Agar Amal Tidak Sia-sia 

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

amal-yang-diterimaSetiap daripada kita tentu tidak mahu sekiranya apa yang kita amalkan dari setiap amal-amal kita sehari-hari menjadi sia-sia dan tidak diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Sedangkan kita telah berusaha bersungguh-sungguh dan menghabiskan segenap qudrat untuk melakukan dengan sebaik-baiknya.

Tentu kita amat bimbang menjadi orang-orang yang sia-sia amalannya lalu menjadilah kita orang-orang yang rugi di akhirat kelak. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِالأخْسَرِينَ أَعْمَالا الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا

“Katakanlah (wahai Muhammad), “Adakah perlu kami beritahu kepadamu tentang orang yang paling rugi amalannya?” Iaitu orang-orang yang sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia sedangkan mereka beranggapan telah melakukan yang sebaik-baiknya.” (Surah Al-Kahfi, 18: 103-104)

Kata Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H):

“Ayat ini bersifat umum mencakupi setiap orang yang beribadah kepada Allah tetapi tidak menggunakan cara yang diredhai-Nya. Mereka beranggapan apa yang dilakukannya telah benar dan amal perbuatannya akan diterima, tetapi rupanya sangkaan mereka meleset dan amalnya pun ditolak.

Firman Allah, “… orang-orang yang sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia…” Maksudnya, mengerjakan amal yang bathil yang tidak bersesuaian dengan syari’at yang telah ditetapkan dan diredhai serta diterima.

Firman Allah, “… sedangkan mereka beranggapan telah melakukan yang sebaik-baiknya.” Maksudnya, mereka menyangka bahawa mereka akan mendapat suatu manfaat dan mereka menyangka mereka adalah orang-orang yang diterima amalnya dan dicintai oleh Allah.” (Tafsir Ibnu Katsir, 5/202)

Kata Ibnu Mas’oud radhiyallahu ‘anhu:

وَكَمْ مِنْ مُرِيدٍ لِلْخَيْرِ لَنْ يُصِيبَهُ

“Berapa ramai orang yang inginkan kebaikan, tetapi tidak mendapatkannya.” (Sunan Ad-Darimi, no. 210)

Pada hari ini ramai dari kalangan kita berlumba-lumba untuk beramal ibadah dengan semaksima yang mungkin. Yang mana supaya dengan amal-amal tersebut dapat membantu kita untuk meraih keredhaan dan rahmat dari-Nya.

Umumnya, ia adalah sikap yang sangat positif dan perlu dipandang baik. Di saat banyaknya kelompok manusia yang mengabaikan amal-amal ibadah sama ada yang wajib, fardhu, atau sunnah, sikap sebahagian umat Islam lainnya yang berlumba-lumba dalam beramal kebaikan adalah wajar diikuti dan dicontohi.

Namun, dalam keghairahan kita beramal dan beribadah, adakalanya kita mungkin terlupa beberapa aspek utama yang menjadi tunjang diterimanya sesuatu amalan tersebut.

Pengertian Ibadah 

Ibadah kepada Allah Ta’ala adalah segala sesuatu yang apabila kita melaksanakannya atau meninggalkannya ia akan dicintai dan diredhai oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Setiap amal ibadah diikat dengan beberapa syarat. Setiap amal ibadah perlu dilaksanakan dengan petunjuk dalil (wahyu), iaitu mengikuti sunnah. Amal ibadah tidak boleh direka mahupun diada-adakan. Dalil adalah petunjuk dan bukti bahawa sesuatu amalan itu merupakan ibadah. Dan dengan dalil (wahyu)lah kita akan mengetahui dan memahami sesuatu amalan itu dicintai oleh Allah atau tidak, diredhai oleh Allah atau tidak. Dengan petunjuk wahyu-lah kita mengetahui bagaimana untuk beramal dengan benar.

Para ulama menyatakan bahawa:

التقرير فى العبادة إنما يؤخذ عن توقيف

“Penetapan dalam ibadah adalah dengan mengambil dari apa yang telah ditetapkan (oleh dalil).” (Fath Al-Bari Syarh Shahih Al-Bukhari, 2/80)

Kemudian, setiap amal hendaklah dilaksanakan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah dengan tidak mensyirikkan-Nya. Syarat dan kriteria asas inilah yang bakal menentukan sama ada amal-amal kita diterima oleh Allah ataupun tidak.

Mengikuti Sunnah 

Suatu perkara yang amat penting adalah melakukan amal ibadah itu dengan berpandukan wahyu (dalil), yakni Al-Qur’an dan As-Sunnah. Tidaklah diterima suatu amalan jika tidak terdapat contohnya (petunjuk atau saranannya) dari Al-Qur’an dan As-Sunnah. Maka, jika sesuatu amalan yang dilakukan itu tidak terdapat saranannya atau bimbingannya dari dua sumber tersebut, maka ianya bukanlah dari Islam walaupun ia diniatkan kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

“Katakanlah (wahai Muhammad kepada mereka), “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.”.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 31)

Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) menjelaskan melalui tafsirnya:

“Ayat yang mulia ini menghukumi setiap mereka yang mengaku mencintai Allah tetapi mereka tidak mengikuti petunjuk Muhammad Shallallahu ‘alahi wa Sallam. Maka jelaslah pengakuannya itu hanya suatu pendustaan sampailah mereka benar-benar mengikuti syari’at Muhammad dan agama nabawi di dalam setiap ucapan dan perbuatannya. Ini adalah sebagaimana yang terdapat dalam Ash-Shahih daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam (sabdanya):

“Sesiapa yang melakukan suatu amal yang tidak ada perintahnya daripada kami, maka amalan tersebut tertolak (tidak diterima).” (Hadis Riwayat Muslim).” (Tafsir Ibnu Katsir, 2/32)

Dalam ayat yang lain, Allah Subhanahu wa Ta’ala menjelaskan:

فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُمْ مِنِّي هُدًى فَمَنِ اتَّبَعَ هُدَايَ فَلا يَضِلُّ وَلا يَشْقَى

“Jika datang kepada kalian petunjuk daripada-Ku, maka sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku itu nescaya dia tidak akan sesat dan dia tidak akan menderita (dengan azab sengsara).” (Surah Thoha, 20: 123)

Sa’id bin Jubair rahimahullah berkata:

لا يقبل قول وعمل إلا بنية ، ولا يقبل قول وعمل ونية إلا بموافقة السنة

“Tidak akan diterima ucapan dan amalan melainkan dengan niat (lahir dari hati). Dan tidak akan diterima ucapan, amalan, dan niat melainkan apabila bersesuaian dengan As-Sunnah.” (Al-Amru bil Ma’ruf wan Nahyu ‘anil Munkar oleh Ibnu Taimiyah, m/s. 64)

Dalam usaha mengikuti sunnah ini, tidak dapat tidak seseorang itu perlu terlebih dahulu mempelajari sunnah itu sendiri, yakni berilmu sebelum beramal. Maka, dari sinilah pentingnya aspek ilmu. Supaya apabila kita berilmu, kita akan dapat mengenal dan memahami apa yang sunnah dan apa yang bukan. Apa yang harus diamalkan dan apa yang perlu ditinggalkan. Apa yang akan diterima oleh Allah, dan apa yang tidak akan diterima oleh Allah. Apa yang Dia cintai dan apa yang dibenci oleh-Nya.

Tidaklah nanti kita hanya bersangka-sangka sahaja suatu amalan itu sunnah dan mendatangkan kebaikan, tetapi hakikatnya tidak. Dengan ilmulah kita mampu mengenal pasti sumber-sumber yang betul dalam mengambil sunnah dan agama ini, mengetahui sesuatu hadis itu sahih atau pun tidak, memahami maksud suatu hadis, memahami tafsir ayat-ayat Al-Qur’an, dan seumpamanya.

Sebagai contoh, pada hari ini ada sebahagian umat Islam yang mengamalkan zikir-zikir harian tertentu yang tidak diketahui sumber ambilannya, kaifiyat tatacaranya, dan fadhilatnya. Contohnya, ada yang menganjurkan supaya mengamalkan bacaan tahlil (laa ilaaha illallah) sebanyak 10000 kali setiap hari dan berkeyakinan padanya memiliki fadhilat-fahilat tertentu jika diamalkan dengan jumlah tersebut. Kemudian ada juga yang mengamalkan selawat syifa’ di setiap kali sebelum tidur supaya dijauhkan dari pelbagai penyakit.

Tetapi bila diteliti, kita pun tidak tahu dari mana datangnya kaedah dan bentuk-bentuk pengamalan zikir-zikir seperti ini. Tidak dari sunnah, tidak juga dari amalan para sahabat Rasulullah.

Ikhlas dan Tidak Syirik

Sebagaimana disebutkan tadi, setiap amal ibadah yang hendak dilaksanakan mestilah di atas landasan aqidah Islam yang suci murni dari segala bentuk kesyirikan serta ikhlas semata-mata kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala. Setiap amal yang dilakukan di luar ruang lingkup aqidah Islam dan keikhlasan yang tulus, maka ia akan menjadi sia-sia.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepada engkau (Wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripada engkau: “Demi sesungguhnya, sekiranya Engkau (dan pengikut-pengikutmu) berbuat syirik, sudah tentu segala amalanmu akan terhapus, dan engkau akan tetap menjadi orang-orang yang rugi.”.” (Surah Az-Zumar, 39: 65)

وَلَوْ أَشْرَكُوا لَحَبِطَ عَنْهُمْ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

“Dan sekiranya mereka mensyirikan Allah, nescaya gugurlah dari mereka apa yang telah mereka lakukan (dari amal-amal yang baik).” (Surah Al-An’aam, 6: 88)

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

إِنَّ اللَّهَ لاَ يَقْبَلُ مِنَ الْعَمَلِ إِلاَّ مَا كَانَ لَهُ خَالِصًا، وَابْتُغِيَ بِهِ وَجْهُهُ

“Sesungguhnya Allah tidak menerima sesuatu amalan melainkan jika amalan tersebut ikhlas untuk-Nya dan yang dicari dengan amalan tersebut adalah wajah Allah.” (Sunan An-Nasaa’i, no. 3140. Dinilai hasan oleh Al-Albani)

Oleh itu, bagi kita yang memiliki semangat dan keghairahan dalam beramal hendaklah memberi perhatian dan penekanan dalam dua aspek utama ini. Iaitu ikhlas dan menepati sunnah.

Al-Imam Fudhail bin ‘Iyadh rahimahullah (Wafat: 187H) berkata:

إنَّ العملَ إذا كان خالصاً، ولم يكن صواباً، لم يقبل، وإذا كان صواباً، ولم يكن خالصاً، لم يقبل حتّى يكونَ خالصاً صواباً، والخالصُ إذا كان لله عز وجل، والصَّوابُ إذا كان على السُّنَّة

“Apabila amal dilakukan dengan ikhlas tetapi tidak dilakukan dengan BENAR, amalan tersebut tidak akan diterima.

Demikian juga apabila suatu amalan dilakukan dengan benar tetapi tidak iKHLAS, amalan tersebut juga tidak akan diterima sampailah ia iKHLAS dan BENAR.

IKHLAS adalah apabila amalan tersebut dilakukan semata-mata kerana Allah ‘Azza wa Jalla dan BENAR ialah jika amal perbuatan tersebut bertepatan dengan sunnah (petunjuk Nabi).” (Ma’alim At-Tanziil oleh Al-Baghawi, 8/176. Jami’ Al-‘Ulum wa Al-Hikam oleh Ibnu Rajab Al-Hanbali, 3/20)

Oleh itu, di samping berusaha bersungguh-sungguh mengikuti sunnah, kita perlu sama bersungguh-sungguh menjaga keikhlasan kita agar murni semata-mata kerana Allah dengan menjauhi segala bentuk syirik terhadap-Nya.

Jangan nanti beramal separuh mati, tetapi dalam hatinya bercampur dengan riya’, menunjuk-nunjuk, aqidahnya bergelumang pula dengan kepercayaan-kepercayaan syirik seperti mempertikaikan takdir, mempercayai ramalan bintang (horoskop), terlibat dalam perbomohan, pertangkalan, dan pelbagai bentuk bid’ah khurafat. Takut-takut kita menyangka telah berbuat sebaik-baiknya, tetapi rupanya sia-sia belaka.

Semoga Allah Subhanahu wa Ta’ala mengurniakan kepada kita semua ilmu dan keikhlasan dalam melaksanakan amal-amal yang Dia cintai dan redhai.

Wallahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest