Kedudukan Saf Jika Solat Jama’ah berdua
(Seorang Imam dan Seorang Makmum)

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menyebutkan sebagaimana dalam mazhab Asy-Syafi’i:saf solat wanita

السنة أن يقف المأموم الواحد عن يمين الامام رجلا كان أو صبيا قال اصحابنا ويستحب ان يتأخر عن مساواة الامام قليلا فان خالف ووقف عن يساره أو خلفه استحب له ان يتحول الي يمينه ويحترز عن افعال تبطل الصلاة فان لم يتحول استحب للامام ان يحوله لحديث ابن عباس فان استمر علي اليسار أو خلفه كره وصحت صلاته عندنا بالاتفاق (الثانية) إذا حضر امام ومامومان تقدم الامام واصطفا خلفه سوا كانا رجلين أو صبيين أو رجلا وصبيا: هذا مذهبنا ومذهب العلماء كافة الا عبد الله بن مسعود وصاحبيه علقمة والاسود فانهم قالوا يكون الامام والمأمومان كلهم صفا واحدا ثبت هذا عن ابن مسعود في صحيح مسلم دليلنا حديث جابر السابق قال اصحابنا فان حضر امام وماموم واحرم عن يمينه ثم جاء آخر احرم عن يساره ثم ان كان قدام الامام سعة وليس وراء المأمومين سعة تقدم الامام وان كان وراءهما سعة وليست قدامه تأخرا وان كان قدامه سعة ووراءهما سعة تقدم أو تأخرا

“Yang disunnahkan, jika hanya seorang makmum, maka dia berdiri di posisi kanan imam, sama ada dia makmum dewasa mahupun kanak-kanak. Para sahabat kami (dari kalangan ulama mazhab Asy-Syafi’i) menjelaskan, dianjurkan agar sedikit mundur dari posisi imam agar tidak sejajar.

Apabila menyalahi ketentuan ini, dan makmum berdiri di sebelah kiri atau di belakang, maka dianjurkan bagi makmum agar beralih ke sebelah kanan imam dan harus menghindari dari gerakan-gerakan yang membatalkan solat (yakni mengelak dari menambah gerakan-gerakan yang tidak diperlukan ketika melakukan proses peralihan).

Namun, jika makmum tetap tidak mengubah kepada posisi yang betul (ke sebelah kanan imam), adalah dianjurkan bagi imam agar mengalihkan si makmum ke posisi yang sepatutnya berdasarkan hadis Ibn ‘Abbas. Tetapi jika makmum seorang diri terus tetap tidak berganjak dengan berdiri di posisi kiri imam atau di belakangnya, hukumnya adalah makruh (dibenci), namun solatnya tetap sah menurut kami.

Keduanya, apabila datang imam dan dua makmum (untuk solat berjama’ah), hendaklah imam maju ke depan manakala dua makmum hendaklah membuat saf di belakangnya sama ada dia lelaki dewasa mahupun kanak-kanak, atau seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak. Inilah mazhab kami dan juga mazhab ulama secara keseluruhannya kecuali ‘Abdullah bin Mas’oud dan kedua muridnya; Alqamah dan Al-Aswad, di mana mereka berpendapat imam dan makmum semuanya berada pada posisi satu saf yang sama. Ini diriwayatkan dari Ibn Mas’oud di Shahih Muslim. Adapun dalil kami adalah hadis dari Jaabir.

Sahabat-sahabat kami (dari kalangan mazhab Asy-Syafi’i) berkata, apabila hadir seorang imam dan seorang makmum, lalu mereka memulai solat di mana makmum di sebelah kanan imam, lalu kemudian ada makmum yang lain (yang masbuk) datang, maka hendaklah dia berdiri di sebelah kiri imam, kemudian jika didapati di depan imam masih terdapat ruang dan di belakang tiada ruang yang memadai, maka hendaklah imam yang maju ke depan, dan apabila di belakang masih terdapat ruang yang memadai, maka hendaklah kedua makmum tersebut mundur (untuk membuat saf di belakang imam bersama-sama). Dan apabila di depan imam mahupun di belakang makmum terdapat ruang yang memadai, maka imam boleh maju atau makmum yang mundur.” (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 4/292)sejajar_solat_berdua

Beberapa faedah dapat diambil dari nash Al-Imam An-Nawawi rahimahullah tersebut, di antaranya:

1, Pada apa yang dikemukakan oleh Al-Imam An-Nawawi ini, beliau berpendapat bahawa kedudukan makmum jika hanya solat berdua bersama imam, maka makmum hendaklah mengambil posisi di sebelah kanan imam dengan sedikit mundur agar tidak sejajar (sebatas membezakan antara kedudukan imam dan makmum, bukan dengan jarak yang besar seperti dilakukan kebanyakan orang hari ini), kerana ditakuti akan melampaui saf imam. Namun, ada pendapat yang lain yang menjelaskan posisinya adalah sejajar antara imam dan makmum jika mereka solat berdua sebagaimana akan kami kemukakan di bawah.

2, Keduanya, jika datang seorang makmum yang lain (yakni makmum yang kedua atau ketiga yang masbuk), maka hendaklah dia memulakan di sebelah kiri imam, lalu kemudian mereka beranjak untuk membuat saf yang betul di belakang bersama-sama, atau sekiranya tiada ruang untuk makmum di belakang, maka hendaklah imam yang beranjak maju ke depan untuk memberi ruang agar makmum dapat membuat saf bersama-sama di belakang.

3, Dari pendapat Al-Imam An-Nawawi tersebut juga terkandung faedah bahawa saf kanak-kanak adalah bersama saf orang-orang dewasa yang lainnya dalam satu saf. Yakni kanak-kanak tidak diasingkan ke saf belakang berbeza dari saf orang-orang dewasa sebagaimana yang difahami oleh sebahagian mayarakat kita hari ini.

Pendapat lain tentang susunan atau kedudukan saf solat seorang makmum bersama seorang imam harus sejajar dalam satu saf, berikut kami nukilkan dalil-dalilnya.

Al-Imam Al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) membuat satu bab dalam kitab Shahihnya dengan judul:

بَابُ: يَقُوْمُ عَنْ يَمِيْنِ الإمامِ بِحِذائِهِ سَواء إِذا كانا اثْنَيْنِ

“Bab: Makmum berdiri rapat lagi sejajar di sisi kanan imam jika mereka hanya solat berdua.”

Kemudian beliau meletakkan hadis berikut dalam bab tersebut. ‘Abdullah bin ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata:

بِتُّ فِي بَيْتِ خَالَتِي مَيْمُونَةَ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ العِشَاءَ، ثُمَّ جَاءَ، فَصَلَّى أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ، ثُمَّ نَامَ، ثُمَّ قَامَ، فَجِئْتُ، فَقُمْتُ عَنْ يَسَارِهِ فَجَعَلَنِي عَنْ يَمِينِهِ، فَصَلَّى خَمْسَ رَكَعَاتٍ، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ، ثُمَّ نَامَ حَتَّى سَمِعْتُ غَطِيطَهُ – أَوْ قَالَ: خَطِيطَهُ – ثُمَّ خَرَجَ إِلَى الصَّلاَةِ

“Aku pernah menginap di rumah makcikku, Maimunah (isteri Rasulullah). Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pergi menunaikan solat ‘isya kemudian kembali ke rumah dan solat sunnah empat rakaat, kemudian beliau tidur.

Ketika tengah malam beliau bangun dan solat malam. Aku pun berdiri untuk turut serta solat bersama-sama beliau dan berdiri di sisi kiri beliau. Kemudian beliau menarikku ke sebelah kanannya. Lalu beliau solat lima rakaat, kemudian dua rakaat, kemudian tidur sehingga aku mendengar suara dengkuran (atau nafas) beliau. Kemudian beliau bangun keluar untuk solat (subuh).” (Shahih Al-Bukhari, no. 697)

Dari hadis ini terkandung faedah bahawa apabila seorang makmum hendak masuk berjama’ah (menjadi makmum) kepada seorang imam yang sedang solat sendirian, maka cukup baginya mengambil posisi di sebelah kanan imam lalu dia langsung takbir memulakan solatnya (sebagai makmum). Ini sekaligus menjadi bantahan terhadap amalan dalam kalangan masyarakat kita yang menepuk bahu imam apabila hendak menjadi makmum kepada seorang imam yang sedang solat.

Pada hadis ini juga terkandung dalil yang menjelaskan bolehnya seorang imam mengubah posisi saf seorang makmum yang tersilap dalam mengambil posisi ketika sedang solat sebagaimana telah dikemukakan oleh Al-Imam An-Nawawi rahimahullah.

Dalam riwayat yang lain – Ibnu ‘Abbas Radhiyallahu ‘anhuma berkata:

بِتُّ عِنْدَ خَالَتِي فَقَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي مِنْ اللَّيْلِ فَقُمْتُ أُصَلِّي مَعَهُ فَقُمْتُ عَنْ يَسَارِهِ فَأَخَذَ بِرَأْسِي فَأَقَامَنِي عَنْ يَمِينِهِ

“Aku pernah tidur di rumah makcikku, lalu Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bangun mengerjakan solat malam. Lalu aku pun turut serta solat bersamanya dan berdiri di sebelah kirinya. Kemudian beliau menarik kepalaku dan memindahkan aku ke sebelah kanannya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 699)

Di Shahih Muslim, dari hadis Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

نِمْتُ عِنْدَ مَيْمُونَةَ، زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَرَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَهَا تِلْكَ اللَّيْلَةَ، «فَتَوَضَّأَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ قَامَ فَصَلَّى، فَقُمْتُ عَنْ يَسَارِهِ، فَأَخَذَنِي فَجَعَلَنِي عَنْ يَمِينِهِ، فَصَلَّى فِي تِلْكَ اللَّيْلَةِ ثَلَاثَ عَشْرَةَ رَكْعَةً، ثُمَّ نَامَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى نَفَخَ

“Aku pernah tidur di rumah Maimunah isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam (yakni makcik Ibnu ‘Abbaas). Pada malam tersebut adalah giliran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di rumah Maimunah. Rasulullah berwudhu’ pada malam tersebut lalu mendirikan solat (yakni solat malam). Maka aku pun berdiri di sebelah kiri beliau (untuk mengikuti beliau sebagai makmum). Lalu beliau mengambil aku (yakni menarik Ibnu ‘Abbaas) dan menjadikan aku di sebelah kanannya. Pada malam tersebut beliau solat sebanyak tiga belas raka’at lalu tidur sehingga terdengar nafasnya…” (Shahih Muslim, no. 763)

Di riwayat yang lain, Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata:

بِتُّ لَيْلَةً عِنْدَ خَالَتِي مَيْمُونَةَ بِنْتِ الْحَارِثِ، فَقُلْتُ لَهَا: إِذَا قَامَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَيْقِظِينِي، ” فَقَامَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقُمْتُ إِلَى جَنْبِهِ الْأَيْسَرِ، فَأَخَذَ بِيَدِي فَجَعَلَنِي مِنْ شِقِّهِ الْأَيْمَنِ، فَجَعَلْتُ إِذَا أَغْفَيْتُ يَأْخُذُ بِشَحْمَةِ أُذُنِي، قَالَ: فَصَلَّى إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً، ثُمَّ احْتَبَى حَتَّى إِنِّي لَأَسْمَعُ نَفَسَهُ رَاقِدًا، فَلَمَّا تَبَيَّنَ لَهُ الْفَجْرُ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ خَفِيفَتَيْنِ

“Aku pernah menginap (tidur) di rumah makcik-ku Maimunah binti Al-Haarits (salah seorang isteri Nabi), aku berkata kepadanya, “Jika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bangun untuk solat malam, maka bangunkanlah aku juga.”

Lalu ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam berdiri (solat), maka aku pun ikut berdiri di sebelah kiri beliau. Lalu Rasulullah mengambil (menarik) dengan tangannya dan menjadikan (menempatkan) aku di sisi kanannya.

Lalu ketika aku mengantuk (ketika solat tersebut), maka Rasulullah pun menarik cuping telinga-ku.

Maka beliau pun melakukan solat pada malam tersebut sebanyak tiga belas raka’at, setelah itu beliau duduk sambil memeluk lututnya sehingga terdengar suara nafasnya ketika tidur. Kemudian tatkala fajar menjelma, maka beliau pun solat sunnah dua raka’at yang ringan (sebelum keluar untuk solat fardhu Subuh – pent.).” (Shahih Muslim, no. 763)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:

فيه أن موقف المأموم الواحد عن يمين الإمام وأنه إذا وقف عن يساره يتحول إلى يمينه وأنه إذا لم يتحول حوله الإمام وأن الفعل القليل لا يبطل الصلاة وأن صلاة الصبي صحيحة وأن له موثقا من الإمام كالبالغ

“Pada hadis ini menjelaskan kedudukan (posisi) seorang makmum yang sendirian bersama seorang imam, yakni dia mengambil posisi di sebelah kanan imam. Dan jika dia berada di posisi kiri imam, maka hendaklah dia mengubah posisinya ke sebelah kanan imam. Namun jika si makmum tidak mengubah posisinya (ke sisi yang benar), maka si imam boleh bertindak untuk mengubahnya (ke posisi yang benar), dan bahawa gerakan yang sedikit (untuk mengubah posisi makmum tersebut) tidaklah membatalkan solat.

(Pada hadis ini turut menjelaskan) bahawa solat seorang kanak-kanak adalah sah dan posisinya sebagai makmum adalah sama halnya sebagaimana orang yang telah baligh.” (Syarh Shahih Muslim, 6/44)

Asy-Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin Baz rahimahullah berkata:

وهذا يدلّ على أن المأموم إذا كان واحداً يكون عن يمين الإمام مساوياً له لا يتقدم ولا يتأخر

“Ini adalah dalil (yang menjelaskan) apabila makmum sendirian bersama imam hendaklah dia berada di posisi kanan imam dalam keadaan sejajar, tidak ke depan dan tidak pula mundur.” (Shalah Al-Mu’min oleh Sa’id bin ‘Ali Al-Qahthani, 2/637)

Pada hadis ini juga terkandung faedah yang lain, yakni dibolehkan bagi seorang imam (atau mungkin ayah atau penjaga) untuk menarik telinga anak kecil yang berada di sisinya ketika solat dalam rangka mendidik tentang tatacara solat atau mengawalnya dari mengantuk. Wallaahu a’lam.

Kemudian di hadis yang lain, dari hadis Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

صَلَّيْتُ إِلَى جَنْبِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَائِشَةُ خَلْفَنَا تُصَلِّي مَعَنَا، وَأَنَا إِلَى جَنْبِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُصَلِّي مَعَهُ

“Aku pernah solat di sisi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan ‘Aisyah solat bersama kami di belakang kami, manakala aku (berada) benar-benar di sisi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam (dalam keadaan sebelah-menyebelah), aku solat bersamanya (berjama’ah).” (Musnad Ahmad, no. 2751. Sunan An-Nasaa’i, no. 804. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Berikutnya lagi di hadis yang lain, dari hadis Anas bin Malik Radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى بِهِ وَبِأُمِّهِ قَالَ فَأَقَامَنِي عَنْ يَمِينِهِ وَأَقَامَ الْمَرْأَةَ خَلْفَنَا

“Sesungguhnya Rasululah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam solat dengannya (Anas) dan ibunya. Anas berkata, “Beliau (yakni Rasulullah) meletakkan aku di sebelah kanannya dan wanita (ibunya) di belakang kami.” (Sahih Muslim, no. 660)

Di hadis yang lain lagi, dari hadis Jabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

ثُمَّ جِئْتُ حَتَّى قُمْتُ عَنْ يَسَارِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَخَذَ بِيَدِي فَأَدَارَنِي حَتَّى أَقَامَنِي عَنْ يَمِينِهِ، ثُمَّ جَاءَ جَبَّارُ بْنُ صَخْرٍ فَتَوَضَّأَ، ثُمَّ جَاءَ فَقَامَ عَنْ يَسَارِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَخَذَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِيَدَيْنَا جَمِيعًا، فَدَفَعَنَا حَتَّى أَقَامَنَا خَلْفَهُ

“…(Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berdiri untuk menunaikan solat), aku pun datang dan berdiri di sebelah kiri beliau. Rasulullah meraih tanganku lalu memindahkanku ke sebelah kanan beliau. Kemudian datang pula Jabbar bin Shakhr, beliau berwudhu’ lalu masuk ke dalam saf mengikuti solat kami, beliau berdiri di sebelah sisi kiri Rasulullah. Lalu Rasulullah pun meraih tangan kami berdua lalu memindahkan kami ke belakang beliau…” (Shahih Muslim, no. 3010)

Al-Imam Ibn Qudamah rahimahullah (Wafat: 620H) berkata:

إذا كان المأموم واحدا وقف عن يمين الإمام فإن كبر عن يساره أداره الإمام عن يمينه فإن جاء آخر كبر وتأخر فصفا خلفه ولا يتقدم الإمام إلا إن كان الموضع ضيقا

“Apabila seorang makmum sendirian, posisinya adalah di sisi kanan imam. Jika dia bertakbir dengan mengambil posisi kiri imam, maka hendaklah imam menariknya ke posisi kanannya. Jika datang makmum yang lain, maka hendaklah si makmum itu bertakbir lalu makmum pertama mundur dan dua makmum tersebut beranjak untuk berbaris di belakang imam. Imam tidak beranjak maju ke depan melainkan jika tempat makmum di belakang sempit.” (Al-Kaafi fi Al-Fiqh Ibn Hanbal oleh Ibn Qudamah, 1/299)

Pada hadis-hadis ini semua terkandung faedah bahawa solat seorang makmum lelaki adalah di sebelah kanan imam pada posisi sejajar, manakala posisi seorang makmum wanita adalah di belakang mereka berdua.

Kemudian dalam Kitab Fath Al-Bari Syarh Shahih Al-Bukhari, Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) menguatkan apa yang ditegaskan oleh Al-Imam Al-Bukhari tersebut dengan beberapa atsar sahabat dan tabi’in. Di antaranya adalah sebagaimana berikut:

1, ‘Abdullah bin ‘Utbah bin Mas’oud radhiyallahu ‘anhu berkata:

دَخَلْتُ عَلَى عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ بِالْهَاجِرَةِ، فَوَجَدْتُهُ يُسَبِّحُ. فَقُمْتُ وَرَاءَهُ. فَقَرَّبَنِي حَتَّى جَعَلَنِي حِذَاءَهُ عَنْ يَمِينِهِ. فَلَمَّا جَاءَ يَرْفَا، تَأَخَّرْتُ. فَصَفَفْنَا وَرَاءَهُ.

“Aku masuk mengunjungi ‘Umar di waktu matahari sedang naik (waktu pagi/dhuha), aku dapati beliau sedang solat sunnah, maka aku pun berdiri di belakangnya (sebagai makmum). Lalu beliau menarikku sampai aku sejajar dengan bahunya (atau buku lalinya) di sebelah kanan beliau. Lalu datanglah Yarfa’ (pembantu ‘Umar – pent.), aku pun mundur dan membuat saf di belakang beliau (yakni di belakang ‘Umar radhiyallahu ‘anhu).” (Muwaththa’ Imam Malik, no. 532. Fathul Bari, 2/191)

2, Ibnu Juraij berkata:

قلت لعطاء الرجل يصلي مع الرجل أين يكون منه قال إلى شقه الأيمن قلت أيحاذى به حتى يصف معه لا يفوت أحدهما الآخر قال نعم قلت أتحب أن يساويه حتى لا تكون بينهما فرجه قال نعم

“Aku bertanya kepada Atha’, jika seorang lelaki solat bersama seorang lelaki, maka di mana dia perlu berdiri?” Jawab Atha’:

“Di sisi kanannya.” Aku bertanya lagi, “Adakah dia berdiri sejajar dengan imam sehingga posisi mereka seperti satu saf, tidak ada yang lebih hadapan atau terkebelakang?” Atha’ jawab:

“Benar.” Aku bertanya lagi, “Adakah engkau suka kalau dia berdiri rapat sehingga tidak ada lagi celah di antara keduanya?” Atha’ menjawab, “Ya.” (Mushannaf ‘Abdurrozzaq, no. 3870. Fathul Bari oleh Ibnu Hajar, 2/191)

1 – Imam (Kiri), 2 – Makmum (Kanan). Posisi; Sejajar.

Baca selengkapnya di, http://www.ilmusunnah.com/?p=8541

Ensiklopedi_Solat_Menurut_Al_Quran_dan_Sunnah_main

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest