Erti Sebuah Kemerdekaan

http://an-nawawi.blogspot.com

Erti sebuah kemerdekaan adalah merdekanya jiwa seseorang manusia itu daripada pengaruh kesyirikan. Iaitu perbuatan penyembahan kepada selain dari Allah Subhanahu wa Ta’ala hendaklah dihapuskan. Kepercayaan kepada karut-marut hendaklah dibersihkan. Kepelbagaian ritual ibadah rekaan dan ciptaan manusia hendaklah ditinggalkan.

Syirik adalah bencana terbesar yang menimpa dunia manusia di alam ini. Mereka dibelenggu dari mengerti maksud tujuan hidup yang sebenar. Mereka terhampar di lembah kegelapan yang mengusutkan, tersesat dari menemui jalan keluar yang lurus dan fitrah. Mereka tertipu dengan banyaknya jalan-jalan yang mengelirukan di kanan, kiri, serta pelbagai sudut arah lainnya yang melorong.

Tanpa berbekalkan ilmu di perjalanan, mereka tersesat… jiwa-jiwa mereka lalu terbelenggu. Mereka terperangkap di jalan-jalan syaitan. Mereka meninggalkan erti fitrah yang bersih suci. Tauhid di dalam diri ternoda. Petunjuk wahyu tidak lagi dimengerti.

Ini dapat dilihat kepada banyaknya penyembahan dan pemujaan terhadap kuburan. Jika kita melihat ke luar, di Iran atau Iraq sana, suatu tempat bernama Karbala, yang didakwa memiliki kuburan al-Hussain, betapa pelaku syirik dari kelompok Syi’ah memuja-muja kuburan tersebut. Bahkan mereka melakukan ritual ratapan dan penyembahan ke atasnya. Tidak kurang di Mesir, terdapat manusia dari kalangan sesat umat Islam yang membina rumah-rumah ibadah di atas perkuburan yang didakwa milik imam asy-Syafi’e (rahimahullah). Lalu mereka melakukan peribadatan di sana, malah dijadikan juga sebagai tempat permohonan hajat-hajat tertentu. Begitu juga di Yaman, di sebuah tempat bernama Hadramaut, di mana ramainya manusia yang bertawaf dan melakukan pemujaan di sebuah kawasan yang didakwa memiliki perkuburan milik Nabi Nuh ‘alaihis Salam. Begitulah penyembahan kuburan yang masih subur berlaku di muka bumi ini. Selainnya, percayanya manusia kepada tukang ramal dan tukang-tukang bomoh. Ini juga suatu amalan yang sangat subur berlaku di serata pelusuk dunia manusia. Begitulah mereka memperhambakan nasib kepada manusia lainnya yang mendakwa mengetahui sesuatu yang tersembunyi, padahal mereka tidak lain hanyalah orang-orang sesat lagi bodoh. Penyembahan kepada bintang-bintang, api, pokok-pokok, patung-patung, matahari, bulan, dan berhala juga tidak pernah berkurang malah bertebaran di serata alam. Permohonan doa tidak lagi kepada Tuhan yang berhak tetapi dihadapkan kepada Nabi-nabi dan jasad-jasad orang-orang yang telah mati. Kepercayaan mereka kepada kehebatan firasat dan semangat ghaib juga sering menguasai kehidupan. Manusia tunduk di bawah penguasaan jasad-jasad yang lemah tanpa sedar. Terdapat juga ritual-ritual baru yang berlangsung akibat pemujaan dan penghormatan yang dilakukan ke atas tokoh-tokoh tertentu. Mereka mencipta patung-patung khusus berupa tokoh-tokoh tersebut, lalu melakukan ritual penghormatan ke atasnya seperti tabik hormat, kalungan bunga, dan seumpamanya. Sungguh, sebenarnya mereka memenjara dan membelenggu benak pemikiran dan jiwa mereka sendiri.

Mereka tidak bebas! Mereka tidak merdeka!

Begitulah berleluasanya syirik. Banyaknya manusia yang tidak lagi merdeka. Mereka tunduk dan menyerah kepada yang bukan selayaknya. Terkapai-kapai dalam kegelapan, membelenggu diri sendiri…

Dari sebab seperti itulah. Dari tujuan memurnikan tauhid dari syirik yang seperti itulah, maka para Nabi dan Rasul telah diutuskan bagi membersihkan bencana terbesar umat manusia. Peringatan turut diberi akan bagaimana kesudahan golongan manusia terdahulu yang mendustakan perintah bertauhid dan bergelumang dengan kesyirikan. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:


وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ فَمِنْهُمْ مَنْ هَدَى اللَّهُ وَمِنْهُمْ مَنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلالَةُ فَسِيرُوا فِي الأرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ

Maksud: Dan sesungguhnya Kami telah mengutus rasul pada setiap umat (untuk menyerukan): “Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut (kesesatan) itu”, maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul). (Surah an-Nahl, 16: 36)

Dengan tauhid yang suci murni, bersih dari noda syirik, para Rasul menyeru dan menyatukan para manusia. Kerana, hanya dengan tauhid yang suci, manusia akan bersatu. Tunduk kepada Penguasa sebenar. Mengenal erti hidup. Dari mana dia datang, kenapa dia diciptakan, dan ke mana dia akan berakhir atau menuju.

Sebaliknya…

Dengan syirik, berpecah-belahlah kehidupan manusia yang harmoni. Kepelbagaian kelompok dan fahaman serta kepercayaan akan mencemari muka bumi. Manusia tidak lagi bersatu biar pun rupa bentuk mereka sama, lalu berpuak-puak mengikuti kesesatan dan fahaman mereka masing-masing. Sehingga saling berbunuhan, menghapuskan serta mengusai.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لا يَعْلَمُونَ (٣٠)مُنِيبِينَ إِلَيْهِ وَاتَّقُوهُ وَأَقِيمُوا الصَّلاةَ وَلا تَكُونُوا مِنَ الْمُشْرِكِينَ (٣١)مِنَ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعًا كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ

Maksud: Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada peubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui, dengan kembali bertaubat kepada-Nya dan bertaqwalah kepada-Nya serta dirikanlah solat dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah, iaitu orang-orang yang memecah-belah agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Setiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka. (Surah ar-Ruum, 30: 30-32)

Lihatlah bagaimana permusuhan terbesar kaum manusia di antara golongan Yahudi, Nashara, dan umat Islam. Sejak berzaman hingga kini, ia terus berlanjutan.

Sungguh hairan sekiranya masih ada manusia menyanjungi Islam sebagai agamanya, namun dalam masa yang sama, mereka masih boleh saling meraikan kegembiraan syi’ar agama seperti Kristian, Yahudi, Budha, Hindu, Tao, mahu pun selainnya. Lihat saja, bagaimana gelagat mereka di hari-hari kebesaran (perayaan) masing-masing. Kesyirikan saling dirai bersama…

Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman di dalam Surah al-Kafiroon… Saksikanlah di sana. Apakah kita telah melupakannya?

Dan Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman:


وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ النَّاسَ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلا يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ (١١٨)إِلا مَنْ رَحِمَ رَبُّكَ وَلِذَلِكَ خَلَقَهُمْ وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ لأمْلأنَّ جَهَنَّمَ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

Maksud: Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat, kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka. Kalimat Tuhanmu (keputusan-Nya) telah ditetapkan: Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan jin dan manusia (yang derhaka) semuanya. (Surah Huud, 11: 118-119)

Akuilah bahawa tiada penyatuan dan kebersatuan umat manusia, melainkan dengan kalimat yang satu, iaitu tauhid yang fitrah suci dan murni. Dengannyalah, kita bakal merasa sebuah kemerdekaan sejati. Terlepas dari segala bentuk belenggu kegelapan…

Bebas dari belenggu perkauman dan kepuakan. Tiada lagi ketundukkan kepada jasad-jasad yang lemah. Tiada lagi jurang di antara yang kaya dengan yang miskin, yang tua mahu pun yang muda. Dengan,

1 Tauhid: Islam diutamakan, Aqidah didahulukan…

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ (٢٧)ارْجِعِي إِلَى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَرْضِيَّةً

Maksud: Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. (Surah al-Fajr, 89: 27-28)

Wallahu a’lam…

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest