Cintakan Dunia Takutkan Mati

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Dari hadis Tsauban radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

يُوشِكُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمُ الْأُمَمُ مِنْ كُلِّ أُفُقٍ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ عَلَى قَصْعَتِهَا

قَالَ: قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللهِ، أَمِنْ قِلَّةٍ بِنَا يَوْمَئِذٍ ؟

قَالَ: أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ، وَلَكِنْ تَكُونُونَ غُثَاءً كَغُثَاءِ السَّيْلِ، تُنْتَزَعُ الْمَهَابَةُ مِنْ قُلُوبِ عَدُوِّكُمْ، وَيَجْعَلُ فِي قُلُوبِكُمُ الْوَهْنَ

قَالَ: قُلْنَا: وَمَا الْوَهْنُ ؟

قَالَ: حُبُّ الْحَيَاةِ وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ

“Begitu hampir waktunya orang-orang kafir saling menyeru untuk menyerang kalian (kaum muslimin) semua dari segala arah dan penjuru sebagaimana orang-orang lapar mengerumuni makanan di atas mangkuknya.”

Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah pada ketika itu bilangan kami sedikit?”

Nabi menjawab, “Tidak, sebaliknya pada ketika itu bilangan kalian amat ramai, tetapi kalian seperti buih-buih (bercampur sampah) di air bah. Sesungguhnya Allah akan mencabut rasa takut dari hati musuh-musuh kalian terhadap kalian. Dan Allah mencampakkan dalam hati kalian Al-Wahn.”

Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apa yang dimaksudkan dengan Al-Wahn?”

Rasulullah menjawab, “Cintakan dunia dan takutkan mati.” (Musnad Ahmad, no. 22397. Dinilai hasan oleh Syu’aib Al-Arnauth. Sunan Abi Dawud, no. 3745. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Mungkinkah situasi ini telah berlaku dan sedang berlaku? Kerana pada hari ini orang-orang kafir berkumpul bersama-sama mereka menyerang umat Islam dari segala arah dan sudut penjuru kawasan. Lihatlah apa yang pernah berlaku di Bosnia, kemudian apa yang berlaku di Mesir saat ini, apa yang berlaku di Palestin, apa yang berlaku di ‘Iraq, apa yang berlaku di Afghanistan, apa yang berlaku di Libya, dan apa yang berlaku di Rohingya (Myanmar), dan banyak lagi tempat-tempat lainnya.

Kaum Syi’ah Rafidhah bersama-sama kaum Nashara menyerang dan menguasai Iraq. Ratusan jiwa umat Islam di ‘Iraq dikorbankan secara tragis setiap hari. Kaum Nashara dan Yahudi menguasai dan menjajah bumi Palestin. Puak radikal Budha di Myanmar mengganyang dan menyembelihi umat Islam di Rohingya. Persis sejarah bangsa Tatar mengganyang jutaan kaum Muslimin di Iraq dan Syam suatu masa dahulu.

Baru-baru ini tersebar pendedahan penulis buku “Inside The Company: CIA Diary” – Phil Agee melalui Youtube.com – adanya agenda dan perancangan rapi Yahudi, Barat, dan sekutu-sekutu mereka untuk menguasai negara-negara dunia tertentu termasuk negara-negara Islam dan wilayah tanah ‘Arab pada hari ini.

Antaranya melalui agenda demokrasi, hak asasi manusia, ideologi revolusi, kemudian melalui cetusan ketegangan dan kemarahan di kalangan umat Islam sesama sendiri yang mengakibatkan demonstrasi jalanan, rusuhan, dan pemberontakan. Diikuti pula peranan sekutu-sekutu mereka seperti NED, PBB, dan Nato dalam rangka memporak-perandakan dan melemahkan negara-negara kaum muslimin! Keadaan umat Islam menjadi sangat buruk dan tertindas dengan peranan dan kedatangan mereka. Ditambah pula dengan sikap alpa kaum muslimin terhadap agama mereka sendiri.

Arial Sharon, Moshe Dayan, Benjamin Netanyahu, Yeztak Rabin adalah antara individu yang dibuat-buat lupa oleh masyarakat dunia. Sedangkan setiap hari mereka ini semenjak negara haram Yahudi masih belum tertubuh membunuh ribuan jiwa umat Islam di bumi Palestin. Namun tidak ada pula serangan udara dari NATO atau Amerika kepada kelompok ini?

Iraq jatuh ke tangan Amerika dan sekutu mereka (kaum Syi’ah Rafidhah Iran) masa ini akibat serangan bertali arus tentera penceroboh melalui udara. Taliban di Afghanistan dan Libya turut tumbang dengan kaedah yang sama.

Kaum muslimin diperangi tidak hanya dari sisi fizikal, tetapi bahkan dari aspek aqidah, mental, ideologi, dan pemikiran. Menjadilah orang-orang yang jahil dari kalangan kaum muslimin terus lalai, ibarat kelkatu berterbangan tanpa arah kerana terpedaya dengan pesona neon. Jiwanya kosong, seperti tak punya harga dan nilai. Mereka tidak sedar kewujudan pelbagai rancangan jahat pihak musuh dari dalam mahupun luar. Ketika musuh datang mereka pun langsung diganyang, tak punya apa-apa kekuatan, baik dari sisi fizikal mahupun spiritual (tauhid).

Pelik atau tidak, cuba kita fikirkan bersama, walaupun Korea Utara merupakan negara paling menonjol berkonfrantasi dengan Amerika Syarikat dan sekutunya. Demikian juga beberapa negara kaum kuffar lainnya yang aktif berkonfrantasi dengan mereka. Tidak pula negara berkenaan diserang oleh Barat dan sekutunya. Malah tidak ada sebarang rekod bantuan dana kewangan kepada pembangkang di negara berkenaan bagi menyebarluaskan “Demokrasi” ke semenanjung Korea Utara.

Berbeza di negara-negara Islam, termasuk Malaysia sendiri. Agen-agen barat seperti CIA dan NED melalui beberapa siri pengakuan dan laporan telah menyalurkan bantuan kepada kumpulan-kumpulan pembangkang dan aktivis-aktivis demonstrasi jalanan tertentu! Maka, fikir-fikirkanlah agenda-agenda licik di sebalik slogan-slogan demokrasi yang wujud pada hari ini. Ia sebenarnya didalangi oleh musuh-musuh Islam dan dibantu pula oleh sebahagian umat Islam sendiri.

Dengan keadaan umat Islam yang sangat lemah, agenda-agenda dan siri konspirasi jahat tersebut kini sedang rancak berjalan! Ini sebagaimana yang kita lihat hari ini terhadap apa yang berlaku di Mesir, Libya, Syiria, Afghanistan, Iraq, Palestin, dan seumpamanya. Juga sebagaimana fenomena demonstrasi jalanan dan taksub kepartian (perpecahan) yang hangat melanda negara akhir-akhir ini. Kepada Allah-lah kita pohon pertolongan, dan kepada-Nya lah kita memohon hidayah dan taufiq.

Cintakan Dunia

Benarlah sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tersebut. Umat Islam pada hari ini dikerumuni oleh orang-orang kafir dari pelbagai arah dan penjuru. Dalam masa yang sama, hanya sedikit yang menyedari hakikat ini. Manakala sebahagian besar lainnya amat sibuk dengan dunia masing-masing. Mereka ibarat buih-buih yang berbaur dengan sampah-sarap di air bah sebagaimana digambarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Betapa hina dan rendahnya kedudukan kaum muslimin ketika mereka meninggalkan ilmu dan agama mereka lalu menggantikannya dengan pesona dunia yang memperdaya. Mereka menjadi lemah dan terpuruk! Dikerumuni dan diganyang oleh orang-orang kafir dari segala arah dan sisi, ibarat orang-orang kelaparan mengerumuni makanan.

Renungkanlah pada sisi kita sendiri, pada diri kita dan keluarga kita! Pada saat ini, adakah kita termasuk orang-orang yang saling menasihati anak-anak dengan ungkapan semisal, “Tuntutlah ilmu wahai anakku, supaya nanti senang cari kerja, senang cari harta, hidup pun senang.” !??? Atau termasuk yang menasihati anak-anak dengan nasihat, “Tuntutlah ilmu yang bermanfaat wahai anakku, perbaiki tauhid, pelihara solat, jauhi syirik, sunnah-sunnah Nabi hendaklah engkau hidupkan dan amalkan, moga-moga engkau menjadi orang yang bertaqwa lagi berbuat kebaikan…”!??

Kalau kita perhatikan baik-baik, hari ini banyak dari kalangan umat Islam sanggup berhutang berhabis harta untuk mengejar kemewahan yang sementara. Sanggup bersusah-susah di usia muda hanya untuk mengumpul harta dan mendapatkan jawatan, menjadi pencandu kepada dunia! Menggilai harta, jawatan, pangkat, gelaran, populariti, dan hiburan. Hanya untuk dunia mereka sanggup berhutang ke sana ke mari. Semenjak di alam pengajian sampai ke alam kerjaya, tidak sudah-sudah bermain dengan hutang. Hutang pengajian, hutang kenderaan, hutang rumah, hutang kad kredit, hutang riba, hutang perniagaan, hutang barang kemas, dan sebagainya, sampailah kepada hutang negara. Kerana hutang itu akhirnya menjadikannya sibuk, sedang janji-janji akhirat langsung terlupakan, terasa jauh dan berat. Hanya kerana mencandukan dunia yang akan dia tinggalkan entah esok ataupun lusa.

Sedar atau tidak, dengan mencintai dunia; akan menuntut adanya sikap pengagungan terhadapnya. Padahal ia adalah rendah di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala. Dan di antara dosa yang besar adalah mengagung-agungkan sesuatu yang telah dihinakan oleh Allah Ta’ala.

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أَلَا إِنَّ الدُّنْيَا مَلْعُونَةٌ مَلْعُونٌ مَا فِيهَا إِلَّا ذِكْرُ اللَّهِ وَمَا وَالَاهُ وَعَالِمٌ أَوْ مُتَعَلِّمٌ

“Ketahuilah, sesungguhnya dunia itu dilaknat dan dilaknat apa yang ada di dalamnya, kecuali dzikir kepada Allah dan ketaatan kepada-Nya, orang yang berilmu, atau orang yang mempelajari ilmu.” (Sunan At-Tirmidzi, no, 2322)

Allah Subhanahu wa Ta’ala membenci mereka yang menjadikan dunia sebagai tujuan, sebaliknya mencintai mereka yang mengambil dunia sekadar keperluan atau sarana meraih keredhaan-Nya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

مَنْ كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الآخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ وَمَنْ كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَا لَهُ فِي الآخِرَةِ مِنْ نَصِيبٍ

“Sesiapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambah keuntungan itu baginya dan sesiapa yang menghendaki keuntungan di dunia Kami berikan kepadanya sebahagian dari keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagian pun di akhirat.” (Surah Asy-Syuura, 42: 20)

Ayat ini antaranya menunjukkan bahawa sesiapa yang menjadikan amal perbuatannya untuk meraih hal-ehwal dunia dengan meninggalkan tuntutan Allah Subhanahu wa Ta’ala, maka dia akan mendapat apa yang dikehendakinya dari sebahagian keuntungan di dunia tetapi tidak mendapat bahagian di akhirat.

Benar-benar dunia dengan segala bentuk pesonanya telah menjadikan manusia lalai dan lupa. Akibat terlalu ghairah dengan dunia, dia pun terfitnah, terlalai akan pentingnya ilmu-ilmu yang bermanfaat berupa ilmu-ilmu yang syar’i, baik ilmu-ilmu aqidah, ibadah, dan yang lainnya. Sehingga yang dikejar hanya ilmu-ilmu dunia, dan harta-harta dunia, yang tidak pula dia manfaatkan untuk akhiratnya. Bahkan sampai ada yang terlalu sibuk bekerja, terlalai dia dari solat dan bahkan tidak punya ilmu yang benar tentang solat. Anak-anak lebih dirisaukan tentang kehidupan dunianya dari kehidupan akhiratnya.

Malah pelbagai lagi cabang kewajiban agama dilalaikan kerana sibuk mengurus hal-ehwal keduniaan, dari hari ke harinya hanya dunia yang dirunsingkan. Dan tidaklah mereka berhenti dari kesibukan tersebut kecuali ketika ajal yang amat ditakuti datang dengan tiba-tiba.

Sedangkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bersabda:

مَنْ كَانَتْ اْلآخِرَةُ هَمَّهُ جَعَلَ اللَّهُ غِنَاهُ فِي قَلْبِهِ وَجَمَعَ لَهُ شَمْلَهُ وَأَتَتْهُ الدُّنْيَا وَهِيَ رَاغِمَةٌ وَمَنْ كَانَتْ الدُّنْيَا هَمَّهُ جَعَلَ اللَّهُ فَقْرَهُ بَيْنَ عَيْنَيْهِ وَفَرَّقَ عَلَيْهِ شَمْلَهُ وَلَمْ يَأْتِهِ مِنْ الدُّنْيَا إِلاَّ مَا قُدِّرَ لَهُ

“Siapa yang akhirat menjadi harapannya, Allah akan menjadikan rasa cukup di dalam hatinya dan menyatukan urusannya, dan dunia akan datang tunduk kepadanya. Tetapi siapa yang menjadikan dunia sebagai harapannya, nescaya Allah akan menjadikan kefaqiran di antara dua matanya serta mencerai-beraikan urusannya, dan dunia tidak akan datang kepadanya melainkan sekadar apa yang telah ditetapkan baginya.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2465)

Demikian juga mereka yang menjalankan agama hanya kerana mahu mencari keuntungan dunia, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

بَشِّرْ هَذِهِ الْأُمَّةَ بِالسَّنَاءِ، وَالرِّفْعَةِ، وَالنَّصْرِ، وَالتَّمْكِينِ فِي الْأَرْضِ، فَمَنْ عَمِلَ مِنْهُمِ عَمَلَ الْآخِرَةِ لِلدُّنْيَا، لَمْ يَكُنْ لَهُ فِي الْآخِرَةِ نَصِيبٌ

“Gembirakanlah umat ini dengan kemuliaan, ketinggian, kemenangan, dan kekuasaan di muka bumi. Sesiapa di antara mereka yang beramal dengan amal akhirat bagi tujuan mendapat habuan dunia, nescaya dia tidak akan dapat sedikit pun bahagian di akhirat.” (Musnad Ahmad, no. 21220, 21222)

Orang yang mencintai dunia dan menjadikannya sebagai tujuan adalah orang yang paling tersiksa hidupnya. Di dunia dia sibuk bersaing, berusaha mencari, dan menjaganya.

Di alam barzakh dia tersiksa dengan hilangnya dunia dan penyesalan pun datang kepadanya. Akhirnya dia disiksa kerana kecintaan kepada dunia dan mengabaikan kehidupan akhirat.

Hidup di dunia ini umpama khayalan yang hanya sebentar cuma. Umpama mimpi indah yang akan hilang bila-bila masa terjaga.

Maka, janganlah kehidupan akhirat yang penuh keindahan dan kenikmatan dijual dengan harga yang sedikit. Kerana hasilnya adalah kehinaan dan penyiksaan yang dahsyat di akhirat. Malah sebahagiannya boleh dirasai semenjak di dunia lagi sebagaimana kelemahan dan kehinaan yang melanda umat Islam secara umum pada hari ini.

Dari hadis Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا تَبَايَعْتُمْ بِالْعِيْنَةِ وَأَخَذْتُمْ أَذْنَابَ الْبَقَرِ وَرَضِيْتُمْ بِالزَّرْعِ وَتَرَكْتُمُ الْجِهَادَ سَلَّطَ اللهُ عَلَيْكُمْ ذُلاَّ لاَ يَنْزِعُهُ عَنْكُمْ حَتىَّ تَرْجِعُوا إِلىَ دِيْنِكُمْ

“Sekiranya kamu melakukan perniagaan dengan ‘inah (sejenis riba), mengikuti belakang ekor lembu (sibuk bekerja), berpuas-hati dengan pertanian (sibuk dengan duniawi), serta meninggalkan jihad (tidak memahami dan memperjuangkan agama Allah), maka Allah pasti membelenggu kalian dalam kehinaan. Dia tidak akan mencabut kehinaan tersebut dari diri kalian sampailah kalian kembali kepada agama kalian (Islam yang sebenar).” (Sunan Abi Dawud, no. 3462. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) berkata:

وحيث ظهر الكفار فإنما ذاك لذنوب المسلمين التي أوجبت نقص إيمانهم، ثم إذا تابوا بتكميل إيمانهم نصرهم الله كما قال تعالى ولا تهنوا ولا تحزنوا وأنتم الأعلون إن كنتم مؤمنين وقال أولما أصابتكم مصيبة قد أصبتم مثليها قلتم أنى هذا قل هو من عند أنفسكم

“Ketika orang-orang kafir menang maka itu adalah disebabkan oleh dosa-dosa kaum muslimin yang telah melemahkan iman mereka, kemudian jika mereka bertaubat dengan menyempurnakan kembali iman mereka, maka Allah pun akan menolong mereka.

Sebagaimana firman Allah Ta’ala:

“Janganlah kalian bersikap lemah, dan jangan (pula) kalian bersedih hati, padahal kalian-lah orang-orang yang lebih tinggi (dalam keimanan dan mengharap pertolongan Allah serta pahala-Nya), JIKA KALIAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 139)

Dan juga firman-Nya:

“Dan mengapa kalian ditimpa musibah (ketika peperangan Uhud), padahal kalian telah menimpakan kekalahan dua kali ganda kepada musuh-musuh kalian (pada peperangan Badar), kalian berkata: “Dari mana datangnya (kekalahan) ini?” Katakanlah: “Itu dari (kesalahan) diri kalian sendiri.”.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 165).” (Al-Jawaab Ash-Shahih li man Baddala Din Al-Masih oleh Ibn Taimiyyah, 6/450)

Kenangkanlah kembali ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan para sahabatnya radhiyallahu ‘anhum mengalahkan empayar-empayar gergasi dunia di masanya, dari Empayar Rom dan Parsi, serta yang lainnya. Dan ketika kaum muslimin menguasai sehingga 2/3 dunia! Kira-kiranya, apa teknologi dan kelengkapan canggih yang mereka punyai berbanding musuh-musuh mereka dari kalangan kaum kuffar? Dan ketika jumlah mereka yang sedikit mampu memukul mundur seraya menundukkan kelompok kafir yang jauh lebih besar jumlahnya, dari mana datangnya kekuatan mereka?!

Kenangkanlah pula ketika jutaan kaum Muslimin diganyang oleh Tatar, apakah faktor penyebab dan puncanya, serta bagaimana pula mereka mampu bangkit dan memukul-mundur Tatar?

Bukankah Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berjanji melalui firman-Nya:

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang BERIMAN di antara kalian dan yang melaksanakan AMAL-AMAL SOLEH bahawa Dia benar-benar akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan adalah benar bahawa Dia akan memperkukuhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, setelah sebelumnya mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menTAUHIDkan-Ku dengan tidak mensyirikkan Aku. Dan sesiapa yang ingkar setelah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” (Surah An-Nuur, 24: 55)

Asy-Syaikh ‘Abdurrahman bin Nashir As-Si’di rahimahullah menjelaskan:

هذا من أوعاده الصادقة، التي شوهد تأويلها ومخبرها، فإنه وعد من قام بالإيمان والعمل الصالح من هذه الأمة، أن يستخلفهم في الأرض، يكونون هم الخلفاء فيها، المتصرفين في تدبيرها، وأنه يمكن لهم دينهم الذي ارتضى لهم، وهو دين الإسلام، الذي فاق الأديان كلها، ارتضاه لهذه الأمة، لفضلها وشرفها ونعمته عليها، بأن يتمكنوا من إقامته، وإقامة شرائعه الظاهرة والباطنة، في أنفسهم وفي غيرهم

“Ayat ini termasuk di antara janji-janji Allah yang benar (lagi pasti), yang telah disaksikan kenyataannya dan kandungan beritanya. (Allah) telah berjanji kepada orang yang menegakkan iman dan beramal soleh dari kalangan umat ini bahawa Dia akan memberikan kepada mereka kekhilafahan di muka bumi. Mereka akan menjadi para khalifah di atasnya, yang mengatur urusan-urusan mereka dan meneguhkan agama (yang diredhai) untuk mereka, iaitu agama Islam yang telah mengalahkan seluruh agama kerana keutamaan, kemuliaan, dan kenikmatan Allah atasnya. Mereka bebas dalam menegakkannya dan menegakkan syari’at sama ada yang zahir dan yang batin sama ada untuk diri mereka atau pun selain mereka.” (Tafsir As-Si’di, m/s. 573)

Semoga Allah memberi kita hidayah dan taufiq-Nya untuk berjalanan di atas agama-Nya yang haq, seraya menurunkan untuk kita pertolongan dan kekuatan-Nya.

Wallahu a’lam.

hakikat-dunia-dan-lalat

 

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest