stickyimage

“Selamat bersatu di atas sunnah, jalan Nabi dan para sahabat.”

Close
http://www.ilmusunnah.com/wp-content/uploads/2012/04/ads.png

Asal-usul Air Zam-zam dan Keutamaannya

Asal-usul Air Zam-zam dan Keutamaannya

Abu Numair Nawawi B. Subandi
www.ilmusunnah.com

Air Zam-zam bukanlah air yang asing bagi umat Islam. Air Zam-zam memiliki keutamaan dan manfaat yang sangat banyak. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah menjelaskan manfaat air tersebut dalam banyak hadis-hadisnya.

Antaranya beliau telah bersabda:

خير ماء على وجه الأرض ماء زمزم فيه طعام من الطعم وشفاء من السقم

“Sebaik-baik air di atas muka bumi adalah air Zam-zam, padanya terdapat makanan (yang mengenyangkan) dan padanya juga terdapat penawar yang menyembuhkan penyakit.” (Ath-Thabrani, Al-Mu’jam al-Kabiir, no. 11167. Al-Jami’ ash-Shaghir, no. 5633. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Air Zam-zam adalah air dari punca (mata air) yang diberkahi dan masyhur. Berada di Masjid al-Haram pada sebelah timur Ka’abah. Sejarah air Zam-zam sangat berhubung rapat dengan kisah Hajar dan anaknya, Isma’il. Telaga Zam-zam ini berasal dari galian Malaikat Jibril dengan sayap dan tumitnya lalu menjadi minuman untuk Hajar (isteri Nabi Ibrahim) yang sedang menyusukan anaknya, Isma’il. Ini disebutkan dalam banyak hadis. Antaranya sebagaimana dalam sebuah hadis yang panjang dalam Shahih al-Bukhari:

Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata:

“Wanita pertama yang menggunakan pengikat pinggang adalah ibu Isma’il ‘alaihis Salam. Beliau menggunakannya untuk menutup kesan jejak-jejaknya dari Sarah. Kemudian Ibrahim ‘alaihis Salam membawanya bersama-sama anaknya Isma’il yang pada ketika itu masih menyusu (kepada ibunya, Hajar) lalu Ibrahim ‘alaihis Salam menempatkan keduanya berdekatan al-bait (Ka’bah) pada sisi sebatang pohon yang besar di atas zamzam di bahagian atas masjid.

Pada waktu itu di Makkah tidak ada seorangpun yang menghuninya dan tidak pula ada air. Ibrahim menempatkan keduanya (Isma’il dan ibunya) di sana dan meninggalkan suatu karung berisi kurma dan bekas (kantong) berisi air. Kemudian Ibrahim pergi meninggalkan keduanya.

Maka Ummu Isma’il mengikutinya lalu berkata: “Wahai Ibrahim, engkau hendak pergi ke mana? Kenapa engkau tinggalkan kami di lembah yang sunyi lagi tandus ini?” Ummu Isma’il mengulang-ulang pertanyaannya berkali-kali tetapi Ibrahim tidak menoleh lagi kepadanya.

Lalu Ummu Isma’il bertanya: “Adakah Allah yang memerintahkan engkau atas semuanya ini?” Ibrahim menjawab: “Ya.” Ibu Isma’il pun berkata:

“Maka kalau begitu, sudah tentu Dia tidak akan membiarkan kami.” Lalu beliau pun kembali. Ibrahim terus berjalan sehingga ketika sampai di sebuah bukit (Tsaniyah), di tempat yang tiada orang dapat melihatnya. Ibrahim berdoa dengan menghadapkan wajahnya ke al-bait (Ka’abah) sambil mengangkat tangannya:

“Ya Rabb, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak memiliki tanam-tanaman di sisi rumah-Mu al-Muharram (yang dihormati). Ya Rabb kami, (yang demikian) agar mereka mendirikan solat. Maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah rezeki kepada mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.” (Surah Ibrahim, 14: 37)

Ummu Isma’il tetap menyusukan Isma’il dan beliau minum dari minuman yang dibekalkan sampai air dalam kantong airnya tersebut habis, lalu beliau dan anaknya (Isma’il) pun kehausan. Beliau melihat anaknya berguling-guling kehausan. Beliau pun beredar (untuk mencari air) kerana tidak tertahan melihat keadaan anaknya.

Beliau mendapati bukit terdekat dengannya adalah bukit Shafa, lalu beliau pun ke sana dan berdiri di atasnya menghadap ke arah lembah seraya melihat-lihat sama ada terdapat orang di sana, tetapi beliau tidak pun mendapatkannya walau seorang.

Lalu beliau pun turun dari Shafa hingga sampai di lembah, beliau mengangkat hujung pakaiannya lalu berlari-lari dengan seperti orang sedang dalam kesusahan sehingga sampailah ke tengah lembah. Kemudian beliau pun sampai pula di Marwa lalu berdiri di atasnya untuk melihat sama ada terdapat orang di sana, tetapi beliau tidak juga melihat walaupun seorang. Dia melakukannya sampai tujuh kali.

Ibnu ‘Abbas mengatakan, “Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Itulah awal mula sa’i antara keduanya yang dilaksanakan orang-orang (pada masa ini).”

“Ketika hampir tiba di Marwa, Ummu Isma’il mendengar suara, lalu ia pun berkata (kepada dirinya), “Diamlah.” Kemudian beliau menumpukan pendengarannya dan mendengar suara itu lagi. Beliau pun mengatakan, “Aku telah mendengar suaramu, adakah engkau dapat menghulurkan bantuan?”

Ternyata dia melihat adanya Malaikat di tempat keluarnya air Zam-zam yang mana Malaikat tersebut sedang menghentak-hentak (atau mengais-ngais) punca air tersebut dengan tumitnya (atau dengan sayapnya) sampai air itu keluar memancar. Lalu Ummu Isma’il segera mengumpul dan menciduk dengan tangannya. Beliau memasukkannya ke dalam kantong air. Air itu terus memancar setelah diciduk.

Ibnu ‘Abbas berkata, “Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Semoga Allah merahmati Ummu Isma’il, seandainya beliau membiarkan air Zam-zam tanpa menciduknya, nescaya air Zam-zam tersebut akan terus menjadi sumber mata air yang mengalir.”

Kemudian Ummu Isma’il pun meminumnya dan menyusukan anaknya. Malaikat berkata kepadanya, “Jangan engkau risau, kalian tidak akan dibiarkan begitu sahaja, kerana di sinilah Baitullah akan dibina oleh anak ini bersama-sama ayahnya. Allah tidak akan membiarkan kekasih-Nya.” Baitullah terletak di tempat yang tinggi seperti bukit, ketika datang aliran air, ia akan mengalir di sebelah kanan dan kirinya.

Begitulah keadaan Ummu Isma’il dan anaknya, lalu datanglah sekelompok orang dari Jurhum (atau keluarga Jurhum), mereka datang dari jalan Kada’ kemudian singgah di bahagian bawah daerah Makkah. Mereka melihat burung berlegar-legar lalu mereka pun berkata, “Sesungguhnya burung itu terbang mengelilingi air. Kita pernah melalui (atau melewati) lembah ini tetapi tiada air.”

Mereka menghantar utusan (wakil), seorang atau dua orang untuk melihat air. Utusan tersebut kembali dan mengkhabarkan kepada mereka tentang kewujudan air di tempat tersebut. Mereka pun pergi mendatangi air tersebut di mana ketika itu Ummu Isma’il turut berada di tempat tersebut. Mereka pun berkata, “Adakah engkau mengizinkan kami untuk tinggal di tempat engkau ini?” Ummu Isma’il pun berkata, “Ya, tetapi kalian tidak berhak (memonopoli) terhadap air ini.” Mereka pun berkata, “Baiklah.”

Ibnu ‘Abbas berkata, “Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata: “Ketika itu, Ummu Isma’il merasa senang dan beliau memiliki teman.”

Kemudian mereka pun tinggal di sana dan mengirim utusan untuk mengajak keluarga mereka tinggal bersama mereka di sana. Sampailah terkumpul beberapa buah keluarga di tempat itu. Anak tersebut (Isma’il) pun membesar menjadi seorang pemuda. Beliau belajar bahasa ‘Arab dari mereka. Beliau menjadi seorang pemuda yang paling dihargai dan paling menarik.” (Shahih Al-Bukhari, no. 3364. Lihat juga no. 3365)

Asal penamaan Zam-zam

Ia dinamakan zam-zam kerana ada yang mengatakan sebab airnya yang melimpah dan lafaz zamzamah menurut bangsa ‘Arab bermaksud banyak dan berkumpul. Ada yang mengatakan kerana Hajar, ibu kepada Isma’il yang telah mengumpulkan airnya ketika mata air tersebut memancar. Beliau menampungnya (zammaha). Ada yang mengatakan kerana suara air tersebut seperti itu (zam-zam) ketika memancar dari mata air tersebut. Wallahu a’lam.

Mata air atau telaga zam-zam ini memiliki banyak nama sekaligus menunjukkan keutamaannya. Di antaranya seperti maimuunah (yang mendapatkan keuntungan), mubaarakah (yang diberkahi), ‘aafiyah (yang menyihatkan), hazmah Jibril (galian malaikat Jibril) dan mughiziyah (yang berzat).

Keutamaan Air Zam-zam

1, Ia adalah sebaik-baik air.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

خير ماء على وجه الأرض ماء زمزم فيه طعام من الطعم وشفاء من السقم

“Sebaik-baik air di atas muka bumi adalah air Zam-zam, padanya terdapat makanan (yang mengenyangkan) dan padanya juga terdapat penawar yang menyembuhkan penyakit.” (Ath-Thabrani, Al-Mu’jam al-Kabiir, no. 11167. Al-Jami’ ash-Shaghir, no. 5633. Dinilai sahih oleh al-Albani)

2, Padanya terdapat keberkahan dan makanan yang mengeyangkan.

Abu Ddzar menceritakan:

 وَلَقَدْ لَبِثْتُ يَا ابْنَ أَخِي ثَلَاثِينَ، بَيْنَ لَيْلَةٍ وَيَوْمٍ، مَا كَانَ لِي طَعَامٌ إِلَّا مَاءُ زَمْزَمَ، فَسَمِنْتُ حَتَّى تَكَسَّرَتْ عُكَنُ بَطْنِي، وَمَا وَجَدْتُ عَلَى كَبِدِي سُخْفَةَ جُوعٍ

“Wahai saudaraku, aku tinggal di sana (Makkah) tiga puluh hari antara malam dan siang. Aku tidak memiliki makanan kecuali air Zam-zam, sampailah perutku dipenuhi dengan air tanpa ada makanan lain untuk menghilangkan lapar melainkan air Zam-zam…”

… Kemudian beliau bertemu dengan Rasulullah. Rasulullah bertanya kepada beliau:

مَتَى كُنْتَ هَاهُنَا؟ قَالَ قُلْتُ: قَدْ كُنْتُ هَاهُنَا مُنْذُ ثَلَاثِينَ بَيْنَ لَيْلَةٍ وَيَوْمٍ، قَالَ: فَمَنْ كَانَ يُطْعِمُكَ؟ قَالَ قُلْتُ: مَا كَانَ لِي طَعَامٌ إِلَّا مَاءُ زَمْزَمَ فَسَمِنْتُ حَتَّى تَكَسَّرَتْ عُكَنُ بَطْنِي، وَمَا أَجِدُ عَلَى كَبِدِي سُخْفَةَ جُوعٍ

“Sudah berapa lama engkau di sini?” Aku (Abu Dzar) jawab, “sekitar tiga puluh hari, antara malam dan siang.”  Beliau bertanya lagi, “Jadi, siapa yang memberimu makan?” Abu Dzar jawab, “Aku tidak memiliki makanan melainkan hanya air Zam-zam. Aku kenyang hingga penuh perutku dan aku tidak menemukan makanan untuk menghilangkan rasa lapar.” Lalu Rasulullah pun bersabda:

إِنَّهَا مُبَارَكَةٌ، إِنَّهَا طَعَامُ طُعْمٍ

“Sesungguhnya ia adalah air yang diberkahi. Bahwasanya ia adalah makanan yang mengenyangkan.” (Shahih Muslim, no. 2473)

Daripada Ibnu ‘abbas radhiyallahu ‘anhuma, Kami pernah mendengar beliau mengatakan:

كُنَّا نُسَمِّيْهَا شَبَّاعَةً يَعْنِيْ زَمْزَمَ وَكُنَّا نَجِدُهَا نِعْمَ الْعَوْنُ عَلَى الْعِيَالِ

“Kami menyebutkan air Zam-Zam dengan Syuba’ah (yang mengenyangkan). Dan kami juga menemukan bahawa air Zam-Zam adalah nikmat pertolongan atas keluarga.” (Ath-Thabrani, al-Mu’jam al-Kabir, no. 10637. Mushannaf Abdurrazzaq, no. 9120. Dinilai sahih lighairihi oleh al-Albani)

Imam Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H) berkata:

“Aku pernah menyaksikan orang yang menjadikannya sebagai makanan selama beberapa hari, iaitu lebih kurang selama setengah bulan atau lebih, dan ia tidak merasakan lapar. Orang tersebut juga turut mengerjakan thawaf bersama orang-orang sepertinya. Bahkan ia memberitahu kepadaku bahawa kemungkinan ia telah menetap di sana selama empat puluh hari dan dia tetap memiliki tenaga untuk mengauli isterinya, berpuasa, dan melakukan ibadah thawaf berulang-ulang kali.” (Zaadul Ma’ad, 4/393)

3, Mengandungi penawar yang membantu menyembuhkan penyakit.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

زَمْزَمُ طَعَامُ طُعْمٍ وَشِفَاءُ سَقَمٍ

“Zam-zam adalah makanan yang mengeyangkan dan penawar bagi penyakit.” (Musnad Al-Bazzar, no. 3929)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ الْحُمَّى مِنْ فَيْحِ جَهَنَّمَ، فَأَبْرِدُوهَا بِمَاءِ زَمْزَمَ

“Sesungguhnya demam berasal dari panas Jahannam, maka redakanlah dengan air Zam-zam.” (Musnad Ahmad, no. 2649. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Syaikh al-Albani rahimahullah membawakan hadis berikut dalam ash-Shahihah:

كان يحمل ماء زمزم فِى الأَدَاوَى وَالْقِرَبِ وَكَانَ يَصُبُّ عَلَى الْمَرْضَى وَيَسْقِيهِمْ

“Bahawasanya beliau (Rasulullah) membawa air Zam-zam di dalam kantong-kantong untuk merawat. Dan beliau menuangkan ke atas pesakit dan menyapukannya.” (As-Silsilah al-Ahadits ash-Shahihah, no. 883)

4, Ia air yang digunakan oleh Jibril membasuh dada Rasulullah ketika dibelah.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

فَنَزَلَ جِبْرِيلُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَفَرَجَ صَدْرِي، ثُمَّ غَسَلَهُ بِمَاءِ زَمْزَمَ

“… lalu Jibril Shallallahu ‘alaihi wa Sallam turun lalu membelah dadaku, kemudian beliau membasuhnya dengan air Zam-zam…” (Shahih al-Bukhari, no. 349. Muslim, no. 163)

Secara pasti, perkara ini menunjukkan sudut keutamaan air telaga Zam-zam, tempat di mana Jibril membasuh dada beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan airnya, bukan dengan selainnya. (Al-‘Aini, ‘Umdatul Qari, 9/277)

5, Diminum bersama niat yang dikehendaki.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَاءُ زَمْزَمَ لِمَا شُرِبَ لَهُ

“Air Zam-zam itu diminum berdasarkan apa yang diniatkannya (dihajati).” (Sunan Ibnu Majah, no. 3053. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Imam Mujahid rahimahullah (Wafat: 103H) berkata:

زَمْزَمُ لِمَا شُرِبَتْ لَهُ، إِنْ شَرِبْتَهُ تُرِيدُ الشِّفَاءَ شَفَاكَ اللَّهُ، وَإِنْ شَرِبْتَهُ تُرِيدُ أَنْ يَقْطَعَ ظَمَأَكَ قَطَعَهُ، وَإِنْ شَرِبْتَهُ تُرِيدُ أَنْ تُشْبِعُكَ أَشْبَعَتْكَ هِيَ هَزْمَةُ جِبْرِيلَ، وَسُقْيَا اللَّهِ إِسْمَاعِيلَ

“Air Zam-zam diminum berdasarkan apa yang dihajatinya, jika engkau meminumnya dengan menginginkan kesembuhan, maka semoga Allah menyembuhkan engkau. Dan jika engkau meminumnya kerana ingin memutuskan dahaga maka Allah akan mencukupkan engkau. Dan jika engkau meminumnya kerana lapar, maka Allah akan mengenyangkan engkau. Ia adalah hasil galian Jibril, dan minuman yang Allah bekalkan untuk Isma’il.” (Mushannaf ‘Abdurrazzaq, no. 9124)

6, Membezakan antara orang mukmin dengan munafiq.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ آيَةً مَا بَيْنَنَا وَبَيْنَ الْمُنَافِقِيْنَ، إِنَّهُمْ لَا يَتَضَلَّعُوْنَ مِنْ زَمْزَمَ

“Sesungguhnya di antara tanda yang membezakan antara kami dengan orang-orang munafiq adalah bahawasanya mereka tidak sudi memperbanyak minum air Zam-zam.” (Sunan Ibnu Majah, no. 3052)

Disunnahkan berdoa ketika meminumnya

Termasuk sunnah ketika minum air Zam-zam adalah berdoa dengan apa yang diinginkan berdasarkan adab-adab doa disyari’atkan, serta berniat dengan apa yang dihajatinya dari kebaikan dunia dan akhirat seperti untuk berubat, mengambil manfaat, atau yang seumpamanya.

Ibnu ‘Abbas radliyallahu ‘anhuma apabila meminum air Zam-zam, beliau berdoa (dengan doa):

اَللَّهُمَّ أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعَا، وَرِزْقًا وَاسِعًا، وَشِفَاءً مِنْ كُلِّ دَاءٍ

“Ya Allah, aku memohon kepadamu ilmu yang bermanfaat, rizki yang lapang, dan kesembuhan dari segala macam penyakit”. (Sunan ad-Daruquthni, no. 2738. Mushannaf ‘Abdurrazzaq, no. 9112)

Kemudian, di antara adab ketika meminum air Zam-zam adalah sebagaimana dijelaskan pada sebuah riwayat dalam Sunan Ibni Majah dan selainnya:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى ابْنِ عَبَّاسٍ فَقَالَ لَهُ: مِنْ أَيْنَ جِئْتَ؟ فَقَالَ شَرِبْتُ مِنْ زَمْزَمَ فَقَالَ لَهُ ابْنُ عَبَّاسٍ: أَشَرِبْتَ مِنْهَا كَمَا يَنْبَغِي؟ قَالَ: وَكَيْفَ ذَاكَ يَا ابْنَ عَبَّاسٍ؟ قَالَ: إِذَا شَرِبْتَ مِنْهَا فَاسْتَقْبِلِ الْقِبْلَةَ وَاذْكُرِ اسْمَ اللَّهِ وَتَنَفَّسَ ثَلَاثًا وَتَضَلَّعْ مِنْهَا فَإِذَا فَرَغْتَ فَاحْمَدِ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ فَإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: آيَةٌ بَيْنَنَا وَبَيْنَ الْمُنَافِقِينَ أَنَّهُمْ لَا يَتَضَلَّعُونَ مِنْ زَمْزَمَ

“Datang seorang lelaki kepada Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma. Ibnu ‘Abbas bertanya kepadanya, “Dari mana engkau datang?” Ia menjawab, “Baru lepas minum Zam-zam.”

Ibnu ‘Abbas berkata, “Minumlah darinya mengikut keperluan.” Ia bertanya, “Bagaimanakah itu wahai Ibnu ‘Abbas?”

“Jika engkau minum darinya, maka mengadaplah ke arah kiblat, sebutlah nama Allah, bernafaslah tiga kali, dan perbanyaklah meminumnya. Kemudian apabila engkau telah selesai, maka pujilah Allah ‘Azza wa Jalla, kerana sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah bersabda: “Sesungguhnya di antara tanda yang membezakan antara kami dengan orang-orang munafiq adalah bahawasanya mereka tidak sudi memperbanyak minum air Zam-zam.” (Sunan ad-Daruquthni, no. 2736. Sunan Ibnu Majah, no. 3052)

Wallahu a’lam.

2 years ago by