi jaminan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Maka, ambillah selawat sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi dan yang telah sahih lafaz serta keutamaannya. Kerana, apabila para sahabat hendak berselawat, mereka terlebih dahulu bertanya kepada nabi tentang bagaimana (kaifiyat) selawat tersebut.

Maka, kita sebagai orang yang terkemudian, cukuplah dengan mengikuti. Kerana, jika kita mahu mereka-cipta bentuk-bentuk selawat yang lain, sesungguhnya kita tidak pernah bertanyakan sendiri kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam (sebagaimana para sahabat telah bertanya), adakah selawat yang kita reka-cipta tersebut diterima?

Maka, berikut adalah bentuk-bentuk lafaz selawat berdasarkan hadis-hadis yang sahih:

1, Dari hadis Ka’ab B. ‘Ujrah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

Wahai Rasulullah, kami telah tahu bagaimana mengucapkan salam ke atas engkau, tetapi bagaimana pula untuk kami berselawat ke atas engkau?

Rasulullah pun menjelaskan – Katakanlah:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

Terjemahan: “Ya Allah, berilah selawat ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat ke atas keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Ya Allah, berkahilah ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkahi keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.

lihat: Sunan An-Nasaa’i, no. 1289. Dinilai sahih oleh Al-Albani.

Atau:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

Terjemahan: “Ya Allah, berilah selawat ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat ke atas Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Dan berkahilah ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkahi ke atas Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.”

lihat: Sunan At-Tirmidzi, no. 483, dengan katanya: Hasan sahih. Turut dinilai sahih oleh Al-Albani.

Atau:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

Terjemahan: “Ya Allah, berilah selawat ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat ke atas Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Ya Allah, berkahilah ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkahi ke atas Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.”

lihat: Musnad Ahmad, no. 18104. Sunan Ibnu Majah, no. 904. Dinilai sahih oleh Al-Albani, dan kata Syu’aib Al-Arnauth, “Isnadnya sahih di atas syarat Al-Bukhari dan Muslim.”

Atau:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

Terjemahan: “Ya Allah, berilah selawat ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat ke atas Ibrahim dan ke atas keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Ya Allah, berkahilah ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkahi ke atas Ibrahim dan ke atas keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.”

lihat: Shahih Al-Bukhari, no. 3370.

2, Dari hadis Zaid bin Khaarijah, beliau berkata:

“Aku bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, maka beliau pun bersabda:

“Berselawatlah ke atasku dan bersungguh-sungguhlahlah dalam berdoa serta ucapkanlah:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Terjemahan: “Ya Allah, berilah selawat ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad.”

lihat: Sunan An-Nasaa’i, 1292. Dinilai sahih oleh Al-Albani.

3, Dari hadis Abi Mas’oud Al-Anshaari, beliau berkata:

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam datang kepada kami yang mana kami sedang berada di dalam majlis Sa’d bin ‘Ubaadah. Kemudian Basyiir bin Sa’d bertanya kepada beliau (Rasulullah):

“Allah telah memerintahkan kepada kami untuk berselawat kepada engkau wahai Rasulullah, jadi bagaimanakah (caranya) kami berselawat kepada engkau?”

(Kata Abi Mas’oud): “Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam diam sehingga kami merasa lebih baik sekiranya beliau (Basyir bin Sa’ad) tidak bertanya kepada Rasulullah. Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda:

“Katakanlah:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

Terjemahan: “Ya Allah, berilah selawat ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat ke atas keluarga Ibrahim. Dan berkahilah ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad sebagaima yang Engkau telah memberkahi ke atas keluarga Ibrahim di seluruh alam. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.”.”

lihat: Shahih Muslim, no. 405. Sunan an-Nasaa’i, no. 1285.

Atau:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

Terjemahan: “Ya Allah, berilah selawat ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad sebagaimana yang Engkau telah berselawat ke atas Ibrahim. Dan berkahilah ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad sebagaima Engkau telah memberkahi ke atas keluarga Ibrahim di seluruh alam. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.”

lihat: Muwaththa’ Imam Malik, no. 67. Shahih Ibnu Hibban, no. 1285. Dinilai sahih oleh Al-Albani.

4, Dari hadis ‘Amr bin Sulaim Az-Zuraqi.

Beliau berkata: “Telah mengkhabarkan kepadaku Abu Humaid As-Sa’idi radhiyallahu ‘anhu, Bahawasanya mereka (para sahabat) bertanya:

Wahai Rasulullah, bagaimana (caranya) kami berselawat ke atas-engkau? Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda:

“Katakanlah:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَأَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَأَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

Terjemahan: “Ya Allah, berilah selawat ke atas Muhammad dan kepada isteri-isteri beliau serta keturunannya (zuriatnya), sebagaimana Engkau telah berselawat ke atas keluarga Ibrahim. Dan berkahilah ke atas Muhammad dan isteri-isteri beliau serta keturunannya, sebagaimana Engkau telah memberkahi ke atas keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.”.”

lihat: Muwaththa’ Imam Malik, no. 66. Musnad Ahmad, no. 23600. Shahih Al-Bukhari, no. 3369, 6360.

Atau:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَأَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَأَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

Terjemahan: “Ya Allah, berilah selawat ke atas Muhammad dan kepada isteri-isteri beliau serta keturunannya (zuriatnya), sebagaimana Engkau telah berselawat ke atas Ibrahim. Dan berkatilah Muhammad dan isteri-isteri beliau serta keturunannya, sebagaimana Engkau telah memberkahi ke atas keluarga Ibrahim di seluruh alam. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.”

lihat: Sunan Ibnu Majah, no. 905. Dinilai sahih oleh Al-Albani.

Atau:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

Terjemahan: “Ya Allah, berilah selawat ke atas Muhammad dan ke atas isteri-isteri beliau serta keturunannya (zuriatnya), sebagaimana Engkau telah berselawat ke atas keluarga Ibrahim. Dan berkahilah ke atas Muhammad dan ke atas isteri-isteri beliau serta keturunannya, sebagaimana Engkau telah memberkahi ke atas keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.”

lihat: Shahih Muslim, no. 407.

5, Dari hadis Abi Mas’oud ‘Uqbah ‘Amr Al-Anshaari, beliau berkata:

“Telah datang seorang lelaki sehingga ia duduk di hadapan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan kami (para sahabat) pada masa itu sedang berada di sisinya (sisi Rasulullah). Lalu lelaki tersebut bertanya:

“Wahai Rasulullah, bahawa Salam ke atas kamu telah kami ketahui, tetapi bagaimanakah (caranya) kami berselawat ke atas engkau apabila kami berselawat (kepada engkau) di dalam solat kami Shallallahu ‘alaika?”

Abi Mas’oud berkata:

“Rasulullah kemudian diam, sehingga kami merasa lebih baik sekiranya lelaki tersebut tidak bertanya kepada Rasulullah.”

Kemudian Rasulullah pun bersabda:

“Apabila kamu berselawat kepadaku, maka katakanlah (ucapkanlah):

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ النَّبِىِّ الأُمِّىِّ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ ، وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ النَّبِىِّ الأُمِّىِّ ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

Terjemahan: “Ya Allah, berilah selawat ke atas Muhammad Nabi yang ummi dan ke atas keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberi selawat ke atas Ibrahim dan ke atas keluarga Ibrahim. Dan berkahilah ke atas Nabi Muhammad Nabi yang ummi dan ke atas keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkahi ke atas Ibrahim dan ke atas keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.”

lihat: Shahih Ibnu Hibban, no. 1959. Al-Baihaqi, Sunan Ash-Shaghir, no. 454 dan Al-Kubra, no. 2849. Isnadnya hasan muttashil sebagaimana kata Ad-Daruquthni dan Al-Baihaqi.

Atau:

اللهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَآلِ إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

Terjemahan: “Ya Allah, berilah selawat ke atas Muhammad Nabi yang ummi dan ke atas keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberi selawat ke atas Ibrahim dan ke atas keluarga Ibrahim. Dan berkahilah ke atas Nabi Muhammad Nabi yang ummi sebagaimana Engkau telah memberkahi ke atas Ibrahim dan ke atas keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.”

lihat: Musnad Ahmad, no. 17072. Dinilai Sahih oleh Syu’aib al-Arnauth.

6, Dari hadis Abi Sa’iid Al-Khudri, beliau berkata:

“Kami (para sahabat) bertanya:

Wahai Rasulullah, salam ke atas engkau telah kami ketahui, tetapi bagaimanakah (caranya) kami berselawat kepada engkau?”

Rasulullah pun bersabda:

“Katakanlah (ucapkanlah):

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَآلِ إِبْرَاهِيمَ

Terjemahan: “Ya Allah, berilah selawat ke atas Muhammad hamba-Mu dan Rasul-Mu, sebagaimana Engkau telah berselawat ke atas Ibrahim. Dan berkahilah ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberkahi ke atas Ibrahim dan keluarga Ibrahim.”

lihat: Shahih Al-Bukhari, no. 6358.

Atau:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ

Terjemahan: “Ya Allah, berilah selawat ke atas Muhammad hamba-Mu dan Rasul-Mu, sebagaimana Engkau telah berselawat ke atas keluarga Ibrahim. Dan berkahilah ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberkahi ke atas Ibrahim.”

Atau dengan:

عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ

Terjemahan: “… (dan berkahi) ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkahi ke atas keluarga Ibrahim.”

Atau:

… كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَآلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَآلِ إِبْرَاهِيمَ

“… sebagaimana Engkau telah berselawat ke atas keluarga Ibrahim. Dan berkahilah ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberkahi ke atas Ibrahim dan keluarga Ibrahim.”

lihat: Shahih Al-Bukhari, no. 4798. Lihat juga: Musnad Ahmad, no. 11451.

Atau:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ

Terjemahan: “Ya Allah, berilah selawat ke atas Muhammad hamba-Mu dan Rasul-Mu, sebagaimana Engkau telah berselawat ke atas Ibrahim. Dan berkahilah ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberkahi ke atas Ibrahim.”

lihat: Sunan Ibnu Majah, no. 903. Dinilai sahih oleh Al-Albani.

Atau:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ

Terjemahan: “Ya Allah, berilah selawat ke atas Muhammad hamba-Mu dan Rasul-Mu, sebagaimana Engkau telah berselawat ke atas Ibrahim. Dan berkahilah ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberkahi ke atas Ibrahim.”

lihat: Sunan An-Nasaa’i, no. 1293. Dinilai sahih oleh Al-Albani.

7, Dari hadis Abi Hurairah:

Kami bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana kami berselawat ke atas engkau?”

Beliau (Rasulullah) bersabda, “Ucapkanlah:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ وَباَرَكْتَ عَلىَ إِبْرَاهِيْمَ وَآلِ إِبْرَاهِيْمَ إِنَّكَ حَمِيْدُ مَجِيْدُ

Terjemahan: “Ya Allah, berilah selawat ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad. Dan berkahilah ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberikan selawat dan keberkahan ke atas Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.”

lihat: Al-Musykilul Atsaar oleh Ath-Thahawi, no. 1865. ‘Amalul Yaum wal Lailah oleh An-Nasaa’i, no. 47. Dinilai sahih oleh Al-Albani.

Adab-adab Berselawat

1, Berselawat dengan lafaz-lafaz selawat yang telah diajarkan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan diamalkan pula oleh para sahabatnya.

2, Tidak menentukan atau mengkhususkan jumlah bilangan, waktu, tempat, atau cara selawat yang tidak ditentukan oleh syari’at.

3, Dilakukan secara sendiri-sendiri sebagaimana keumuman doa dan dzikir, dan bukan secara jama’i (yakni bukan dengan pimpinan imam atau tekong) atau tidak pula secara koir.

4, Dilaksanakan dengan suara yang perlahan dan rendah diri sebagaimana keumuman adab dalam berdoa dan dzikir, iaitu bukan dengan suara yang dilantangkan dan bukan pula dengan dinyanyikan atau dilagukan.

5, Tanpa diiringi dengan tepukan tangan, paluan gendang, kompang, tabla, kerincing, atau alat-alat muzik lainnya sebagaimana dilakukan kebanyakan orang-orang sufi dan tarekat. Dan tidak pula dengan goyangan badan atau tarian.

Fadhilat Selawat Ke Atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam

Berikut dikongsikan pula sebahagian dari hadis-hadis yang menyebutkan tentang fadhilat-fadhilat atau keutamaan selawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

1, Allah akan berselawat sepuluh kali ke atas mereka yang berselawat ke atas Nabi satu kali.

Dari hadis Abi Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ صَلَّى عَلَيَّ وَاحِدَةً صَلَّى الله عَلَيْهِ عَشْرًا

Terjemahan: “Sesiapa yang berselawat kepadaku satu kali, Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali.” (Musnad Ahmad, no. 8854, 10287. Shahih Muslim, no. 408)

2, Dicatat baginya sepuluh kebaikan.

Juga dari hadis Abi Hurairah, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ صَلَّى عَلَيَّ مَرَّةً وَاحِدَةً، كَتَبَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ لَهُ بِهَا عَشْرَ حَسَنَاتٍ

Terjemahan: “Sesiapa yang berselawat kepadaku satu kali, akan dicatat baginya sepuluh kebaikan.” (Musnad Ahmad, no. 7561. Dinilai sahih oleh Syu’aib Al-Arnauth)

3, Dihapuskan sepuluh keburukkan (dosa) dan diangkat sepuluh darjat (kemuliaan).

عَنْ أَبِي طَلْحَةَ الْأَنْصَارِيِّ قَالَ: أَصْبَحَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا طَيِّبَ النَّفْسِ يُرَى فِي وَجْهِهِ الْبِشْرُ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، أَصْبَحْتَ الْيَوْمَ طَيِّبَ النَّفْسِ، يُرَى فِي وَجْهِكَ الْبِشْرُ، قَالَ: ” أَجَلْ، أَتَانِي آتٍ مِنْ رَبِّي عَزَّ وَجَلَّ فَقَالَ: مَنْ صَلَّى عَلَيْكَ مِنْ أُمَّتِكَ صَلَاةً كَتَبَ اللهُ لَهُ بِهَا عَشْرَ حَسَنَاتٍ، وَمَحَا عَنْهُ عَشْرَ سَيِّئَاتٍ، وَرَفَعَ لَهُ عَشْرَ دَرَجَاتٍ، وَرَدَّ عَلَيْهِ مِثْلَهَا

Terjemahan: “Daripada Abi Thalhah Al-Anshaari (radhiyallahu ‘anhu), beliau berkata:

Pada suatu hari, Rasulullah berada dalam keadaan yang sangat baik, jelas terpapar pada wajahnya kegembiraan, maka (para sahabat) bertanya:

“Wahai Rasulullah, pada hari ini engkau dalam keadaan yang sangat baik, jelas dapat dilihat kegembiraan pada wajahmu?” Beliau berkata:

“Benar, telah datang kepadaku (malaikat) dari Rabb-ku, ia berkata:

“Sesiapa yang berselawat kepada engkau dari ummatmu satu kali, nescaya Allah mencatat baginya sepuluh kebaikan, menghapuskan darinya sepuluh keburukkan (dosa), mengangkat baginya sepuluh darjat (kemuliaan), dan membalas kepadanya sebagaimana selawat tersebut.” (Musnad Ahmad, no. 16352. Hasan lighairihi sebagaimana penilaian Syaikh Al-Albani)

4, Dapat Bersama Nabi Di Hari Kiamat.

Dari hadis ‘Abdullah bin Mas’oud radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ أَوْلَى النَّاسِ بِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَكْثَرُهُمْ عَلَيَّ صَلَاةً

Terjemahan: “Sesungguhnya orang yang paling aula (utama) bersamaku di hari kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat ke atasku.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 911 dengan katanya: Hadis hasan gharib. Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar (dalam Fathul Bari, 11/167): Dihasankan oleh At-Tirmidzi, disahihkan oleh Ibnu Hibban, dan padanya syahid (penguat) riwayat Al-Baihaqi dari Abi Umamah)

5, Orang yang berselawat kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mendapat doa (selawat) daripada para malaikat.

Dari hadis ‘Amir bin Rabi’ah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَا صَلَّى عَلَيَّ أَحَدٌ صَلَاةً، إِلَّا صَلَّتْ عَلَيْهِ الْمَلَائِكَةُ مَا دَامَ يُصَلِّي عَلَيَّ، فَلْيُقِلَّ عَبْدٌ مِنْ ذَلِكَ أَوْ لِيُكْثِرْ

Terjemahan: “Tidaklah seorang hamba berselawat kepadaku dengan satu selawat melainkan para malaikat sentiasa berselawat untuknya sebanyak mana dia berselawat kepadaku. Maka berselawatlah sama ada sedikit atau banyak.” (Musnad Ahmad, no. 15689. Dinilai hasan oleh Al-Albani dan Syu’aib Al-Arnauth)

6, Beroleh syafa’at bagi sesiapa yang berselawat dan memohonkan wasilah untuk Nabi di waktu setelah azan.

Dari hadis ‘Abdullah bin ‘Amr Al-Ash radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا سَمِعْتُمُ المُؤَذِّنَ فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ، ثُمَّ صَلُّوا عَلَيَّ، فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا، ثُمَّ سَلُوا لِيَ الوَسِيلَةَ فَإِنَّهَا مَنْزِلَةٌ فِي الجَنَّةِ لَا تَنْبَغِي إِلَّا لِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللَّهِ وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُوَ، وَمَنْ سَأَلَ لِيَ الوَسِيلَةَ حَلَّتْ عَلَيْهِ الشَّفَاعَةُ

Terjemahan: “Apabila kamu mendengar azan dikumandangkan, ucapkanlah sebagaimana yang diucapkan oleh orang yang azan. Kemudian berselawatlah kepadaku kerana sesungguhnya sesiapa yang berselawat kepadaku sekali, nescaya Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali. Setelah itu, mintalah (kepada Allah) al-wasilah untukku kerana sesungguhnya al-wasilah itu adalah suatu kedudukan yang mulia di Syurga, yang tidak sepatutnya diberikan melainkan untuk seseorang dari kalangan hamba Allah. Aku berharap semoga akulah orang itu. Maka sesiapa yang memohon al-wasilah untukku, nescaya akan halal baginya syafa’at.” (Shahih Muslim, no. 384. Sunan At-Tirmidzi, no. 3614)

7, Keutamaan berselawat ke atas Nabi pada hari Jumaat.

Dari hadis Aus bin Aus Ats-Tsaqafi radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ مِنْ أَفْضَلِ أَيَّامِكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ فِيهِ خُلِقَ آدَمُ وَفِيهِ قُبِضَ وَفِيهِ النَّفْخَةُ وَفِيهِ الصَّعْقَةُ فَأَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنْ الصَّلَاةِ فِيهِ فَإِنَّ صَلَاتَكُمْ مَعْرُوضَةٌ عَلَيَّ

قَالَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَكَيْفَ تُعْرَضُ صَلَاتُنَا عَلَيْكَ وَقَدْ أَرِمْتَ يَقُولُونَ بَلِيتَ

فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ حَرَّمَ عَلَى الْأَرْضِ أَجْسَادَ الْأَنْبِيَاءِ

Terjemahan: “Sesungguhnya hari yang paling afdhal bagi kamu adalah hari Jumaat. Pada hari tersebut Adam diciptakan dan dimatikan, pada hari tersebut juga sangkakala ditiup, dan pada hari itu juga terjadi kematian (seluruh manusia). Dengan sebab itu, banyakkanlah berselawat ke atasku pada hari tersebut (Juma’at) kerana selawat kamu ke atasku diperlihatkan kepadaku.” Kemudian seorang sahabat bertanya:

“Wahai Rasulullah, bagaimana mungkin selawat kami diperlihatkan kepadamu, sedangkan engkau telah menjadi tulang-belulang?” Maka Rasulullah bersabda:

“Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla benar-benar telah mengharamkan kepada bumi memakan jasad para Nabi.” (Musnad Ahmad, no. 16162. Sunan Abi Daud, no. 1047. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Dari hadis Abi Umamah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أَكْثِرُوا عَلَىَّ مِنَ الصَّلاَةِ فِى كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ فَإِنَّ صَلاَةَ أُمَّتِى تُعْرَضُ عَلَىَّ فِى كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ، فَمَنْ كَانَ أَكْثَرَهُمْ عَلَىَّ صَلاَةً كَانَ أَقْرَبَهُمْ مِنِّى مَنْزِلَةً

“Banyakkanlah berselawat ke atasku di setiap hari Juma’at kerana selawat umatku diperlihatkan kepadaku pada setiap hari Juma’at. Maka sesiapa yang paling banyak selawatnya ke atasku, dialah yang paling dekat kedudukannya denganku.” (Sunan Al-Kubra oleh Al-Baihaqi, no. 5995. Dinilai hasan oleh al-Albani)

8, Mendapat keampunan dosa serta dicukupkan keperluannya.

Dari hadis Ubay bin Ka’ab radhiyallahu ‘anhu, berliau berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي أُكْثِرُ الصَّلَاةَ عَلَيْكَ فَكَمْ أَجْعَلُ لَكَ مِنْ صَلَاتِي. فَقَالَ مَا شِئْتَ قَالَ قُلْتُ الرُّبُعَ؟ قَالَ مَا شِئْتَ فَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ. قُلْتُ النِّصْفَ؟ قَالَ مَا شِئْتَ فَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ. قَالَ قُلْتُ فَالثُّلُثَيْنِ؟ قَالَ مَا شِئْتَ فَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ. قُلْتُ أَجْعَلُ لَكَ صَلَاتِي كُلَّهَا. قَالَ إِذًا تُكْفَى هَمَّكَ وَيُغْفَرُ لَكَ ذَنْبُكَ

Terjemahan: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku ingin membanyakkan berselawat kepadamu. Dari itu, berapa banyakkah dari doaku perlu aku jadikan untuk berselawat kepadamu?” Rasulullah menjawab:

Terserah kepadamu.” Aku pun berkata:

“Adakah satu perempat darinya?” Rasulullah menjawab:

“Terserah kepadamu, tetapi sekiranya kamu menambah, itu lebih baik bagimu.” Aku berkata:

“Adakah separuh daripadanya?” Rasulullah menjawab:

“Terserah kepadamu, tetapi sekiranya kamu menambah, itu lebih baik bagimu.” Aku berkata:

“Adakah dua pertiga?” Rasulullah menjawab:

“Terserah kepadamu, tetapi sekiranya kamu menambah, itu lebih baik bagimu.” Aku pun berkata:

“Aku jadikan semua doaku untukmu.” Beliau pun bersabda:

“Sekiranya begitu, akan dicukupkan semua keinginanmu dan diampuni semua dosamu.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2457. Dinilai hasan oleh Al-Albani)

Dari hadis Ubay bin Ka’ab radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

قَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ جَعَلْتُ صَلَاتِي كُلَّهَا عَلَيْكَ قَالَ إِذَنْ يَكْفِيَكَ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى مَا أَهَمَّكَ مِنْ دُنْيَاكَ وَآخِرَتِكَ

Terjemahan:  “Seorang lelaki berkata kepada Rasulullah (Shallallahu ‘alaihi wa Sallam), “Bagaimana pandangan kamu sekiranya aku jadikan seluruh doaku untuk berselawat kepadamu?” Rasulullah bersabda, “Jika begitu, Allah Tabaraka wa Ta’ala akan mencukupkan apa yang kamu inginkan dari urusan dunia dan akhiratmu.” (Musnad Ahmad, no. 21242. Kata Syaikh Al-Albani, isnadnya jayyid dan kata Syu’aib Al-Arnauth, hadis hasan)

9, Mendapat Syafa’at Nabi di hari Kiamat.

Dari hadis ‘Abdullah bin ‘Amr bin Al-Ash radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah bersabda:

مَنْ صَلَّى عَلَيَّ أَوْ سَأَلَ لِي الْوَسِيلَةَ، حَقَّتْ عَلَيْهِ شَفَاعَتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Terjemahan: “Sesiapa yang berselawat kepadaku atau memohon wasilah untukku, nescaya dia berhak mendapat syafa’atku pada hari Kiamat.” (Fadhlush Sholaati ‘alan Nabi oleh Isma’il bin Ishaq Al-Jahdhi Al-Qadhi Al-Maliki, no. 50 – Tahqiq Syaikh Al-Albani)

10, Doa yang dimulai dengan berselawat ke atas Nabi akan dimakbulkan.

Dari hadis Fadhalah bin ‘Ubaid radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

بَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَاعِدٌ إِذْ دَخَلَ رَجُلٌ فَصَلَّى فَقَالَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَجِلْتَ أَيُّهَا الْمُصَلِّي إِذَا صَلَّيْتَ فَقَعَدْتَ فَاحْمَدْ اللَّهَ بِمَا هُوَ أَهْلُهُ وَصَلِّ عَلَيَّ ثُمَّ ادْعُهُ قَالَ ثُمَّ صَلَّى رَجُلٌ آخَرُ بَعْدَ ذَلِكَ فَحَمِدَ اللَّهَ وَصَلَّى عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّهَا الْمُصَلِّي ادْعُ تُجَبْ

Terjemahan: “Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sedang duduk bersama-sama kami (di masjid), tiba-tiba ada seorang lelaki yang masuk lalu bersolat. Setelah itu, orang tersebut terus sahaja berdoa (dengan katanya):

“Ya Allah, ampunilah dan sayangilah aku.”

Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun menegur, “Kamu terburu-buru wahai orang yang bersolat. Apabila kamu melaksanakan solat lalu kamu duduk, ucapkanlah pujian kepada Allah dengan pujian yang sewajarnya bagi Allah dan berselawatlah kamu kepadaku kemudian berdoa.”

Setelah peristiwa itu, mereka yang lain apabila melaksanakan solat, mereka pun memuji Allah dan berselawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda:

“Wahai orang yang solat, berdoalah. Sudah tentu doamu akan dimakbulkan.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 3476. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Dari hadis ‘Abdullah bin Mas’oud radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

كُنْتُ أُصَلِّي وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَأَبُو بَكْرٍ، وَعُمَرُ مَعَهُ، فَلَمَّا جَلَسْتُ بَدَأْتُ بِالثَّنَاءِ عَلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ، ثُمَّ الصَّلاةِ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، ثُمَّ دَعَوْتُ لِنَفْسِي، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: سَلْ تُعْطَهْ، سَلْ تُعْطَهْ

Terjemahan: “Aku pernah solat, di mana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, Abu Bakr, dan ‘Umar ada bersama. Di mana ketika aku duduk, aku mulakan dengan memuji (mengagungkan) Allah ‘Azza wa Jalla, kemudian berselawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam lalu berdoa untuk diriku. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Mintalah, pasti kamu akan diberi. Mintalah, pasti kamu akan diberi.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 593. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

11, Allah memberikan selawat dan salam untuk orang yang berselawat sehingga Nabi sujud syukur dengan perkhabaran tersebut.

Dari hadis ‘Abdurrahman bin ‘Auf radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

خَرَجَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَاتَّبَعْتُهُ حَتَّى دَخَلَ نَخْلًا فَسَجَدَ، فَأَطَالَ السُّجُودَ حَتَّى خِفْتُ – أَوْ خَشِيتُ – أَنْ يَكُونَ اللهُ قَدْ تَوَفَّاهُ – أَوْ قَبَضَهُ – قَالَ: فَجِئْتُ أَنْظُرُ فَرَفَعَ رَأْسَهُ، فَقَالَ: ” مَا لَكَ يَا عَبْدَ الرَّحْمَنِ ” قَالَ: فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لَهُ، قال: فَقَالَ: ” إِنَّ جِبْرِيلَ عَلَيْهِ السَّلامُ قَالَ لِي: أَلا أُبَشِّرُكَ إِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ يَقُولُ لَكَ: مَنْ صَلَّى عَلَيْكَ صَلَّيْتُ عَلَيْهِ، وَمَنْ سَلَّمَ عَلَيْكَ سَلَّمْتُ عَلَيْهِ – فَسَجَدْتُ لِلَّهِ عَزَّ وَجَلَّ شُكْرًا

Terjemahan: “Aku mengikuti Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang keluar sehingga memasuki ke sebuah kebun kurma. Kemudian beliau bersujud dengan sujud yang sangat lama sehingga aku pun merasa bimbang sekiranya Allah telah mewafatkan atau mengambil ruh beliau. Maka aku pun datang mendekati beliau. Beliau pun mengangkat kepalanya lalu berkata:

“Kenapa wahai ‘Abdurrahman?” Aku pun menjelaskan tentang apa yang aku bimbangkan tentang beliau. Maka beliau pun berkata:

“Sesungguhnya Jibril berkata, “Mahukah kamu aku berikan berita yang gembira? Iaitu Allah ‘Azza wa Jalla berkata:

“Sesiapa yang berselawat kepada engkau, nescaya Aku akan berselawat kepadanya dan sesiapa yang mengucapkan salam kepada engkau, nescaya Aku mengucapkan salam kepadanya.”.” Maka aku pun bersujud kepada Allah ‘Azza wa Jalla untuk mensyukurinya.” (Musnad Ahmad, no. 1662, 1664. Al-Mustadrak Al-Hakim, no. 2019. Dinilai sahih oleh Al-Hakim dan disepakati oleh Adz-Dzahabi. Manakala Al-Albani menilainya hasan)

12, Supaya tidak menjadi orang yang hina.

Dari hadis Abi Hurairah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

رَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ

Terjemahan: “Terhinalah orang yang di ketika namaku disebutkan padanya, tetapi dia tidak berselawat kepadaku.” (Musnad Ahmad, no. 7451. Sunan At-Tirmidzi, no. 3545. Dinilai hasan oleh At-Tirmidzi)

Imam At-Tirmidzi rahimahullah (Wafat: 279H) berkata:

إِذَا صَلَّى الرَّجُلُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّةً فِي الْمَجْلِسِ أَجْزَأَ عَنْهُ مَا كَانَ فِي ذَلِكَ الْمَجْلِسِ

Terjemahan: “Apabila seseorang berselawat kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sebanyak sekali di dalam sebuah majlis, maka ianya telah mencukupi sepanjang ia berada di majlis tersebut.” (Sunan At-Tirmidzi, 5/550)

13, Setiap majlis yang di dalamnya disebutkan dengan selawat akan mengelakkan dari penyesalan di hari Kiamat.

Dari hadis Abi Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَا جَلَسَ قَوْمٌ مَجْلِسًا لَمْ يَذْكُرُوا اللَّهَ فِيهِ، وَلَمْ يُصَلُّوا عَلَى نَبِيِّهِمْ، إِلَّا كَانَ عَلَيْهِمْ تِرَةً، فَإِنْ شَاءَ عَذَّبَهُمْ وَإِنْ شَاءَ غَفَرَ لَهُمْ

Terjemahan: “Tidaklah duduk suatu kaum dalam sebuah majlis yang mana mereka tidak menyebut nama Allah padanya dan tidak pula berselawat ke atas Nabi mereka, melainkan majlis tersebut merupakan kesedihan, dukacita, dan penyesalan. Sekiranya Dia berkehendak, mereka akan diazab, dan sekiranya Dia berkehendak, mereka akan diampuni.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 3380. Dinilai hasan oleh At-Tirmidzi)

14, Bebas dari sifat bakhil disebabkan tidak berselawat.

Dari hadis Al-Husain bin ‘Ali bin Abi Tholib radhiyallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

الْبَخِيلُ الَّذِي مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ

Terjemahan: “Orang yang bakhil adalah orang yang ketika namaku disebut di sisinya tetapi dia tidak berselawat ke atasku.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 3546. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

15, Diluruskan jalan menuju Syurga.

Dari hadis Al-Husin bin ‘Ali radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ ذُكِرْت عِنْدَهُ فَنَسِيَ الصَّلاَةَ عَلَيَّ خَطِئَ طَرِيقَ الْجَنَّةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Terjemahan: “Sesiapa yang ketika namaku disebut di sisinya tetapi dia lupa untuk berselawat ke atasku, maka dia telah menyimpang dari jalan menuju Syurga.” (Mushannaf Ibn Abi Syaibah, no. 31793. Fadhlush Sholah ‘alan Nabi, no. 42. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Diriwayatkan jugas oleh Ibnu Majah dalam Sunannya, no. 908 dari hadis Ibnu ‘Abbas.

Kata Syaikh Al-Albani rahimahullah (Wafat: 1420H):

ومعنى ذلك أن ترك الصلاة على النبي صلى الله عليه و سلم عند ذكره معصية

“Dan makna dari hadis ini bahawa meninggalkan selawat atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ketika namanya disebut adalah termasuk maksiat.” (As-Silsilah Al-Ahadits Ash-Shahihah, 5/445)

Wallahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest

Comments

  1. Mahadaya
    March 17, 2010 at 5:41 pm

    Solawat ini maknanya sembahyang. Jadi, jika kita kata tuhan dan malaikat bersolawat kpd nabi, maknanya nabi itu tuhan la. Betul ke? Perhatikan ayat itu Sod Lam Wau Nun tu bunyinya solawat ke? Setau saya ianya berbunyi Soluna yg bermaksud ucapan sejahtera. Di dlm al quran, perintah solat di eja Sod Lam Wau Ta yg berbunyi Solawata. Bahaya ni.. http://alya-diyanah.blogspot.com

  2. Anonymous
    March 17, 2010 at 9:05 pm

    Sila rujuk kamus bahasa 'Arab. Ia boleh merujuk kpd bbrp makna berdasarkan kaedah bahasa yg betul

  3. Mahadaya
    March 18, 2010 at 9:42 am

    Tapi al quran di turunkan dlm bahasa arabia bukan arab. Di dlm al quran, arab ditulis Alif Ra Alif Ba sedangkan apabila merujuk bahasa al quran ianya di tulis Alif Ra Ba Ya Alif iaitu arabia. Tuhan firman dlm al quran, org arab itu paling kuat kemunafikannya jadi kenapa nak percaya apa yg dtg dari diorg?

Comments are closed.