Solat Jumaat Bersama Pemerintah Syiar Perpaduan

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

19/11/2010 – Baru-baru ini kita digemparkan dengan sebuah perkhabaran adanya sekumpulan umat Islam yang melaksanakan solat Juma’at berasingan dengan tempat solat (masjid) yang telah ditetapkan atau diwartakan oleh pihak pemerintah atau jabatan agama. Begitulah perkhabaran yang sampai kepada penulis.

Mengambil isu perkhabaran tersebut, penulis pun berusaha mengambil inisiatif untuk meneliti beberapa perincian berkenaan dengannya berkaitan kewajiban mentaati pemerintah dalam urusan perlaksanaan solat Juma’at. Iaitu bersolat (Juma’at) bersama-sama dengan pemerintah atau wakilnya di masjid-masjid yang telah mereka tetapkan (wartakan). Solat Juma’at bersama-sama dengan pemimpin umat Islam ini sebenarnya adalah di antara apa yang telah ditetapkan oleh agama bahawa solat Juma’at merupakan sebahagian syi’ar agama yang utama sebagai lambang kesatuan dan perpaduan umat Islam itu sendiri.

Imam al-Hasan al-Bashri rahimahullah (Wafat: 110H) menyebutkan tentang peranan pemimpin dalam menjaga kesatuan masyarakat dengan katanya:

هم يلون من أمورنا خمساً: الجمعة، والجماعة، والعيد، والثغور، والحدود. والله لا يستقيم الدين إلا بهم، وإن جاروا وظلموا والله لما يصلح الله بهم أكثر مما يفسدون، مع أن طاعتهم – والله – لغبطة وأن فرقتهم لكفر

“Mereka (pemerintah) mewarnai (mengelola) urusan kita dalam lima perkara utama, iaitu Al-Jumu’ah (solat Juma’at), Al-Jama’ah (kesatuan), Al-‘Ied (hari raya), perbatasan (benteng pertahanan negara), dan Al-Hudud (perundangan). Demi Allah, tidaklah diluruskan agama itu melainkan dengan mereka walaupun mereka jahat dan berlaku zalim. Demi Allah, apa-apa yang diperbaiki Allah melalui mereka itu lebih banyak dari apa-apa yang rosak dengan sebab mereka. Dan demi Allah, sesungguhnya mentaati mereka itu berat, tetapi keluar berpisah dari mentaati kepimpinan mereka itu adalah kekufuran.” (Jaami’ Al-‘Ulum wal Hikam, m/s. 262. Ibnul Jauzi, Adab Al-Hasan al-Bashri, m/s. 121)

Berdasarkan ini, solat Juma’at tidak boleh dilaksanakan di tempat yang dilarang oleh pihak pemerintah, dan wajib untuk solat bersama-sama dengan pemimpin (atau wakilnya) dan masyarakat di tempat yang dibenarkan melainkan berlakunya uzur yang dibenarkan.

Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 620H) menyebutkan, “Solat Juma’at hanya dilaksanakan oleh para imam (pemimpin) pada setiap masa, sehingga perkara ini menjadi ijma’. Demikian sebagaimana diriwayatkan daripada al-Hasan, al-‘Auza’i, Habib B. Abu Tsaur, dan Abu Hanifah.” (al-Mughni, 4/167)

Ibnu Qudamah membahaskan bahawa bolehnya melaksanakan solat Juma’at tanpa izin pemimpin atas beberapa sebab seperti masyarakat yang menetap jauh di pedalaman sehingga terputus hubungan daripada pihak berkuasa, mengalami kesukaran atau halangan mendatangi tempat solat (masjid) yang diwartakan, atau terdapat ancaman bahaya (kekacauan).

Kemudian beliau menukilkan perkataan al-Qadhi:

فَعَلَى هَذَا يَكُونُ الْإِذْنُ مُعْتَبَرًا مَعَ إمْكَانِهِ، وَيَسْقُطُ اعْتِبَارُهُ بِتَعَذُّرِهِ

“Berdasarkan keadaan ini, maka izin daripada pemerintah itu berkuatkuasa selagi ianya tidak menyulitkan, dan menjadi tidak perlu sekiranya terdapat uzur (kesukaran).” (al-Mughni, 4/169)

Bagi menetapkan tempat solat Juma’at secara khusus yang berasingan dari apa yang telah diwujudkan oleh pihak pemerintah, Syaikh Muhammad B. Soleh al-‘Utsaimin rahimahullah menyebutkan:

وأما تعدد الجمعة فيشترط له إذن الإمام

“Bagi mengadakan perlaksanaan solat Juma’at lebih dari satu tempat (yang berasingan) maka ianya perlu mendapatkan izin daripada imam (pihak berkuasa).” (asy-Syarh al-Mumti’ ‘ala Zaadil Mustaqni’, 5/26 – http://www.ibnothaimeen.com/all/books/printer_18062.shtml)

Selain izin pemerintah, secara umum asalnya solat Juma’at ini memang tidak sepatutnya dilaksanakan lebih dari satu tempat di sesebuah kawasan, wilayah, atau perkampungan melainkan dengan sebab keperluan yang mendesak dan menuntut dilakukan pada tempat selainnya. Di antara sebab contoh bolehnya adalah seperti kerana begitu besarnya wilayah atau perkampungan tersebut, terlalu besar populasi penduduknya, begitu jauh jarak menuju ke masjid,  ruang masjid yang sangat terhad, atau kerana adanya ancaman yang membahayakan. Ini adalah di antara bentuk-bentuk alasan yang menyebabkan bolehnya solat Juma’at dilaksanakan lebih dari satu tempat atau secara berasingan. Berlakunya bentuk-bentuk ketetapan seperti ini adalah supaya perpaduan umat Islam sentiasa terpelihara dan bagi mengelakkan perpecahan.

Imam Abu Hanifah, Malik, dan asy-Syafi’i menyatakan:

لَا تَجُوزُ الْجُمُعَةُ فِي بَلَدٍ وَاحِدٍ فِي أَكْثَرِ مِنْ مَوْضِعٍ وَاحِدٍ؛ لِأَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَكُنْ يُجَمِّعُ إلَّا فِي مَسْجِدٍ وَاحِدٍ، وَكَذَلِكَ الْخُلَفَاءُ بَعْدَهُ، وَلَوْ جَازَ لَمْ يُعَطِّلُوا الْمَسَاجِدَ، حَتَّى قَالَ ابْنُ عُمَرَ: لَا تُقَامُ الْجُمُعَةُ إلَّا فِي الْمَسْجِدِ الْأَكْبَرِ، الَّذِي يُصَلِّي فِيهِ الْإِمَامُ

“Solat Juma’at tidak boleh dilaksanakan di lebih dari satu tempat di sesebuah wilayah (negeri), kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak pernah melaksanakannya melainkan pada satu masjid. Demikian juga para khalifah setelah beliau. Sekiranya perkara tersebut dibenarkan, maka mereka pasti tidak akan membiarkan masjid-masjid (lainnya). Sehinggakan Ibnu ‘Umar berkata, “Solat Juma’at tidak dilaksanakan melainkan di masjid utama (masjid besar), di mana para pemimpin melaksanakan solat”.” (Ibnu Qudamah, al-Mughni, 4/170)

Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 620H) berkata:

جُمْلَتُهُ أَنَّ الْبَلَدَ مَتَى كَانَ كَبِيرًا، يَشُقُّ عَلَى أَهْلِهِ الِاجْتِمَاعُ فِي مَسْجِدٍ وَاحِدٍ، وَيَتَعَذَّرُ ذَلِكَ لِتَبَاعُدِ أَقْطَارِهِ، أَوْ ضِيقِ مَسْجِدِهِ عَنْ أَهْلِهِ، جَازَتْ إقَامَةُ الْجَمَاعَةِ فِيمَا يُحْتَاجُ إلَيْهِ مِنْ جَوَامِعِهَا

“Secara umumnya, dapat dikatakan bahawa sekiranya sesuatu kawasan itu luas dan besar sehingga menyukarkan penduduknya untuk solat di satu masjid, dan jaraknya terlalu jauh untuk ditempuh, atau disebabkan ruang masjid yang terhad untuk menampung keseluruhan penduduk, maka dibenarkan mengadakan solat Juma’at di tempat-tempat (masjid) yang lainnya.” (al-Mughni, 4/175)

Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) berkata:

فإقامة الجمعة في المدينة الكبيرة في موضعين للحاجة يجوز عند أكثر العلماء

“Perlaksanaan solat Juma’at di bandar-bandar besar di dua tempat berasingan disebabkan adanya keperluan untuk itu adalah dibenarkan berdasarkan pendapat kebanyakan ulama.” (Majmu’ al-Fatawa, 24/208)

Sekiranya sebab-sebab yang mendesak tersebut tiada, mengadakan solat Juma’at secara berasingan lebih dari satu tempat maka ianya tidak dibenarkan kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak pernah mengumpulkan masyarakat (jama’ah) melainkan di satu masjid, iaitu masjid beliau di Madinah (Masjid Nabawi).

Syaikh Muhammad B. Soleh al-‘Utsaimin rahimahullah menyatakan, “Tidak dibenarkan melaksanakan solat Juma’at melainkan di masjid bersama-sama umat Islam (masyarakat). Akan tetapi sekiranya masjid telah penuh dan saf-saf bersambung sehingga ke bahagian-bahagian jalan, maka tidak mengapa solat di atas jalan (luar masjid) disebabkan darurat yang tidak dapat dielakkan. Adapun seseorang yang solat di rumah atau di premis-premis perniagaannya, maka perkara tersebut tidak dibenarkan dan tidak dihalalkan. Kerana maksud asal dari sebuah Juma’at dan juga jama’ah adalah supaya umat Islam dapat hadir bersama-sama. Sehingga menjadi sebab kepada masyarakat untuk bersatu dan saling mengasihi. Yang belum tahu dapat belajar kepada yang tahu.” (Fatawa Arkanil Islam, m/s. 602 – Terjemahan/Terbitan Pustaka as-Sunnah)

Adapun apa yang kita lihat pada hari ini adalah beberapa contoh sikap berlebihan di beberapa tempat (di negara-negara Islam tertentu) dalam memperbanyakkan masjid yang di dalamnya diselenggarakan solat Juma’at sehingga masjid-masjid kecil di pinggir-pinggir jalan dan tempat-tempat yang sangat berdekatan. Padahal solat Juma’at dapat ditampung di masjid yang lebih besar. Tidak syak lagi bahawa fenomena ini boleh memecah-belahkan perpaduan umat dan mengeluarkan hikmah solat Juma’at dari tujuan asalnya. (Abu Malik Kamal, Shahih Fiqih Sunnah, 2/332 – Terjemahan/Terbitan Pustaka at-Tazkia)

Selain dari itu, kita sendiri telah sedia maklum, bagi sesiapa yang tertinggal atau terlewat menunaikan solat Juma’at bersama imam (yang dilantik) di masjid-masjid yang telah diwartakan, maka tiada solat Juma’at baginya. Sebaliknya mereka yang tertinggal atau terlewat tersebut perlu melaksanakan solat Zuhur masing-masing. Iaitu bukan membina jama’ah (kumpulan) kedua bagi melaksanakan solat Juma’at yang kedua pula. Imam Ibnu al-Mundzir menyatakan dalam kitabnya al-Ijma’ (m/s. 39 – Maktabah Syamilah):

وأجمعوا على أن صلاة الجمعة ركعتان، وأجمعوا على أن من فاتته الجمعة من المقيمين أن يصلوا أربعاً

“Para ulama (ahli ilmu) telah bersepakat (ijma’) bahawa solat Juma’at itu dilaksanakan dengan dua rakaat. Selain itu, mereka juga bersepakat (ijma’) bahawa sesiapa dari kalangan orang-orang yang beriman yang tertinggal menunaikan solat Juma’at, hendaklah mereka mengerjakan solat empat rakaat (Zuhur).”

Wallahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest

Comments

  1. Ax
    March 17, 2011 at 9:09 pm

    update please
    sy suka blog ni

Comments are closed.