Hikmah Hadis Badwi Kencing Di Masjid

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

adab menegur

Amar Ma’ruf dan nahi mungkar adalah salah satu dasar dalam agama yang dengannya kebaikan menjadi jelas dan tersebar. Manakala kemungkaran berkurang, tersembunyi, dan menghilang. Melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar adalah sebahagian dari tanda-tanda orang yang beriman.

Amar ma’ruf adalah ajakan, seruan, atau perintah melaksanakan yang ma’ruf, iaitu supaya melaksanakan kebaikan sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Manakala nahi mungkar adalah mengingkari hal-hal yang mungkar secara syar’i dengan cara membencinya, mengubahnya, mencegahnya, atau menghapuskannya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala menjelaskan:

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka mengajak kepada yang ma’ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah at-Taubah, 9: 71)

Manakala sifat dan ciri-ciri orang munafik pula adalah mereka melarang amar ma’ruf dan mengajak kepada yang mungkar. Sebagaimana Allah menyebutkan dalam firman-Nya:

الْمُنَافِقُونَ وَالْمُنَافِقَاتُ بَعْضُهُمْ مِنْ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمُنْكَرِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمَعْرُوفِ وَيَقْبِضُونَ أَيْدِيَهُمْ نَسُوا اللَّهَ فَنَسِيَهُمْ إِنَّ الْمُنَافِقِينَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

“Orang-orang munafiq lelaki dan perempuan, sebahagian dengan sebahagian yang lain adalah sama, mereka mengajak melaksanakan yang munkar dan melarang melaksanakan yang ma’ruf dan mereka menggenggamkan tangannya. Mereka telah lupa kepada Allah, maka Allah melupakan mereka. Sesungguhnya orang-orang munafiq itu adalah orang-orang yang fasiq.” (Surah at-Taubah, 9: 67)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga mengingatkan:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

“Sesiapa yang melihat di kalangan kamu suatu kemungkaran, maka tegahlah ia dengan tangannya. Sekiranya tidak mampu, maka tegahlah dengan lisannya (perkataan). Sekiranya tidak mampu, maka tegahlah dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman.” (Shahih Muslim, no. 49. Kitab al-Iman)

Dalam hadis yang lain, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ النَّاسَ إِذَا رَأَوْا الظَّالِمَ فَلَمْ يَأْخُذُوا عَلَى يَدَيْهِ أَوْشَكَ أَنْ يَعُمَّهُمْ اللَّهُ بِعِقَابٍ مِنْهُ

“Sesungguhnya apabila manusia melihat sesuatu kezaliman tetapi tidak bertindak menahan dengan tangannya atau tidak mempedulikannya, dibimbangi Allah mengenakan hukuman (azab) kepada mereka.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2168. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

Demikianlah dalil-dalil yang menunjukkan akan kewajiban amar ma’ruf nahi mungkar secara umum. Adapun secara rincinya, sudah tentu amar ma’ruf nahi mungkar ini memiliki adab-adab serta kaedah-kaedahnya yang syar’i yang wajib difahami dan dipatuhi secara cermat.

Para ulama menyatakan bahawa hasil nahi mungkar (mencegah kemungkaran) adalah satu dari empat perkara. Iaitu sama ada hilangnya kemungkaran, kemungkaran berubah menjadi lebih ringan, kemungkaran tidak berubah atau berubah tetapi digantikan dengan kemungkaran lain yang setara dengan sebelumnya, atau menjadi lebih teruk dari sebelum ia cuba diubah.

Dalam situasi pertama dan kedua, hukum melaksanakan nahi mungkar adalah wajib. Manakala bagi situasi ketiga, ia perlu dipertimbangkan dengan baik, dan bagi situasi keempat, tidak boleh dilaksanakan kerana maksud asal dari sebuah nahi mungkar adalah menghilangkan atau mengurangkan kemungkaran tersebut dan bukannya menambah menjadi lebih buruk.

Ini antaranya disebutkan oleh Al-Imam Ibn Al-Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H):

فإنكار المنكر أربع درجات: الأولى أن يزول ويخلفه ضده. الثانية أن يقل وإن لم يزل بجملته. الثالثة أن يخلفه ما هو مثله. الرابعة أن يخلفه ما هو شر منه. فالدرجتان الأوليان مشروعتان والثالثة موضع اجتهاد والرابعة محرمة

“Bahawa ingkarul munkar itu ada empat tingkatan:

1, Kemungkaran hilang lalu bertukar sebaliknya (menjadi baik).

2, Kemungkaran berkurang walaupun tidak hilang sepenuhnya.

3, Bertukar dengan kemungkaran yang semisal.

4, Bertukar menjadi lebih buruk dari sebelumnya.

Maka tingkatan yang pertama dan kedua disyari’atkan, tingkatan yang ketiga memerlukan kepada ijtihad, dan manakala yang keempat diharamkan.” (I’laam Al-Muwaqqi’in, 3/4)

Kebijaksanaan Dalam Bertindak

Setelah kita mengetahui perintah dan keutamaan amar ma’ruf nahi mungkar, sebenarnya kita juga perlu tahu bahawa praktik amar ma’ruf nahi mungkar harus dilaksanakan dengan bijaksana dan mengikuti peringkat-peringkatnya. Banyak hadis-hadis yang menjelaskan hal ini. Namun di sini terdapat sebuah hadis yang masyaAllaah memiliki nilai dan hikmah yang cukup besar bagi yang mampu memerhatikannya. Dan hadis inilah yang mahu dikongsikan dalam tulisan ini sebenarnya.

Iaitu sebuah hadis daripada Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu. Beliau berkata:

بَيْنَمَا نَحْنُ فِي الْمَسْجِدِ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ جَاءَ أَعْرَابِيٌّ فَقَامَ يَبُولُ فِي الْمَسْجِدِ فَقَالَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَهْ مَهْ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تُزْرِمُوهُ دَعُوهُ فَتَرَكُوهُ حَتَّى بَالَ ثُمَّ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَعَاهُ فَقَالَ لَهُ إِنَّ هَذِهِ الْمَسَاجِدَ لَا تَصْلُحُ لِشَيْءٍ مِنْ هَذَا الْبَوْلِ وَلَا الْقَذَرِ إِنَّمَا هِيَ لِذِكْرِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَالصَّلَاةِ وَقِرَاءَةِ الْقُرْآنِ أَوْ كَمَا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَأَمَرَ رَجُلًا مِنْ الْقَوْمِ فَجَاءَ بِدَلْوٍ مِنْ مَاءٍ فَشَنَّهُ عَلَيْهِ

“Ketika kami berada di masjid bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, tiba-tiba datang seorang ‘Arab Badwi lalu berdiri untuk kencing di masjid. Para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengertaknya, tetapi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Janganlah kamu memutuskannya, biarkan dia selesai kencing terlebih dahulu.”

Maka mereka (para sahabat) membiarkan orang tersebut sehingga dia selesai kencing. Setelah itu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun menasihatinya, “Sesungguhnya masjid ini tidak boleh digunakan untuk kencing dan kekotoran, masjid adalah tempat untuk zikir, solat, dan membaca Al-Qur’an.”

Atau sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang sesuai. Setelah itu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan seseorang untuk mengambil satu baldi air dan menyiramnya.” (Shahih Muslim, no. 285)

Di antara faedah yang dapat diambil dari hadis ini adalah:

[Pertama] Menunjukkan larangan kencing atau membuat kekotoran di dalam masjid. Kerana masjid adalah tempat yang perlu dijaga kebersihan dan kesuciannya, maka wajib pula menjaganya dari hal-hal yang mengotorinya. Masjid adalah tempat untuk berzikir (mengingati Allah), melaksanakan solat, membaca Al-Qur’an, dan majlis ilmu.

[Kedua] Jika masjid terkotori atau terkena najis, maka hendaklah segera dibersihkan.

[Ketiga] Menunjukkan air kencing manusia adalah suatu yang kotor dan najis. Cara menyucikannya adalah dengan membersihkannya menggunakan air.

[Keempat] Hadis ini menunjukkan akhlak dan kebijaksanaan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam menangani orang yang jahil. Iaitu dengan cara lemah-lembut dan tidak berlaku kasar. Walaupun kencing di masjid adalah suatu kesalahan dan termasuk perbuatan mengotori masjid, tetapi Rasulullah tidak segera memarahi pelakunya atas beberapa kemaslahatan dan sebab-sebab tertentu. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menasihati dan menunjukkan contoh yang tepat kepada para sahabatnya dalam menghadapi karenah orang-orang jahil.

[Kelima] Terkandung penjelasan kewajiban menjelaskan mana yang benar dan mana yang mungkar serta cara terbaik dalam menanaganinya.

[Keenam] Menolak kemudharatan yang lebih besar dengan memilih yang lebih ringan di antara keduanya. Jika orang yang sedang kencing tersebut dicegah dengan tiba-tiba, mungkin ia akan mengakibatkan mudharat serta membahayakannya. Kerana kencing yang dihentikan dengan tiba-tiba boleh mengundang risiko dan sakit.

Atau mungkin ia akan terkejut lalu berpindah atau lari ke tempat yang lain dalam keadaan kencingnya bersepah-sepah. Akhirnya najis tersebut akan tersebar ke serata masjid, mengenai pakaiannya, serta terpalit ke tubuh-badannya pula. Tetapi dengan sebab contoh kebijaksanaan Rasulullah, maka najis tersebut hanya terkena pada satu tempat sahaja. Orang Badwi tersebut pula berjaya dinasihati dengan lemah-lembut dan penuh hikmah serta tidak diperlakukan dengan kasar yang mungkin hanya akan menjadikannya malu atau marah. Dan najis tersebut dapat dibasuh dengan sempurna hanya dengan sebaldi atau sebekas air.

Kesimpulan yang dapat kita ambil di sini adalah kita tidak boleh mencegah sesuatu kemungkaran dengan cara yang salah serta terburu-buru. Juga tidak boleh mencegah sesuatu keburukan dengan cara yang buruk juga. Atau dengan cara yang lebih buruk lagi.

Sebaliknya kita hendaklah meneliti di antara maslahah (kebaikan) dan mafsadahnya (keburukan) dengan pertimbangan yang tepat. Kita tidak boleh mengingkari sesuatu kemungkaran dengan suatu kemungkaran yang lain. Kita juga tidak boleh mengingkari kemungkaran sehingga menyebabkan berlaku kemungkaran yang lebih besar lagi.

Al-Imam Ibn Al-Qayyim rahimahullah menyebutkan perkara ini dengan katanya:

“Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mensyari’atkan kepada ummatnya tentang kewajiban mencegah atau membasmi kemungkaran. Ini bertujuan meraih perkara yang ma’ruf yang dicintai oleh Allah dan Rasul-Nya dari usaha-usaha tersebut. Tetapi jika perbuatan membasmi kemungkaran tersebut akan membawa kepada perkara lain yang lebih mungkar lagi dan lebih dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya, maka membasmi kemungkaran tidak perlu dilakukan walaupun Allah tetap membenci dan murka kepada pelaku kemungkaran tersebut. Situasi ini adalah sama seperti mengingkari para raja dan pemimpin dengan cara memberontak keluar dari ketaatan kepada mereka. Bahawasanya ini adalah asas kepada setiap keburukan dan fitnah sehingga akhir zaman. Para sahabat telah meminta izin Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam untuk memerangi para pemimpin (amir) yang melengah-lengahkan solat dari waktunya sambil berkata, “Adakah kita tidak perangi sahaja mereka?” Maka Rasulullah pun menjawab, “Tidak, selagi mana mereka masih tetap melaksanakan solat.”

Sesiapa yang meneliti fitnah-fitnah yang besar dan kecil dalam sejarah umat Islam, dia pasti akan mendapati bahawa fitnah-fitnah tersebut berpunca dari pengabaian prinsip-prinsip ini dan tidak sabar dalam menghadapi kemungkaran. Lalu mereka menuntut untuk menghapuskannya (dengan terburu-buru). Maka timbullah perkara lain yang lebih besar dari fitnah asal tersebut. Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melihat sebesar-sebesar kemungkaran ketika di Makkah dan beliau tidak memiliki kemampuan untuk mengubahnya.

Sebaliknya ketika Allah telah membuka Makkah dan ia telah menjadi wilayah Islam, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bertekad untuk mengubah Ka’abah dan mengembalikannya kepada bentuk asal sebagaimana yang dibina oleh Nabi Ibrahim (‘alaihis Salam), tetapi beliau tidak melakukannya walaupun telah berkuasa pada ketika itu. Ini adalah kerana kebimbangan beliau dari berlakunya perkara-perkara buruk yang lebih besar kerana orang-orang Quraisy pada ketika itu masih tidak dapat menerima perubahan secara drastik disebabkan baru memeluk Islam dan masih baru mula untuk meninggalkan kekufuran. Kerana sebab itulah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak mengizinkan untuk mengingkari para pemimpin dengan kekuatan kerana akan mengakibatkan timbulnya keburukan yang lebih besar lagi dari yang sedia ada.” (I’lam Al-Muwaqqai’in ‘an Rabb Al-‘Alamin, 3/4 – Daar Al-Jil)

Bekal Amar Ma’ruf Nahi Mungkar

Oleh kerana itu, apa yang dapat kita fahami dari hadis ini bahawa melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar itu perlu dengan kebijaksanaan dan diikat dengan syarat-syarat. Dan kebijaksanaan itu tidak akan mampu dicapai melainkan dengan penguasaan terhadap ilmu-ilmu yang syar’i dan dengan pertolongan Allah Ta’ala. Dan inilah sebaik-baik bekal dalam hal ini.

Asy-Syaikh Al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) menyatakan:

“Orang-orang yang hendak beramar ma’ruf nahi mungkar perlu memiliki tiga bekalan (iaitu):

1, Berilmu,

2, Bersikap lemah-lembut, dan

3, Bersabar.

Ilmu wajib dimiliki sebelum seseorang itu melakukan amar ma’ruf nahi mungkar. Sikap lemah lembut perlu ada ketika melakukannya.  Dan sikap sabar wajib dimiliki setelah seseorang menjalankan amar ma’ruf nahi mungkar.” (Al-Amru bil Ma’ruf wan Nahyi ‘anil Munkar, m/s. 18)

Penjelasan dari ketiga-tiga bentuk bekalan ini adalah sebagaimana berikut:

[Bekal pertama] Berilmu.

Bagi mereka yang mahu melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar, dia terlebih dahulu wajib mengetahui (berilmu) kenapa dia harus beramar ma’ruf nahi mungkar serta membezakan di antara mana satu adalah ma’ruf dan yang mana adalah mungkar. Setelah itu, dia wajib mengetahui tatacara atau kaedah perlaksanaan amar ma’ruf nahi mungkar yang menepati kehendak agama.

Berkaitan bekal ilmu ini, Ibnu Taimiyyah rahimahullah mengatakan, “Jika ini merupakan definisi amal soleh (iaitu perlu ikhlas dan mengikuti petunjuk Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam), maka seseorang yang hendak melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar wajib memiliki dua sifat ini (iaitu ikhlas dan mengikuti petunjuk Nabi). Dan tidak mungkin disebut sebagai amal yang soleh jika tidak diiringi ilmu dan kefahaman yang benar. Sebagaimana yang diperkatakan oleh ‘Umar bin ‘Abd Al-‘Aziz rahimahullah (Wafat: 101H):

مَنْ عَبَدَ اللهَ بِغَيْرِ عِلْمٍ كَانَ مَا يُفْسِدُ أَكْثَرَ مِمَّا يُصْلِحُ

“Sesiapa yang beribadah kepada Allah tanpa ilmu, maka apa yang dia rosakkan akan lebih banyak dari apa yang dia perbaiki.”

Begitu juga sebagaimana ucapan Mu’adz bin Jabal radhiyallahu ‘anhu:

العِلْمُ إِمَامُ العَمَلِ وَالعَمَلُ تَابِعُهُ

“Ilmu adalah pemimpin bagi amal dan amalan itu mengikuti di belakangnya.”

Perkara ini adalah suatu yang begitu jelas. Setiap amalan jika tidak diiringi dengan ilmu, tentu akan menunjukkan kejahilan, kesesatan, dan mempertuhankan hawa nafsu, sebagaimana telah dijelaskan dahulu. Inilah perbezaan di antara orang jahiliyyah dan orang muslim. Oleh sebab itu, hendaklah seseorang memiliki ilmu terlebih dahulu sebelum melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar. Hendaklah dia mengetahui keadaan orang yang akan diajak kepada kebaikan dan dilarang dari suatu kemungkaran. Hendaklah dia meneliti (mengkaji) juga maslahah yang akan muncul ketika melakukan perkara ini. Jika dia memenuhi syarat ilmu ini, maka itu akan lebih cepat menyampaikannya pada tujuan yang dikehendaki.” (Al-Amru bil Ma’ruf wan Nahyi ‘anil Mungkar, m/s. 15)

[Bekal kedua] Sikap lemah lembut dan sopan-santun (ar-rifq wa al-hilm).

Sikap inilah yang akan menjadikan orang lain lebih mudah menerima nasihat, berbeza jika kita bertindak kasar apatah lagi provokasi dan membuat kekacauan. Daripada ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ اللَّهَ رَفِيقٌ يُحِبُّ الرِّفْقَ وَيُعْطِى عَلَى الرِّفْقِ مَا لاَ يُعْطِى عَلَى الْعُنْفِ وَمَا لاَ يُعْطِى عَلَى مَا سِوَاهُ

“Sesungguhnya Allah Maha Penyantun, Dia menyukai sifat lemah-lembut. Allah akan memberikan sesuatu dalam sikap santun yang tidak diberikan pada sikap kasar dan sikap selain itu.” (Shahih Muslim, no. 2593)

Juga daripada ‘Aisyah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ الرِّفْقَ لاَ يَكُونُ فِى شَىْءٍ إِلاَّ زَانَهُ وَلاَ يُنْزَعُ مِنْ شَىْءٍ إِلاَّ شَانَهُ

“Bahawasanya sikap lemah-lembut tidak akan berada pada sesuatu melainkan ia akan menghiasinya (dengan kebaikan). Sebaliknya, jika lemah-lembut itu dicabut dari sesuatu, maka ia akan membuatnya menjadi buruk.” (Shahih Muslim, no. 2594)

[Bekal ketiga] Bersabar.

Hendaklah seseorang yang melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar memiliki sikap sabar. Kerana telah menjadi sunnatullah bahawa setiap orang yang mengajak kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran pasti akan menghadapi pelbagai jenis cabaran dan gangguan. Jika ia tidak memiliki sikap sabar dalam menghadapinya, maka akan timbul banyak keburukan berbanding kebaikan. Mengenai sikap sabar ini, Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menyebutkan dalam wasiat Luqman kepada anaknya:

وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَاصْبِرْ عَلَى مَا أَصَابَكَ إِنَّ ذَلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ

“Dan suruhlah manusia mengerjakan yang baik dan cegahlah mereka dari perbuatan yang mungkar, lalu bersabarlah terhadap apa yang akan menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara yang penting yang harus diambil berat.” (Surah Luqman, 31: 17)

Peringkat-peringkat Mencegah Kemungkaran

Al-Imam Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 620H) menyatakan, “Dalam mencegah kemungkaran, ada lima peringkat yang boleh dilakukan, iaitu:

1, Dengan penjelasan ilmu (atau penerangan).

2, Menasihati dengan perkataan yang lemah-lembut.

3, Dengan perkataan yang tegas dan teguran yang keras. Perkataan tegas ini bukan bererti celaan dengan kata-kata yang keji. Tetapi kita boleh berkata kepadanya, “Wahai orang yang jahil, adakah engkau tidak takut kepada Allah?” Atau yang seumpamanya.

4, Mencegah secara paksa, seperti merosakkan tempat dan alat-alat judi serta memusnahkan khamr (arak atau minuman yang memabukkan).

5, Mengancamnya dengan pukulan, atau secara langsung terus memukulnya sehingga ia menghentikan kemungkarannya.

Adapun yang terakhir ini perlu mendapat kebenaran dari pihak berkuasa (pemerintah). Tetapi bagi yang empat lainnya tidak memerlukannya. Kerana boleh jadi cara terakhir ini akan mengundang ancaman (risiko).” (Mukhtashar Minhajul Qashidin, m/s. 125 – Maktabah Daar Al-Bayan, Damsyiq)

Jika diperhatikan pada kaedah ke-4 tersebut, ia juga sama seperti kaedah ke-5 di mana memerlukan kebenaran atau dukungan daripada pihak berkuasa setempat (pemerintah) di mana ianya terikat dan bergantung kepada kebijaksanaan, keadaan, kaedah perundangan, dan maslahah. Ini adalah juga sebagaimana tambahan penjelasan daripada Asy-Syaikh Jamaluddin Al-Qasimi rahimahullah dalam Tahdzib Mau’idzatuil Mukminin. Kata beliau, “Bagi individu rakyat tidak lain hanyalah pencegahan, manakala menumpahkan dan memusnahkan adalah bagi para pemerintah dan dengan izin mereka sebagaimana halnya memukul atau menahan.”

Kemudian Ibnu Qudamah menjelaskan lagi, “Yang boleh diterapkan bagi amar ma’ruf terhadap pemerintah adalah dua peringkat (fasa) yang pertama, iaitu penjelasan, kemudian nasihat. Manakala herdikan dengan nada keras, seperti dengan perkataan, “Wahai si zalim, wahai orang yang tidak takutkan Allah.” Maka ia tidak boleh dilakukan (ke atas pemerintah) jika ini boleh menyebabkan bahaya kepada orang lain. Jika bahaya hanya ditanggung oleh orang yang mengucapkannya, maka boleh dilakukan. Ini berdasarkan pandangan jumhur ulama. Tetapi berdasarkan pandangan kami, perkara ini juga tidak boleh dilakukan kerana tujuan asal bagi tindakan dan ucapan tersebut adalah untuk menyingkirkan kemungkaran. Mengundang risiko seperti itu ketika berhadapan pihak berkuasa (pemerintah), sebenarnya lebih bahaya dari kemungkaran yang hendak disingkirkan. Sebab apa yang lebih disukai oleh pemerintah adalah kata-kata sanjungan. Sekiranya dia mendengar salah seorang rakyat berkata kepadanya, “Wahai si zalim, wahai si fasiq.” Maka dia akan menganggap ucapan tersebut sebagai bentuk penghinaan ke atasnya, lalu dia pun tidak akan mampu menahan diri (lalu marah dan nasihat pun tidak akan bermanfaat).” (Mukhtashar Minhajul Qashidin, m/s. 133-134 – Daar Al-Bayan, Damsyiq)

Demikian juga sebagaimana menurut Al-Imam Ibn Al-Jauzi rahimahullah (Wafat: 597H):

الجائز من الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر مع السلاطين التعريف والوعظ، فأما تخشينُ القولِ نحو: يا ظالم، يا من لا يخاف الله، فإن كان ذلك يُحركُ فتنةً يتعدى شرها إلى الغير، لم يجز، وإن لم يخف إلا على نفسه فهو جائز عند جمهور العلماء.

والذي أراه المنع من ذلك، لأن المقصود إزالة المنكر، وحمل السلطان بالانبساط عليه على فعل المنكر أكثر من فعل المنكر الذي قصد إزالته

“Yang dibolehkan pada amar ma’ruf dan nahi mungkar kepada pemerintah adalah dengan penjelasan dan peringatan (nasihat yang mendidik). Adapun ucapan yang pedas dan menyakitkan seperti “Wahai orang zalim”, “Wahai orang yang tidak takut kepada Allah” apabila ianya dapat menyebabkan timbulnya keburukkan atau menyusahkan orang lain, maka ia tidak dibenarkan. Dan sekiranya tidak dibimbangi melainkan terhadap dirinya sendiri sahaja, maka ia dibolehkan berdasarkan jumhur ulama….

… (beliau menyambung) walau bagaimanapun, aku menganggap ianya sebagai suatu larangan kerana yang dimaksudkan (tujuan sebenar) adalah untuk menghilangkan kemungkaran. Kerana membiarkan pemerintah melakukan kemungkaran itu lebih baik dari membuat kemungkaran lainnya dengan tujuan untuk menghilangkan kemungkaran pemerintah.” (Al-Adab Asy-Syar’iyah oleh Ibn Muflih, 1/222)

Al-Imam Al-Qadhi ‘Iyaadh rahimahullah berkata, “Hadis tersebut (Shahih Muslim, no. 49. Kitab Al-Iman) adalah berkenaan kaedah mengubah sesuatu kemungkaran. Iaitu mencegah kemungkaran bersesuaian dengan kemampuannya, sama ada dengan perkataan atau perbuatan. (Dalam mencegah kemungkaran) Ia boleh bertindak memusnahkan faktor-faktor penyebab timbulnya kebatilan dan menumpahkan minuman yang memabukkan atau memerintahkan orang lain untuk melakukannya. Dia juga secara peribadi boleh mengambil harta rampasan dan mengembalikannya kepada pemiliknya yang asal, atau dengan perintahnya jika dia mampu.

Dia wajib bersungguh-sungguh berlemah-lembut dalam mengubah kemungkaran yang dilakukan oleh orang-orang yang jahil, serta terhadap orang yang diktator dan zalim, yang mana begitu dibimbangi kejahatannya. Kerana dengan cara tersebut, kebarangkalian untuk nasihatnya diterima adalah lebih tinggi. Begitu juga halnya kepada orang-orang yang memiliki kedudukan tinggi (dari kalangan pemimpin atau tokoh masyarakat). Mengubah kemungkaran melalui lisan sangat diperlukan sekiranya cara tersebut memiliki kebarangkalian untuk kejahatan dan kemungkaran dapat dihentikan.

Selain itu pada keadaan tertentu, mengubah kemungkaran juga diperlukan dengan tangan jika si pelaku kemungkaran berterusan dalam kesesatan dan kezaliman. Tetapi sekiranya dia yakin bahawa mengubah kemungkaran dengan tangan akan menyebabkan kemungkaran yang lebih dahsyat darinya, seperti kematiannya atau terbunuhnya orang lain, maka dia wajib menahan tangannya dan cukup dengan lisan, nasihat, atau peringatan. Selain itu juga, sekiranya dia bimbang bahawa nasihat atau perkataannya tersebut dapat menyebabkan perkara yang serupa (kemudharatan), maka cukuplah untuk dia mengubah kemungkaran tersebut dengan hatinya. Itulah yang dimaksudkan oleh hadis tersebut.” (Syarh Shahih Muslim, 2/25)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah menyebutkan, “Majoriti ulama ahli sunnah dari kalangan fuqaha’ (ahli fiqh), ahli hadis, dan ahli kalam menyatakan bahawa pemimpin tidak dilucutkan (atau dijatuhkan kepimpinannya) atas sebab kefasikan, kezaliman, dan perbuatannya yang merampas hak-hak umat Islam, dan tidak boleh khuruj (keluar dari ketaatan) terhadapnya. Tetapi umat Islam wajib untuk menasihati dan menggerunkan (atau menyentuh) hatinya dengan hadis-hadis (yang berbentuk ancaman atau peringatan) berkaitan perkara tersebut.” (Syarh Shahih Muslim, 12/229)

Dalam beberapa hadis yang lain disebutkan suatu prinsip bahawa kita diperintahkan supaya menutupi aib dan menyembunyikan kesalahan orang lain. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لاَ يَسْتُرُ عَبْدٌ عَبْدًا فِي الدُّنْيَا إِلَّا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

“Tidaklah seseorang hamba itu menyembunyikan kesalahan (aib) hamba yang lain melainkan Allah akan menyembunyikan kesalahanya (aibnya) pada hari kiamat.” (Shahih Muslim, Kitab Al-Birri wa Ash-Shilati wa Al-Adab, no. 2590)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah mengulas berkenaan hadis-hadis dalam bab ini:

وأمَّا السِّترُ المندوب إليه هنا، فالمراد به الستر على ذوي الهيئاتِ ونحوهم، ممَّن ليس معروفاً بالأذى والفسادِ، فأمَّا المعرُوفُ بذلك فيُستحبُّ ألاَّ يُستَرَ عليه؛ تُرفعُ قضيَّتُه إلى وليِّ الأمرِ، إن لم يُخَفْ من ذلك مفسدةً، لأنَّ السِّترَ على هذا يُطْمِعُهُ في الإيذاءِ والفسادِ، وانتهاكِ الحُرُمات، وجَسارةُ غيرِه على مثلِ فِعْلِه

“Adapun menyembunyikan kesalahan yang dituntut (mandub) di sini, maka maksudnya adalah menyembunyikan kesalahan orang-orang yang dikenali (para pemimpin) serta yang seumpama dengannya yang terdiri dari mereka yang tidak dikenali dengan perbuatan zalim dan jahat. Adapun mereka yang dikenali dengan seumpama itu maka dituntut agar tidak disembunyikan perbuatannya dan dilaporkan perbuatannya itu kepada pihak berkuasa (pemerintah). Sekiranya tidak, dibimbangi kemudharatan hasil dari perbuatannya itu kerana menyembunyikan kesalahannya akan menjadikan ia semakin berani untuk melakukan kejahatan dan kerosakkan serta memperkosa segala maruah dan menjadi jambatan kepada orang lain untuk mengikutinya.” (Syarh Shahih Muslim, 16/135)

Al-Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah (Wafat: 241H) berkata:

لناسُ يَحتاجون إلى مُداراةٍ، ورِفْقٍ في الأمرِ بالمعروفِ، بلا غِلْظةٍ، إلاَّ رجُلاً مُبايناً، مُعلناً بالفسْقِ والرَّدى، فيجبُ عليك نهيُهُ وإعلامُهُ؛ لأنَّه يُقالُ: ليس لِفاسقٍ حُرمةٌ، فهذا لا حُرْمةَ له

“Manusia memerlukan kesopanan, kelembutan, dan tanpa kekerasan dalam melaksanakan suruhan kepada perkara ma’ruf. Melainkan mereka yang menonjolkan secara terang-terangan kefasikannya dan melakukan kerosakan, maka wajib ke atas kamu mencegahnya dan menjelaskan perbuatannya tersebut kerana seseorang yang fasiq itu tidak memiliki kehormatan dan dia tiada maruah.” (Al-Amru bil Ma’ruf wan-Nahyi ‘Anil-Munkar oleh Al-Khallal, m/s. 35)

Maksudnya di sini adalah supaya kita apabila menegur kesalahan seseorang hendaklah dengan tidak dicanangkan dan dihebohkan berkaitan kesalahannya dan siapa pelaku tersebut. Cukup ia dilakukan di antara kita dengan pelaku tersebut. Melainkan bagi mereka yang telah jelas tidak boleh ditegur malah membahayakan pula kepada agama dan masyarakat. Ini adalah merujuk seperti kepada ahli bid’ah yang merosakkan banyak perkara berkaitan kefahaman agama atau terhadap para penjenayah yang membahayakan lagi mengancam keselamatan masyarakat. Di mana masyarakat perlu berhati-hati terhadapnya dan pesalah tersebut perlu segera dibawa ke muka pengadilan.

Adapun jika merujuk amar ma’ruf nahi mungkar yang ditujukan tehadap pihak pemerintah, di sana ianya memiliki perincian-perincian tertentu serta kaedah-kaedah yang bersifat khusus berdasarkan ketetapan dalil-dalil syar’i dan penegasan para ulama ahli sunnah wal-jama’ah yang insyaAllah akan disebutkan dalam tulisan yang lain.

Asy-Syaikh ‘Abdus Salam bin Barjas rahimahullah dalam Mu’aamalatul Hukkam menukilkan perkataan Imam Ibnu An-Nuhas, katanya:

فإن كان السلطان – فليس لأحد منعه بالقهر باليد، ولا أن يشهر عليه سلاحاً، أو يجمع عليه أواناً لأن في ذلك تحريكاً للفتن وتهييجاً للشر، وإذهاباً لهيبة السلطان من قلوب الرعية وربما أدي ذلك إلي تجريهم على الخروج عليه وتخريب البلاد، وغير ذلك مما لا يخفي

“Tetapi jika yang melakukan kemungkaran adalah para pemimpin, “Maka sesiapa pun tidak boleh mencegahnya dengan cara kekerasan, menghunuskan pedang (senjata) di hadapannya, atau melakukan tunjuk perasaan (mogok), kerana perkara tersebut akan menimbulkan fitnah, membangkitkan rusuhan, dan menghilangkan kewibawaan pemerintah di mata rakyat. Bahkan, adakalanya perkara tersebut boleh mengakibatkan pemberontakan terhadap kepimpinannya dan merosakkan negara serta beberapa risiko-risiko besar lainnya yang sedia diketahui.” (Tanbih Al-Ghafilin, m/s. 46. Dinukil dari Mu’aamalatul Hukkam karya ‘Abdus Salam Barjas)

Bagi pihak-pihak (atau kumpulan tertentu) yang menganggap bahawa amar ma’ruf nahi mungkar terhadap pemerintah muslim itu dilakukan dengan cara keluar melakukan penentangan, aktiviti-aktiviti kepembangkangan, provokasi, pemberontakan, celaan, berusaha menjatuhkannya dan keluar dari ketaatan terhadapnya, maka itu secara jelas adalah methode yang salah, mungkar, bid’ah, menyimpang, bathil, dan sesat.

Ibn Khaldun rahimahullah (Wafat: 808H) menegaskan berkaitan hal ini dengan katanya:

ومن هذا الباب أحوال الثّوّار القائمين بتغيير المنكر من العامّة والفقهاء فإنّ كثيرا من المنتحلين للعبادة وسلوك طرق الدّين يذهبون إلى القيام على أهل الجور من الأمراء داعين إلى تغيير المنكر والنّهي عنه والأمر بالمعروف رجاء في الثّواب عليه من الله فيكثر أتباعهم والمتلثلثون بهم من الغوغاء والدّهماء ويعرّضون أنفسهم في ذلك للمهالك وأكثرهم يهلكون في هذا السّبيل مأزورين  غير مأجورين لأنّ الله سبحانه لم يكتب ذلك عليهم وإنّما أمر به حيث تكون القدرة عليه قال صلّى الله عليه وسلّم: من رأى منكم منكرا فليغيّره بيده فإن لم يستطع فبلسانه فإن لم يستطع فبقلبه

“Dan dari bab ini termasuk apa yang berlaku kepada para pemberontak yang bangkit bangun dengan tujuan mengubah kemungkaran dari kalangan orang awam dan para fuqaha’, kebanyakan mereka yang melazimi jalan ibadah dan agama bangun memberontak terhadap pemerintah yang zalim dengan menyeru untuk mengubah kemungkaran dan menyuruh kepada amar ma’ruf dengan harapan meraih pahala dari Allah atas usaha tersebut maka banyaklah pengikut mereka dan orang-orang yang turut bercampur bersama mereka dari kalangan orang-orang yang bodoh dan orang-orang awam, mendedahkan diri mereka kepada kebinasaan dan kebanyakan mereka binasa dalam usaha ini dalam keadaan mereka berdosa tidak mendapat pahala dari Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana Allah tidak memerintahkan mereka untuk melakukannya tetapi memerintahkan mereka dengannya (mengubah kemungkaran) apabila mereka mempunyai kudrat (kemampuan yang cukup) atasnya. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam (maksudnya), “Sesiapa yang melihat di kalangan kamu suatu kemungkaran, maka tegahlah ia dengan tangannya. Sekiranya tidak mampu, maka tegahlah dengan lisannya (perkataan). Sekiranya tidak mampu, maka tegahlah dengan hatinya.” (Tarikh Ibn Khaldun, 1/200. – Daar Al-Fikr, Beirut, Cet. 2)

Wallahu a’lam.

hasil amar makruf nahi mungkar

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest

Comments

  1. wan or sean
    June 4, 2011 at 1:11 am

    benar..baginda Rasullullah s.a.w xmarah pada pemuda jahil 2..malah membersihkan tmpt tersebut..
    macam mana la kita hendak mencontohi sifat RASULLULLAH SAW..hebat baginda

  2. luahfikiran
    June 14, 2011 at 1:58 pm

    SALAM,
    TERIMA KASIH ATAS TAZKIRAH

  3. mencari kebenaran
    July 19, 2011 at 5:50 pm

    senang ja wan bacalah al quran dan hayatilah dan cubalah amalkanya didalam kehidupan dan bro nak copy paste boleh ya .tq

  4. EI
    August 7, 2011 at 10:34 pm

    beanr mas gan, ini lah baginda rasul. Bukan main hajr langsung. Atau vonis, ahli maksiat, ahli bid'ah, Kafir, dll. Tapi dilihat dulu orangnya.

    Dan satu hal, Kasih sayang beliau lebih besar daripada marahnya.
    Rindu kami padamu Ya rasul Allah.
    Engkau lebih kami cintai dari bapak ataupun ibu kami.

Comments are closed.