Asal Hukum Berubat Adalah Anjuran, Bukan Wajib

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Hukum berubat

Hadis dari Abi Dardaa’ radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ اللَّهَ أَنْزَلَ الدَّاءَ وَالدَّوَاءَ، وَجَعَلَ لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءً فَتَدَاوَوْا وَلَا تَدَاوَوْا بِحَرَامٍ

“Sesungguhnya Allah-lah yang menurunkan penyakit dan ubatnya. Allah menjadikan ubat bagi setiap penyakit, maka berubatlah tetapi jangan berubat dengan yang haram.” (Sunan Abu Dawud, no. 3874. Dinilai dha’if oleh Al-Albani, namun maknanya sahih)

Dari hadis Hasan bin Mukhaariq, beliau berkata:

قَالَتْ أُمُّ سَلَمَةَ اشْتَكَتِ ابْنَةٌ لِي، فَنَبَذْتُ لَهَا فِي كُوزٍ، فَدَخَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَهُوَ يَغْلِي، فَقَالَ «مَا هَذَا؟ » فَقَالَتْ: إِنَّ ابْنَتِي اشْتَكَتْ فَنَبَذْنَا لَهَا هَذَا، فَقَالَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّ اللَّهَ لَمْ يَجْعَلْ شِفَاءَكُمْ فِي حَرَامٍ

“Ummu Salamah berkata, “Anak perempuanku mengalami sakit, lalu aku pun menyediakan untuknya secawan perahan anggur. Kemudian datanglah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan perahan tersebut mula kelihatan berbuih (menapai dan menjadi khamr).” Maka Rasulullah bertanya, “Apa ini.”

Maka Ummu Salamah pun berkata, “Anakku sedang sakit, lalu aku pun menyediakan perahan anggur ini untuknya.” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda:

“Sesungguhnya Allah tidak menjadikan penawar bagi kalian pada sesuatu yang haram.” (Shahih Ibn Hibban, no. 1391)

Dari Abi Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَا أَنْزَلَ اللَّهُ دَاءً إِلَّا أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً

“Tidaklah Allah turunkan suatu penyakit, melainkan Dia juga menurunkan penawarnya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5678)

Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata kepada Athaa’ bin Abi Rabaah:

أَلاَ أُرِيكَ امْرَأَةً مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ؟ قُلْتُ: بَلَى، قَالَ: هَذِهِ المَرْأَةُ السَّوْدَاءُ، أَتَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ: إِنِّي أُصْرَعُ، وَإِنِّي أَتَكَشَّفُ، فَادْعُ اللَّهَ لِي، قَالَ: إِنْ شِئْتِ صَبَرْتِ وَلَكِ الجَنَّةُ، وَإِنْ شِئْتِ دَعَوْتُ اللَّهَ أَنْ يُعَافِيَكِ فَقَالَتْ: أَصْبِرُ، فَقَالَتْ: إِنِّي أَتَكَشَّفُ، فَادْعُ اللَّهَ لِي أَنْ لاَ أَتَكَشَّفَ، فَدَعَا لَهَا

“Adakah engkau mahu melihat wanita dari ahli Jannah (Syurga)?” Jawab Athaa’, “Ya.” Ibnu ‘Abbas pun berkata:

“Wanita hitam ini, beliau pernah datang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam lalu berkata, “Aku selalu tidak sedarkan diri (pengsan atau kerana kerasukan), dan auratku tersingkap kerananya. Maka berdoalah kepada Allah untuk-ku.” Jawab Nabi, “Jika engkau mahu (mampu), bersabarlah, dan bagi engkau adalah Jannah (Syurga), dan jika engkau mahu, aku akan berdoa kepada Allah untuk kesembuhan-mu.” Maka jawab wanita itu:

“Aku akan bersabar.” Lalu dia berkata, “(Tetapi) sesungguhnya auratku tersingkap (jika dalam tak sedarkan diri), maka berdoalah kepada Allah agar ia tidak tersingkap.” Maka beliau pun mendoakannya.” (Muttafaq ‘alaih; Shahih Al-Bukhari, no. 5652. Muslim, no. 2576)

Hadis-hadis ini membawa banyak faedah, di antaranya:

1, Menunjukkan berubat adalah termasuk sunnah dan disyari’atkan. Sebagaimana kata Asy-Syaikh Shiddiq Hasan Khan rahimahullah (Wafat: 1307H):

“Berubat adalah diharuskan berdasarkan hadis riwayat Muslim dan selainnya dari Jaabir radhiyallahu ‘anhu, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءٌ، فَإِذَا أُصِيبَ دَوَاءُ الدَّاءِ بَرَأَ بِإِذْنِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ

“Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila penyakit itu kena dengan ubatnya, penyakit pun akan hilang dengan izin Allah ‘Azza wa Jalla.” (Shahih Muslim, no. 2204. Bab: Setiap penyakit ada ubatnya, dan disukai berubat).” (Ar-Raudhatun Nadhiyah Syarh Ad-Durar Al-Bahiyah, 2/227-228 – Daar Al-Ma’rifah)

2, Larangan berubat dengan suatu yang diharamkan. Kata Asy-Syaikh Muhammad bin Ibrahim Alu Asy-Syaikh rahimahullah:

أن أصل التداوي مشروع وليس بواجب، فلا يجوز ارتكاب محظور من أجل فعل جائز

“Bahawa asal hukum berubat itu adalah masyruu’ (disyari’atkan) tetapi bukanlah wajib. Maka tidak boleh seseorang berubat dengan sesuatu yang terlarang dengan alasan ia dibolehkan.” (Fataawaa wa Rasaa’il Asy-Syaikh Muhammad bin Ibrahim Alu Asy-Syaikh, 3/139)

Kata ‘Abdullah bin Mas’oud radhiyallahu ‘anhu:

إِنَّ اللَّهَ لَمْ يَجْعَلْ شِفَاءَكُمْ فِيمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ

“Sesungguhnya Allah tidak menjadikan penawar bagi kalian pada apa-apa yang diharamkan atas kalian.” (Mushannaf oleh ‘Abdurrazzaq, no. 17097. Ibn Abi Syaibah, no. 23492. Shahih Al-Bukhari, 7/110)

3, Mengimani bahawa Allah-lah yang menurunkan penyakit. Dan Dia juga-lah yang menurunkan ubatnya. Penyakit akan sembuh jika kena dengan ubatnya atas izin Allah ‘Azza wa Jalla.

4, Sabar dalam musibah dan ketika tertimpa sakit adalah sebuah keutamaan, dan balasannya adalah Syurga.

5, Doa termasuk kaedah perubatan dan memohon kesembuhan dari Allah. Sekaligus menunjukkan keteguhan dan kebergantungan harap yang tinggi terhadap Allah Ta’ala, bukan kepada selain-Nya.

6, Hadis ini menunjukkan dibolehkan untuk tidak berubat dan tetap bersabar kerana asal hukum berubat bukan-lah termasuk suatu yang wajib, dan insyaAllah ini termasuk pandangan yang benar dan kuat. Kata Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H):

وَلَسْت أَعْلَمُ سَالِفًا أَوْجَبَ التداوي

“Dan aku tidak pernah mengetahui adanya para salaf yang mewajibkan berubat.” (Majmu’ Al-Fataawaa, 21/564)

Imam Asy-Syaukni rahimahullah (Wafat: 1250H) mengatakan:

والتفويض أفضل لمن يقدر على الصبر

“Berserah diri (tidak berubat) di atas kesabaran adalah afdhal (lebih utama) bagi sesiapa yang mampu.”

Kemudian murid Al-Imam Asy-Syaukani rahimahullah, Shiddiq Hasan Khan rahimahullah pun mendukung teks (perkataan) gurunya tersebut dengan hadis dari Ibnu ‘Abbas di atas. Kemudian beliau mengatakan:

يفيده قوله: “إن شئت صبرت” وأما مع عدم الصبر على المرض وصدور الحرج والحرد وضيق الصدر من المرض فالتداوي أفضل لأن فضيلة التفويض قد ذهبت بعدم الصبر

“Faedah ini difahami dari sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Jika engkau mahu (mampu), bersabarlah…”

Tetapi jika tidak mampu sabar terhadap sakit yang dialaminya dan menanggung derita ketika menahan sakit (sehingga menyebabkan dia berkeluh-kesah dan terhalang dari ibadah – pent.), dalam keadaan seperti ini mengambil langkah berubat adalah lebih afdhal (utama) kerana fadhiilah (keutamaan) tidak berubat akan hilang jika tidak diiringi dengan kesabaran.” (Ar-Raudhatun Nadhiyah Syarh Ad-Durar Al-Bahiyah, 2/228 – Daar Al-Ma’rifah)

Wallahu a’lam, sebahagian ulama ada yang menyelisihi hal ini dengan menegaskan bahawa berubat termasuk kewajiban dan meninggalkannya adalah haram, sebagaimana ditegaskan oleh Asy-Syaikh Ahmad Syakir rahimahullah. Manakala sebahagian yang lain mengatakan, berubat adalah anjuran bertujuan mengembalikan tubuh kepada keadaan normal, dan ini adalah mazhab Asy-Syafi’i menurut Al-Imam An-Nawawi rahimahullah.

7, Menunjukkan tingginya sifat malu para sahabiyah. Mereka tidak redha auratnya tersingkap walaupun sedikit, walaupun dalam keadaan darurat dan tidak sedarkan diri seperti kerana tertimpa musibah atau sakit.

Berubat dengan meminum khamr atau apa-apa yang haram

Disebutkan dalam Ar-Raudhatun Nadhiyah, “Telah sahih dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tentang larangan berubat dengan menggunakan Al-Khamr (sesuatu yang memabukkan) sebagaimana hadis dalam Shahih Muslim dan selainnya. Dan dalam Shahih Al-Bukhari dari hadis Ibnu Mas’oud radhiyallahu:

إِنَّ اللَّهَ لَمْ يَجْعَلْ شِفَاءَكُمْ فِيمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ

“Sesungguhnya Allah tidak menjadikan ubat (penawar) untuk kalian pada apa yang diharamkan atas kalian.”

Lalu penulis menyatakan:

وقد ذهب إلى تحريم التداوي بالأدوية النجسة والمحرمة الجمهور ولا يعارض هذا إذنه صلى الله عليه وسلم بالتداوي بأبوال الإبل كما في الصحيح لأنها لم تكن نجسة ولا محرمة

“Bahawa mazhab jumhur, mereka mengharamkan berubat dengan sesuatu yang najis (kotor) dan yang haram. Dan ini tidaklah bertentangan dengan izin Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tentang bolehnya berubat dengan air kencing unta sebagaimana dalam kitab Ash-Shahih kerana air kencing unta bukanlah najis dan tidak pula haram.” (Ar-Raudhatun Nadhiyah Syarah Ad-Durar Al-Bahiyah, 2/229 – Daar Al-Ma’rifah)

Kemudian dalam Shahih Muslim, hadisnya dari Thaariq bin Suwaid Al-Ju’fi radhiyallahu ‘anhu, bahawa beliau bertanya kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tentang Al-Khamr. Lalu Nabi melarang atau membenci membuatnya. Maka Thaariq menjelaskan:

إِنَّمَا أَصْنَعُهَا لِلدَّوَاءِ، فَقَالَ: إِنَّهُ لَيْسَ بِدَوَاءٍ، وَلَكِنَّهُ دَاءٌ

“Sesungguhnya apa yang aku buat hanya bertujuan pengubatan.” Lalu Jawab Nabi:

“Sesungguhnya ia bukanlah ubat, tetapi ia adalah penyakit.” (Shahih Muslim, no. 1984. Bab: Larangan berubat dengan al-Khamr)

Kata Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H):

لَا يَجُوزُ التَّدَاوِي بِالْخَمْرِ وَغَيْرِهَا مِنْ الْخَبَائِثِ لِمَا رَوَاهُ وَائِلُ بْنُ حجر

“Tidak dibolehkan berubat dengan Al-Khamr dan selainnya dari sesuatu yang kotor berdasarkan hadis riwayat Wa’il bin Hujr (iaitu hadis di atas).” (Majmuu’ al-Faataawa, 24/272)

Beliau juga menegaskan:

فَهَذَا نَصٌّ فِي الْمَنْعِ مِنْ التَّدَاوِي بِالْخَمْرِ رَدًّا عَلَى مَنْ أَبَاحَهُ وَسَائِرُ الْمُحَرَّمَاتِ مِثْلُهَا قِيَاسًا خِلَافًا لِمَنْ فَرَّقَ بَيْنَهُمَا

“Dan ini adalah nash (dalil) pada dilarangnya dari berubat dengan Al-Khamr dan padanya bantahan atas sesiapa yang membolehkannya dan pada apa-apa (yang dijadikan sebagai ubat) selainnya yang seumpama yang diharamkan juga diqiyaskan dengannya sebagai bentuk penyelisihan terhadap orang yang membezakan di antara keduanya (antara al-Khamr dengan apa-apa yang diharamkan selain al-Khamr).” (Majmuu’ Al-Faataawa, 21/568)

Kemudian dalam Sunan Abi Daud, Abi Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الدَّوَاءِ الْخَبِيثِ

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang berubat dengan Al-khabiits (iaitu: sesuatu yang jijik, buruk, dan kotor).” (Musnad Ahmad, no. 8048. Sunan Abi Daud, no. 3870. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Dalam Musnad Ahmad dan Sunan At-Tirmidzi ada tambahan penjelasan:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الدَّوَاءِ الْخَبِيثِ. يَعْنِي السُّمَّ

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang berubat dengan Al-khabiits. Iaitu yang beracun.” (Musnad Ahmad, no. 9756, 10194. Sunan At-Tirmidiz, no. 2045)

Al-Imam ‘Abdurrazzaq Ash-Shan’ani rahimahullah (Wafat: 211H) meriwayatkan dalam Mushannaf-nya, bahawa ‘Abdullah bin Mas’oud radhiyallahu ‘anhu berkata:

لَا تَسْقُوا أَوْلَادَكُمُ الْخَمْرَ، فَإِنَّ أَوْلَادَكُمْ وُلِدُوا عَلَى الْفِطْرَةِ أَتَسْقُونَهُمْ مِمَّا لَا عِلْمَ لَهُمْ بِهِ، إِنَّمَا إِثْمُهُمْ عَلَى مَنْ سَقَاهُمْ إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى لَمْ يَجْعَلْ شِفَاءَكُمْ فِيمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ

“Janganlah kalian meminumkan anak-anak kalian dengan khamr, kerana sesungguhnya anak-anak kalian lahir di atas fithrah, adakah kalian beri minum mereka dengan sesuatu yang tidak diketahui, kerana sesungguhnya dosa mereka atas siapa yang meminumkan mereka, dan sesungguhnya Allah Ta’ala tidak menjadikan penawar bagi kalian pada apa-apa yang diharamkan atas kalian.” (Mushannaf oleh ‘Abdurrazzaq, no. 17102; lihat Fath Al-Bari oleh Ibn Hajar, 10/79)

Lebih terperinci, Al-Khamr adalah sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma:

وَالخَمْرُ مَا خَامَرَ العَقْلَ

“Dan al-Khamr adalah apa-apa yang menghilangkan akal (yakni yang membuat mabuk, atau hilang kawalan akal dalam keadaan sedar – pent.).” (Shahih al-Bukhari, no. 5581)

Iaitu sesuatu yang menjadikan akal tidak waras, memabukkan, hilang ingatan, atau hilang kawalan akal dalam keadaan sedar.

Kemudian dapat juga difahami sebagaimana dalam hadis yang lain dari Ibnu ‘Umar bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

كُلُّ مُسْكِرٍ خَمْرٌ، وَكُلُّ مُسْكِرٍ حَرَامٌ

“Setiap yang memabukkan adalah khamr, dan setiap yang memabukkan adalah haram.” (Shahih Muslim, no. 2003)

Juga hadis dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

كُلُّ شَرَابٍ أَسْكَرَ فَهُوَ حَرَامٌ

“Setiap minuman yang memabukkan, maka ia adalah haram.” (Shahih Al-Bukhari, no. 242, 5585, dan 5586. Muslim, no. 2001)

Setiap apa yang memabukkan dalam jumlah banyaknya, dalam jumlah yang sedikit juga dikategorikan sebagai haram. Dalilnya sebagaimana dari Jaabir bin ‘Abdillah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَا أَسْكَرَ كَثِيرُهُ، فَقَلِيلُهُ حَرَامٌ

“Apa-apa yang memabukkan pada banyaknya, maka pada sedikitnya juga dalah haram.” (Sunan Abi Daud, no. 3681. At-Tirmidzi, no. 1865)

Apa Yang Diharamkan Allah, Maka Ia Bukanlah Ubat

Dari ‘Abdullah bin Mas’oud, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ لَمْ يُنْزِلْ دَاءً إِلَّا أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً، عَلِمَهُ مَنْ عَلِمَهُ، وَجَهِلَهُ مَنْ جَهِلَهُ

“Sesungguhnya tidaklah Allah ‘Azza wa Jalla menurunkan penyakit melainkan Dia juga menurunkan penawarnya. Tahulah sesiapa yang mengetahuinya, dan tidak mengetahui sesiapa yang tidak mengetahuinya.” (Musnad Ahmad, no. 4236)

Setiap penyakit yang Allah turunkan atau jadikan itu sesungguhnya bersamanya ada penawarnya. Cuma sama ada kita mengetahui atau tidak.

Hadis dari Abi Dardaa’ radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ اللَّهَ أَنْزَلَ الدَّاءَ وَالدَّوَاءَ، وَجَعَلَ لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءً فَتَدَاوَوْا وَلَا تَدَاوَوْا بِحَرَامٍ

“Sesungguhnya Allah-lah yang menurunkan penyakit dan ubatnya. Allah menjadikan ubat bagi setiap penyakit, maka berubatlah tetapi jangan berubat dengan yang haram.” (Sunan Abu Daud, no. 3874. Dinilai dha’if oleh Al-Albani, namun maknanya sahih)

Dari Ummu Dardaa’, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ اللَّهَ خَلَقَ الدَّاءَ وَالدَّوَاءَ فَتَدَاوَوْا، وَلا تَتَدَاوَوْا بِحَرَامٍ

“Sesungguhnya Allah menciptakan penyakit dan ubatnya, maka berubatlah, dan janganlah berubat dengan yang haram.” (Ath-Thabrani, Mu’jam Al-Kabiir, no. 20153. Kata Al-Haitsami, para perawinya tsiqah, dan Al-Albani menilainya hasan)

Dari Ummu Salamah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ اَللَّهَ لَمْ يَجْعَلْ شِفَاءَكُمْ فِيمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ

“Sesungguhnya Allah tidak menjadikan penawar pada apa-apa yang diharamkan atas kalian.” (Sunan Al-Baihaqi, no. 19463. Shahih Ibnu Hibban, no. 1391)

Juga disebutkan oleh Ibnu Mas’oud sebagaimana dalam Shahih Al-Bukhari, 7/110. Al-Baihaqi dalam Sunannya, Ibnu Abi Syaibah dan ‘Abdirrazzaq dalam Mushannaf mereka masing-masing, Al-Baghawi dalam Syarhus Sunnah, dan selainnya.

Dari hadis ‘Abdurrahman bin ‘Utsman, beliau berkata:

ذَكَرَ طَبِيبٌ عِنْدَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَوَاءً، وَذَكَرَ الضُّفْدَعَ يُجْعَلُ فِيهِ، فَنَهَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ قَتْلِ الضُّفْدَعِ

“Seorang thobiib (dokter) menyebutkan di sisi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tentang ubat (bagi suatu penyakit), dan beliau menyebutkan katak boleh dijadikan ubat padanya. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang dari membunuh katak.” (Musnad Ahmad, no. 15757)

Dalam Sunan Abi Daud:

أَنَّ طَبِيبًا سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ضِفْدَعٍ، يَجْعَلُهَا فِي دَوَاءٍ فَنَهَاهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ قَتْلِهَا

“Bahawa seorang dokter bertanya kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tentang katak, ia menyatakan katak boleh dijadikan sebagai ubat. Lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang membunuh katak (tidak boleh dijadikan ubat).” (Sunan Abi Daud, no. 5269. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Kata Imam Asy-Syaukani rahimahullah:

فِيهِ دَلِيلٌ عَلَى تَحْرِيمِ أَكْلِهَا بَعْدَ تَسْلِيمٍ، أَنَّ النَّهْيَ عَنْ الْقَتْلِ يَسْتَلْزِمُ تَحْرِيمَ الْأَكْلِ

“Hadis ini adalah dalil atas haramnya memakan katak setelah kita menerima kaedah, bahawa larangan membunuh membawa kepada sebab haram untuk memakan.” (Asy-Syaukani, Nail al-Authaar, 8/143)

Para ulama telah membuat kaedah bahawa setiap apa yang haram dibunuh, maka ia juga haram dimakan, demikian untuk dijadikan sebagai ubat sebagaimana hadis tentang pertanyaan dokter tersebut tentang katak kepada Nabi.

Selain itu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga telah bersabda:

وَإِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ إِذَا حَرَّمَ عَلَى قَوْمٍ أَكْلَ شَيْءٍ حَرَّمَ عَلَيْهِمْ ثَمَنَهُ

“Sesungguhnya jika Allah ‘Azza wa Jalla mengharamkan bagi suatu kaum dari memakan sesuatu, maka Dia juga akan mengharamkan harganya.” (Musnad Ahmad, no. 2221. Sunan Abu Daud, no. 3488. Dinilai sahih oleh Al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth)

Maksudnya, tidak boleh memperniagakan apa-apa yang diharamkan oleh Allah dan mengambil keuntungan darinya.

Ubat Hanyalah Sarana

Ubat itu hanyalah wasilah atau sarana yang Allah jadikan bagi menuju kesembuhan. Adapun yang menyembuhkan penyakit itu hanyalah Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Sebab itulah dapat kita perhatikan bagi sesuatu penyakit itu adakalanya dapat disembuhkan setelah mengambil ubatnya, namun adakalanya tidak juga sembuh kerana memang Allah belum menghendaki kesembuhan atasnya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ

“(Ibrahim berkata): Dan apabila aku sakit, Dia-lah yang menyembuhkan aku.” (Surah Asy-Syu’araa’, 26: 80)

Dalam sebuah hadis, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda kepada dokter:

اللَّهُ الطَّبِيبُ، بَلْ أَنْتَ رَجُلٌ رَفِيقٌ، طَبِيبُهَا الَّذِي خَلَقَهَا

“Allah-lah sebenar-benarnya Ath-Thobiib (yakni dokter, yang maha menyembuhkan), manakala engkau hanyalah seorang yang merawat. Dokter yang menyembukannya adalah yang menciptakannya.” (Sunan Abi Daud, no. 4207)

Jadi, fahamilah baik-baik bahawa usaha untuk berubat dan mencari sarana kesembuhan dari penyakit yang menimpa adalah bersifat mubah atau anjuran. Jadi yakinilah bahawa Allah-lah yang sesungguhnya yang Maha Menyembuhkan. Dan para dokter tidak mampu memberikan apa-apa manfaat mahupun mudharat tanpa izin dan kehendak dari Allah ‘Azza wa Jalla.

Al-Imam Ibn Al-Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H) berkata:

المعالجة بالمحرَّمات قبيحةٌ عقلاً وشرعاً، أمَّا الشرعُ فما ذكرْنا من هذه الأحاديثِ وغيرها. وأمَّا العقلُ، فهو أنَّ اللهَ سبحانه إنما حرَّمه لخُبثه… وإنما حرَّم على هذه الأُمة ما حَرَّم لخبثه، وتحريمُه له حِمية لهم، وصيانة عن تناوله، فلا يُناسِبُ أن يُطلَبَ به الشِّفاءُ من الأسقام والعِلل، فإنه وإن أثَّر فى إزالتها، لكنه يُعْقِبُ سَقَماً أعظمَ منه فى القلب بقوة الخُبث الذى فيه، فيكون المُدَاوَى به قد سعى فى إزالة سُقْم البدن بسُقْم القلب.

“Berubat dengan sesuatu yang diharamkan adalah perbuatan yang buruk secara akal mahupun syara’. Adapun secara syara’, telah kami jelaskan dari sejumlah hadis-hadis dan selainnya. Dan adapun secara akal, bahawa Allah mengharamkan sesuatu tersebut adalah kerana keburukannya…

Bahawa Allah tidaklah mengharamkan sesuatu atas umat ini melainkan kerana keburukannya dan Allah mengharamkannya demi melindungi mereka serta menjaga mereka dari memakannya. Maka tidaklah sesuai jika mencari-cari sesuatu (yang haram) itu untuk dijadikan sebagai penawar bagi penyakit atau wabak. Walaupun jika sesuatu (yang haram) itu mengandungi kesan menghilangkan penyakit, namun pasti ia mampu menjadi sebab penyakit yang lainnya yang lebih berbahaya pada hatinya kerana kekuatan sesuatu yang buruk yang terkandung padanya.

Maka dari sini pesakit telah berusaha mencari kesembuhan pada penyakit tubuh (fizikal) dengan risiko penyakit hati.”

وأيضاً فإنَّ تحريمه يقتضى تجنُّبه والبُعدَ عنه بكُلِّ طريق، وفى اتخاذه دواء حضٌ على الترغيب فيه وملابسته، وهذا ضِدُّ مقصود الشارع، وأيضاً فإنه داء كما نصَّ عليه صاحبُ الشريعة، فلا يجوز أن يُتخذ دواءً.

“Maka suatu yang diharamkan oleh-Nya membawa makna harus dijauhi dan dihindari dari segala jalan dan caranya. Menjadikannya sebagai ubat menunjukkan mendorong dan mendekatkan diri kepadanya, dan ini suatu yang bertentangan dengan maksud pemilik syari’at.

Dan juga, bahawa suatu yang haram (khamr) itu adalah penyakit sebagaimana yang dinashkan oleh pembuat syari’at, maka tidak boleh untuk dijadikan sebagai ubat.”

وأيضاً فإنه يُكْسِبُ الطبيعة والروح صفةَ الخبث، لأن الطبيعة تنفعِلُ عن كيفية الدواء انفعالاً بَيِّناً، فإذا كانت كيفيتُه خبيثةً

“Khamr juga turut boleh menjadi sebab timbulnya sifat yang buruk secara tabi’i dan ruh (keperibadian). Kerana secara tabi’inya tubuh akan menerima kesan reaksi dari bentuk ubat dengan jelas. Maka jika unsur asasnya sudah buruk, maka kesan yang diterima tubuh darinya juga akan buruk.” (Zaad Al-Ma’ad, 4/156)

Dalam satu hadis dari Jaabir radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا اللَّهَ وَأَجْمِلُوا فِي الطَّلَبِ فَإِنَّ نَفْسًا لَنْ تَمُوتَ حَتَّى تَسْتَوْفِيَ رِزْقَهَا وَإِنْ أَبْطَأَ عَنْهَا فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَجْمِلُوا فِي الطَّلَبِ خُذُوا مَا حَلَّ وَدَعُوا مَا حَرُمَ

“Wahai manusia, bertaqwa-lah kepada Allah, dan bersungguhlah dalam berusaha. Sesungguhnya suatu jiwa tidak akan mati sampailah disempurnakan rezekinya (oleh Allah) walaupun lambat, maka bertaqwalah kepada Allah, bersungguhlah dalam berusaha, ambillah apa yang halal, dan tinggalkanlah apa-apa yang haram.” (Sunan Ibnu Majah, no. 2135)

Jadi, dalam berusaha mencari kesembuhan dari sisi Allah, hendaklah sentiasa mencukupkan diri dengan mengambil sarana yang halal dan menjauhi sarana perubatan serta apa-apa yang diharamkan, nasjis, atau kotor seperti dengan cara meminum khamr, memakan ular, meminum darah monyet, memakan bangkai, mengambil sample virus lalu memasukkan ke dalam tubuh dengan harapan untuk memperkuatkan antibodi[i], termasuk juga dengan cara berjumpa bomoh dan dukun. Hendaklah kita memperkuatkan tawakkal kepada Allah, tabahkanlah diri dengan sifat redha dan memperkukuhkan kesabaran. Banyakkan mengingat dan kembali kepada Allah, kerana Dia-lah yang menurunkan penyakit dan Dia-lah juga yang Maha Menyembuhkan.

Wallahu a’lam.


[i] Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لاَ يُوْرِدُ مُمْرِضٌ عَلَى مُصِحٍّ

“Janganlah (unta atau orang) yang sihat dicampur dengan (unta atau orang) yang sakit.” (Musnad Ahmad, no. 9263. Shahih Muslim, no. 2221)

Juga sabda beliau:

فِرَّ مِنَ الْمَجْذُوْمِ فِرَارَكَ مِنَ الأَسَدِ

“Larilah dari penyakit kusta seperti engkau lari dari singa.” (Musnad Ahmad, no. 9722)

Di hadis yang lain lagi:

إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُوْنِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَدْخُلُوْهَا. وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا مِنْهَا.

“Apabila kalian mendengar suatu wabak penyakit tha’un di sesuatu kawasan, maka janganlah kalian memasukinya (daerah tersebut). Dan apabila kalian berada dalam kawasan yang sedang dilanda wabak penyakit tersebut, maka janganlah kalian keluar darinya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5728)

Di hadis yang lain lagi:

إِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ بِأَرْضٍ، فَلَا تَقْدَمُوا عَلَيْهِ، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا، فَلَا تَخْرُجُوا فِرَارًا مِنْهُ

“Apabila kalian mendengar tentang suatu wabak di suatu kawasan, maka janganlah kalian mendatanginya. Dan jika suatu tempat dilanda wabak dan kalian berada di dalam kawasan trersebut, maka janganlah kalian keluar lari darinya.” (Shahih Muslim, no. 2219)

Hadis-hadis ini menjelaskan agar kita jangan mendatangi dan mendekati tempat punca berlakunya wabak. Bahkan hendaklah kita menjauh dari sebab-sebab wabak. Di antara hikmahnya adalah agar kita dapat menghindar diri dari hal-hal yang menjadi sebab terkena wabak atau dari menjadi vektor kepada wabak tersebut. Ini semua termasuk dalam rangka mengikuti bimbingan wahyu dalam bermuamalah dengan penyakit-penyakit berbentuk wabak.

 

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest