Kenapa Utsman Tidak Qasharkan solat ketika di Mina

www.ilmusunnah.com

‘Abdurrahman bin Yazid berkata:

صَلَّى عُثْمَانُ بِمِنًى أَرْبَعًا، فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ: «صَلَّيْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَكْعَتَيْنِ، وَمَعَ أَبِي بَكْرٍ رَكْعَتَيْنِ، وَمَعَ عُمَرَ رَكْعَتَيْنِ»، زَادَ، عَنْ حَفْصٍ، وَمَعَ عُثْمَانَ صَدْرًا مِنْ إِمَارَتِهِ، ثُمَّ أَتَمَّهَا زَادَ مِنْ هَا هُنَا عَنْ أَبِي مُعَاوِيَةَ، ثُمَّ تَفَرَّقَتْ بِكُمُ الطُّرُقُ فَلَوَدِدْتُ أَنْ لِي مِنْ أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ رَكْعَتَيْنِ مُتَقَبَّلَتَيْنِ. قَالَ: الْأَعْمَشُ، فَحَدَّثَنِي مُعَاوِيَةَ بْنُ قُرَّةَ، عَنْ أَشْيَاخِهِ، أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ صَلَّى أَرْبَعًا، قَالَ: فَقِيلَ لَهُ: عِبْتَ عَلَى عُثْمَانَ ثُمَّ صَلَّيْتُ أَرْبَعًا، قَالَ: «الْخِلَافُ شَرٌّ»

“‘Utsman Solat ketika (musim haji) di Mina empat raka’at (beliau tidak mengqasharkannya – pent.). Maka ‘Abdullah (Ibn Mas’oud) berkata (kerana mengingkari perbuatan ‘Utsman):

“Aku pernah solat bersama Nabi Shallallahu ‘alahi wa Sallam dua raka’at (di-qashar), bersama Abu Bakar dua raka’at, bersama ‘Umar juga dua rakaat, dan demikian juga ketika bersama ‘Utsman di awal pemerintahannya, kemudian beliau melakukannya dengan sempurna (empat raka’at, tidak di-qashar) sebagaimana tambahan (penjelasan) daripada Abu Mu’awiyah. Setelah itu pelbagai jalan (manhaj) telah memecah-belah kamu. Dan bahawasanya aku ingin sekiranya empat raka’at itu tetap dibiarkan dua raka’at yang diterima.”

Berkata Al-A’masy, telah menceritakan kepadaku Mu’awiyah bin Qurrah dari orang tuanya, bahawa ‘Abdullah (Ibn Mas’oud) tetap solat empat raka’at (bersama ‘Utsman). Ditanyakan kepada beliau: “‘Engkau (Ibn Mas’ud) mengingkari (tidak bersetuju dengan) ‘Utsman tetapi engkau sendiri tetap solat empat raka’at (bersama ‘Utsman)?” Maka Ibn Mas’ud menjawab: “Perselisihan itu buruk.”.” (Sunan Abi Dawud, no. 1960. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Antara sebab kenapa ‘Utsman tidak qashar ketika di Mina, diriwayatkan sendiri oleh Abu Daud:

أَنَّ عُثْمَانَ بْنَ عَفَّانَ، أَتَمَّ الصَّلَاةَ بِمِنًى مِنْ أَجْلِ الْأَعْرَابِ لِأَنَّهُمْ كَثُرُوا عَامَئِذٍ فَصَلَّى بِالنَّاسِ أَرْبَعًا لِيُعَلِّمَهُمْ أَنَّ الصَّلَاةَ أَرْبَعٌ

“Bahawasannya ‘Utsman bin ‘Affan menyempurnakan solat di Mina kerana orang-orang ‘Arab Badwi ramai yang turut serta pada tahun tahun tersebut. Maka beliau pun solat empat raka’at untuk mengkhabarkan (mengajarkan) kepada mereka bahawa solat itu adalah empat raka’at.” (Sunan Abi Dawud, no. 1964. Dinilai hasan oleh Al-Albani)

Faedah:

1, Disunnahkan agar meng-qasharkan solat apabila safar (keluar melakukan perjalanan jauh). Iaitu memendekkan solat yang empat raka’at menjadi dua raka’at apabila safar.

2, Apabila bersolat di belakang imam yang tamam (solat secara sempurna, empat raka’at), hendaklah mengikuti imam, walaupun kita seorang musafir.

3, Solat empat raka’at ketika safar itu menyelisihi keutamaan, kerana apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam sunnah beliau adalah beliau sentiasa meng-qasharkan solat apabila dalam keadaan musafir. Ini dapat dilihat juga dari sikap yang ditunjukkan oleh Ibnu Mas’oud terhadap perbuatan ‘Utsman radhiyallahu ‘anhu.

4, Kenapa ‘Utsman bersolat empat raka’at dan tidak meng-qasharkan solatnya sedangkan beliau dalam keadaan musafir? Antara sebabnya adalah kerana pada ketika itu, ramai orang yang datang dari pedalaman (dari kalangan orang ‘Arab Badwi) datang melaksanakan haji. Maka, dalam rangka mengelakkan salah faham terhadap orang-orang yang jahil, maka beliau pun tetap solat dalam keadaan tamam (sempurna empat raka’at). Ini agar orang-orang yang baru mahu memahami tata cara solat tidak tersalah faham bahawa solat itu empat atau dua raka’at (dalam keadaan asalnya).

5, Wajibnya mentaati dan mengikuti imam. Sekaligus menunjukkan tercelanya perselisihan dan perpecahan.

Wallahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest