Beginilah Ibadah Korban Di Atas Petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah

www.ilmusunnah.com

Alhamdulillah, artikel ringkas ini adalah catatan penulis berkaitan ibadah korban, keutamaannya, hukumnya, dan tatacara perlaksanaannya menurut sunnah.

1, Definisi Dan Hukumnya

Dalam bahasa ‘Arab, ibadah korban disebut sebagai Al-Adhaahi (الأضاحي) atau Udh-hiyyah (أضحية).

Kata Al-Imam Ash-Shan’ani rahimahullah (Wafat: 1182H):

لأضاحي جمع أضحية بضم الهمزة ويجوز كسرها ويجوز حذف الهمزة وفتح الضاد كأنها اشتقت من اسم الوقت الذي شرع ذبحها فيه وبها سمي اليوم يوم الأضحى

Al-Adhaahi (الأضاحي) merupakan jama’ dari kata Udh-hiyyah (أضحية) dengan men-dhammah-kan hamzah dan boleh juga di-kasrah (menjadi: idh-hiyyah), dan boleh juga hamzah dibuang dan huruf dhaad di-fat-hah-kan (menjadi: dhahiyyah), sebagaimana ia menunjukkan waktu pensyari’atan penyembelihan korban. Dan dengan kata itu, hari penyembelihan dinamakan sebagai yaumul adh-ha (يوم الأضحى) (iaitu: hari penyembelihan).” (Subul As-Salam, 4/89)

Dalam Shahih Fiqhis Sunnah disebutkan:

Al-Udh-hiyyah adalah haiwan yang disembelih dalam rangka taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah Ta’ala di hari Nahr (‘idhul Adh-ha dan hari tasyriq) dengan syarat-syarat yang khusus.” (Shahih Fiqhis Sunnah, 2/366 – Al-Maktabah At-Taufiqiyyah)

Manakala dalam hadis, dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

الصَّوْمُ يَوْمَ تَصُومُونَ، وَالفِطْرُ يَوْمَ تُفْطِرُونَ، وَالأَضْحَى يَوْمَ تُضَحُّونَ

“Puasa adalah hari kalian berpuasa, Al-Fithr adalah hari kalian berbuka (makan), dan Al-Adh-ha adalah hari kalian menyembelih (haiwan korban).” (Sunan At-Tirmidzi, no. 697)

Hukum Ibadah Korban

Ibadah korban adalah suatu yang disyari’atkan dalam Islam berdasarkan Al-Qur’an, As-Sunnah, serta ijma’. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

 إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ. فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

“Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak. Maka dirikanlah solat dan berkorbanlah kerana Rabb-mu.” (Surah Al-Kau-tsar, 108: 1-2)

Ayat ini menunjukkan kata perintah agar berkorban setelah perintah solat, iaitu dalam rangka taqarrarub (mendekatkan diri) kepada Allah dan bagi menzahirkan rasa syukur atas nikmat-nikmat dari Allah Ta’ala.

Sejumlah ulama tafsir mengatakan tentang ayat ini adalah menunjukkan perintah menyembelih haiwan sebagai korban setelah solat ‘Iedul Adh-ha. (Al-Mughni oleh Ibn Qudamah, 9/435)

Manakala asal kata perintah adalah menunjukkan hukum wajib. Dan ini dipegang oleh sebahagian ulama bagi mengatakan hukum korban adalah wajib bagi yang berkemampuan. Manakala sebahagian yang lain mengatakan ianya sunnah mu’akkadah.

Dan ibadah korban adalah termasuk salah satu syi’ar Islam yang besar dan sebagai tanda serta amalan orang-orang yang bersyukur dan bertaqwa. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنْسَكًا لِيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَى مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ فَإِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ فَلَهُ أَسْلِمُوا وَبَشِّرِ الْمُخْبِتِينَ

“Setiap umat (dari para Rasul terdahulu), telah kami perintahkan untuk menyembelih haiwan korban, agar mereka menyebut nama Allah (sebagai tanda syukur) atas apa yang direzekikan bagi mereka dari haiwan-haiwan ternakkan.” (Surah Al-Hajj, 22: 34)

Dan kata Al-Imam Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 620H):

وَأَجْمَعَ الْمُسْلِمُونَ عَلَى مَشْرُوعِيَّةِ الْأُضْحِيَّةِ

“Dan kaum muslimin telah ber-ijma’ (sepakat) bahawa menyembelih korban adalah disyari’atkan.” (Al-Mughni, 9/435)

Dan hukum menyembelih haiwan sebagai korban setiap tahun adalah Sunnah mu’akkadah, iaitu suatu ibadah yang sangat dituntut dan ditekankan perlaksanaannya, sekurang-kurangnya seekor kambing bagi seorang lelaki (ketua keluarga), yakni minima seekor kambing bagi satu keluarga yang punya kemampuan. Dan inilah yang dilakukan oleh Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pada setiap tahunnya di ‘Iedul ‘Adh-ha.

Dan inilah mazhab jumhur ulama, mereka mengatakan ianya sunnah, namun tidak sampai ke peringkat wajib. Antara ulama yang berpegang dengan hukum ini adalah Al-Imam Asy-Syafi’i, para ulama Syafi’iyah, Imam Ahmad, Ishaq, Abu Tsaur, Al-Muzani, Ibnu Al-Mundzir, dan selainnya. Diriwayatkan juga dari Abu Bakr, ‘Umar, Bilal, Abu Mas’ud Al-Badri, Suwaid bin Ghaflah, Sa’id bin Al-Musayyib, ‘Alqamah, Al-Aswad, ‘Athaa’, dan lainnya.

Dan sebahagian ulama menukilkan bahawa para sahabat Nabi ber-ijma’ bahawa hukumnya adalah sunnah, bukan wajib.

Sementara yang mewajibkan adalah seperti Imam Malik dan gurunya Rabii’ah, At-Tsauri, Al-Auzaa’i, Al-Laits, dan Abu Hanifah. (lihat: Al-Mughni, 9/435. Shahih Fiqhis Sunnah, 2/368)

Antara dalil yang memalingkan kewajiban hukum korban kepada hukum sunnah mu’akkadah antaranya dapat dilihat dari sebahagian atsar, dari Abu Sarihah, beliau berkata:

رَأَيْتُ أَبَا بَكْرٍ، وَعُمَرَ وَمَا يُضَحِّيَانِ

“Aku pernah melihat Abu Bakr dan ‘Umar, mereka tidak berkorban.” (Mushannaf ‘Abdurrazzaq, no. 8139)

Dari atsar Abu Mas’oud Al-Anshari radhiyallahu ‘anhu (seorang tokoh atau ahli perang badr), beliau berkata:

إِنِّي لَأَدَعُ الْأَضْحَى، وَإِنِّي لَمُوسِرٌ مَخَافَةَ أَنْ يَرَى جِيرَانِي أَنَّهُ حَتْمٌ عَلَيَّ

“Sesungguhnya aku tidak berkorban, sedangkan aku adalah orang yang berkelapangan, kerana aku bimbang jiran tetanggaku akan berpendapat bahawa hal tersebut wajib atasku.” (Mushannaf ‘Abdurrazzaq, no. 8149)

Al-Imam Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 620H) berkata:

وَالْأُضْحِيَّةُ سُنَّةٌ، لَا يُسْتَحَبُّ تَرْكُهَا لِمَنْ يَقْدِرُ عَلَيْهَا، أَكْثَرُ أَهْلِ الْعِلْمِ يَرَوْنَ الْأُضْحِيَّةَ سُنَّةً مُؤَكَّدَةً غَيْرَ وَاجِبَةٍ. رُوِيَ ذَلِكَ عَنْ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَبِلَالٍ وَأَبِي مَسْعُودٍ الْبَدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ، وَبِهِ قَالَ سُوَيْد بْنُ غَفَلَةَ وَسَعِيدُ بْنُ الْمُسَيِّبِ وَعَلْقَمَةُ وَالْأَسْوَدُ وَعَطَاءٌ وَالشَّافِعِيُّ وَإِسْحَاقُ وَأَبُو ثَوْرٍ وَابْنُ الْمُنْذِرِ

“Menyembelih haiwan korban adalah sunnah, tidak disukai bagi yang meninggalkannya dalam keadaan mampu. Kebanyakan ahli ilmu (para ulama) berpendapat bahawa menyembelih haiwan korban adalah sunnah muakkadah, tidak sampai wajib. Pendapat ini diriwayatkan dari Abu Bakr, ‘Umar, Bilal, Abi Mas’oud Al-Badri radhiyallahu ‘anhum. Dan yang turut berpendapat dengannya adalah Suwaid bin Ghaflah, Sa’id bin Al-Musayyib, ‘Alqamah, Al-Aswad, Athaa’, Asy-Syafi’i, Ishaq, Abu Tsaur, dan Ibnu Al-Mundzir.” (Al-Mughni, 9/435)

Demikian juga yang disebutkan oleh Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) dalam Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 8/385.

Manakala sebahagian ulama menyatakan hukumnya adalah wajib, dan mereka berdalil antaranya dengan hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ كَانَ لَهُ سَعَةٌ، وَلَمْ يُضَحِّ، فَلَا يَقْرَبَنَّ مُصَلَّانَا

“Sesiapa yang memiliki kelapangan dan belum berkorban, maka janganlah dia mendekati tempat solat kami.” (Musnad Ahmad, no. 8273. Sunan Ibn Majah, no. 3123)

Namun pada hadis ini terdapat kelemahan. Perawi hadis ini; ‘Abdullah bin ‘Iyaasy, dia dha’if. Antaranya dilemahkan oleh Abu Dawud dan An-Nasaa’i, kata Abu Hatim shoduuq, kata Ibn Yunus mungkar al-hadits. Kata Imam Ahmad, hadis ini mungkar. Dihukumkan mauquf oleh Ad-Daruquthni dalam Al-‘Ilal, Ibnu ‘Abdil Barr, dan Syu’aib Al-Arnauth mendha’ifkannya dalam tahqiq Musnad Ahmad dan Sunan Ibnu Majah.

Kemudian mereka juga berdalil dengan hadis dari Jundab bin Sufyan Al-Bajali, beliau menyaksikan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda di hari An-Nahr (‘Iedul Adh-ha):

مَنْ ذَبَحَ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ فَلْيُعِدْ مَكَانَهَا أُخْرَى، وَمَنْ لَمْ يَذْبَحْ فَلْيَذْبَحْ

“Sesiapa yang telah menyembelih (untuk korban) sebelum solat, maka hendaklah dia mengulanginya dengan sembelihan yang lain, dan sesiapa yang belum menyembelih, maka hendaklah dia menyembelih.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5562)

Namun hadis ini tidaklah mendukung mereka, kerana hadis ini bukan bermaksud menjelaskan tentang hukum kewajiban korban, sebaliknya hadis ini menjelaskan tentang syarat sah atau diterimanya sembelihan sebagai korban, yakni hendaklah menyembelih setelah solat, bukan sebelum solat.

Demikian juga dengan dalil-dalil yang lain berkaitan ini, ia dibawa kepada hukum sunnah. Wallahu a’lam.

Walau bagaimanapun, hendaklah ibadah korban ini tidak ditinggalkan sehingga ada yang menganggapnya suatu yang remeh. Sebaliknya hendaklah ia dijadikan sebagai ibadah yang dizahirkan dan menjadi satu syi’ar agama yang agung di setiap kali ‘Iedul Adh-ha. Ini kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri tidak pernah meninggalkannya walaupun ketika dalam safar, dan inilah yang diamalkan oleh para sahabat beliau secara umum.

Maka, jadikanlah ia sebagai suatu ibadah dalam rangka taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah, sebagai bentuk penzahiran syi’ar Islam, dan sebagai tanda syukur serta taqwa kita pada-Nya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

ذَلِكَ وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوبِ

“Demikianlah (perintah Allah). Dan sesiapa yang meng-agungkan syi’ar-syi’ar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari ketaqwaan hati.” (Surah Al-Hajj, 22: 32)

Dalam ayat yang lain seterusnya Allah berfirman:

لَنْ يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِنْ يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنْكُمْ

“Tidaklah sampai kepada Allah daging haiwan korban itu, dan tidak pula darahnya, akan tetapi yang akan sampai kepada-Nya adalah ketaqwaan kamu.” (Surah Al-Hajj, 22: 37)

Dalam hadis dari Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَلَا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ؟ قَالَ: وَلَا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ، فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ

“Tidak ada hari-hari (yang lebih utama) di mana amal-amal soleh yang dilakukan pada hari-hari tersebut lebih dicintai Allah dari hari-hari ini, iaitu hari yang 10 (di bulan Dzulhijjah).”

Para sahabat bertanya:

“Wahai Rasulullah, tidak juga jihad di jalan Allah?” Jawab Rasulullah:

“Tidak jihad di jalan Allah, melainkan jika orang tersebut berangkat jihad dengan dirinya dan hartanya, lalu dia tidak kembali dengan sesuatu apa pun (iaitu: mati sebagai syahid).” (Sunan Abi Daud, no. 2438. Sunan At-Tirmidzi, no. 757)

Dan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam turut menjelaskan bahawa hari An-Nahr (hari ‘Iedul Adh-ha, atau hari menyembelih korban) adalah merupakan hari yang agung di sisi Allah.

Dari ‘Abdillah bin Qurth radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أَعْظَمُ الأَيَّامِ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمُ النَّحْرِ ثُمَّ يَوْمُ الْقَرِّ

“Hari yang agung di sisi Allah adalah hari An-Nahr kemudian hari Al-Qarr.” (Sunan Abi Dawud, no. 1765. Sunan Al-Kubra oleh Al-Baihaqi, no. 10214, 10239, 14685)

Hari An-Nahr adalah hari pada tarikh 10 Dzulhijjah atau hari ‘Iedul Adh-ha, atau juga dikenali sebagai hari menyembelih korban (An-Nahr). Manakala hari Al-Qarr pula adalah hari keduanya, iaitu 11 Dzulhijjah.

Maka, seharusnya kita mengambil kesempatan ini untuk berlumba-lumba melaksanakan ibadah atau amal-amal yang disunnahkan pada hari tersebut.

Dinukil dari Al-Imam Asy-Syafi’i rahimahullah bahawa beliau mengatakan:

لا أرخص في تركها لمن قدر عليها

“Aku tidak memberi keringanan meninggalkan ibadah korban bagi sesiapa yang punya kemampuan.” (I’aanatu Ath-Thalibin, 2/377. Hasyiyyah Al-Bujairami, 13/209)

Yakni beliau membenci bagi sesiapa yang punya kemampuan untuk melaksanakan ibadah korban namun sengaja meninggalkannya.

2, Waktu Menyembelih Haiwan Korban.

Kata Imam Asy-Syafi’i rahimahullah (Wafat: 204H):

وَالْأُضْحِيَّةُ جَائِزَةٌ يوم النَّحْرِ وَأَيَّامَ مِنًى كُلَّهَا لِأَنَّهَا أَيَّامُ النُّسُكِ

“Menyembelih korban itu dibolehkan pada hari nahr (‘Iedul Adh-ha) dan hari-hari mina (tasyriq) seluruhnya kerana ia adalah hari-hari untuk menyembelih.” (Al-Umm, 2/226)

Iaitu hari pada tarikh 10, 11, 12, dan 13 Dzulhijjah.

Dari hadis Al-Baraa’ bin ‘Aazib, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ مَا نَبْدَأُ فِي يَوْمِنَا هَذَا أَنْ نُصَلِّيَ، ثُمَّ نَرْجِعَ فَنَنْحَرَ، فَمَنْ فَعَلَ ذَلِكَ فَقَدْ أَصَابَ سُنَّتَنَا، وَمَنْ نَحَرَ قَبْلَ الصَّلاَةِ فَإِنَّمَا هُوَ لَحْمٌ قَدَّمَهُ لِأَهْلِهِ، لَيْسَ مِنَ النُّسْكِ فِي شَيْءٍ

“Sesungguhnya yang pertama kami mulakan pada hari ini adalah melaksanakan solat (‘Idul Adh-ha), kemudian pulang lalu menyembelih. Sesiapa yang melaksanakan seperti itu maka dia telah menepati sunnah. Dan sesiapa yang menyembelih haiwan sebelum solat (‘Idul ‘Adh-ha), maka sembelihannya tersebut adalah daging untuk keluarganya, bukan sesuatu yang termasuk sembelihan korban.” (Shahih Al-Bukhari, no. 965. Lihat juga: no. 985, 5545, 5546)

Dalam hadis yang lain dari, Anas Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ ذَبَحَ قَبْلَ الصَّلاَةِ فَلْيُعِدْ

“Sesiapa yang menyembelih haiwan untuk korban sebelum solat, maka ulangilah.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5561)

Dari Jubair bin Muth-‘im, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

كُلُّ أَيَّامِ التَّشْرِيقِ ذَبْحٌ

“Seluruh hari tasyriiq adalah hari menyembelih (untuk berkorban).” (Musnad Ahmad, no. 16751. Al-Baihaqi, Sunan Al-Kubra, no. 19239. Dinilai sahih lighairihi oleh Syu’aib Al-Arnauth)

3, Haiwan korban.

Jenis haiwan

Kata Imam Asy-Syafi’i rahimahullah (Wafat: 204H):

الضَّحَايَا الْجَذَعُ من الضَّأْنِ والثنى من الْمَعْزِ وَالْإِبِلِ وَالْبَقَرِ وَلَا يَكُونُ شَيْءٌ دُونَ هذا ضَحِيَّةً

“Haiwan untuk korban itu adalah: kambing biri-biri al-jaza’, dan ats-tsani dari jenis kambing biasa, unta, dan lembu, manakala selain dari haiwan ini ianya tidak boleh dijadikan sebagai haiwan korban.” (Al-Umm, 2/223)

Disebutkan dalam Shahih Fiqhis Sunnah:

“Tidak boleh dijadikan korban melainkan Al-An’aam (haiwan ternakkan); iaitu unta, lembu, kambing (atau kibas), dan biri-biri sebagaimana disebutkan dalam firman Allah Ta’ala:

لِيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَى مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ

“Supaya mereka menyebut nama Allah atas apa yang telah direzekikan oleh Allah (dari haiwan-haiwan ternak) kepada mereka.” (Surah Al-Hajj, 22: 34)

Telah dinukil ijma’ dari jama’ah ahli ilmu bahawa korban tidak sah melainkan dengan haiwan ternak.” (Shahih Fiqhis Sunnah, 2/369)

Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) mengatakan:

وأجمع العلماء على أنه لا تجزى الضحية بغير الابل والبقر والغنم

“Para ulama telah ijma’ (sepakat) bahawa tidak sah menyembelih haiwan korban kecuali dengan unta, lembu, dan kambing.” (Syarah Shahih Muslim, 13/117)

Ini kerana kalimat atau istilah Al-An’aam yang dikenal di sisi bahasa ‘Arab adalah merujuk kepada unta, lembu, kambing, dan bebiri. Maka, haiwan seperti kijang, rusa, ayam, kuda dan sebagainya tidak termasuk dalam cakupan maksud Al-An’aam.

Dalil lembu dan unta:

Dari Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفَرٍ، فَحَضَرَ الأَضْحَى، فَاشْتَرَكْنَا فِي البَقَرَةِ سَبْعَةً، وَفِي الجَزُورِ عَشَرَةً

“Kami pernah bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam safar (suatu perjalanan jauh), lalu tibalah ‘Iedul Adh-ha, maka kami pun berserikat tujuh orang untuk seekor lembu (betina), dan sepuluh orang bagi seekor unta.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 905. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Dari hadis Jaabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

نَحَرْنَا مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامَ الْحُدَيْبِيَةِ الْبَدَنَةَ عَنْ سَبْعَةٍ، وَالْبَقَرَةَ عَنْ سَبْعَةٍ

“Kami menyembelih (haiwan korban) bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pada tahun hudaibiyah dengan unta untuk tujuh orang, dan lembu (betina) untuk tujuh orang.” (Shahih Muslim, no. 1318)

Dari hadis ini menunjukkan bahawa seekor unta dan seekor lembu boleh sebagai haiwan korban untuk tujuh orang, manakala sebahagian pendapat mengatakan seekor unta boleh untuk sepuluh orang dan inilah yang benar kerana jumlah tujuh orang dari seekor unta tersebut adalah sembelihan hadyu (korban untuk haji). Dan bagi setiap bahagian dari setiap orang yang berkorban tersebut cukup untuk sebagai korban satu keluarganya pula.

Dalil kambing:

‘Athaa’ bin Yasaar berkata:

سَأَلْتُ أَبَا أَيُّوبَ الأَنْصَارِيَّ: كَيْفَ كَانَتِ الضَّحَايَا عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ فَقَالَ: كَانَ الرَّجُلُ يُضَحِّي بِالشَّاةِ عَنْهُ وَعَنْ أَهْلِ بَيْتِهِ، فَيَأْكُلُونَ وَيُطْعِمُونَ حَتَّى تَبَاهَى النَّاسُ، فَصَارَتْ كَمَا تَرَى

“Aku bertanya kepada Abu Ayyub Al-Anshari radhiyallahu ‘anhu, “Bagaimana penyembelihan haiwan korban pada zaman Rasululullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam?”

Maka beliau menjawab, “Seorang sahabat biasanya menyembelih seekor kambing untuk dirinya dan ahli keluarganya, lalu mereka makan dan memberi makan (kepada orang miskin), sampailah akhirnya orang-orang pun mula membangga-banggakan diri (dengan sembelihan korban mereka), sehingga terjadilah apa yang engkau lihat saat ini.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 1505. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

Dari ‘Urwah bin Az-Zubair, dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بِكَبْشٍ أَقْرَنَ يَطَأُ فِي سَوَادٍ، وَيَبْرُكُ فِي سَوَادٍ، وَيَنْظُرُ فِي سَوَادٍ، فَأُتِيَ بِهِ لِيُضَحِّيَ بِهِ، فَقَالَ لَهَا: «يَا عَائِشَةُ، هَلُمِّي الْمُدْيَةَ»، ثُمَّ قَالَ: «اشْحَذِيهَا بِحَجَرٍ»، فَفَعَلَتْ: ثُمَّ أَخَذَهَا، وَأَخَذَ الْكَبْشَ فَأَضْجَعَهُ، ثُمَّ ذَبَحَهُ، ثُمَّ قَالَ: بِاسْمِ اللهِ، اللهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ، وَآلِ مُحَمَّدٍ، وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ، ثُمَّ ضَحَّى بِهِ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan (agar dibawakan kepada beliau) seekor kibasy yang bertanduk, hitam kaki-kakinya, perutnya hitam dan sekitar matanya hitam. Maka kibasy itu pun dibawakan kepada beliau untuk disembelih sebagai korban; maka beliau berkata kepada ‘Aisyah:

“Wahai Aisyah, ambilkan pisau.” Lalu beliau pun berkata, “Tajamkanlah (asah-lah) pisau itu dengan batu.” Aisyah pun melaksanakan perintah tersebut. Lalu Nabi pun mengambil pisau tersebut, mengambil kibasy tersebut, dan membaringkannya, lalu bersedia menyembelihnya. Beliau membaca, “Bismillah (dengan nama Allah), ya Allah terimalah dari Muhammad, keluarga Muhammad dan dari umat Muhammad!” Lalu beliau pun langsung menyembelihnya.” (Shahih Muslim, no. 1967. Sunan Abi Daud, no. 2792)

Dari hadis ini, para ulama menjelaskan bahawa seekor kambing sah dan cukup sebagai haiwan korban (udh-hiyyah) bagi satu keluarga walaupun keluarganya ramai. Demikian juga mereka menetapkan bahawa satu bahagian dari unta atau lembu cukup dan sah untuk satu keluarga.

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:

واستدل بهذا من جوز تضحية الرجل عنه وعن أهل بيته واشتراكهم معه فى الثواب وهو مذهبنا ومذهب الجمهور

“Para ulama berdalil dengan hadis ini akan bolehnya (yakni sah) korban seorang lelaki untuk ahli keluarganya dan keikut-sertaan ahli keluarganya bersamanya untuk pahala satu haiwan korban (seekor kambing), dan ini adalah mazhab kami (mazhab Asy-Syafi’i) dan juga mazhab jumhur ulama.” (Syarh Shahih Muslim, 13/122)

Kata Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H):

وَيَجُوزُ أَنْ يُضَحِّيَ بِالشَّاةِ عَنْ أَهْلِ الْبَيْتِ – صَاحِبُ الْمَنْزِلِ – وَنِسَائِهِ وَأَوْلَادِهِ وَمِنْ مَعَهُمْ. كَمَا كَانَ الصَّحَابَةُ يَفْعَلُونَ

“Adalah dibolehkan menyembelih korban dengan hanya seekor kambing untuk ahli keluarganya, isteri-isterinya, anak-anaknya dan orang-orang yang tinggal bersama mereka (di bawah tanggungannya), sebagaimana yang telah dilakukan oleh para sahabat.” (Majmu’ Al-Fatawa, 23/164)

Kata Al-Imam Asy-Syaukani rahimahullah (Wafat: 1250H):

فيه دليل على أن الشاة تجزئ عن أهل البيت لأن الصحابة كانوا يفعلون ذلك في عهده صلى الله عليه وآله وسلم

“Ini adalah dalil tentang bolehnya korban seekor kambing untuk satu keluarga kerana inilah yang dilakukan oleh sahabat Nabi dalam rangka mengikuti Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Nail Al-Authaar, 5/182)

Kemudian beliau mengemukakan perselisihan sebahagian ahli ilmu tentang hal ini di mana ada sebahagian mereka yang tidak membolehkan, lalu beliau pun menyimpulkan:

والحق أنها تجزئ عن أهل البيت وإن كانوا مائة نفس أو أكثر كما قضت بذلك السنة

“Dan yang benar adalah bolehnya bagi satu keluarga (untuk berkorban dengan seekor kambing) walaupun jumlah mereka seratus orang atau lebih ramai dari itu sebagaimana yang telah ditentukan dengan as-sunnah.” (Nail Al-Authaar, 5/182)

Imam Malik bin Anas rahimahullah (Wafat: 179H) berkata:

وَأَحْسَنُ مَا سَمِعْتُ فِي الْبَدَنَةِ، وَالْبَقَرَةِ، وَالشَّاةِ. أَنَّ الرَّجُلَ يَنْحَرُ عَنْهُ، وَعَنْ أَهْلِ بَيْتِهِ، الْبَدَنَةَ. وَيَذْبَحُ الْبَقَرَةَ، وَالشَّاةَ الْوَاحِدَةَ. هُوَ يَمْلِكُهَا، وَيَذْبَحُهَا عَنْهُمْ، وَيَشْرَكُهُمْ فِيهَا.

“Penjelasan yang paling baik yang aku dengar tentang badanah (korban dengan unta), lembu, dan kambing, adalah seorang lelaki dia boleh menyembelih seekor unta, lembu, atau kambing untuk dirinya dan untuk keluarganya sekaligus. Dialah pemiliknya, dan dia menyembelihnya bagi mereka dalam masa sama. Dia berserikat dengan mereka pada satu haiwan tersebut (sebagai korban).” (Muwaththaa’ Malik, no. 1771 – Tahqiq Al-A’dzami)

Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:

يجوز أن يشترك سبعة في بدنة أو بقرة للتضحية، سواء كانوا كلهم أهل بيت واحد أو متفرقين، أو بعضهم يريد اللحم، فيجزئ عن المتقرب، وسواء أكان أضحية منذورة أم تطوعا، هذا مذهبنا وبه قال أحمد وجماهير العلماء

“Dibolehkan berserikat (bergabung) tujuh orang untuk seekor unta atau seekor lembu dalam berkorban. Sama saja adakah mereka semuanya itu dari satu keluarga atau berlainan keluarga, atau sebahagian dari mereka hanya kerana menginginkan dagingnya. Dan ini telah mencukupi bagi setiap anggota keluarga bagi setiap orang yang berkorban (iaitu: satu bahagian mencukupi untuk satu keluarga – pent.), sama ada untuk sembelihan korban nadzar atau sembelihan korban tathawwu’ (sunnah). Ini adalah mazhab kami (Asy-Syafi’i). Dan dengannya Imam Ahmad dan jumhur ulama berpendapat.” (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 8/372)

‘Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata:

فَلَمَّا كُنَّا بِمِنًى، أُتِيتُ بِلَحْمِ بَقَرٍ، فَقُلْتُ: مَا هَذَا؟ قَالُوا: ضَحَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَزْوَاجِهِ بِالْبَقَرِ

“Ketika kami sedang di Mina (yakni ketika sedang berhaji), kami didatangkan dengan daging lembu (oleh para sahabat). Aku pun bertanya, “Apa ini?” Mereka (para sahabat) pun menjawab, “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melaksanakan dhohaya (penyembelihan korban) untuknya dan isteri-isterinya dengan lembu.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5548)

Sebahagian ulama telah berdalilkan dengan hadis ini antaranya sebagai dalil yang menunjukkan para jama’ah haji juga turut disunnahkan (dianjurkan) untuk melaksanakan ibadah korban (udh-hiyyah) dan sebagai dalil yang menunjukkan sebahagian lembu sah untuk seorang lelaki bersama keluarganya.

Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah dalam kitabnya, Fathul Bari:

واستدل به الجمهور على أن ضحية الرجل تجزي عنه وعن أهل بيته وخالف في ذلك الحنفية وأدعى الطحاوي أنه مخصوص أو منسوخ ولم يأت لذلك بدليل قال القرطبي لم ينقل أن النبي صلى الله عليه و سلم أمر كل واحدة من نسائه بأضحية مع تكرار سنى الضحايا ومع تعددهن والعادة تقضي بنقل ذلك لو وقع كما نقل غير ذلك من الجزئيات ويؤيده ما أخرجه مالك وبن ماجة والترمذي وصححه من طريق عطاء بن يسار سألت أبا أيوب كيف كانت الضحايا على عهد رسول الله صلى الله عليه و سلم قال كان الرجل يضحي بالشاة عنه وعن أهل بيته فيأكلون ويطعمون حتى تناهى الناس كما ترى

Jumhur ulama berdalil dengan hadis ini (Shahih Al-Bukhari, no. 5548) bahawa haiwan korban seorang lelaki cukup bagi dirinya dan keluarganya sekaligus. Namun pendapat ini diselisihi oleh Al-Hanafiyah (pengikut mazhab Abu Hanifah), dan Ath-Thahawi pula mengatakan hukum tersebut bersifat khusus (hanya bagi Nabi), atau telah mansukh. Namun beliau tidak menyebutkan dalil bagi menguatkan pendapatnya tersebut.

Al-Qurthubi berkata: “Tidak ada dinukil bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan setiap isterinya untuk menyembelih korban masing-masing, sedangkan perlaksanaan korban sentiasa berulang saban tahun dan isteri Nabi juga ramai. Biasanya perkara seperti ini pasti telah dinukil (atau diriwayatkan) jika memang benar-benar terjadi sebagaimana dinukilnya banyak perkara-perkara juz’iyyat lainnya. Perkara ini dikuatkan lagi dengan riwayat yang dikeluarkan oleh Imam Malik, Ibnu Majah, dan At-Tirmidzi dan disahihkan oleh At-Tirmidzi dari jalur ‘Athaa’ bin Yasaar, bahawa beliau bertanya kepada Abu Ayyub, … (seterusnya sebagaimana hadis di atas).” (Fathul Bari, 10/6)

Dari Tabi’in; Imam Asy-Sya’bi, dari sahabat Nabi Abu Sariihah, beliau berkata:

حَمَلَنِي أَهْلِي عَلَى الْجَفَاءِ بَعْدَ مَا عَلِمْتُ مِنَ السُّنَّةِ، كَانَ أَهْلُ الْبَيْتِ يُضَحُّونَ، بِالشَّاةِ وَالشَّاتَيْنِ، وَالْآنَ يُبَخِّلُنَا جِيرَانُنَا

“Aku membuatkan keluargaku tidak senang setelah apa yang aku ketahui dari sunnah bahawa satu keluarga boleh berkorban dengan seekor atau dua ekor kambing. Dan sekarang jiran tetangga kami menganggap kami kedekut (kerana hanya berkorban dengan seekor atau dua ekor kambing sahaja – pent.).” (Sunan Ibnu Majah, no. 3128)

Adapun perkataan Nabi, “… dari umat Muhammad.” Ini adalah khusus untuk Nabi. Manakala sembelihan korban untuk dirinya dan keluarganya (walaupun keluarganya ramai) dengan seekor kambing, atau kibasy, atau satu bahagian dari lembu atau unta untuk satu keluarga, maka inilah yang diamalkan oleh para sahabat sebagaimana hadis ‘Athaa’ bin Yasaar. Ini antaranya dijelaskan dalam Tuhfatul Ahwadzi oleh Al-Mubarakfuri, ‘Aunul Ma’bud oleh Syamshul Haq, dan Fathul Bari oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani.

Had umur haiwan korban

Berdasarkan hadis yang umum, haiwan korban perlulah mencapai usia Musinnah dan Jadza’ah. Dari Jaabir, Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَا تَذْبَحُوا إِلَّا مُسِنَّةً، إِلَّا أَنْ يَعْسُرَ عَلَيْكُمْ، فَتَذْبَحُوا جَذَعَةً مِنَ الضَّأْنِ

“Janganlah kamu menyembelih (dari haiwan ternak) kecuali setelah mencapai usia musinnah (usia matang bagi unta, lembu, dan kambing). Namun apabila mengalami kesukaran, maka sembelihlah binatang yang telah mencapai usia jadza’ah (usia yang cukup, telah tumbuh tanduk, atau sekitar enam atau tujuh bulan) dari kambing (atau sejenisnya).” (Shahih Muslim, no. 1963)

Kata Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

قال العلماء المسنة هي الثنية من كل شئ من الابل والبقر والغنم فما فوقها وهذا تصريح بأنه لا يجوز الجذع من غير الضأن فى حال من الأحوال وهذا مجمع عليه

“Para ulama mengatakan musinnah adalah haiwan yang telah berusia dua tahun atau lebih dari jenis unta, lembu, atau pun kambing. Hadis ini secara sharih (tegas) menyatakan tidak boleh menyembelih haiwan yang baru berusia al-jaz’u untuk selain kambing dalam keadaan apapun. Ini adalah perkara yang telah disepakati atasnya.” (Syarh Shahih Muslim, 13/117)

Sebahagian ulama yang lain mengatakan umur musinnah (usia matang secara umum) bagi unta adalah 5 tahun, lembu 2 tahun, manakala kambing adalah 1 tahun ke atas.

Adapun bagi kambing, dari ‘Uqbah bin ‘Aamir:

سَأَلْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الْجَذَعِ، فَقَالَ: ضَحِّ بِهِ، فَلَا بَأْسَ بِهِ

“Aku bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tentang Al-Jaza’ (kambing seusia enam atau tujuh tahun lebih), maka beliau berkata:

“Berkorbanlah dengannya, tidak mengapa.” (Musnad Ahmad, no. 17380. Dinilai hasan oleh Syu’aib Al-Arnauth. Lihat juga Shahih Al-Bukhari, no. 5547. Muslim, no. 1965)

Kata Wakii’ rahimahullah:

الجَذَعُ مِنَ الضَّأْنِ يَكُونُ ابْنَ سِتَّةِ أَوْ سَبْعَةِ أَشْهُرٍ

Al-Jaz’u adalah kambing yang telah berumur 6 atau 7 bulan.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 1500)

Sebahagian ulama mengatakan, Al-Jaz’u adalah kambing yang telah tumbuh tanduk, atau yang telah tanggal atau bertukar gigi walaupun belum memasuki umur setahun.

Imam Ibnu Qudamah mengatakan tentang hadis tersebut:

وَهَذَا يَدُلُّ عَلَى فَضْلِ الثَّنِيِّ عَلَى الْجَذَعِ؛ لِكَوْنِهِ جَعَلَ الثَّنِيَّ أَصْلًا وَالْجَذَعَ بَدَلًا، لَا يُنْتَقَلُ إلَيْهِ إلَّا عِنْدَ عَدَمِ الثَّنِيِّ

“Hadis tersebut menunjukkan keutamaan menyembelih kambing yang telah mencapai usia dua tahun (umur musinnah atau matang bagi kambing) berbanding usia Al-Jaza’ (6 bulan), kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjadikannya sebagai hukum awal untuk menyembelih kambing, manakala kambing yang berusia Al-Jaza’ hanya sebagai penggantinya sahaja, dan tidak boleh berpindah kepadanya melainkan mengalami kesukaran atau tidak mampu mendapatkan kambing yang berumur musinnah (yang matang).” (Al-Mughni, 9/439)

Haiwan Yang Tidak Boleh Dibuat Korban

Ada beberapa bentuk haiwan yang dilarang berkorban dengannya. Iaitu yang jelas butanya, yang jelas sakitnya, jelas cacatnya (tidak boleh berjalan betul), yang tidak memiliki daging (kerana melampau kurusnya), dan yang putus telinganya.

Dari hadis Al-Baraa’ bin ‘Aazib, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أَرْبَعٌ لَا تَجُوزُ فِي الضَّحَايَا الْعَوْرَاءُ، الْبَيِّنُ عَوَرُهَا، وَالْمَرِيضَةُ الْبَيِّنُ مَرَضُهَا، وَالْعَرْجَاءُ الْبَيِّنُ عَرَجُهَا، وَالْكَسِيرُ الَّتِي لَا تُنْقِي

“Empat haiwan yang tidak boleh dijadikan korban adalah: Al-‘Auraa’ (yang cacat atau buta matanya), iaitu yang jelas cacatnya, yang sakit iaitu yang jelas sakitnya, yang tempang iaitu yang jelas tempangnya, yang kurus kering yang mana tidak mungkin digemukkan.” (Musnad Ahmad, no. 18667. Sunan Abi Daud, no. 2802. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Kecacatan jenis ini menjadi sebab tertolaknya haiwan tersebut untuk dijadikan sebagai korban, dan tidaklah boleh berkorban dengannya berdasarkan kesepakatan ahli ilmu. (lihat: Shahih Fiqhis Sunnah, 2/373)

Haiwan yang tidak disukai menjadi korban

‘Ali bin Abi Thalib radhiyallahu ‘anhu berkata:

أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَسْتَشْرِفَ العَيْنَ وَالأُذُنَ، وَأَنْ لَا نُضَحِّيَ بِمُقَابَلَةٍ، وَلَا مُدَابَرَةٍ، وَلَا شَرْقَاءَ، وَلَا خَرْقَاءَ

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan kami agar memeriksa mata dan telinga (haiwan yang hendak dibuat korban). Beliau melarang kami berkorban dengan muqaabalah, mudaabarah, syarqaa’, dan kharqaa’.

Perawi hadis menambahkan:

المُقَابَلَةُ: مَا قُطِعَ طَرَفُ أُذُنِهَا، وَالمُدَابَرَةُ: مَا قُطِعَ مِنْ جَانِبِ الأُذُنِ، وَالشَّرْقَاءُ: المَشْقُوقَةُ، وَالخَرْقَاءُ: المَثْقُوبَةُ.

Al-Muqaabalah: haiwan yang hujung telinganya terpotong.

Al-Mudaabarah: Haiwan yang sisi telinganya terpotong.

Asy-Syarqaa’: haiwan yang telinganya terbelah. dan

Al-Kharqaa’: Haiwan yang berlubang telinganya.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 1498. Bab: Haiwan yang dibenci dibuat korban. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

Para ulama berbeza pendapat tentang kecacatan jenis ini. Sebahagian membolehkannya, namun tidak menyukainya iaitu membenci atau memakruhkannya. Manakala sebahagian lain mengatakan ianya tidak sah. Wallahu a’lam.

Termasuk haiwan yang tidak disukai untuk dijadikan sebagai korban adalah haiwan yang patah sebahagian besar dari tanduknya, haiwan yang tidak punya gigi atau disebut Al-Hatmaa’, yang terpotong ekornya atau disebut Al-Batraa’, haiwan yang terpotong hidungnya atau disebut Al-Jad-‘aa’, dan yang seumpamanya. (lihat: Shahih Fiqhis Sunnah, 2/373)

Bolehkah Berkorban Dengan Haiwan Betina?

Dibolehkan berkorban dengan haiwan yang betina dan ini dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabatnya, namun kebanyakan ulama mengatakan bahawa yang jantan lebih utama.

Sebagaimana kata Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

يصح التضحية بالذكر وبالانثى بالاجماع وفي الافضل منهما خلاف

“Sah berkorban dengan haiwan jantan mahupun betina berdasarkan ijma’ (kesepakatan ulama). Adapun tentang keutamaannya (mana satu yang afdhal), padanya terdapat perselisihan pendapat.” (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 8/397)

Wallahu a’lam.

Haiwan yang Afdhal Dibuat Korban

Haiwan yang afdhal (utama) dibuat korban adalah yang besar, gemuk, banyak dagingnya, dan bertanduk. Kemudian yang berwarna sebagaimana warna haiwan korban Rasulullah serta haiwan yang telah dimandulkan (dipotong alat kelaminnya) dalam rangka mencontohi Rasulullah.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

إِذَا ضَحَّى اشْتَرَى كَبْشَيْنِ عَظِيمَيْنِ، سَمِينَيْنِ أَقْرَنَيْنِ، أَمْلَحَيْنِ مَوْجُوئَيْنِ قَالَ: فَيَذْبَحُ أَحَدَهُمَا عَنْ أُمَّتِهِ مِمَّنْ أَقَرَّ بِالتَّوْحِيدِ، وَشَهِدَ لَهُ بِالْبَلَاغِ، وَيَذْبَحُ الْآخَرَ عَنْ مُحَمَّدٍ، وَآلِ مُحَمَّدٍ

‘Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata, “Jika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam hendak berkorban, beliau membeli dua ekor kibasy yang besar, gemuk (banyak dagingnya), bertanduk, berwarna hitam putih dan dimandulkan. Lalu beliau menyembelihnya atas nama umatnya yang bertauhid dan yang mengakui bahawa beliau telah menyampaikan risalahnya. Manakala yang seekor lagi beliau korbankan atas nama Muhammad dan keluarga Muhammad.” (Musnad Ahmad, no. 25843. Sunan Ibnu Majah, no. 3122. Dinilai sahih lighairihi oleh Syu’aib Al-Arnauth)

Kata Imam Ibnu Qudamah:

وَلِأَنَّ الْخِصَاءَ ذَهَابُ عُضْوٍ غَيْرِ مُسْتَطَابٍ، يَطِيبُ اللَّحْمُ بِذَهَابِهِ، وَيَكْثُرُ وَيَسْمَنُ. قَالَ الشَّعْبِيُّ: مَا زَادَ فِي لَحْمِهِ وَشَحْمِهِ أَكْثَرُ مِمَّا ذَهَبَ مِنْهُ

“Dan disebabkan pemandulan haiwan tersebut, itu tidaklah menyebabkan ia kurus atau hilang kelazatan dagingnya, sebaliknya dagingnya akan semakin bertambah, dan beratnya (kegemukannya) pun meningkat. Kata Imam Asy-Sya’bi, “Daging dan lemak yang bertambah hasil kesan dari pemandulan haiwan lebih banyak dari daging dan lemak haiwan yang hilang darinya.”.”

Dan inilah yang menjadi pendapat para ulama lainnya semisal Al-Hasan Al-Bashri, ‘Athaa’, Asy-Sya’bi, Malik, Asy-Syafi’i, Abu Tsaur, dan Ash-hab Ar-Ra’yi. (Al-Mughni, 9/442)

Sebahagian ulama juga turut memperhatikan warnnya. Antaranya, sebagaimana kata Ibnu Qudamah:

دَمُ عَفْرَاءَ، أَزْكَى عِنْدَ اللَّهِ مِنْ دَمِ سَوْدَاوَيْنِ

“Haiwan yang berwarna putih kekelabuan, darahnya lebih suci di sisi Allah berbanding darah haiwan yang berwarna hitam.” (Al-Mughni, 9/439. Shahih Al-Jaami’ Ash-Shaghiir, no. 3392)

Kemudian dari Abi Hurairah:

دَمُ بَيْضَاءَ، أَحَبُّ إلَى اللَّهِ مِنْ دَمِ سَوْدَاوَيْنِ

“Haiwan yang putih, darahnya lebih disukai Allah berbanding haiwan yang hitam.”

Kemudian kata Ibnu Qudamah, “Kerana warna tersebut adalah warna kambing yang dipilih oleh Nabi bagi korbannya.” (Al-Mughni, 9/439)

Selain itu para ulama turut membahaskan keutamaan haiwan korban antara unta, lembu, mahupun kambing, atau kibasy. Sebahagian mereka menyatakan unta lebih utama, kemudian lembu, kemudian kibasy atau kambing, kemudian mereka yang berserikat dalam berkorban unta, dan kemudian mereka yang berserikat dalam berkorban lembu.

Ini dlihat antaranya dari sisi fizikalnya, selain berdasarkan sebuah hadis dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنِ اغْتَسَلَ يَوْمَ الجُمُعَةِ غُسْلَ الجَنَابَةِ ثُمَّ رَاحَ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَدَنَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّانِيَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَقَرَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّالِثَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ كَبْشًا أَقْرَنَ، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الرَّابِعَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ دَجَاجَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الخَامِسَةِ، فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَيْضَةً، فَإِذَا خَرَجَ الإِمَامُ حَضَرَتِ المَلاَئِكَةُ يَسْتَمِعُونَ الذِّكْرَ

“Sesiapa mandi pada hari Juma’at seperti mandi janabah, kemudian bertolak menuju masjid di awal waktu maka ia seperti orang yang berkorban seekor unta. Sesiapa pergi ke masjid di waktu kedua, maka ia seperti orang yang berkorban seekor lembu. Sesiapa pergi ke masjid di waktu yang ketiga, maka ia seperti orang yang berkorban seekor kambing yang memiliki tanduk. Sesiapa pergi ke masjid di waktu ke-empat, maka ia seperti orang yang berkorban seekor ayam. Sesiapa yang pergi ke masjid di waktu kelima, maka ia seperti orang yang berkorban dengan sebiji telur. Jika imam (khatib) telah keluar (naik ke mimbar), maka para malaikat hadir untuk mendengarkan dzikir (khutbah Jum’at).” (Shahih Al-Bukhari, no. 881. Muslim, no. 850)

Manakala ulama yang lainnya (antaranya Imam Malik) mereka mengatakan kibasy atau kambing yang cukup umur (yang telah matang) lebih utama kerana Nabi berkorban dengannya dan tidaklah Nabi melakukannya melainkan yang paling utama.

4, Penyembelihan haiwan korban.

Disunnahkan menyembelih di musholla

Ini adalah sebagaimana dikhabarkan oleh sahabat Nabi Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَذْبَحُ وَيَنْحَرُ بِالْمُصَلَّى

“Adalah menjadi kebiasaan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam menyembelih haiwan korban di musholla (iaitu kawasan lapang tempat menunaikan solat ‘Ied).” (Shahih Al-Bukhari, no. 5552)

Dianjurkan menyembelih haiwan di kawasan lapang. Atau di tempat solat ‘Ied dilaksanakan, iaitu di musholla (kawasan lapang) sebaik solat selesai, terutamanya bagi para pemimpin agar masyarakat dapat mengambil manfaat dan memperlajari sesuatu darinya. Tetapi bukan di masjid.

Afdhal Menyembelih Dengan Tangan Sendiri

Di antara dalilnya, dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, kata beliau:

ضَحَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ، فَرَأَيْتُهُ وَاضِعًا قَدَمَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا، يُسَمِّي وَيُكَبِّرُ، فَذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkorban dengan dua ekor kibasy amlah (berbulu hitam putih). Aku melihat beliau meletakkan kakinya di leher kambing tersebut, beliau menyebut nama Allah, bertakbir, lalu menyembelihnya dengan tangan beliau.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5558. Bab: Sesiapa yang menyembelih haiwan korban dengan tangannya sendiri. Lihat juga no. 5554)

Dibolehkan juga mendapatkan bantuan atau mengupah orang untuk menyembelih, dan dibolehkan menyembelihkan untuk orang lain. Imam Al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) menyebutkan dalam Shahih-nya:

وَأَعَانَ رَجُلٌ ابْنَ عُمَرَ، فِي بَدَنَتِهِ وَأَمَرَ أَبُو مُوسَى، بَنَاتِهِ أَنْ يُضَحِّينَ بِأَيْدِيهِنَّ

“Seseorang membantu Ibn ‘Umar dalam urusan penyembelihan untanya, dan Abu Musa memerintahkan beberapa anak perempuannya menyembelih haiwan korban dengan tangan mereka sendiri.”

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga turut membantu menyembelihkan hadyu (haiwan korban untuk ibadah haji) bagi para isterinya yang haidh. (lihat: Shahih Al-Bukhari, no. 294, 5559)

Dalam hadis yang lain, dari ‘Ali radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَهُ أَنْ يَقُومَ عَلَى بُدْنِهِ، وَأَنْ يَقْسِمَ بُدْنَهُ كُلَّهَا، لُحُومَهَا وَجُلُودَهَا وَجِلاَلَهَا، وَلاَ يُعْطِيَ فِي جِزَارَتِهَا شَيْئًا

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam memerintahkan aku untuk menyembelih untanya (sebagai hadyu), dan membahagi-bahagikan semua bahagian darinya, iaitu dagingnya, kulitnya, dan pelananya, tetapi beliau memintaku supaya tidak memberikan apa pun (bahagian dari sembelihan hadyu tersebut) kepada tukang sembelih (atau tukang lapah).” (Shahih Al-Bukhari, no. 1717)

Adab dan cara menyembelih

Dari ‘Urwah bin Az-Zubair, dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بِكَبْشٍ أَقْرَنَ يَطَأُ فِي سَوَادٍ، وَيَبْرُكُ فِي سَوَادٍ، وَيَنْظُرُ فِي سَوَادٍ، فَأُتِيَ بِهِ لِيُضَحِّيَ بِهِ، فَقَالَ لَهَا: «يَا عَائِشَةُ، هَلُمِّي الْمُدْيَةَ»، ثُمَّ قَالَ: «اشْحَذِيهَا بِحَجَرٍ»، فَفَعَلَتْ: ثُمَّ أَخَذَهَا، وَأَخَذَ الْكَبْشَ فَأَضْجَعَهُ، ثُمَّ ذَبَحَهُ، ثُمَّ قَالَ: بِاسْمِ اللهِ، اللهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ، وَآلِ مُحَمَّدٍ، وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ، ثُمَّ ضَحَّى بِهِ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan dengan seekor kibasy yang bertanduk, hitam kaki-kakinya, perutnya hitam dan sekitar matanya hitam. Maka kibasy itu pun dibawakan kepada beliau untuk disembelih sebagai korban; maka beliau berkata kepada Aisyah:

“Wahai Aisyah, ambilkan pisau.” Lalu beliau pun berkata, “Tajamkanlah (asah-lah) pisau itu dengan batu.” Aisyah pun melaksanakan perintah tersebut. Lalu Nabi pun mengambil pisau tersebut, mengambil kibasy tersebut, dan membaringkannya, lalu bersedia menyembelihnya. Beliau membaca, “Bismillah (dengan nama Allah), ya Allah terimalah dari Muhammad, keluarga Muhammad dan dari umat Muhammad!” Lalu beliau pun langsung menyembelihnya.” (Shahih Muslim, no. 1967. Sunan Abi Daud, no. 2792)

Dari hadis ini menunjukkan agar menajamkan pisau yang hendak digunakan untuk menyembelih, membaringkan haiwan yang hendak disembelih (iaitu bagi haiwan kambing atau kibasy), menyebut nama Allah (membaca bismillah), dan berdoa agar Allah menerima korbannya. Dalam hadis sebelumnya turut dijelaskan agar membaca bismillah dan bertakbir (iaitu membaca Bismillaahi Allaahu Akbar: بِسْمِ اللَّهِ وَاللَّهُ أَكْبَرُ). (lihat: Syarh Shahih Muslim, 13/122)

Juga disebutkan dalam hadis riwayat Imam Al-Baihaqi rahimahullah (Wafat: 458H) dari hadis Anas radhiyallahu ‘anu:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُضَحِّي بِكَبْشَيْنِ وَيَضَعُ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا فَيَذْبَحُهُمَا بِيَدِهِ، وَيَقُولُ: بِسْمِ اللهِ وَاللهُ أَكْبَرُ

“Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ketika beliau hendak berkorban dengan dua ekor kibasy, beliau meletakkan kaki beliau pada leher kibasy tersebut, lalu beliau pun menyembelihnya dengan tangan beliau, dan beliau mengucapkan: “Bismillaahi wallaahu akbar.”.” (Sunan Al-Kubra, no. 19174)

Juga dalam riwayat Imam Ahmad rahimahullah (Wafat: 241H), dari hadis Jaabir bin ‘Abdillah (kata beliau):

“Aku solat ‘Iedul Adh-ha bersama-sama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, setelah selesai solat beliau pun datang dengan seekor kibasy lalu menyembelihnya: beliau mengucapkan (ketika menyembelih):

بِسْمِ اللهِ، وَاللهُ أَكْبَرُ، اللهُمَّ إِنَّ هَذَا عَنِّي وَعَمَّنْ لَمْ يُضَحِّ مِنْ أُمَّتِي

“Dengan nama Allah dan Allah maha Besar. Ya Allah, ini adalah dari-ku, dan dari umatku yang tidak mampu berkorban.” (Musnad Ahmad, no. 14837. Dinilai sahih oleh Syu’aib Al-Arnauth)

Adapun unta, biasanya disembelih (dengan cara me-nusuk pada pangkal leher atau disebut sebagai An-Nahr) dalam keadaan berdiri dan inilah yang sunnah, manakala lembu boleh dalam keadaan baring ataupun berdiri.

Ini antaranya disebutkan dalam ayat:

وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُمْ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا صَوَافَّ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ

“Dan telah Kami jadikan bagi kalian unta-unta itu sebahagian dari syi’ar Allah, padanya kebaikan yang banyak, maka kalian sebutlah nama Allah ketika menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan terikat satu kaki depannya). Kemudian apabila telah rebah (mati), maka makanlah sebahagian darinya dan beri makanlah orang yang tidak meminta-minta dan orang yang meminta.” (Surah Al-Hajj, 22: 36)

Kata Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H):

وقال الأعمش، عن أبي ظِبْيَان، عن ابن عباس في قوله: { فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا صَوَافَّ }، قال: قيام على ثلاث قوائم، معقولة يدُها اليسرى، يقول: بِسْمِ اللَّهِ وَاللَّهُ أَكْبَرُ، لا إله إلا الله، اللَّهُمَّ مِنْكَ وَلَكَ. وكذلك روى مجاهد، وعلي بن أبي طلحة، والعَوْفي، عن ابن عباس، نحو هذا. وقال ليث. عن مجاهد: إذا عُقلت رجلها اليسرى قامت على ثلاث. ورَوَى ابن أبي نَجِيح، عنه، نحوه. وقال الضحاك: تُعقل رجل واحدة فتكون على ثلاث. وفي الصحيحين عن ابن عمر: أنه أتى على رجل قد أناخ بَدَنته وهو ينحرها، فقال: ابعثها قيامًا مقيدة سنة أبي القاسم صلى الله عليه وسلم

“Dari Al-A’masy, dari Abi Dzibbaan, dari Ibnu ‘Abbaas tentang firman Allah:

“..maka kalian sebutlah nama Allah ketika menyembelihnya dalam keadaan berdiri…”

(maksudnya) adalah dalam keadaan berdiri di atas tiga kaki, dan satu kaki depannya yang kiri diikat. Dalam keadaan seperti itu dia menyebutkan:

بِسْمِ اللَّهِ وَاللَّهُ أَكْبَرُ، لا إله إلا الله، اللَّهُمَّ مِنْكَ وَلَكَ

Bismillaahi wallaahu akbar (dengan nama Allah dan Allah maha Besar), tiada yang berhak diibadahi (dengan benar) melainkan Allah, ya Allah dari Engkau dan untuk Engkau.”

Pendapat yang serupa diriwayatkan dari Mujahid, ‘Ali bin Abi Thalhah, dan Al-‘Aufi dari Ibnu ‘Abbas.

Dan dalam dua kitab Shahih (Shahih Al-Bukhari dan Muslim) dari Ibnu ‘Umar bahawa beliau mendatangi seorang lelaki yang sedang hendak meyembelih unta, lalu beliau berkata:

“Sembelihlah ia dalam keadaan berdiri dalam keadaan diikat (kakinya), (dan itulah) sunnah Abi Al-Qaasim (Muhammad) Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Tafsir Ibnu Katsir, 1/467)

Untuk lebih terperinci berkaitan adab-adab menyembelih, boleh rujuk artikel dengan judul “Tatacara dan Adab-adab Menyembelih Menurut Sunnah” di, http://www.ilmusunnah.com/?p=3

5, Daging Korban Untuk Dimakan, Disedekahkan, Dihadiahkan, dan boleh Disimpan.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

لِيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ عَلَى مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ

“Supaya mereka menyaksikan pelbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah (antaranya dengan cara menyembelih korban) pada hari yang telah ditentukan (iaitu pada 10-13 Dzulhijjah) atas rezeki yang telah Allah berikan kepada mereka berupa haiwan ternakkan. Maka makanlah sebahagian darinya dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sedang kesusahan (miskin) serta faqir.” (Surah Al-Hajj, 22: 28)

makan daging korban

Dalam ayat yang mulia ini Allah menjelaskan bahawa penyembelihan haiwan sebagai korban adalah termasuk penzahiran dari rasa syukur kepada Allah Ta’ala atas rezeki yang telah Dia berikan.

Daging haiwan korban tersebut kemudian diperintahkan agar dimakan sebahagian darinya dan sebahagian lagi dibahagikan atau diagih-agihkan kepada orang-orang yang hidupnya susah, orang-orang yang sedang bersedih (kerana hidup susah), orang-orang miskin, serta orang-orang yang faqir.

Terdapat dalam hadis-hadis yang sahih yang menunjukkan bahawa pada asalnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang para sahabat untuk menyimpan daging haiwan korban. Dan perkara ini adalah kerana pada waktu tersebut terdapat ramai orang-orang yang miskin dan banyaknya penduduk ‘Arab badwi yang datang ke kota Madinah untuk meminta daging haiwan korban.

Maka daging korban tersebut pun diperintahkan oleh Rasulullah agar diagih-agihkan kepada orang-orang yang miskin dan orang-orang yang memerlukannya. Manakala orang-orang yang menyembelih haiwan korban, mereka juga boleh turut serta menikmatinya, namun tidak dibenarkan menyimpannya lebih dari tiga hari dari hari penyembelihannya.

Namun setelah masyarakat hidup berkecukupan, dalam keadaab baik, stabil, dan tidak banyak orang-orang miskin yang datang ke kota Madinah untuk meminta daging haiwan korban, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun membolehkan para sahabat untuk menyimpan sebahagian darinya.

Ini antaranya adalah sebagaimana hadis berikut, dari Salamah bin Al-Akwa’, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ ضَحَّى مِنْكُمْ فَلاَ يُصْبِحَنَّ بَعْدَ ثَالِثَةٍ وَبَقِيَ فِي بَيْتِهِ مِنْهُ شَيْءٌ فَلَمَّا كَانَ العَامُ المُقْبِلُ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، نَفْعَلُ كَمَا فَعَلْنَا عَامَ المَاضِي؟ قَالَ: كُلُوا وَأَطْعِمُوا وَادَّخِرُوا، فَإِنَّ ذَلِكَ العَامَ كَانَ بِالنَّاسِ جَهْدٌ، فَأَرَدْتُ أَنْ تُعِينُوا فِيهَا

“Sesiapa dari kalian yang menyembelih haiwan korban, maka janganlah membiarkannya tersimpan sedikit pun di rumahnya sampai melepasi hari ketiga penyembelihan.”

Pada tahun berikutnya para sahabat bertanya:

“Wahai Rasulullah, adakah pada tahun ini kami perlu melakukan hal yang sama seperti tahun lalu?” Rasulullah pun menjawab:

“Makanlah (sebahagian darinya), berikanlah sebagai makanan (kepada yang memerlukan), dan simpanlah (sebahagian darinya sebagai bekal). Tahun lalu itu adalah kerana manusia mengalami kesusahan, maka aku ingin agar kalian membantu mereka dengan daging haiwan korban tersebut.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5569)

Dalam hadis yang lain dari Abi Sa’id Al-Khudri, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

يَا أَهْلَ الْمَدِينَةِ، لَا تَأْكُلُوا لُحُومَ الْأَضَاحِيِّ فَوْقَ ثَلَاثٍ – وقَالَ ابْنُ الْمُثَنَّى: ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ -، فَشَكَوْا إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ لَهُمْ عِيَالًا، وَحَشَمًا، وَخَدَمًا، فَقَالَ: كُلُوا، وَأَطْعِمُوا، وَاحْبِسُوا، أَوْ ادَّخِرُوا

“Wahai penduduk Madinah, janganlah kalian makan daging haiwan korban lebih dari tiga hari!”

Maka para sahabat pun mengadu kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa mereka memiliki keluarga (untuk ditanggung), hamba dan pembantu (atau pekerja).

Maka Rasulullah pun bersabda:

“Kalian makanlah (sebahagian darinya), berikanlah sebahagian darinya (sebagai makanan), dan tahanlah, atau simpanlah (sebahagian darinya).” (Shahih Muslim, no. 1973)

Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H):

واستدل بإطلاق هذه الأحاديث على أنه لا تقييد في القدر الذي يجزئ من الإطعام ويستحب للمضحي أن يأكل من الأضحية شيئا ويطعم الباقي صدقة وهدية وعن الشافعي يستحب قسمتها أثلاثا لقوله كلوا وتصدقوا وأطعموا قال بن عبد البر وكان غيره يقول يستحب أن يأكل النصف ويطعم النصف … قال النووي مذهب الجمهور أنه لا يجب الأكل من الأضحية وإنما الأمر فيه للإذن وذهب بعض السلف إلى الأخذ بظاهر الأمر وحكاه الماوردي عن أبي الطيب بن سلمة من الشافعية وأما الصدقة منها فالصحيح أنه يجب التصدق من الأضحية بما يقع عليه الاسم والأكمل أن يتصدق بمعظمها

“Dan pendalilan secara mutlak (umum) pada hadis-hadis ini menunjukkan  tidak adanya pembatasan jumlah daging yang diagih-agihkan. Bagi yang berkorban, mustahab (disukai) agar memakan sebahagian dari daging korban tersebut serta memberi makan apa yang selebihnya sebagai sedekah dan hadiah. Dan dari Imam Asy-Syafi’i (katanya), “Disukai agar daging korban tersebut dibahagi kepada tiga bahagian berdasarkan hadis:

كلوا وتصدقوا وأطعموا

“Makanlah, sedekahkanlah, dan berilah makan.”

Kata Ibnu ‘Abdil Barr, “Ulama selainnya berkata, disukai agar dimakan ½ darinya, dan selebihnya diberikan sebagai makanan orang lain.”

Kata Imam An-Nawawi pula, “Mazhab jumhur ulama adalah tidak wajib makan dari daging haiwan korbannya. Sebaliknya perintah yang disebutkan itu adalah menunjukkan isyarat keizinan (mubah) boleh dimakan (oleh orang yang berkorban).” Namun, sebahagian ulama salaf ada yang berpendapat kepada makna zahir perintah tersebut (yang menunjukkan wajib makan sebahagian darinya). Pendapat ini disebutkan oleh Imam Al-Mawardi dari Abu Thayyib bin Salamah dari kalangan ulama bermazhab Syafi’i. Adapun mensedekahkan daging korban, yang sahih hukumnya adalah wajib sebatas yang dapat disebutkan sebagai sedekah. Tetapi, yang lebih sempurna (utama) adalah mensedekahkan sebahagian besar darinya.” (Fathul Bari, 10/27)

6, Tidak Memotong Kuku Dan Rambut Bagi Yang Hendak Berkorban.

Dari hadis Umm Salamah, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Salam bersabda:

إِذَا دَخَلَتِ الْعَشْرُ، وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ، فَلَا يَمَسَّ مِنْ شَعَرِهِ وَبَشَرِهِ شَيْئًا

“Jika telah masuk sepuluh hari pertama (bulan Dzulhijjah) dan salah seorang dari kalian ingin berkorban, maka janganlah dia menyentuh (memotong atau mencabut) sesuatu dari rambut dan bulu-bulu di kulitnya.” (Shahih Muslim, no. 1977)

Dalam sanad yang lain:

إِذَا رَأَيْتُمْ هِلَالَ ذِي الْحِجَّةِ، وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ، فَلْيُمْسِكْ عَنْ شَعْرِهِ وَأَظْفَارِهِ

“Jika kalian telah melihat hilal (anak bulan) Dzulhijjah, dan salah seorang dari kalian ingin berkorban, maka janganlah dia menyentuh (memotong) dari rambut dan kukunya.” (Shahih Muslim, no. 1977)

Dalam sanad yang lain lagi:

مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ فَإِذَا أُهِلَّ هِلَالُ ذِي الْحِجَّةِ، فَلَا يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ، وَلَا مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّيَ

“Sesiapa yang memiliki haiwan sembelihan yang akan disembelih (sebagai korban) maka jika telah nampak hilal (anak bulan) Dzulhijjah, maka janganlah dia mengambil (memotong atau mencabut) dari rambutnya, dan juga jangan kukunya sedikitpun sampailah dia menyelesaikan sembelihan korbannya.” (Shahih Muslim, no. 1977)

Imam Al-Baghawi rahimahullah (Wafat: 516H) mengatakan:

وَاخْتَلَفَ الْعُلَمَاءُ فِي الْقَوْلِ بِظَاهِرِ الْحَدِيثِ، فَذَهَبَ قَوْمٌ إِلَى أَنَّهُ لَا يَجُوزُ لِمَنْ يُرِيدُ الأُضْحِيَّةَ بَعْدَ دُخُولِ الْعَشْرِ أَخْذَ شَعْرَهُ وَظُفْرَهُ مَا لَمْ يَذْبَحْ، وَإِلَيْهِ ذَهَبَ سَعِيدُ بْنُ الْمُسَيِّبِ، وَبِهِ قَالَ رَبِيعَةُ، وَأَحْمَدُ، وَإِسْحَاقُ. وَكَانَ مَالِكٌ، وَالشَّافِعِيُّ يَرَيَانِ ذَلِكَ عَلَى النَّدْبِ وَالاسْتِحْبَابِ

“Para ulama berselisih pendapat pada mengambil zahir hadis ini. Sekelompok ulama berpendapat bahawa sesiapa yang (telah berniat) hendak berkorban setelah masuknya sepuluh hari pertama Dzulhijjah, maka dia tidak boleh mengambil (memotong) rambut dan kukunya selama dia belum menyembelih. Dan inilah pendapat Sa’id bin Al-Musayyib, dan dengannya juga oleh Rabii’ah, Ahmad, dan Ishaq. Manakala Imam Malik dan Asy-Syafi’i, mereka berpendapat bahawa yang demikian itu menunjukkan maksud anjuran dan sunnah (mustahab).” (Syarh As-Sunnah Al-Baghawi, 4/348 – Al-Maktabah Al-Islami)

Demikian juga yang dikatakan oleh Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

واختلف العلماء فيمن دخلت عليه عشر ذى الحجة وأراد أن يضحى فقال سعيد بن المسيب وربيعة وأحمد وإسحاق وداود وبعض أصحاب الشافعى أنه يحرم عليه أخذ شئ من شعره وأظفاره حتى يضحى فى وقت الأضحية وقال الشافعى وأصحابه هو مكروه كراهة تنزيه وليس بحرام وقال أبو حنيفة لايكره وقال مالك فى رواية لايكره وفى رواية يكره وفى رواية يحرم فى التطوع دون الواجب

“Para ulama berselisih pendapat tentang orang yang telah memasuki sepuluh hari bulan Dzulhijjah dan dia hendak berkorban. Sa’id bin Al-Musayyib, Rabii’ah, Ahmad, Ishaq, Dawud, dan sebahagian dari pengikut-pengikut Imam Asy-Syafi’i mengatakan, “Diharamkan baginya untuk memotong rambut dan kukunya sedikit pun sampailah ia selesai menyembelih korban di waktu Al-Udh-hiyyah.

Berkata Imam Asy-Syafi’i dan sahabat-sahabatnya, “Hukumnya makruh (dibenci) dengan makruh yang tanziih (ringan) dan bukan haram.” Berkata Abu Hanifah, “Tidak dimakruhkan.” Berkata pula Imam Malik dalam satu riwayat, “Tidak makruh.” Manakala dalam riwayat lain beliau mengatakan, “Makruh.” Dalam riwayat yang lain pula beliau mengharamkannya jika untuk korban tathawwu’ (sunnah) bukan pada korban wajib.”

Kata Imam An-Nawawi lagi:

واحتج من حرم بهذه الأحاديث واحتج الشافعى والآخرون بحديث عائشة رضى الله عنها قالت كنت أفتل قلائد هدى رسول الله صلى الله عليه و سلم ثم يقلده ويبعث به ولايحرم عليه شيء أحله الله حتى ينحر هديه رواه البخارى ومسلم … ذلك وحمل أحاديث النهى على كراهة التنزيه

“Para ulama yang berpegang dengan pendapat haram, mereka berhujah dengan hadis-hadis ini (hadis-hadis di atas). Manakala Imam Asy-Syafi’i dan yang lainnya, mereka berhujah dengan hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha. ‘Aisyah berkata:

“Aku biasa memintal kalung (sebagai tanda) yang digunakan untuk sembelihan milik Rasulullah, kemudian beliau mengalungkannya di leher haiwan tersebut dan mengirim haiwan sembelihan tersebut. Beliau tidak mengharamkan sesuatu pun yang dihalalkan oleh Allah sampailah hari menyembelih hadyu (korban)-nya. Diriwayatkan oleh Al-Bukhari da Muslim…

Dengan demikian, bahawa hadis-hadis yang melarang tersebut dibawa kepada hukum makruh tanziih (makruh yang ringan).” (Syarh Shahih Muslim, 13/138)

Wallahu a’lam, adapun sebagai langkah hati-hati dan keluar dari perselisihan, maka yang lebih selamat dan menenangkan bagi kita adalah dengan meninggalkan apa yang dilarang oleh hadis-hadis tersebut. Iaitu kita mengambil dan memahaminya sesuai zahirnya.

Kerana dalam kaedah ushul fiqh disebutkan bahawa, “Asal setiap larangan itu membawa maksud haram.” Iaitu selagi mana tiada dalil lain atau qarinah yang lain yang dapat membawa atau memalingkan makna zahir tersebut kepada maksud yang lain.

Sebagaimana kata Imam Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 620H):

ظَاهِرُ هَذَا تَحْرِيمُ قَصِّ الشَّعْرِ. وَهُوَ قَوْلُ بَعْضِ أَصْحَابِنَا

“Zahir keterangan ini menunjukkan larangan memotong rambut, dan ia juga adalah qaul sebahagian sahabat-sahabat kami (dari kalangan mazhab Ahmad bin Hanbal)…”

Kata Ibnu Qudamah lagi, “Dan bagi kami (yang menjadi landasan hujah bagi kami) adalah hadis Ummu Salamah.. (sebagaimana dikemukakan di atas) riwayat Muslim, dan hukum asal bagi suatu larangan adalah haram.” Kata beliau lagi:

وَهَذَا يَرُدُّ الْقِيَاسَ وَيُبْطِلُهُ، وَحَدِيثُهُمْ عَامٌّ، وَهَذَا خَاصٌّ يَجِبُ تَقْدِيمُهُ، بِتَنْزِيلِ الْعَامِّ عَلَى مَا عَدَا مَا تَنَاوَلَهُ الْحَدِيثُ الْخَاصُّ؛ وَلِأَنَّهُ يَجِبُ حَمْلُ حَدِيثِهِمْ عَلَى غَيْرِ مَحَلِّ النِّزَاعِ لِوُجُو

“Dan hadis ini (hadis Ummu Salamah tersebut) telah menjadi bantahan atas qiyas yang mereka gunakan dan membatalkan pendapat tersebut (pendapat yang menganggap tidak mengapa dan sekadar makruh). Sedangkan hadis yang menjadi hujah mereka tersebut berbentuk umum, manakala hadis yang menjadi landasan kami sifatnya khusus (mengkhususkan dan merincikan dari yang umum), maka hendaklah ia didahulukan dari hadis yang masih bersifat umum tersebut. Lebih-lebih lagi hadis yang mereka ambil sebagai hujah tersebut masih boleh difahami dengan maksud yang lain di luar konsteks permasalahan dengan beberapa alasan…” (Al-Mughni, 9/437)

Kemudian berkaitan maksud memotong rambut dan kuku tersebut, kata Imam An-Nawawi rahimahullah:

قال أصحابنا والمراد بالنهى عن أخذ الظفر والشعر النهى عن إزالة الظفر بقلم أوكسر أو غيره والمنع من إزالة الشعر بحلق أو تقصير أو نتف أو إحراق أو أخذه بنورة أو غير ذلك وسواء شعر الابط والشارب والعانة والرأس وغير ذلك من شعور بدنه

“Berkata para sahabat kami (dari kalangan ulama bermazhab Syafi’i), dan yang dimaksudkan dengan larangan mengambil kuku dan rambut tersebut adalah larangan dari memotongnya dengan pemotong (kuku), atau menyayatnya, atau juga dengan selainnya. Manakala larangan terhadap rambut adalah dilarang dari menghilangkannya, mencukur, memendekkan, mencabut, membakar, atau menghilangkannya dengan ubat dan selainnya. Semuanya dilarang sama ada bulu yang di ketiak, misai, kemaluan, rambut kepala, dan rambut-rambut yang lainnya yang ada pada badan.” (Syarh Shahih Muslim, 13/138-139)

Terakhir dari bab ini, kata Imam Ibnu Qudamah rahimahullah:

إذَا ثَبَتَ هَذَا، فَإِنَّهُ يَتْرُكُ قَطْعَ الشَّعْرِ وَتَقْلِيمَ الْأَظْفَارِ، فَإِنْ فَعَلَ اسْتَغْفَرَ اللَّهَ تَعَالَى. وَلَا فِدْيَةَ فِيهِ إجْمَاعًا، سَوَاءٌ فَعَلَهُ عَمْدًا أَوْ نِسْيَانًا

“Jika telah tsabit (ditetapkan) demikian, maka bagi mereka yang hendak berkorban, maka hendaklah dia meninggalkan dari memotong rambut dan memotong kukunya. Tetapi jika dia telah melakukannya, maka hendaklah dia beristighfar (memohon keampunan) kepada Allah Ta’ala, dan tidak ada fidyah (atau denda) padanya secara ijma’, sama ada dia melakukannya secara sengaja atau tidak sengaja.” (Al-Mughni, 9/437)

Dan zahir dari hadis Ummu Salamah di atas serta dari hadis ‘Aisyah yang dibawakan oleh Imam An-Nawawi tersebut, maka larangan tersebut adalah khusus bagi ketua keluarga sahaja, iaitu tidak termasuk ahli keluarganya. Atau dalam kata lain untuk mereka yang berkorban secara khusus sahaja. Wallahu a’lam.

7, Tidak Boleh Memperniagakan Hasil Korban Dan Menjadikannya Sebagai Upah Sembelih.

Dalam hadis dari ‘Ali radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَهُ أَنْ يَقُومَ عَلَى بُدْنِهِ، وَأَنْ يَقْسِمَ بُدْنَهُ كُلَّهَا، لُحُومَهَا وَجُلُودَهَا وَجِلاَلَهَا، وَلاَ يُعْطِيَ فِي جِزَارَتِهَا شَيْئًا

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam memerintahkan aku untuk menyembelih untanya (sebagai hadyu), dan membahagi-bahagikan semua bahagian darinya, iaitu dagingnya, kulitnya, dan pelananya, tetapi beliau memintaku supaya tidak memberikan apa pun (bahagian dari sembelihan hadyu tersebut) kepada tukang sembelih (atau tukang lapah).” (Shahih Al-Bukhari, no. 1717)

Manakala dalam riwayat Imam Muslim, ada tambahan perkataan dari ‘Ali, katanya:

نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا

“Kami memberikan (pemberian atau upah) kepada tukang sembelih (atau tukang lapah) dari (harta) kami sendiri.” (Shahih Muslim, no. 1317)

Dalam hadis ‘Ali ini ada faedah yang dapat diambil dan perlu diberi perhatian, iaitu jika kita mengupah orang untuk menyembelih, maka upah tukang sembelih hendaklah tidak diberi atau diambil dari daging atau haiwan korban tersebut, sama ada dari kulitnya, bulunya, mahupun tanduknya dan lainnya. Sebaliknya hendaklah ia diberi dengan upah dari sumber yang lain, seperti boleh dengan wang atau seumpamanya.

Selain itu, hasil korban juga tidak-lah boleh diperjual-belikan.

Kata Imam Ash-Shan’ani rahimahullah (Wafat: 1182H):

ودل على أنه يتصدق بالجلود والجلال كما يتصدق باللحم وأنه لا يعطي الجزار منها شيئا أجرة لأن ذلك في حكم البيع لاستحقاقه الأجرة وحكم الأضحية حكم الهدي في أنه لا يباع لحمها ولا جلدها ولا يعطى الجزار منها شيئا

“Dan ini adalah dalil bahawa kulit haiwan korban dan apa-apa yang menutupi haiwan (dari pelananya atau barang-barang di punuknya) tersebut agar disedekahkan sebagaimana disedekahkan dagingnya. Dan ianya tidak boleh diberikan kepada tukang sembelih (atau tukang lapah) sedikitpun darinya. Jika ia diberikan kepada si tukang sembelih (atau tukang lapah), maka yang demikian ini termasuk dalam hukum jualan yang menjadikan ia sebagai upah sembelih atau melapah. Hukum sembelihan korban (udh-hiyyah) sama juga dengan hukum sembelihan haji (hadyu) di mana daging dan kulitnya tidak boleh dijual, juga tidak boleh diberikan kepada tukang sembelih (atau tukang lapah) sedikit pun darinya.” (Subulus Salam, 4/95)

Dan para ulama telah sepakat bahawa daging korban tidak boleh dijual sama sekali. Ini antaranya disebutkan oleh Ibnu Rusyd dalam Bidayatul Mujtahid dan dinukil juga oleh selainnya. Namun para ulama berselisih tentang selain daging; seperti kulitnya, bulunya, dan tanduknya.

Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menegaskan bahawa:

 واتفقت نصوص الشافعي والاصحاب على انه لا يجوز بيع شئ من الهدي والاضحية نذراكان أو تطوعا سواء في ذلك اللحم والشحم والجلد والقرن والصوف وغيره ولا يجوز جعل الجلد وغيره اجرة للجزار بل يتصدق به المضحي والمهدي أو يتخذ منه ما ينتفع بعينه كسقاء أو دلو أو خف وغير ذلك

“Telah sepakat berdasarkan nash-nash (dalil) bahawa Imam Asy-Syafi’i dan mereka yang mengikutinya bahawa tidak boleh sedikit pun menjual hasil hadyu (sembelihan untuk haji dan ‘umrah), sembelihan korban (udhhiyyah), sembelihan nadzar, atau juga sembelihan korban sunnah (tathawwu’). Ini termasuklah daging, lemak, kulit, tanduk, bulu, dan selainnnya (dari hasil korban tersebut). Tidak boleh juga menjadikan kulit atau selainnya sebagai upah (pemberian) kepada tukang sembelih (atau tukang lapah), sebaliknya hendaklah ia mensedekahkannya, atau menghadiahkannya, atau mengambilnya agar dimanfaatkan (seperti) sebagai bekas air, atau timba air, atau khuf (kasut) dan selain dari itu.”

Beliau juga mengatakan:

ذكرنا أن مذهبنا أنه لا يجوز بيع جلد الاضحية ولاغيره من أجزائها لا بما ينتفع به في البيت ولا بغيره وبه قال عطاء والنخعي ومالك وأحمد واسحاق هكذا حكاه عنهم ابن المنذر ثم حكى عن ابن عمر واحمد واسحق أنه لا بأس أن يبيع جلد هديه ويتصدق بثمنه

“Mazhab kami (Asy-Syafi’i) berpendapat tidak boleh menjual kulit haiwan korban dan tidak boleh menjual suatu bahagian pun dari hasil korban, sama ada dijual untuk dijadikan sebagai alat yang dimanfaatkan di dalam rumah ataupun untuk tujuan selainnya.

Pendapat ini juga dipegang oleh ‘Athaa’, An-Nakha’i, Malik, Ahmad, Ishaq (bin Rahawayh) dan demikianlah Ibnu al-Mundzir meriwayatkannya dari mereka. Kemudian diriwayatkan dari Ibnu ‘Umar, Ahmad, dan Ishaq, bahawa tidak mengapa menjual kulit haiwan korban tersebut dan mensedekahkan harga hasil jualan tersebut.” (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzab, 8/420)

Dalam sebuah hadis dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ بَاعَ جِلْدَ أُضْحِيَّتِهِ فَلاَ أُضْحِيَّةَ

“Sesiapa yang menjual kulit hasil korbannya, maka tidak ada korban baginya.” (Al-Mustadrak Al-Hakim, no. 3468. Sunan Al-Kubra Al-Baihaqi, no. 19233. Dinilai sahih oleh Al-Hakim dan Al-Albani, namun di dalamnya ada ‘Abdullah bin ‘Iyasy dan beliau dianggap dha’if oleh sebahagian ulama lainnya)

Penjualan selain dari daging korban seperti kulitnya, bulunya, atau tanduknya; ulama berselisih pendapat tentangnya sama ada boleh dijual atau tidak. Sebahagian ulama ada yang mengatakan ia boleh dijual lalu hasilnya digunakan untuk membeli peralatan rumah yang dapat dimanfaatkan. (lihat: Al-Mughni, 9/450-451. Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 8/420)

Namun, yang lebih tepat dan menenangkan, hendaklah ia tidak diperjual-belikan, sebaliknya boleh dimanfaatkan, atau boleh dihadiahkan mahupun disedekahkan. Dan demikianlah yang dilakukan oleh Nabi dan para sahabatnya sebagaimana dalam hadis-hadis yang lain. Wallahu a’lam.

8, Bolehkah Hasil Korban Diberikan Kepada Orang Kafir?

Kata Imam Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 620H):

وَيَجُوزُ أَنْ يُطْعِمَ مِنْهَا كَافِرًا. وَبِهَذَا قَالَ الْحَسَنُ، وَأَبُو ثَوْرٍ، وَأَصْحَابُ الرَّأْيِ. وَقَالَ مَالِكٌ: غَيْرُهُمْ أَحَبُّ إلَيْنَا. وَكَرِهَ مَالِكٌ وَاللَّيْثُ إعْطَاءَ النَّصْرَانِيِّ جِلْدَ الْأُضْحِيَّةِ. وَلَنَا أَنَّهُ طَعَامٌ لَهُ أَكْلُهُ فَجَازَ إطْعَامُهُ لِلذِّمِّيِّ، كَسَائِرِ طَعَامِهِ، وَلِأَنَّهُ صَدَقَةُ تَطَوُّعٍ، فَجَازَ إطْعَامُهَا الذِّمِّيَّ وَالْأَسِيرَ، كَسَائِرِ صَدَقَةِ التَّطَوُّعِ. فَأَمَّا الصَّدَقَةُ الْوَاجِبَةُ مِنْهَا، فَلَا يُجْزِئُ دَفْعُهَا إلَى كَافِرٍ لِأَنَّهَا صَدَقَةٌ وَاجِبَةٌ

“Dibolehkan memberikan (sebagai makanan) dari sebahagian hasil korban kepada orang kafir. Dan ini adalah pendapat Al-Hasan Al-Bashri, Abu Tsaur, dan Ash-habur Ra’yi (kalangan pengikut Imam Abu Hanifah). Manakala Imam Malik (menurut beliau):

“Kami lebih selesa (atau senang) jika daging korban diberikan kepada selain mereka (iaitu cukup diberikan kepada sesama muslim sahaja).”

Dan Imam Malik serta Imam Al-Laits turut memakruhkan (membenci) memberikan kulit haiwan korban kepada Nashrani.

Adapun bagi kami (dari kalangan ulama Hanbali atau mazhab Imam Ahmad), bahawa daging korban adalah termasuk dalam kategori makanan untuk dimakan, maka sebagaimana makanan lainnya, maka daging korban pun boleh jika diberikan kepada kafir zimmi dan tawanan perang, seperti juga halnya sedekah sunnah lainnya.

Bebeza dengan zakat wajib, kerana harta zakat tidak boleh diberikan kepada orang yang kafir.” (Al-Mughni, 9/450)

Wallahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest

Comments

  1. AhmadSyazwan
    December 3, 2008 at 2:42 pm

    terima kasih..sblm ini tidak tahu saya bahawa org yg nak melakukan korban x blh potong rambt,kuku dr 1zulhijjah-13zulhijjah
    kulit lembu yg dikorbankan tu blh jual x???

  2. Anonymous
    December 3, 2008 at 2:44 pm

    apakah maksud ubudiyyah,seperti banner blog anda

Comments are closed.