Akhlak Orang Berhutang Adalah Segera Melunasinya

www.ilmusunnah.com

Di antara akhlak yang buruk pada sebahagian kaum muslimin hari ini adalah sikap gemar berhutang dengan dalam masa sama mungkir janji untuk melunasi hutang pada masa yang telah dipersetujui. Sikap mungkir janji dan suka menunda-nunda bayaran hutang bukanlah akhlak yang baik.jangan remehkan hutang

Malah terdapat banyak kes, ada yang sengaja melarikan diri dari membayar hutang!

Sikap ini menjadi lebih buruk lagi apabila budaya suka berhutang ini dilakukan bukan bertujuan untuk menutupi keperluan yang mendesak, tetapi lebih kepada untuk memenuhi gaya hidup, bermewah-mewah dan mengikuti hawa nafsu semata. Di samping itu, sikap seperti ini turut dilihat sengaja mengambil kesempatan atas kedermawanan orang lain yang berusaha untuk membantu saudaranya.

Sedang para salaf dalam urusan hutang mereka berpesan, antaranya ‘Umar bin ‘Abdil ‘Aziz rahimahullah (Wafat: 110H):

ﻭﺃﻭﺻﻴﻜﻢ ﺃﻥ ﻻ ﺗُﺪﺍﻳﻨﻮﺍ ﻭﻟﻮ ﻟﺒﺴﺘﻢ ﺍﻟﻌﺒﺎﺀ ﻓﺈﻥ ﺍﻟﺪّﻳﻦ ﺫُﻝُّ ﺑﺎﻟﻨﻬﺎﺭ ﻭﻫﻢ ﺑﺎﻟﻠﻴﻞ، ﻓﺪﻋﻮﻩ ﺗﺴﻠﻢ ﻟﻜﻢ ﺃﻗﺪﺍﺭﻛﻢ ﻭﺃﻋﺮﺍﺿﻜﻢ ﻭﺗﺒﻖ ﻟﻜﻢ ﺍﻟﺤﺮﻣﺔ ﻓﻲ ﺍﻟﻨﺎﺱ ﻣﺎ ﺑﻘﻴﺘﻢ

“Aku berpesan kepada kalian agar tidak berhutang, walaupun kalian sedang berada dalam kepayahan, kerana hutang itu adalah kehinaan di siang hari dan penyesalan di malam hari. Tinggalkanlah ia (amalan berhutang), mudah-mudahan wibawa dan harga diri kalian selamat, kehormatan kalian di kalangan manusia juga terjaga, selama kalian hidup.” (‘Umar bin ‘Abdil ‘Aziz Ma’aalim At-Tajdidi wa Al-Ishlaah oleh ‘Ali Ash-Shallabi, 2/74)

Bahaya berhutang

Ketahuilah, bahawa terdapat banyak sekali amaran dari hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam terkait akhlak yang buruk dalam berhutang.

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

نَفْسُ الْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

“Jiwa seorang mukmin masih tergantung dengan sebab hutangnya sampailah dia melunasinya.” (Musnad Ahmad, no. 10599. Sunan At-Tirmidzi, no. 1078)

Hadis ini memberi peringatan bahawa sesiapa yang meninggal dunia dalam keadaan belum melunasi hutangnya, maka urusan jiwanya atau ruhnya akan tertahan di akhirat sampai dapat dipastikan hutangnya dapat dilangsaikan atau tidak.

Di hadis yang lain dari Shuhaib Al-Khayr, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أَيُّمَا رَجُلٍ يَدَيَّنُ دَيْنًا وَهُوَ مُجْمِعٌ أَنْ لاَ يُوَفِّيَهُ إِيَّاهُ لَقِىَ اللَّهَ سَارِقًا

“Sesiapa yang berhutang lalu berniat untuk tidak membayarnya, maka dia akan bertemu Allah (pada hari kiamat) sebagai seorang pencuri.” (Sunan Ibn Majah, no. 2410)

Sedang orang yang terbebas dari sebarang bebanan hutang, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ فَارَقَ الرُّوحُ الْجَسَدَ وَهُوَ بَرِىءٌ مِنْ ثَلاَثٍ دَخَلَ الْجَنَّةَ مِنَ الْكِبْرِ وَالْغُلُولِ وَالدَّيْنِ

“Siapa yang ruhnya terpisah dari jasadnya dalam keadaan dia terbebas dari tiga perkara:

[1] sombong,

[2] ghulul (khianat), dan

[3] hutang,

maka dia akan masuk Syurga.” (Sunan Ibn Majah, no. 2412)

Manakala bagi mereka yang tetap terbeban dengan hutang tanpa sempat melunasinya atau dilunasi oleh ahli warisnya (atau seumpamanya), maka hutangnya kelak akan dibayar dengan kebaikan-kebaikan (atau pahala) yang ada padanya.

Ini adalah sebagaimana hadis dari Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ دِينَارٌ أَوْ دِرْهَمٌ قُضِىَ مِنْ حَسَنَاتِهِ لَيْسَ ثَمَّ دِينَارٌ وَلاَ دِرْهَمٌ

“Siapa yang mati dalam keadaan masih memiliki hutang satu dinar atau satu dirham, maka hutang tersebut akan dilunasi dengan kebaikannya (di hari kiamat nanti) kerana di sana tidak ada lagi dinar mahupun dirham.” (Sunan Ibn Majah, no. 2414)

Siapa yang berhutang, kemudian telah sampai waktu untuk melunasinya serta dia telah mampu namun dia sengaja tidak melunasinya (yakni menunda-nunda pembayarannya tanpa sebarang udzur), maka ianya adalah sebahagian dari bentuk perbuatan zalim dan dia berhak dikenakan tindakan (undang-undang), serta jatuh pula kehormatan dan wibawanya.

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَطْلُ الغَنِيِّ ظُلْمٌ

“Penangguhan (sengaja menunda-nunda dari membayar hutang) bagi seorang yang kaya (berkemampuan) itu adalah kezaliman.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2287, 2288, 2400. Muslim, no. 1564)

Hadis ini adalah dalil akan keharaman penundaan bayaran hutang bagi orang yang telah berkemampuan untuk membayarnya, yakni di saat tempohnya telah sampai dan tidak ada pula sebarang udzur yang boleh diterima. Penundaan hutang dalam keadaan seperti ini adalah sebahagian dari bentuk kezaliman, bahkan termasuk dalam dosa besar dan pelakunya dihitung telah berbuat kefasikan. (lihat: Subul As-Salam oleh Ash-Shan’ani, 3/61)

Dari hadis ‘Amr bin Asy-Syariid, dari ayahnya, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَيُّ الْوَاجِدِ يُحِلُّ عِرْضَهُ، وَعُقُوبَتَهُ» قَالَ ابْنُ الْمُبَارَكِ: «يُحِلُّ عِرْضُهُ يُغَلَّظُ لَهُ، وَعُقُوبَتَهُ يُحْبَسُ لَهُ

“Penangguhan dari orang yang berkemampuan itu menghalalkan kehormatannya dan membolehkan tindakan ke atasnya.”

Kata Al-Imam Ibn Al-Mubarak, “Halal kehormatannya itu adalah membolehkan celaan dan amaran baginya, manakala membolehkan tindakan padanya itu adalah dibolehkan baginya dikenakan hukuman penjara (tindakan undang-undang).” (Sunan Abi Dawud, no. 3628)

Maka, di antara sikap dan akhlak yang baik ketika berhutang adalah dengan segera melunasinya sebaik sampai tempoh masanya (sebagaimana yang dipersetujui) atau apabila telah punya kemampuan.

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ خِيَارَكُمْ أَحْسَنُكُمْ قَضَاءً

“Bahawa yang terbaik di antara kalian adalah yang paling bagus (akhlaknya) dalam melunasi hutang.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2305, 2393)

Dari hadis Ummul Mukminin (Maimunah binti Al-Harits), bahawa beliau telah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدَّانُ دَيْنًا، يَعْلَمُ اللَّهُ مِنْهُ أَنَّهُ يُرِيدُ أَدَاءَهُ، إِلَّا أَدَّاهُ اللَّهُ عَنْهُ فِي الدُّنْيَا

“Siapa dari kalangan muslim yang memiliki hutang, dan Allah mengetahui bahawa dia berhasrat untuk melunasinya, maka Allah pun akan memudahkannya akan hal tersebut ketika dunia.” (Sunan Ibn Majah, 2408)

Maka dari sini menjelaskan bahawa di antara akhlak yang baik bagi orang yang berhutang itu adalah dengan bersegera dan bersungguh-sungguh untuk melunasinya.

Dari hadis ‘Utsman bin ‘Affan radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أَدْخَلَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ الْجَنَّةَ رَجُلًا كَانَ سَهْلًا مُشْتَرِيًا، وَبَائِعًا وَقَاضِيًا، وَمُقْتَضِيًا

“Allah ‘Azza wa Jalla memasukkan ke dalam Syurga orang yang mempermudah urusan jual-beli, melunasi, dan ketika meminta haknya.” (Musnad Ahmad, no. 410, 508. Dinilai hasan oleh Al-Albani dan Syu’aib Al-Arnauth)

Dan adalah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri telah mencontohkan kepada kita agar sentiasa berdoa dan memohon kepada Allah Ta’ala agar dilindungi dan dijauhkan dari budaya suka berhutang serta dari memperbanyakkan hutang.

Bahawa ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha mengkhabarkan, beliau biasa mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berdoa di dalam solat (dengan doa):

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ المَأْثَمِ وَالمَغْرَمِ»، فَقَالَ لَهُ قَائِلٌ: مَا أَكْثَرَ مَا تَسْتَعِيذُ يَا رَسُولَ اللَّهِ مِنَ المَغْرَمِ؟ قَالَ: «إِنَّ الرَّجُلَ إِذَا غَرِمَ حَدَّثَ فَكَذَبَ، وَوَعَدَ فَأَخْلَفَ

“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari berbuat dosa dan hutang.”

Lalu beliau ditanya oleh seseorang, “Apa yang membuat engkau banyak memohon perlindungan dari hutang wahai Rasulullah?”

Maka jawab beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Bahawasanya (kebiasaan) bagi seseorang yang berhutang apabila dia berkata dia akan mudah berdusta, dan apabila berjanji dia mungkiri.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2397)

Memberi Tangguh Orang Berhutang

Termasuk akhlak yang baik bagi si pemberi hutang adalah memberi keluasan dan kemudahan bagi orang yang kepayahan untuk melunasi hutangnya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَإِنْ كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَى مَيْسَرَةٍ وَأَنْ تَصَدَّقُوا خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

“Dan jika (orang yang berhutang itu) dalam kepayahan, maka berilah tangguh sehingga dia berkelapangan. Dan jika engkau menyedekahkan (sebahagian atau semua hutang) itu, maka itu adalah lebih baik bagimu jika kalian mengetahui.” (Surah Al-Baqarah, 2: 280)

Baca juga artikel, “Meringankan Beban Seorang Muslim.”

Wallaahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest