Contoh Sikap Lapang Dada Zamihan Al-Ghari dalam Isu Gerak Jari Dalam Tasyahhud Solat

Jawaban Ilmiyah Atas Dakwaan Al-Ustaz Zamihan Al-Ghari

Team ilmusunnah.com
www.ilmusunnah.com

gerak-jari-dalam-solat-tasyahhudInsyaAllah, artikel dan video ini bakal memaparkan kepada kita salah satu contoh sikap Al-Ustaz Zamihan bin Mat Zin Al-Ghari dalam menangani isu-isu khilafiyah furu’iyyah dalam mazhab fiqh ahlus sunnah, yakni sama ada disunnahkan atau tidaknya menggerak-gerakkan jari telunjuk ketika duduk tasyahhud dalam solat.

Zamihan Al-Ghari, pada ketika rakaman video ini diambil adalah merupakan salah seorang ustaz yang menjawat jawatan di bawah kelolaan JAKIM dan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), namun yang terbaru (saat tulisan ini disusun) dikhabarkan beliau menjawat jawatan pegawai agama di bawah salah satu unit Kementerian Dalam Negeri (KDN), di unit Anti Teroris.

Melalui video berikut ini diikuti penjelasan artikel yang kami paparkan di bawah, kita akan dapat melihat hanya disebabkan isu-isu khilafiyyah kecil antara mazhab Al-Ustaz Zamihan sampai sanggup berdusta atas nama ulama, memperlekehkan solat orang lain, dan mengenakan laqablaqab (gelaran) yang tidak sepatutnya seperti laqab “tokoh wahhabi” atau “wahhabi” atas orang-orang yang tidak sealiran atau sependapat dengannya. Subhanallaah

Link rujukan nukilan, https://youtu.be/tRZuU6UHjgo

Berikut salinan teks ucapan Zamihan:

“… Ketika tahiyat, tengok tahiyat dia… dia (Wahhabi) gonjeng, gonjeng, gonjeng, gonjeng… dia gonjeng, gonjeng, gonjeng… (sambil beliau memperli menggerak-gerakkan jari telunjuk).

Ini tak power lagi tuan, lebih power lebih kaw dari kopi kapal api: Piaawww… (sambil memusing-musing menggerakkan jari telunjuknya). (Para hadirin/penonton ketawa). Minta maaf la tuan-tuan, ini betul-betul berlaku. Terutama (yang) balik haji balik Mekah ni. Dia pergi sana tiru orang sembahyang: (sambil menggerak-gerakkan jarinya) gedek, gedek, gedek… (dan seterusnya…)”

Beliau berkata lagi:

Dalam mazhab kita, imam Nawawi dalam fatwanya, muka surat 54 mengatakan:

“Barang siapa yang menggerakkan jari telunjuk dengan sengaja, maka dimakruhkan. Gerak jari telunjuk banyak kali makruh. Tapi gerak jari telunjuk dengan sengaja haram, batal solatnya. Gerak jari telunjuk dengan sengaja haram, batal solatnya….

… Kita bukak-lah kitab mazhab Syafi’i, Mazhab Hanafi, mazhab Hanbali, mazhab Maliki… Tidak ada penjelasan ulama gerak jari telunjuk secara berterusan. Kecuali ini golongan yang ijtihad daripada tokoh wahhabi, iaitu Syaikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani.

…Mereka sembahyang haa ni, at-Tahiyyatul (Zamihan sambil menggerak-gerakkan jarinya) Tuan-tuan buatlah (gerak jari), ikut mazhab Syafi’i batal sembahyang… Wajib diulangi solat berkenaan.”

—- Sekian salinan teks video.

Demikianlah perkataan Al-Ustaz Zamihan Al-Ghari yang sangat tegas dan penuh yakin, malah seakan-akan dilihat bersandarkan kepada hujjah yang ilmiyah atas nama ulama dan mazhab. Namun hakikatnya, ia tidak lebih dari sekadar tuduhan liar dan lawak jenaka yang dibuat-buat yang tidak akan dilakukan kecuali oleh orang-orang yang sangat miskin adabnya.

Dari apa yang beliau sampaikan tersebut, ada beberapa persoalan yang dapat kita timbulkan dan perlu dikaji-ulang dengan teliti serta ilmiah.

Persoalan yang mungkin dapat kita timbulkan:

1, Apa dasar amalan tersebut, benarkah wujud dalam Islam?

2, Benarkah Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menyatakan sebagaimana yang diperkatakan oleh Zamihan Al-Ghari? Sudah tentu kita ingin tahu realitinya.

Zamihan menyebutkan bahawa kononnya Al-Imam An-Nawawi berkata:

“Barang siapa yang menggerakkan jari telunjuk dengan sengaja, maka dimakruhkan. Gerak jari telunjuk banyak kali makruh. Tapi gerak jari telunjuk dengan sengaja haram, batal solatnya. Gerak jari telunjuk dengan sengaja haram, batal solatnya…

3, Benarkah tidak ada seorang ulama pun dari kalangan ulama empat mazhab yang menyebutkan persoalan ini (menggerak-gerakkan jari telunjuk ketika tasyahud)?

4, Benarkah Syaikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani rahimahullah ulama yang mula-mula menyebutkan persoalan ini, dan benarkah hanya beliau yang menimbulkan permasalahan ini? Dan benarkah beliau telah memfatwakan cara gerakkan jari telunjuk di ketika tasyahhud solat seperti apa yang ditunjukkan oleh Zamihan?

5, Benarkah menggerak-gerakkan jari telunjuk tersebut membatalkan solat?

Jawaban Kekeliruan dan Pencerahan

Pertama, Sumber amalan dan sebab perselisihan dalam kalangan ulama dalam permasalahan ini,

Di antara sebab timbulnya perselisihan pendapat dalam kalangan ulama dalam isu ini adalah berasal dari cara memahami atau mengamalkan hadis berikut,

حَدَّثَنَا عَبْدُ الصَّمَدِ، حَدَّثَنَا زَائِدَةُ، حَدَّثَنَا عَاصِمُ بْنُ كُلَيْبٍ، أَخْبَرَنِي أَبِي، أَنَّ وَائِلَ بْنَ حُجْرٍ الْحَضْرَمِيَّ، أخْبَرَهُ قَالَ:

Telah menceritakan kepada kami ‘Abdush-Shomad, telah menceritakan kepada kami Za-idah (Ibn Qudamah), telah menceritakan kepada kami Ashim bin Kulaib, telah mengkhabarkan kepadaku ayahku, bahawa Wa-il bin Hujr Al-Hadhrami radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

قُلْتُ لأَنْظُرَنَّ اِلَى رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَيْفَ يُصَلِّى، فَنَظَرْتُ اِلَيْهِ حِيْنَ، قَامَ فَكَبَّرَ، وَرَفَعَ يَدَيْهِ حَتَّى حَاذَتَا أُذُنَيْهِ، ثَمَّ وَضَعَ يَدَهُ الْيُمْنَى عَلَى ظَهْرِ كَفِّهِ الْيُسْرَى، وَالرُّسْغِ، وَالسَّاعِدِ، ثُمَّ لَمَّا اَرَادَ اَنْ يَرْكَعَ رَفَعَ يَدَيْهِ مِثْلُهَا ثُمَ رَكَعَ فَوَضَعَ يَدَيْهِ عَلَى رُكْبَتَيْهِ ثُمَّ رَفَعَ رَأْسَهُ فَرَفَعَ يَدَيْهِ مِثْلَهَا ثُمَّ سَجَدَ فَجَعَلَ كَفَّيْهِ بِحَذَاءِ اُذُنَيْهِ، ثَمَّ جَلَسَ فَافْتَرَشَ فَخِذَهُ الْيُسْرَى، وَجَعَلَ يَدَهُ الْيُسْرَى عَلىَ فَخِذِهِ وَرُكْبَتِهِ الْيُسْرَى، وَجَعَلَ حَدَّ مِرْفَقِهِ اْلاَيْمَنِ عَلَى فَخِذِهِ الْيُمْنَى، وَعَقَدَ ثِنْتَيْنِ مِنْ اَصَابِعِهِ، وَحَلَقَ حَلْقَةً، ثُمَّ رَفَعَ اُصْبُعَهُ، فَرَاَيْتُهُ يُحَرِّكُهَا يَدْعُوْ بِهَا، ثُمَّ جِئْتُ بَعْدَ ذَلِكَ فِى زَمَانٍ فِيْهِ بَرْدٌ عَلَيْهِمْ جُلَّ الثِّيَابِ تَحَرَّكَ اَيْدِيُهُمْ مِنْ تَحْتِ الثِّيَابِ مِنَ الْبَرْدِ

“Benar-benar aku akan melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bagaimana beliau bersolat, maka aku pun melihat ketika beliau berdiri, beliau pun bertakbir dan menganggkat kedua tangannya hingga mencecah (paras) kedua daun (anak) telinganya, kemudian beliau pun meletakkan tangan kanannya di atas punggung dan pergelangan tangan kirinya (yakni bersedekap), kemudian ketika beliau hendak ruku’, beliau pun mengangkat kedua tangannya seperti sebelumnya, lalu beliau ruku’ dan beliau meletakkan kedua (telapak) tangannya di atas kedua lututnya (masing-masing), kemudian beliau mengangkat kepala dan juga kedua tangannya seperti sebelumnya, lalu beliau sujud dan beliau meletakkan kedua telapak tangannya sejajar dengan kedua telinganya (ketika sujud), kemudian beliau duduk iftirasy di atas peha kirinya, dan menjadikan tangannya yang kiri di atas peha dan lututnya yang kiri pula, dan meletakkan hujung siku tangan kanannya di atas pehanya yang kanan dan beliau pun membuat lingkaran membuat lingkaran (dengan jari tengah dan ibu jarinya) dan beliau mengangkat jari telunjuknya, lalu aku pun melihat beliau menggerak-gerakkannya sambil berdoa dalam keadaan tersebut, kemudian aku datang setelah itu ketika cuaca sejuk yang tersangat, maka aku melihat para sahabat yang tangan mereka bergerak-gerak dari bawah pakaian mereka.”

Hadis ini diriwayatkan antaranya di Musnad Ahmad, no. 18879; lafaz di atas adalah dari Musnad Ahmad. Sunan Abi Dawud, no. 727. Sunan Al-Kubra oleh An-Nasaa’i, no. 965. Shahih Ibnu Hibban, no. 1860. Shahih Ibnu Khuzaimah, no. 714. Sunan Ad-Darimi, no. 1496. Al-Muntaqa oleh Ibn Al-Jarud, no. 208.Sifat_Shalat_Nabi_Edisi_Lengkap

Para ulama berselisih pendapat dalam menyikapi hadis ini, sama ada pada penilaian keabsahannya mahupun dalam memahami dan mengamalkannya.

Pertama, Sebahagian ulama mensahihkan hadis ini yang antaranya adalah Al-Imam An-Nawawi, Al-Baihaqi, Al-Hafiz Ibnu Hajar, dan Al-Albani rahimahumullah. Boleh lihat antara rinciannya dalam Ashlu Sifati Sholatin Nabiy dan Kitab Tamamul Minnah fit Ta’liq ‘ala Fiqhis Sunnah oleh Al-Albani rahimahullah. Juga dalam Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab oleh An-Nawawi.

Kedua, Sebahagian ulama mengisyaratkan kelemahan hadis ini dengan alasan syadz disebabkan kesendirian perawi bernama Za’idah bin Qudamah yang menyelisihi sekian banyak perawi-perawi lainnya (dari kalangan murid-murid ‘Ashim bin Kulaib) yang lebih tsiqah dalam meriwayatkan tambahan lafaz:

فَرَاَيْتُهُ يُحَرِّكُهَا يَدْعُوْ بِهَا

“… lalu aku pun melihat beliau menggerak-gerakkannya sambil berdoa dalam keadaan tersebut.”

Antara yang mengisyaratkan kelemahannya adalah Al-Imam Ibnu Khuzaimah rahimahullah (Wafat: 311H) di mana beliau berkata (sebaik menyebutkan hadis tersebut):

لَيْسَ فِي شَيْءٍ مِنَ الْأَخْبَارِ “يُحَرِّكُهَا” إِلَّا فِي هَذَا الْخَبَرِ زَائِدٌ ذِكْرُهُ

“Tidak disebutkan sedikit pun dalam riwayat yang lain dengan lafaz “يُحَرِّكُهَا” (menggerak-gerakkannya) kecuali pada riwayat ini yang menyebutkan adanya tambahan.”

Demikian pula Syu’aib Al-Arnauth dalam Tahqiq Musnad Ahmad menyatakan:

حديث صحيح دون قوله: “فرأيته يحركها يدعو بها” فهو شاذ انفرد به زائدة- وهو ابن قدامة- من بين أصحاب عاصم بن كليب كما سيأتي مفصلاً، ورجال الإسناد ثقات

“Ia adalah hadis sahih tanpa lafaz: “فرأيته يحركها يدعو بها”, ianya lafaz yang syadz kerana Za’idah Ibn Qudamah menyelisihi murid-murid ‘Ashim bin Kulaib lainnya sebagaimana yang datang berkaitan tatacara solat, dan para perawi isnad hadis ini semuanya terpercaya.”

Namun beliau mengisyaratkan kesahihan lafaz yang menyebutkan:

ثُمَّ جِئْتُ بَعْدَ ذَلِكَ فِي زَمَانٍ فِيهِ بَرْدٌ شَدِيدٌ فَرَأَيْتُ النَّاسَ عَلَيْهِمْ جُلُّ الثِّيَابِ تَحَرَّكُ أَيْدِيهِمْ تَحْتَ الثِّيَابِ

“… kemudian aku datang setelah itu ketika cuaca sejuk yang tersangat, maka aku melihat para sahabat yang tangan mereka bergerak-gerak dari bawah pakaian mereka.” (lihat tahqiq Sunan Abi Dawud)

Lihat juga rincian dari Syaikh Musthofa Al-‘Adawi berkaitan hadis ini dalam Syarh ‘Ilal Al-Hadits, m/s. 168-170 – Maktabah Makkah, Cet. 3.

Ketiga, Sebahagian ulama yang mensahihkannya pula ada yang mentakwilkannya kepada makna yang lain dalam rangka kompromi dengan sebahagian hadis-hadis yang lain, sebagaimana disebutkan antaranya oleh Al-Baihaqi dan An-Nawawi rahimahumallah. (lihat: Sunan Al-Kubra oleh Al-Baihaqi, no. 2787. Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab oleh An-Nawawi, 3/454)

Wallaahu a’lam.

Kedua, Benarkah Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menyatakan sebagaimana yang diperkatakan oleh Zamihan Al-Ghari?

Berikut kami nukil sendiri dari Fatawa Al-Imam Al-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) sebagaimana yang telah diisyaratkan oleh Al-Ustaz Zamihan:

Pada permasalahan no. 18, di bab: Al-Isyarah bil Musibbihati fit Tasyahhudi wa Waqtiha:

مسألة: هل تستحب الإِشارةُ بالأصبع المسبِّحة من اليد اليمنى في التشهد؟ ومتى يشير بها؟ وهل يحركها أم تبطل الصلاة بتكرار تحريكها؟ وهل يشير معها بمسبحة اليسرى؟ ولو قطعت مسبحة اليمين هل يشير بمسبِّحة اليسرى أو لا؟

“Adakah disunnahkan berisyarat dengan jari telunjuk pada tangan kanan pada waktu tasyahhud? Bilakah waktu mengisyaratkannya? Adakah menggerak-gerakkanya secara berterusan (yakni berulang-ulang) itu membatalkan solat? Adakah jari telunjuk yang kiri juga turut disyaratkan secara bersama-sama?…” (sehingga seterusnya…)

Maka jawab Al-Imam Al-Nawawi rahimahullah:

الجواب: تستحب الِإشارةُ برفع المسبحة من اليد اليمنى عند الهمزة من قوله: إِلا الله مرةً واحدة (1) ولا يحركها، فلو كرر تحريكَها كره ولم تبطل صلاته على الصحيح. وقيل: تبطل.

“Disunnahkan berisyarat dengan mengangkat jari telunjuk dari tangan kanan ketika melafazkan huruf “hamzah” pada kalimah “إِلا الله” sekali sahaja tanpa menggerak-gerakkanya. Seandainya seseorang itu menggerak-gerakkannya, maka hukumnya adalah makruh, tetapi tidak membatalkan solatnya berdasarkan pendapat yang sahih. Dan dikatakan juga (menurut pendapat yang lemah), ianya membatalkan solat….” (Fatawa Al-Imam An-Nawawi, no. 18 – Tahqiq Muhammad Al-Hajjaar)

Maka, demikianlah pendapat Al-Imam An-Nawawi rahimahullah sebagaimana tercatat dalam Kitab Fatawanya. Sekaligus menafikan dakwaan Al-Ustaz Zamihan Al-Ghari.

Kemudian, mari kita lihat pula pendapat Al-Imam An-Nawawi rahimahullah dalam kitab beliau yang lain, yakni Kitab Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab:

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:

وهل يحركها عند الرفع بالإشارة ؟ فيه أوجه ( الصحيح ) الذي قطع به الجمهور أنه لا يحركها، فلو حركها كان مكروها ولا تبطل صلاته، لأنه عمل قليل

والثاني: يحرم تحريكها، فإن حركها بطلت صلاته، حكاه عن أبي علي بن أبي هريرة وهو شاذ ضعيف

والثالث: يستحب تحريكها، حكاه الشيخ أبو حامد والبندنيجي والقاضي أبو الطيب وآخرون وقد يحتج لهذا بحديث وائل بن حجر رضى الله عنه أنه وصف صلاة رسول الله صلى الله عليه وسلم وذكر وضع اليدين في التشهد قال ” ثم رفع أصبعه فرأيته يحركها يدعو بها ” رواه البيهقى باسناد صحيح

“Dan adakah jari telunjuk digerak-gerakkan ketika mengangkatnya tatkala berisyarat (ketika tasyahhud)?

Pada perkara ini terdapat beberapa pendapat (dalam kalangan ulama mazhab Asy-Syafi’i), dan pendapat yang sahih (yakni yang benar menurut beliau – pen.) adalah sebagaimana yang disebutkan oleh jumhur (majoriti ulama) bahawasanya tidak perlu digerak-gerakkan, kalau seandainya digerak-gerakkan maka makruh hukumnya tetapi tidak membatalkan solatnya, kerana ia hanya sekadar gerakan yang sedikit (atau ringan).

Pendapat yang kedua: haram menggerak-gerakkanya, dan solatnya batal jika jari telunjuk digerak-gerakkan. Pendapat ini diriwayatkan dari Abi ‘Ali bin Abi Hurairah, tetapi ia adalah pendapat syaadz (ganjil) lagi lemah.

Dan pendapat yang ketiga (mengatakan): disunnahkan (mustahab) untuk menggerak-gerakkan jari telunjuk. Ini adalah pendapat Asy-Syaikh Abu Hamid (Al-Ghozzali), Al-Bandaniji, Al-Qadhi Abu Thayyib, dan yang selainnya (dari kalangan ulama mazhab Asy-Syafi’i).

Mereka berhujjah berdasarkan hadis Wa-il bin Hujr radhiyallahu ‘anhu tentang sifat solat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, bahawa beliau menyebutkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam meletakkan (menghamparkan) kedua tangannya pada tasyahhud, beliau berkata:

“Kemudian beliau mengangkat jarinnya, lalu aku pun melihat beliau menggerak-gerakkannya sambil berdoa dalam keadaan tersebut…”, diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dengan sanad yang sahih.” (Lihat: Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 3/454)

Kemudian Al-Imam An-Nawawi menyebutkan perkataan Al-Imam Al-Baihaqi rahimahullah:

قال البيهقى يحتمل أن يكون المراد بالتحريك الاشارة بها لا تكرير تحريكها فيكون موافقا لرواية ابن الزبير وذكر باسناده الصحيح عن ابن الزبير رضى الله عنهما أن النبي صلي الله عليه وسلم ” كان يشير بأصبعه إذا دعا لا يحركها ” رواه أبو داود باسناد صحيح واما الحديث المروى عن ابن عمر عن النبي صلي الله عليه وسلم ” تحريك الاصبع في الصلاة مذعرة للشيطان ” فليس بصحيح قال البيهقى تفرد به الواقدي وهو ضعيف قال العلماء الحكمة في وضع اليدين على الفخذين في التشهد أن يمنعهما من العبث

“Al-Baihaqi berkata: Mungkin yang dimaksudkan dengan menggerak-gerakkan (dalam hadis Wa-il bin Hujr tersebut) adalah sekadar berisyarat dengannya dan bukannya berulang-ulang mengerak-gerakkannya, agar ia selari (atau menepati) dengan riwayat Ibn Az-Zubair, dan beliau (Al-Baihaqi) menyebutkan dengan isnadnya yang sahih dari Ibn Az-Zubair radhiyallahu ‘anhuma bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berisyarat dengan jarinya ketika berdoa tanpa menggerak-gerakkannya; diriwayatkan oleh Abu Dawud dengan isnad yang Sahih.

Adapun hadis yang diriwayatkan dari Ibn ‘Umar dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Menggerak-gerakkan jari dalam solat itu menakutkan Syaitan.”

Ianya tidaklah sahih. Al-Baihaqi berkata, ia diriwayatkan secara bersendirian oleh Al-Waqidi dan beliau seorang perawi yang dha’if (lemah). Para ulama berkata, hikmah pada meletakkan kedua tangan di atas kedua peha ketika tasyahhud adalah untuk menghalangnya dari perbuatan sia-sia.” (Lihat: Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 3/454-455)

Kemudian, di tempat yang lain lagi, di Kitab Raudhat Ath-Thalibin wa ‘Umdat Al-Muftiin, Al-Imam An-Nawawi rahimahullah menyebutkan:

وهل يحركها عند الرفع وجهان؟

الأصح لا يحركها. ولنا وجه شاذ أنه يشير بها في جميع التشهد. قلت وإذا قلنا بالأصح إنه لا يحركها فحركها لم تبطل صلاته على الصحيح

“Adakah (jari telunjuk) digerak-gerakkan ketika berisyarat (pada tasyahhud), maka padanya terdapat dua pendapat.

Pendapat yang ashah (yang benar menurut Al-Imam An-Nawawi – pen.), adalah tidak digerak-gerakkan.

Yang kedua, iaitu pendapat yang syaadz (ganjil), telunjuk diisyaratkan (terus digerak-gerakkan) sepanjang bertasyahud.

Aku katakan, apabila kita berpendapat dengan pendapat yang ashah, maka tidak boleh digerak-gerakkan. Namun apabila digerak-gerakkan, maka tidaklah batal solatnya, berdasarkan pendapat yang sahih.” (Raudhatuth Thalibin wa ‘Umdatil Muftiin, 1/262)

Demikianlah pendapat Al-Imam An-Nawawi rahimahullah yang sebenar. Sekaligus sangat jelas bertolak-belakang dengan apa yang disebutkan oleh Al-Ustaz Zamihan Al-Ghari melalui ucapannya sebagaimana dalam rakaman video tersebut.

Secara ringkas, perkataan Al-Imam An-Nawawi dapat difahami sebagai berikut:

1, Terdapat tiga pendapat yang berbeza dalam masalah menggerak-gerakkan jari telunjuk ketika bertasyahud dalam solat bagi mazhab Asy-Syafi’i.

2, Al-Imam an-Nawawi berpegang dengan pendapat yang pertama, iaitu beliau menyatakan:

“tidak perlu digerak-gerakkan dan makruh hukumnya jika digerak-gerakkan, namun tidaklah sampai membatalkan solat jika digerak-gerakkan.”

Sedikit pun Al-Imam An-Nawawi tidak mengharamkannya (sebagaimana dakwaan Zamihan atas nama Al-Imam An-Nawawi)! Bahkan Al-Imam An-Nawawi menolak pendapat yang menyatakan hal tersebut haram serta batal jika menggerak-gerakkan jari. Imam An-Nawawi menyatakan pendapat yang mengharamkan tersebut sebagai syaazd (ganjil) dan lemah! Apatah lagi wajib mengulangi solat disebabkan batal kerana menggerak-gerakkan jari, langsung tidak dikemukakan oleh Al-Imam An-Nawawi. Wallaahu a’lam.

3, Imam An-Nawawi dengan jelas menyatakan bahawa dalam kalangan ulama Syafi’iyyah sendiri terbahagi kepada tiga (3) kelompok pendapat dalam permasalahan ini, sekaligus menolak dakwaan Zamihan bahawa persoalan ini sama sekali tidak pernah dibahaskan dalam mana-mana kitab atau ulama mazhab. Dan di antara ulama yang berpendapat disunnahkan menggerak-gerakkan jari telunjuk ketika tasyahhud adalah Asy-Syaikh Abu Hamid (Al-Ghozzali), Al-Bandaniji, dan Al-Qadhi Abu Thayyib sebagaimana disebutkan oleh Al-Imam An-Nawawi. Dan masih ada yang selainnya menurut Al-Imam An-Nawawi.

4, Dan Al-Imam An-Nawawi telah menyerlahkan keilmuanya bahawa beliau berlapang dada dalam soal perbezaan pendapat dalam hal ini. Dan sama sekali tidak mencaci atau mentohmah di antara satu sama lain jika mahu dibandingkan dengan Zamihan Al-Ghari yang jelas mempamirkan perlakuan yang sangat tida beradab; penuh kesombongan, memperlekeh pendapat dan amalan orang lain, bersikap bongkak, dan berlagak, bahkan dilihat sangat jahil dalam mendepani isu-isu khilafiyyah dalam kalangan ulama atau terhadap aqwal (pendapat-pendapat) dalam kalangan ulama Syafi’iyyah itu sendiri.

Dengan ini, persoalan pertama telah terjawab yang sekaligus membuktikan bahawa Zamihan Al-Ghari sebenarnya telah berdusta atas nama Al-Imam An-Nawawi rahimahullah! Semoga Zamihan bersedia menarik kembali keterlanjurannya dalam hal ini atau mengemukakan rujukan dari sumber yang lain yang dapat menguatkan kenyataannya yang asal atau menyangkal nukilan-nukilan yang kami paparkan secara ilmiah.

Ketiga, Benarkah tidak ada seorang ulama pun dari kalangan ulama empat mazhab yang menyebutkan persoalan ini (menggerak-gerakkan jari telunjuk ketika tasyahud)?

Persoalan ini telah pun terjawab dengan penjelasan yang dikemukakan melalui pencerahan kedua di atas. Di mana Al-Imam An-Nawawi telah mengemukakan tiga kelompok pendapat dari kalangan ulama bermazhab Asy-Syafi’i.

Serta-merta, dakwaan Zamihan Al-Ghari yang berikut:

“… Kita bukak-lah kitab mazhab Syafi’i, Mazhab Hanafi, mazhab Hanbali, mazhab Maliki… Tidak ada penjelasan ulama gerak jari telunjuk secara berterusan.”

Telah pun terjawab sekaligus tertolak! Alhamdulillah.

Berikut kami tambahkan sebahagian padangan dari kalangan ulama mazhab lainnya.

Di kitab Kifayatul Akhyaar (salah satu kitab feqah asas mazhab Asy-Syafi’i), disebutkan:

وَلَا يحركها لعدم وُرُوده وَقيل يسْتَحبّ تحريكها وَفِيهِمَا حديثان صَحِيحَانِ قَالَه الْبَيْهَقِيّ وَفِي وَجه أَنه حرَام مُبْطل للصَّلَاة حَكَاهُ النَّوَوِيّ فِي شرح الْمُهَذّب وَالله أعلم

“Dan tidak perlu menggerak-gerakkan jari telunjuk (ketika duduk tasyahud) kerana tidak ada hadis yang warid tentangnya. Namun ada yang berpendapat (dalam mazhab Asy-Syafi’i) disunnahkan supaya menggerak-gerakkannya, dan padanya terdapat dua hadis yang sahih, disebutkan oleh Al-Baihaqi. Dan terdapat pula pendapat yang lain yang mengatakan ianya haram lagi membatalkan solat, dihikayatkan oleh An-Nawawi dalam Syarh Al-Muhadzdzab. Wallaahu a’lam.” (Kifayatu Al-Akhyaar fi Halli Ghaayatil Ikhtishaar, 1/116)

Dari sebahagian kitab-kitab ulama Malikiyah disebutkan bahawa:

واختلف في تحريكها فقيل يعتقد بالإشارة بها أن الله إله واحد ويتأول من يحركها أنها مقمعة للشيطان وأحسب تأويل ذلك أن يذكر بذلك من أمر الصلاة ما يمنعه إن شاء الله عن السهو فيها والشغل عنها

“.. dan telah diperselisihkan pada masalah menggerak-gerakkan jari telunjuk tersebut, sebahagiannya mengatakan, “Untuk menguatkan (menta’qid) dengan isyarat bahawasanya Allah adalah satu-satunya ilah (Yang berhak diibadahi)”, dan sebahagian lagi mengatakan bahawa maksud dari menggerak-gerakkannya adalah untuk menghalau dan menghinakan Syaitan, namun aku meyakini bahawa faedahnya adalah agar seseorang yang sedang solat itu sentiasa ingat akan solatnya dan insyaAllah akan dapat mencegahnya dari kealpaan dan kesibukan lainnya.”

Lihat: Al-Fawakih Ad-Dawani ‘ala Risalah Ibn Abi Zaid Al-Qairawani oleh Ahmad bin Ghunaiman rahimahullah (Wafat: 1126H), 1/223-224.

Kemudian, untuk lebih terperinci berkaitan pandangan antara mazhab-mazhab fiqh bagi permasalahan ini, sudah ada buku yang menelitinya secara ilmiyah dengan judul At-Tarjih fi Masaa-il Ath-Thaharah wa Ash-Shalah (lihat: m/s. 281-294 – Cet. Daar Al-Hijrah, th. 1423H) oleh Syaikh Dr. Muhammad bin Salim Bazmul hafidzahullah.

Dan lebih menariknya, pandangan menggerak-gerakkan jari ini turut diutarakan oleh salah seorang tokoh ilmuan Nusantara, yakni Muhammad Idris Al-Marbawi rahimahullah, beliau berkata di kitabnya yang terkenal, Bahrul Madzi (Syarah Mukhtashar At-Tirmidzi):

“Ketahuilah kiranya, ya saudaraku! Bermula menggerak-gerakkan jari telunjuk di dalam tahiyat itu sunat jua pada mazhab Syafi’i. Bermula dalil atas menunjukkan tuntut gerak itu ialah hadis yang dikeluarkan oleh Abu ‘Isa At-Tirmidzi…” (lihat: Bahru Al-Madzi oleh Muhammad Idris Al-Marbawi, jil. 2, m/s. 365 – Al-Hidayah Publisher)

Beliau juga turut menyandarkan pendapatnya kepada perkataan Al-Imam An-Nawawi dan At-Tirmidzi.

Demikianlah sebahagian dari nukilan pandangan dari mazhab yang lain yang dapat kami paparkan, sekaligus menjawab dan menafikan kelancangan Zamihan Al-Ghari yang cuba berdusta atas nama kitab ulama dan mazhab.

Keempat, Benarkah Syaikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani rahimahullah ulama yang mula-mula menyebutkan persoalan ini, dan benarkah hanya beliau yang menimbulkan permasalahan ini? Dan benarkah beliau telah memfatwakan cara gerakkan jari telunjuk di ketika tasyahhud solat seperti apa yang ditunjukkan oleh Zamihan?

Jawabnnya adalah tidak benar. Kerana persoalan isyarat menggerak-gerakkan jari telunjuk ketika bertasyahhud dalam solat ini telah pun dibahaskan sejak lama dahulu. Ini telah dibuktikan dengan pencerahan kedua dan ketiga di atas.

Kemudian permasalahan ini turut pernah disebutkan oleh Al-Imam Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H) yang bermazhab Hanbali sebagaimana berikut:

فإذا جلس للتشهد، وضع يده اليسرى على فخذه اليسرى، ووضع يده اليمنى على فخذه اليمنى، وأشار بأصبعه السبابة، وكان لا ينصِبُها نصباً، ولا يُنيمها،بل يَحنيها شيئاً، ويحركها شيئاً، كما تقدم في حديث وائل بن حُجر، وكان يقبِض أصبعين وهما الخِنصر والبِنصر، ويُحلِّق حلقة وهي الوسطى مع الإِبهام ويرفع السبابة يدعو بها، ويرمي ببصره إليها، ويبسُط الكف اليسرى على الفخذ اليسرى، ويتحامل عليها.

“Maka apabila beliau (Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam) duduk untuk tasyahhud, beliau meletakkan tangan kirinya di atas peha kirinya dan meletakkan tangan kanannya di atas peha kanannya, kemudian beliau berisyarat dengan jari telunjuknya (yang kanan), dengan tidak terlalu menegakkannya atau meluruskannya, sebaliknya dengan sedikit membengkokkannya (atau menundukkannya), dan beliau menggerak-gerakkanya (dengan gerakan yang sedikit, atau sekadar menggetarkannya), sebagaimana yang telah dikemukakan dalam hadis Wa-il bin Hujr, dan beliau menggenggam dua jari yakni jari kelingking dan jari manisnya, manakala jari tengah dan ibu jari dicantumkan membentuk lingkaran, dan beliau mengangkat (yakni berisyarat dengan) jari telunjuknya serta berdoa dalam keadaan tersebut, sambil mengarahkan pandangannya kepada telunjuk kanannya. Manakala tangan yang kiri dihamparkan di atas peha kirinya dan dibiarkan di situ.” (Zaadul Ma’ad oleh Ibnul Qayyim, 1/242)

Dan lebih awal lagi dari pendapat-pendapat ini semua, ada atsar dari sahabat Nabi sebagaimana diriwayatkan oleh Al-Imam ‘Abdurrazzaq Ash-Shan’ani rahimahullah dalam Mushannafnya:

عَنِ الثَّوْرِيِّ، عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ، عَنِ التَّمِيمِيِّ، قَالَ: سُئِلَ ابْنُ عَبَّاسٍ، عَنْ تَحْرِيكِ الرَّجُلِ إِصْبَعَهُ فِي الصَّلاةِ، فَقَالَ: ذَلِكَ الإِخْلاصُ

Dari Ats-Tsauri, dari Abu Ishaq, dari At-Tamimi, beliau berkata:

Ibnu ‘Abbas pernah ditanya tentang seseorang yang menggerak-gerakkan jarinya ketika solat, lalu beliau pun menjawab:

“Itu adalah keikhlasan.” (Mushannaf ‘Abdurrazzaq, no. 3244)

Lihat juga Mushannaf Ibn Abi Syaibah, no. 8515. Musnad Ahmad, no. 3152.

Demikianlah!

Seterusnya, berikut kami nukilkan pandangan Syaikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani rahimahullah yang sebenar dalam persoalan kadar gerakkan jari telunjuk bagi permasalahan ini.Sifat_Shalat_Nabi_Seakan_akan_Anda_Menyaksikannya_2

Pertamanya, kami nukilkan dari Syaikh Dr. Muhammad bin ‘Umar bin Salim Bazmul hafidzahullah yang telah bertanya langsung kepada Syaikh Al-Albani rahimahullah.

Beliau menjelaskan dalam kitabnya sebagaimana berikut:

“Hadis ini (yakni hadis Wa-il bin Hujr) menunjukkan disyari’atkan menggerak-gerakkan jari ketika tasyahhud. Lalu adakah maksud menggerak-gerakkan di sini adalah mengangkat jari ke atas dan ke bawah atau dengan gerakkan melingkar ke kiri dan ke kanan, ataukah sekadar gerakkan yang ringan tidak seperti disebutkan?

Zahir teks hadis adalah memberi isyarat dengan gerakkan ringan tidak sehingga mengangkat jari ke atas dan menurunkannya ke bawah. Kerana jika yang dimaksudkan adalah mengangkat dan menurunkan jari, tentunya telah dijelaskan oleh beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Demikian juga jika yang dimaksudkan dengan menggerakkan adalah menggerakkan ke kiri dan ke kanan sudah tentu beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam akan menjelaskannya.

Pada dasar maksud hadis, menggerakkannya adalah dengan tetap menghalakannya ke arah kiblat dengan gerakkan yang sedikit (yakni sekadar menggetarkannya).”

Kemudiannya, Syaikh Muhammad bin ‘Umar Bazmul menyatakan pada nota kaki tulisannya sebagaimana berikut:

“Makna hadis seperti ini aku perolehi daripada Al-‘Allamah Al-Muhaddis Al-Faqih Muhammad Nashiruddin Al-Albani [semoga Allah mengampuni dan merahmati beliau] ketika aku bertemu dengan beliau di kota Makkah pada hari Rabu bertarikh 6 Jumadil Ula 1410H. Beliau menjelaskan kepadaku makna hadis:

“… beliau menggerak-gerakkannya sambil berdoa dalam keadaan tersebut.”

Aku mencatatkan tarikh dan harinya supaya aku tidak dikatakan berdusta atas nama Syaikh dengan apa yang tidak beliau katakan. Apa yang aku fahami sebelumnya dari pernyataan beliau melalui kaset-kaset (rakaman) bahawa maksud dari memberi isyarat dengan menggerak-gerakkan jari adalah gerakkan ke atas dan ke bawah, atau ke kiri dan ke kanan. Maka, aku pun bertanya secara langsung kepada beliau, maka beliau memberikan penjelasan apa yang dimaksudkan hadis tersebut. Dan ternyata apa yang aku fahami dari kaset-kaset beliau tidak seperti yang beliau maksudkan. Bahkan beliau mengatakan bahawa apa yang aku fahami tersebut bertentangan dengan hadis atau makna hadis tersebut. Semoga Allah mengampuni beliau dan mencurahkan rahmat kepada beliau serta memberikan beliau ganjaran yang sebaik-baiknya.”

Lihat: At-Tarjih fi Masaa-il Ath-Thaharah wa Ash-Shalah (m/s. 282 – Cet. Daar Al-Hijrah, th. 1423H).

Selain penjelasan daripada Syaikh Dr. Muhammad bin ‘Umar ini, Syaikh Abu Ishaq Al-Huwaini juga telah turut memberikan penjelasan yang sama dari perkataan Syaikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani rahimahullah.

Beliau berkata:

Tahriik Al-Ishba’ (menggerak-gerakkan jari telunjuk) sebagaimana yang ditunjukkan oleh guru kami Al-Albani rahimahullah, aku pernah solat bersama (di sisi) beliau pada suatu hari, lalu aku menggerak-gerakkan jari (telunjukku) seperti ini (lihat video). Aku melakukannya seperti ini (yakni menaik-turunkan jari telunjuk berulang-ulang). (Sila lihat video – pen.). Lalu, setelah kami selesai solat, beliau (Syaikh Al-Albani) berkata kepadaku:

هل قرأت شيئا يوفق هذه الحركة؟

“Adakah engkau pernah membaca sesuatu (dalil) yang menyokong gerakkan seperti ini?”

Subhanallah. Aku benar-benar terkesan dengan adab (etika) Syaikh rahimahullah terhadapku. Beliau tidak dengan serta-merta mengkritik diriku atau perkataanku, (dengan mengatakan) “apa yang engkau lakukan?!” … Tidak! Tetapi beliau bertanya kepadaku, sama ada aku memiliki sandaran (dalil) bagi melakukan gerakkan seperti ini (iaitu naik dan turun).

Aku pun mengatakan, “Tidak, hanya cuma aku pernah membacanya di dalam buku-mu, Shifatu Sholati An-Nabiy, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menggerak-gerakkan (jari telunjuknya), maka aku pun turut menggerak-gerakkan (jari telunjukku).”

Beliau (Syaikh Al-Albani) mengatakan:

“Tidak, hal ini (gerakan yang engkau lakukan) namanya bukanlah tahrik (menggerak-gerakkan jari telunjuk) tetapi namanya adalah Al-Khafdh war Raf’u (menurunkan dan mengangkat jari telunjuk). Namanya apa? Namanya adalah Al-Khafdh war Raf’u.”

Lalu aku pun langsung bertanya, “Bagaimana cara yang aku perlu menggerak-gerakkannya wahai guru kami?”

Beliau menjawab “Beginilah caranya…”, iaitu beliau meletakkan jarinya di atas lutut dan mengarahkan jari telunjuknya ke arah kiblat, seperti ini (Sila lihat video – pen.) lalu beliau menggerak-gerakkan jari (telunjuknya) secara kuat di tempatnya (harakatan syadidatan fii makaanihi). Bukan menggerak-gerakkannya naik dan turun sehingga berpaling dari arah kiblat. Namun, (lakukanlah) seperti ini (lihat video – pen.), jari telunjuk menghala ke kiblat lalu gerakkannya secara kuat seperti ini (lihat video – pen.).

Beginilah sifat tahrik (menggerak-gerakkan) jari telunjuk sebagaimana yang pernah aku lihat langsung daripada guru kami, Al-Albani rahmatullahu ‘alaihi.” (Sumber: https://youtu.be/ze8j_wX7Guw)

Demikianlah penjelasan daripada mereka yang pernah bertemu dan berbahas langsung dengan Syaikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani dalam permasalahan ini. Sekaligus menafikan tohmahan dan caci-maki Zamihan Al-Ghari yang menyindir praktikal tahrik (gerakkan jari telunjuk) tersebut dengan perkataan dan perbuatan yang tidak beradab sama-sekali, bahkan penuh dengan kedustaan.

Hal itu hanya menjelaskan bahawa betapa miskinnya beliau dalam adab dan etika berselisih pendapat pada perkara-perkara khilafiyyah atau furu’iyyah.

Kelima, Benarkah menggerak-gerakkan jari telunjuk tersebut membatalkan solat?

Dengan keterangan dari pencerahan pertama, kedua ketiga dan keempat di atas, telah jelaslah bahawa ia sama sekali tidak membatalkan solat. Dan ia termasuk ke dalam salah satu perbuatan (atau amalan/praktikal) solat itu sendiri yakni bagi mereka yang berpegang sebagai salah satu bentuk sunnah dalam rangka mengikuti dalil hadis dari Wa-il bin Hujr di atas, yakni sebagaimana gerakkan-gerakkan solat yang lainnya.

Kemudian sebagai tambahan pengetahuan, sebenarnya terdapat banyak hadis-hadis yang telah menyebutkan bolehnya melakukan gerakkan-gerakkan tertentu ketika dalam solat dengan keperluan dan tujuan tertentu yang memang benar-benar diperlukan, dan ianya tidak membatalkan solat. Ini adalah seperti:

1, Mendukung anak kecil ketika solat. (lihat artikel kami berjudul; Membawa Anak Kecil ke Masjid dan Menggendongnya Sambil Solat)

2, Membukakan pintu, sebagaimana Nabi membukakan pintu untuk ‘Aisyah sedangkan beliau sedang bersolat. (Sebagaimana hadis dari ‘Aisyah riwayat An-Nasaa’i, no. 1206)

3, Menghalang orang yang cuba melintas di hadapan kita ketika sedang solat dengan menggunakan tangan. (lihat artikel kami berjudul; Bagaimana Ketika Ada Orang Hendak Melintas di Hadapan Kita Ketika Solat).

4, Membunuh haiwan yang berbahaya seperi kala jengking dan ular yang menghampiri kita ketika solat. (Sebagaimana hadis dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha riwayat Al-Baihaqi dalam Sunan Al-Kubra, no. 3440)

5, Menanggalkan kasut di ketika solat kerana terdapat najis. (Sebagaimana hadis dari Abu Sa’id Al-Khudri radhiyallahu ‘anhu di Sunan Abi Dawud, no. 650)

6, Dibolehkan bagi kaum lelaki bertasbih (Subhanallah) dan wanita menepuk tangan apabila berlaku sesuatu dalam solat berjama’ah. (Sebagaimana hadis dari Sahl bin Sa’d As-Sa’idiy radhiyallahu ‘anhu di riwayat Al-Bukhari, no. 7190. Muslim, no. 421. Sunan Abi Dawud, no. 940)

7, Membalas ucapan salam dengan isyarat tangan ketika solat. (Sebagaimana hadis dari Shuhaib di riwayat Abu Dawud, no. 925. At-Tirmidzi, no. 367)

8, Mengubah kedudukan makmum yang tersalah posisi sama ada ketika masuk saf atau ketika tersalah arah kiblat dalam solat. (Sebagaimana hadis dari Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma riwayat Muslim, no. 763)

Demikianlah yang sempat kami nukilkan dan kongsikan.

Dengan ini, alhamdulillah telah terjawablah sudah beberapa persoalan dan kekeliruan yang ditimbulkan oleh Al-Ustaz Zamihan Al-Ghari. Jelaslah bahawa apa yang diperkataan oleh Zamihan Al-Ghari adalah dusta dan pembohongan atas nama ulama.

Semoga pencerahan ini diberikan kebaikan dan manfaat oleh Allah. Kepada Allah jualah kita memohon pertolongan, petunjuk serta taufiq-Nya.

Wallaahu a’lam.

sifat_shalat_Nabi_set_lengkap_3_jilid

 

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest