Istimewanya Ramadhan

Abu Numair
Ke Laman Utama

Alhamdulillah, kita bersua lagi dengan Ramadhan. Bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan keberkahan, padanya terkandung banyak keutamaan dan keistimewaan. Seharusnya sebagai seorang mukmin kita menyambutnya dengan penuh suka-cita, ceria dan gembira serta memperbanyakkan syukur kepada-Nya kerana mempertemukan kita dengannya. Semoga kita dapat mempersiapkan diri kita dengan bekalan ilmu yang seharusnya lalu memperkuatkan tubuh badan kita untuk segera beramal dengan mengharap iman, pahala, dan keampunan dari sisi Allah.

Bulan ini adalah bulan di mana Al-Qur’an diturunkan, seharusnya ia menjadi pemangkin buat kita untuk memperbanyakkan membaca dan mentadabburinya. Di bulan inilah syaitan-syaitan dibelenggu, pintu-pintu Syurga dibuka manakala pintu-pintu Neraka ditutup. Seharusnya ia mendorong kita untuk lebih mempertingkatkan kualiti amalan dan memperbanyakkannya, seraya melestarikannya di hari-hari berikutnya setelah Ramadhan.

Di bulan ini ada malam Al-Qadr, iaitu malam yang dipenuhi dengan kemuliaan yang lebih baik dari seribu bulan. Seharusnya ia membuatkan kita lebih bersemangat untuk tetap istiqomah beramal mencari kurniaannya di malam-malam Ramadhan yang mendatang ini. Dan di bulan inilah umat Islam diperintahkan agar berpuasa yang dengannya terkandung pelbagai kebaikan bagi setiap muslim yang beriman dan bertaqwa.

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا كَانَتْ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ، صُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ، وَمَرَدَةُ الْجِنِّ، وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ، فَلَمْ يُفْتَحْ مِنْهَا بَابٌ، وَفُتِحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ، فَلَمْ يُغْلَقْ مِنْهَا بَابٌ، وَنَادَى مُنَادٍ: يَا بَاغِيَ الْخَيْرِ أَقْبِلْ، وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقْصِرْ، وَلِلَّهِ عُتَقَاءُ مِنَ النَّارِ، وَذَلِكَ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ

“Sebaik masuk malam pertama bulan Ramadhan syaitan-syaitan dan jin-jin yang jahat pun dibelenggu, pintu-pintu neraka ditutup, tidak ada satu pun dari pintu-pintu Neraka yang terbuka, manakala pintu-pintu Syurga dibuka, tidak ada satu pun dari pintu-pintu Syurga yang tertutup.

Ketika itu ada yang menyeru:

“Wahai yang mengharapkan kebaikan, bersegeralah (kepada berbuat ketaatan kepada Allah). Wahai yang mengharapkan keburukan (yakni maksiat), berhentilah.”

Dan pada malamnya Allah membebaskan hamba-hamba-Nya dari Neraka. Yang demikian itu berlangsung di setiap malam.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 682. Ibnu Majah, no. 1642)

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُبَشِّرُ أَصْحَابَهُ: ” قَدْ جَاءَكُمْ رَمَضَانُ، شَهْرٌ مُبَارَكٌ، افْتَرَضَ اللهُ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ، تُفْتَحُ فِيهِ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ، وَتُغْلَقُ فِيهِ أَبْوَابُ الْجَحِيمِ، وَتُغَلُّ فِيهِ الشَّيَاطِينُ، فِيهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ، مَنْ حُرِمَ خَيْرَهَا فَقَدْ حُرِمَ

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyampaikan khabar gembira kepada para sahabatnya:

“Bahawa Ramadhan telah mendatangi kalian, bulan yang mubarak (penuh keberkatan). Padanya Allah memfardhukan puasa atas kalian, padanya pintu-pintu Syurga dibuka manakala pintu-pintu Neraka ditutup, Syaitan-syaitan dibelenggu, dan padanya terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Siapa yang tidak mendapatkan kebaikan di bulan ini, sungguh dia telah terhalang darinya.” (Musnad Ahmad, no. 8991. Dinilai sahih oleh Syu’aib Al-Arnauth)

Bulan Diturunkan Al-Qur’an

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ

“Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan sebagai pembeza (antara yang haq dengan yang bathil). Maka, sesiapa di antara kamu menyaksikan (di negeri tempat tinggalnya) bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa di bulan tersebut.” (Surah Al-Baqarah, 2: 185)

Berdasarkan pengangan jumhur ulama, Al-Qur’an diturunkan secara sekaligus ke langit dunia di Baitul ‘Izzah untuk menunjukkan kepada para malaikat-Nya akan agungnya Al-Qur’an ini. Diturunkan pada bulan yang mulia dan malam yang mulia, iaitu malam Al-Qadr pada tanggal 24 Ramadhan.

Dari hadis Watsilah bin Al-Asqa’, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أُنْزِلَتْ صُحُفُ إِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلَامُ فِي أَوَّلِ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ، وَأُنْزِلَتِ التَّوْرَاةُ لِسِتٍّ مَضَيْنَ مِنْ رَمَضَانَ، وَالْإِنْجِيلُ لِثَلَاثَ عَشْرَةَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ، وَأُنْزِلَ الْقُرْقَانُ لِأَرْبَعٍ وَعِشْرِينَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ

“Shuhuf (lembaran-lembaran) Ibrahim diturunkan pada malam pertama bulan Ramadhan, Taurat diturunkan pada tarikh 6 Ramadhan, Injil diturunkan pada tarikh 13 Ramadhan, dan Al-Qur’an diturunkan (nuzul al-Qur’an) pada tarikh 24 Ramadhan.” (Musnad Ahmad, no. 16984. Ath-Thabrani, no. 3740)

Secara rasminya, Al-Qur’an diturunkan kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam untuk pertama kalinya pada malam itu juga. Kemudian secara beransur-ansur selama 23 tahun bersesuaian dengan peristiwa-peristiwa yang mengiringinya bermula dari beliau diutus sehinggalah wafatnya. Selama tiga belas tahun beliau tinggal di Makkah, dan selama itu jugalah wahyu turun kepadanya.

Selepas hijrah, beliau tinggal di Madinah selama sepuluh tahun dan selama itu jugalah wahyu terus turun kepada beliau secara beransur-ansur. Beliau wafat dalam usia 63 tahun. Maka, dengan rasminya sempurnalah penurunan Al-Qur’an dan bermula dari saat itu terputuslah wahyu dari langit dengan wafatnya beliau.

Dan pada bulan Ramadhan ini jugalah diriwayatkan dari sekian banyak ulama salaf, mereka mempertingkatkan usaha, tumpuan, dan fokus mereka pada Al-Qur’an. – Baca artikel; Ramadhan Bulan Al-Qur’an.

Dibukanya Pintu-pintu Syurga

Ramadhan adalah bulan di mana pintu-pintu Syurga dibuka, pintu-pintu Neraka ditutup, dan syaitan-syaitan dibelenggu.

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا دَخَلَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ

“Apabila masuk sahaja Ramadhan, maka pintu-pintu Jannah (Syurga) pun dibuka, pintu-pintu jahannam ditutup, dan syaitan-syaitan pula dibelenggu.” (Shahih Al-Bukhari, bab: Sifat-sifat Iblis dan Para Tenteranya, no. 3277)

Pada bulan Ramadhan para syaitan tidak sebebas bulan lainnya kerana ia dibelenggu, maka pada bulan tersebut kuasa gangguannya merosot sebagaimana pandangan sebahagian ulama.

Manakala sebahagian ulama lainnya mengatakan bahawa hadis tersebut bukan bererti menunjukkan setiap syaitan dibelenggu, tetapi disebutkan sebagaimana dalam hadis yang lain bahawa yang dibelenggu adalah sebahagian besar syaitan atau merujuk para syaitan yang besar dan ganas, atau dari kalangan pembesar mereka.

Al-Imam Al-Qurthubi rahimahullah menjelaskan:

فإن قيل كيف نرى الشرور والمعاصى واقعة في رمضان كثيرا فلو صفدت الشياطين لم يقع ذلك فالجواب أنها إنما تقل عن الصائمين الصوم الذي حوفظ على شروطه وروعيت ادابه أو المصفد بعض الشياطين وهم المردة لاكلهم كما تقدم في بعض الروايات أو المقصود تقليل الشرور فيه وهذا أمر محسوس فإن وقوع ذلك فيه أقل من غيره اذلا يلزم من تصفيد جميعهم أن لا يقع شر ولا معصية لأن لذلك اسبابا غير الشياطين كالنفوس الخبيثة والعادات القبيحة والشياطين الإنسية

“Apabila dikatakan, “Mengapa kita masih melihat kejahatan dan maksiat berlaku di bulan Ramadhan, sekiranya syaitan dibelenggu, bukankah sepatutnya perkara seperti itu tidak akan berlaku?”

Maka jawabannya, “Bahawasanya gangguan syaitan hanya berkurang terhadap orang-orang berpuasa yang memelihara syarat-syarat puasa dan adab-adabnya. Atau yang dibelenggu hanya sebahagian syaitan sahaja, iaitu para penentang yang ganas dari kalangan mereka sebagaimana dinyatakan dalam sebahagian riwayat. Atau yang dimaksudkan adalah berkurangnya kejahatan dalam bulan Ramadhan, dan ini merupakan perkara yang dapat dirasakan, di mana kejahatan ketika bulan Ramadhan lebih sedikit jika dibandingkan dengan bulan-bulan selainnya. Apabila semua syaitan dibelenggu, juga tidak menjadi sebab untuk tidak akan berlakunya kejahatan dan kemaksiatan. Kerana sebab berlakunya kemaksiatan itu turut didorong oleh sejumlah faktor lainnya selain dari faktor syaitan. Boleh jadi disebabkan nafsu yang buruk, tabiat yang kotor, dan syaitan-syaitan dari kalangan manusia sendiri.” (Fath Al-Bari oleh Ibnu Hajar, 4/114)

Bagi orang-orang yang mencari kebaikan, benar-benar pada perkara ini mengandungi suatu anjuran, dorongan dan galakkan agar memanfaatkannya sedaya-upaya dalam memperbanyakkan amal-amal kebaikan sekaligus meninggalkan hal-hal tidak bermanfaat seraya melestarikannya di hari-hari berikutnya.

Malam Al-Qadr

Malam Al-Qadr (atau lailatul qadr) adalah malam yang Allah muliakan dengan banyaknya keutamaan dan kebaikan. Ia adalah malam yang lebih baik dari seribu bulan.  Ibadah yang dikerjakan pada malam tersebut setanding dengan amalan kebaikan selama seribu bulan, iaitu 83 tahun 4 bulan. Sedangkan umur umat Muhammad puratanya hanyalah sekitar 60 hingga 70 tahun sebagaimana disebutkan dalam hadis.

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أَعْمَارُ أُمَّتِي مَا بَيْنَ السِّتِّينَ إِلَى السَّبْعِينَ، وَأَقَلُّهُمْ مَنْ يَجُوزُ ذَلِكَ

“Umur umatku adalah di antara 60 hingga 70 tahun. Yang melebihi usia tersebut adalah amat sedikit sekali.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 3550)

Tetapi Allah telah memuliakan mereka dengan adanya malam Al-Qadr tersebut di setiap tahun pada bulan Ramadhan untuk beramal dengan ganjaran pahala selama amalan seribu bulan.

Kata Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H), “Malaikat banyak yang turun pada malam tersebut kerana banyaknya kebaikan. Para malaikat turun bersamaan dengan turunnya keberkahan dan rahmat.” (Tafsir Ibnu Katsir, 5/444)

Kata Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah, “Para Malaikat turun pada malam Al-Qadr dengan membawa kebaikan, rahmat, dan barakah. Malam tersebut disebut malam kesejahteraan kerana banyaknya hamba Allah yang selamat dari siksaan disebabkan ketaatannya kepada Allah.” (Majalis Syahri Ramadhan, m/s. 252-253)

Bulan Doa

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka sentiasa berada dalam kebenaran.” (Surah Al-Baqarah, 2: 186)

Al-Hafiz Ibn Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) menyebutkan:

وفي ذكره تعالى هذه الآية الباعثة على الدعاء، متخللة بين أحكام الصيام، إرشاد إلى الاجتهاد في الدعاء عند إكمال العِدّة، بل وعندَ كلّ فطر، كما رواه الإمام أبو داود الطيالسي في مسنده:

“Allah Ta’ala menyebutkan ayat tentang doa ini di sela-sela perbahasan hukum-hakam puasa (Ramadhan), menunjukkan suatu anjuran agar mempertingkatkan usaha dalam berdoa di saat menyempurnakan jumlah bilangan hari-hari Ramadhan, bahkan di setiap kali berbuka sebagaimana diriwayatkan oleh Al-Imam Abu Dawud Ath-Thayaalisi di Musnad beliau, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

للصائم عند إفطاره دعوة مستجابة”. فكان عبد الله بن عمرو إذ أفطر دعا أهله، وولده ودعا

“Bagi orang yang berpuasa di saat dia berbuka ada doa yang mustajab.” (Musnad Ath-Thayalisi, no. 2262)

Dari itu, bahawasanya Ibn ‘Umar tatkala berbuka, beliau pun berdoa untuk ahli keluarga dan untuk anak-anaknya, demikian pula anak dan keluarganya juga turut berdoa.” (Tafsir Ibn Katsir, 1/509)

Kemudian, di hadis yang lain Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

ثَلاَثَةٌ لاَ تُرَدُّ دَعْوَتُهُمُ الإِمَامُ الْعَادِلُ وَالصَّائِمُ حِينَ يُفْطِرُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ

“Ada tiga orang yang doanya tidak ditolak; (iaitu) Pemimpin yang adil, orang yang berpuasa di saat dia berbuka, dan do’a orang yang terzalimi.” (Musnad Ahmad, no. 8043. Sunan At-Tirmidzi, no. 3598. Ad-Du’a oleh Ath-Thabrani, no. 1315. Kata At-Tirmidzi, ini hadis hasan)

Dari hadis Jabir bin ‘Abdillah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ لِلّهِ فِى كُلِّ يَوْمٍ عِتْقَاءَ مِنَ النَّارِ فِى شَهْرِ رَمَضَانَ ,وَإِنَّ لِكُلِّ مُسْلِمٍ دَعْوَةً يَدْعُوْ بِهَا فَيَسْتَجِيْبُ لَهُ

“Sesungguhnya Allah membebaskan beberapa orang dari api Neraka pada setiap hari di bulan Ramadhan, dan bagi setiap muslim apabila dia memanjatkan do’a maka pasti dikabulkan.” (lihat: Majma’ Az-Zawa’id, 10/226. Kata Al-Haitsami, diriwayatkan oleh Al-Bazzar dan para perawinya tsiqah)

Bulan Keampunan

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ، وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ، مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ

“Solat 5 waktu, Juma’at ke Juma’at berikutnya, dan Ramadhan ke Ramadhan berikutnya adalah pelebur dosa antara keduanya apabila dosa-dosa besar dijauhi.” (Shahih Muslim, no. 233)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Siapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan keimanan dan mengharap pahala dari Allah, maka diampunilah dosa-dosanya yang terdahulu.” (Shahih Al-Bukhari, no. 38. Muslim, no. 760)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Sesiapa yang melaksanakan qiyam Ramadhan dengan keimanan dan mengharap pahala, diampunkan baginya dari dosa-dosanya yang telah lalu.” (Shahih Al-Bukhari, no. 37, 2009)

Di hadis yang lain bersabda:

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ القَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ، وَمَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Sesiapa yang menghidupkan malam Al-Qadr dengan keimanan dan mengharap pahala Allah, maka diampunkan dosanya yang telah lalu. Dan sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kerana keimanan dan mengharap pahala Allah, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1901)

Demikianlah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjelaskan betapa Ramadhan penuh dengan peluang keampunan dosa-dosa. Antaranya dengan berpuasa dan menghidupkan malam Al-Qadr dengan keimanan dan mengharap pahala Allah Subhanahu wa Ta’ala. Maka ya Allah, ampunilah kami dari dosa-dosa kami.

Bulan Melatih Kesabaran dan Menjauhi hal-hal Tercela

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata – Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

وَالصِّيَامُ جُنَّةٌ، وَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلاَ يَرْفُثْ وَلاَ يَصْخَبْ، فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ، فَلْيَقُلْ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ

“Puasa adalah perisai (benteng), apabila salah seorang antara kalian berpuasa, maka jangan dia berkata keji dan jangan pula menjerit-jerit. Jika ada yang mencela atau mengajak bertengkar, maka katakanlah, “Sesungguhnya aku sedang berpuasa.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1904. Muslim, no. 1151)

Bulan Mempertingkat Amal Kebaikan

Dari hadis Abu Hurairah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

وَنَادَى مُنَادٍ: يَا بَاغِيَ الْخَيْرِ أَقْبِلْ، وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقْصِرْ

Ketika di bulan Ramadhan ada yang menyeru:

“Wahai yang mengharapkan kebaikan, bersegeralah (kepada berbuat ketaatan kepada Allah). Wahai yang mengharapkan keburukan (yakni maksiat), berhentilah.” (Musnad Ahmad, no. 23491. Sunan At-Tirmidzi, no. 682. Ibnu Majah, no. 1642)

‘Umrah di Bulan Ramadhan

Selain ibadah-ibadah yang dimaklumi seperti berpuasa wajib, qiyam Ramadhan, dan bersedekah, melaksanakan ibadah ‘umrah pada bulan Ramadhan juga turut dijelaskan sebagai memiliki fadhilat dan ganjaran yang khusus. Ini sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis.

Dari hadis Ibnu ‘Abbaas radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

فَإِنَّ عُمْرَةً فِي رَمَضَانَ تَقْضِي حَجَّةً أَوْ حَجَّةً مَعِي

“Sesungguhnya (pahala) melaksanakan ‘umrah pada bulan Ramadhan itu menyamai (pahala) melaksanakan haji bersama-ku.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1863)

Asy-Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah berkata:

العمرة في رمضان تعدل حجة، سواء اعتمر من أول الشهر أو وسطه أو آخره.

“Umrah di bulan Ramadhan sebanding dengan haji, sama ada dilakukan di awal bulan, pertengahan, atau akhir bulannya.” (Majmu’ Al-Fatawa, 20/71)

Cukuplah beberapa contoh keutamaan yang menunjukkan agungnya bulan Ramadhan ini. Di samping memang masih banyak lagi contoh-contoh keutamaan yang lainnya. Semoga kita manfaatkan Ramadhan ini semaksima mungkin bertepatan dengan sifat keistimewaannya sebagai bulan yang penuh kebaikan, penuh rahmat, penuh ganjaran, bulan keampunan, dan bulan ibadah.

Semoga ini semua mendorong kita untuk memanfaatkannya dengan amalan-amalan yang bermanfaat dalam rangka iman dan mengharapkan pahala dari sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Wallahu a’lam.

Panduan_Lengkap_Puasa_Ramadhan2

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest