Catatan Ringkas Tentang Tokoh Al-Hajjaj B. Yusuf ats-Tsaqafi (Tahun 41H-95H)

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Beliau adalah salah seorang gabernor di Baghdad di bawah pemerintahan khalifah bani Umayyah, ‘Abdul Malik B. Marwan. Seorang yang zalim, banyak membunuh, dan fasiq. Walaupun demikian, beliau turut memiliki jasa dan kebaikan. Memiliki sumbangan dalam meletakkan baris bacaan al-Qur’an, membantu banyak usaha meluaskan empayar bani Umayyah. Beliau juga termasuk tokoh yang ahli dalam strategi peperangan. Berasal dari kabilah Tsaqif.

Kata Imam Al-Hafiz Adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 748H)  mengenai Al-Hajjaj bin Yusuf ats-Tsaqafi:

الحجاج، أهلكه الله في رمضان سنة خمس وتسعين كهلا، وكان ظلوما، جبارا، ناصبيا، خبيثا، سافكا للدماء، وكان ذا شجاعة وإقدام ومكر ودهاء ، وفصاحة وبلاغة، وتعظيم للقرآن، قد سقت من سوء سيرته في تاريخي الكبير، وحصاره لابن الزبير بالكعبة، ورمية إياها بالمنجنيق، وإذلاله لأهل الحرمين، ثم ولايته على العراق والمشرق كله عشرين سنة، وحروب ابن الأشعث له، وتأخيره للصلوات إلى أن استأصله الله، فنسبه ولا نحبه، بل نبغضه في الله

“Al-Hajjaj, Allah memusnahkannya di bulan Ramadhan tahun 95 Hijrah dalam keadaan tua, dan beliau adalah seorang yang zalim, bengis, naashibi (pembenci ahlul bayt), keji, suka menumpahkan darah, memiliki keberanian, kelancangan, tipu daya, dan kelicikan, kefasihan, ahli bahasa, dan kecintaan terhadap al-Quran. Aku (Imam adz-Dzahabi) telah menulis tentang sejarah hidupnya yang buruk dalam kitabku at-Tarikh al-Kabir, mengenai pengepungannya terhadap Ibnu az-Zubair dan Ka’bah, serta perbuatannya melempar Ka’bah dengan manjaniq, penghinaannya terhadap penduduk al-Haramain (dua tanah haram), penguasaannya terhadap ‘Iraq dan wilayah timur, semuanya selama 20 tahun. Juga peperangannya dengan Ibnul Asy-’ats, sikapnya melambat-lambat (melengahkan) solat sehinggalah Allah mematikannya, maka kami mencelanya, dan kami tidak mencintainya, sebaliknya kami membencinya kerana Allah.” (Siyar A’lam an-Nubala’, 4/343)

Kata Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H):

وأما المبير فهو الجاج بن يوسف هذا، وقد كان ناصبيا يبغض عليا وشيعته في هوى آل مروان بني أمية، وكان جبارا عنيدا، مقداما على سفك الدماء بأدنى شبهة. وقد روي عنه ألفاظ بشعة شنيعة ظاهرها الكفر كما قدمنا.

فإن كان قد تاب منها وأقلع عنها، وإلا فهو باق في عهدتها، ولكن قد يخشى أنها رويت عنه بنوع من زيادة عليه، فإن الشيعة كانوا يبغضونه جدا لوجوه، وربما حرفوا عليه بعض الكلم. وزادوا فيما يحكونه عنه بشاعات وشناعات.

“Dan adapun sang pemusnah adalah Al-Hajjaj bin Yusuf Ats-Tsaqafi ini. Beliau seorang yang amat memusuhi, beliau amat membenci ahli keluarga ‘Ali, ini kerana kecenderungannya kepada keluarga Marwan Bani Umayyah. Beliau juga seorang yang angkuh lagi degil, berani menumpahkan darah hanya kerana kesalahan yang syubhah (samar).

Diriwayatkan dari beliau kata-kata yang sangat buruk, yang zahirnya adalah kufur, sebagaimana yang telah kami kemukakan. Jika beliau bertaubat darinya dan berlepas diri darinya, maka itu yang diharapkan, tetapi jika tidak, maka ia tetap dalam keadaan tersebut. Cuma dibimbangi bahawa itu adalah kata-kata yang diriwayatkan dari beliau dengan pelbagai tokok-tambah, kerana golongan Syi’ah sangat membencinya kerana beberapa perkara. Jadi, mungkin terjadi mereka mengubah sebahagian perkataannya dan menokok-tambah padanya sehingga mereka melabelnya sebagai perkataan-perkataan buruk lagi menjijikkan.”

Kata Al-Hafiz Ibnu Katsir lagi:

وقد روينا عنه أنه كان يتدين بترك المسكر، وكان يكثر تلاوة القرآن، ويتجنب المحارم، ولم يشتهر عنه شئ من التلطخ بالفروج، وإن كان متسرعا في سفك الدماء فالله تعالى أعلم بالصواب وحقائق الامور وساترها، وخفيات الصدور

“Diriwayatkan kepada kami dari beliau bahawa beliau meninggalkan hal-hal yang memabukkan, banyak membaca al-Qur’an, menjauhi larangan-larangan, dan tidak dikenali sebagai orang yang pernah terjerumus dalam urusan kemaluan walaupun dia terlalu berani dalam hal menumpahkan darah. Maka Allah Ta’ala-lah yang lebih mengetahui kebenaran dan hakikat-hakikat segala urusan serta rahsia-rahsianya, serta hal-hal yang tersembunyi di dalam dada.” (Ibnu Katsir, Al-Bidayah wa an-Nihayah, 9/153)

Dalam Sunan At-Tirmidzi disebutkan riwayat, Hisyam bin Hassan berkata:

أَحْصَوْا مَا قَتَلَ الحَجَّاجُ صَبْرًا فَبَلَغَ مِائَةَ أَلْفٍ وَعِشْرِينَ أَلْفَ قَتِيلٍ

“Mereka menghitung jumlah manusia yang dibunuh oleh al-Hajjaj secara zalim (dibunuh dengan cara tidak diberi makan dan minum), maka ianya mencapai sebanyak 120,000 orang manusia.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 2220. Dinilai hasan oleh at-Tirmidzi. Lihat juga Al-Hafiz Ibnu Hajar, Tahdzib at-Tahdzib, 2/211)

Al-Ashma’i rahimahullah berkata:

أطلق سليمان بن عبد الملك في غداة واحدة أحدا وثمانين ألف أسير كانوا في سجن الحجاج، وقيل إنه لبث في سجنه ثمانون ألفا منهم ثلاثون ألف امرأة وعرضت السجون بعد الحجاج فوجدوا فيها ثلاثة وثلاثين ألفا، لم يجب على أحد منهم قطع ولا صلب

“Di suatu pagi, Sulaiman bin ‘Abdul Malik membebaskan 81,000 orang tawanan, setelah Al-Hajjaj (yakni selepas kematiannya), penjara-penjara diperiksa lalu mereka dapati ada 33,000 orang yang belum dilaksanakan atas mereka pemutusan hukum dan tidak juga penyaliban.” (Ibnu Katsir, Al-Bidayah wa an-Nihayah, 9/156)

‘Umar bin ‘Abdil ‘Aziz rahimahullah menyebut namanya dengan sebutan musuh Allah. Kata Al-Hafiz Ibnu Katsir:

وقال إبراهيم بن هشام بن يحيى بن يحيى الغساني، عن أبيه، عن جده، عن عمر بن عبد العزيز أنه قال: ما حسدت الحجاج عدو الله على شيء حسدي إياه على حبه القرآن وإعطائه أهله، وقوله حين حضرته الوفاة: اللهم اغفر لي، فإن الناس يزعمون أنك لا تفعل.

Ibrahiim B. Hisyaam B. Yahya B. Yahya al-Ghassaani berkata, daripada ayahnya, daripada datuknya, daripada ‘Umar B. ‘Abdil ‘Aziz, beliau berkata:

“Aku  sedikitpun tidak merasa iri hati (dengki) terhadap Al-Hajjaj si musuh Allah itu, melainkan terhadap sikapnya yang cinta kepada Al-Qur’an dan sikap pemurahnya terhadap ahlul Qur’an, serta ucapannya sebelum wafat, “Ya Allah ampunilah aku, sesungguhnya manusia menyangka bahawa Engkau tidak bertindak (yakni tidak mengampuni beliau – pent.).” (Ibnu Katsir, Al-Bidayah wa an-Nihayah, 9/158)

Sampai-sampai ‘Umar bin ‘Abdil ‘Aziz membuat permisalan yang menggambarkan betapa jahat dan berpengaruhnya Al-Hajjaj:

لو جاءت كل أمة بخبيثها، وجئناهم بالحجاج لغلبناهم

“Kalau sekiranya setiap umat datang dengan para penjahatnya manakala kita pula datang dengan membawa Al-Hajjaj, nescaya kita akan mengalahkan semua penjahat tersebut.” (Ibnu Katsir, Al-Bidayah wa an-Nihayah, 6/267, 9/158)

Malah terdapat perkataan sebahagian salaf yang seakan-akan mengkafirkannya.

Ibnu ‘Asakir meriwayatkan perkataan Asy-Sya’bi rahimahullah (Wafat: 104H):

الحجاج مؤمن بالجبت والطاغوت، كافر بالله العظيم

“Al-Hajjaj beriman dengan kejahatan dan thaghut, serta kafir terhadap Allah Al-‘Adziim.” (Ibnu ‘Asakir, Tarikh Dimasyq, 12/187. Al-Bidayah wa an-Nihayah, 9/157)

Imam Sufyan Ats-Tsauri rahimahullah berkata:

عجبا لاخواننا من أهل العراق يسمون الحجاج مؤمنا

“Suatu yang ajaib terhadap sahabat-sahabat kita dari ‘Iraq, mereka menamakan Al-Hajjaj sebagai orang beriman?!” (Adz-Dzahabi, Siyar A’lam an-Nubala’, 5/44. Al-Bidayah wa an-Nihayah, 9/157)

Sebahagian Kejahatan dan Nukilan Kekejaman Al-Hajjaj

Diriwayatkan dalam Shahih Muslim:

حَدَّثَنَا عُقْبَةُ بْنُ مُكْرَمٍ الْعَمِّيُّ، حَدَّثَنَا يَعْقُوبُ يَعْنِي ابْنَ إِسْحَاقَ الْحَضْرَمِيَّ، أَخْبَرَنَا الْأَسْوَدُ بْنُ شَيْبَانَ، عَنْ أَبِي نَوْفَلٍ، رَأَيْتُ عَبْدَ اللهِ بْنَ الزُّبَيْرِ عَلَى عَقَبَةِ الْمَدِينَةِ، قَالَ: فَجَعَلَتْ قُرَيْشٌ تَمُرُّ عَلَيْهِ، وَالنَّاسُ حَتَّى مَرَّ عَلَيْهِ عَبْدُ اللهِ بْنُ عُمَرَ، فَوَقَفَ عَلَيْهِ فَقَالَ: السَّلَامُ عَلَيْكَ، أَبَا خُبَيْبٍ السَّلَامُ عَلَيْكَ أَبَا خُبَيْبٍ السَّلَامُ عَلَيْكَ أَبَا خُبَيْبٍ أَمَا وَاللهِ لَقَدْ كُنْتُ أَنْهَاكَ عَنْ هَذَا، أَمَا وَاللهِ لَقَدْ كُنْتُ أَنْهَاكَ عَنْ هَذَا، أَمَا وَاللهِ لَقَدْ كُنْتُ أَنْهَاكَ عَنْ هَذَا، أَمَا وَاللهِ إِنْ كُنْتَ، مَا عَلِمْتُ، صَوَّامًا، قَوَّامًا، وَصُولًا لِلرَّحِمِ، أَمَا وَاللهِ لَأُمَّةٌ أَنْتَ أَشَرُّهَا لَأُمَّةٌ خَيْرٌ، ثُمَّ نَفَذَ عَبْدُ اللهِ بْنُ عُمَرَ، فَبَلَغَ الْحَجَّاجَ مَوْقِفُ عَبْدِ اللهِ وَقَوْلُهُ، فَأَرْسَلَ إِلَيْهِ، فَأُنْزِلَ عَنْ جِذْعِهِ، فَأُلْقِيَ فِي قُبُورِ الْيَهُودِ، ثُمَّ أَرْسَلَ إِلَى أُمِّهِ أَسْمَاءَ بِنْتِ أَبِي بَكْرٍ، فَأَبَتْ أَنْ تَأْتِيَهُ، فَأَعَادَ عَلَيْهَا الرَّسُولَ: لَتَأْتِيَنِّي أَوْ لَأَبْعَثَنَّ إِلَيْكِ مَنْ يَسْحَبُكِ بِقُرُونِكِ، قَالَ: فَأَبَتْ وَقَالَتْ: وَاللهِ لَا آتِيكَ حَتَّى تَبْعَثَ إِلَيَّ مَنْ يَسْحَبُنِي بِقُرُونِي، قَالَ: فَقَالَ: أَرُونِي سِبْتَيَّ فَأَخَذَ نَعْلَيْهِ، ثُمَّ انْطَلَقَ يَتَوَذَّفُ، حَتَّى دَخَلَ عَلَيْهَا، فَقَالَ: كَيْفَ رَأَيْتِنِي صَنَعْتُ بِعَدُوِّ اللهِ؟ قَالَتْ: رَأَيْتُكَ أَفْسَدْتَ عَلَيْهِ دُنْيَاهُ، وَأَفْسَدَ عَلَيْكَ آخِرَتَكَ، بَلَغَنِي أَنَّكَ تَقُولُ لَهُ: يَا ابْنَ ذَاتِ النِّطَاقَيْنِ أَنَا، وَاللهِ ذَاتُ النِّطَاقَيْنِ، أَمَّا أَحَدُهُمَا فَكُنْتُ أَرْفَعُ بِهِ طَعَامَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَطَعَامَ أَبِي بَكْرٍ مِنَ الدَّوَابِّ، وَأَمَّا الْآخَرُ فَنِطَاقُ الْمَرْأَةِ الَّتِي لَا تَسْتَغْنِي عَنْهُ، أَمَا إِنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَدَّثَنَا، «أَنَّ فِي ثَقِيفٍ كَذَّابًا وَمُبِيرًا» فَأَمَّا الْكَذَّابُ فَرَأَيْنَاهُ، وَأَمَّا الْمُبِيرُ فَلَا إِخَالُكَ إِلَّا إِيَّاهُ، قَالَ: فَقَامَ عَنْهَا وَلَمْ يُرَاجِعْهَا

‘Uqbah B. Mukarram al-‘Ammiy memberitahu kami, katanya Ya’qub iaitu Ibnu Ishaq al-Hadhrami memberitahu kami, katanya al-Aswad B. Syaiban memberitahu kami, daripada Abu Naufal, katanya:

Aku melihat (mayat) ‘Abdullah B. az-Zubair (dalam keadaan tergantung) di ‘Aqabah al-Madinah (di Makkah), dan kaum Quraisy serta orang-orang lainnya pergi ke arahnya, termasuklah ‘Abdullah B. ‘Umar, apabila beliau berdiri di hadapannya (mayat Ibn az-Zubair) beliau mengucapkan:

“Wahai Abu Khubaib (‘Abdullah B. Az-Zubair), semoga keselamatan ke atas engkau, semoga keselamatan ke atas engkau, semoga keselamatan ke atas engkau! Demi Allah, aku telah melarang engkau dari perkara ini, Demi Allah, aku telah melarang engkau dari perkara ini, Demi Allah, aku telah melarang engkau dari perkara ini. Demi Allah, aku tidak pernah mengetahui seseorang yang selalu berpuasa, selalu qiyam (bangun malam untuk beribadah), dan selalu menyambung silaturrahim selain dari engkau. Demi Allah, engkau yang dikatakan sejahat-jahat ummat, sebenarnya adalah sebaik-baiknya.”

‘Abdullah B. ‘Umar pun berlalu pergi. Kata-kata Ibnu ‘Umar telah sampai kepada al-Hajjaj lalu dia mengutus seseorang untuk menurunkan mayat ‘Abdullah B. az-Zubair, kemudian mayat tersebut dicampakkan ke perkuburan Yahudi.

Kemudian al-Hajjaj menghantar utusan kepada Asma’ Binti Abu Bakr agar Asma’ menemuinya, tetapi Asma’ enggan. Utusan tersebut pulang dan kembali membawa pesan al-Hajjaj:

“Engkau mesti datang berjumpa dengan aku atau aku akan hantar seseorang yang akan mengheret engkau sambil menarik rambutmu.”

Asma’ tetap juga enggan. Katanya:

“Aku tidak akan berjumpa dengan engkau hinggalah engkau hantar seseorang yang akan mengheret aku dengan rambutku.”

Al-Hajjaj  yang mendengarnya (sebagaimana disampaikan oleh utusannya) pun berkata:

“Ambilkan kasutku”. Lalu utusannya mengambilkan kasut untuknya, dan al-Hajjaj pergi menuju kepada Asma’ dalam keadaan marah, lalu berkata:

“Apa pendapat engkau tentang apa yang aku lakukan terhadap si musuh Allah itu (‘Abdullah B. az-Zubair)?”

Asma’ menjawab:

“Aku lihat engkau telah menghancurkan kehidupan dunianya, manakala dia pula telah menghancurkan kehidupan akhirat engkau. Aku dengar engkau memanggilnya (sebagai), “Wahai anak Dzat an-Nithaqain (pemilik dua tali pinggang).” Sesungguhnya demi Allah, akulah Dzat an-Nithaqain; tali pinggang yang pertama aku gunakan untuk menghantar makanan Rasulullah dan Abu Bakr, manakala tali pinggang kedua tidak dapat ditandingi oleh mana-mana wanita pun. Rasulullah pernah memberitahu kami bahawa di Thaqif nanti ada seorang pendusta dan seorang pemusnah, si pendusta itu kami telah mengenalinya, manakala si pemusnah pula, aku tidak kenal yang lain melainkan engkau.”

Al-Hajjaj lalu bangkit beredar dan tidak membalas kata-kata Asma’.” (Shahih Muslim, no. 2545)

Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menjelaskan:

وقولها في الكذاب: فرأيناه تعني به المختار بن أبي عبيد الثقفي، كان شديد الكذب، ومن أقبحه ادعى أن جبريل صلى الله عليه وسلم يأتيه. واتفق العلماء على أن المراد بالكذاب هنا المختار بن أبي عبيد، وبالمبير الحجاج بن يوسف

“Perkataan Asma’ mengenai si Pendusta, “kami telah mengenalinya”, yang beliau maksudkan dengannya adalah al-Mukhtar B. Abi ‘Ubaid ats-Tsaqafi, dia ini sangat teruk sifat pendustanya, dan antara tuduhannya yang paling buruk ialah Jibril Shallallahu ‘alaihi wa Sallam datang kepadanya. Para ulama sepakat bahawa yang dimaksudkan dengan si pendusta adalah al-Mukhtar B. Abi ‘Ubaid, manakala si pemusnah pula adalah al-Hajjaj B. Yusuf.” (Syarh Shahih Muslim, 16/100)

Imam An-Nawawi juga mengatakan:

ومذهب أهل الحق أن ابن الزبير كان مظلوما، وأن الحجاج ورفقته كانوا خوارج عليه

“Dan mazhab Ahlul Haq (pengikut kebenaran) adalah meyakini Ibnu Az-Zubair itulah yang dizalimi, manakala al-Hajjaj dan para pengikutnya pula adalah khawarij (iaitu yang keluar memberontak) terhadap Ibn az-Zubair.” (Syarh Shahih Muslim, 16/99)

Ini kerana Al-Hajjaj-lah yang sengaja menceroboh, membuat huru-hara, memerangi wilayah dan kekhilafahan ‘Abdullah bin Az-Zubair di Hijjaz, Madinah, dan Makkah.

Al-Hafiz Ibnu Katsir meriwayatkan perkataan Al-Hajjaj:

والله ولو أمرتكم أن تخرجوا من هذا الباب فخرجتم من هذا الباب لحلت لي دماؤكم، ولا أجد أحدا يقرأ على قراءة ابن أم عبد إلا ضربت عنقه، ولاحكنها من المصحف ولو بضلع خنزير

“Demi Allah, kalau aku memerintahkan kamu semua keluar melalui pintu ini, tetapi kamu semua keluar melaui pintu yang lain, maka halallah darah kamu di sisi aku, dan tidak aku temui seorang lelaki yang membaca (al-Qur’an) mengikut qiraat Ibn Umm ‘Abd (‘Abdullah B. Mas’oud) melainkan aku akan memancung kepalanya, dan akan aku kikis bacaannya dari mushaf, walaupun dengan tulang rusuk babi.”

Selain itu, Al-Hajjaj pernah berkata di mimbar Wasith (di kota Wasith):

عبد الله بن مسعود رأس المنافقين، لو أدركته لاسقيت الارض من دمه.

“‘Abdullah B. Mas’oud (ulama tafsir dari kalangan sahabat) adalah ketua golongan munafiq. Kalau aku menemuinya aku akan basahkan muka bumi dengan darahnya.” (Al-Bidayah wa an-Nihayah, 9/149)

Al-Hafiz Ibnu Katsir menjelaskan:

وهذا من جراءة الحجاج قبحه الله، وإقدامه على الكلام السئ، والدماء الحرام. وإنما نقم على قرأة ابن مسعود رضي الله عنه لكونه خالف القراءة على المصحف الامام الذي جمع الناس عليه عثمان

“Dan ini termasuk kemelampauan al-Hajjaj, semoga Allah memburukkannya, dan termasuk kelancangannya mengungkapkan perkataan yang buruk, serta menumpahkan darah tanpa haq. Beliau dengki dengan qira’ah (bacaan) Ibnu Mas’oud radhiyallahu ‘anhu kerana menyelisihi qira’ah pada mushaf induk yang dihimpunkan manusia pasa masa ‘Utsman.” (Al-Bidayah wa an-Nihayah, 9/149)

Al-Qa’qa’ bin Ash-Shalt berkata:

خطب الحجاج فقال: إن ابن الزبير غير كتاب الله

“Al-Hajjaj pernah berkhuthbah lalu beliau mengatakan dalam khuthbahnya, “Sesungguhnya Ibnu az-Zubair mengubah Kitab Allah.” (Al-Bidayah wa an-Nihayah, 9/140)

Demikianlah sifat kejamnya Al-Hajjaj, sampai tiada adab dan hormat terhadap orang-orang yang amat dicintai oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, iaitu para sahabatnya ridhwanullah ‘alaihim ajma’in. Demikian juga sikap beliau terhadap para ulama selain sahabat.

Sampai-sampai sebahagian salaf mengatakan tentangnya:

ما بقيت لله عز وجل حرمة إلا وقد ارتكبها الحجاج

“(Seolah-olah) tidak ada satu pun dari larangan Allah ‘Azza wa Jalla melainkan telah dilakukan oleh al-Hajjaj.” (Al-Bidayah wa an-Nihayah, 9/1153)

Saat Kematian Al-Hajjaj

Atas sebab kekejaman dan kekejian al-Hajjaj, kematian beliau dianggap sebagai khabar gembira oleh sebahagian salaf. Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) merakamkan:

وروى غير واحد أن الحسن لما بشر بموت الحجاج سجد شكرا لله تعالى، وكان مختفيا فظهر، وقال: اللهم أمته فأذهب عنا سنته. وقال حماد بن أبي سليمان: لما أخبرت إبراهيم النخعي بموت الحجاج بكى من الفرح .

“Lebih dari seorang yang meriwayatkan bahawa al-Hasan (al-Bashri) apabila dikhabarkan dengan berita gembira mengenai kematian al-Hajjaj, beliau langsung melakukan sujud syukur kepada Allah Ta’ala yang mana sebelumnya beliau bersembunyi, maka setelah itu beliau menonjolkan diri. Lalu beliau berdoa:

“Ya Allah, matikanlah dia dan hilangkanlah sunnahnya (kebiasaan-kebiasaannya) dari diri kami.”

Hammad bin Sulaiman berkata, “Apabila aku mengkhabarkan kepada Ibrahim an-Nakha’i tentang kematian al-Hajjaj, beliau pun menangis kerana gembira.” (Ibnu Katsir, Al-Bidayah wa an-Nihayah, 9/159)

Abu Khaitsamah berkata:

قال زياد بن الربيع بن الحارث لاهل السجن يموت الحجاج في مرضه هذا في ليلة كذا وكذا، فلما كانت تلك الليلة لم ينم أهل السجن فرحا، جلسوا ينظرون حتى يسمعوا الناعية، وذلك ليلة سبع وعشرين من شهر رمضان.

“Ziyad bin Ar-Rabi’ al-Haritsi mengatakan kepada para penghuni penjara, “Al-Hajjaj akan mati dalam sakitnya ini di malam sekian.”

Lalu ketika tiba malam tersebut, tidak seorang pun penghuni penjara yang tidur kerana sangat gembira. Mereka duduk menunggu hingga mendengar berita kematiannya. Iaitu pada malam 27 Ramadhan.”

Al-Hafiz Ibnu Katsir menambah:

وقيل كان ذلك لخمس بقين من رمضان، وقيل في شوال من هذه السنة، وكان عمره إذ ذاك خمسا وخمسين سنة، لان مولده كان عام الجماعة سنة أربعين، وقيل بعدها بسنة، وقيل قبلها بسنة، مات بواسط وعفى قبره، وأجري عليه الماء لكيلا ينبش ويحرق والله أعلم.

“Pendapat lain menyebutkan, hal tersebut berlaku pada lima hari terakhir bulan Ramadhan. Pendapat lain lagi, ia berlaku pada bulan Syawal di tahun tersebut. Umurnya ketika itu adalah 55 tahun, kerana kelahirannya adalah pada tahun al-Jama’ah (tahun di mana al-Hasan B. ‘Ali menyerahkan kekhalifahan kepada Mua’wiyah – Pent.), tahun 40H. Pendapat lain mengatakan setelah itu. Yang lain lagi mengatakan, setahun setelahnya.

Beliau meninggal di Wasith, dan kuburannya diratakan serta disirami air padanya supaya tidak dibongkar dan dibakar. Wallahu a’lam.” (Al-Bidayah wa an-Nihayah, 9/159)

Al-Ashma’i berkata:

ما كان أعجب حال الحجاج، ما ترك إلا ثلاثمائة درهم

“Yang menakjubkan tentang hal al-Hajjaj, adalah apa yang beliau tinggalkan hanya 300 dirham.” (Al-Bidayah wa an-Nihayah, 9/159)

Kata al-Waqidi, “Bahawa al-Hajjaj meninggal dengan meninggalkan 300 dirham, sebuah mushaf, sebilah pedanh, pelana, sekedup, dan seratus baju besi (armour) yang diwakafkan.” (Tarikh Dimasyq, 12/191. Al-Bidayah wa an-Nihayah, 9/159)

Syihab bin Khirasy berkata:

“Al-Hajjaj mewasiatkan 900 perisai atau baju besi, 600 di antaranya adalah milik orang-orang munafiq warga ‘Iraq yang mereka berperang dengannya, manakala 300 lagi adalah milik orang-orang Turki.” (Al-Bidayah wa an-Nihayah, 9/159)

Al-Hajjaj Adalah Bencana Ke Atas Penduduk ‘Iraq

Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) menyebutkan:

“Al-Hasan al-Bashri pernah berkata:

إن الحجاج عذاب الله فلا تدفعوا عذاب الله بأيديكم ولكن عليكم بالاستكانة والتضرع فإن الله تعالى يقول ولقد أخذناهم بالعذاب فما استكانوا لربهم وما يتضرعون

“Sesungguhnya kemunculan al-Hajjaj adalah disebabkan dari azab Allah, maka janganlah kamu melawan azab Allah dengan tangan-tangan kamu. Akan tetapi wajib bagi kamu untuk tunduk dan memohon dengan merendah diri kerana sesungguhnya Allah telah berfirman (maksudnya):

“Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan azab kepada mereka, maka mereka tidak tunduk kepada Rabb mereka, dan (juga) tidak memohon (kepada-Nya) dengan merendahkan diri.” (Surah al-Mukminun, 23: 76)

Thalq B. Habib berkata:

اتقوا الفتنة بالتقوى فقيل له أجمل لنا التقوى فقال أن تعمل بطاعة الله على نور من الله ترجو رحمة الله وأن تترك معصية الله على نور من الله تخاف عذاب الله رواه أحمد وابن أبي الدنيا

“Lindungilah dirimu dari fitnah dengan ketaqwaan.” Maka dikatakan kepadanya, “Simpulkanlah untuk kami apa itu ketaqwaan?” Beliau berkata, “Iaitu engkau beramal dengan ketaatan kepada Allah dengan cahaya (petunjuk) daripada Allah dengan berharap rahmat Allah. Dan engkau meninggalkan kemaksiatan kepada Allah dengan cahaya (petunjuk) daripada Allah kerana takut akan azab Allah.” (Diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibnu Abi ad-Dunya).” (Ibnu Taimiyyah, Minhajus Sunnah an-Nabawiyyah, 4/527-531 – Mu’asasah al-Qurthubah)

Demikian jugalah yang diungkapkan oleh al-Hafiz Ibnu Katsir dalam Al-Bidayah wa an-Nihayah:

وبالجملة فقد كان الحجاج نقمة على أهل العراق بما سلف لهم من الذنوب والخروج على الائمة، وخذلانهم لهم، وعصيانهم، ومخالفتهم، والافتيات عليهم

“Secara umum, bahawa al-Hajjaj adalah bencana yang ditimpakan ke atas penduduk ‘Iraq kerana dosa-dosa lalu mereka dan perbuatan khuruj mereka kepada para pemimpin, menghinakan mereka, memaksiati mereka, menyelisihi mereka, dan tidak menghargai mereka.” (Ibnu Katsir, al-Bidayah wa an-Nihayah, 9/151)

Al-Hafiz dan Ibnu ‘Asakir meriwayatkan dari jalan Ya’qub B. Sufyan (berkenaan apa yang pernah berlaku ketika zaman pemerintahan ‘Umar):

جاء رجل إلى عمر بن الخطاب فأخبره أن أهل العراق حصبوا أميرهم فخرج غضبان، فصلى لنا صلاة فسها فيها، حتى جعل الناس يقولون: سبحان الله سبحان الله، فلما سلم أقبل على الناس فقال: من ههنا من أهل الشام؟ فقام رجل ثم قام آخر ثم قمت أنا ثالثا أو رابعا، فقال: يا أهل الشام استعدوا لاهل العراق، فإن الشيطان قد باض فيهم وفرخ، اللهم إنهم قد لبسوا عليهم فالبس عليهم وعجل عليهم بالغلام الثقفي، يحكم فيهم بحكم الجاهلية، لا يقبل من محسنهم ولا يتجاوز عن مسيئهم. وقد رويناه في كتاب مسند عمر بن الخطاب من طريق أبي عذبة الحمصي عن عمر مثله.

“Seorang lelaki datang kepada ‘Umar B. Al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu lalu memberitahunya bahawa warga ‘Iraq melempari wakil pemimpin (gabernor) mereka, maka ‘Umar pun keluar (untuk solat) dalam keadaan marah, lalu beliau mengimami kami suatu solat, lalu beliau lupa di dalam solatnya sehingga orang-orang (para makmum) mengatakan, “Subhanallah, Subhanallah…”

Setelah salam, ‘Umar pun menghadap kepada para makmum lalu berkata, “Siapakah di sini dari kalangan penduduk Syam?”

Lalu berdirilah seorang lelaki, kemudian berdiri juga lelaki yang lainnya, kemudian aku (perawi Ya’qub B. Sufyan) juga berdiri sebagai orang ketiga atau keempat. Lalu ‘Umar berkata:

“Wahai warga Syam, bersiap-siaplah kalian untuk menghadapi penduduk ‘Iraq. Kerana Syaitan telah bertelur di tengah-tengah mereka dan menebarkan anak-anaknya. Ya Allah, sesungguhnya mereka telah menyamarkan diri mereka, maka samarkanlah atas mereka, dan segeralah ke atas mereka dengan anak Tsaqif yang memimpin (berhukum) dengan hukum jahiliyyah. Tidak akan diterima kebaikan dari orang baik mereka, dan tidak akan dimaafkan dari orang buruk mereka.”

Kata al-Hafiz Ibnu Katsir, “Kami juga telah meriwayatkan di dalam kitab Musnad ‘Umar B. Al-Khaththab, dari jalan Abu Azabah al-Himshi daripada ‘Umar yang semisal dengannya.” (Al-Bidayah wa an-Nihayah, 9/151-152)

‘Ali B. Abi Thalib radhiyallahu ‘anhu pernah berkata (berdoa):

اللهم كما ائمنتهم فخانوني، ونصحت لهم فغشوني فسلط عليهم فتى ثقيف الذيال الميال، يأكل خضرتها، ويلبس فروتها، ويحكم فيها بحكم الجاهلية.

“Ya Allah, aku telah memberi mereka amanah tetapi mereka mengkhianatiku, aku telah menasihati mereka tetapi mereka curang padaku. Maka kuasakanlah atas mereka seorang pemuda Tsaqif yang angkuh lagi sombong, yang memakan kesejahteraannya, yang memakai kulitnya, dan menerapkan hukum-hukum jahiliyyah atas mereka.”

Al-Hasan berkata, “Pada ketika itu al-Hajjaj belum lahir lagi.” (Al-Bidayah wa an-Nihayah, 9/152. Ibnu ‘Asakir, Tarikh Dimasyq, 12/169)

Diriwayatkan juga oleh Mu’tamir B. Sulaiman, bahawa ‘Ali berkata:

الشاب الذيال أمير المصرين يلبس فروتها ويأكل خضرتها، ويقتل أشراف أهلها، يشتد منه الفرق، ويكثر منه الارق، ويسلطه الله على شيعته

“Pemuda yang angkuh, Amiir (pemimpin) dua kota yang memakai kulitnya dan memakan kesejahteraannya, membunuhi para tokoh penduduknya, menimbulkan perpecahan yang teruk, banyak menimbulkan kegelisahan, dan Allah menguasakannya ke atas kaumnya.” (Al-Bidayah wa an-Nihayah, 9/152. Ibnu ‘Asakir, Tarikh Dimasyq, 12/169)

Sikap Para Ulama Di Bawah Kekuasaan Al-Hajjaj Sebagai Pemerintah

Zubair B. ‘Adi berkata, kami mendatangi Anas B. Malik mengeluhkan perihal al-Hajjaj. Anas pun menjawab:

اصْبِرُوا فَإِنَّهُ لَا يَأْتِي عَلَيْكُمْ زَمَانٌ إِلَّا الَّذِي بَعْدَهُ شَرٌّ مِنْهُ حَتَّى تَلْقَوْا رَبَّكُمْ سَمِعْتُهُ مِنْ نَبِيِّكُمْ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“Bersabarlah, kerana tidaklah datang sebuah zaman kecuali yang setelahnya akan lebih buruk sehingga kamu berjumpa dengan Rabb kamu. Aku mendengarnya daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Shahih al-Bukhari, no. 7068)

Imam asy-Syafi’i rahimahullah (Wafat: 204H) berkata:

أن ابن عمر اعتزل ليالي قتال ابن الزبير و والحجاج بمنى، فكان يصلي مع الحجاج

“Ibnu ‘Umar (salah seorang sahabat Nabi yang masih hidup) memencilkan diri di Mina pada hari-hari pertembungan (peperangan) antara Ibnu az-Zubair dengan al-Hajjaj, dan beliau (Ibnu ‘Umar) tetap solat bersama (berjama’ah di belakang) al-Hajjaj.” (Al-Bidayah wa an-Nihayah, 9/140)

Imam al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) meriwayatkan:

عون السهمى اتيت ابا امامة فقال لا تسبوا الحجاج فانه عليك امير وليس على بامير

Daripada as-Sahmi, “Aku mendatangi Aba Amamah, lalu beliau berkata:

“Janganlah engkau mencela (mengutuk dan menghina) al-Hajjaj, kerana beliau adalah penguasa bagi engkau dan bukan penguasa bagiku.” (Diriwayatkan oleh Al-Bukhari, At-Tarikh Al-Kabir, no. 83)

Aba Umamah tinggal di Syam, manakala as-Sahmi tinggal di Iraq yang mana pemimpin di Iraq ketika itu adalah al-Hajjaj.

Fenomena kekejaman al-Hajjaj B. Yusuf ats-Tsaqafi dan penentangan terhadapnya banyak dikaitkan dengan salah satu prinsip Ahlus Sunnah wal-Jama’ah, iaitu bab kewajiban mentaati pemerintah. Maka dalam hal ini, antaranya Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menjelaskan:

وقال جماهير أهل السنة من الفقهاء والمحدثين والمتكلمين لا ينعزل بالفسق والظلم وتعطيل الحقوق ولا يخلع ولا يجوز الخروج عليه بذلك بل يجب وعظه وتخويفه للأحاديث الواردة في ذلك قال القاضي وقد ادعى أبو بكر بن مجاهد في هذا الاجماع وقد رد عليه بعضهم هذا بقيام الحسن وبن الزبير وأهل المدينة على بني أمية وبقيام جماعة عظيمة من التابعين والصدر الأول على الحجاج مع بن الأشعث وتأول هذا القائل قوله أن لا ننازع الأمر أهله في أئمة العدل وحجة الجمهور أن قيامهم على الحجاج ليس بمجرد الفسق بل لما غير من الشرع وظاهر من الكفر قال القاضي وقيل أن هذا الخلاف كان أولا ثم حصل الإجماع على منع الخروج عليهم والله اعلم

“Majoriti ulama ahli sunnah dari kalangan fuqaha’ (ahli fiqh), ahli hadis,  dan ahli kalam menyatakan bahawa pemimpin tidak dilucutkan (atau dijatuhkan kepimpinannya) atas sebab kefasikannya, kezalimannya, dan perbuatannya yang merampas hak-hak umat Islam, dan tidak boleh khuruj (keluar dari ketaatan) kepadanya. Tetapi umat Islam wajib untuk menasihati dan menggerunkan hatinya dengan hadis-hadis (yang berbentuk ancaman) berkaitan perkara tersebut.

Al-Qadhi berkata, “Abu Bakar B. Mujahid telah menyatakan adanya ijma’ atas perkara ini, sebahagian ulama telah membantah pernyataan tersebut dengan apa yang dilakukan oleh al-Hasan dan Ibnu az-Zubair, serta penduduk Madinah terhadap bani Umayyah. Juga pertembungan dua kumpulan besar dari kalangan tabi’in dan generasi awal dari umat ini terhadap al-Hajjaj B. Yusuf, bukan kerana sekadar kefasikan, akan tetapi ketika dia telah mengubah sebahagian syari’at dan menampakkan kekafiran.” Al-Qadhi berkata lagi, “Perbezaan ini timbul pada awalnya, kemudian terjadi ijma’ (kesepakatan) yang melarang memberontak kepada pemerintah.” Wallahu a’lam.” (Syarah Shahih Muslim, 12/229)

Sikap Ulama Di Luar Kekuasaan (Pentadbiran) Al-Hajjaj

Al-Hafiz Ibnu Katsir merakamkan:

وقال الثوري عن محمد بن المنكدر عن جابر أنه دخل على الحجاج فلم يسلم عليه ولم يكن يصلي وراءه.

“Berkata at-Tsauri daripada Muhammad B. Al-Munkadir daripada Jabir bahawa dia masuk ke kawasan al-Hajjaj tanpa memberi salam kepadanya dan tidak pula solat di belakangnya (sebagai makmum).” (Al-Bidayah wa an-Nihayah, 9/140)

Jasa dan Ungkapan Nasihat al-Hajjaj

Imam asy-Sya’bi berkata:

“Aku mendengar al-Hajjaj berkata dalam perbicaraannya yang tidak pernah diungkapkan oleh seorangpun sebelumnya. Beliau mengatakan:

سمعت الحجاج تكلم بكلام ما سبقه إليه أحد، يقول: أما بعد فإن الله تعالى كتب على الدنيا الفناء، وعلى الآخرة البقاء، فلا فناء لما كتب عليه البقاء ولا بقاء لما كتب عليه الفناء. فلا يغرنكم شاهد الدنيا عن غائب الآخرة، اقهروا طول الامل بقصر الاجل

“‘Amma ba’d, sesungguhnya Allah Ta’ala telah menetapkan kefanaan (sifat tidak kekal) bagi dunia ini, dan menetapkan keabadian bagi akhirat. Maka tidak ada keabadian bagi yang telah ditetapkan kefanaan baginya. Oleh itu, janganlah keadaan dunia ini memperdayakan kalian dari keghaiban akhirat, dan redamlah panjangnya angan-angan dengan dekatnya ajal.” (Ibn ‘Asakir, Tarikh Dimasyq, 12/142. Al-Bidayah wa an-Nihayah, 9/143)

Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) berkata:

وقال الهيثم بن عدي عن ابن عياش: كتب عبد الملك إلى الحجاج أن ابعث إلي برأس أسلم بن عبد البكري، لما بلغني عنه، فأحضره الحجاج فقال: أيها الامير أنت الشاهد وأمير المؤمنين الغائب، وقال الله تعالى (يا أيها الذين آمنوا إن جاءكم فاسق بنبأ فتبينوا أن تصيبوا قوما بجهالة فتصبحوا على ما فعلتم نادمين) [الحجرات: 6]

وما بلغه باطل، وإني أعول أربعة وعشرين امرأة ما لهن كاسب غيري وهن بالباب، فأمر الحجاج باحضارهن، فلما حضرن جعلت هذه تقول: أنا خالته، وهذه أنا عمته، وهذه أنا أخته، وهذه أنا زوجته، وهذه أنا بنته، وتقدمت إليه جارية فوق الثمان ودون العشرة، فقال لها الحجاج: من أنت ؟ فقالت: أنا ابنته، ثم قالت: أصلح الله الامير، وجثت على ركبتيها وقالت:

 – أحجاج لم تشهد مقام بناته * وعماته يندبنه الليل أجمعا أحجاج كم تقتل به إن قتلته * ثمانا وعشرا واثنتين وأربعا أحجاج من هذا يقوم مقامه * علينا فمهلا إن تزدنا تضعضعا أحجاج إما أن تجود بنعمة * علينا وإما أن تقتلنا معا قال:

فبكى الحجاج وقال: والله لا أعنت عليكن ولا زدتكن تضعضعا، ثم كتب إلى عبد الملك بما قال الرجل، وبما قالت ابنته هذه، فكتب عبد الملك إلى الحجاج يأمره باطلاقه وحسن صلته وبالاحسان إلى هذه الجارية وتفقدها في كل وقت.

“Al-Haitsam B. ‘Adi daripada Ibn ‘Ayyasy (beliau berkata): ‘Khalifah ‘Abdul Malik B. Marwan pernah mengutus surat kepada al-Hajjaj, “Kirimkan kepadaku kepala Aslam B. ‘Abdul Bakri.”

Setelah surat tersebut sampai kepadanya, Al-Hajjaj pun menghadirkan Aslam kepadanya lalu Aslam pun berkata, “Wahai Amir (pemimpin), engkaulah yang menyaksikan, sedangkan Amirul Mukminin tidak menyaksikan. Dan Allah Ta’ala telah berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu.” (Surah Al-Hujuraat, 49: 6)

Apa yang sampai kepadanya tentang diriku adalah bathil. Dan sesungguhnya aku menyara 24 orang wanita, mereka tidak memiliki pendapatan selain dariku, dan mereka sekarang ada di pintu.”

Maka al-Hajjaj pun memerintahkan agar mereka dibawa masuk. Setelah mereka dihadirkan, salah seorang daripada mereka berkata, “Aku adalah mak cik dari pihak ayahnya.”

Yang lain berkata, “Aku mak cik dari pihak ibunya.”

Yang lain berkata, “Aku saudara (adik-beradik) perempuannya.”

Yang lain pula berkata, “Aku anak perempuannya.”

Dan yang lain berkata pula, “Aku isterinya.”

Lalu seorang anak perempuan mara ke depan, ia berumur antara 8 hingga 10 tahun, maka al-Hajjaj pun berkata, “Siapa engkau?” Anak perempuan tersebut berkata, “Aku anak perempuannya.”

Kemudian anak perempuan itu berkata, “Semoga Allah memperbaiki Amir (pemimpin).” Lalu ia tunduk dan berkata:

“Wahai Hajjaj, tidakkah engkau saksikan kedudukan anak-anaknya, mak cik-mak ciknya yang semuanya memerlukannya setiap malam? Wahai al-Hajjaj, berapa banyak yang telah engkau bunuh bila engkau membunuhnya? Lapan, sepuluh, dua, dan empat?

Wahai al-Hajjaj, engkau boleh berlaku baik terhadap kami dengan memberi nikmat, atau engkau bunuh saja kami bersamanya.”

Maka al-Hajjaj pun menangis, dan beliau berkata:

“Demi Allah, aku tidak membantu untuk menyusahkan kalian dan tidak akan menambahkan kelemahan kepada kalian.”

Kemudian al-Hajjaj pun mengutus surat kepada ‘Abdul Malik (khalifah) tentang apa yang dikatakan oleh lelaki tersebut dan apa yang dikatakan oleh anak perempuannya. Lalu ‘Abdul Malik pun mengutus surat kepada al-Hajjaj yang memerintahkannya supaya membebaskan lelaki tersebut dan menyambung hubungan baik dengannya, serta berbuat baik kepada nak perempuan tersebut dan mengawalnya setiap waktu.” (Ibn ‘Asakir, Tarikh Dimasyq, 12/145-146. Al-Bidayah wa an-Nihayah, 9/144)

Al-Hafiz Ibnu Katsir berkata:

وقيل إن الحجاج خطب يوما فقال: أيها الناس الصبر عن محارم الله أيسر من الصبر على عذاب الله. فقام إليه رجل فقال له: يحك يا حجاج ما أصفق وجهك وأقل حياءك، تفعل ما تفعل وتقول مثل هذا الكلام ؟ خبث وضل سعيك، فقال للحرس خذوه، فلما فرغ من خطبته قال له: ما الذي جرأك علي ؟ فقال: ويحك يا حجاج، أنت تجترئ على الله ولا اجترئ أنا عليك، ومن أنت حتى لا أجترئ عليك وأنت تجترئ على الله رب العالمين، فقال: خلوا سبيله، فأطلق.

“Dikatakan bahawa al-Hajjaj pada suatu hari berkhuthbah lalu berkata:

“Wahai manusia, bersabar menahan diri terhadap larangan-larangan Allah adalah lebih mudah berbanding bersabar terhadap azab Allah.”

Lalu seorang lelaki berdiri kepadanya lalu berkata, “Celaka engkau wahai Hajjaj. Betapa buruknya wajah engkau dan betapa sedikitnya rasa malu engkau. Engkau melakukan apa yang engkau lakukan (dari pelbagai jenis keburukan – pent.) lalu sekarang engkau mengatakan perkataan ini? Engkau telah rugi, dan sia-sialah usaha engkau.”

Maka al-Hajjaj mengatakan kepada pengawalnya, “Tangkap dia.” Setelah dia selesai dari khuthbahnya, dia pun berkata kepada lelaki tersebut, “Apa yang membuat engkau berani terhadapku?”

Lelaki tersebut pun menjawab, “Celaka engkau wahai Hajjaj, engkau berani terhadap Allah, lalu kenapa aku tidak berani terhadap engkau? Siapakah engkau hingga aku tidak berani terhadap engkau sementara engkau berani terhadap Allah, Rabb sekalian alam?” Al-Hajjaj pun berkata, “Bebaskan dia.” Lalu ia pun dibebaskan.” (Al-Bidayah wa an-Nihayah, 9/144-145)

Wallaahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest