Bumi Bukan Planet

www.ilmusunnah.com

planet-orbit

Setelah kita memahami bahawa bumi bukanlah sebahagian dari objek yang berputar dan beredar[1], apatah lagi mengorbit “matahari (yang dikatakan sebagai salah satu bintang dalam jajaran galaksi bimasakti)”[2] dalam satu sistem yang dinamakan sebagai sistem suria[3]. Atau salah satu objek dalam suatu rangkaian dari salah satu rangkaian galaksi yang terdapat di “angkasa raya”, maka dapatlah kita katakan bahawa bumi bukanlah planet (sebagaimana yang diketengahkan dan dipegang dalam sains astronomi)![4]

Bumi adalah bumi dengan sifat yang khusus sebagaimana yang telah Allah ciptakan. Inilah yang telah dijelaskan di dalam Al-Qur’an Al-Karim dan juga kitab-kitab tafsir para salaf.

Bumi adalah tempat diturunkan padanya Adam ‘alaihis Salam. Tempat yang manusia hidup dan tinggal di atasnya.

Bumi diciptakan sebagai hamparan, yakni tempat yang stabil pada kedudukannya, tidak bergoncang, tidak bergerak, dan tidak pula berputar sebagaimana anggapan kebanyakan dari ahli sains (astronomer) sehingga ianya pun sesuai untuk didiami dengan segala kelengkapan dan keperluan bagi kehidupan.

Allah Ta’ala berfirman:

وَلَقَدْ مَكَّنَّاكُمْ فِي الْأَرْضِ وَجَعَلْنَا لَكُمْ فِيهَا مَعَايِشَ قَلِيلًا مَا تَشْكُرُونَ

“Sesungguhnya Kami telah menempatkan kalian di bumi dan Kami adakan bagi kalian di bumi itu (sumber) penghidupan. Amat sedikit sekali kalian bersyukur.” (Surah Al-A’raaf, 7: 10)

Di ayat yang lain:

وَالْأَرْضَ مَدَدْنَاهَا وَأَلْقَيْنَا فِيهَا رَوَاسِيَ وَأَنْبَتْنَا فِيهَا مِنْ كُلِّ شَيْءٍ مَوْزُونٍ (19) وَجَعَلْنَا لَكُمْ فِيهَا مَعَايِشَ

“Dan Kami telah menghamparkan bumi dan menjadikan padanya gunung-gunung dan Kami tumbuhkan padanya segala sesuatu menurut ukuran. Dan Kami telah menjadikan untukmu di bumi keperluan-keperluan hidup…” (Surah Al-Hijr, 15: 19-20)

Di ayat yang lain:

وَالْأَرْضَ بَعْدَ ذَلِكَ دَحَاهَا (30) أَخْرَجَ مِنْهَا مَاءَهَا وَمَرْعَاهَا (31) وَالْجِبَالَ أَرْسَاهَا (32) مَتَاعًا لَكُمْ وَلِأَنْعَامِكُمْ

“Dan bumi setelah itu dihamparkan oleh-Nya. Keluar memancar darinya mata-mata air dan rerumputan (serta tumbuh-tumbuhan). Dan gunung-gunung dipasakkan. Untuk keperluan kehidupan bagi kalian dan bagi haiwan ternakan kalian.” (Surah An-Naazi’aat, 79: 30-33)

Adapun planet-planet adalah di antara al-kawakib (atau al-kaukab), yakni objek-objek langit, sebahagian dari hiasan langit, terletak di langit dunia (atau langit pertama sebagaimana yang dapat dilihat dengan mata kasar), ianya bergerak dan beredar (pada orbit yang telah Allah tetapkan), terbit dan terbenam, dan bukan tempat untuk kehidupan.

Allah Subhanahu wa Ta’ala jelaskan tiga manfaat atau fungsi dari Al-Kaukab (planet dan bintang-bintang) di dalam Al-Qur’an, yakni sebagai hiasan langit, petunjuk arah di malam hari, dan sebagai perejam syaitan. Dan bumi tidaklah termasuk di dalam makna atau karektor Al-Kawaakib, yakni bumi tidak termasuk dalam makna objek-objek langit, planet, mahupun bintang. Dan tidak pula beredar dan mengorbit. (lihat artikel: Bintang Penembak Syaitan)

Dan ini jelas menunjukkan perbezaan antara bumi dengan apa yang disebut sebagai Al-Kaukab (objek-objek langit baik berupa bintang mahupun planet).

Kata Asy-Syaikh ‘Abdullah bin Muhammad Ad-Duways rahimahullah (Wafat: 1409H):

أقول إطلاق اسم الكوكب على الأرض خطاء وضلال. وهذا قول من يزعم أنها تسير الكواكب وتدور على الشمس وهم أهل الهيئة الجديدة. ومن يقلدهم من جهال المسلمين ولازم هذا القول أن تكون الأرض من جملة الزينة التي زين الله بها السماء الدنيا وجعلها رجوما للشياطين وهو باطل، بل الأرض بعيدة عن السماء فكيف تكون كوكبا من جملة الكواكب والله قد أخبر في كتابه أنه جعل الأرض فراشا والسماء بناء وفي أية أخرى أنه جعلها سقفا فدل على أن الأرض هي أسفل البناء وأساسه وما كان هكذا فكيف يقال أنه كوكب، والله أعلم.

“Aku katakan, menamakan bumi sebagai Al-Kaukab (planet atau sebahagian dari objek-objek langit) adalah suatu kesalahan dan kesesatan. Dan ini adalah pendapat dari kalangan orang-orang yang beranggapan bumi itu sebahagian dari objek-objek langit yang beredar dan berputar mengelilingi matahari, dan mereka itu adalah dari kalangan astronomer serta sebahagian dari kaum muslimin yang jahil yang hanya bertaqlid kepada mereka.

Dengan pendapat tersebut (yang mengatakan bumi adalah planet atau objek-objek langit) bermakna melazimkan untuk menetapkan yang bumi itu adalah sebahagian dari perhiasan yang telah dijadikan oleh Allah di langit dunia yang berfungsi pula sebagai perejam Syaitan, dan ini adalah jelas bathil!

Adapun yang benarnya bumi itu jauh dari langit (yakni bukan termasuk objek-objek langit), maka bagaimana ia boleh menjadi sebahagian dari Al-Kawakib (objek-objek langit baik planet mahupun bintang)?

Bahawa Allah telah mengkhabarkan di Kitab-Nya bahawa Dia menjadikan bumi sebagai firasy (hamparan, tempat kehidupan) dan langit pula sebagai binaa’ (bumbung yang terbina tanpa tiang penopang)[5], manakala di ayat yang lain Allah menjelaskan bahawa Dia menjadikan langit sebagai saqfun (atap atau bumbung yang melengkung)[6].

Maka ini adalah dalil yang menunjukkan bahawa bumi itu dijadikan sebagai binaan yang paling rendah dan merupakan asasnya, maka dengan demikian bagaimana ia boleh disebut sebagai Kaukab (planet atau sebahagian dari objek-objek langit)?! Wallaahu a’lam.” (Al-Maurid Az-Zallal fi At-Tanbih ‘ala Akhthaa’i Azh-Zhilaal, m/s. 61 – Daar Al-‘Ulyaan, Cet. 1, 1411H)

Dalam hal penciptaan atau turutan masing-masing dari kejadiannya, Allah ciptakan bumi lebih dahulu berbanding yang lainya, kemudian Allah ciptakan pula langit dengan tujuh lapisannya sebaik penciptaan bumi, kemudian barulah pula Allah jadikan planet dan bintang-bintang di langit sebagai hiasan (baik Al-Kaukab mahupun An-Nujum), demikian pula Allah jadikan matahari dan bulan setelah penciptaan bumi dan langit.

Yang semua itu disebutkan terletak di antara langit dan bumi secara umum, dan secara khususnya di langit dunia, yakni langit yang paling hampir dengan bumi. Lalu setelah penciptaan tersebut, Allah pun hamparkan bumi dengan sungai-sungainya (sumber air), tumbuh-tumbuhan, gunung-ganang, dan segala keperluan serta kelengkapan untuk kehidupan.[7]

Kata Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H):

ففصل هاهنا ما يختص بالأرض مما اختص بالسماء، فذكر أنه خلق الأرض أولا لأنها كالأساس، والأصل أن يُبْدَأَ بالأساس، ثم بعده بالسقف، كما قال: { هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُمْ مَا فِي الأرْضِ جَمِيعًا ثُمَّ اسْتَوَى إِلَى السَّمَاءِ فَسَوَّاهُنَّ سَبْعَ سَمَوَاتٍ } الآية [البقرة: 29]

Maka di sini Allah Ta’ala memberikan perincian tentang hal-hal yang dikhususkan bagi bumi, dan juga hal-hal yang dikhususkan bagi langit. Allah Ta’ala menyebutkan bahawa Dia menciptakan bumi terlebih dahulu, kerana ia ibarat sebuah tunjang dasar, di mana asas binaan sebuah bangunan itu biasanya didahulukan, kemudian barulah Dia membina atapnya, sebagaimana firman-Nya:

“Dia-lah yang menciptakan segala yang ada di bumi untuk kalian dan dia berkehendak (menciptakan) langit, lalu dijadikan-lah oleh-Nya tujuh langit.” (Surah Al-Baqarah, 2: 29).” (lihat: Penciptaan Bumi Sebelum Langit…)

Bumi dijadikan dan disebutkan sebagai tempat yang paling rendah dan bawah, tempat jatuh dan turun, tempat kaki dan tempat berpijak…, sedangkan langit dan objek-objek langit disebutkan dengan atas. Manakala arah langit adalah arah atas, yakni arah berdiri, arah yang selari dengan arah kepala, tempat naik, yang ianya menunjukkan sifat dan kedudukan tinggi. Walau kita sedang berada di belahan bumi mana pun, maka langit tetap merupakan bahagian atas, dan bumi adalah bahagian bawahnya.

Al-Imam Ar-Raghib Al-Asfahani rahimahullah (Wafat: 450H) menjelaskan:

أرض : الأرض الجرم المقابل للسماء وجمعه أرضون ولا تجيء مجموعة في القرآن ، ويعبر بها عن أسفل الشيء كما يعبر بالسماء عن أعلاه

Al-Ardhu (bumi) adalah suatu (jirim) yang menjadi lawan kepada As-Samaa’ (langit). Kata jama’nya adalah Ardhuun, namun ia tidak pernah diungkapkan di dalam Al-Qur’an (dalam bentuk jama’). (Lafaz ardh) juga digunakan untuk mengungkapkan sesuatu yang paling rendah (bawah), sebagaimana kata As-Samaa’ digunakan pula untuk mengungkapkan sesuatu yang paling tinggi (atau lebih atas).” (Al-Mufrodaat fii Gharib Al-Qur’an, 1/16)

Kemudian, objek-objek langit (berupa bintang, planet dan semisal) disebutkan pula sebagai apa-apa yang terletak di antara langit dan bumi, yang bumi bukan bahagian darinya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَمَا خَلَقْنَا السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا إِلَّا بِالْحَقِّ

“Dan tidaklah Kami ciptakan langit-langit dan bumi serta apa-apa yang terdapat di antara keduanya melainkan dengan haq (kebenaran).” (Surah Al-Hijr, 15: 85)

Di ayat yang lain:

وَمَا خَلَقْنَا السَّمَاءَ وَالْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا لَاعِبِينَ

“Dan tidaklah Kami ciptakan langit dan bumi serta apa-apa yang terdapat di antara keduanya dengan main-main.” (Surah Al-Anbiyaa’, 21: 16)

Di ayat yang lain lagi:

الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ الرَّحْمَنُ فَاسْأَلْ بِهِ خَبِيرًا

“(Allah) yang telah menciptakan langit-langit dan bumi, dan apa-apa yang terdapat di antara keduanya dalam enam hari, kemudian Dia istawa’ di atas ‘Arsy, Dia-lah Ar-Rahman (yang maha Pemurah terhadap seluruh makhluk-Nya), maka bertanyalah tentang-Nya kepada yang mengetahui dengan mendalam (yakni Muhammad).” (Surah Al-Furqaan, 25: 59)

Apa-apa yang jatuh dari langit apabila ia jatuh, maka ia akan jatuh menuju ke bumi.

Allah Ta’ala berfirman:

وَيُمْسِكُ السَّمَاءَ أَنْ تَقَعَ عَلَى الْأَرْضِ

“Dan Dia menahan langit agar tidak jatuh ke bumi.” (Surah Al-Hajj, 22: 65)

Dikhabarkan dari wahyu bahawa pada hari Kiamat nanti objek-objek langit berupa bintang-bintang dan planet-planet (An-Nujum dan Al-Kawakib) akan keluar berselerakan dari orbitnya masing-masing dan jatuh berguguran (ke bumi). Dan dikhabarkan juga akan dihapuskan.

Sedang bumi pula tidak termasuk di antara semua yang jatuh dan berselerakan tersebut, tetapi bumi akan diganti dengan bumi yang baru, dan ia akan menjadi datar pula. Manakala matahari dan bulan pula akan digulung dan dilipat sebagaimana kertas. Demikian pula langit, akan tiba masanya ia terbelah, pecah, digulung, dilipat, atau direnyuk layaknya kertas.

Ini antaranya sebagaimana disebutkan dalam firman Allah:

إِذَا الشَّمْسُ كُوِّرَتْ (1) وَإِذَا النُّجُومُ انْكَدَرَتْ

“Ketika apabila matahari digulung. Dan ketika apabila bintang-bintang berjatuhan.” (Surah At-Takwiir, 81: 2)

Di ayat yang lain:

إِذَا السَّمَاءُ انْفَطَرَتْ (1) وَإِذَا الْكَوَاكِبُ انْتَثَرَتْ

“Ketika apabila langit terbelah. Dan ketika apabila Al-Kawaakib (objek-objek langit) berselerakan.” (Surah Al-Infithaar, 82: 1-2)

Maka dari sini menunjukkan sisi perbezaan antara itu semua, dan bumi tidak tergolong dalam jenis planet (Al-Kaukab) yang disifatkan akan berguguran, berselerakan, dan berjatuhan.

Kata Asy-Syaikh ‘Abdullah bin Muhammad Ad-Duways rahimahullah (Wafat: 1409H):

قد أخبر الله عن الكواكب أنها تتناثر يوم القيامة كما في قوله تعالى، وَإِذَا الْكَوَاكِبُ انْتَثَرَتْ. قال ابن جرير تساقطت، وكذا قال ابن كثير والقرطبي والبغوي وغيرهم ولم يذكر عن الأرض مثل ذلك بل أخبر أنها تبدل كما قال تعالى، يَوْمَ تُبَدَّلُ الْأَرْضُ غَيْرَ الْأَرْضِ. فعلم أن جعل الأرض كوكبا باطل.

“Sungguh Allah telah mengkhabarkan tentang Al-Kawakib (objek-objek langit dari bintang-bintang dan planet-planet) yang ianya akan keluar dari sistem orbitnya dan berjatuhan pada hari Kiamat sebagaimana firman Allah Ta’ala:

“Dan apabila Al-Kawakib itu berselerakan dan berjatuhan.” (Surah Al-Infithar, 82: 2)

Kata Ibnu Jarir, berjatuhan ke bawah. Dan demikian pula sebagaimana dikatakan oleh Ibn Katsir, Al-Qurthubi, Al-Baghawi, dan selain daripada mereka (dari kalangan ulama tafsir terkenal). Dan tidaklah disebutkan tentang bumi dengan keadaan tersebut (pada hari Kiamat), tetapi sebaliknya Allah Ta’ala khabarkan bahawa bumi akan diganti (dengan bumi yang lain) sebagaimana firman-Nya:

“Pada hari bumi diganti dengan bumi yang lain…” (Surah Ibrahim, 14: 48)

Maka ketahuilah bahawa menamakan (atau menggolongkan) bumi sebagai kaukab (planet atau sebahagian dari objek-objek langit) adalah suatu yang bathil.” (Al-Maurid Az-Zallal fi At-Tanbih ‘ala Akhthaa’i Azh-Zhilaal, m/s. 219 – Daar Al-‘Ulyaan, Cet. 1, 1411H)

Kemudian tentang bumi (pada hari Kiamat), Allah Ta’ala berfirman:

يَوْمَ تُبَدَّلُ الْأَرْضُ غَيْرَ الْأَرْضِ وَالسَّمَاوَاتُ وَبَرَزُوا لِلَّهِ الْوَاحِدِ الْقَهَّارِ

“(Iaitu) pada hari (ketika) bumi diganti dengan bumi yang lain dan (demikian pula) langit-langit, dan meraka semuanya (di padang Mahsyar) berkumpul menghadap kepada Allah yang Maha Esa lagi Menundukkan.” (Surah Ibrahim, 14: 48)

Allah Ta’ala berfirman:

وَيَوْمَ نُسَيِّرُ الْجِبَالَ وَتَرَى الْأَرْضَ بَارِزَةً وَحَشَرْنَاهُمْ فَلَمْ نُغَادِرْ مِنْهُمْ أَحَدًا

“Dan (ingatlah) akan hari (yang ketika itu) Kami perjalankan gunung-gunung dan kalian akan dapat melihat bumi itu datar dan Kami kumpulkan seluruh manusia, dan tidak kami tinggalkan seorangpun dari mereka.” (Surah Al-Kahfi, 18: 47)

Di ayat yang lain:

وَإِذَا الْأَرْضُ مُدَّتْ

“dan ketika apabila bumi diratakan (menjadi datar)…” (Surah Al-Insyiqaaq, 84: 3)

Wallaahu a’lam.

tafsir-ibnu-katsir-LAZ


[1] Lihat penjelasannya di artikel, “Bumi Tidak Beredar, dan Tidak Pula Berputar”.

[2] Penamaan atau pengklasifikasian matahari sebagai salah satu bintang (nujum atau kaukab) mungkin memerlukan kepada penelitian dan rincian. Kerana menurut sebahagian ulama, ketika Allah Subhanahu wa Ta’ala menyebutkan tentang matahari dan bintang, jelas Allah membezakan antara keduanya dan menyebutkannya secara berasingan, serta tidak menyamakan antara satu sama lain.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

إِذْ قَالَ يُوسُفُ لِأَبِيهِ يَا أَبَتِ إِنِّي رَأَيْتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوْكَبًا وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ رَأَيْتُهُمْ لِي سَاجِدِينَ

“(Ingatlah), ketika Yusuf berkata kepada ayahnya: “Wahai ayahku (Yakni Nabi Ya’kub), sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang/planet (Kaukab), matahari dan bulan; aku melihat semuanya sujud kepadaku.” (Surah Yusuf, 12: 4)

Di ayat yang lain:

أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ يَسْجُدُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ وَالشَّمْسُ وَالْقَمَرُ وَالنُّجُومُ وَالْجِبَالُ وَالشَّجَرُ وَالدَّوَابُّ وَكَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ

“Adakah kalian tidak melihat, bahawa kepada Allah-lah bersujud apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi, matahari, bulan, bintang-bintang (nujum), gunung-gunung, pepohonan, haiwan-haiwan yang melata dan sebahagian besar dari manusia?…” (Surah Al-Hajj, 22: 18)

Juga ketika penyebutan turutan penciptaan bumi dan langit, Allah Subhanahu wa Ta’ala befirman:

إِنَّ رَبَّكُمُ اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ يُغْشِي اللَّيْلَ النَّهَارَ يَطْلُبُهُ حَثِيثًا وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ وَالنُّجُومَ مُسَخَّرَاتٍ بِأَمْرِهِ أَلَا لَهُ الْخَلْقُ وَالْأَمْرُ تَبَارَكَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ

“Sesungguhnya Rabb kalian adalah Allah yang telah menciptakan langit-langit dan bumi dalam enam hari, kemudian Dia istawa’ di atas ‘Arsy. Dia menyelubungkan malam yang gelap ke atas siang yang mengikutinya dengan cepat, dan (diciptakan-Nya pula) matahari, bulan dan bintang-bintang (yang masing-masing) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, menciptakan dan memerintah hanyalah hak Allah. Maha Suci Allah, Rabb semesta alam.” (Surah Al-A’raaf, 7: 54)

Dan masih banyak lagi ayat-ayat yang lainnya.

Demikian pula pada penjelasan sifat, karektor dan manfaat yang saling membezakannya di dalam Al-Qur’an terkait matahari dan bintang-bintang juga banyak. (lihat: Bintang Penembak Syaitan)

Allah Ta’ala mengkhabarkan bahawa bintang-bintang (kaukab mahupun nujum) akan mati (Surah Al-Mursalaat, 77: 8), berselerakan dan berguguran dari orbitnya. Sedangkan matahari pula akan dilipat dan digulung.

Walau bagaimana pun, sebahagian dari Kitab-kitab tafsir dan Qamus tetap menyebutkan matahari sebagai sebahagian dari bintang, kerana sifatnya yang mengeluarkan cahaya dan bersinar di langit. Namun mereka tidak mengatakan matahari sebagai bintang dalam makna salah satu pusat sistem angkasa yang di-orbit oleh objek-objek langit yang lainnya. Wallaahu a’lam.

[3] Penisbatan matahari sebagai pusat orbit planet-planet di salah satu sistem angkasa raya yang dinamakan sebagai sistem suria adalah suatu yang menyelisihi dalil-dalil Al-Qur’an dan As-Sunnah. Apatah lagi bila ia dikatakan sebagai salah satu rangkaian sistem angkasa yang beredar dan mengorbit suatu sistem yang lebih besar dinamakan sebagai galaksi bimaksakti dengan kelajuan yang super ekstrim, dan memakan masa sehingga ratusan tahun pula di dalam suatu ruangan yang dinamakan sebagai angkasa-raya tanpa batasan, bahkan dikatakan pula alam semesta ini terus mengembang!? Sebenarnya ini adalah pemahaman yang diambil dari teori big bang.

Ini benar-benar jelas sangat bertentangan dengan penjelasan yang terdapat di dalam Al-Qur’an dan As-Sunnah. Kerana dalil-dalil Al-Qur’an dan As-Sunnah telah menyebutkan langit itu punya batasan, dijelaskan jaraknya, terbina dengan tujuh lapisan, dan dikhabarkan memiliki pintu-pintu yang dijaga bagi setiap satu lapisan atau tingkatannya. Subhananallaah. [lihat artikel: ‘Arsy dan Kursi Allah]

[4] Dalam sains dan kajian astronomi, planet adalah objek atau benda langit yang mengorbit atau mengelilingi suatu bintang di “angkasa” sebagai pusat orbit dan peredarannya dengan kelajuan tertentu.

[5] Lihat: Surah Al-Baqarah, 2: 22.

[6] Lihat: Surah Ath-Thuur, 52: 5. Al-Anbiyaa’, 21: 32.

[7] Lihat penjelasannya di artikel, “Penciptaan bumi Sebelum Langit, Matahari dan Bintang-bintang.”

Apabila kita memahami turutan kejadian bumi dan langit sebagaimana yang disebutkan di dalam Al-Qur’an, maka dengan itu tertolak-lah dakwaan-dakwaan sains melalui teori big bang nya yang mengatakan bumi, langit, matahari, bulan, planet, dan bintang-bintang terjadi dari selerakan kesan sebuah letupan yang super dahsyat semenjak bilionan tahun dahulu. Maha Suci Allah dari apa yang mereka perkatakan.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest