Ambil Yang Jelas, Tinggalkan Yang Syubhat

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ، كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى، يُوشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيهِ، أَلَا وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى، أَلَا وَإِنَّ حِمَى اللهِ مَحَارِمُهُ

“Sesungguhnya yang halal itu jelas, dan yang haram pun jelas. Di antara keduanya terdapat perkara yang syubhat (yang masih samar sama ada halal atau haram) yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang. Sesiapa yang menghindarkan diri dari perkara syubhat, maka dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya. Sesiapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka (dibimbangi) ia akan terjatuh dalam perkara haram.” (Shahih Al-Bukhari, no. 52, 2051. Muslim, no. 1599)

Penjelasan Hadis

Kata Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ

“Sesungguhnya yang halal itu jelas, dan yang haram pun jelas. Di antara keduanya terdapat perkara yang mutasyabihat (yang masih samar sama ada halal atau haram) yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang.” (Shahih Al-Bukhari, no. 52, 2051. Muslim, no. 1599)

Maksudnya yang halal itu jelas dan tiada kesamaran padanya. Demikian juga dengan yang haram. Tetapi di antara dua wilayah tersebut ada perkara yang samar-samar bagi kebanyakan manusia sama ada ia halal atau haram. Adapun bagi yang mendalam ilmunya, perkara tersebut tidak terlihat samar atas mereka dan mereka memahami perkara tersebut masuk ke dalam wilayah yang mana. Maka di sinilah letak pentingnya ilmu, berperanan mengangkat kesamaran dan ketidak-tahuan. Demikian kedudukan para ahli ilmu, mereka dimuliakan dengan ilmunya. Wallahu a’lam.

Hadis ini menunjukkan tiga keadaan bagi suatu perkara:

1, Yang jelas halal dari segala apa-apa yang baik-baik seperti buah-buahan, haiwan ternakkan, memakan roti, berjual-beli, berpakaian syar’i, menikah, dan seumpamanya.

2, Yang jelas keharamannya, dari segala apa-apa yang buruk dan terlarang seperti memakan bangkai, darah, berjudi, mengambil riba’, meminum khamr, penipuan, dan seumpamanya.

3, Yang syubhat (samar-samar), yang ramai orang tidak mengetahuinya. Dan perkara yang diperselisihkan (diperdebatkan) antara halal atau haramnya seperti hukum memakan haiwan seperti kuda, baghal, dan biawak. Atau minuman yang hasil proses dari anggur yang sebahagiannya memabukkan. Atau memakai sesuatu yang kebolehannya masih diperdebatkan seperti kulit binatang buas dan seumpamanya. Atau hal-hal yang kehalalan dan keharamannya masih diperdebatkan seperti penghasilan yang diperdebatkan seperti ‘inah, tawarruq, dan selainnya. (Lihat: Jaami’ al-‘Ulum wa Al-Hikam, m/s. 194-195 – Mu’asasah Ar-Risalah)

Kata Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah (Wafat: 1421H), “Sebab sesuatu perkara yang syubhat itu menjadi syubhat (tidak jelas hukumnya) ada empat:

قلة العلم: فقلة العلم توجب الاشتباه، لأن واسع العلم يعرف أشياء لا يعرفها الآخرون.

1, Kurang menguasai ilmu (agama). Dengan kurangnya menguasai ilmu, ini akan menyebabkan suatu perkara menjadi samar, kerana dengan banyaknya ilmu seseorang akan banyak mengetahui masalah yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang.

قلة الفهم: أي ضعف الفهم،وذلك بأن يكون صاحب علمٍ واسعٍ كثير، ولكنه لا يفهم،فهذا تشتبه عليه الأمور.

2, Kurang memahami, maksudnya lemah dalam kefahaman. Boleh jadi seseorang memiliki ilmu yang luas dan banyak, tetapi tidak memahami. Maka ini menyebabkan tidak jelasnya sesuatu urusan atasnya.

التقصير في التدبر: بأن لا يتعب نفسه في التدبر والبحث ومعرفة المعاني بحجة عدم لزوم ذلك.

3, Sedikitnya men-tadabbur (mengkaji dan belajar). Di mana dia tidak mahu bersusah-payah (menanamkan kesungguhan) meneliti sesuatu masalah dengan cara tadabbur, membuat pencarian, memahami maksud, dan alasannya hal tersebut tidak diperlukan untuknya.

وهو أعظمها: سوء القصد: بأن لا يقصد الإنسان إلا نصر قوله فقط بقطع النظر عن كونه صواباً أو خطأً، فمن هذه نيته فإنه يحرم الوصول إلى العلم،نسأل الله العافية،لأنه يقصد من العلم اتباع الهوى.

4, Dan yang paling buruk dari itu semua adalah niat yang buruk. Di mana seseorag hanya bertujuan untuk memenangkan pendapatnya semata-mata tanpa melihat sama ada pendapatnya itu benar atau salah. Maka sesiapa yang memiliki niat seperti ini, maka sukar bagi dirinya untuk sampai kepada ilmu (yang sebenar). Kita memohon kepada Allah, Al-‘Aafiyah. Kerana dia tidak berniat dengan ilmunya untuk mengikuti petunjuk.” (Syarah Al-Arba’in an-Nawawiyah, perbahasan hadis no. 6)

Kata Syaikh Ibn ‘Utsaimin lagi:

الحث على اتقاء الشبهات، لكن هذا مشروط بما إذا قام الدليل علىالشبهة،أما إذا لم يقم الدليل على وجود شبهة اتقاء الشبهات كان ذلك وسواساً وتعمقاً، لكن إذا وجد ما يوجب الاشتباه فإن الإنسان مأمور بالورع وترك المشتبه

“Hadis ini menunjukkan anjuran untuk meninggalkan perkara yang syubhat. Akan tetapi ini dengan syarat adanya dalil yang jelas menunjukkan  atas syubhat-syubhat tersebut. Tetapi jika tidak ada dalil yang menunjukkannya, maka usaha meninggalkannya hanyalah mengikuti perasaan was-was dan membebani diri. Tetapi jika wujud dalil yang jelas menunjukkan adanya syubhat (kesamaran atau ketidak-pastian), maka setiap orang diperintahkan untuk memiliki sikap wara’ (iaitu sikap hati-hati agar tidak jatuh dalam perkara haram) dengan meninggalkan syubhat tersebut.”

Kata al-Hafiz Ibnu Rejab Al-Hanbali rahimahullah (Wafat: 795H):

وإنْ اشتبه الأمر فهو شبهة ، والورع تركُه . قال سفيان : لا يعجبني ذلك ، وتركه أعجب إليَّ

“Apabila sesuatu itu tidak jelas keadaannya, maka ia adalah syubhat dan sikap wara’ adalah dengan meninggalkannya. Kata Imam Sufyan Ats-Tsauri rahimahullah (Wafat: 161H), “Itu tidaklah membuatku kagum, tetapi yang lebih membuat aku kagum adalah meninggalkan sesuatu yang syubhat.” (Jaami’ Al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/200)

Al-Hafiz Ibnu Rejab Al-Hanbali rahimahullah (Wafat: 795H) menjelaskan:

“Sesuatu yang pada prinsipnya adalah mubah (dibolehkan) misalnya kesucian air, pakaian, dan tanah, jika kesuciannya diyakini tidak hilang, maka boleh digunakan. Manakala sesuatu yang pada prinsipnya adalah haram misalnya pernikahan dan daging haiwan, maka tidaklah ia halal melainkan telah diyakini kehalalannya dengan akad dan penyembelihan.

Jika ada keraguan di dalamnya kerana sebab-sebab yang lain, maka hukumnya dikembalikan kepada asalnya lalu berpedoman kepadanya dan diadakan penetapan bahawa sesuatu yang asalnya adalah haram, maka ia haram.

Oleh sebab itu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang memakan haiwan buruan yang ditemukan pemburunya memiliki bekas anak panah yang bukan anak panahnya, atau bekas gigitan anjing yang bukan dari anjing miliknya, atau menemukan hasil buruannya jatuh di dalam air, sebab ia tidak tahu sama ada haiwan buruan tersebut mati kerana sebab yang dibenarkan atau kerana sebab yang lain.

Selain itu, sesuatu yang pada asalnya telah jelas kehalalannya, wajib dikembalikan kepada kehalalannya. Jadi, air tanah, dan baju tidak menjadi najis kerana adanya sangkaan najis. Demikian pula badan yang terbukti suci (dari hadas), tetapi kemudian seseorang menjadi ragu sama ada kesuciannya telah batal kerana hadas, maka ia dikembalikan kepada asalnya, iaitu masih tetap suci.” (Jaami’ Al-‘Ulum wa Al-Hikam, m/s. 198)

Menyelamatkan Agamanya Dengan Meninggalkan Syubhat

Kata Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ

“… Sesiapa yang menghindarkan diri dari perkara syubhat, maka dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 52, 2051. Muslim, no. 1599)

Hadis ini menjelaskan bahawa orang yang tidak menjauhkan diri dari perkara-perkara yang tidak pasti, iaitu yang syubhat (samar-samar) dalam kehidupannya, maka dia telah menyerahkan dirinya ke dalam celaan. Sebagaimana kata sebahagian salaf:

من عرَّض نفسه للتُّهم، فلا يلومنَّ من أساء به الظنَّ

“Sesiapa yang meletakkan dirinya di tempat yang mendatangkan tohmah, maka janganlah dia menyalahkan orang yang buruk sangka padanya.” (Jaami’ Al-‘Uluum wa al-Hikam, m/s. 204)

Hadis tersebut juga menunjukkan adanya tuntutan agar sentiasa menjaga kebaikan agamanya dan keluar dari perkara yang tidak jelas baginya sehingga ia telah jelas.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

فَمَنْ تَرَكَ مَا شُبِّهَ عَلَيْهِ مِنَ الإِثْمِ، كَانَ لِمَا اسْتَبَانَ أَتْرَكَ، وَمَنِ اجْتَرَأَ عَلَى مَا يَشُكُّ فِيهِ مِنَ الإِثْمِ، أَوْشَكَ أَنْ يُوَاقِعَ مَا اسْتَبَانَ

“Sesiapa yang meninggalkan hal-hal yang syubhah yang boleh menjerumuskannya ke dalam dosa, maka dia pasti akan lebih meninggalkan hal-hal yang telah jelas (akan dosanya). Dan sesiapa yang mudah melakukan sesuatu yang syubhah yang boleh menjerumuskannya ke dalam dosa, maka dia akan lebih mudah terjerumus ke dalam hal-hal yang jelas keharamannya.” (Shahih al-Bukhari, no. 2051)

Kata Al-Hafiz Ibnu Rejab Al-Hanbali rahimahullah (Wafat: 795H):

“Sesiapa yang meninggalkan dosa dalam keadaan dosa tersebut tidak jelas baginya, dan tidak terbukti secara pasti, maka ia akan lebih meninggalkannya jika setelah terbukti jelas olehnya bahawa ia memang benar-benar dosa. Ini dengan syarat orang tersebut meninggalkannya  memang kerana takutkan dosa, bukan dengan sebab riya’.” (Jaami’ Al-‘Uluum wa Al-Hikam, m/s. 204)

Dari hadis Nu’maan bin Basyiir, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

فَمَنْ تَرَكَهَا اسْتِبْرَاءً لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ فَقَدْ سَلِمَ

“Maka sesiapa yang meninggalkannya (dari hal-hal yang syubhat), untuk mencari kebersihan dalam agama dan kehormatannya, maka dia selamat.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 1205. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

Imam Sufyan Ats-Tsauri rahimahullah mengatakan tentang seeorang yang yang menemukan wang atau dirham di rumahnya, “Aku lebih suka kalau orang tersebut menjauhi wang atau dirham tersebut jika ia tidak tahu dari mana ia datang.” (Jaami’ Al-‘Uluum wa Al-Hikam, m/s. 206)

Dari Abi Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنِّي لَأَنْقَلِبُ إِلَى أَهْلِي، فَأَجِدُ التَّمْرَةَ سَاقِطَةً عَلَى فِرَاشِي، فَأَرْفَعُهَا لِآكُلَهَا، ثُمَّ أَخْشَى أَنْ تَكُونَ صَدَقَةً، فَأُلْقِيهَا

“Adakalanya ketika aku pulang ke rumah, aku menemukan kurma yang terjatuh di tempat tidurku, aku pun mengambilnya. Ketika hendak memakannya, aku bimbang itu adalah kurma sedekah, maka aku pun melemparkannya (meninggalkannya).” (Shahih Al-Bukhari, no. 2432. Bab: Menemui kurma di jalanan. Shahih Muslim, no. 1070)

Adapun mereka yang melakukan sesuatu yang dianggap syubhat oleh kebanyakan orang sedangkan ia mengetahui ianya adalah halal (secara pasti), maka ia tidaklah berdosa di sisi Allah. Tetapi jika ia bimbang dikecam orang kerana sesuatu yang tidak jelas tersebut, sehingga dia pun meninggalkannya kerana mencari kebersihan dalam rangka menjaga kehormatannya, maka itu adalah suatu yang baik. (lihat: Jaami’ Al-‘Ulum wa Al-Hikam, m/s. 204)

Kata Al-Hafiz Ibnu Rejab lagi:

“Jika orang tersebut melakukan sesuatu tersebut kerana meyakini halal berdasarkan ijtihad yang dibolehkan atau taqlid yang dibolehkan, maka ia telah salah dalam bentuk keyakinan seperti ini. Untuk itu, hukumnya tersebut seperti hukum sebelumnya. Jika ijtihadnya lemah, taqlid atau kerana yang terlarang, dan ia berbuat seperti itu kerana mengikuti hawa nafsunya, maka hukumnya seperti orang yang melakukan sesuatu sedangkan ia sendiri tidak memiliki kejelasan tentang hal tersebut. Tentang orang yang mengerjakan hal-hal syubhat sedangkan ia sendiri tidak memiliki kejelasan tentang yang syubhat tersebut, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjelaskan bahawa orang tersebut terjerumus dalam keharaman.” (lihat: Jaami’ Al-‘Ulum wa Al-Hikam, m/s. 205)

Kata al-Hafiz Ibnu Rejab Al-Hanbali:

وكان بعضُ السَّلف لا يأكلُ إلا شيئاً يعلمُ من أينَ هو، ويسأل عنه حتّى يقفَ على أصله

“Sebahagian generasi salaf tidak akan makan melainkan sesuatu yang telah ia ketahui dari mana datangnya dan menanyakannya hingga ia tahu asal-usulnya.” (lihat: Jaami’ Al-‘Ulum wa Al-Hikam, m/s. 206)

Berkata Abu Dardaa’ rahimahullah:

وَتَمَامُ التَّقْوَى أَنْ يَتَّقِيَ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ الْعَبْدُ حَتَّى يَتَّقِيَهُ فِي مِثْلِ مِثْقَالِ ذَرَّةٍ، حَتَّى يَتْرُكَ بَعْضَ مَا يَرَى أَنَّهُ حَلَالٌ خَشْيَةَ أَنْ يَكُونَ حَرَامًا، يَكُونُ حَاجِزًا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْحَرَامِ

“Puncak sempurna ketaqwaan ialah seorang hamba bertaqwa kepada Allah ‘Azza wa Jalla sehingga ia benar-benar bertaqwa kepada-Nya dari yang sebesar biji sawi dan meninggalkan sesuatu yang ia lihat halal kerana ada kebimbangan sesuatu tersebut haram dan membuat jarak dengan haram.” (Abu Nu’aim, Hilyatul Awliyaa, 1/212)

Untuk lebih jelas, penulis sarankan agar ditela’ah kitab Jaami’ al-‘Ulum wa Al-Hikam karya Al-Hafiz Ibnu Rejab Al-Hanbali rahimahullah pada perbahasan hadis no. 6.

Di Antara Solusi Keluar Dari Syubhat

1, Menuntut ilmu supaya mampu keluar dari ketidak-tahuan dan kesamaran, sebagaimana kata Imam Al-Bukhari dalam kitab Shahihnya, “Berilmu sebelum berkata dan beramal.”

2, Tawaqquf (mengambil langkah diam diri dan berkecuali), dengan berusaha keluar dari perselisihan dan kesamaran iaitu dengan tidak melibatkan diri dalam hal yang samar bagi dirinya, sehinggalah ia menjadi jelas.

3, Menanamkan rasa takut terhadap sesuatu yang dia tidak punya ilmu padanya. Kerana Allah Ta’ala berfirman:

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

“Dan janganlah engkau mengikuti apa yang engkau tidak punya pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati, semuanya itu akan diminta bertanggungjawab.” (Surah Al-Israa’, 17: 36)

4, Mendapatkan penjelasan dari orang-orang yang berilmu yang memiliki kredibiliti dan baik agamanya.

5, Bersabar dan bertaqwa.

Wallahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest