Doa Mustajab Buat Pemerintah

www.ilmusunnah.com

Kalau kita lihat dari hari ke sehari, fitnah politik yang melanda agak menyesakkan. Pelbagai isu berlaku dan masing-masing bertindak mahu menjadi juara pidato! Tidak kurang di antara mereka yang saling bertindak membelasah sesiapa sahaja yang tidak sealiran.

Namun, apa yang mahu penulis jabarkan dalam tulisan ini bukanlah menambahkan lagi kekeruhan dan kekusutan dalam sebuah pertembungan yang telah sedia berlangsung. Tetapi, penulis berniat mengajak untuk muhasabah diri dan kembali merenung prinsip-prinsip yang ditinggalkan oleh para ulama generasi awal dalam menghadapi pelbagai bentuk fitnah politik dan kepimpinan sesebuah negara.

Kemunculan pelbagai fitnah politik, kepelbagaian sikap pemimpin, serta sikap-sikap kepembangkangan dalam isu-isu kepimpinan bukanlah suatu yang asing dalam sejarah umat Islam. Bahkan ia telah dikhabarkan sendiri oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Persoalannya, apakah saranan dan tindakan yang diperintahkan oleh agama kepada kita semua dalam menghadapi mehnah politik tersebut? Jadi, itulah yang mahu kita lihat dan renung-renungkan.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّكُمْ سَتَلْقَوْنَ بَعْدِيْ أَثَرَةً فَاصْبِرُوْا حَتَّى تَلْقَوْنِيْ عَلَى الْحَوْضِ

“Bahawasanya kamu nanti akan menemui atsarah (pemegang amanah (pemimpin) yang mementingkan diri). Maka bersabarlah sehingga kamu menemuiku di haudh.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 4330. Muslim, no. 1061, 1845)

Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menjelaskan, “Hadis ini mengandungi anjuran untuk mendengar dan taat kepada pemerintah, walaupun ia merupakan seorang yang zalim dan mementingkan dirinya. Maka berikanlah haknya (sebagai pemimpin) iaitu berbentuk ketaatan, tidak keluar dari mentaatinya, dan tidak menjatuhkannya. Tetapi (perbuatan yang perlu dilakukan oleh seseorang muslim adalah) dengan bersungguh-sungguh lebih mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala supaya Allah menghilangkan gangguan (atau siksaan) darinya, menolak kejahatannya, dan supaya Allah memperbaikinya (kembali taat kepada Allah dengan meninggalkan kezalimannya).” (Syarah Shahih Muslim, 12/232)mendoakan penguasa

Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) menyatakan, “Aku telah menyebutkan di perbahasan yang lain bahawa punca kepada masalah yang berlaku  kepada penguasa, kemudian para menterinya, hakim-hakimnya, dan para panglimanya bukan hanya perlu dilihat dari kekurangan diri mereka sahaja, akan tetapi kerana kekurangan para pemimpin dan rakyat sekaligus, kerana sebagaimana keadaan kamu, maka begitulah akan dijadikan pemimpin untuk kamu.

Allah Ta’ala berfirman:

وَكَذَلِكَ نُوَلِّي بَعْضَ الظَّالِمِينَ بَعْضًا بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

“Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi teman (pemimpin) bagi sebahagian yang lain.” (Surah al-An’am, 6: 129)

Telah diketahui dan ditetapkan secara masyhur pada selain tempat ini bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan supaya mentaati para pemimpin selagi mana bukan dalam urusan maksiat, (bertindak) menasihati mereka, bersabar di dalam menerima keputusan dan ketetapan mereka, berperang bersama-sama mereka, solat di belakang mereka, dan mengikuti mereka di dalam perkara-perkara yang baik yang tidak dilaksanakan melainkan oleh mereka.” (Majmu’ al-Fatawa, 35/20-21)

Demikian nasihat para ulama dalam menghadapi fitnah politik. Kita tidak seharusnya menyandarkan apa yang berlaku semata-mata ke atas tubuh badan pemerintah, tetapi sebaliknya perlu melihat secara keseluruhan dan bertindak dengan syar’i. Iaitu dengan memperbaiki pegangan agama kita dalam persoalan iman dan amal-amal soleh agar sentiasa selari dengan ketetapan nash-nash yang sahih. Seterusnya hendaklah sentiasa membantu dan bersama-sama pemimpin melaksanakan kebaikan serta saling menasihati dan serta saling mendoakan kebaikan untuk pemimpin Islam dan umat Islam secara umum. Kerana kebaikan pemimpin itu amat bermanfaat kepada semua pihak.

Al-Hafiz Abu Bakr Al-Ismaili rahimahullah (Wafat: 371H) berkata:

 ويرون الدعاء لهم بالإصلاح والعطف إلى العدل، ولا يرون الخروج بالسيف عليهم ولا قتال الفتنة، ويرون قتال الفئة الباغية مع الإمام العدل، إذا كان وجد على شرطهم في ذلك

“Dan mereka (ahli hadis) berpandangan disyariatkan berdoa untuk kebaikan para pemimpin umat Islam dan supaya mereka berubah untuk bersikap adil dan mereka juga berpandangan tidak boleh khuruj (keluar dari ketaatan atau memberontak) terhadap mereka dengan senjata dan hendaklah orang muslim tidak turut serta berperang ketika terjadi fitnah (pertikaian di antara sesama kaum muslimin) dan mereka juga berpandangan tentang wajibnya memerangi golongan yang zalim yang dilakukan bersama pemimpin yang adil apabila ditentukan kesesuaian dengan syarat yang mereka tetapkan dalam perkara tersebut.” (Abu Bakr Al-Ismaili, I’tiqad A’immatil Hadits, m/s. 75-76)

Al-Imam Al-Baihaqi rahimahullah (Wafat: 458H) meriwayatkan daripada Abu ‘Utsman rahimahullah. Katanya:doa untuk pemerintah

فانصح للسلطان و أكثر له من الدعاء بالصلاح و الرشاد بالقول و العمل و الحكم فإنهم إذا صلحوا صلح العباد بصلاحهم

 و إياك أن تدعو عليهم باللعنة فيزدادوا شرا و يزداد البلاء على المسلمين و لكن ادع لهم بالتوبة فيتركة الشر فيرتفع البلاء عن المؤمنين

“Nasihatilah para pemerintah, banyakkanlah berdoa untuk kebaikan dan kebenarannya dalam beramal dan dalam ucapan serta ketika memutuskan hukuman. Maka, apabila mereka baik, maka akan baiklah rakyatnya.

Berhati-hatilah kamu, jangan sampai mendoakan keburukkan atau melaknat mereka, kerana yang demikian itu hanya akan menambahkan keburukkan ke atas umat Islam. Tetapi, mintakanlah keampunan kepada Allah untuk pemerintah semoga mereka meninggalkan perbuatan yang buruk yang dengannya akan dihilangkan musibah umat Islam pula.” (Al-Baihaqi, Syu’abul Iman, no. 7401)

Al-Imam Abu Ja’far ath-Thahawi rahimahullah (Wafat: 321H) menyebutkan dalam kitab aqidah beliau:

وَلاَ نَرَى الْخُرُوجَ على أَئِمَّتِنَا وَوُلاَة أُمُورِنَا، وَإِنْ جَارُوا، وَلاَ نَدْعُو عَلَيْهِمْ، وَلاَ نَنْزِعُ يَدًا مِنْ طَاعَتِهِمْ، وَنَرَى طَاعَتَهُمْ مِنْ طَاعَة الله عَزَّ وَجَلَّ فَرِيضَة، مَا لَمْ يَأْمُرُوا بِمَعْصِيَة، وَنَدْعُوا لَهُمْ بِالصَّلَاحِ وَالْمُعَافَاة

“Kami tidak membenarkan keluar dari ketaatan terhadap imam dan ulil amri (pemerintah) walaupun mereka seorang yang zalim. Dan kami tidak membenarkan mendoakan keburukan ke atas mereka. Dan kami juga tidak membenarkan keluar dari ketaatan terhadap mereka. Kami berpendapat bahawa taat kepada pemerintah adalah sebahagian dari bentuk ketaatan kepada Allah ‘Azza wa Jalla yang diwajibkan ke atas kita selagi mana mereka tidak memerintahkan kita untuk melakukan maksiat. Kami juga mendoakan mereka supaya mendapat kebaikan dan keselamatan.” (Matan Aqidah ath-Thahawiyah)

Demikian juga Al-Imam Al-Barbahari rahimahullah (Wafat: 329H), beliau turut menyatakan perkara yang sama sebagai sebahagian dari prinsip-prinsip dasar aqidah ahlus sunnah wal-jama’ah. Beliau mengatakan dalam kitab aqidah beliau:

“Jika kamu melihat orang yang berdoa keburukan kepada pemimpin, ketahuilah bahawa ia termasuk salah seorang pengikut hawa nafsu, namun apabila kamu melihat orang yang berdoa untuk kebaikan seseorang pemimpin, ketahuilah bahawa ia tergolong sebagai seorang ahli sunnah, insyaAllah.

Fudhail bin Iyadh berkata, “Jika aku memiliki doa yang baik yang makbul, maka semuanya akan aku persembahkan (pohonkan) untuk pemerintah.” Beliau ditanya, “Wahai Abu Ali, jelaskan maksud ucapan tersebut?” Beliau berkata, “Bila doa itu hanya aku tujukan untuk diriku, maka ia hanya bermanfaat untuk diriku, tetapi apabila aku pohonkan untuk pemimpin dan ternyata para pemimpin berubah menjadi baik, maka semua orang dan negara merasakan manfaat dan kebaikan.” (Dikeluarkan oleh Abu Nu’aim dalam “al-Hilyah” (8/91) dari jalan Mardawaih as-Shabigh dan sanad Abu Nu’aim adalah sahih)

Kita diperintahkan untuk mendoakan mereka dengan kebaikan bukan keburukan, walaupun ia seorang pemimpin yang zalim lagi jahat kerana kezaliman dan kejahatan akan kembali kepada diri mereka sendiri manakala apabila mereka (pemimpin) menjadi baik maka mereka dan seluruh kaum muslimin akan merasakannya.” (Syarhus Sunnah, m/s. 83-84)

Al-Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari rahimahullah (Wafat: 324H) menegaskan dalam kitab aqidahnya:

ونرى الدعاء لأئمة المسلمين بالصلاح والإقرار بإمامتهم، وتضليل من رأى الخروج عليهم إذا ظهر منهم ترك الاستقامة

“Dan kami (ahli sunnah wal-jama’ah) beri’tiqad akan kesunnahan mendoakan dengan doa-doa kebaikan untuk pemerintah kaum muslimin dan mengakui kepimpinan mereka serta menganggap sesat sesiapa sahaja yang berpendapat perlu khuruj (keluar dari ketaatan atau memberontak) ke atas pemerintah jika mereka melakukan kezaliman.” (Al-Ibanah ‘an Ushul ad-Diyanah, m/s. 20)

Imam Al-Hasan Al-Bashri rahimahullah diriwayatkan pernah berkata:

اعلم- عافاك الله- أن جور الملوك نقمة من نقم الله تعالى ، ونقم الله لا تلاقى بالسيوف ، وإنما تُتقى وتُستَدفع بالدعاء والتوبة والإنابة والإقلاع عن الذنوب ، إن نقم الله متى لقيت بالسيف كانت هي أقطع

“Ketahuilah, semoga Allah mengampuni engkau, bahawa kezaliman pemerintah itu merupakan salah satu tanda dari tanda kemurkaan Allah Ta’ala (atas suatu kaum), dan murka Allah itu tidak dihadapi dengan pedang (pemberontakan), akan tetapi ia hanya dapat ditangani dan ditolak dengan doa, dengan taubat (memohon keampunan kepada Allah), dengan inabah (kembali memperbaiki diri di atas jalan Allah), dan dengan menjauhkan diri dari segala dosa-dosa. Bahawasanya, murka Allah itu jika dihadapi dengan menghunuskan pedang-pedang, nescaya ia akan menjadi bertambah parah.” (Adab Al-Hasan Al-Bashri oleh Ibnul Jauzi, m/s. 19 – Dinukil dari kitab Al-Wajiz fi Aqidati As-Salafi Ash-Shaalih)

Al-Imam Ismail bin Muhammad Al-Ajluni Al-Jarahi rahimahullah (Wafat: 1162H) berkata:

وأقول رواه الطبراني عن الحسن البصري أنه سمع رجلا يدعو على الحجاج فقال له لا تفعل أنكم من أنفسكم أوتيتم إنما نخاف إن عزل الحجاج أو مات أن يتولى عليكم القردة والخنازير فقد روى أن أعمالكم عمالكم وكما تكونوا يولى عليكم .

“Suatu nukilan riwayat Ath-Thabrani dari Al-Hasan Al-Bashri, bahawa beliau (Al-Hasan Al-Bashri) mendengar seorang lelaki mendoakan keburukan untuk Al-Hajjaj (penguasa yang zalim di zamannya – pent.), lalu beliau pun berkata kepada lelaki tersebut:

“Janganlah engkau berbuat begitu, sesungguhnya kalian diberikan pemimpin sedemikian adalah disebabkan oleh diri kalian sendiri. Kami bimbang jika Al-Hajjaj dijatuhkan ataupun meninggal, maka yang menjadi pemimpin kalian kelak adalah monyet dan khindzir, di mana telah diriwayatkan bahawa pemimpin kalian adalah gambaran dari amal-amal kalian. Dan bagaimana keadaan kalian, begitulah pemimpin kalian.” (Kasyf Al-Khafa’, 1/147. Lihat juga: Adab Al-Hasan Al-Bashri oleh Ibnul Jauzi, m/s. 19 – Al-Wajiz fi Aqidati As-Salafi Ash-Shaalih)

Menasihati Pemerintah

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ كُلَّمَا دَعَا لأَخِيهِ بِخَيْرٍ قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ

“Doa seseorang muslim kepada saudaranya tanpa pengetahuan saudaranya tersebut adalah doa yang mustajab (dikabulkan). Di sisinya ada malaikat. Ketika dia berdoa kebaikan kepada saudaranya, malaikat tersebut mengatakan, “Amin, engkau akan mendapatkan yang sama dengannya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2733)

Beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga bersabda:

خِيَارُ أَئِمَّتِكُمْ الَّذِينَ تُحِبُّونَهُمْ وَيُحِبُّونَكُمْ وَيُصَلُّونَ عَلَيْكُمْ وَتُصَلُّونَ عَلَيْهِمْ

“Sebaik-baik pemimpin bagi kamu adalah orang-orang yang kamu semua cintai dan mereka pun mencintai kamu semua, juga yang kamu semua mendoakan kebaikan untuk mereka dan mereka pun mendoakan kebaikan untuk kamu semua.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1855)

Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin Bazz rahimahullah ketika ditanya berkenaan orang-orang yang enggan mendoakan kebaikan untuk pemerintahnya, maka beliau menjawab:

هذا من جهله، وعدم بصيرته؛ لأن الدعاء لولي الأمر من أعظم القربات، ومن أفضل الطاعات، ومن النصيحة لله ولعباده، والنبي صلى الله عليه وسلم لما قيل له: إن دوساً عصت وهم كفار قال: ((اللهم اهد دوساً وائت بهم)) فهداهم الله وأتوه مسلمين. فالمؤمن يدعو للناس بالخير، والسلطان أولى من يدعى له؛ لأن صلاحه صلاح للأمة، فالدعاء له من أهم الدعاء، ومن أهم النصح أن يوفق للحق وأن يعان عليه، وأن يصلح الله له البطانة، وأن يكفيه الله شر نفسه وشر جلساء السوء، فالدعاء له بالتوفيق والهداية وبصلاح القلب والعمل وصلاح البطانة من أهم المهمات، ومن أفضل القربات، وقد روي عن الإمام أحمد رحمه الله أنه قال: (لو أعلم أن لي دعوة مستجابة لصرفتها للسلطان)، ويروى ذلك عن الفضيل بن عياض رحمه الله.

“Ini berpunca dari kejahilan dan lemahnya pengetahuan. Berdoa kepada pemerintah adalah sebahagian dari sebesar-besar amalan yang mendekatkan diri kepada Allah dan merupakan seafdhal-afdhal ketaatan. Ini termasuk sebahagian nasihat kerana Allah dan hamba-hamba-Nya. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila diajukan kepadanya tentang kaum Daus yang telah melakukan maksiat (kerana menolak dakwah Islam) dan mereka adalah orang-orang kafir. Beliau pun berdoa:

“Ya Allah, berilah hidayah kepada kaum Daus dan selamatkanlah mereka. Ya Allah, berilah hidayah kepada kaum Daus dan selamatkanlah mereka.”

Rasulullah mendoakan manusia dengan kebaikan. Pemerintah merupakan orang yang paling perlu didoakan kerana kebaikannya merupakan kebaikan kepada seluruh masyarakat (rakyat). Maka doa untuk pemerintah merupakan doa yang sangat penting. Di antara nasihat yang sangat penting adalah supaya ia diberi taufiq ke arah kebenaran dan bantuan kebaikan. Ia didoakan supaya diberikan Allah para pembantu yang baik dan didoakan supaya Allah menyelamatkannya dari kejahatan dirinya serta kejahatan pembantunya. Maka mendoakan pemerintah dengan taufiq, hidayah, kebaikan hati serta amalan, dan kebaikan para pembantunya adalah suatu tugas yang penting dan ia adalah seafdhal-afdhal pendekatan diri kepada Allah.

Diriwayatkan daripada Imam Ahmad rahimahullah bahawasanya beliau berkata, “Jika aku memiliki doa yang baik yang dimakbulkan, maka semuanya akan aku persembahkan (pohonkan) untuk pemerintah.” Perkataan ini juga diriwayatkan daripada Fudhail B. ‘Iyadh rahimahullah. (Fatwa Syaikh ‘Abdul ‘Aziz B. Bazz, http://www.binbaz.org.sa/mat/1941)

Begitulah sikap para ulama ahlus sunnah wal-jama’ah apabila berhadapan dengan fitnah politik dan karenah para pemerintah. Mereka tetap melaksanakan ketaatan kepada pemerintah sebagaimana saranan agama. Mereka tidak suka kepada pemberontakan sama ada yang dilakukan dengan lisan seperti menebar aib, menghina, mencaci, memaki hamun, menghambur kesalahan penguasa di media-media terbuka, dan memalukan pemerintah. Apatah lagi pemberontakan secara kekerasan seperti melakukan demonstrasi jalanan, provokasi, dan pelbagai lagi bentuk-bentuk lainnya yang hanya membawa kepada kesan yang jauh lebih buruk bukan sahaja kepada diri pelaku, malah kepada masyarakat umum seluruhnya.sabar dengan kezaliman penguasa

Tetapi pendirian mereka adalah dengan mengambil sikap menasihati, memperkuatkan kesabaran, sentiasa memperbaiki diri dengan ilmu, berinabah kepada Allah dan mendoakan dengan doa-doa kebaikan.

Jadi, berapa ramaikah di antara kita yang telah bersungguh-sungguh bersimpuh sujud dan bertahajjud di keheningan malam memohon kepada Allah supaya memberikan hidayah kebaikan buat para pemimpin dengan penuh ketulusan?

Berapa ramaikah di antara kita hari ini yang telah bersungguh-sungguh memenuhi syarat-syarat berdoa agar doa-doa kita diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala, lalu berdoa memohonkan kebaikan buat para pemerintah?

Sebahagian ulama menjelaskan:

دُعَاؤُكُمْ إِيمَانُكُمْ لِقَوْلِهِ عَزَّ وَجَلَّ: قُلْ مَا يَعْبَأُ بِكُمْ رَبِّي لَوْلاَ دُعَاؤُكُمْ

“Doa kalian adalah iman kalian.” berdasarkan firman Allah ‘Azza wa Jalla:

“Rabbku tidak mengendahkan kalian melainkan kalau bukan kerana doa (ibadah) kalian.” (Surah Al-Furqan, 25: 77)

Dari itu, fahamilah perkara ini dengan ilmu yang syar’i di atas prinsip-prinsip yang benar sebagaimana dijelaskan oleh para ulama ahlus sunnah wal-jama’ah. Dan bukan dengan prinsip-prinsip para tokoh yang menyimpang sebagaimana kaum khawarij yang sering mengumandangkan prinsip-prinsip kepembangkangan dan pemberontakan saban waktu. Fahamilah juga bahawa bagaimana diri-diri kamu, maka demikianlah pemerintah bagi kamu. Peribadi pemimpin itu adalah cerminan masyarakat secara umum.

[*] Sebahagian perbahasan berkaitan yang disebutkan secara umum dalam bahagian ini telah pun diperincikan dalam tulisan yang lain; http://www.ilmusunnah.com/?p=7865

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest