Amalan Sunnah Ketika Melihat Gerhana

www.ilmusunnah.com

bulan-gerhana

Di antara tanda dari tanda-tanda kebesaran Allah Subhanahu wa Ta’ala adalah Dia menjadikan matahari dan bulan. Masing-masing darinya beredar pada kedudukan dan orbit yang telah ditentukan oleh-Nya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

اللَّهُ الَّذِي رَفَعَ السَّمَاوَاتِ بِغَيْرِ عَمَدٍ تَرَوْنَهَا ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ كُلٌّ يَجْرِي لِأَجَلٍ مُسَمًّى يُدَبِّرُ الْأَمْرَ يُفَصِّلُ الْآيَاتِ لَعَلَّكُمْ بِلِقَاءِ رَبِّكُمْ تُوقِنُونَ

“Allah-lah Yang meninggikan langit tanpa tiang (sebagaimana) yang kalian lihat, kemudian Dia istiwa’ di atas ‘Arsy, dan Dia menetapkan matahari dan bulan (dalam aturannya). Masing-masing beredar hingga waktu yang ditentukan. Allah mengatur urusan (makhluk-Nya), menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya), supaya kalian meyakini pertemuan(kalian) dengan Rabb kalian.” (Surah Ar-Ra’d, 13: 2)

Dan dari peredaran matahari dan bulan ini, Allah tampakkan pula tanda-tanda kebesaran-Nya yang lain dari perubahan musim, malam dan siang, fasa-fasa bulan, perhitungan bulan dan tahun, serta kejadian gerhana matahari atau bulan yang berlaku kadang-kadang.

Dari hadis Abu Mas’oud (Uqbah bin ‘Amir) Al-Anshari radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ يُخَوِّفُ اللَّهُ بِهِمَا عِبَادَهُ وَإِنَّهُمَا لَا يَنْكَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ مِنْ النَّاسِ فَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْهَا شَيْئًا فَصَلُّوا وَادْعُوا اللَّهَ حَتَّى يُكْشَفَ مَا بِكُمْ

“Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda kekuasaan dari tanda-tanda kekuasaan Allah, yang dengan keduanya Allah hendak menjadikan hamba-hamba-Nya berperasaan takut.

Kedua-duanya (matahari dan bulan) tidak mengalami gerhana dengan sebab matinya seseorang manusia dan tidak pula kerana hidupnya seseorang manusia. Maka apabila kalian melihat salah satu dari dua gerhana tersebut, maka solatlah dan berdoalah kepada Allah selagi mana ia dapat kamu lihat (yakni sampai ianya tersingkap).” (Shahih Muslim, Kitab Al-Kusuuf, no. 911)

Demikianlah Allah jadikan sebahagian dari kejadian-kejadian di alam ini yang dapat kita saksikan dengan mata kepala kita. Dengan kejadian-kejadian ini Allah menghendaki kita agar mengetahui bahawa Dia-lah yang Maha Mencipta, Maha berkuasa, dan Maha Mengatur seluruh alam semesta ini.

Setiap makhluk baik yang besar mahupun yang kecil, semuanya pasti tunduk kepada-Nya, dan tidak akan ada yang mampu keluar dari wilayah kekuasaan-Nya. Maka dari sini menjadi peringatan untuk kita agar sentiasa takut, bermuhasabah diri, insaf, berinabah kepada-Nya, meninggalkan hal yang sia-sia, dan memperuntukkan ibadah hanya semata-mata kepada-Nya.

Bagaimana Gerhana Terjadi?

Kata Al-Imam Ibn Al-Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H):

أنه لا يحصل عن انكسافهما موت ولا حياة فلا يكون انكسافهما سببا لموت ميت ولا لحياة حي وإنما ذلك تخويف من الله لعباده أجرى العادة بحصوله في اوقات معلومة بالحساب كطلوع الهلال وإبداره وسراره

“Bahawa gerhana itu bukanlah sebab dari kematian seseorang, dan bukan pula kerana kelahiran (atau kehidupan) seseorang, dan tidaklah ia menjadi penyebab kepada mati atau hidupnya seseorang.

Gerhana itu hanyalah kejadian yang Allah jadikan dalam rangka memberi rasa takut (peringatan) bagi para hamba-Nya. Ia adalah fenomena alam yang terjadi secara adat pada masa-masa yang dapat diketahui berdasarkan perhitungan sebagaimana waktu-waktu terbitnya hilal, kejadian purnama, dan tersembunyinya bulan (ketika hujung sebelum masuk awal bulan).” (Miftah Daar As-Sa’aadah, 2/206)

Gerhana matahari terjadi apabila bumi, bulan dan matahari berada pada satu garis lurus (selari), dengan posisi bulan berada di tengah-tengah antara matahari dan bumi.

Maka mereka (orang-orang) yang berada di kawasan bumi tepat di bawah bulan ketika keselarian ini berlaku, maka mereka pun akan mengalami dan menyaksikan matahari gerhana (tertutupi oleh bulan).

Pada waktu ini, permukaan dan cahaya matahari akan ditutupi dan terhalang oleh bulan yang garis peredarannya berada lebih rendah di bawah matahari. Maka, sebahagian dari kawasan atau permukaan bumi pada ketika itu akan menjadi gelap dek bayang-bayang bulan kerana cahaya matahari yang terhalang oleh bulan. Dari fenomena ini menjelaskan bahawa kedudukan bulan adalah lebih dekat dengan bumi berbanding matahari.

Fenomena gerhana tidak berlaku secara menyeluruh di setiap pelusuk atau permukaan bumi pada satu-satu masa gerhana (matahari), sebaliknya hanya berlaku pada sebahagian kawasan di muka bumi bergantung pada kedudukan dan orbit peredaran matahari dan bulan ketika ia berlangsung.

Demikian pula fasa-fasa atau jenis-jenis gerhana, baik gerhana separa atau penuh, dan semisalnya, ia berlaku seiring dengan kedudukan dan kadar keselarian bulan dan matahari pada ketika ianya terjadi di samping kedudukan kawasan di bumi (di tempat mereka yang menyaksikannya, bergantung pada sudut kesejajaran dengan bulan dan matahari).

Manakala penyebab gerhananya bulan pula terjadi ketika posisi bumi berada di tengah-tengah antara matahari dan bulan ketika ia berada pada susunan garis lurus dan selari. Ianya terjadi dan dapat dilihat oleh mereka yang berada di kawasan bumi pada ketika bulan terhalang dari pancaran sinar matahari, lalu kegelapan bayangan bumi mengenai tepat pada laluan dan permukaan bulan pada ketika itu. Ini kerana bulan tidak memiliki atau mengeluarkan cahayanya sendiri, tetapi ianya bersifat menerima dan memantulkan semula cahaya yang diterima dari matahari. (lihat: Miftah Daar As-Sa’aadah, 2/206-214)

Dan inilah ringkasan keterangan dan penjelasan terkait gerhana yang zahirnya telah dipilih oleh Ibn Al-Qayyim rahimahullah.

Al-Imam Ibnul Qayyim membahas panjang lebar terkait fenomena gerhana di kitab beliau Miftah Daaris Sa’aadah antaranya dalam rangka membantah golongan sesat yang menjadikan bulan, matahari, bintang dan objek-objek langit sebagai bahan untuk meramal sesuatu sama ada dari hal-hal yang baik atau hal-hal yang buruk (berupa bencana), dan semisalnya. Selain dalam rangka menyikapi kemunculan pelbagai teori sains dan astronomi yang menyelisihi nash-nash wahyu (Al-Qur’an dan As-Sunnah), serta yang tidak dapat dipastikan keabsahannya baik dari sisi syara’ mahupun perhitungan akal.

Akhirnya, kata Al-Imam Ibn Al-Qayyim rahimahullah:

 فإن قلت فقد أطلت في شأن الكسوف وأسبابه وجئت بما شئت به من البيان الذى لم يشهد له الشرع بالصحة ولم يشهد له بالبطلان بل جاء الشرع بما هو أهم منه وأجل فائدة من الأمر عند الكسوفين بما يكون سببا لصلاح الأمة في معاشها ومعادها وأما أسباب الكسوف وحسابه والنظر في ذلك فإنه من العلم الذي لايضر الجهل به ولا ينفع نفع العلم بما جاءت به الرسل وبين علوم هؤلاء

“Jika anda mengatakan, bahawa engkau telah berbicara dan membahas panjang lebar (teori) tentang gerhana berserta sebab-sebab ianya terjadi berdasarkan sejumlah perjelasan yang tidak mendapat penyaksian sama ada benar atau tidaknya menurut syara’!?

Walhal, apa yang telah dibawa oleh syara’ adalah lebih penting dan lebih berfaedah berbanding sekadar fenomena dua jenis gerhana itu sendiri. Dan syara’ itulah yang menjadi sebab kepada kemaslahatan ummah baik bagi dunia mereka mahupun akhirat mereka.

Adapun sebab-sebab kejadian gerhana, perhitungan tentangnya, dan pemerhatian (kajian) pada semua itu, bahawa semuanya itu termasuk dalam rangkuman ilmu (pengetahuan/maklumat) yang tidaklah mendatangkan mudharat, dan tidak pula manfaat berbanding manfaat pada memahami ajaran yang telah dibawa oleh para Rasul.” (Miftah Daar As-Sa’aadah, 2/212)

Maknanya, menyibukkan diri pada membahaskan pemerhatian serta urusan-urusan sains, hipotesis dan setiap teori-teori yang terdapat di dalamnya itu tidaklah lebih bermanfaat berbanding memahami, meyakini, mempelajari dan mengamalkan apa yang telah diturunkan kepada kita berupaya wahyu (Al-Qur’an dan As-Sunnah), dan ajaran Islam ini. Apatah lagi ketika teori-teori tersebut menyimpang dan berlawanan pula dengan ketetapan yang terkandung di dalam wahyu. Maka, mengimani dan mengamalkan nash itu adalah lebih utama.

Yakni sebagai maksud dalam perbahasan gerhana ini, mendalami dan mengamalkan sunnah-sunnah ketika terjadi gerhana (sebagaimana yang telah dicontohkan oleh ajaran Nabi) itu adalah jauh lebih utama berbanding menyibukkan diri pada membahas tentang bagaimana ianya terjadi, membahaskan teori A dan B, kesan apabila ianya terjadi, atau menyibukkan diri untuk mencerapnya, dan yang semisal. Apatah lagi dengan membuat ramalan-ramalan begitu dan begini seakan ahli nujum! Wallaahu a’lam.

Amalan Sunnah Tatkala Gerhana

Dari fenomena gerhana ini, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mencontohkan kepada kita beberapa sunnah untuk kita laksanakan tatkala melihat kejadian tersebut. Di antara sunnah tersebut adalah mendirikan solat, yakni solat sunnah yang dikenal dengan nama solat sunnah al-kusuuf (gerhana) sebagaimana yang pernah dilaksanakan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersama-sama para sahabat beliau.

Al-Kusuuf: Ia adalah menghilangnya seluruh cahaya salah satu dari dua benda langit yang bercahaya (iaitu matahari dan bulan) atau sebahagian darinya dan berubah menjadi gelap (hitam). Sementara al-Khusuf adalah yang bersamaan dengannya. Dikatakan al-Kusuuf merujuk untuk matahari, manakala al-Khusuuf pula merujuk kepada bulan, dan inilah yang dikenali dalam bahasa ‘Arab.

Dalam hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata:

أَنَّ الشَّمْسَ خَسَفَتْ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَبَعَثَ مُنَادِيًا الصَّلَاةُ جَامِعَةٌ فَاجْتَمَعُوا وَتَقَدَّمَ فَكَبَّرَ وَصَلَّى أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ فِي رَكْعَتَيْنِ وَأَرْبَعَ سَجَدَاتٍ

“Bahawasanya matahari pernah mengalami gerhana pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Maka beliau meminta seseorang berseru (memanggil) dengan “Ash-Shalaatu Jaami’ah” (ayuh solat berjama’ah). Maka orang-orang pun berkumpul, beliau pun lantas tampil ke hadapan, bertakbir, dan melaksanakan solat dua raka’at yang di dalamnya dilaksanakan empat kali ruku’ dan empat kali sujud.” (Shahih Muslim, Kitab Al-Kusuuf, no. 901)

Jumhur ulama menyatakan bahawa hukum solat sunnah ini adalah sunnah mu’akkadah bagi mereka yang menyaksikan kejadian gerhana tersebut dengan mata kepala mereka, dan ianya dilaksanakan secara berjama’ah di masjid bersama-sama imam dan kaum muslimin. Manakala bagi yang tidak melihatnya, atau terhalang dengan mendung, maka tidak ada tuntutan solat atasnya.

Ini adalah berdasarkan hadis:

فَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْهَا شَيْئًا فَصَلُّوا وَادْعُوا اللَّهَ

Maka apabila kalian melihat salah satu dari dua gerhana tersebut, maka solatlah dan berdoalah kepada Allah…” (Shahih Muslim, Kitab Al-Kusuuf, no. 911)

Al-Imam Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 620H) dalam kitabnya Al-Mughni, beliau berkata:

وَصَلَاةُ الْكُسُوفِ سُنَّةٌ مُؤَكَّدَةٌ؛ لِأَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَعَلَهَا، وَأَمَرَ بِهَا، وَوَقْتُهَا مِنْ حِينِ الْكُسُوفِ إلَى حِينِ التَّجَلِّي، فَإِنْ فَاتَتْ لَمْ تُقْضَ؛ لِأَنَّهُ رُوِيَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ { أَنَّهُ قَالَ: إذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَافْزَعُوا إلَى الصَّلَاةِ حَتَّى تَنْجَلِيَ }. فَجَعَلَ الِانْجِلَاءَ غَايَةً لِلصَّلَاةِ

“Solat Al-Kusuuf (gerhana) hukumnya sunnah mu’akkadah, kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melaksanakannya, dan telah memerintahkannya pula. Waktunya adalah ketika berlakunya gerhana sehingga terang kembali (selesai gerhana). Apabila telah berlalu maka tidak diqadha. Ini kerana telah diriwayatkan dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di mana beliau bersabda:

Apabila kamu melihat yang demikian (gerhana tersebut) maka bersegeralah solat sampai gerhana selesai.”

Beliau menetapkan dan melaksanakannya “Sehingga gerhana selesai (kembali terang).” sebagai batas waktu berakhirnya perlaksanaan solat.” (Al-Mughni, 4/318)

Dari hadis-hadis menjelaskan bahawa kita disunnahkan untuk bergegas melaksanakan solat gerhana sebaik saja melihat awal bermulanya kejadian tersebut, tanpa perlu menunggu supaya gerhana terjadi sempurna terlebih dulu atau dipastikan dari jenis apa sama ada gerhana penuh, separa, penumbra, gerhana cincin atau yang lainnya. Kerana pembahagian dan penamaan jenis-jenis gerhana seperti ini tidak pernah dikenal di zaman Nabi. Dan tidak pula ada di zaman Nabi apa yang dinamakan sebagai “pesta” atau majlis melihat gerhana.

Namun apa yang disunnahkan supaya segera dilaksanakan di saat gerhana adalah sebagaimana yang telah tsabit dari hadis, di mana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bersabda pada khuthbahnya:

فَإِذَا رَأَيْتُمُوهُمَا، فَافْزَعُوا إِلَى الصَّلاَةِ

“Maka apabila kamu melihatnya, bergegaslah untuk melaksanakan solat.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1047 dari hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha)

Atau sebagaimana di hadis yang lain dari hadis Abu Musa Al-Asy’ari radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

وَلَكِنَّ اللَّهَ يُرْسِلُهَا يُخَوِّفُ بِهَا عِبَادَهُ فَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْهَا شَيْئًا فَافْزَعُوا إِلَى ذِكْرِهِ وَدُعَائِهِ وَاسْتِغْفَارِهِ

“Akan tetapi, Allah mengutuskannya (gerhana tersebut) dalam rangka membuat hamba-hamba-Nya takut (akan kekuasaan dan kebesaran-Nya). Maka apabila kalian melihat sebahagian gerhana tersebut, bersegeralah kepada dzikir (yakni solat dan mengingati Allah), berdoa kepada-Nya, dan ber-istighfar (memohon keampunan) kepada-Nya.” (Shahih Muslim, Kitab Al-Kusuuf, no. 912)

Dan tempoh lamanya solat adalah bersesuaian dengan tempoh lamanya gerhana berlangsung sebagaimana yang diisyaratkan dalam beberapa hadis sama ada sebentar atau panjang masa gerhananya. Inilah yang disunnahkan dan dicontohkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di mana beliau telah solat bersama-sama jama’ah para sahabat sebanyak 4 kali ruku’ dalam dua raka’at solat yang panjang sampailah matahari kembali tersingkap.

Dari hadis ‘Abdullah bin ‘Abbas, beliau berkata:

انْخَسَفَتْ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَامَ قِيَامًا طَوِيلًا نَحْوًا مِنْ قِرَاءَةِ سُورَةِ الْبَقَرَةِ ثُمَّ رَكَعَ رُكُوعًا طَوِيلًا ثُمَّ رَفَعَ فَقَامَ قِيَامًا طَوِيلًا وَهُوَ دُونَ الْقِيَامِ الْأَوَّلِ

“Telah terjadi gerhana matahari di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, kemudian beliau solat dengan berdiri yang lama sekira-kira selama tempoh lamanya membaca surah Al-Baqarah, kemudian beliau ruku’ dengan ruku’ yang lama, kemudian bangun berdiri (qiyam) dengan berdiri yang lama, namun lebih pendek dari berdiri yang pertama… (sehingga seterusnya).” (Shahih Al-Bukhari, Kitab Al-Jama’ah, no. 1052. lihat juga hadis-hadis di atas)

Dari hadis Jabir bin ‘Abdillah, beliau berkata:

كَسَفَتْ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي يَوْمٍ شَدِيدِ الْحَرِّ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِأَصْحَابِهِ فَأَطَالَ الْقِيَامَ حَتَّى جَعَلُوا يَخِرُّونَ ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ ثُمَّ رَفَعَ فَأَطَالَ ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ ثُمَّ رَفَعَ فَأَطَالَ ثُمَّ سَجَدَ سَجْدَتَيْنِ ثُمَّ قَامَ فَصَنَعَ نَحْوًا مِنْ ذَاكَ فَكَانَتْ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ وَأَرْبَعَ سَجَدَاتٍ

“Telah berlaku gerhana matahari di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pada hari yang sangat panas. Kemudian beliau solat bersama para sahabatnya, dengan memanjangkan (melamakan tempoh) berdiri sehingga menjadikan mereka hampir-hampir jatuh tersungkur.

Kemudian beliau ruku’ dengan panjang, kemudian mengangkat kepalanya dan berdiri dengan masa yang panjang (lama). Kemudian ruku’ kembali dengan waktu yang panjang (lama), kemudian mengangkat kepalanya dan berdiri dengan masa yang panjang (lama).

Lalu kemudian beliau sujud dua kali, kemudian berdiri kembali. Beliau mengulanginya sebagaimana raka’at yang pertama. Maka, solat tersebut adalah dengan empat kali ruku’ dan empat kali sujud.” (Shahih Muslim, Kitab Al-Kusuuf, no. 904)

Pada solat sunnah gerhana ini, disunnahkan menjahrkan (memperdengarkan bacaan) bagi imam sebagaimana solat di malam hari, sama ada bagi gerhana bulan mahupun matahari. Inilah pendapat yang dipegang dan dikuatkan oleh Al-Imam Abu hanifah, Ahmad, Ishaq, Ibnu Khuzaimah, Ibn Al-Mundzir, Al-Bukhari, dan yang lainnya.

Setelah selesainya solat Al-Kusuuf ini, maka disunnahkan pula bagi imam untuk menyampaikan khuthbah secara ringkas dan padat yang antara kandungannya menyeru untuk sentiasa mengingati Allah, tunduk kepada-Nya, memperkukuhkan tauhid, mengangungkan-Nya, dan melaksanakan amal-amal yang soleh.

Selain melaksanakan solat, terdapat juga amal-amal soleh yang lain yang turut disunnahkan tatkala melihat telah berlakunya gerhana pada hari tersebut. Ini antaranya berpandukan hadis dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَادْعُوا اللَّهَ وَكَبِّرُوا وَصَلُّوا وَتَصَدَّقُوا

“Sekiranya kamu melihat gerhana maka berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, solatlah, dan bersedekahlah.” (Shahih Al-Bukhari, Bab Ash-Shodaqah fil Kusuuf, no. 1044)

Kemudian disebutkan juga di hadis yang lain disunnahkan memerdekakan hamba, istighfar dan meninggalkan hal-hal yang menjadikan banyak ketawa.

Wallaahu a’lam.

Ensiklopedi_Shalat_Edisi_Baru_2

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest