stickyimage

“Selamat bersatu di atas sunnah, jalan Nabi dan para sahabat.”

Close
http://www.ilmusunnah.com/wp-content/uploads/2012/04/ads.png

Hukum Makan Sampai Kenyang

Berpada-pada Apabila Makan
Bolehkah Makan Sehingga Kekenyangan? 

Abu Numair Nawawi B. Subandi
www.ilmusunnah.com

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَا مَلأَ ابْنُ آدَمَ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ

“Tidak ada tempat yang diisi oleh anak keturunan Adam yang lebih buruk dari perutnya.” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 17186. at-Tirmidzi, no. 2380. Dinilai sahih oleh at-Tirmidzi)

Sambungan hadis dalam riwayat at-Tirmidzi:

بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أُكُلَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ، فَإِنْ كَانَ لَا مَحَالَةَ فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ وَثُلُثٌ لِنَفَسِهِ

“Cukuplah bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya (tulang punggung). Melainkan jika ia tidak dapat mengelak, maka isilah 1/3 untuk makanannya, 1/3 untuk minumannya, dan 1/3 untuk nafasnya.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, no. 2380. Dinilai sahih oleh at-Tirmidzi)

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

الْكَافِرُ يَأْكُلُ فِي سَبْعَةِ أَمْعَاءٍ، وَالْمُؤْمِنُ يَأْكُلُ فِي مِعًى وَاحِدٍ

“Orang-orang kafir makan dengan tujuh perut, manakala orang-orang beriman makan dengan satu perut.” (Shahih al-Bukhari, no. 5395. Bab: Orang-orang beriman makan dengan satu perut. Shahih Muslim, no. 2060)

Syarah dan Huraian Hadis:

Hadis ini menunjukkan celaan terhadap orang yang gemar berlebih-lebihan dalam soal makan, atau celaan terhadap orang yang kekenyangan dan suka memenuhkan perutnya dengan makanan.

Hadis ini juga turut mengkhabarkan kesan buruk terhadap agama dan tubuh. Kerana makan yang berlebihan mampu menimbulkan pelbagai penyakit dan akan menghalang seseorang dalam menegakkan hukum-hukum Allah.

Ini adalah petunjuk terbaik bagi seorang manusia dari sebaik-baik manusia bahawa ukuran makanan terbaik untuk diisi ke dalam perut adalah 1/3 penuh. Kapasiti ini mampu meringankan kerja-kerja tapak penghadaman, bermanfaat bagi tubuh, dan mampu menguatkan tubuh serta menjauhkannya dari pelbagai jenis penyakit.

Terdapat banyak hadis yang mencela seseorang yang makan hingga kekenyangan. Di antaranya hadis yang diriwayatkan oleh al-Bazzar dengan dua sanad. Salah satunya diriwayatkan dengan sanad marfu’ dan para perawi yang tsiqah, iaitu:

أكثر الناس شبعا في الدنيا أطولهم جوعا في الآخرة

“Orang yang paling banyak kenyang semasa di dunia adalah orang yang paling banyak mengalami kelaparan pada hari kiamat.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, no. 2478. At-Tirmidzi menghasankannya, demikian juga al-Albani dalam Shahih al-Jami’ ash-Shaghir, no. 1199. Ash-Shahihah, no. 343)

Hadis tersebut diucapkan kepada Abu Juhaifah yang pada ketika itu mengeluarkan bunyi sendawa.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

ما ملأت بطني منذ ثلاثين سنة

“Perutku belum pernah penuh semenjak 30 tahun lalu.”

Dan ath-Thabrani meriwayatkan sebuah hadis dengan sanad yang hasan:

أَهْلَ الشَّبَعِ فِي الدُّنْيَا هُمْ أَهْلُ الْجُوعِ فِي الآخِرَةِ

“Orang-orang yang biasa kekenyangan semasa di dunia, mereka adalah orang-orang yang kelaparan di akhirat.” (Hadis Riwayat ath-Thabrani, al-Mu’jam al-Kabir, no. 11693. Al-Mundziri, al-Bushairi, dan al-Albani juga menghasankannya)

Ath-Thabrani meriwayatkan dengan sanad yang jayyid bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah melihat seorang lelaki yang memiliki perut yang sangat gemuk (boroi), kemudian beliau pun berkata sambil memberikan isyarat dengan jari-jarinya:

لو كان هذا في غير هذا لكان خيرا لك

“Sekiranya perutmu tidak seboroi ini, tentulah lebih baik bagimu.” (Hadis Riwayat ath-Thabrani, al-Mu’jam al-Kabir, no. 2184. Dinilai dhaif oleh al-Albani)

Syaikhaan (Imam al-Bukhari dan Muslim) meriwayatkan dengan lafaz yang ringkas sebagaimana berikut:

إِنَّهُ لَيَأْتِي الرَّجُلُ الْعَظِيمُ السَّمِينُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا يَزِنُ عِنْدَ اللَّهِ جَنَاحَ بَعُوضَةٍ وَقَالَ اقْرَءُوا { فَلَا نُقِيمُ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَزْنًا }

“Sesungguhnya pada hari kiamat akan datang seorang yang bertubuh amat gemuk, tetapi di sisi Allah timbangannya tidaklah lebih berat dari sayap seekor nyamuk. Dan beliau berkata, bacalah: “Kami tidak mengadakan sebarang penilaian bagi (amalan) mereka pada hari kiamat.” (Surah al-Kahfi, 18: 105).” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 4360. Muslim, 4991)

Dalam sebuah hadis sahih disebutkan:

كُلُوا وَاشْرَبُوا وَالبَسُوا وَتَصَدَّقُوا، فِي غَيْرِ إِسْرَافٍ وَلاَ مَخِيلَةٍ

“Makan, minum, berpakaian, dan bersedekahlah. Tetapi jangan boros dan jangan bersikap sombong.” (Ahmad, no. 6695. Hadis Riwayat al-Bukhari, 7/140. An-Nasaa’i, no. 2559)

Diriwayatkan oleh Ibnu Abi ad-Dunya dan ath-Thabrani dalam al-Ausath:

سيكون رجال من أمتي يأكلون ألوان الطعام ويشربون ألوان الشراب ويلبسون ألوان الثياب ويتشدقون في الكلام فأولئك شرار أمتي

“Kelak akan muncul para lelaki dari kalangan umatku makan dengan pelbagai jenis makanan, minum dengan pelbagai jenis minuman, berpakaian dengan pelbagai jenis pakaian, dan gemar cakap besar. Mereka adalah seburuk-buruk umatku.” (Hadis Riwayat ath-Thabrani, al-Mu’jam al-Ausath, no. 2351. Dinilai hasan oleh al-Albani)

Luqman pernah berkata kepada anaknya, “Wahai anakku, apabila perut telah penuh maka fikiran pun akan tertidur, tidak dapat mendengar hikmah (pelajaran), dan anggota badan pun terasa berat dari ibadah.”

Perut yang kosong dari makanan memiliki faedah-faedah dan perut yang penuh memiliki kesan buruk. Perut yang lapar dapat membersihkan hati, menghilangkan sifat buruk, dan meningkatkan kecerdasan serta wawasan.

Manakala perut yang sentiasa kekenyangan akan menjadikan otak menjadi lembab, menggelapkan hati, banyak menguap, dan otak sering berkhayal. Dan ini boleh menyebabkan tertutupnya fikiran sehingga hati menjadi berat ketika dibawa untuk berfikir.

Di antara faedah diperolehi hasil perut yang lapar adalah seperti melemahnya dorongan hawa nafsu untuk bermaksiat dan mengurangkan dorongan melakukan kerja-kerja yang buruk. Kerana di antara faktor yang memperkuatkan dorongan hawa nafsu dan syahwat itu adalah makanan.

Dengan meminimakan makan bererti dapat melemahkan dorongan hawa nafsu. Kehidupan yang sejahtera mampu dikecapi oleh seseorang apabila ia mampu mengawal nafsunya. Adapun hasil kehidupan yang buruk akan diperolehi oleh seseorang yang tidak mampu mengawal hawa nafsunya dengan betul.

Ketika perut lapar maka yang pertama sekali melemah adalah nafsu seks dan keinginan berbicara. Jika perut seseorang sedang lapar maka tidak ada dorongan nafsu dan keinginan untuk berbicara sehingga orang tersebut terhindar dari kesalahan lisan. Dalam keadaan seperti ini, nafsu seks juga akan melemah sehingga orang tersebut terhindar dari perbuatan-perbuatan yang terlarang.

Di antara faedah yang lain adalah berkurangnya keinginan untuk tidur. Kerana seseorang yang makan dan minum dalam jumlah yang banyak maka tidurnya juga akan semakin lama dan sudah tentu tidur yang banyak tersebut akan menimbulkan kerugian di dunia dan akhirat serta akan terluputlah banyak perkara agama dan dunia yang bermanfaat.

Di dalam kitab al-Ihyaa’, Imam al-Ghazali menyenaraikan 10 faedah hasil sedikit makan (tidak melampau dalam makan) dan 10 kesan buruk akibat banyak makan. Oleh sebab itu, hendaklah seorang hamba tidak mengamalkan perkara tersebut (mengamalkan banyak makan) kerana akan mendorong dirinya bersikap rakus dan ia akan merasa sukar untuk meninggalkannya.

Oleh sebab itulah, dari awal perlu dilakukan pencegahan (atau penjagaan),kerana mencegah itu lebih mudah daripada menghilangkan kesan buruk yang telah timbul.

Sekian ulasan dan komentar Imam ash-Shan’ani rahimahullah dalam Subulus Salam (4/311-312 – al-Maktabah at-Taufiqiyyah).

Kurang makan Tubuh Menjadi Lemah

Tubuh manusia memang memerlukan makanan yang bermanfaat dalam kadar yang betul agar tubuh menjadi segar dan boleh bekerja serta beribadah. Tetapi apabila makan terlalu banyak atau berlebih-lebihan dengan kerap, maka kesan yang tidak baik lainnya pula yang mungkin muncul. Demikian juga apabila makan makanan yang tidak baik, maka ia juga menjadi faktor datangnya penyakit.

Sebab itulah Rasulullah menyarankan melalui sabdanya di atas:

“Cukuplah bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya (tulang punggung).” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, no. 2380. Dinilai sahih oleh at-Tirmidzi)

Tetapi apabila makan sehingga kenyang itu bukan termasuk amalan kebiasaan atau terjadi pada waktu-waktu yang jarang (kadang-kadang) dan tidak terus-menerus diamalkan, maka insyaAllah tidak mengapa.

Ini kerana dalam Shahih al-Bukhari sendiri disebutkan bahawa Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu pernah minum susu sehingga beliau berkata, “Demi Allah wahai Rasulullah, aku sudah tidak memiliki cara untuk terus meminumnya (kerana perut telah penuh).”

Dalam hadis Anas juga disebutkan bahawa para sahabat makan makanan hasil berkat doa Nabi sehingga kenyang. (Shahih al-Bukhari, no. 3578, 5381, 5450, 6688)

Juga dalam hadis yang lain, ‘Abdurrahman B. Abu Bakr radhiyallahu ‘anhu berkata:

كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلاَثِينَ وَمِائَةً، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «هَلْ مَعَ أَحَدٍ مِنْكُمْ طَعَامٌ» فَإِذَا مَعَ رَجُلٍ صَاعٌ مِنْ طَعَامٍ أَوْ نَحْوُهُ، فَعُجِنَ، ثُمَّ جَاءَ رَجُلٌ مُشْرِكٌ مُشْعَانٌّ طَوِيلٌ، بِغَنَمٍ يَسُوقُهَا، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَبَيْعٌ أَمْ عَطِيَّةٌ» أَوْ قَالَ: «هِبَةٌ» قَالَ: لاَ، بَلْ بَيْعٌ، قَالَ: فَاشْتَرَى مِنْهُ شَاةً فَصُنِعَتْ، فَأَمَرَ نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِسَوَادِ البَطْنِ يُشْوَى، وَايْمُ اللَّهِ، مَا مِنَ الثَّلاَثِينَ وَمِائَةٍ إِلَّا قَدْ حَزَّ لَهُ حُزَّةً مِنْ سَوَادِ بَطْنِهَا، إِنْ كَانَ شَاهِدًا أَعْطَاهَا إِيَّاهُ، وَإِنْ كَانَ غَائِبًا خَبَأَهَا لَهُ، ثُمَّ جَعَلَ فِيهَا قَصْعَتَيْنِ، فَأَكَلْنَا أَجْمَعُونَ وَشَبِعْنَا، وَفَضَلَ فِي القَصْعَتَيْنِ، فَحَمَلْتُهُ عَلَى البَعِيرِ، أَوْ كَمَا قَالَ

“Kami pernah bersama-sama Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam (dalam perjalanan) berjumlah seratus tiga puluh orang lalu beliau berkata:

“Adakah di antara kamu yang memiliki makanan? Jika ada sebanyak satu sha’ makanan atau sejenisnya, maka buatlah adunan.” Kemudian datang seorang musyrik yang berambut panjang lagi kusut-masai membawa kambing yang digiringnya. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata:

“Adakah kambing ini untuk dijual atau untuk diberi percuma?” Atau Beliau berkata dengan perkataan: “Atau sebagai hadiah?” Orang tersebut menjawab: “Tidak, tapi untuk dijual.”

Maka Beliau membeli seekor darinya. Lalu kambing tersebut pun dimasak dan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan agar hatinya dibahagi-bahagikan. Demi Allah, tidak ada daripada kami yang berjumlah seratus tiga puluh orang melainkan telah diberikan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam potongan jantung dari isi perut kambing tersebut. Jika ada yang hadir di situ, pasti diberi, dan jika tidak tidak ada, disimpan untuknya. Maka ia pun dibuat menjadi dua bekas (atau pinggan), lalu mereka pun makan semuanya dan kami merasa kenyang, dan masih tersisa dua bekas lalu kami bawa di atas unta, atau sebagaimana dikatakannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, bab: Sesiapa Makan Hingga Kenyang, no. 5382)

Ibnu Baththal mengatakan sebagaimana disebutkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah (Wafat: 852H):

جواز الشبع وأن تركه أحيانا أفضل

“Hadis-hadis ini menunjukkan dibolehkan makan hingga kenyang walaupun adakalanya tidak kenyang itu lebih afdhal.” (Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari, 9/528)

Ath-Thabari berkata:

غير أن الشبع وأن كان مباحا فإن له حدا ينتهي إليه وما زاد على ذلك فهو سرف والمطلق منه ما أعان الأكل على طاعة ربه ولم يشغله ثقله عن أداء ما وجب عليه

“Walaupun kenyang itu mubah, tetapi ia memiliki batas dan tidak boleh melampau dari itu. Kenyang yang dibenarkan secara umum adalah yang dapat membantu seseorang untuk melakukan ketaatan kepada Rabb-nya dan beratnya makan tidak menjadikannya lalai dari menunaikan kewajibannya.” (Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari, 9/528)

Al-Qurthubi berkata dalam al-Mufham ketika menyebutkan kisah Abu Haitsam, ketika Nabi menyembelihkan seeokor kambing untuknya dan untuk dua orang sahabatnya, mereka pun makan sehingga kenyang. Kata al-Qurthubi, “Di dalam kisah ini terdapat dalil dibolehkan kenyang. Adapun hadis yang melarang kenyang, ia boleh difahami bahawa kenyang yang dilarang tersebut adalah yang memberatkan perut dan menghalang orang untuk melaksanakan ibadah, melahirkan perasaan sombong, angkuh, asyik tidur, dan menjadi malas. Kenyang yang dibenci ini boleh menjadi haram bersesuaian dengan kesan buruk yang ditimbulkannya.” (Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari, 9/528)

Kata Imam al-Ghazali rahimahullah, “Peringkat-peringkat kenyang itu ada beberapa jenis. Pertama, kenyang yang menjadi penopang kehidupan. Kedua, kenyang yang bertujuan untuk boleh berpuasa dan berdiri solat. Ketiga, kenyang supaya boleh melaksanakan amalan-amalan sunnah. Keempat, kenyang yang menjadikannya mampu bekerja. Kelima, kenyang yang cukup-cukup memenuhi sepertiga perut, dan ini diharuskan. Keenam, kenyang yang melebihi 1/3 perut sehingga menyebabkan badan menjadi berat dan banyak tidur. Ini dibenci. Ketujuh, kenyang yang melebihi 1/3 perut sehingga membahayakannya, dan ini adalah kenyang yang dilarang dan ianya haram.” (Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari, 9/528-529)

Dalam Thibbun Nabawi karya Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H), dijelaskan bahawa pengambilan makanan perlulah pada kadar yang betul. Di antara sebab-sebab timbulnya penyakit adalah:

1, Mengambil makanan dengan belebihan, pelbagai aneka jenis, dan dari jenis yang sukar untuk dihadam oleh sistem penghadaman.

2, Mengambil makanan yang banyak sebelum makanan yang dimakan di waktu pertama sempat dihadam atau dicernakan sistem penghadaman.

3, Makan sehingga melampaui keperluan tubuh.

Kata Ibnul Qayyim lagi, “Jika seseorang itu mengambil makanan pada kadar yang betul, hanya makan bersesuaian dengan keperluan, serta kuantiti dan kualiti apa yang dimakan itu terjaga pada kadar yang betul, maka tubuh akan mendapat manfaat yang banyak dari hasil makanan tersebut.”

Kata beliau lagi, “Seseorang itu cukup dengan bebrapa suap makanan yang dapat menegakkan tulang sulbinya sehingga kekuatannya tidak berkurang dan badannya tidak lemah. Tetapi jika lebih dari itu, hendaklah ia makan paling banyak pun tidak lebih dari 1/3 perutnya. Manakala 1/3 lainnya dibiarkan untuk minuman dan pernafasan. Ini adalah cara makan yang paling bermanfaat untuk badan dan jantung. Sekiranya perut seseorang penuh dengan makanan, maka tempat untuk minuman pun menjadi sempit. Jika tempat tersebut diisi dengan minuman, maka tempat untuk pernafasan menjadi sempit dan ia akan mengalami kepayahan. Ini juga akan menjadi faktor terganggunya fungsi tubuh dan jantung sekaligus membahayakannya.

Kekenyangan yang melampau akan mengurangkan daya tubuh walaupun ia mungkin menaikkan tubuh badan. Kekuatan tubuh badan yang betul itu sebenarnya terbina hasil dari khasiat (atau gizi) yang diserapnya (dari makanan yang berkualiti), bukan dari banyaknya makan (secara umum).” (Thibbun Nabawi, m/s. 18-19)

Wallahu a’lam…

678 days ago by