Adat Hantaran dan Cincin Perkahwinan Dalam Perspektif Islam

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Islam adalah agama fitrah, dan di antara fitrah Islam adalah menikah. Selari dengan itulah Islam menggalakkan umatnya agar bernikah bila telah punya keinginan serta telah bersedia memikul tanggungjawab. Kerana pada pernikahan itu terdapat sakinah dan mawaddah, pada pernikahan itu terkandung kemudahan dan kecukupan.
Hantaran-Perkahwinan-Untuk-Perempuan

Pernikahan juga adalah merupakan sunnah para Nabi dan Rasul agar dapat dicontohi oleh kaum muslimin.

Dari hadis ‘Ubaid bin Sa’d, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ أَحَبَّ فِطْرَتِي، فَلْيَسْتَنَّ بِسُنَّتِي، وَمِنْ سُنَّتِي النِّكَاحُ

“Sesiapa yang menyenangi fitrahku, maka hendaklah dia mengamalkan sunnahku. Dan termasuk sunnahku adalah nikah.” (As-Sunan Al-Kubra oleh Al-Baihaqi, no. 13451)

Dari hadis ‘Abdullah bin Maso’ud radhiyallahu ‘anhu, beliau menyatakan, “Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah bersabda kepada kami:

يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ البَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ

“Wahai para pemuda, sesiapa di antara kalian yang telah mampu menikah (yakni telah punya syahwat dan keinginan), maka menikahlah. Kerana dengan menikah itu, dia akan dapat menahan pandangan dan lebih memelihara kemaluan. Dan bagi siapa yang belum mampu, maka hendaklah dia berpuasa. Kerana dengan berpuasa itu akan dapat menahan syahwatnya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5065)

Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu menceritakan:

جَاءَ ثَلاَثَةُ رَهْطٍ إِلَى بُيُوتِ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَسْأَلُونَ عَنْ عِبَادَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمَّا أُخْبِرُوا كَأَنَّهُمْ تَقَالُّوهَا، فَقَالُوا: وَأَيْنَ نَحْنُ مِنَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَدْ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ، قَالَ أَحَدُهُمْ: أَمَّا أَنَا فَإِنِّي أُصَلِّي اللَّيْلَ أَبَدًا، وَقَالَ آخَرُ: أَنَا أَصُومُ الدَّهْرَ وَلاَ أُفْطِرُ، وَقَالَ آخَرُ: أَنَا أَعْتَزِلُ النِّسَاءَ فَلاَ أَتَزَوَّجُ أَبَدًا، فَجَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَيْهِمْ، فَقَالَ: «أَنْتُمُ الَّذِينَ قُلْتُمْ كَذَا وَكَذَا، أَمَا وَاللَّهِ إِنِّي لَأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَتْقَاكُمْ لَهُ، لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ، وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ، وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ، فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي

“Ada tiga orang (dari sahabat-sahabat Nabi) datang ke rumah isteri-isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, mereka bertanyakan tentang ibadahnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Maka apabila dikhabarkan kepada mereka tentang hal tersebut, mereka pun merasakan yang ibadah mereka terlalu sedikit berbanding ibadah Nabi. Lalu mereka pun mengatakan:

“Apalah jika dibandingkan kita dengan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Sesungguhnya beliau telah diampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan juga akan datang?”

Maka berkatalah salah seorang daripada mereka, “Adapun aku, benar-benar aku akan solat malam selamanya.” Kemudian berkata yang lain, “Aku pula akan berpuasa Ad-Dahr dan tidak akan berbuka (yakni berpuasa setiap hari sepanjang tahun).” Dan berkata yang seorang lagi, “Aku pula akan menjauhi wnaita dan tidak akan bernikah selama-lamanya.”

Lalu kemudian datanglah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada mereka, maka beliau bersabda:

“Kalian telah berkata demikian dan demkian…, sesungguhnya demi Allah, aku adalah orang yang paling takut kepada Allah di antara kalian, dan juga paling bertaqwa. Aku berpuasa dan aku juga berbuka (yakni ada hari yang beliau berpuasa dan ada hari yang beliau berbuka), aku solat malam dan aku juga tidur, dan aku sendiri menikahi wanita. Maka sesiapa yang membenci sunnahku, maka dia bukanlah dari golonganku.”.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5063. Muslim, no. 1401)

hantaranAllah Subhanahu wa Ta’ala turut menjelaskan bahawa siapa dari kalangan hamba-hamba-Nya yang menyahut seruan pernikahan ini secara benar, maka Dia akan menurunkan untuknya sakinah (ketenangan) serta rasa kasih dan sayang sekaligus menjadi bukti kekuasaan-Nya yang telah menciptakan para hamba-Nya dengan berpasang-pasangan.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya adalah Dia menciptakan untuk kalian isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kalian cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antara kalian rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Surah Ar-Ruum, 30: 21)

Dan dengan pernikahan juga, bermakna seseorang itu telah berusaha dalam menyempurnakan agamanya, manakala selebihnya hendaklah dia bertaqwa kepada Allah.

Dari hadis Anas bin Malik, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا تَزَوَّجَ الْعَبْدُ فَقَدِ اسْتَكْمَلَ نِصْفَ الدِّينِ، فَلْيَتَّقِ الله فِي النِّصْفِ الْبَاقِي

“Apabila seorang hamba telah menikah, bererti dia telah menyempurnakan separuh dari agamanya, maka hendaklah dia bertaqwa kepada Allah dalam menjaga separuh bakinya.” (Syu’abul Iman oleh Al-Baihaqi, no. 5100)

Demikianlah, perkahwinan adalah sebuah fitrah yang telah sedia ditanamkan ke dalam jiwa-jiwa manusia seluruhnya. Atas dasar itulah, Islam menggalakkan umatnya agar berkahwin.

Ini tidaklah sebagaimana yang berlaku kepada sebahagian agama seperti Kristian yang menggalakkan kerahiban, pertapaan para sami dari agama budha, dan seumpamanya yang membenci perkahwinan. Malah sebenarnya sebuah perkahwinan merupakan asas pembentukan masyarakat yang harmoni. Dengan perkahwinan, jiwa-jiwa menjadi tenang, hati menjadi tenteram, populasi manusia semakin bertambah disebabkan ikatan percintaan yang halal lagi sistematik. Bahkan perkahwinan termasuk salah satu bentuk taqarrub (ibadah) kepada Allah.

Dengan ikatan perkahwinan juga, ia dapat mengawal dari berlakunya pelbagai bentuk gejala yang tidak sihat seperti perzinaan, perbuatan homoseksual dan juga pelacuran sebagaimana yang berlaku di era zaman jahiliyyah sebelum datangnya Islam ke tanah ‘Arab dan kini banyak berlaku di negara-negara barat pula.

Allah Membantu Orang-orang Yang Bernikah

Dengan bernikah juga, bermakna dia telah berusaha untuk mendapatkan pertolongan Allah, dengan syarat dia bernikah dalam rangka menjaga agamanya, untuk memelihara kesucian dirinya, dan mencari keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala dengannya.

Hal ini telah dijelaskan dalam sebahagian dalil yang harus kita imani dan yakini.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَأَنْكِحُوا الْأَيَامَى مِنْكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ إِنْ يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ

“Dan nikahkanlah orang-orang yang sedirian di antara kalian, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari kalangan hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka faqir, Allah akan memberikan kecukupan pada mereka dengan kurniaan-Nya.” (Surah An-Nuur, 24: 32)wanita indah dan berkah

Kata Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H):

هذا أمر بالتزويج. وقد ذهب طائفة من العلماء إلى وجوبه، على كل من قَدَر عليه. واحتجوا بظاهر قوله صلى الله عليه وسلم:

“Ini adalah (ayat yang menunjukkan) perintah bernikah, dan sebahagian ulama berpendapat bahawa hukum menikah adalah wajib bagi setiap orang yang telah memiliki kemampuan dengan berdalilkan zahir hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berikut:

يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ البَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ

“Wahai para pemuda, sesiapa di antara kalian yang telah mampu menikah (yakni telah punya syahwat dan keinginan), maka menikahlah. Kerana dengan menikah itu, dia akan dapat menahan pandangan dan lebih memelihara kemaluan. Dan sesiapa yang belum mampu, maka hendaklah dia berpuasa. Kerana dengan berpuasa itu akan dapat menahan syahwatnya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5065)

Kata sahabat Nabi; ‘Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma:

رغبهم الله في التزويج، وأمر به الأحرار والعبيد، ووعدهم عليه الغنى

“Ini adalah anjuran dari Allah agar menikah, dan Allah memerintahkan dengannya kepada orang-orang yang medeka mahupun para hamba agar menikah, dan Allah berjanji kepada mereka untuk memberikan kekayaan (kecukupan).” (Tafsir Ibnu Katsir, 6/51)

Al-Hafiz Ibnu Katsir turut menyebutkan perkataan Abu Bakr Ash-Shiddiq radhiyallahu ‘anhu:

أطيعوا الله فيما أمركم به من النكاح، ينجز لكم ما وعدكم من الغنى

“Taatilah Allah pada apa yang diperintahkan pada kalian dengan menikah, nescaya Dia akan memenuhi janji-Nya buat kalian berupa kekayaan (kecukupan).”

Juga perkataan Ibnu Mas’oud:

التمسوا الغنى في النكاح

“Carilah kekayaan (kecukupan) di dalam pernikahan.” (Tafsir Ibnu Katsir, 6/51)

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

ثَلَاثَةٌ حَقٌّ عَلَى اللَّهِ عَوْنُهُمْ: المُجَاهِدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، وَالمُكَاتَبُ الَّذِي يُرِيدُ الأَدَاءَ، وَالنَّاكِحُ الَّذِي يُرِيدُ العَفَافَ

“Tiga orang yang pasti mendapat pertolongan Allah ‘Azza wa Jalla adalah; Seorang mujahid di jalan Allah, seorang hamba yang ingin memerdekakan dirinya, dan seseorang yang menikah kerana ingin menjaga kesucian dirinya.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 1655. Sunan An-Nasaa’i, no. 5307)

Selari dengan hal ini semua, agama yang mulia ini membawa petunjuk agar mempermudah urusan pernikahan dan membimbing agar saling membantu pasangan yang ingin berkahwin.

Cuma amat-amat disayangkan, sebahagian dari kita melalaikan petunjuk yang amat penting ini, tidak mengambil berat terhadap ayat-ayat Allah ini bahkan kurang meyakininya, berpaling dari hadis-hadis Nabi tersebut, serta mengabaikan pesan-pesan para sahabat Nabi sebagaimana dikemukakan. Sehingga ada yang meyakini atau beranggapan, jika tidak punya harta yang mencukupi, belum punya rumah yang baik, kenderaan yang memadai, belum punya belanja duit hantaran, atau belum mampu membelikan cincin pernikahan, maka belum layak untuk bernikah sama sekali?!

Ternyata hal tersebut tidaklah benar, bahkan sebaliknya Allah menjelaskan:

إِنْ يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ

“… Jika mereka faqir, Allah akan memberikan kecukupan pada mereka dengan kurniaan-Nya.”panduan-keluarga-sakinah-ustaz-yazid

Maka bagi yang telah punya kemampuan (kenginginan), menikahlah… perkuatkanlah keimanan dan keazaman dengan penuh rasa tanggungjawab, pasti Allah akan menurunkan pertolongan-Nya. Menikahlah, kerana ia adalah sunnah para Nabi. Menikahlah, kerana ia adalah tuntutan fitrah sebagai seorang insan. Menikahlah, kerana padanya Allah akan memberikan kekayaan berupa kecukupan!

Mulakanlah langkah pernikahan anda dengan jalan yang syar’i.

Adat Menghalang Pernikahan?!

Apa yang amat mendukacitakan pada hari ini adalah apabila pernikahan banyak yang terhalang dan tertunda semata-mata kerana tidak memenuhi tuntutan adat setempat!

Antaranya, bagi pasangan yang ingin berkahwin disyaratkan perlu mengeluarkan belanja hantaran bersesuaian nilai yang diminta oleh pihak keluarga, menyediakan cincin pertunangan dan cincin perkahwinan, serta mengadakan majlis kenduri di luar batas kemampuan suami sehingga memberi beban yang berat.

Hakikatnya, beban-beban seumpama ini semua menyelisihi tuntunan agama yang menyeru agar memudahkan serta menyegerakan pernikahan!

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا خَطَبَ إِلَيْكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ دِينَهُ وَخُلُقَهُ فَزَوِّجُوهُ، إِلَّا تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الأَرْضِ، وَفَسَادٌ عَرِيضٌ

“Apabila orang yang kalian redha agama dan akhlaknya datang melamar, hendaklah kalian kahwinkannya. Seandainya kalian tidak melakukannya nescaya akan timbul fitnah dan kerosakan di atas muka bumi.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 1084. Dinilai hasan Al-Albani)

Dari hadis Ibn ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَمْ يرَ لِلْمُتَحَابَّيْنِ مِثْلَ النِّكَاحِ

“Aku tidak melihat (solusi yang lebih baik) bagi dua orang yang saling mencintai semisal nikah.” (Sunan Ibn Majah, no. 1847)

Dari ‘Umar bin Al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

خَيْرُ النِّكَاحِ أَيْسَرُهُ

“Sebaik-baik pernikahan adalah yang paling mudah.” (Sunan Abi Dawud, no. 2117. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Haruskah Cincin Perkahwinan?

Sebagaimana  diketahui umum dalam kalangan masyarakat Melayu hari ini, sebahagian mereka menganggap cincin sebagai simbol yang begitu penting bagi sebuah ikatan pertunangan, pernikahan, atau perkahwinan. Sehingga kalau diikutkan adat, jika tiada kemilaunya cincin bernilai, alamatnya bertangguhlah perkahwinan. Kalau tiada cincin belah rotan paling kurang, teruskanlah bermimpi untuk masuk meminang si gadis idaman. Inilah sebahagian dari kefahaman yang lahir hasil dari falsafah adat perkahwinan Melayu Islam di sekitar kita hari ini.

Benarlah sebagaimana termaktub dalam pepatah Melayu:

Biar mati anak jangan mati adat!

Seandainya ditela’ah secara saksama, hal ini sangatlah jauh berbeza dengan hakikat keindahan dan kemudahan pernikahan yang dianjurkan oleh Islam. Cincin emas intan permata tidak seharusnya menjadi batu penghalang, tidak pula cincin besi. Jika hati sudah terpaut, nikah harus disegerakan dan dipermudahkan. Bahkan dituntut agar membantu pasangan yang ingin menikah, bukannya malah memberat-beratkan urusan mereka.

Suka di sini penulis nukilkan satu hadis yang menggambarkan betapa indahnya akhlak dan sikap keterbukaan Nabi kita dalam menyegerakan pernikahan salah seorang sahabatnya. Hadis ini sengaja penulis paparkan agar kita boleh berfikir di luar kotak adat dan tidak diselubungi oleh kepompong pemikiran materialistik yang kian di-agamakan.Bingkisan_Tuk_Kedua_Mempelai

Sahl bin Sa’d radhiyallahu ‘anhu berkata:

أَنَّ امْرَأَةً جَاءَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ جِئْتُ لِأَهَبَ لَكَ نَفْسِي فَنَظَرَ إِلَيْهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَعَّدَ النَّظَرَ إِلَيْهَا وَصَوَّبَهُ ثُمَّ طَأْطَأَ رَأْسَهُ فَلَمَّا رَأَتْ الْمَرْأَةُ أَنَّهُ لَمْ يَقْضِ فِيهَا شَيْئًا جَلَسَتْ فَقَامَ رَجُلٌ مِنْ أَصْحَابِهِ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنْ لَمْ يَكُنْ لَكَ بِهَا حَاجَةٌ فَزَوِّجْنِيهَا فَقَالَ هَلْ عِنْدَكَ مِنْ شَيْءٍ فَقَالَ لَا وَاللَّهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ اذْهَبْ إِلَى أَهْلِكَ فَانْظُرْ هَلْ تَجِدُ شَيْئًا فَذَهَبَ ثُمَّ رَجَعَ فَقَالَ لَا وَاللَّهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا وَجَدْتُ شَيْئًا قَالَ انْظُرْ وَلَوْ خَاتَمًا مِنْ حَدِيدٍ فَذَهَبَ ثُمَّ رَجَعَ فَقَالَ لَا وَاللَّهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلَا خَاتَمًا مِنْ حَدِيدٍ وَلَكِنْ هَذَا إِزَارِي قَالَ سَهْلٌ مَا لَهُ رِدَاءٌ فَلَهَا نِصْفُهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا تَصْنَعُ بِإِزَارِكَ إِنْ لَبِسْتَهُ لَمْ يَكُنْ عَلَيْهَا مِنْهُ شَيْءٌ وَإِنْ لَبِسَتْهُ لَمْ يَكُنْ عَلَيْكَ شَيْءٌ فَجَلَسَ الرَّجُلُ حَتَّى طَالَ مَجْلِسُهُ ثُمَّ قَامَ فَرَآهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُوَلِّيًا فَأَمَرَ بِهِ فَدُعِيَ فَلَمَّا جَاءَ قَالَ مَاذَا مَعَكَ مِنْ الْقُرْآنِ قَالَ مَعِي سُورَةُ كَذَا وَسُورَةُ كَذَا وَسُورَةُ كَذَا عَدَّهَا قَالَ أَتَقْرَؤُهُنَّ عَنْ ظَهْرِ قَلْبِكَ قَالَ نَعَمْ قَالَ اذْهَبْ فَقَدْ مَلَّكْتُكَهَا بِمَا مَعَكَ مِنْ الْقُرْآنِ

“Bahawasanya ada seorang wanita mendatangi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan berkata, “Wahai Rasulullah, aku datang untuk menyerahkan diriku padamu (sebagai isteri).” Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun memandang wanita tersebut dari atas hingga ke bawah lalu beliau tunduk. Dan ketika wanita itu melihat, bahawa beliau belum memberikan keputusan akan dirinya, dia pun duduk.

Tiba-tiba seorang lelaki dari kalangan sahabat beliau berdiri dan berkata, “Wahai Rasulullah, jika engkau tidak memiliki keinginan terhadapnya, maka nikahkanlah aku dengannya.” Lalu beliau pun bertanya, “Adakah engkau memiliki sesuatu (untuk dijadikan sebagai mahar)?” Lelaki tersebut menjawab, “Tidak, demi Allah wahai Rasulullah.”

Kemudian beliau bersabda, “Pulanglah kepada keluargamu dan lihatlah mungkin ada sesuatu (yang boleh dijadikan sebagai mahar)?” Lelaki itu pun pergi dan kembali lagi lalu bersabda, “Tidak, demi Allah wahai Rasulullah, aku tidak menemui apapun?”

Beliau bersabda, “Lihatlah kembali, walaupun jika yang ada hanya sekadar cincin besi.” Lelaki itu pergi lagi, kemudian kembali dan berkata, “Tidak, demi Allah wahai Rasulullah, aku tidak memiliki walaupun cincin besi, tetapi yang ada hanyalah pakaianku (atau kainku) ini.”

Sahl bin Sa’d berkata, “Tidaklah kain yang dia miliki itu melainkan hanya sebahagian (separuh).”

Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bertanya, “Apa yang dapat engkau lakukan dengan kainmu itu? Bila engkau mengenakannya, maka ia tidak akan memperolehi apa-apa dan bila dia memakainya, maka engkau pula tidak akan memperolehi apa-apa.” Lalu lelaki itu pun duduk agak lama dan kemudian beranjak pergi.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melihatnya dan beliau pun segera menyuruh seseorang untuk memanggilkannya. Lelaki itu pun dipanggil, dan ketika dia datang, Rasulullah bertanya, “Adakah engkau memiliki hafalan Al-Qur’an?” Lelaki itu menjawab, “Ya, aku hafal surah ini dan ini.” Sambil dia menghitungnya. Rasulullah bertanya lagi, “Adakah engkau benar-benar menghafalnya?” Lelaki itu menjawab, “Ya.” Akhirnya Rasulullah bersabda, “Kalau begitu, pergilah. Sesungguhnya engkau telah aku nikahkan dengannya dengan mahar apa yang telah engkau hafal dari Al-Qur’an.”.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5087)

Demikian jelasnya keindahan Islam. Yang menjadi perhitungan itu bukanlah banyaknya harta milik si lelaki yang melamar. Sebaliknya akhlak, keperibadian, sikap tanggungjawab, dan agamalah yang menjadi asas perkiraan terpenting.

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا خَطَبَ إِلَيْكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ دِينَهُ وَخُلُقَهُ فَزَوِّجُوهُ إِلَّا تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الْأَرْضِ وَفَسَادٌ عَرِيضٌ

“Apabila orang yang kalian redha agama dan akhlaknya datang meminang, hendaklah kalian kahwinkannya. Sekiranya kalian tidak melaksanakannya nescaya akan menyebabkan fitnah dan kerosakan di atas muka bumi.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 1084. Dinilai hasan oleh Al-Albani)

Dua hadis yang penulis nukilkan ini cukup rasanya sebagai menunjukkan kemilauan cincin intan berlian itu bukanlah syarat untuk diterimanya sebuah lamaran. Bukan juga harta yang menimbun, bukan juga kereta mewah dan besar, bukan juga wang beribu-riban, bahkan bukan juga penampilannya yang berpakaian hebat lagi berjenama terkenal! Kerana bukan itu yang menjadi jaminan baiknya agama dan kehidupan. Tanpa agama yang benar, harta yang melimpah tidak akan mampu mendatangkan manfaat.

Demikianlah dari satu aspek. Manakala dari sisi lain dalam Islam, adat atau amalan bertukar cincin atau menetapkan adanya cincin perkahwinan, pertunangan, atau pun pernikahan itu sendiri sebenarnya sama sekali bukan berasal dari ajaran Islam. Apatah lagi mengenangkan kos perbelanjaan sebentuk cincin sahaja boleh mencecah hingga ribuan ringgit, sehingga ia mungkin akan mengheret pada amalan pembaziran dan berlebih-lebihan khasnya bagi yang kurang berkemampuan.

Cuba kita fikirkan, adakah prioriti sebuah kebahagian terletak pada ketinggian nilai sebentuk cincin?

Dari sisi lain, dari sebentuk cincin ini lahir pula adat yang dikenal sebagai adat atau upacara “sarung cincin”. Dari manakah asal datangnya adat-adat seperti ini?

Asy-Syaikh Al-Albani rahimahullah (Wafat: 1420H) mengatakan:

“Kita telah biasa mengenal adat cincin pernikahan di antara dua pasangan yang ingin menikah. Tindakan ini (adat menyarung cincin) selain meniru tradisi orang-orang kafir sehingga menjadi sebuah larangan, ia juga mengandungi pelanggaran terhadap dalil-dalil hadis yang melarang lelaki mengenakan cincin emas…” (Adaab Az-Zifaaf fii As-Sunnati Al-Muthahharah, m/s. 212 – Al-Maktabah Al-Islamiyyah)

Asal perbuatan (adat) menyarung cincin perkahwinan ini adalah berasal dari adat kepercayaan kaum Nasrani (kristian). Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Asy-Syaikh Al-Albani di dalam kitabnya, Adaab Az-Zifaaf fii As-Sunnati Al-Muthahharah.

Asy-Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin Bazz rahimahullah (Mufti Saudi Arabia) menjelaskan:

“Kami tidak mengetahui dasar amalan ini (adat sarung cincin) di dalam syari’at.” (Fatawa Islamiyyah susunan Muhammad Al-Musnid, 3/129)

Demikianlah.

Walau bagaimanapun sekiranya hanya sekadar mahar sebagaimana keluasan hal mahar dalam syari’at, atau mungkin hanya sekadar sebagai hadiah sebagaimana hadiah-hadiah lainnya tanpa sebarang pengkhususan, tiada unsur-unsur paksaan, bukan kerana memenuhi ritual-ritual khas tertentu, atau tidak sampai dijadikan sebagai kewajiban, syarat khas tertentu, mahupun kemestian, insyaAllah tidak mengapa kerana asalnya memang tidak terdapat larangan khusus untuk memberikan hadiah berupa cincin ini atau selainnya dalam rangka mengambil hati, penghormatan atau seumpamanya.agar-pernikahan-membawa-berkah

Polemik Belanja Hantaran

Hantaran kahwin, belanja hantaran, atau wang hantaran dalam Kamus Dewan merujuk; sejumlah wang yang dihantar oleh pihak lelaki kepada bakal mentua untuk perbelanjaan perkahwinan, belanja hangus; hadiah (berupa makanan, pakaian, dsb.) yang dibawa bersama wang hantaran: oleh pihak pengantin lelaki untuk pengantin perempuan. (lihat: Kamus Dewan Edisi Ke-4 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka – Cet. 2010, m/s. 510)

Adat ini ditetapkan oleh kebanyakan masyarakat Melayu secara umum iaitu dengan mewajibkan pihak lelaki (atau bakal suami) supaya membayar sejumlah wang yang dinamakan sebagai “duit hantaran” (bukan mahar) kepada keluarga pihak perempuan. Amalan wang hantaran ini agak berbeza dengan pemberian hadiah yang dilakukan secara sukarela, tanpa paksaan, dan tanpa sebarang keterikatan terhadap adat-adat tertentu. Jadi, perkara ini perlu dibezakan dan difahami dengan teliti.

Secara asasnya, pihak ayah perempuan (wali) berhak menetapkan syarat tertentu atas lelaki yang ingin memperisterikan anak perempuannya dalam rangka kemaslahatan agama mahupun dunianya, namun ia haruslah dalam batas kewajaran dan atas alasan mencari kebaikan bagi pasangan; semisal menekankan pada keupayaannya untuk menjadi seorang suami yang bertanggungjawab, mampu memberikan nafkah, bukan pasangan yang buruk tingkah lakunya, memastikan kebaikan pada agamanya, atau seumpamanya.

Ini antaranya sebagaimana dalam hadis berkaitan Fathimah binti Qays yang telah dicerai dengan tiga talak oleh suaminya. Kemudian sebaik ‘iddahnya selesai, beliau pun pergi menemui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan beliau menyatakan:

فَلَمَّا حَلَلْتُ ذَكَرْتُ لَهُ أَنَّ مُعَاوِيَةَ بْنَ أَبِي سُفْيَانَ، وَأَبَا جَهْمٍ خَطَبَانِي، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَمَّا أَبُو جَهْمٍ، فَلَا يَضَعُ عَصَاهُ عَنْ عَاتِقِهِ، وَأَمَّا مُعَاوِيَةُ فَصُعْلُوكٌ لَا مَالَ لَهُ، انْكِحِي أُسَامَةَ بْنَ زَيْدٍ» فَكَرِهْتُهُ، ثُمَّ قَالَ: «انْكِحِي أُسَامَةَ»، فَنَكَحْتُهُ، فَجَعَلَ اللهُ فِيهِ خَيْرًا، وَاغْتَبَطْتُ بِهِ

“Sebaik masa ‘iddahku selesai, aku khabarkan kepada Nabi bahawa Mu’awiyah bin Abi Sufyan dan Abu Jahm telah melamarku. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda:

“Abu Jahm adalah orang yang tidak pernah meletakkan tongkatnya dari lehernya (yakni suka memukul – pent.), manakala Mu’awiyah pula adalah seorang yang miskin, tidak memiliki harta, maka bernikahlah dengan Usamah bin Zayd.” Namun aku (Fathimah) tidak menyukainya, kemudian Nabi tetap bersabda (dalam rangka memujuk):

“Nikahlah dengan Usamah.” Maka aku pun menikah dengan Usamah, lalu Allah pun menjadikan padanya limpahan kebaikan dan kebahagiaan.” (Shahih Muslim, no. 1480)

Namun berbeza halnya dengan adat duit hantaran ini, kebanyakannya lebih dalam rangka memenuhi tuntutan adat, terkandung padanya pembaziran, memiliki unsur pemaksaan, untuk menonjolkan kemegahan atau kemewahan, dan mengambil kesempatan (mencari keuntungan) di sebalik ini semua.

Kebiasaannya (pada masa ini) syarat wang hantaran saja ada yang mencecah sehingga belasan atau puluhan ribu ringgit atau lebih dari itu bergantung kepada status sijil pendidikan si perempuan, paras kecantikannya, kebijaksanaannya, susur galur keturunannya, atau pun bergantung pada permintaan keluarga pihak perempuan yang hendak dinikahi. Soalnya, apakah begini kriteria dan nilai-nilai yang dituntut oleh agama Islam?

Lanjutan dari itu, kebiasaannya nilai wang hantaran ini akan ditetapkan oleh sama ada bakal isteri atau pihak keluarga bakal isteri. Sekali imbas, perbuatan ini seakan-akan suatu perbuatan eksploitasi wanita, mengambil kesempatan atas anak perempuan dan lelaki yang datang melamar, atau setidak-tidaknya dijadikan sebagai peluang mengaut sesuatu bentuk keuntungan dari duniawi yang tidak disyari’atkan di balik perkara ini. Dan wang ini lazimnya akan dimanfaatkan oleh keluarga si isteri.

Dari sisi ini ditakuti ia termasuk dalam perbuatan memakan harta melalui jalan yang bathil khasnya apabila membuat si suami terbeban, terasa dipaksa dan tidak redha, yakni sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ

“Dan janganlah kalian saling memakan harta di antara sesama kalian dengan jalan yang bathil.” (Surah Al-Baqarah, 2: 188)

Juga sebagaimana di ayat yang lain:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kalian saling memakan harta di antara sesama kalian dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama-suka di antara kalian.” (Surah An-Nisaa’, 4: 29)

Selain itu, terdapat juga alasan dari sebahagian pihak bagi mewajibkan adanya hantaran dengan mengatakan ia bertujuan untuk perbelanjaan walimah (kenduri) di pihak keluarga isteri.

Memang kewajiban walimah sebenarnya terbeban di bahu suami, namun bergantung pada batas kemampuan si suami di mana dia hendak melaksanakannya, tidak mesti dilaksanakan di rumah keluarganya atau keluarga perempuan. Tidak disyaratkan walimah harus berulang lebih dari sekali sampai dua atau tiga kali di tempat yang berasingan, dan ini semua bukan termasuk tuntutan dalam perlaksanaan walimah melainkan jika memang si suami berkemampuan dan menginginkannya.

Perbahasan lengkap berkaitan perlaksanaan walimah menurut sunnah boleh dicapai di artikel kami terdahulu dengan judul, “Walimatul ‘Urus Dalam Islam.”

Selanjutnya, jika kesepakatan duit hantaran tersebut dipersetujui, kedua-dua belah pihak keluarga bakal pengantin akan menetapkan pula janji agar saling bertukar barang hantaran tertentu sesama mereka. Berdasarkan kebiasaan adat Melayu Islam di negara kita hari ini biasanya mereka akan menetapkan pertukaran dulang-dulang (atau bungkusan-bungkusan) berisi barangan hantaran dengan jumlah bilangan khusus tertentu, seperti 5 dulang dari lelaki berbalas 7 dulang barangan tertentu dari pihak perempuan, atau 7 dulang dari pihak lelaki berbalas 9 dulang dari pihak perempuan, atau 9 dulang dari pihak lelaki berbalas 11 dulang dari pihak perempuan, dan seterusnya.

Pakej hantaran ini biasanya akan termasuklah sekali dengan set hiasan sirih junjungnya, set bunga telurnya, set persalinan, dan sebagainya mengikut ketentuan adat dan permintaan. Kalau dipertimbangkan dengan baik-baik, penulis pun masih tidak dapat meneliti di mana kewajarannya set bunga telur dan sirih junjung tersebut sehingga dimasukkan dalam pakej wajib perkahwinan. Malah untuk menghasilkannya sahaja perlu kepada kos yang bukan sedikit, tempahan dan kepakaran tertentu.

Ada pun sebenarnya, perbuatan dan amalan ini semua langsung tidak pernah ditetapkan oleh Islam. Perbuatan ini merupakan perbuatan yang diada-adakan dan merupakan bid’ah yang ditokok tambah ke dalam syarat-syarat perkahwinan tanpa rasa tanggungjawab. Malah bukan sedikit kes di mana amalan-amalan seperti ini hanya memberat-beratkan, membebankan, bahkan ada sehingga menjadi penghalang kepada pasangan yang hendak bernikah sekaligus melangsungkan perkahwinan. Dan yang lebih membimbangkan, pada sejarah adat-adat ini terkandung mitos kepercayaan tertentu di sebaliknya yang boleh mencemarkan kemurniaan aqidah seorang muslim.

Adapun yang menjadi sunnah di dalam agama adalah supaya memudahkan urusan nikah-kahwin ini. Tetapi apabila urusan nikah-kahwin diberat-beratkan dengan tambahan amalan-amalan seperti ini, ia dibimbangi hanya akan menyekat pasangan hendak berkahwin sekaligus menggalakkan maksiat sekiranya perkahwinan ditangguhkan hanya semata-mata disebabkan amalan, adat, dan syarat-syarat seperti ini.

Malah jauh lebih parah pada sebahagian kes yang terkait dengan adat dan budaya ini, ia menggalakkan pula budaya berhutang semata-mata kerana mahu menampung kos belanja hantaran tersebut. Jadi, ini bukanlah suatu budaya dan amalan yang baik. Sudahlah mahu mendirikan rumahtangga yang mana sudah tentu akan melibatkan perbelanjaan kehidupan masa depan yang bukan sedikit, ditambah pula dengan beban hutang yang tidak masuk dek akal seperti ini.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah mengingatkan dengan hal-hal seperti ini yang diada-adakan ke dalam Islam sehingga merosakkan imej Islam itu sendiri melalui sabdanya:

وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُورِ، فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ، وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ

“Berhati-hatilah kalian pada perkara-perkara baru yang diada-adakan di dalam agama. Setiap perkara baru (yang dimasukkan menjadi agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat.” (Sunan Abi Dawud, no. 4607. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Namun, apa yang diwajibkan atau pun diperintahkan bagi seorang lelaki sebagaimana dalam syari’at sebagai pemberian kepada bakal isterinya hanyalah berupa mahar (maskahwin), sama ada berdasarkan apa yang diminta oleh wanita tersebut atau pun tanpa diminta. Dan mas-kahwin atau mahar ini adalah hak wanita tersebut di mana pihak lain tidak seharusnya masuk campur walaupun dari kalangan ahli keluarganya sendiri. Ini berbeza dengan falsafah hantaran di mana kebiasaannya akan menjadi milik keluarga wanita atau dibahagi-bahagikan di kalangan mereka (keluarga wanita) berdasarkan adat.

Dan mahar atau maskahwin ini tidaklah semestinya dalam bentuk nilai wang ringgit atau barang-barang yang ditetapkan secara khusus oleh pihak luar tertentu. Tetapi ia harus bersesuaian dengan permintaan si wanita yang dilamar atau dinikahi dari suatu yang memiliki nilai atau manfaat; boleh jadi berupa wang, emas, perak, kitab, sebentuk cincin, kelengkapan rumah tangga, atau yang seumpamanya, dan boleh juga dengan sesuatu yang menjadi kebiasaan setempat. Dalam hal ini, si isteri dibolehkan bermusyawarah dengan walinya dalam rangka mendapatkan pandangan yang sesuai atau terbaik.wanita yang barakah_1

Namun jika si wanita tidak menetapkannya, maka hendaklah bagi si suami mengeluarkan suatu nilai tertentu yang bermanfaat untuk diberikan sebagai mahar tersebut. Dan mahar adalah kewajiban atas suami untuk diberi kepada si isteri dengan penuh rela.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً

“Berikanlah maskahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan…” (Surah An-Nisaa’, 4: 4)

Dalam ayat-Nya yang lain:

فَمَا اسْتَمْتَعْتُمْ بِهِ مِنْهُنَّ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ فَرِيضَةً

“… Maka isteri-isteri yang telah kamu nikmati (campuri) di antara mereka, berikanlah kepada mereka maharnya (dengan sempurna), sebagai suatu kewajiban…” (Surah An-Nisaa’, 4: 24)

Namun, jika perceraian berlaku sebelum sempat bercampur, maka tidak ada kewajiban mahar atas suami.

Ini sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

لَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِنْ طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ مَا لَمْ تَمَسُّوهُنَّ أَوْ تَفْرِضُوا لَهُنَّ فَرِيضَةً وَمَتِّعُوهُنَّ عَلَى الْمُوسِعِ قَدَرُهُ وَعَلَى الْمُقْتِرِ قَدَرُهُ مَتَاعًا بِالْمَعْرُوفِ حَقًّا عَلَى الْمُحْسِنِينَ

“Tidak ada kewajiban membayar atas kalian, jika kalian mentalak isteri-isteri kalian sebelum kalian sentuh (bercampur) dengan mereka dan sebelum kalian menentukan maharnya. Dan hendaklah kalian berikan suatu mut’ah (pemberian) kepada mereka. Orang yang mampu menurut kemampuannya dan orang yang faqir menurut kemampuannya (pula), yakni pemberian menurut cara yang ma’ruf. Yang demikian adalah ketentuan bagi orang-orang yang muhsin.” (Surah Al-Baqarah, 2: 236)

Dan mahar yang paling baik adalah mahar yang paling mudah, ringan atau tidak keterlaluan, iaitu yang tidak menyusahkan dan memberat-beratkan suami, apatah lagi apabila hati telah memiliki rasa suka dan saling terpaut.

Dari ‘Umar bin Al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

خَيْرُ النِّكَاحِ أَيْسَرُهُ

“Sebaik-baik pernikahan adalah yang paling mudah.” (Sunan Abi Dawud, no. 2117. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Dari hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ مِنْ يُمْنِ الْمَرْأَةِ تَيْسِيرَ خِطْبَتِهَا، وَتَيْسِيرَ صَدَاقِهَا، وَتَيْسِيرَ رَحِمِهَا

“Di antara wanita yang membahagiakan adalah yang mudah urusan melamarnya, mudah maharnya (maskahwin), dan mudah rahimnya (mudah melahirkan zuriat).” (Musnad Ahmad, no. 24478. Dinilai hasan oleh Al-Albani dan Syu’aib Al-Arnauth)

Di hadis yang lain disebutkan:

إِنَّ أَعْظَمَ النِّكَاحِ بَرَكَةً أَيْسَرُهُ مَؤُونَةً

“Pernikahan yang paling besar barakahnya adalah yang paling mudah maharnya.” (Musnad Ahmad, no. 24529. Dinilai dha’if oleh Syu’aib Al-Arnauth)

Maksud mudah di sini adalah memberi keluasan, kelonggaran dan tidak sampai membebankan pada batas kewajaran, atau dibolehkan atas alasan mendapatkan kemaslahatan.

Perbuatan meninggikan atau memberat-beratkan penetapan mahar adalah satu perbuatan yang dibenci oleh agama sebagaimana disebutkan di dalam beberapa hadis.

Umar bin Al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu berkata:

أَلَا لَا تُغَالُوا صَدُقَةَ النِّسَاءِ، فَإِنَّهَا لَوْ كَانَتْ مَكْرُمَةً فِي الدُّنْيَا، أَوْ تَقْوَى عِنْدَ اللَّهِ لَكَانَ أَوْلَاكُمْ بِهَا نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، «مَا عَلِمْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَكَحَ شَيْئًا مِنْ نِسَائِهِ وَلَا أَنْكَحَ شَيْئًا مِنْ بَنَاتِهِ عَلَى أَكْثَرَ مِنْ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ أُوقِيَّةً

“Ingatlah, jangan melampau meletakkan nilai mahar wanita. Jika itu merupakan kemuliaan di dunia atau taqwa di sisi Allah, sudah tentu yang paling utama melakukannya adalah Nabi Allah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dari apa yang aku ketahui, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak pernah memberi mahar melebihi 12 uqiyyah sama ada untuk para isterinya mahupun untuk anak-anak perempuan beliau.” (Musnad Ahmad, no. 285. At-Tirmidzi, no. 1114. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

Demikianlah mahar bagi sebaik-baik wanita dari kalangan isteri-isteri Nabi serta dari anak-anak beliau. Sudah tentu tidak ada wanita hari ini yang lebih baik dari mereka.

Sahih di dalam beberapa riwayat hadis bahawa Rasulullah dan beberapa sahabat berkahwin dengan mengeluarkan mahar yang sangat kecil. Malah di sebahagian keadaan, ada yang memberikan mahar dalam bentuk cincin besi, baju besi, memerdekakan hamba, dengan hafazan Al-Qur’an, dengan mengajarkan surah-surah tertentu dari Al-Qur’an, dengan segenggam kurma, dengan mengislamkan seseorang, dengan sebiji emas sebesar biji kurma, dan seumpamanya.

Pokoknya di sini adalah pernikahan itu dimudahkan dan diberikan keluasan, bukan dipersusahkan atau diberat-beratkan. Kalaulah penetapan mahar yang wajib itupun diperintahkan supaya dimudahkan, apatah lagi dengan hal-hal yang tidak pernah diwajibkan oleh agama?

Dalam sebuah hadis, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا خَطَبَ إِلَيْكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ دِينَهُ وَخُلُقَهُ فَزَوِّجُوهُ إِلَّا تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الْأَرْضِ وَفَسَادٌ عَرِيضٌ

“Apabila orang yang kalian redha agama dan akhlaknya datang meminang, hendaklah kalian kahwinkannya. Seandainya kalian tidak melaksanakannya nescaya akan timbul fitnah dan kerosakan di atas muka bumi.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 1084. Dinilai hasan oleh Al-Albani)

Hadis ini jelas menunjukkan pesan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam agar diperhatikan agamanya, keperibadiannya dan akhlaknya dari orang yang datang melamar sebagai keutamaan. Bukan diperhatikan apa yang dibawanya dari kereta mewah, wang beribu-ribu, atau pakaiannya yang berjenama hebat yang belum tentu menjamin kebaikan dunia mahupun akhiratnya!

Demikian juga pada pemilihan isteri, sebagaimana hadis dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لِأَرْبَعٍ: لِمَالِهَا، وَلِحَسَبِهَا، وَلِجَمَالِهَا، وَلِدِينِهَا، فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

“Wanita itu dinikahi kerana 4 perkara; kerana hartanya, kerana nasabnya (keturunannya), kerana kecantikannya, dan kerana agamanya. Maka, pilihlah wanita yang taat beragama nescaya engkau beruntung.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5090. Muslim, no. 1466)

Yang menjadi keutamaan adalah ketaatan terhadap agamanya, kerana itulah yang bakal mendatangkan keberuntungan. Bukannya dinilai pada tingginya mahar atau hantarannya.

Kata Asy-Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin Baz rahimahullah (seorang mufti besar pada masanya di ‘Arab Saudi):

“Para wali tidak boleh menetapkan syarat wang atau harta (kepada pihak lelaki) untuk diri mereka, kerana mereka tidak memiliki hak dalam perkara ini. Sebaliknya ini adalah hak si perempuan (calon isteri) sahaja, melainkan bagi si ayah. Ayah si wanita berhak mengenakan syarat kepada bakal (atau calon) menantunya sesuatu yang tidak merugikan anak wanitanya dan tidak mengganggu pernikahannya. Jika ayah tidak mengenakan syarat-syarat seperti itu maka itu lebih baik dan utama.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَأَنْكِحُوا الْأَيَامَى مِنْكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ إِنْ يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ

“Dan nikahkanlah orang-orang yang sedirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari kalangan hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurniaan-Nya.” (Surah An-Nuur, 24: 32)

(Sebagai harapan) Semoga dengan beban perbelanjaan perkahwinan yang semakin sederhana dan mudah itu maka semakin mudahlah kesucian atau kehormatan lelaki dan perempuan itu dijaga. Dan semakin berkuranglah juga perbuatan keji dan kemungkaran. Dan jumlah umat Islam pula bertambah ramai.wanita penyayang nikah

Semakin besar dan tinggi beban perkahwinan, dan semakin sengit persaingan mahar, maka akan semakin berkuranglah perkahwinan. Maka semakin berleluasa pulalah perbuatan zina dan kemungkaran. Para pemuda dan pemudi pula akan terus membujang melainkan bagi yang dikehendaki Allah.

Maka nasihat saya kepada seluruh umat Islam di mana pun mereka berada adalah supaya mempermudahkan urusan pernikahan dan saling tolong-menolong dalam perkara ini. Jauhilah dan hindarilah perbuatan menuntut mahar yang tinggi. Jauhilah juga sikap memaksa-maksakan diri dalam majlis perkahwinan yang tidak syar’i. Cukupkanlah diri dengan majlis perkahwinan yang dibenarkan syari’at yang tidak menyusah-nyusahkan pasangan pengantin.

Semoga Allah memperbaiki keadaan umat Islam seluruhnya dan memberi taufiq kepada mereka untuk tetap berpegang teguh kepada sunnah dalam setiap perkara.” (Al-Fataawaa Asy-Syar’iyyah fiil Masaa’il Al-Ashriyyah min Fataawaa ‘Ulamaa’ Al-Bilaadil Haraam himpunan Khalid bin ‘Abdurrahman Al-Juraisy, m/s. 395-396 – Mu’assasah Al-Juraisy)

Maka, cermatilah hal ini secara ilmu dan petunjuk wahyu. Permudahkanlah, jangan persulitkan. Ikutilah sunnah kerana padanya terkandung keberkahan, keselamatan, dan kemudahan. Sudah tentu ianya akan lebih mendamaikan dan mententeramkan hati kerana padanya selari dengan kebenaran.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

“(Bahawa) Allah menghendaki bagi kalian kemudahan, dan Dia tidak menghendaki bagi kalian kepayahan.” (Surah Al-Baqarah, 2: 185)

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bersabda:

إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلَّا غَلَبَهُ

“Sesungguhnya agama ini adalah mudah, dan tiada seorang pun yang cuba menyusah-nyusahkan diri di dalam perkara agama ini melainkan dia pasti akan gagal.” (Shahih Al-Bukhari, no. 39)

Adalah lebih baik seandainya beban kos yang seakan dipaksakan pada duit hantaran, cincin, dulang-dulang hantaran, atau seumpamanya tersebut dimanfaatkan untuk menjadi bekal dan modal memulakan fasa awal kehidupan sebaik memasuki alam pernikahan. InsyaAllah itu akan lebih bermanfaat.

Wallaahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest