Mencari Perlindungan Allah dengan Dzikir Pagi dan Petang

www.ilmusunnah.com

Sesungguhnya di antara dzikir dan doa rutin yang disyari’atkan oleh Allah Ta’ala yang Maha Bijaksana kepada seorang muslim dalam kesehariannya adalah dzikir pagi dan petang. Dzikir ini merupakan dzikir yang paling luas dari dzikir-dzikir muqayyad yang banyak diriwayatkan dalam beberapa nash, sebagai dorongan dan rasa senang terhadap dzikir tersebut serta mengingatkan terhadap banyaknya dzikir yang diucapkan dalam dua waktu tersebut.

Allah Ta’ala berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا (41) وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

“Wahai orang-orang yang beriman, berdzikirlah kepada Allah dengan dzikir yang banyak. Dan bertasbihlah kepada-Nya di waktu pagi dan petang.” (Surah Al-Ahdzaab, 33: 41-42)

Yang dimaksudkan dengan “الأَصِيل” adalah sela waktu antara solat ‘Ashar dan terbenamnya matahari.

Allah Ta’ala juga berfirman:

وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ بِالْعَشِيِّ وَالْإِبْكَارِ

“… Bertasbihlah seraya memuji Rabb-mu di waktu petang dan pagi.” (Surah Al-Mu’min, 40: 55)

الْإِبْكَارِ” adalah awal (permulaan) waktu siang (pagi), sedangkan “الْعَشِيِّ” adalah akhir (penghujung) waktu siang (petang).

Allah Ta’ala juga berfirman:

وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْسِ وَقَبْلَ الْغُرُوبِ

“… Bertasbihlah sambil memuji Rabb-mu sebelum terbit matahari dan sebelum terbenamnya.” (Surah Qaaf, 50: 39)

فَسُبْحَانَ اللَّهِ حِينَ تُمْسُونَ وَحِينَ تُصْبِحُونَ

“Maka bertasbihlah kepada Allah di waktu petang dan di waktu Subuh.” (Surah Ruum, 30: 17)

Dan masih banyak lagi ayat-ayat yang lain yang semakna dengan ini.

Tempoh waktu untuk membaca dzikir (pagi & petang) ini adalah ketika waktu pagi hari setelah solat Subuh sampai sebelum matahari terbit, dan ketika di petang hari sebaik selesai solat ‘Ashar sampai sebelum terbenamnya matahari. Dalam perkara ini sangatlah luas dan fleksibel, jika seseorang lupa atau memiliki halangan untuk melaksanakan dzikir pada waktu tersebut, maka dia boleh melaksanakan bagi dzikir Subuh setelah terbitnya matahari dan boleh melakukan dzikir petang hari setelah terbenamnya matahari.

Adapun dzikir dan doa yang ma’tsur yang dianjurkan agar diamalkan pada dua waktu yang agung ini sangatlah banyak dan pelbagai bentuknya, dan akan dipaparkan sebahagian darinya berserta penjelasan makna yang agung dan petunjuk yang lurus.

Diriwayatkan dari Abu Dawud dan At-Tirmidzi dari ‘Utsman bin ‘Affan radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَا مِنْ عَبْدٍ يَقُولُ فِي صَبَاحِ كُلِّ يَوْمٍ وَمَسَاءِ كُلِّ لَيْلَةٍ: بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ العَلِيمُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، فَيَضُرَّهُ شَيْءٌ

“Tidaklah dari seorang hamba yang membaca di waktu pagi di setiap siangnya dan di waktu petang di setiap malamnya (dengan bacaan dzikir):

بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ العَلِيمُ

“Dengan menyebut nama Allah yang bersama Nama-Nya tidak ada sesuatu pun di bumi mahupun di langit yang dapat membahayakannya, dan adalah Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

sebanyak tiga kali, maka dia (tidaklah) dibahayakan oleh sesuatu.” (Sunan Abi Dawud, no. 5088. Sunan At-Tirmidzi, no. 3388)

Doa ini sebaiknya dibaca pada waktu pagi dan petang hari oleh setiap muslim agar mendapat perlindungan dengan izin Allah dari balaa’, musibah, dan bahaya yang mungkin datang tanpa dijangka.

Berkenaan hadis ini, Imam Al-Qurthubi mengatakan:

“Bahawa ini adalah khabar yang sahih dan perkataan yang benar. Kami telah mengetahui buktinya sama ada dari sisi dalil mahupun pengalaman. Benar-benar aku sejak mendengarnya, maka langsung segera mengamalkannya, sehingga tidak ada yang memudharatkan aku, namun ketika aku meninggalkannya, tiba-tiba aku disengat kala jengking di Madinah ketika waktu malam hari. Aku pun berfikir dan ternyata rupanya aku terlupa berlindung dengan mengucapkan (atau mengamalkan) dzikir tersebut.” (lihat: Al-Futuhaat Ar-Rabbaniyyah oleh Ibnu ‘Allan, 3/100)

Dalam Sunan At-Tirmidzi terdapat riwayat daripada Aban bin ‘Utsmaan rahimahullah dan beliau meriwayatkan hadis daripada ‘Utsman di mana dia terkena penyakit lumpuh sebahagian dari anggota tubuhnya, tiba-tiba ada seorang yang melihatnya kemudian Abaan berkata:

مَا تَنْظُرُ؟ أَمَا إِنَّ الحَدِيثَ كَمَا حَدَّثْتُكَ، وَلَكِنِّي لَمْ أَقُلْهُ يَوْمَئِذٍ لِيُمْضِيَ اللَّهُ عَلَيَّ قَدَرَهُ

“Apa yang engkau lihat (padaku)? Sesungguhnya hadis tersebut benar-benar sebagaimana yang aku sampaikan kepada engkau, namun aku tidak membacanya pada hari tersebut sampailah Allah melaksanakan taqdirnya ke atasku.” (Sunah At-Tirmidzi, 5/465 – Tahqiq Ahmad Syakir)

Sunnah bagi dzikir ini adalah diucapkan tiga kali di setiap waktu pagi dan setiap waktu petang sebagaimana yang dianjurkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Adapun lafaz hadis, “بِسْمِ اللَّهِ” (dengan nama Allah), iaitu maksudnya dengan nama Allah aku berlindung (memohon pertolongan). Setiap pelaku meniatkan kata kerja yang sesuai bagi keadaannya tatkala melafazkannya. Misalnya, orang yang makan meniatkan dengan nama Allah (yakni dengan pertolongan Allah) aku makan, orang yang menyembelih meniatkan sembelihannya kerana Allah, orang yang menulis, meniatkannya menulis dengan mengingat Allah dan kerana Allah, dan demikian seterusnya.

Manakala lafaz, “لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ” (yang bersama Nama-Nya tidak ada sesuatu pun di bumi mahupun di langit yang dapat membahayakannya), iaitu sesiapa yang memohon perlindungan dengan nama (dan pertolongan) Allah, maka benar-benar musibah tidak akan dapat memudharatkannya sama ada dari arah bumi mahupun dari langit.

Kemudian lafaz, “وَهُوَ السَّمِيعُ العَلِيمُ” (dan adalah Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui), iaitu Maha Mendengar terhadap perkataan (ucapan) para hamba-Nya, dan Maha Mengetahui perbuatan-perbuatan mereka. Tidak tersembunyi bagi-Nya segala sesuatu baik di bumi mahupun di langit.

Disebutkan dalam Shahih Muslim, dari hadis Abi Hurairah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata, “Seorang lelaki datang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan berkata, “Wahai Rasulullah, alangkah rasa sakitnya aku disebabkan oleh kala jengking yang menyegatku malam tadi.” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda:

أَمَا لَوْ قُلْتَ، حِينَ أَمْسَيْتَ:

“Adapun sekiranya engkau mengucapkan ketika waktu petang:

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ، لَمْ تَضُرَّكَ

“Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna dari keburukan apa-apa yang Dia ciptakan.” Nescaya ia tidak akan dapat memudharatkan engkau.” (Shahih Muslim, no. 2709)

Manakala dalam riwayat Imam At-Tirmidzi, lafaznya:

مَنْ قَالَ حِينَ يُمْسِي ثَلَاثَ مَرَّاتٍ: أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ، لَمْ يَضُرَّهُ حُمَةٌ تِلْكَ اللَّيْلَةَ

“Sesiapa yang mengucapkan di waktu petang tiga kali (dengan dzikir ini):

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

“Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna dari keburukan apa-apa yang Dia ciptakan.”

Maka pada malam tersebut humah (حُمَةٌ) tidak akan membahayakan (atau memudharatkannya).” (Sunan At-Tirmidzi, no. 3604/1)

Yang dimaksudkan dengan kalimat humah (حُمَةٌ) di sini adalah sengatan setiap haiwan (berbisa) seperti kala jengking dan selainnya.

Setelah meriwayatkan hadis ini, Al-Imam At-Tirmidzi membawakan perkataan salah seorang rawi hadis ini, iaitu Suhail bin Abi Soleh:

فَكَانَ أَهْلُنَا تَعَلَّمُوهَا فَكَانُوا يَقُولُونَهَا كُلَّ لَيْلَةٍ فَلُدِغَتْ جَارِيَةٌ مِنْهُمْ فَلَمْ تَجِدْ لَهَا وَجَعًا

“Keluarga kami mempelajarinya lalu mengucapkannya (mengamakannya) di setiap kali malam, lalu salah seorang jariyah (hamba atau pembantu dari kalangan kanak-kanak perempuan) mereka ada yang disengat haiwan berbisa tetapi dia tidak merasakan sakitnya.” (Sunan At-Tirmidzi, 5/475)

Hadis tersebut menunjukkan keutamaan doa ini. Sesiapa yang mengucapkannya ketika menjelang malam, maka dengan izin Allah Ta’ala dia akan terjaga (atau terhindar) dari bahaya gigitan ular, kala jengking, atau yang selainnya yang seumpama.

Lafaz hadis, “أَعُوذُ” maksudnya adalah “aku berlindung”, dan yang dimaksudkan dengan belindung di sini adalah berlindung dan berpegang-teguh (dengan kalimat-kalimat Allah – pent.), iaitu berlindung dari sesuatu yang engkau takuti kepada Dzat yang Maha Menjaga dan Maha Melindungi engkau dari segala mara bahaya dan kemudharatan. Seseorang yang berlindung kepada Allah, bererti dia telah lari dari sesuatu yang akan membahayakan atau membinasakannya menuju Rabb yang Maha Memiliki dirinya. Iaitu dengan berserah diri, berlindung, serta memohon pertolongan serta berpegang-teguh kepada naungan Allah.

Maksud dari lafaz “بِكَلِمَاتِ اللَّهِ” (dengan kalimat-kalimat Allah) adalah Al-Qur’an yang mulia. Dikatakan juga ia adalah kalimat-kalimat-Nya yang bersifat kauniyah qadariyah (ketetapan yang pasti terjadi sebagaimana ditaqdirkan). Maksud “التَّامَّاتِ” (yang sempurna) adalah kalimat-kalimat yang sempurna yang tidak memiliki kecacatan atau kekurangan sebagaimana halnya perkataan manusia.

Lafaz “مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ” (dari keburukan apa-apa yang Dia ciptakan), maksudnya adalah dari segala keburukan (atau kejahatan) yang ada pada setiap makhluk seperti haiwan, jin dan manusia, serangga berbisa, haiwan melata, atau angin, halilintar, atau dari jenis apa pun dari jenis-jenis bencana di dunia dan akhirat.

Disebutkan dalam Sunan Abi Dawud dan At-Tirmidzi serta selain keduanya dari hadis ‘Abdullah bin Khubaib radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

خَرَجْنَا فِي لَيْلَةِ مَطَرٍ، وَظُلْمَةٍ شَدِيدَةٍ، نَطْلُبُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِيُصَلِّيَ لَنَا، فَأَدْرَكْنَاهُ، فَقَالَ: أَصَلَّيْتُمْ؟ فَلَمْ أَقُلْ شَيْئًا، فَقَالَ: «قُلْ» فَلَمْ أَقُلْ شَيْئًا، ثُمَّ قَالَ: «قُلْ» فَلَمْ أَقُلْ شَيْئًا، ثُمَّ قَالَ: «قُلْ» فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا أَقُولُ؟ قَالَ: «قُلْ قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ وَالْمُعَوِّذَتَيْنِ حِينَ تُمْسِي، وَحِينَ تُصْبِحُ، ثَلَاثَ مَرَّاتٍ تَكْفِيكَ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ»

“Kami keluar pada malam yang hujan dan gelap-gelita. Kami mencari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam untuk solat mengimami kami. Lalu aku pun mendapati beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, lalu beliau bersabda:

“Ucapkanlah…” tetapi aku tidak mengucapkan sesuatu. Beliau bersabda lagi, “Ucapkanlah…” tetapi aku tidak mengucapkan sesuatu. Kemudian beliau bersabda lagi, “Ucapkanlah…” maka aku pun bertanya, “Wahai Rasulullah, apa yang aku (perlu) ucapkan?” Beliau pun bersabda:

“Ucapkanlah (bacalah):

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ” (iaitu Surah Al-Ikhlash) dan Al-Mu’awwidzatain (dua surah perlindungan; Surah Al-Falaq dn An-Naas) ketika petang hari dan ketika subuh hari sebanyak tiga kali, nescaya itu mencukupi bagi engkau dari segala sesuatu.” (Sunan Abi Dawud, no. 5082. At-Tirmidzi, no. 3575. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Pada hadis ini terdapat penjelasan tentang keutamaan membaca tiga surah tersebut; Al-Ikhlash, Al-Falaq, dan An-Naas tiga kali di setiap waktu pagi dan waktu petang. Sesiapa yang melazimi membaca dan mengamalkannya nescaya perkara tersebut mencukupi baginya dengan izin Allah dari segala sesuatu, iaitu (sebagai perlindungan) dalam menolak keburukan-keburukan dan gangguan-gangguan. Kepada Allah jua-lah kita memohon pertolongan, taufiq, dan tidak ada bagi Allah itu sekutu.

Selain doa atau dzikir-dzikir ini, masih banyak lagi doa-doa yang lain yang tsabit dari sunnah yang sangat besar manfaatnya yang harus kita praktik dan amalkan sebagai tanda syukur dan tingginya kebergantungan kita kepada-Nya.

Wallahu a’lam.

Diambil dan disunting dari buku Fiqh Al-Ad’iyah wa Al-Adzkar karya Syaikh Dr. ‘Abdurrazzaq bin ‘Abdul Muhsin Al-‘Abbad Al-Badr edisi terjemahan dengan judul “Berjuta Manfaat Dalam Sebaris Do’a” terbitan Perisai Qur’an dan “Fiqih Do’a & Dzikir” terbitan Griya Ilmu.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest