Kebanyakan Azab Kubur Berpunca Dari Air Kencing

www.ilmusunnah.com

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:tap_water

وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ

“Dan pakaianmu maka bersihkanlah (yakni sucikanlah).” (Surah Al-Muddatstsir, 74: 4)

Di ayat yang lain:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan Allah menyukai orang-orang yang menyucikan diri.” (Surah Al-Baqarah, 2: 222)

Dari ayat ini menjelaskan bahawa Allah menyukai orang-orang yang sentiasa berpakaian baik, bersih dan menyucikan diri, yakni menyucikan diri dari dosa, keburukan jiwa, mahupun kotoran zahir yang lainnya.

Malah sebagaimana kata Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam (sebagaimana dari hadis Abu Malik Al-Asy’ari radhiyallahu ‘anhu), beliau bersabda:

الطُّهُورُ شَطْرُ الْإِيمَانِ

“Kecucian itu adalah separuh dari iman.” (Shahih Muslim, no. 223)

Kata Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H):

وقال محمد بن سيرين: { وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ } أي: اغسلها بالماء. وقال ابن زيد: كان المشركون لا يتطهرون، فأمره الله أن يتطهر، وأن يطهر ثيابه. وهذا القول اختاره ابن جرير، وقد تشمل الآية جميع ذلك مع طهارة القلب

“Telah berkata Muhammad bin Sirin, (terkait ayat): “Dan pakaianmu maka bersihkanlah (sucikanlah).” Maksudnya basuhlah (pakaianmu) dengan air. Dan telah berkata pula Ibnu Zaid, bahawasanya kebiasaan kaum musyrikin itu dahulu mereka tidak bersuci, maka Allah pun memerintahkan (kaum muslimin) agar bersuci dan membersihkan (menyucikan) pakaiannya.

Dan inilah pendapat yang dipilih oleh Ibnu Jarir (Ath-Thabari), bahawa ayat ini mencakup seluruh makna/perkara tersebut berserta kebersihkan hati.” (Tafsir Ibn Katsir, 8/263)

Dan termasuk dalam cabang atau makna menyucikan kotoran-kotoran yang zahir, yang tentunya sangat penting adalah sentiasa membersihkan diri dari perkara yang najis semisal air kencing. Apatah lagi bila padanya terkandung ancaman jika tidak melaksanakannya dengan benar.

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أَكْثَرُ عَذَابِ الْقَبْرِ فِي الْبَوْلِ

“Kebanyakan adzab kubur itu pada kencing.” (Musnad Ahmad, no. 8331, 9033)

Dalam lafaz yang lain, dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ أَكْثَرَ عَذَابِ الْقَبْرِ مِنَ الْبَوْلِ

“Kebanyakan adzab kubur itu berpunca dari air kencing.” (Musnad Ahmad, no. 9060. Sunan Ibnu Majah, no. 348. Al-Mustadrak oleh Al-Hakim, no. 653)

Dalam riwayat yang lain, dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

اسْتَنْزِهُوا مِنَ الْبَوْلِ فَإِنَّ عَامَّةَ عَذَابِ الْقَبْرِ مِنْهُ

“Bersihkanlah diri dari kencing, kerana kebanyakan adzab kubur disebabkan olehnya.” (Sunan Ad-Daruquthni, no. 464)

Dari hadis Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

مَرَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِحَائِطٍ مِنْ حِيطَانِ المَدِينَةِ، أَوْ مَكَّةَ، فَسَمِعَ صَوْتَ إِنْسَانَيْنِ يُعَذَّبَانِ فِي قُبُورِهِمَا، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «يُعَذَّبَانِ، وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ» ثُمَّ قَالَ: «بَلَى، كَانَ أَحَدُهُمَا لاَ يَسْتَتِرُ مِنْ بَوْلِهِ، وَكَانَ الآخَرُ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ»

“Nabi Shallallahu ‘alahi wa Sallam pernah melalui berhampiran salah satu tembok dari tembok-tembok di Madinah atau Makkah, lalu beliau terdengar suara dua orang yang di-adzab di dalam kubur mereka. Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun berkata:

“Mereka berdua sedang di-adzab. Tidaklah mereka berdua itu di-adzab kerana perkara yang besar (rumit).” Kemudian beliau berkata lagi, “Benarlah, salah seorang daripada mereka tidak menjaga dari kencingnya manakala seorang lagi sering melakukan namimah (mengadu-domba) ke sana ke mari.”.” (Shahih Al-Bukhari, no. 216)

Al-Imam Al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) membuat bab bagi hadis ini:

بَابٌ: مِنَ الكَبَائِرِ أَنْ لاَ يَسْتَتِرَ مِنْ بَوْلِهِ

“Bab: Termasuk Dosa Besar Siapa Yang Tidak Menjaga Dirinya Dari Air Kencingnya.”

Manakala Al-Imam Al-Baghawi rahimahullah (Wafat: 516H) menyebutkan:

قَوْلُهُ: «وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرَةٍ» مَعْنَاهُ: أَنَّهُمَا لَمْ يُعَذَّبَا فِي أَمْرٍ كَانَ يَكْبُرُ، وَيَشُقُّ عَلَيْهِمَا الاحْتِرَازُ عَنْهُ، لأَنَّهُ لَمْ يَكُنْ يَشُقُّ عَلَيْهِمَا الاسْتِتَارُ عِنْدَ الْبَوْلِ، وَتَرْكُ النَّمِيمَةِ،

“Sabda Nabi, “Tidaklah mereka berdua itu diazab kerana perkara yang besar…” maknanya:

Bahawa mereka tidak diadzab pada urusan yang besar (rumit) sehingga menjadikan mereka sukar untuk menghindarinya, tetapi adalah kerana mereka melalaikan perkara yang sebenarnya tidak sukar berupa menjaga diri dari air kencing dan meninggalkan namimah (adu-domba).” (Syarh As-Sunnah oleh Al-Baghawi, 1/371)

Dalam lafaz yang lain di Shahih Al-Bukhari dari Ibnu ‘Abbas, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

يُعَذَّبَانِ، وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ، وَإِنَّهُ لَكَبِيرٌ، كَانَ أَحَدُهُمَا لاَ يَسْتَتِرُ مِنَ البَوْلِ، وَكَانَ الآخَرُ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ

“… Mereka berdua sedang diadzab, dan tidaklah mereka di-adzab kerana perkara yang besar (rumit), sedangkan itu termasuk dosa yang besar. Bahawa salah seorang dari mereka tidak menjaga diri dari kencing (atau ketika kencing), dan yang seorang lagi kerana suka membuat namimah (mengadu-domba) ke sana ke mari.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6055)

Dalam riwayat dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu di Shahih Ibnu Hibban, beliau berkata:

كُنَّا نَمْشِي مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَمَرَرْنَا عَلَى قَبْرَيْنِ، فَقَامَ، فَقُمْنَا مَعَهُ، فَجَعَلَ لَوْنُهُ يَتَغَيَّرُ حَتَّى رَعَدَ كُمُّ قَمِيصِهِ، فَقُلْنَا: مَا لَكَ يَا نَبِيَّ اللَّهِ؟، قَالَ: «مَا تَسْمَعُونَ مَا أَسْمَعُ؟ » قُلْنَا: وَمَا ذَاكَ يَا نَبِيَّ اللَّهِ؟، قَالَ: «هَذَانِ رَجُلَانِ يُعَذَّبَانِ فِي قُبُورِهِمَا عَذَابًا شَدِيدًا فِي ذَنْبٍ هَيِّنٍ»، قُلْنَا: مِمَّ ذَلِكَ يَا نَبِيَّ اللَّهِ؟، قَالَ: «كَانَ أَحَدُهُمَا لَا يَسْتَنْزِهُ مِنَ الْبَوْلِ، وَكَانَ الْآخَرُ يُؤْذِي النَّاسَ بِلِسَانِهِ، وَيَمْشِي بَيْنَهُمْ بِالنَّمِيمَةِ»

“Kami berjalan bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melalui dua kubur, lalu beliau berhenti. Maka kami pun berhenti bersamanya. Tiba-tiba raut wajah Rasulullah berubah warnanya sehingga kelihatan bergetar. Kami pun bertanya, “Kenapa dengan engkau wahai Nabi Allah?”

Rasulullah pun bersabda, “Tidakkah engkau mendengar apa yang aku dengar?” Kami bertanya, “Ada apa dia wahai Nabi Allah?”

Rasulullah pun bersabda, “Kedua penghuni kubur ini sedang di-adzab dengan adzab yang keras di dalam kuburnya kerana dosa yang dianggap remeh.”

Kami bertanya, “Apa kesalahan mereka wahai Nabi Allah?”

Rasulullah bersabda, “Salah seorang dari mereka tidak menjaga kebersihan dari sisa air kencingnya, manakala yang seorang lagi menyakiti manusia dengan lisannya dan suka berbuat namimah (adu domba) sesama manusia.” (Shahih Ibnu Hibban, no. 824)

Dari hadis ‘Abdurrahman bin Hasanah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

خَرَجَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَفِي يَدِهِ الدَّرَقَةُ، فَوَضَعَهَا ثُمَّ جَلَسَ، فَبَالَ إِلَيْهَا، فَقَالَ بَعْضُهُمْ: انْظُرُوا إِلَيْهِ، يَبُولُ كَمَا تَبُولُ الْمَرْأَةُ، فَسَمِعَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ «وَيْحَكَ أَمَا عَلِمْتَ مَا أَصَابَ صَاحِبَ بَنِي إِسْرَائِيلَ كَانُوا إِذَا أَصَابَهُمُ الْبَوْلُ قَرَضُوهُ بِالْمَقَارِيضِ، فَنَهَاهُمْ عَنْ ذَلِكَ، فَعُذِّبَ فِي قَبْرِهِ

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah keluar kepada kami sedang di tangannya ada penghadang terbuat dari kulit, kemudian beliau meletakkannya (sebagai penghadang) lalu beliau duduk (di baliknya) lalu buang air kecil. Maka berkatalah sebahagian mereka (dari kalangan orang-orang Yahudi), “Lihatlah orang itu, dia buang air seperti perempuan buang air kecil (dalam keadaan tertutup, terlindung dan mencangkung – pent.).” Lalu ia pun didengari oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Maka Nabi pun bersabda:

“Celakalah engkau, tidakkah engkau tahu tentang (azab) yang menimpa seorang Bani Isra’il? Bahawa jika ada air kencing mengenai mereka (yakni pakaian Bani Isra’il), mereka (orang-orang Bani Isra’il) pun akan mengguntingnya dengan gunting, lalu lelaki tersebut (dari kalangan Bani Isra’il) melarang dari mengguntingnya (yakni melarang dari membersihkannya), maka dia pun diadzab di kuburnya.” (Musnad Ahmad, no. 17758. Sunan Ibn Majah, no. 346. Sunan An-Nasaa’i, no. 30)

Dari hadis Al-Mughirah bin Syu’bah, beliau berkata:

كُنْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفَرٍ، فَأَتَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَاجَتَهُ، فَأَبْعَدَ فِي الْمَذْهَبِ

“Aku pernah safar bersama-sama Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, lalu ketika Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pergi untuk buang hajat, maka beliau pun pergi ke tempat yang lebih jauh (tempat sunyi).” (Sunan At-Tirmidzi, no. 20)

Dari hadis ‘Abdullah bin Abi Quraad radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

خَرَجْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى الْخَلَاءِ، وَكَانَ إِذَا أَرَادَ الْحَاجَةَ أَبْعَدَ

“Aku pernah keluar bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menuju tempat buang air, dan bahawa apabila Rasulullah hendak buang hajat beliau akan pergi ke tempat yang jauh (dari orang ramai).” (Sunan An-Nasaa’i, no. 16)

Diriwayatkan juga dari hadis Bilal bin Al-Haarits di Sunan Ibn Majah, no. 336.

Dari hadis Mu’adz bin Jabal radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

اتَّقُوا الْمَلَاعِنَ الثَّلَاثَةَ: الْبَرَازَ فِي الْمَوَارِدِ، وَقَارِعَةِ الطَّرِيقِ، وَالظِّلِّ

“Jagalah diri dari tiga tempat yang menjadi sebab laknat; (yakni) buang hajat di tempat-tempat air (sumber air, atau tempat bergenangnya air), di tempat-tempat laluan orang, dan di tempat orang berteduh.” (Sunan Abi Dawud, no. 26)

Rintangan_Setelah_Kematian_soft_cover

Faedah-faedah hadis:

1, Hadis-hadis ini menjelaskan hukum kenajisan air kencing dan kewajiban membersihkan serta menjaga diri dari air kencing.

2, Hadis ini menjelaskan tsabitnya adzab kubur sekaligus menjadi bantahan atas kelompok-kelompok sesat (khasnya muktazilah) yang mengingkari kewujudan adzab dan nikmat kubur.

3, Kebanyakan adzab kubur disebabkan oleh permasalahan kencing, yakni tidak menjaga diri ketika kencing dan tidak membersihkan diri dari air kencing atau sisanya.

4, Hadis-hadis ini memberi peringatan agar menjaga adab ketika kencing dan menjaga diri di saat kencing (yakni dengan kencing di tempat yang betul, jauh dari orang ramai dan hendaklah kencing di tempat yang tertutup). Di antara hikmahnya adalah agar terhindar dari pandangan orang, terjaga aurat, punya rasa malu, dan tidak menyebabkan gangguan pada orang lain.

Termasuk adab dalam rangka tersebut adalah meninggalkan perbuatan kencing dalam keadaan berdiri (kecuali pada keadaan yang tidak dapat dielakkan), kerana ianya akan lebih mudah dalam menjaga diri dari air kencing.

Dan padanya Ibnu Mas’oud radhiyallahu ‘anhu berkata:

إِنَّ مِنَ الْجَفَاءِ أَنْ تَبُولَ وَأَنْتَ قَائِمٌ

“Sesungguhnya, termasuk perbuatan yang buruk adalah membuang air kencing dalam keadaan berdiri.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 12)

5, Pada hadis-hadis ini juga terkandung peringatan agar sentiasa memastikan kebersihan diri dari kesan-kesan atau sisa-sisa air kencing, khasnya pada tubuh atau pakaian. Termasuk padanya adalah berhati-hati dari percikannya serta pentingnya menjaga kebersihan tempat membuang air kencing (khasnya tandas yang diguna-pakai ramai orang, kerana orang sentiasa keluar dan masuk padanya).

6, Tidak boleh kencing di tempat-tempat yang menjadi tumpuan orang, seperti di laluan orang, di tempat yang terdapat air bergenang, dan di tempat-tempat orang berhenti atau berteduh. Sebaliknya hendaklah menjauh (dari tempat-tempat umum), atau hendaklah kencing di tempat-tempat yang telah tersedia (tandas). Dan dapat difahami dari hadis-hadis tersebut agar sisa kencing kita tidak menjadi sebab terganggunya orang lain, sama ada sisanya atau baunya sehingga boleh menjadi sebab cacian dan laknat, atau membuatkan orang terpalit seraya dinajisi olehnya.

Ini dapat juga difahami dari hadis yang lain di mana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لاَ يَبُولَنَّ أَحَدُكُمْ فِي المَاءِ الدَّائِمِ الَّذِي لاَ يَجْرِي، ثُمَّ يَغْتَسِلُ فِيهِ

“Janganlah salah seorang dari kalian kencing di tempat air bergenang yang tidak mengalir, lalu dia gunakan air/tempat tersebut untuk mandi.” (Shahih Al-Bukhari, no. 239. Muslim, no. 282. Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu)

Manakala lafaz dalam riwayat ‘Abdullah bin Mughoffal radhiyallahu ‘anhu:

لَا يَبُولَنَّ أَحَدُكُمْ فِي مُسْتَحَمِّهِ ثُمَّ يَغْتَسِلُ فِيهِ

“Janganlah salah seorang dari kalian kencing di tempat mandi, lalu dia mandi padanya.” (Sunan Abi Dawud, no. 27)

Termasuk dalam makna ini adalah larangan dari kencing di kolam-kolam mandi umum, atau kolam-kolam renang awam yang airnya tidak mengalir.

7, Hadis-hadis tersebut juga turut menjelaskan bahawa salah seorang yang disiksa di dalam kuburnya tersebut adalah kerana menganggap remeh permasalahan kencing sehingga dia tidak menjaga atau membersihkan dirinya dengan betul dari kencing, sedangkan ia termasuk perkara yang besar.

8, Hadis-hadis ini sangat menekankan kewajiban menyucikan diri dari kencing dengan betul, melainkan bagi mereka yang memiliki udzur seperti sakit sehingga sukar untuk membersihkannya dengan sempurna, namun dia tetap perlu mengawalnya sedaya-upaya dan tidak menjadi sebab gangguan pada orang lain.

9, Pada sebahagian hadis tersebut juga terkandung larangan berbuat namimah (mengadu domba) yang turut menjadi sebab siksa kubur.

10, Hadis-hadis ini menjelaskan bahawa Islam adalah agama yang sangat mementingkan kebersihan dan melarang dari menyebabkan gangguan pada orang lain.

Wallaahu a’lam.

Rujukan:

Syarh As-Sunnah oleh Al-Baghawi,

Syarh Shahih Muslim oleh Al-Imam An-Nawawi,

Fath Al-Bari Syarh Shahih Al-Bukhari oleh Ibn Hajar Al-‘Asqalani,

Dan Subul As-Salam oleh Ash-Shan’ani rahimahumullah.

Fikih_Thaharah_Karya_Syaikh_Utsaimin

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest