Antara Nyanyian dan Melagukan Al-Qur’an

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Alhamdulillah, Sebenarnya artikel ini adalah termasuk kesinambungan dari tulisan berkaitan hukum nyanyian dan muzik.

Artikel terdahulu antaranya boleh dicapai melalui pautan berikut: Bahagian 1Bahagian 2Bahagian 3Bahagian 4.

Manakala artikel ini adalah bagi menyingkap perbezaan ketara antara melagukan Al-Qur’an dengan amalan menyanyi. Dan perintah agar meninggalkan nyanyian sekaligus memberi fokus terhadap Al-Qur’an serta memanfaatkan keindahan suara padanya.

Terdapat banyak hadis-hadis berkaitan saranan melagukan dan memperindahkan bacaan Al-Qur’an dan di antaranya adalah sebagaimana berikut:

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَمْ يَأْذَنِ اللَّهُ لِشَيْءٍ مَا أَذِنَ لِلنَّبِيِّ أَنْ يَتَغَنَّى بِالقُرْآنِ، وَقَالَ صَاحِبٌ لَهُ: يُرِيدُ يَجْهَرُ بِهِ

“Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak memperdengarkan sesuatu seperti ketika memperdengarkan (suara) seorang Nabi taghanni (memperindahkan suara) ketika membaca Al-Qur’an.”

Dan bertanya seorang sahabat (kepada Abu Hurairah, beliau menjawab), “Maksud yang dikehendaki adalah mengeraskan (atau memperdengarkan) suara dengan indah adalah di ketika membaca Al-Qur’an.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5023)

Sebahagian orang menterjemahan kalimat taghanni dengan “melagukan.” Berikut dibawakan penjelasannya.

Sufyan pula mengatakan:

تَفْسِيرُهُ يَسْتَغْنِي بِهِ

“Maksudnya adalah dia merasa cukup dengan Al-Qur’an.” (lihat: Shahih Al-Bukhari, no. 5024)

Kata Imam Asy-Syafi’i rahimahullah (Wafat: 204H):

معناه تحزين القراءة وترقيقها

“Maknanya adalah membaca dengan tahziin (nada sedih, merintih) dan mentarqiiq (melembuhkan suara)nya.” (Tahdziib Al-Lughah, 3/102)

Dari hadis Ibn Abi Mulaikah, dari ‘Ubaidillah bin Abi Yazid, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَتَغَنَّ بِالقُرْآنِ، وَزَادَ غَيْرُهُ: يَجْهَرُ بِهِ

“Bukan dari kalangan kami mereka yang tidak taghanni (memperindahkan bacaan) dengan membaca Al-Qur’an.” Sebahagian yang lain (dari kalangan sahabat) menambah, dengan mengeraskan (atau menyaringkan)nya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 7527)

Dari hadis ‘Abdullah bin ‘Amru, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

يُقَالُ لِصَاحِبِ الْقُرْآنِ: اقْرَأْ، وَارْتَقِ، وَرَتِّلْ كَمَا كُنْتَ تُرَتِّلُ فِي الدُّنْيَا، فَإِنَّ مَنْزِلَكَ عِنْدَ آخِرِ آيَةٍ تَقْرَؤُهَا

“Dikatakan kepada ahli Al-Qur’an: bacalah dan bersemangatlah, dan tartilkanlah sebagaimana engkau mentartilkannya di dunia, kerana sesungguhnya kedudukan engkau berada pada akhir ayat yang engkau baca.” (Sunan Abi Dawud, no. 1464. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Dari hadis ‘Abdullah bin Mughoffal, beliau berkata:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ فَتْحِ مَكَّةَ وَهُوَ عَلَى نَاقَةٍ يَقْرَأُ بِسُورَةِ الْفَتْحِ، وَهُوَ يُرَجِّعُ

“Aku melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pada hari Fathu Makkah dan beliau di atas unta betina sedang membaca Surah Al-Fath, dan beliau menarji’nya.” (Sunan Abi Dawud, no. 1467. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Al-Imam Al-Bukhari meletakkan hadis ini di kitab Shahihnya pada bab, “Membaca Al-Qur’an di atas kenderaan.”

Dari hadis Al-Baraa’, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

زَيِّنُوا الْقُرْآنَ بِأَصْوَاتِكُمْ

“Hiasilah Al-Qur’an dengan suara kalian.” (Sunan Abi Dawud, no. 1468)

Dari hadis Ibn Abi Mulaikah, dari ‘Ubaidillah bin Yazid, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَتَغَنَّ بِالْقُرْآنِ، قَالَ: فَقُلْتُ لِابْنِ أَبِي مُلَيْكَةَ: يَا أَبَا مُحَمَّدٍ، أَرَأَيْتَ إِذَا لَمْ يَكُنْ حَسَنَ الصَّوْتِ؟ قَالَ: يُحَسِّنُهُ مَا اسْتَطَاعَ

“Bukan dari kalangan kami mereka yang tidak taghanni (memperindahkan bacaan) ketika membaca Al-Qur’an.”

Maka ditanyakan kepada Ibn Abi Mulaikah, “Wahai Abu Muhammad, apa pandangan engkau sekiranya seseorang itu suaranya tidak bagus?” Beliau menjawab,

“Dia memperindahkannya semampu mungkin.” (Sunan Abi Dawud, no. 1471. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Al-Hafiz Ibnu Rojab Al-Hanbali rahimahullah (Wafat: 795H) menyebutkan:

فأما تغني المؤمن فإنما ينبغي أن يكون بالقرآن ، كما قال النبي ( : لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَتَغَنَّ بِالْقُرْآنِ والمراد : أنه يجعله عوضا عن الغناء فيطرب به ويلتذ ، ويجد فيه راحة قلبه وغذاء روحه ، كما يجد غيره ذلك في الغناء بالشعر .

“Adapun taghanni (lantunan suara) bagi seorang mukmin itu cukup dengan Al-Qur’an. Sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Bukan dari kalangan kami sesiapa yang tidak melagukan (memperindahkan bacaan) Al-Qur’an.”

Maksudnya; adalah dia menjadikan lantunan bacaan Al-Qur’an itu sebagai pengganti kepada nyanyian untuk dia menggetarkan jiwa dengannya dan mendapatkan kelazatan, dan terdapat padanya kerehatan untuk hatinya dan santapan bagi ruhnya, sebagaimana terdapat pada selain yang demikian pada nyanyian dan sya’ir.” (Fathul Bari oleh Ibnu Rojab, 6/82)

Dari hadis Ibn ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ لِكُلِّ شَيْءٍ حِلْيَةً، وَحِلْيَةُ الْقُرْآنِ حُسْنُ الصَّوْتِ

“Sesungguhnya segala sesuatu memiliki hiasan, dan hiasan Al-Qur’an adalah suara yang indah.” (Al-Mu’jam Al-Awsath oleh Ath-Thabrani, no. 7531. Kata Al-Haitsami, “Dalam sanadnya ada Isma’il bin ‘Amru Al-Bajali, beliau dha’if.”)

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

أحسنوا أصواتكم بالقرآن

“Perindahkanlah suara kalian dengan Al-Qur’an.” (Diriwayatkan oleh Ath-Thabrani. Lihat: Majma’ Az-Zawa’id oleh Al-Haitsami, no. 11702, dan beliau menyatakan, “Diriwayatkan oleh Ath-Thabrani dengan dua sanad, salah satunya ada ‘Abdullah bin Harras yang ditsiqahkan oleh Ibnu Hibban, kemungkinan beliau (Ibnu Hibban) tersilap, dan beliau didha’ifkan oleh Al-Bukhari dan selainnya, manakala perawi lainnya adalah perawi Ash-Shahih.”)

Kata Al-Munawi rahimahullah:

أي رتلوه واجهروا به

“Makna hadis ini adalah: Bacalah (dengan disiplin yang betul) dan perdengarkanlah suara dengan Al-Qur’an.” (Faidhul Qadir, 3/512)

Dari hadis ‘Abdurrahman bin Saa’ib, beliau berkata, “Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ هَذَا الْقُرْآنَ نَزَلَ بِحُزْنٍ فَإِذَا قَرَأْتُمُوهُ فَابْكُوا فَإِنْ لَمْ تَبْكُوا فَتَبَاكَوْا وَتَغَنَّوْا بِهِ فَمَنْ لَمْ يَتَغَنَّ بِهِ فَلَيْسَ مِنَّا

“Sesungguhnya Al-Qur’an diturunkan dengan kesedihan, apabila engkau membacanya, maka berusahalah untuk bersedih dan indahkanlah suara engkau ketika membacanya, kerana siapa yang tidak memperindahkan suaranya ketika membaca Al-Qur’an, maka dia bukan dari kalangan kami.” (Sunan Ibnu Majah, no. 1337. Al-Baihaqi, Syu’abul Iman, no. 1960. Dinilai dha’if oleh Al-Albani)

Dari hadis Jabir bin ‘Abdillah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ مِنْ أَحْسَنِ النَّاسِ صَوْتًا بِالْقُرْآنِ، الَّذِي إِذَا سَمِعْتُمُوهُ يَقْرَأُ، حَسِبْتُمُوهُ يَخْشَى اللَّهَ

“Sesungguhnya dari kalangan manusia yang indah suaranya ketika membaca Al-Qur’an adalah yang apabila kalian mendengar dia membacanya, kalian menyangka dia sedang takutkan Allah.” (Sunan Ibnu Majah, no. 1339. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Dr. ‘Abdussalam Muqbil Al-Majidi hafizahullah menjelaskan makna At-Taghanni (التغني) atau memperindahkan bacaan Al-Qur’an. Katanya:

معناه التطريب به و الحداء و تحزين القراءة و ترقيقها، وفق قواعد معلومة لأنه أوقع في النفوس، و أنجع في القلوب، و قد ذهب إلى هذا الشافعي و أصحابه و أكثر العلماء من الطوائف و أصحاب الفنون يحسن صوته به

“Maknanya adalah at-tathriib (mengumandangkan) dengannya, al-hidaa’ (mengalunkannya dengan suara yang baik), tahziin qira’ah (dengan bacaan yang merintih atau sedih), dan men-tarqiiqnya (melunakkannya), bersesuaian dengan qowa’id (disiplin bacaan) yang dimaklumi, kerana bahawasanya ia akan lebih meresap lagi memberi kesan pada jiwa dan lebih bermanfaat pula pada qalb (hati). Ini adalah pendapat yang diambil oleh Imam Asy-Syafi’i dan para pengikutnya serta kebanyakan ulama dari pelbagai kelompok, begitu juga dengan ash-hab al-funuun, mereka memperindahkan suara dengannya.” (lihat: Izhab Al-Hazan wa Syifa’ Ash-Shadr As-Saaqiim Al-Manhaj Nabawi fii Ta’liim Al-Qur’ani oleh Dr. ‘Abdussalam Muqbil Al-Majidi, m/s. 287)

Dr. ‘Abdussalam Muqbil Al-Majidi hafizahullah menyebutkan bahawa nada yang boleh digunakan ketika tilawah (membaca Al-Qur’an) adalah:

1-  الالتزام بضوابط التجويد و أركان الترتيل دون شطط

“Beriltizam (atau berpaksi) pada dhowabith (hukum dan disiplin) tajwid serta rukun-rukun tartil tanpa melampaui batasnya.”

2-  و إبقاء الجو القراني على حاله من التحزين و الخشوع و الإخبات

“Mengekalkan keadaan Al-Qur’an berdasarkan keadaannya dari tahzin (yakni dibaca dengan nada sedih, takut dan merintih – pent.), khusyu’, dan ikhbat.”

3-  ألايتولد من حروف ليست من القران كزيادة ألف أو تطويل الحركة القصيرة إلى طويلة، و هو ما يعبر عنه العلماء بالتمطيط

“Tidak menambah huruf yang bukan dari Al-Qur’an, seperti menambah alif atau memanjangkan harakat yang asalnya perlu dibaca pendek, ini disebut oleh ulama sebagai tamthith (berlebih-lebihan dalam mengolah suara).”

4-  ألايترتب على ذلك التقصير في أداء حركة طويلة، أو البتر في حرف لين، أو حرف مشدد مثل التقصير في تشديد (ذرية) و نحو ذلك

“Tidak memotong-motong (memendekkan) ketika membaca lafaz yang sepatutnya dibaca panjang, atau memotong (atau melanggar) huruf layyin (لين), atau huruf yang bertasydid (تشديد), seperti pengurangan pada tasydid (bacaan yang perlu sedikit ditekan) pada kalimah Zurriyati (ذرية).. dan selainnya.”

5-  عدم الغلو في التلحين حتى يظهر أنه الغاية من القراءة لاأنه يعين على تدبر القراءة، فيكون صاحبه مفتونا قلبه و قلب من يسمعه لدرجة أنه لا يسمع القران إلا له، لا لأنه القران

“Tanpa ghuluw (berlebih-lebihan) dalam lahn (الحن: intonasi), kerana tujuan memperindahkan bacaan Al-Qur’an adalah untuk mentadabburinya (memahami, menghayati, dan mengambil pelajaran). Jika tujuannya adalah selain dari perkara tersebut, maka hati pembaca dan pendengarnya telah terfitnah, kerana dia sebenarnya bukan ingin mendengar Al-Qur’an, tetapi hanya mahu mendengar lagu sahaja.”

6-  عدم الغلو في طلب اللحن حتى يبحث عن أصوله من غناء اللاهين، و يصبح فنا مستقلا عن المراد منه، يبذل له التكلف، و يخرج به عن طبيعة المرء

“Tidak ghuluw (berlebih-lebihan) dalam mencari lahn (intonasi bacaan) sehingga mencari asas-asas lagu dari nyanyian orang-orang yang lalai.  Dan menjadi fitnah tersendiri dari maksud asalnya. Menghabiskan segala keperluannya, dan mengeluarkannya dari tabi’at seorang manusia.”

Ibnu Al-Jazairi menyatakan (tentang memperindahkan bacaan Al-Qur’an):

مكملا من غير ما تكلف باللطف في النطق بلا تعسف

“Sebagai pelengkap, tanpa perlu takalluf (membebani diri), dengan ucapan atau ungkapan suara yang lembut tanpa memaksa-maksa.” (lihat: Dr. ‘Abdussalam Muqbil Al-Majidi, Izhab Al-Hazan wa Syifa’ Ash-Shadr As-Saaqiim Al-Manhaj Nabawi fii Ta’liim Al-Qur’ani, m/s. 308-309)

Makna lahn (الحن) di sini adalah merujuk suara membacakan Al-Qur’an dengan nada yang teratur, tersusun rapi, indah tanpa alat muzik sebagaimana yang telah difahami dengan bahasa orang-orang masa ini. Lahn adalah intonasi, menarji’ suara, dan melagukannya (memperindahkannya).

Al-Imam Al-Munawi rahimahullah (952H-1031H) menjelaskan:

هذا إذا لم يخرجه التغني عن التجويد ولم يصرفه عن مراعاة النظم في الكلمات والحروف فإن انتهى إلى ذلك عاد الاستحباب كراهة وأما ما أحدثه المتكلفون بمعرفة الأوزان والموسيقى فيأخذون في كلام الله مأخذهم في التشبيب والغزل فإنه من أسوأ البدع فيجب على السامع النكير وعلى التالي التعزير

“Ini adalah apabila cara membaca Al-Qur’an tidak diambil berdasarkan disiplin Al-Qur’an dan meninggalkan kaedah atau sistem penghayatan pada kalimat dan huruf, maka ini mematikan tujuan asalnya dan hukumnya menjadi makruh (dibenci). Apa yang diada-adakan oleh mutakallifun (orang-orang yang memaksa diri dan berlebih-lebihan dalam hal ini) dengan memperkenalkan beberapa kaedah Al-Wazan (timbangan nada atau note-note nyanyian) dan muzik, lalu mereka mengambil Kalam Allah (Al-Qur’an) dan melagukan dengannya, ini adalah bid’ah yang sangat buruk lagi keji. Maka, para pendengar wajib menegahnya dan para pembaca Al-Qur’an perlu menjauhinya.” (lihat: Al-Munawi, Faidhul Qadir, 4/90)

Kata Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

قال القاضي أجمع العلماء على استحباب تحسين الصوت بالقراءة وترتيلها قال أبو عبيد والأحاديث الواردة في ذلك محمولة على التحزين والتشويق قال واختلفوا في القراءة بالألحان فكرهها مالك والجمهور لخروجها عما جاء القرآن له من الخشوع والتفهم وأبحاهما أبو حنيفة وجماعة من السلف للأحاديث ولأن ذلك سبب للرقة وإثارة الخشية واقبال النفوس على إستماعه قلت قال الشافعي في موضع أكره القراءة بالألحان وقال في موضع لا أكرهها قال أصحابنا ليس له فيها خلاف وإنما هو اختلاف حالين فحيث كرهها أراد إذا مطط وأخرج الكلام عن موضعه بزيادة أو نقص أو مد غير ممدود وادغام ما لا يجوز إدغامه ونحو ذلك وحيث أباحها أراد إذا لم يكن فيها تغير لموضوع الكلام والله أعلم

“Berkata Al-Qadhi, para ulama telah ijma’ (sepakat) atas disukai mentahsiin (memperindahkan) suara dengan membaca dan mentartil Al-Qur’an. Berkata Abu ‘Ubaid, hadis-hadis yang warid dalam masalah ini menunjukkan membacanya dengan tahziin (nada yang sedih dan merintih) serta jiwa yang bergetar. Kata Al-Qadhi lagi, para ulama berselisih pada membacanya dengan lahan (yakni berlagu atau dengan intonasi tertentu). Imam Malik dan jumhur ulama membencinya kerana ia tidak termasuk dalam maksud tujuan Al-Qur’an berupa khusyu’ dan memahaminya. Imam Abu Hanifah dan sekelompok dari kalangan salaf pula membolehkannya berdasarkan keterangan dari hadis-hadis kerana yang demikian ini termasuk sebab untuk mencapai kelembutan hati, sebagai tanda lahirnya rasa takut, dan menjadikan jiwa tunduk untuk mendengarkannya.

Aku katakan, Al-Imam Asy-Syafi’i di suatu bab mengatakan, “Aku membenci membaca Al-Qur’an dengan lahan (berlagu).” Manakala di tempat yang lain, beliau tidak membencinya. Berkata para sahabat kami, sebenarnya tidak ada perbezaan pendapat dalam perkara ini, tetapi yang ada hanya perbezaan pada dua keadaan, iaitu yang mana dibenci jika yang dikehendaki (yakni yang menjadi tujuan) adalah olahan suara itu sendiri dan keluar pula dari ketentuan bacaannya (yakni seperti) dengan menambah atau mengurangi bacaan, atau mad (memanjangkan) bukan pada tempatnya, idgham pada kalimat yang tidak dibenarkan idgham, dan seumpamanya. Dan yang selain itu, maka adalah mubah (dibolehkan) jika tidak mengubah kedudukan bacaan-bacaan.” (Syarh Shahih Muslim, 6/80)

Al-Imam An-Nawawi juga menyebutkan:

قال العلماء رحمهم الله فيستحب تحسين الصوت بالقراءة ترتيبها ما لم يخرج عن حد القراءة بالتمطيط فإن أفرط حتى زاد حرفا أو أخفاه فهو حرام

“Para ulama rahimahumullah telah berkata, adalah disukai (dianjurkan) memperindahkan suara ketika membaca Al-Qur’an dan mentartibnya sepanjang tidak sampai keluar dari batas-batas bacaan seperti memanjangkannya (bukan pada tempatnya), kerana jika dia berlebihan dalam membacanya sehingga bertambah satu huruf atau mengurangi satu huruf, maka hukumnya adalah haram.” (At-Tibyan fi Adab Hamalatil Qur’an, m/s. 110)

Kesimpulannya, membacakan Al-Qur’an (dengan suara yang baik) adalah dibenarkan (malah disukai) dengan tujuan memperindahkan bacaan, dan melagukan dengan kaedah yang dibenarkan iaitu dengan menekuni disiplin-disiplin bacaannya seperti tajwid dan tartil, tanpa berlebih-lebihan serta tidak melagukannya sebagaimana nyanyian yang biasa dilakukan (oleh para penyanyi dan orang-orang fasiq) yang diketahui secara umum. Dan yang dimaksudkan dengan memperindahkan bacaan itu sendiri adalah dengan mengikuti serta menyempurnakan bacaan Al-Qur’an berdasarkan disiplin-disiplinnya. Ditambah pula, Al-Qur’an itu dibaca dengan nada sedih, merintih, dan perasaan takutkan Allah seraya mentadabburinya.

Dapat difahami bahawa melagukan Al-Qur’an adalah dengan mengikuti disiplin-disiplin Al-Qur’an itu sendiri. Manakala nyanyian secara umum, ianya adalah bebas dengan mengikuti note-note muzik, kehendak citarasa, dan nada seni suara berdasarkan alat-alat atau genre muzik atau nyanyian hasil rekaan masing-masing.

Dari itu, peruntukkanlah suara-suara kita supaya membaca Al-Qur’an (Kalaamullah) dan bukan untuk menyanyikan lagu-lagu atau muzik yang merupakan syi’ar orang-orang kafir dan syi’ar kefasikan. Ini adalah sebagaimana hadis yang disebutkan di atas tadi (iaitu):

“… mengeraskan (memperdengarkan) suara dengan indah adalah di ketika membaca Al-Qur’an.” (lihat: Shahih Al-Bukhari, no. 5023)

Disebutkan dari perkataan sebahagian ilmuan:

فقد قال بعض العارفين لمريد: أتحفظ القران؟ قال: لا، قال: وا غوثاه يا لمريد لا يحفظ القران فيم يتغنى؟ فيم يترنم؟ فيم يناجي ربه تعالى؟

“Sebahagian orang yang berilmu berkata kepada muridnya, “Adakah engkau menghafal al-Qur’an?”

Murid menjawab, “Tidak.” Syaikh berkata, “Betapa malangnya wahai orang yang mencari ilmu, tetapi tidak menghafal Al-Qur’an. Jadi, kepada apakah dia akan dapat menunjukkan keindahan suaranya? Kepada apa dia dapat melantunkan suaranya? Dan dengan apakah dia akan dapat bermunajat kepada Rabbnya yang maha Tinggi?” (Asy-Syari’ah Al-Islamiyyah, m/s. 318. Dinukil dari: Izhab Al-Hazan wa Syifa’ Ash-Shadr As-Saaqiim Al-Manhaj Nabawi fii Ta’liim Al-Qur’an oleh Dr. ‘Abdussalam Muqbil Al-Majidi, m/s. 290)

Al-Imam Al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) berkata dalam Shahihnya sebagai judul bab (sekaligus maksud taghanni):

مَنْ لَمْ يَتَغَنَّ بِالقُرْآنِ وَقَوْلُهُ تَعَالَى: {أَوَلَمْ يَكْفِهِمْ أَنَّا أَنْزَلْنَا عَلَيْكَ الكِتَابَ يُتْلَى عَلَيْهِمْ} [العنكبوت: 51]

“Sesiapa yang tidak taghanni (memperindahkan) suaranya dengan Al-Qur’an dan Allah Ta’ala berfirman:

“Adakah tidak cukup bagi mereka bahawa Kami telah menurunkan kepada engkau Al-Kitab (Al-Qur’an) yang dibacakan kepada mereka?” (Surah Al-‘Ankabuut, 29: 51).” (Shahih Al-Bukhari, 6/191)

Tahukah anda bahawa dalam sejarah turunnya Al-Qur’an, ia telah membuat kagum dan tercengang orang-orang ‘Arab jahiliyyah yang dikenal dan selalu berbangga dengan kehebatan sya’ir-sya’ir dan nyanyian mereka.

Al-Qur’an turun sekaligus membungkam apa yang mereka bangga-banggakan dari keindahan sya’ir-sya’ir mereka. Ini antaranya kerana keindahan bahasa, susunan kalimat, dan keagungan kandungan yang dibawanya. Maka, ambillah Al-Qur’an. Jangan sampai kita menggantikannya dengan sesuatu yang rendah dan tidak punya nilai. Sedangkan yang bernilai itu telah ada di tangan.

Al-Qur’an adalah kalam Allah yang membezakan antara yang haq dengan yang bathil. Yang padanya berisi petunjuk dan ketenangan. Manakala nyanyi-nyanyian adalah suatu yang tercela lagi diada-adakan, menyibukkan dan mengganggu hati, kosong, melalaikan, memperdayakan, dan menjauhkan manusia dari petunjuk. Wallahu a’lam.

Untuk memahami istilah-istilah dan kaedah-kaedah asas secara umum memperindahkan bacaan Al-Qur’an berdasarkan skop dan konteksnya yang dibenarkan, penulis sangat mencadangkan agar merujuk kepada buku Izhab Al-Hazan wa Syifa’ Ash-Shadr As-Saaqiim Al-Manhaj Nabawi fii Ta’liim Al-Qur’an, tulisan dan susunan Dr. ‘Abdussalam Muqbil Al-Majidi hafizahullah. Buku ini juga telah diterjemahkan dan beredar di pasaran.

Di antara kaedah taghanni Al-Qur’an yang dibahaskan oleh penulis buku tersebut adalah persoalan tarji’, tartil, tajwid, lahn, al-ghinaa’, at-taghanni, sya’ir, tarannum, tazyin, at-tadwir, tahqiq dan hadr, serta yang lainnya yang berkaitan dengan persoalan Al-Qur’an bermula dari latar-belakang penurunannya, sejarahnya, hukum-hakamnya, huruf-hurufnya, dan qira’atnya, malah lebih luas lagi cakupan perbahasan buku ini sebenarnya.

Adapun makna tarji’ adalah lenggok suara atau intonasi tinggi rendah ketika membaca. Manakala membaca dengan tartil adalah membacanya dengan perlahan-lahan dan tidak tergesa-gesa.

Wallahu a’lam… Bersambung di tulisan berikutnya dengan judul Fatwa-fatwa Ulama Terdahulu Tentang Nyanyian dan Muzik.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest