Mendustakan Taqdir Termasuk Perbuatan Syirik

Sebelum itu, perbahasan berkenaan tajuk taqdir ini telah pun diperbincangkan apada tulisan yang lalu. Oleh itu, bolehlah merujuk kepada artikel tersebut bertajuk: “Qadha’ & Qadar Suatu Perbahasan

Barangsiapa mendustakan taqdir, maka batal-lah amalnya, dan dia termasuk orang-orang yang rugi, walaupun dia mengeluarkan sedekah emas sebesar bumi untuk menebusnya.

Nabi shallahu ‘alaihi wa sallam (s.a.w.) bersabda:

“Tiga (3) orang yang Allah tidak menerima alasan dan tebusannya, iaitu anak yang derhaka kepada orang tua, orang yang mengungkit-ngungkit kebaikan dan orang-orang yang mendustakan Taqdir.” (Hadis Riwayat Ibnu Abi ‘Ashim dalam as-Sunnah, 323. ath-Thabrani dalam Mu’jam al-Kabir, 7547, dan lain-lain dari hadis abu Ummamah rdhiyallahu ‘anhu (r.a.). Sanadnya dihasankan oleh al-Mundziri dalam at-Targhiib wa at-Tarhiib, 3/321)

Dari Zaid bin Tsabit, Ubay bin Ka’ab, ‘Abdullah bin Mas’oud, dan Huzaifah bin Yaman radhiyallahu ‘anhu (r.a.), bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Seandainya Allah meng-azab penduduk langit dan bumi, niscaya Allah akan meng-azab mereka tanpa menzalimi mereka sedikit pun, seandainya Allah merahmati mereka, niscaya rahmat-Nya itu lebih baik untuk mereka dari amalan yang mereka lakukan, seandainya engkau mengeluarkan sedekah emas sebesar gunung uhud di jalan allah, Allah tidak akan menerimanya sehingga engkau beriman kepada taqdir dan meyakini bahawa sesuatu yang akan menimpamu (dengan takdir) tidak akan meleset darimu, dan sesuatu yang tidak akan menimpamu, tidak akan mengenaimu. Jika engkau mati di atas selain keyakinan ini, engkau pasti masuk neraka.” (Diriwayatkan oleh Abu Daud, 4699. Ibnu Majah, 77. Ahmad, 5/182-183, 185, 189. ath-Thabrani dalam Mu’jam al-Kabir, 4990. Ibnu Hibban, 1817 – Mawaariduzh Zham’aan. Dan Ibnu Abi ‘Ashim dalam as-Sunnah, 245. Dari jalan Ibnu Dailami dari mereka. Menurut Sheikh Salim ‘Eid al-Hilali, sanadnya Sahih)

Ketika telah tampak pendustaan terhadap taqdir di akhir era generasi Sahabat, para Tabi’in bergegas pergi kepada para sahabat untuk meminta fatwa mereka berkenaan kelompok baru ini (kelompok yang mendustakan taqdir).

Menurut Sheikh Salim ‘Eid al-Hilali, persoalan ini juga menampakkan kepada kita bahawa Fatwa para sahabat juga menjadi hujjah di dalam manhaj/prinsip ahlus sunnah wal jama’ah dalam mengambil menentukan permasalahan agama.

Dan dalil yang memutuskan persoalan kelompok yang mendustakan taqdir ini adalah sebagaimana berikut:

Dari Yahya bin Ya’mur rahimahullah (r.h.), ia berkata: “Orang yang pertama kali berbicara berkenaan taqdir adalah Ma’bad al-Juhani di negeri Bashrah. Maka aku bersama Humaid bin ‘Abdirrahman al-Himyari pergi untuk berhaji atau umrah. Kami berkata, Kalau kita bertemu dengan salah seorang Sahabat Rasulullah s.a.w., kita akan bertanyakan kepada beliau berkenaan perkataan mereka dalam permasalahan taqdir. Kami pun bertemu dengan ‘Abdullah bin ‘Umar yang sedang masuk masjid, maka kami pun mendekati beliau, aku bersama temanku, yang satu di sebelah kanannya dan yang lain di sebelah kirinya, maka aku merasa bahawa temanku menyerahkan perbicaran kepadaku, aku berkata, “Wahai Abu Abdirrahman, sesungguhnya telah muncul di negeri kami orang-orang yang membaca al-Qur’an, mencari ilmu yang aneh dan mereka berbicara semahunya. Yahya bin Ya’mur pun menyebutkan perkara mereka, dan mereka menganggap bahawa taqdir itu tidak ada dan semua perkara itu unuf (Maksudnya: tidak didahului oleh ketentuan (taqdir) dan tidak diketahui oleh Allah, tetapi Allah tahu setelah terjadinya ia).” ‘Abdullah bin ‘Umar r.a. menjawab, “Apabila engkau bertemu dengan mereka, khabarkan bahawa aku berlepas diri dari mereka, dan mereka berlepas diri dariku. Demi Rabb yang Ibnu ‘Umar bersumpah dengan-Nya, kalaulah salah seorang dari mereka bersedekah dengan emas sebesar gunung Uhud, Allah tidak akan menerimanya sehingga mereka beriman kepada taqdir”, kemudian beliau berkata, “Ayahku, ‘Umar bin al-Khaththab r.a. menyatakan kepadaku, beliau pun menyebutkan hadis Jibril yang panjang berkenaan rukun Islam, rukun Iman dan tanda-tanda hari kiamat.” (Hadis Riwayat Muslim, 8)

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest