Keadaan Gunung-ganang Ketika Tiba Hari Kiamat

www.ilmusunnah.comgunung-mountain

Al-Hafiz Ibn Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) menyebutkan:

يخبر تعالى عن أهوال يوم القيامة، وما يكون فيه من الأمور العظام، كما قال تعالى: { يَوْمَ تَمُورُ السَّمَاءُ مَوْرًا وَتَسِيرُ الْجِبَالُ سَيْرًا } [الطور:9، 10] أي: تذهب من أماكنها وتزول، كما قال تعالى: { وَتَرَى الْجِبَالَ تَحْسَبُهَا جَامِدَةً وَهِيَ تَمُرُّ مَرَّ السَّحَابِ } [النمل:88] ، وقال تعالى: { وَتَكُونُ الْجِبَالُ كَالْعِهْنِ الْمَنْفُوشِ } [القارعة:5] وقال: { وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْجِبَالِ فَقُلْ يَنْسِفُهَا رَبِّي نَسْفًا فَيَذَرُهَا قَاعًا صَفْصَفًا لا تَرَى فِيهَا عِوَجًا وَلا أَمْتًا } [طه:105-107] يقول تعالى: إنه تذهب الجبال، وتتساوى المهاد، وتبقى الأرض { قَاعًا صَفْصَفًا } أي: سطحًا مستويًا لا عوج فيه { وَلا أَمْتًا } أي: لا وادي ولا جَبَل؛ ولهذا قال تعالى: { وَتَرَى الأرْضَ بَارِزَةً } [أي: بادية ظاهرة، ليس فيها مَعْلَم لأحد ولا مكان يواري أحدًا، بل الخلق كلهم ضاحون لربهم لا تخفى عليه منهم خافية .قال مجاهد، وقتادة: { وَتَرَى الأرْضَ بَارِزَةً } ] لا خَمَرَ فيها ولا غَيَابة. قال قتادة: لا بناءَ ولا شَجَر.

“Allah Ta’ala mengkhabarkan tentang kengerian ketika Hari Kiamat di mana pada ketika itu terjadi banyak peristiwa yang besar (yang dahsyat lagi menakutkan). Ini antaranya sebagaimana firman Allah Ta’ala:

“Pada hari ketika langit bergegar dengan gegaran yang mengerikan. Dan gunung-gunung pula benar-benar berjalan (berganjak dari kedudukannya).” (Surah Ath-Thuur, 52: 9-10)

Yakni objek-objek langit dan gunung-gunung itu tanggal tercabut dari tempat-tempatnya dan lenyap.

Sebagaimana firman Allah Ta’ala di ayat yang lain:

“Engkau akan melihat (menyangka) gunung-gunung itu tetap teguh membeku pada tempatnya (sebagaimana pada hari ini), tetapi pada hakikatnya (pada Hari Kiamat nanti) ia berjalan (terbang) sebagaimana awan berjalan.” (Surah An-Naml, 27: 88)

Juga firman Allah Ta’ala:

“(Pada Hari Kiamat) dijadikan gunung-gunung itu hancur seperti bulu-bulu yang berhamburan (di udara).” (Surah Al-Qaari’ah, 102: 5)

Juga firman Allah:

“Mereka bertanya kepada engkau tentang gunung-gunung, maka katakanlah, “(Pada Hari Kiamat nanti) Rabb-ku akan mencabut gunung-gunung itu dari tempatnya dan menghancurkannya menjadi seperti debu yang berterbangan ditiup angin, lalu tapak bekas gunung-gunung itu akan diratakan, engkau tidak akan melihat padanya kesan meninggi mahupun lengkung berlopak.” (Surah Thaha, 20: 105-107)

Allah menyatakan bahawa Dia melenyapkan gunung-gunung sehingga ianya rata mendatar seraya bumi pun menjadi dataran yang rata, yakni menjadi datar lagi rata tidak ada tempat yang meninggi, dan tiada pula yang mendap rendah ke bawah menjadi lembah dan tidak pula yang menimbun ke atas seperti bukit.

Sebab itulah Allah Ta’ala berfirman:

“Engkau akan melihat bumi itu datar lagi rata (pada hari Kiamat).”

Yakni setiap kawasan menjadi datar sehingga pandangan tampak zahir tanpa sebarang tanda dan tidak ada padanya sebarang tempat untuk bersembunyi bagi sesiapa pun.

Seluruh makhluk dihadapkan kepada Rabbnya, tiada sesuatu pun daripada mereka yang tersembunyi bagi Allah.

Telah berkata Mujahid dan Qotadah tentang firman Allah Ta’ala:

“Dan engkau akan melihat bumi itu menjadi datar lagi lapang (yang pandangan tidak lagi terhadang dengan sesuatu).”

Yakni tiada lagi bebatuan dan tidak pula semak-samun, tiada bangunan-bangunan dan tidak juga pepohonan.” [Tafsir Ibn Katsir, 5/164-165]

Di halaman yang lain beliau berkata:

{ وَسُيِّرَتِ الْجِبَالُ فَكَانَتْ سَرَابًا } كقوله: { وَتَرَى الْجِبَالَ تَحْسَبُهَا جَامِدَةً وَهِيَ تَمُرُّ مَرَّ السَّحَابِ } [النمل :88] وكقوله: { وَتَكُونُ الْجِبَالُ كَالْعِهْنِ الْمَنْفُوشِ } [القارعة :5].

وقال هاهنا: { فَكَانَتْ سَرَابًا } أي: يخيل إلى الناظر أنها شيء، وليست بشيء، بعد هذا تَذهب بالكلية، فلا عين ولا أثر، كما قال: { وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْجِبَالِ فَقُلْ يَنْسِفُهَا رَبِّي نَسْفًا فَيَذَرُهَا قَاعًا صَفْصَفًا لا تَرَى فِيهَا عِوَجًا وَلا أَمْتًا } [طه :105 -107] وقال: { وَيَوْمَ نُسَيِّرُ الْجِبَالَ وَتَرَى الأرْضَ بَارِزَةً } [الكهف :47].

“(Firman Allah Ta’ala):

“Gunung-gunung diperjalankan (berganjak dan tercabut dari tempat-tempatnya) lalu menjadilah ia sirna (hancur seakan-akan tidak pernah ada).” (Surah An-Naba’, 78: 20)

Sebagaimana firman-Nya:

“Engkau akan melihat (menyangka) gunung-gunung itu tetap teguh membeku pada tempatnya (sebagaimana pada hari ini), tetapi pada hakikatnya (pada Hari Kiamat nanti) ia berjalan (terbang) sebagaimana awan berjalan.” (Surah An-Naml, 27: 88)

Di ayat yang lain lagi:

“(Pada Hari Kiamat) dijadikan gunung-gunung itu hancur seperti bulu-bulu yang berhamburan (di udara).” (Surah Al-Qaari’ah, 102: 5)

Allah berfirman di sini, “…lalu menjadilah gunung-ganang itu sirna (hancur seakan-akan tidak pernah ada).” (Surah An-Naba’, 78: 20)

Maksudnya, seakan-akan orang-orang yang melihatnya itu khayal seperti melihat sesuatu, sedangkan tidak ada sesuatu pun. Setelah itu gunung-gunung itu pun akan dilenyapkan seluruhnya, tanpa dapat dilihat lagi dan tanpa ada bekas yang ditinggalkan.

Ini adalah sebagaimana firman-Nya:

“Mereka bertanya kepada engkau tentang gunung-gunung, maka katakanlah, “(Pada Hari Kiamat nanti) Rabb-ku akan mencabut gunung-gunung itu dari tempatnya dan menghancurkannya menjadi seperti debu yang berterbangan ditiup angin, lalu tapak bekas gunung-gunung itu akan diratakan, engkau tidak akan melihat padanya kesan meninggi mahupun lengkung berlopak.” (Surah Thaha, 20: 105-107)

Di ayat yang lain Allah Ta’ala berfirman:

“(Ingatlah) pada hari yang ketika kami akan jadikan gunung-ganang itu berjalan, dan pada hari itu engkau akan melihat bumi itu datar lagi rata.” (Surah Al-Kahfi, 18: 47).” [Tafsir Ibn Katsir, 8/305]

Di tempat yang lain Ibnu Katsir berkata:

وقوله: { وَإِذَا الْجِبَالُ سُيِّرَتْ } أي: زالت عن أماكنها ونُسِفت، فتركت الأرض قاعا صفصفا.

“Dan di firman-Nya:

“(Pada hari ketika) apabila gunung-ganang diperjalankan.” (Surah At-Takwir, 81: 3)

Yakni berganjak dan tercabut dari tempat-tempatnya (di mana ia dipasakkan sebelumnya) lalu dihamburkan ke udara (dalam keadaan hancur). Maka bumi pun menjadi datar dan rata.” [Tafsir Ibn Katsir, 8/330]

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest