Bertakbir di Hari Raya

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Ketika menjelangnya ‘hari raya, Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan supaya mengagungkan-Nya dan membesarkan-Nya dengan iringan rasa syukur di atas petunjuk-Nya.Takbir Ketika Menuju Tempat Solat

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

“Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya (berpuasa) dan hendaklah kamu mengagungkan Allah di atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” (Surah Al-Baqarah, 2: 185)

Berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala inilah antaranya, maka disunnahkan bagi umat Islam supaya bertakbir, bertahlil, bertahmid, dan bertasbih, atau disebut sebagai takbir hari raya.

Asy-Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah berkata:

وإكمال العدة يكون عند غروب الشمس آخر يوم من رمضان، إما بإكمال ثلاثين، وإما برؤية الهلال، فإذا غابت الشمس آخر يوم من رمضان سنّ التكبير المطلق من الغروب إلى أن تفرغ الخطبة، لكن إذا جاءت الصلاة فسيصلي الإنسان ويستمع الخطبة بعد ذلك. ولهذا قال بعض العلماء: من الغروب إلى أن يكبّر الإمام للصلاة.

“Penyempurnaan jumlah hari (bagi bulan Ramadhan) terjadi ketika terbenamnya matahari di hari terakhir Ramadhan, sama ada dengan menyempurnakan 30 hari atau ketika melihat hilal (di hari ke-29nya). Maka apabila terbenam saja matahari di hari terakhir Ramadhan, adalah disunnahkan untuk bertakbir secara muthlaq (yakni secara umum, tidak terkait waktu khusus), bermula dari terbenam matahari sehingga selesai khutbah ‘Iedul fitri. Tetapi sebaik waktu solat ‘Iedul fitri maka hendaklah solat dan mendengar khutbah setelah solat. Dengan sebab ini, sebahagian ulama berkata, “Waktu disunnahkan bertakbir itu bermula dari terbenamnya matahari di akhir Ramadhan sampailah ketika imam bertakbir untuk solat ‘Iedul fitri.” (Asy-Syarhul Mumti’, 5/157)

Manakala sebahagian pendapat yang lain menjelaskan, disunnahkan takbir ‘Iedul Fitri itu ketika pagi hari raya ketika perjalanan menuju ke musholla (tempat solat ‘Ied).

Adalah umat Islam disunnahkan untuk bertakbir dengan suara yang lantang serta sebanyak-banyaknya di pagi hari raya ketika menuju ke tempat solat (musholla) sehingga selesai ditunaikan solat ‘Ied Al-Fithri.

Dari Naafi’, bahawa ‘Abdullah bin ‘Umar berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَخْرُجُ فِي الْعِيدَيْنِ مَعَ الْفَضْلِ بْنِ عَبَّاسٍ، وَعَبْدِ اللهِ، وَالْعَبَّاسِ، وَعَلِيٍّ، وَجَعْفَرٍ، وَالْحَسَنِ، وَالْحُسَيْنِ، وَأُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ، وَزَيْدِ بْنِ حَارِثَةَ، وَأَيْمَنَ بْنِ أُمِّ أَيْمَنَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ رَافِعًا صَوْتَهُ بِالتَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ، فَيَأْخُذُ طَرِيقَ الْحَدَّادِينِ حَتَّى يَأْتِيَ الْمُصَلَّى، وَإِذَا فَرَغَ رَجَعَ عَلَى الْحَذَّائِينَ حَتَّى يَأْتِيَ مَنْزِلَهُ

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam beliau keluar di dua ‘ied (‘Iedul Fithri dan ‘Iedul Adh-ha) bersama Al-Fadhl bin ‘Abbas, ‘Abdullah (bin ‘Abbas), ‘Abbas, ‘Ali, Ja’far, Al-Hasan, Al-Husain, Usamah bin Zaid, Zaid bin Haaritsah, dan Ayman bin Ummi Aiman radhiyallahu ‘anhum, mereka mengangkat suara membaca tahlil (laa ilaaha illallaah) dan takbir (Allaahu Akbar). Mereka mengambil laluan sempit di suatu jalan sampailah tiba di musholla, dan apabila selesai mereka pulang dengan mengambil laluan lain yang lapang sampailah tiba di kediaman masing-masing.” (Shahih Ibnu Khuzaimah, no. 1431. Sunan Al-Kubra al-Baihaqi, no. 6130)

Kata Imam An-Nawawi, “Takbir di hari raya adalah disunnahkan berdasarkan hadis ini.” (Al-Majmu’ Syarah Al-Muhadzdzab, 5/30)

Imam Az-Zuhri rahimahullah (Wafat: 125H) berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ، فَيُكَبِّرُ حَتَّى يَأْتِيَ الْمُصَلَّى، وَحَتَّى يَقْضِيَ الصَّلَاةَ، فَإِذَا قَضَى الصَّلَاةَ، قَطَعَ التَّكْبِيرَ

“Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam keluar pada ‘Iedul Fithri lalu bertakbir sampai ke tempat solat dan sampai selesai solat. Apabila telah selesai solat, beliau memberhentikan takbirnya.” (Mushannaf Ibn Abi Syaibah, no. 5621. Sahih mursal)

Dari Naafi, beliau berkata (tentang Ibnu ‘Umar):

أَنَّهُ كَانَ يَجْهَرُ بِالتَّكْبِيرِ يَوْمَ الْفِطْرِ إِذَا غَدَا إِلَى الْمُصَلَّى حَتَّى يَخْرُجَ الإِمَامُ فَيُكَبِّرُ بِتَكْبِيرِهِ

“Bahawasanya Ibnu ‘Umar beliau men-jahr-kan (melantangkan suara) takbir pada ‘Iedul Fithri apabila keluar di awal pagi menuju musholla, dan beliau terus melaungkan takbirnya sampailah imam keluar (untuk solat).” (Ahkaamul ‘Iedain lil Firyaabi, no. 47)

Dalam Sunan Ad-Daruquthni:

أَنَّهُ كَانَ يَخْرُجُ لِلْعِيدَيْنِ مِنَ الْمَسْجِدِ فَيُكَبِّرُ حَتَّى يَأْتِيَ الْمُصَلَّى وَيُكَبِّرُ حَتَّى يَأْتِيَ الْإِمَامَ

“Bahawasanya beliau (Ibnu ‘Umar) keluar dari masjid (dan menuju ke musholla) pada dua hari raya lalu bertakbir sampailah tiba di musholla (kawasan lapang tempat solat ‘Ied) dan beliau terus bertakbir sampai imam datang (untuk solat).” (Sunan Ad-Daruquthni, no. 1712. Sanadnya sahih)

Kata Abi ‘Abdurrahman As-Sulami rahimahullah (dari kalangan tabi’in):

كَانُوا فِي التَّكْبِيرِ فِي الْفِطْرِ أَشَدَّ مِنْهُمْ فِي الْأَضْحَى 

“Bahawa mereka (dari kalangan salaf) lebih lantang (bersemangat) ketika bertakbir di ‘Iedul Fithri berbanding pada ‘Iedul Adh-ha.” (Sunan Al-Kubra oleh Al-Baihaqi, no. 6132. Sunan Ad-Daruquthni, no. 1713. Dinilai sahih sanadnya oleh Al-Albani)

Kata Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

وقال جمهور العلماء لا يكبر ليلة العيد انما يكبر عند الغدو إلى صلاة العيد حكاه ابن المنذر عن اكثر العلماء

“Dan berkata jumhur para ulama bahawasanya tiada takbir pada malam ‘Ied, sesungguhnya mereka bertakbir pada waktu awal pagi ketika menuju ke tempat solat ‘Ied sebagaimana diriwayatkan oleh Ibnul Mundzir dari kebanyakan ulama.” (Al-Majmu’ Syarah al-Muhadzdzab, 5/41)

Kata Al-Hafiz Ibnu Rejab Al-Hanbali rahimahullah (Wafat: 795H):

ولذلك يشرع إظهار التكبير في الخروج إلى العيدين في الأمصار. وقد روي ذلك عن عمر وعليّ وابن عمر وأبي قتادة ، وعن خلق من التابعين ومن بعدهم

“Dan itu semua menunjukkan disyari’atkan mengeraskan takbir ketika keluar menuju tempat solat dua ‘Ied. Dan ini semua diriwayatkan dari ‘Umar, ‘Ali, Ibnu ‘Umar, Abi Qotadah, dan sejumlah tabi’in serta para ulama setelah mereka.” (Fathul Bari, 6/133)

Syaikh Al-Albani rahimahullah (Wafat: 1420H) menegaskan hal ini dengan katanya:

و في الحديث دليل على مشروعية ما جرى عليه عمل المسلمين من التكبير جهرا في الطريق إلى المصلى، و إن كان كثير منهم بدأوا يتساهلون بهذه السنة حتى كادت أن تصبح في خبر كان، و ذلك لضعف الوازع الديني منهم، و خجلهم من الصدع بالسنة و الجهر بها، و من المؤسف أن فيهم من يتولى إرشاد الناس و تعليمهم، فكأن الإرشاد عندهم محصور بتعليم الناس ما يعلمون…

… و مما يحسن التذكير به بهذه المناسبة، أن الجهر بالتكبير هنا لا يشرع فيه الاجتماع عليه بصوت واحد كما يفعله البعض

“Dalam hadis ini terdapat dalil tentang disyari’atkan apa yang diamalkan kaum muslimin iaitu bertakbir dengan suara yang kuat (atau lantang) di jalan-jalan ketika menuju musholla. Walaupun ramai di antara mereka mula meremehkan sunnah ini, sehingga hampir-hampir ada yang menganggap itu hanyalah sekadar berita (dari masyarakat terdahulu). Ini adalah kerana lemahnya semangat agama mereka dan adanya rasa malu untuk menzahirkan sunnah terang-terangan dengannya…

Dan amat baik mengingatkan di sini bahawa mengeraskan (melantangkan suara) takbir tidak-lah disyariatkan padanya dengan cara berjama’ah bersama (seperti koir), tidak pula dengan suara seiringan sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian orang…” (Silsilah Al-Ahaadits Ash-Shahihah, 1/331)

Di Shahih Muslim, diriwayatkan dari Muhammad bin Abi Bakr Ats-Tsaqafi:

أَنَّهُ سَأَلَ أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ، وَهُمَا غَادِيَانِ مِنْ مِنًى إِلَى عَرَفَةَ: كَيْفَ كُنْتُمْ تَصْنَعُونَ فِي هَذَا الْيَوْمِ مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ فَقَالَ: كَانَ يُهِلُّ الْمُهِلُّ مِنَّا، فَلَا يُنْكَرُ عَلَيْهِ، وَيُكَبِّرُ الْمُكَبِّرُ مِنَّا، فَلَا يُنْكَرُ عَلَيْهِ

“Bahawa beliau pernah bertanya kepada Anas bin Malik, yakni di waktu pagi ketika mereka berdua berangkat dari Mina menuju ‘Arafah, “Apa yang dulu kalian lakukan di hari ini bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam?”

Maka jawab Anas, “Dari rombongan kami ada yang membaca tahlil (yakni laa ilaaha illallaah) dan ia tidak diingkari, kemudian ada pula yang membaca takbir (Allaahu Akbar), dan ia juga tidak diingkari.” (Shahih Muslim, no. 1285)

Juga hadis dari ‘Umar bin Al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

كُنَّا مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي غَدَاةِ عَرَفَةَ، فَمِنَّا الْمُكَبِّرُ وَمِنَّا الْمُهَلِّلُ، فَأَمَّا نَحْنُ فَنُكَبِّرُ

“Kami pernah bersama-sama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di awal pagi di ‘Arafah. Di antara kami ada yang bertakbir, dan ada pula yang bertahlil. Adapun kami, kami bertakbir.” (Shahih Muslim, no. 1284)

Hadis-hadis ini menjelaskan bahawa masing-masing mereka bebas dengan takbir mereka masing-masing (dengan suara yang lantang) tanpa mengingkari antara satu sama lain, dan tidak dinyatakan bahawa mereka bertakbir secara jama’i atau koir. Inilah yang dicontohkan mereka pada urusan takbir ketika di ‘Arafah mahupun ketika dua ‘Ied.

Asy-Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah (Wafat: 1421H) pernah ditanya:

يقوم الإمام في بعض المدن في يوم العيد قبل الصلاة بالتكبير من خلال المكبر ويكبر المصلون معه، فما الحكم في هذا العمل؟

الجواب: هذه الصفة التي ذكرها السائل لم ترد عن النبي صلى الله عليه وسلم وأصحابه، والسنة أن يكبر كل إنسان وحده.

“Di sebahagian tempat pada hari ‘Ied, imam berdiri sebelum solat lalu dia bertakbir sebagai tekong, dan orang ramai yang hadir pun mengikutinya. Apa hukum pada praktik amalan ini?

Maka jawab Syaikh, “Sifat takbir seperti ini sebagaimana yang disebutkan oleh penanya, ianya tidak diriwayatkan dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan tidak pula sahabat-sahabat beliau. Adapun yang disunnahkan, adalah masing-masing bertakbir sendiri-sendiri (yakni bukan secara koir atau jama’i).” (Fatawa Arkanil Islam, m/s. 399, no. 333)

Berikutnya, kaum wanita juga turut disunnahkan agar bertakbir. Ini adalah sebagaimana disebutkan dalam Shahih Al-Bukhari dan Muslim dari Ummu ‘Athiyyah, beliau berkata:

الْحُيَّضُ يَخْرُجْنَ فَيَكُنَّ خَلْفَ النَّاسِ، يُكَبِّرْنَ مَعَ النَّاسِ

“Para wanita yang sedang haidh juga keluar, tetapi mereka berada di belakang orang ramai dan mereka turut serta bertakbir bersama orang ramai.” (Shahih Muslim, 890)

Kata Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

وهٰذا دليلٌ علىٰ استحباب التَّكبير لكلِّ أحد في العيدين وهو مجمعٌ عليه

“Dan ini adalah dalil tentang anjuran bertakbir untuk setiap orang pada dua hari raya, dan ia telah pun disepakati (oleh para ulama).” (Syarah Shahih Muslim, 6/179)

Kata al-Hafiz Ibnu Rejab Al-Hanbali rahimahullah (Wafat: 795H):

ولا خلاف في أن النساء يكبرن مع الرجال تبعاً، إذا صلين معهم جماعة، ولكن المرأة تخفض صوتها بالتكبير

“Dan tidaklah diperselisihkan (di kalangan ulama) bahawa kaum wanita juga turut bertakbir bersama-sama kaum lelaki (di musholla), iaitu jika mereka solat bersama-sama mereka secara berjama’ah. Walau bagaimanapun, hendaklah kaum wanita merendahkan sedikit suara mereka ketika bertakbir.” (Fathul Bari, 6/130)

Seterusnya, di antara bentuk-bentuk lafaz takbir yang diamalkan oleh para sahabat ridhwanullah ‘alaihim ajma’ain adalah sebagaimana berikut:

Dari Abu ‘Utsman An-Nahdi, Salman mengajari kami bacaan takbir dengan mengatakan: “Bertakbirlah dengan mengatakan:

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا

“Allah maha Besar, Allah maha Besar, Allah maha Besar.” (Mushannaf ‘Abdurrazzaq, no. 20581. Sunan al-Kubra al-Baihaqi, no. 6282. Dinilai sahih sanadnya oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fathul Bari)

Atau

Dari Ibnu Mas’oud radhiyallahu ‘anhu:

أَللهُ أَكْبَر، اَللهُ أَكْبَر، لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ، واَللهُ أكْبَر، اَللهُ أَكْبَر ولِلهِ الْحَمْدُ

“Allah maha Besar (2x), tiada ilah (yang berhak diibadahi) melainkan Allah. Allah maha Besar, Allah maha Besar, dan segala puji hanya bagi Allah.” (Mushannaf Ibnu Abi Syaibah, no. 5650, 5651, 5653)

Atau, sebagaimana diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam Mushannaf-nya, bahawa ‘Abdullah (ibn Mas’oud) beliau bertakbir dari solat subuh di hari ‘Arafah sampailah ke solat ‘Ashar di hari Nahr (hari raya korban), beliau mengatakan (dalam takbirnya):

اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الْحَمْدُ

“Allah maha Besar (3x), tiada ilah (yang berhak diibadahi) melainkan Allah, Allah maha Besar. Allah maha Besar, dan segala puji hanya bagi Allah.” (Mushannaf Ibnu Abi Syaibah, no. 5633. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Atau

Dari ‘Ikrimah, dari ‘Abdullah B. ‘Abbas radhiyallhu ‘anhuma, bahawa beliau bertakbir di awal pagi ‘Arafah sampailah ke hari Nafar yang akhir, dan beliau tidak lagi bertakbir sebaik masuknya maghrib hari tersebut; (lafaz takbir beliau adalah):

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ، اللهُ أَكْبَرُ وَ أَجَلّ، اللهُ أَكْبَرُ عَلَى مَا هَدَانَا

“Allah maha Besar, Allah maha Besar, Allah maha Besar, dan segala puji hanya bagi Allah. Allah maha Besar lagi maha Agung. Allah maha Besar di atas petunjuk yang diberikan kepada kita.” (Sunan Al-Kubra al-Baihaqi, no. 6280. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Wallaahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest