Agar Menjadi Orang Kaya Walau Sedikit Hartanya

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

sedekah-tidak-megurangi-harta

Ramai yang menginginkan hidup dalam keadaan serba berharta, kerana dengan harta apa-apa dikehendaki dapat dipenuhi. Dari hal tersebut, mereka pun beranggapan sekiranya hidup mewah harta melimpah-ruah, sudah tentu hati akan senang kerana apa diingini akan tercapai. Itulah kebanyakan andaian yang digembar-gemburkan. Lalu menjadilah dari kebanyakan kita hidupnya bersusah-payah semata-mata untuk mengumpul harta sehingga terlalai pelbagai perkara yang lebih utama.

Hakikatnya, tidak sedikit orang yang hartanya banyak, gajinya lumayan, rumahnya besar, kerjayanya gah, berjawatan besar, keretanya tak cukup satu, tapi waktunya tiada yang lapang. Dia tak punya masa untuk berehat yang memuaskan, dan apa yang lebih menduka-citakan adalah agamanya pun terlalaikan.

Dia terpaksa bekerja dan terus bekerja agar hartanya terjaga dan terus bertambah. Sampai satu waktu apabila hartanya sudah bertambah dan menimbun, dia lelah memikirkan bagaimana harus menjaganya agar tidak diusik orang. Kesibukannya pun bertambah-tambah. Namun hatinya masih tidak juga puas dan angan-angannya tidak pernah habis.

Orang seperti ini hatinya akan sengsara. Dia bekerja siang dan malam mengumpul harta yang tidak tahu entah berapa banyak lagi akan mampu memuaskannya. Sudah ada rumah besar, dia mahu tambah besar lagi. Sudah ada kereta mewah, dia mahu kereta lain yang lebih mewah lagi. Hatinya sering mengeluh rasa kekurangan dan jiwanya pula selalu membentak.

Sebagaimana dalam sebuah hadis, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah mengatakan:

لَوْ أَنَّ لِابْنِ آدَمَ وَادِيًا مِنْ ذَهَبٍ أَحَبَّ أَنْ يَكُونَ لَهُ وَادِيَانِ، وَلَنْ يَمْلَأَ فَاهُ إِلَّا التُّرَابُ

“Kalau seandainya anak Adam diberi sebukit emas, nescaya dia akan mengharapkan lebih banyak bukit-bukit emas lainnya. Dan tidaklah yang memenuhi mulutnya melainkan tanah.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6439)

Dengan keadaan seperti ini, tidak tepat jika kita katakan kekayaan itu adalah dengan melimpahnya harta bersama segala macam kemewahan. Sebaliknya amat tepatlah apa yang diungkap oleh sebaik-baik teladan dan ikutan manusia, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ، وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ

“Bukanlah kekayaan itu diukur dengan limpahan kemewahan dunia. Tetapi kekayaan itu adalah kekayaan (yakni rasa cukup) pada hati.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6446. Muslim, no. 1051)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah bertanya kepada sahabatnya, Abu Dzar:

يَا أَبَا ذَرّ أَتَرَى كَثْرَة الْمَال هُوَ الْغِنَى؟ قُلْت: نَعَمْ. قَالَ: وَتَرَى قِلَّة الْمَال هُوَ الْفَقْر؟ قُلْت: نَعَمْ يَا رَسُول اللَّه. قَالَ: إِنَّمَا الْغِنَى غِنَى الْقَلْب، وَالْفَقْر فَقْر الْقَلْب

“Wahai Abu Dzar, adakah engkau menganggap bahawa banyaknya harta itu yang disebut sebagai kaya (mewah)?” Jawab Abu Dzar, “Benar.”fitnah miskin dan kaya

Rasulullah bertanya lagi, “Adakah engkau menganggap bahawa sedikitnya harta itu bermakna faqir (miskin)?” Jawab Abu Dzar, “Benar ya Rasulullah.”

Rasulullah pun bersabda, “Sesungguhnya apa yang dinamakan kaya adalah kayanya hati. Dan faqir adalah faqirnya hati (yang tidak pernah merasa cukup).” (Shahih Ibnu Hibban, no. 685. Dinilai sahih oleh Al-Albani dan Syu’aib Al-Arnauth)

Sebenarnya kekayaan tidak akan dirasa dengan limpahan harta. Sebaliknya kekayaan akan terkecapi apabila hati sentiasa merasa cukup, puas, syukur, lapang, tenang, dan senang terhadap segala kurniaan Allah, walaupun hartanya sedikit. Lalu dengan harta itu menjadikan dirinya mampu melaksanakan agamanya (mengabdi kepada Allah dengan benar), dan memang itulah tujuan kehidupan yang paling penting di mana harta hanyalah sekadar sebahagian dari sarana dan amanah.

Seorang mukmin yang kaya adalah yang sentiasa merasa cukup dengan harta yang dimilikinya, yang dia usahakan dengan jalan yang halal tanpa menyibukkan dirinya dari kewajiban terhadap Allah, lalu dia menggunakan pula harta tersebut untuk sentiasa mendekatkan diri kepada Rabb-nya. Iaitu bukan untuk bermaksiat dan bukan pula menggunakannya untuk perkara yang sia-sia lagi tercela.

Sebagai contoh, apabila memiliki kenderaan, dengan kenderaan tersebut dia menuju masjid di setiap waktunya. Apabila dikurniakan harta, dia menjaganya, menghargainya, memanfaatkannya, melaksanakan kewajibannya, menafkahkan pada orang-orang yang di bawah jagaannya, dan membelanjakannya dengan jalan yang halal. Apabila dia memiliki makanan dia memakannya sebagai bekal tenaga untuk beramal dan menjalankan kewajibannya.

Apabila memiliki wang dia belanjakan wang tersebut untuk keperluan dirinya, keluarganya, dan agamanya. Dia tidak keterlaluan dengannya dan tidak pula membazir dengan apa yang tidak diperlukannya. Dia bijak membahagikan harta antara  keperluannya, amalnya, menuntut ilmu, dan melaksanakan agamanya. Jika diberi kelebihan dia mampu bersedekah, berzakat, dan membantu golongan memerlukan.

Sebagaimana Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

إِنَّ هَذَا الْمَالَ خَضِرَةٌ حُلْوَةٌ، فَمَنْ أَخَذَهُ بِحَقِّهِ، وَوَضَعَهُ فِي حَقِّهِ، فَنِعْمَ الْمَعُونَةُ هُوَ، وَمَنْ أَخَذَهُ بِغَيْرِ حَقِّهِ، كَانَ كَالَّذِي يَأْكُلُ وَلَا يَشْبَعُ

“Sesungguhnya harta itu ibarat tanaman hijau yang manis. Sesiapa yang mengambilnya dengan cara yang benar lalu meletakkannya dengan cara yang benar, maka harta tersebut adalah sebaik-baik penolong baginya. Dan sesiapa yang mengambilnya dengan cara yang tidak benar, maka dia seperti orang yang makan tetapi tidak pernah merasa kenyang.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6427. Muslim, no. 1052)

Kalau dikenangkan baik-baik, betapa ramai manusia di luar sana yang kaya-raya, hartanya melimpah ruah, tetapi tidak mampu membeli masa untuk agama dan keluarganya, pelbagai kewajibannya yang lebih utama terus dia lalaikan. Ada pula yang semakin banyak harta yang dimiliki semakin banyak pula dia berseronok dan membeli yang haram. Akhirnya kerana harta yang melimpah dia pun meremehkannya lalu berbuat perkara sia-sia lagi tercela. Maka hartanya tidak bermanfaat sedikitpun.

Para ulama mengungkap keadaan manusia seperti ini sebagai orang yang faqir lagi miskin hatinya. Dia tertipu dengan dunia, nikmat kesihatan dan masa lapangnya disia-siakan.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ: الصِّحَّةُ وَالفَرَاغُ

“Dua nikmat yang padanya ramai manusia tertipu: Nikmat sihat, dan nikmat masa lapang.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6412)

Al-Imam Abu Al-‘Abbas Al-Qurthubi mengatakan, “Orang yang disifatkan dengan kaya hati adalah orang yang selalu qona’ah (merasa serba cukup dan redha) dengan rezeki yang dikurniakan Allah. Dia tidak tamak untuk menambahnya tanpa ada keperluan. Dia tidak memaksa-maksa dalam mencarinya dan tidak pula meminta-minta untuk mendapatkannya. Sebaliknya dia selalu bersikap redha dengan kurniaan Allah yang Maha Adil padanya. Oleh sebab itu dia pun seakan-akan orang yang berada.

Sedangkan orang yang miskin hatinya adalah apa yang berlawanan dengan sifat orang pertama tadi. Orang seperti ini tidak pernah merasa qona’ah terhadap apa yang diberi. Sebaliknya dia terus bekerja keras demi menambah hartanya dengan apa cara sekalipun (walaupun dengan cara yang haram). Jika dia tidak mendapat apa yang dikejar, dia merasa cukup sedih dan sesal. Seakan-akan dialah orang yang sangat faqir kerana dia tidak pernah merasa puas dengan apa dimilikinya. Inilah sebenarnya orang yang tidak pernah kaya.

Asasnya, kekayaan hati lahir dari sikap yang sentiasa redha dan menerima setiap ketentuan Allah Ta’ala. Dia tahu bahawa setiap apa yang Allah kurniakan itulah yang terbaik dan lebih kekal. Sikap inilah yang mendidiknya agar tidak tamak.” (Fathul Bari, 11/272)kaya hati

Jadi, hakikat kaya yang sejati bukanlah diukur dengan banyaknya harta, kerana ramai orang yang memiliki harta yang melimpah tetapi dia tidak merasa puas dan tenang dengan apa yang dikurniakan padanya. Sebaliknya dia berterusan berkerja keras menambah-banyakkan harta siang dan malam, dan dalam masa sama dia terus sibuk untuk memantau harta-harta yang dimilikinya dari masa ke masa. Seolah-olah hidupnya adalah semata-mata untuk mengumpul harta dan akan kekal hidup menghuni dunia ini. Hatinya sentiasa gusar dan fikirannya penuh angan-angan. Akibat sikap yang rakus, dia menjadi seakan-akan orang yang faqir. Walhal dia bukanlah orang yang tidak berharta.

Oleh itu, hakikat kekayaan yang sebenarnya adalah yang kaya hatinya, iaitu orang yang sentiasa merasa cukup dengan menerima setiap apa yang dikurniakan padanya dengan hasil usaha yang berpada. Dia tahu bahawa harta yang dikurniakan Allah hanyalah sarana untuk bertaqarrub kepada-Nya. Dia tidak rakus dan memaksa-maksa dirinya. Sehingga segala qudrat dan waktu dihabiskan mencari harta.

Dari perspektif lain, sebahagian orang mungkin tidak dikurniakan nikmat rezeki dalam bentuk harta yang melimpah-ruah, tetapi Allah beri padanya nikmat kekayaan dalam bentuk masa lapang dan nikmat kesihatan yang baik yang dapat dia gunakan untuk menuntut ilmu-ilmu syar’i, menghafaz Al-Qur’an, mendalami hadis-hadis Nabi, dan melaksanakan amal-amal ibadah. Atau nikmat masa lapang yang dapat dia penuhi bersama-sama keluarganya dalam melaksanakan kebaikan seperti mendidik anak-anaknya, memberikan kasih-sayang untuknya, dan seumpamanya. Atau dia diberikan oleh Allah dengan sahabat-sahabat atau tetangga yang sangat prihatin, suka menolong, dan suka mengajak kepada kebaikan. Atau boleh jadi juga dia hanya diberikan sedikit harta yang memadai keperluannya tetapi dalam masa sama dia diberikan Allah dengan anak-anak yang ramai, anak-anak yang soleh lagi berbakti kepadanya, sehingga ia sangat bermanfaat buatnya sama ada di ketika hayatnya atau setelah meninggal dunia.

Tetapi sayang, kebanyakan orang kurang menyedari nikmat-nikmat ini.

Andai Dunia Yang Dikejar

Tidak akan mengecap rasa kekayaan bagi orang yang mengejar dunia. Tidak akan pernah merasa puas andai kemewahan yang dijadikan harapan dan cita-cita. Tidak akan tenang orang yang tidak tahu bersyukur.

Dari hadis Anas bin Malik, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ كَانَتْ اْلآخِرَةُ هَمَّهُ جَعَلَ اللَّهُ غِنَاهُ فِي قَلْبِهِ وَجَمَعَ لَهُ شَمْلَهُ وَأَتَتْهُ الدُّنْيَا وَهِيَ رَاغِمَةٌ وَمَنْ كَانَتْ الدُّنْيَا هَمَّهُ جَعَلَ اللَّهُ فَقْرَهُ بَيْنَ عَيْنَيْهِ وَفَرَّقَ عَلَيْهِ شَمْلَهُ وَلَمْ يَأْتِهِ مِنْ الدُّنْيَا إِلاَّ مَا قُدِّرَ لَهُ

“Siapa yang akhirat menjadi harapannya (tujuannya), Allah akan menjadikan rasa cukup di dalam hatinya dan menyatukan urusannya, dan dunia akan datang tunduk kepadanya. Tetapi siapa yang menjadikan dunia sebagai harapannya (tujuannya), nescaya Allah akan menjadikan kefaqiran di antara dua matanya serta mencerai-beraikan urusannya, dan dunia tidak akan datang kepadanya melainkan sekadar apa yang telah ditetapkan baginya.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2465)

Dalam sebuah hadis qudsi, Allah Ta’ala berfirman:

يَا ابْنَ آدَمَ تَفَرَّغْ لِعِبَادَتِي أَمْلَأْ صَدْرَكَ غِنًى وَأَسُدَّ فَقْرَكَ، وَإِلَّا تَفْعَلْ مَلَأْتُ يَدَيْكَ شُغْلًا وَلَمْ أَسُدَّ فَقْرَكَ

“Wahai anak Adam, luangkanlah waktumu untuk mengibadahi-Ku (dengan benar), nescaya Aku penuhi dadamu dengan kekayaan (yakni kecukupan) dan Aku tutupi kefaqiranmu. Tetapi jika engkau tidak melaksanakannya, maka akan Aku penuhi kedua tanganmu dengan kesibukan dan kefaqiranmu tidak akan tertutupi.” (Musnad Ahmad, no. 8696. Sunan At-Tirmidzi, no. 2466)

Memang demikianlah, kerana kekayaan itu letaknya di hati. Andai hatinya sentiasa tertancap dengan rasa cukup dan redha, dia pasti akan mensyukuri segala nikmat dan kurniaan. Apabila dia tertimpa ujian dan kesusahan, dia akan bersabar, tidak merungut, dan kepada Allah dia kembali. Maka dia pun akan merasa senang dan tetap tabah di atas ketentuan-Nya.

Dalam sebuah hadis, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

وَارْضَ بِمَا قَسَمَ اللَّهُ لَكَ تَكُنْ أَغْنَى النَّاسِ

“Redhalah dengan apa yang Allah berikan padamu nescaya engkau menjadi orang yang paling kaya.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2305. Dinilai hasan oleh Al-Albani)

Kerana tujuan kehidupan ini bukannya harta, bukannya untuk mengumpul kemewahan, bukan pula kemasyhuran.. Tetapi adalah bagi mencari kedudukan dari sisi-Nya. Apabila kita mampu memahami hakikat ini, maka dengan kurniaan harta baik sedikit atau lebih, dia tetap teguh merealisasikan tauhid kepada-Nya. Harapannya adalah kepada Allah, kepada Syurga Allah yang luas terbentang, yang Allah perintahkan agar kita bersegera kepadanya, bersegera kepada nikmat-nikmat dan kebahagiaan yang kekal selamanya. Bukannya kepada dunia yang sekejap cuma. Dari sinilah lahirnya kecukupan yang membuahkan kekayaan dan ketenangan.

Allah Ta’ala berfirman:

تِلْكَ الدَّارُ الْآخِرَةُ نَجْعَلُهَا لِلَّذِينَ لَا يُرِيدُونَ عُلُوًّا فِي الْأَرْضِ وَلَا فَسَادًا وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِينَ

“Demikianlah kami jadikan negeri akhirat itu untuk orang-orang yang tidak menginginkan ketinggian di muka bumi dan tidak pula kerosakan, dan demikianlah kesudahan bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Surah Al-Qashash, 28: 83)

Dari hadis Abu Hurairah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

يَقُولُ الْعَبْدُ: مَالِي، مَالِي، إِنَّمَا لَهُ مِنْ مَالِهِ ثَلَاثٌ: مَا أَكَلَ فَأَفْنَى، أَوْ لَبِسَ فَأَبْلَى، أَوْ أَعْطَى فَاقْتَنَى، وَمَا سِوَى ذَلِكَ فَهُوَ ذَاهِبٌ، وَتَارِكُهُ لِلنَّاسِ

“Berkata para hamba, “Hartaku, hartaku… (dengan bangga).” Bukankah apa yang dari hartanya itu hanya tiga: (Iaitu) apa yang dia makan, maka ia akan habis. Atau apa yang dia kenakan dari pakaiannya, maka ia akan usang. Atau yang dia beri (sedekahkan), maka itulah sebenarnya harta yang dia kumpulkan. Dan apa jua harta yang selain dari itu maka ia akan pergi dan diberikan untuk orang-orang yang dia tinggalkan.” (Shahih Muslim, no. 2959)

Tidak Tercela Menjadi Kaya

Dari apa yang penulis ungkapkan di sini bukanlah bermaksud tidak boleh menjadi kaya dengan harta. Tetapi sebagai peringatan agar harta dicari dengan kadar yang bersesuaian di antara keperluan dan kewajiban. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لاَ بَأْسَ بِالْغِنَى لِمَنِ اتَّقَى وَالصِّحَّةُ لِمَنِ اتَّقَى خَيْرٌ مِنَ الْغِنَى وَطِيبُ النَّفْسِ مِنَ النِّعَمِ

“Tidak mengapa dengan kekayaan bagi orang yang bertaqwa. Dan kesihatan bagi orang-orang yang bertaqwa itu lebih baik dari kekayaan. Manakala kebahagiaan hati itu sebahagian dari nikmat.” (Musnad Ahmad, no. 23228. Al-Adabul Mufrad, no. 301. Ibnu Majah, no. 2132. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Juga dalam hadisnya yang lain:

نِعْمًا بِالْمَالِ الصَّالِحُ لِلرَّجُلِ الصَّالِحِ

“Sebaik-baik harta yang baik adalah milik orang yang soleh.” (Musnad Ahmad, no. 17763)

Oleh itu, menjadi kaya bukanlah sikap yang tercela. Tetapi yang tercela adalah bila mana kita tidak pernah merasa cukup, syukur, dan puas dengan apa yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Iaitu orang yang tidak ada kekayaan di hatinya. Sedangkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengatakan orang yang memiliki sifat qona’ah iaitu orang-orang yang sentiasa merasa kecukupan, syukur, dan redha mereka termasuk golongan yang sangat beruntung.

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

قَدْ أَفْلَحَ مَنْ أَسْلَمَ وَرُزِقَ كَفَافًا وَقَنَّعَهُ اللَّهُ بِمَا آتَاهُ

“Sungguh beruntunglah sesiapa yang ber-Islam (tunduk kepada Allah) lalu dia diberikan rezeki yang mencukupi dan Allah menjadikannya bersifat qona’ah dengan pemberian tersebut.” (Musnad Ahmad, no. 6572. Muslim, no. 1054)

Dari satu riwayat dari Ibnu ‘Abbas, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berpesan:

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يَكُونَ أَقْوَى النَّاسِ فَلْيَتَوَكَّلْ عَلَى اللهِ، وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَكُونَ أَكْرَمَ النَّاسِ فَلْيَتَّقِ اللهَ، وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَكُونَ أَغْنَى النَّاسِ فَلْيَكُنْ بِمَا فِي يَدِ اللهِ أَوْثَقَ مِنْهُ بِمَا فِي يَدَيْهِ

“Siapa yang suka menjadi manusia yang kuat, maka hendaklah dia bertawakkal kepada Allah. Sesiapa yang suka menjadi manusia yang mulia, maka hendaklah dia bertaqwa kepada Allah, dan siapa yang suka menjadi manusia yang kaya, maka hendaklah dia lebih percaya pada apa yang ada di Tangan Allah dari apa-apa yang ada di tangannya.” (Hilyatul Auliyaa’ oleh Abu Nu’aim, 3/218)

Dalam sebuah hadis dari Abu Al-‘Ala’ bin Syikhkhir dari seorang Bani Sulaim, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أَنَّ اللهَ يَبْتَلِي عَبْدَهُ بِمَا أَعْطَاهُ، فَمَنْ رَضِيَ بِمَا قَسَمَ اللهُ لَهُ، بَارَكَ اللهُ لَهُ فِيهِ، وَوَسَّعَهُ، وَمَنْ لَمْ يَرْضَ لَمْ يُبَارِكْ لَهُ

“Bahawa Allah akan menguji hamba-Nya dengan apa-apa (rezeki) yang diberikan kepadanya. Maka siapa yang redha dengan bahagian yang Allah berikan padanya, pasti Allah akan memberkahinya padanya dan meluaskan untuknya. Tetapi siapa yang tidak redha, maka Allah tidak akan memberkahinya.” (Musnad Ahmad, no. 9274. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

‘Abdullah bin Mas’oud mengatakan, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam biasa berdo’a dengan do’a:

اللَّهُمَّ إنِّي أسْألُكَ الهُدَى، والتُّقَى، والعَفَافَ، والغِنَى

“Ya Allah, aku meminta kepada-Mu petunjuk, sifat taqwa, sifat ‘afaf, dan al-ghina (rasa berkecukupan dan kekayaan hati – pent.).” (Shahih Muslim, no. 2721)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) mengatakan:

أما العفاف والعفة فهو التنزه عما لايباح والكف عنه والغنى هنا غنى النفس والاستغناء عن الناس وعما فى أيديهم

“‘Afaf dan ‘iffah bermaksud menjauhi dan menahan diri dari perkara yang tidak dibenarkan. Manakala al-ghina adalah hati yang sentiasa merasa cukup dan tidak meminta-minta (memerlukan) pada apa yang berada di sisi manusia.” (Syarah Shahih Muslim, 17/41)

Akhir kata, sesiapa yang mampu meraih harta yang dengannya dia merasa qona’ah dan syukur, nescaya dia akan menggapai kekayaan dengan hati yang senang. Walaupun tidaklah melimpah-ruah dengan segala bagai kemewahan, tetapi hasil sifat syukur dan qona’ah, pasti hidup menjadi serba cukup dan menenangkan.

Penulis tinggalkan tulisan ini dengan kata-kata indah milik Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H):

فمن حصل له ما يكفيه واقتنع به أمن من آفات الغنى وآفات الفقر

“Maka sesiapa yang meraih hasil pendapatan yang dengannya dia merasa cukup, terlepaslah dia dari fitnah kekayaan dan penyakit kemiskinan.” (Al-Hafiz Ibnu Hajar, Fathul Bari, 11/275)

Wallahu a’lam…

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest