Hukum Menyebutkan Kebaikan Diri Sendiri Dan Rinciannya

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H)
www.ilmusunnah.com

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah berkata:tambah bahagian dan kebaikan dengan ilmu

بابُ مدح الإِنسان نفسه وذكر محاسنه

Bab Pujian Seseorang Terhadap Dirinya dan Penyebutan Kebaikan Diri Sendiri

قال الله تعالى: {فَلا تُزَكُّوا أنْفُسَكُمْ} [النجم:32]

Allah Ta’ala berfirman:

“Maka janganlah engkau mengatakan dirimu suci.” (Surah An-Najm, 53: 32)

اعلم أن ذكرَ محاسن نفسه ضربان: مذموم، ومحبوب، فالمذمومُ أن يذكرَه للافتخار وإظهار الارتفاع والتميّز على الأقران وشبه ذلك؛ والمحبوبُ أن يكونَ فيه مصلحة دينية، وذلك بأن يكون آمرًا بمعروف أو ناهيًا عن منكر أو ناصحًا أو مشيرًا بمصلحة أو معلمًا أو مؤدبًا أو واعظًا أو مذكِّرًا أو مُصلحًا بين اثنين أو يَدفعُ عن نفسه شرًّا أو نحو ذلك،

Ketahuilah bahawa menyebutkan kebaikan diri sendiri terbahagi kepada dua bentuk:

Yakni yang tercela dan yang terpuji.

Yang tercela adalah menyebutkan kebaikan diri sendiri dengan niat bermegah-megah (berbangga diri), menzahirkan ketinggian, bagi menampakkan jurang perbezaan darjat, dan yang serupa dengannya.

Manakala penyebutan yang terpuji adalah menyebutkan kebaikan diri yang padanya terkandung kemaslahatan bagi agama; seperti ketika bertujuan dalam rangka amar ma’ruf nahi mungkar, memberi nasihat, menunjukkan kepada kemaslahatan, bertujuan mengajar, mendidik, memberi faedah, memberi peringatan, bagi mendamaikan antara dua orang yang bertikai, bertujuan menolak keburukan dari dirinya dan yang seumpama dengannya.

فيذكر محاسنَه ناويًا بذلك أن يكون هذا أقربَ إلى قَبول قوله واعتماد ما يذكُره، أو أن هذا الكلام الذي أقوله لا تجدونه عند غيري فاحتفظوا به أو نحو ذلك، وقد جاء في هذا لهذا المعنى ما لا يحصى من النصوص

Berdasarkan sebab-sebab tersebut, maka dia boleh menyebutkan kebaikan-kebaikan dirinya diiringi dengan niat agar perkataannya lebih mudah diterima dan segala apa yang diungkapkan dapat dijadikan sebagai pegangan atau dia mengatakan (dengan ungkapan semisal):

“Penjelasan yang saya ungkapkan ini tidak dapat kalian perolehi dari orang lain.”

Sehingga mereka pun mengambil perhatian terhadapnya atau dengan ungkapan seumpamanya.

Bahawa nash-nash yang datang bagi menjelaskan pada makna ini sangatlah banyak.

كقول النبيّ صلى الله عليه وسلم “أنا النَّبِي لا كَذِبْ”

Misalnya sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Aku adalah seorang Nabi, tidak ada kedustaan.”

“أنا سَيِّدُ وَلَد آدَم”

“Aku adalah pemimpin anak-cucu Adam.”

“أنا أوَّلُ مَنْ تَنْشَقُّ عَنْهُ الأرْضُ”

“Aku adalah orang yang pertama sekali tanah kuburannya terbuka (pada hari kebangkitan nanti).”

أنا أعْلَمُكُمْ باللَّهِ وأتْقاكُمْ”

“Aku adalah orang yang paling mengenal Allah dan paling bertaqwa di antara kalian.”

“إني أبِيتُ عنْدَ ربي”

“Sesungguhnya aku bermalam di sisi Rabb-ku.”

وأشباهه كثيرة، وقال يوسف صلى الله عليه وسلم:

Dan hadis-hadis yang serupa dengannya sangatlah banyak. Dan

Kemudian, (dalil yang lain menyebutkan) Nabi Yusuf Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata (sebagaimana tercatat dalam Al-Qur’an):

قَالَ اجْعَلْنِي عَلَى خَزَائِنِ الْأَرْضِ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ (55)

“Jadikanlah aku bendaharawan negara (Mesir), sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga lagi berpengetahuan.” (Surah Yusuf, 12: 55)

وقال شعيب صلى الله عليه وسلم:

Dan Nabi Syu’aib Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata:

سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّالِحِينَ (27)

“Kamu insya Allah akan mendapati aku termasuk orang-orang yang baik.” (Surah Al-Qashash, 28: 27)

وقال عثمان رضي الله عنه حين حُصر ما رويناه في صحيح البخاري أنه قال:

Dan berkata ‘Utsman radhiyallahu ‘anhu ketika dikepung sebagaimana yang kami riwayatkannya di Shahih Al-Bukhari, bahawa beliau berkata:

ألستم تعلمون أنَّ رسولَ الله صلى الله عليه وسلم قال: “مَنْ جَهّزَ جَيْشَ العُسْرَةِ فَلَهُ الجَنَّةُ؟ ” فجهّزتهم، ألستم تعلمون أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: “مَنْ حَفَرَ بِئرَ رُومَة فَلَهُ الجَنَّةُ” فحفرتها؟ فصدّقوه بما قاله.

“Adakah kalian tidak mengetahui bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bersabda, “Siapa yang menyediakan bekal kelengkapan kepada pasukan Al-‘Usrah (yakni tentera pasukan perang Tabuk), maka baginya Syurga.”

Maka sesungguhnya aku telah menyediakan kelengkapan kepada pasukan tersebut. Dan adakah kalian tidak mengetahui bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bersabda:

“Sesiapa yang menggali telaga Ruumah (yakni sebuah telaga di Madinah yang segar airnya yang telah dibeli oleh ‘Utsman dari seorang Yahudi – pent.), maka baginya Syurga…” dan akulah yang menggali telaga tersebut (yakni ‘Utsman telah memperluaskannya untuk manfaat kaum muslimin – pent.).”

Maka mereka pun membenarkan apa yang dikatakan oleh ‘Utsman tersebut.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2864. Shahih Muslim, no. 2278)

وروينا في صحيحيهما، عن سعد بن أبي وقاص رضي الله عنه أنه قال حين شكاه أهل الكوفة إلى عمر بن الخطاب رضي الله عنه وقالوا: لا يُحسن يصلي، فقال سعد: والله إنّي لأول رجل من العرب رمى بسهم في سبيل الله تعالى، ولقد كنّا نغزو مع رسول الله صلى الله عليه وسلم، وذكر تمام الحديث.

Kami meriwayatkan di dua kitab Shahih (Shahih Al-Bukhari dan Muslim), dari Sa’d bin Abi Waqqash radhiyallahu ‘anhu bahawa beliau berkata ketika penduduk Kufah mengadukan dirinya kepada Khalifah ‘Umar bin Al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu, mereka berkata bahawa Sa’d tidak melaksanakan solat dengan baik, maka Sa’d pun berkata:

“Demi Allah, aku adalah orang ‘Arab yang pertama kali melempar anak panah di jalan Allah, dan sesungguhnya kami telah berperang bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam…” dan beliau telah menyebutkan hadis ini selengkapnya. (Shahih Al-Bukhari, no. 3728. Muslim, no. 2966)

وروينا في صحيح مسلم، عن عليّ رضي الله عنه قال: والذي فلق الحبَّة وبرأَ النسمةَ، إنه لعهدُ النبيّ صلى الله عليه وسلم إليّ “أنه لا يحبني إلا مؤمنٌ ولا يبغضني إلا منافق”. قلتُ: بَرَأَ مهموز معناه خلق؛ والنسمة: النفس.

Kami meriwayatkan di Shahih Muslim, dari ‘Ali radhiyallahu ‘anhu:

“Demi Dzat yang membelah biji-bijian dan menciptakan kehidupan, bahawasanya jaminan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepadaku, bahawa tidaklah mencintaiku melainkan dia seorang mukmin, dan tidaklah yang membenciku melainkan dia seorang munafiq.” (Shahih Muslim, no. 78)

وروينا في صحيحيهما، عن أبي وائل قال: خطبنا ابنُ مسعود رضي الله عنه فقال: والله لقد أخذتُ من في رسول الله صلى الله عليه وسلم بضعًا وسبعين سورة، ولقد علمَ أصحابُ رسول الله صلى الله عليه وسلم أني مِنْ أعلمهم بكتاب الله تعالى وما أنا بخيرهم، ولو أعلم أن أحدًا أعلمُ منّي لرحلتُ إليه.

Kami meriwayatkan di dua kitab Shahih (Shahih Al-Bukhari dan Muslim), dari Abi Waa’il beliau berkata:

“Ibnu Mas’ud radhiyallahu ‘anhu berkhutbah kepada kami, beliau mengatakan, “Demi Allah, benar-benar aku telah mengambil tujuh puluh surah lebih dari mulut Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam (secara langsung) dan benar-benar para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengetahui bahawa aku adalah orang yang paling tahu tentang kitab Allah Ta’ala di antara mereka, padahal aku bukanlah orang yang terbaik di antara mereka. Dan seandainya aku mengetahui ada seseorang yang lebih berilmu daripada aku, nescaya aku akan berangkat pergi (untuk belajar) kepada orang tersebut.”.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5000. Muslim, no. 2462)

وروينا في صحيح مسلم، عن ابن عباس رضي الله عنهما أنه سئل عن البدنة إذا أزحفت، فقال: على الخبير سقطتَ ـ يعني نفسَه ـ وذكر تمام الحديث. ونظائر هذا كثيرة لا تنحصر، وكلُّها محمولة على ما ذكرنا، وبالله التوفيق.

Dan kami meriwayatkan di Shahih Muslim, dari Ibn ‘Abbaas radhiyallahu ‘anhuma bahawa beliau ditanya tentang unta badanah (unta betina) yang berhenti kerana keletihan.

Maka beliau berkata, “Atas orang yang berilmu, maka engkau akan dapatkan jawabannya, (yakni pada diri beliau; Ibn ‘Abbaas). Dan beliau menyebutkan hadis secara sempurna…” (Shahih Muslim, no. 1325)

Hadis-hadis yang semisal ini sangatlah banyak dan tidak terhitung jumlahnya, yang semuanya mengandungi perbahasan yang kami sebutkan, wa billaahit Taufiq.

Sekian nukilan – Wallaahu a’lam.

Dipetik dari Kitab Al-Adzkar karya Al-Imam An-Nawawi rahimahullah.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest