Agar Bacaan Al-Qur’an Lebih Menyentuh Hati

Ustazd Dzulqarnain M. Sunusi
www.dzulqarnain.net

Allah Subhânahu wa Ta’âlâ memerintahkan Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa Sallam sebagaimana dalam firman-Nya,

وَاتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنْ كِتَابِ رَبِّكَ لَا مُبَدِّلَ لِكَلِمَاتِهِ وَلَنْ تَجِدَ مِنْ دُونِهِ مُلْتَحَدًا

“Dan bacakanlah apa-apa yang diwahyukan kepadamu, iaitu kitab Rabb-mu (Al-Qur’an). Tiada (seorang pun) yang dapat mengubah kalimat-kalimat-Nya. Dan engkau tidak akan dapat menemukan tempat berlindung selain Dia.” [Surah Al-Kahf, 18: 27]

Juga dalam firman-Nya,

إِنَّمَا أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ رَبَّ هَذِهِ الْبَلْدَةِ الَّذِي حَرَّمَهَا وَلَهُ كُلُّ شَيْءٍ وَأُمِرْتُ أَنْ أَكُونَ مِنَ الْمُسْلِمِينَ. وَأَنْ أَتْلُوَ الْقُرْآنَ

“Aku hanya diperintah untuk menyembah Rabb negeri (Makkah) ini Yang telah menjadikan (negeri) itu suci, dan kepunyaan-Nya-lah segala sesuatu. Serta, aku diperintah agar aku tergolong sebagai orang-orang yang berserah diri, dan supaya aku membacakan Al-Qur’an (kepada manusia).” [Surah An-Naml, 27: 91-92]

Kepada kaum mukminin, Allah ‘Azza wa Jalla menganjurkan,

إِنَّ الَّذِينَ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَنْفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً يَرْجُونَ تِجَارَةً لَنْ تَبُورَ. لِيُوَفِّيَهُمْ أُجُورَهُمْ وَيَزِيدَهُمْ مِنْ فَضْلِهِ إِنَّهُ غَفُورٌ شَكُورٌ.

“Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca (tilawah) kitab Allah, mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka secara diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan merugi. (iaitu) agar Dia menyempurnakan pahala untuk mereka dan menambah kepada mereka dari kurnia-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri.” [Surah Fathir, 35: 29-30]

Tidak diragukan bahawa membaca Al-Qur’an adalah salah satu tugas asas seorang muslim dan muslimah serta sumber kebaikan dan kebahagiaan yang dia tidak sepatutnya terlepas dari kehidupannya.

Membaca Al-Qur’an sesuai dengan perintah Allah ‘Azza wa Jalla akan mewariskan keimanan yang sangat agung terhadap Allah dan akan menambah keyakinan, ketenangan, dan kelembutan. (Majmû’ Al-Fatâwâ, 7/283 karya Ibnu Taimiyah)

Allah Subhânahu wa Ta’âlâ berfirman,

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا.

“Dan dari Al-Qur’an, Kami menurunkan sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman, sedang Al-Qur’an itu tidaklah menambah (sesuatu) kepada orang-orang zalim, kecuali kerugian.” [Surah Al-Isra’, 17: 82]

Keutamaan dan manfaat membaca Al-Qur’an sudah tentu sangatlah banyak. Namun, yang menjadi masalah pada sebahagian kaum muslimin pembaca Al-Qur’an adalah kurangnya pengaruh atau kesan terhadap jiwa dalam membaca Al-Qur’an Al-Karim.

Oleh kerana itu, pada tulisan ini, kami akan menjelaskan beberapa kaedah yang dapat membantu seorang muslim dan muslimah agar hati dan jiwanya lebih tersentuh serta lebih membuat dia mampu merasa cinta dan mengagungkan Al-Qur’an.

Berikut penjelasan beberapa kiat tersebut dengan memohon pertolongan kepada Allah.

Pertama, mengetahui keutamaan, keagungan darjat, dan ketinggian kedudukan Al-Qur’an sehingga seseorang membaca Al-Qur’an dengan penuh kegembiraan dan rasa harap, serta penuh penghormatan, pengagungan, dan rasa takut kepada Allah, Yang menurunkan Al-Qur’an tersebut. Allah Subhânahu wa Ta’âlâ berfirman,

يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُمْ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ. قُلْ بِفَضْلِ اللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُوا هُوَ خَيْرٌ مِمَّا يَجْمَعُونَ.

“Wahai manusia, sesungguhnya telah datang pelajaran dari Rabb kalian kepada kalian, penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada, serta petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. Katakanlah, “Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah mereka bergembira dengan itu. (Kurnia Allah dan rahmat-Nya) itu adalah lebih baik dari apa-apa yang mereka kumpulkan. ” [Surah Yunus, 10: 57-58]

Kedua, pengetahuan seorang hamba bahawa Al-Qur’an adalah kalamullah (firman Allah) yang merupakan sebaik-baik perbicaraan dan ucapan jujur yang teragung dan terbenar.

Mencermati atau meneliti bahawa Al-Qur’an adalah kalamullah akan membuat pembaca Al-Qur’an merasakan bahawa seakan-akan Allah berbicara kepadanya. Tentunya, pengagungan seperti ini akan berpengaruh (memberi kesan) kepada hati seorang hamba. Allah ‘Azza wa Jalla berfirman,

ذَلِكَ وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوبِ.

“Demikianlah (perintah Allah), dan sesiapa yang mengagungkan syi’ar-syi’ar Allah, sesungguhnya itu timbul dari ketaqwaan hati.” [Surah Al-Hajj, 22: 32]

Ketiga, membaca Al-Qur’an dengan mentadabburi dan mencermati kandungannya.

Kerana, maksud utama penurunan Al-Qur’an adalah agar kita mentadabburi ayat-ayat-Nya sebagaimana yang dijelaskan dalam firman-Nya,

كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ.

“Ini adalah sebuah kitab penuh berkah yang Kami turunkan kepadamu supaya mereka mentadaburi (memperhatikan) ayat-ayatnya dan agar orang-orang yang mempunyai fikiran mendapat pelajaran.” [Surah Shad, 38: 29]

Meninggalkan tadabbur terhadap Al-Qur’an akan menimbulkan kekerasan dalam hati. Allah Subhânahu wa Ta’âlâ menegaskan,

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَى قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا.

“Maka apakah mereka tidak menadabburi Al-Qur’an, ataukah hati mereka terkunci?” [Surah Muhammad, 47: 24]

Hendaklah diketahui bahawa mentadabburi dan mencermati Al-Qur’an adalah lebih baik dari sekadar membaca Al-Qur’an. Oleh kerana itu, Ibnu Hajar Al-Asqalâni rahimahullâh berkata (dalam kitab Fathul Bâri), “Siapa sahaja yang membaca (Al-Qur’an) dengan tartil dan mencermati (Al-Qur’an), dia bagaikan orang yang bersedekah dengan suatu permata yang sangat mahal.”

Ibnul Qayyim rahimahullâh berkata (dalam kitab Miftâh Dâr As-Sa’âdah), “Sesiapa yang membaca Al-Qur’an dengan tafakkur (memikirkan dan merenunginya) hingga, jika melalui sebuah ayat yang dia perlukan dalam mengubati hatinya, dia mengulangi walaupun seratus kali, bahkan semalam penuh, kerana membaca satu ayat dengan tafakkur dan memahami (ayat) itu adalah lebih baik berbanding bacaan khatam tanpa tadabbur dan memahami. (Hal tersebut) juga lebih bermanfaat bagi hati dan lebih mengajak untuk meraih keimanan dan merasakan kemanisan Al-Qur`an.”

Keempat, membaca Al-Qur’an dengan memohon perlindungan kepada Allah Ta’âlâ dari gangguan syaithan yang terkutuk. Allah ‘Azza wa Jalla memerintahkan,

فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

“Apabila membaca Al-Qur’an, hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah dari syaithan yang terkutuk.” [Surah An-Nahl, 16: 98]

Hendaklah dia membaca, “A’ûdzu billâhi minasy syaithânir rajîm,” dengan menyedari bahawa syaithan benar-benar berusaha memalingkannya dari mengambil manfaat dan mengamalkan Al-Qur’an.

Kelima, membaca Al-Qur`an dengan rasa khusyu’. Allah telah memerintah, disertai dengan peringatan, kepada orang-orang yang beriman dalam firman-Nya,

أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ آمَنُوا أَنْ تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ اللَّهِ وَمَا نَزَلَ مِنَ الْحَقِّ وَلَا يَكُونُوا كَالَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلُ فَطَالَ عَلَيْهِمُ الْأَمَدُ فَقَسَتْ قُلُوبُهُمْ وَكَثِيرٌ مِنْهُمْ فَاسِقُونَ.

“Belumkah datang waktunya, bagi orang-orang yang beriman, untuk hati mereka khusyu’ dalam mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka). Janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al-Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka, (tetapi) kemudian hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang fasik.” [Surah Al-Hadîd, 57: 16]

Keenam, membaca Al-Qur’an secara tartil.

Allah telah memerintahkan dalam firman-Nya,

وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا.

“Dan bacalah Al-Qur’an itu secara tartil (perlahan-lahan).” [Surah Al-Muzzammil, 73: 4]

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa Sallam telah memberi contoh dengan membaca secara tartil dalam solat malamnya. Jika melewati bacaan ayat yang mengandungi tasbih, beliau bertasbih. Jika melewati bacaan ayat tentang rahmat, beliau berhenti dan memohon rahmat Allah. Bila melalui bacaan ayat tentang ayat adzab, beliau pun berlindung kepada Allah. (Sebagaimana dalam riwayat Muslim)

Dalam sebuah hadits, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa Sallam mengerjakan solat malam hanya dengan mengulangi membaca satu ayat, iaitu firman Allah Ta’âlâ,

إِنْ تُعَذِّبْهُمْ فَإِنَّهُمْ عِبَادُكَ وَإِنْ تَغْفِرْ لَهُمْ فَإِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ.

“Jika Engkau menyiksa mereka, sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba Engkau, tetapi jika Engkau mengampuni mereka, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” [Surah Al-Maidah: 118]. (Diriwayatkan oleh Ahmad, An-Nasâ’iy, dan Ibnu Mâjah dengan sanad yang hasan. Bacalah: Ashl Shifât Ash-Shalah, 2/534-535 karya Al-Albâni)

Ketujuh, mempelajari kandungan dan tafsir Al-Qur’an dari para ulama.

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa Sallam mengingatkan,

وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ.

“Tidaklah suatu kaum berkumpul di sebuah rumah (baca: masjid) di antara rumah-rumah Allah, yang mereka membaca kitab Allah dan saling mempelajari (kitab) tersebut di antara mereka, kecuali bahawa pasti turun ketenangan di tengah mereka, mereka akan diliputi rahmat, dinaungi oleh para malaikat, dan Allah akan menyebut mereka (di depan para malaikat) di sisi-Nya.”

Kedelapan, memahami makna tilawah Al-Qur’an yang sebenarnya.

Allah Subhânahu wa Ta’âlâ berfirman,

الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَتْلُونَهُ حَقَّ تِلَاوَتِهِ أُولَئِكَ يُؤْمِنُونَ بِهِ وَمَنْ يَكْفُرْ بِهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ.

“Orang-orang yang telah Kami beri Al-Kitab, mereka menilawah (Al-Qur’an) dengan bacaan yang sebenarnya. Mereka itu beriman kepada (Al-Qur’an). Dan sesiapa yang ingkar terhadap (Al-Qur’an), mereka itulah orang-orang yang merugi.” [Surah Al-Baqarah, 2: 121]

Tilawah terhadap Al-Qur’an adalah dengan tiga hal:

1, Membacanya bersesuaian dengan ketentuan-ketentuan pembacaan Al-Qur’an yang ada di kalangan ahli qirâ’ah dan tajwid.

2, Memahami kandungan dan penafsirannya.

3, Mengimani dan mengamalkan kandungan dan hukum-hukumnya. (Ahkâm Min Al-Qur’ân Al-Karîm, 1/322 karya Syaikh Soleh bin ‘Utsaimin)

Kesembilan, mencontoh keadaan para nabi dan orang-orang soleh dalam membaca Al-Qur’an.

Salah satu sifat para malaikat, yang selalu taat dan takut kepada Allah ‘Azza wa Jalla, adalah membaca kalamullah sebagaimana dalam firman-Nya,

فَالتَّالِيَاتِ ذِكْرًا.

“Dan demi (rombongan malaikat) yang membacakan Kalamullah.” [Surah Ash-Shaffât, 37: 3]

Tentang para nabi, Allah Subhânahu wa Ta’âlâ berfirman,

أُولَئِكَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّينَ مِنْ ذُرِّيَّةِ آدَمَ وَمِمَّنْ حَمَلْنَا مَعَ نُوحٍ وَمِنْ ذُرِّيَّةِ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْرَائِيلَ وَمِمَّنْ هَدَيْنَا وَاجْتَبَيْنَا إِذَا تُتْلَى عَلَيْهِمْ آيَاتُ الرَّحْمَنِ خَرُّوا سُجَّدًا وَبُكِيًّا.

“Mereka itu adalah orang-orang yang telah Allah beri nikmat, iaitu para nabi dari keturunan Adam, dari orang-orang yang Kami angkat bersama Nuh, dari keturunan Ibrahim dan Israil, serta dari orang-orang yang telah Kami beri petunjuk dan telah Kami pilih. Apabila ayat-ayat Allah Yang Maha Pemurah dibacakan kepada mereka, mereka menyungkur dengan bersujud dan menangis.” [Surah Maryam: 58]

Juga, Allah menjelaskan sifat orang-orang yang berilmu saat mendengar ayat-ayat Allah sebagaimana dalam firman-Nya,

إِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ مِنْ قَبْلِهِ إِذَا يُتْلَى عَلَيْهِمْ يَخِرُّونَ لِلْأَذْقَانِ سُجَّدًا. وَيَقُولُونَ سُبْحَانَ رَبِّنَا إِنْ كَانَ وَعْدُ رَبِّنَا لَمَفْعُولًا. وَيَخِرُّونَ لِلْأَذْقَانِ يَبْكُونَ وَيَزِيدُهُمْ خُشُوعًا.

“Sesungguhnya orang-orang yang diberi pengetahuan sebelumnya, apabila dibacakan Al-Qur’an kepada mereka, menyungkur di atas muka mereka sambil bersujud seraya berkata, “Maha Suci Rabb kami, sesungguhnya janji Rabb kami pasti dipenuhi.” Dan mereka bersungkur di atas muka mereka sambil menangis, dan mereka pun bertambah khusyu’.” [Surah Al-Isra’, 17: 107-109]

Nabi kita, Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa Sallam, menangis pada banyak keadaan ketika membaca Al-Qur’an atau ketika mendengar bacaan Al-Qur’an para sahabat sebagaimana telah sah dalam sejumlah hadits.

Kesepuluh, kebimbangan terhadap diri bila tergolong sebagai orang-orang yang meninggalkan dan mengabaikan Al-Qur’an.

Allah Subhânahu wa Ta’âlâ telah mengingatkan,

وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا.

“Berkatalah Rasul, “Wahai Rabb-ku, sesungguhnya kaumku menjadikan Al-Qur’an itu sebagai sesuatu yang tidak diambil endah.”.” [Surah Al-Furqan: 30]

Ibnul Qayyim rahimahullâh menyebut lima bentuk tentang meninggalkan Al-Qur’an (dalam kitab beliau Al-Fawâ’id):

1, Meninggalkan mendengar, mengimani, dan memperhatikan Al-Qur’an.

2, Meninggalkan beramal dengan Al-Qur’an serta berhenti pada setiap halal dan haramnya.

3, Meninggalkan berhukum dan tahâkum kepada Al-Qur’an.

4, Meninggalkan tadabbur dan memahami (Al-Qur’an).

5, Meninggalkan berubat dan mencari kesembuhan dengan (Al-Qur’an).

Demikianlah sepuluh kaedah agar hati lebih tersentuh ketika membaca Al-Qur’an. Semoga Allah membersihkan hati dan jiwa kita dari segala dosa dan maksiat, dari segala penyakit dan bahaya, serta semoga Allah sentiasa memerangi dan menyejukkan hati-hati kita dengan Al-Qur’an Al-Karim. Innahu waliyyu dzalika wal qadiru ‘alaihi wa huwa jawwadun karîm.

[Disarikan dari Makalah Tsamaniyyah Khathawât Min Ajl Qirâ’ah Mu`tsirah Li Al-Qur`ân Al-Karîm dengan banyak tambahan]
Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest