Keutamaan Kurma Dalam As-Sunnah

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Kurma (Phonex dactylifera) adalah termasuk makanan yang baik-baik, mengenyangkan, lagi berkhasiat. Ia termasuk jenis makanan yang cukup dikenali di seluruh dunia terutamanya dalam kalangan umat Islam.

Kurma juga turut dikenali dengan sebutan ruthab, iaitu merujuk kurma masak yang masih basah di tangkai dan belum dikeringkan. Manakala tamr pula adalah kurma yang telah dikeringkan.

Tamr atau ruthab termasuk sebahagian buah-buahan yang barakah, makanan para Nabi, makanan para sahabat, dan disebutkan oleh Allah dalam Al-Qur’an sebagai sebahagian dari bentuk-betuk kesenangan, serta disebutkan pula dalam hadis-hadis Nabi dengan pelbagai keutamaan.

Allah Subhanahu wa Ta’ala menyebutkan dalam firman-Nya tentang Maryam:

وَهُزِّي إِلَيْكِ بِجِذْعِ النَّخْلَةِ تُسَاقِطْ عَلَيْكِ رُطَبًا جَنِيًّا كُلِي وَاشْرَبِي وَقَرِّي عَيْنًا

“Dan goyanglah pangkal pohon (kurma) itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah ruthab yang masak untukmu, maka makan, minum, dan bersenang hatilah kamu.” (Surah Maryam, 19: 25-26)

Berdasarkan Surah Maryam, 19: 22-26, sebahagian ulama tafsir menyatakan bahawa tamar (kurma kering) dan Ruthab (kurma segar) adalah makanan yang baik untuk orang yang hendak bersalin dan sedang dalam nifas (pantang).

Dalam sebuah hadis sebagaimana riwayat Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu:

أُتِيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِقِنَاعٍ عَلَيْهِ رُطَبٌ، فَقَالَ: {مَثَلًا كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرَةٍ طَيِّبَةٍ أَصْلُهَا ثَابِتٌ وَفَرْعُهَا فِي السَّمَاءِ تُؤْتِي أُكُلَهَا كُلَّ حِينٍ بِإِذْنِ رَبِّهَا} [إبراهيم: 25]، قَالَ: هِيَ النَّخْلَةُ.

“Pernah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam diberikan bungkusan ruthab, lalu beliau pun berkata (membacakan satu ayat Al-Qur’an):

“Perumpamaan perkataan yang baik adalah seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan izin Rabb-nya.” (Surah Ibrahiim, 14: 24-25)

Beliau bersabda, “Itulah pohon kurma.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 3119. Lihat juga Tafsir Ibnu Katsir)

Dari ayat tersebut turut menjelaskan bahawa pohon kurma sentiasa mengeluarkan hasilnya di setiap musim sehingga boleh dinikmati buahnya setiap hari di waktu pagi dan petang.

Dari hadis Ibnu ‘Umar, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ مِنَ الشَّجَرِ شَجَرَةً لَا يَسْقُطُ وَرَقُهَا وَهِيَ مَثَلُ المُؤْمِنِ حَدِّثُونِي مَا هِيَ»؟ قَالَ عَبْدُ اللَّهِ: فَوَقَعَ النَّاسُ فِي شَجَرِ البَوَادِي وَوَقَعَ فِي نَفْسِي أَنَّهَا النَّخْلَةُ. فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «هِيَ النَّخْلَةُ» فَاسْتَحْيَيْتُ أَنْ أَقُولَ قَالَ عَبْدُ اللَّهِ: فَحَدَّثْتُ عُمَرَ، بِالَّذِي وَقَعَ فِي نَفْسِي. فَقَالَ: «لَأَنْ تَكُونَ قُلْتَهَا أَحَبَّ إِلَيَّ مِنْ أَنْ يَكُونَ لِي كَذَا وَكَذَا

“Sesungguhnya dari jenis pokok-pokok, terdapat jenis pokok yang daunnya tidak akan gugur. Pokok itu adalah ibarat seorang mukmin, khabarkan kepadaku pohon apakah itu?”

‘Abdullah (bin ‘Umar) berkata, “Orang-orang beranggapan itu adalah pokok-pokok padang pasir, namun dalam hatiku mengatakan ia adalah pokok kurma.” Lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (memberikan jawabannya):

“Ia adalah pokok kurma.”

Aku merasa segan untuk mengatakannya. Setelah itu, aku pun menyampaikannya kepada ‘Umar jawaban yang terdetik di hatiku, lalu ‘Umar berkata:

“Jika tadi engkau mengatakannya, itu lebih aku sukai berbanding memiliki harta demikian dan demikian.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2867. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

Juga dari Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma:

بَيْنَا نَحْنُ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جُلُوسٌ إِذَا أُتِيَ بِجُمَّارِ نَخْلَةٍ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّ مِنَ الشَّجَرِ لَمَا بَرَكَتُهُ كَبَرَكَةِ المُسْلِمِ» فَظَنَنْتُ أَنَّهُ يَعْنِي النَّخْلَةَ، فَأَرَدْتُ أَنْ أَقُولَ: هِيَ النَّخْلَةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ، ثُمَّ التَفَتُّ فَإِذَا أَنَا عَاشِرُ عَشَرَةٍ أَنَا أَحْدَثُهُمْ فَسَكَتُّ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «هِيَ النَّخْلَةُ»

“Ketika kami duduk-duduk di sisi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, tiba-tiba diberikan jummar (umbut) pohon kurma. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun berkata:

“Sesunggunya terdapat satu pokok, barakahnya seperti barakah seorang muslim.” Lalu aku meneka, ia adalah pokok kurma. Lalu aku pun mahu menyatakannya (kepada Rasulullah) ia adalah pohon kurma, wahai Rasulullah. Tetapi kemudian aku memerhatikan dan mendapati bahawa aku orang yang kesepuluh dan yang paling kecil. Lalu aku pun diam. Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun berkata,“Ia adalah pohon kurma.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5444)

Kata al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H):

وبركة النخلة موجودة في جميع اجزائها مستمرة في جميع احوالها فمن حين تطلع إلى أن تيبس تؤكل انواعا ثم بعد ذلك ينتفع بجميع اجزائها حتى النوى في علف الدواب والليف في الحبال وغير ذلك مما لا يخفى وكذلك بركة المسلم عامة في جميع الأحوال ونفعه مستمر له ولغيره حتى بعد موته

“Barakah pokok kurma ada pada semua bahagiannya, berterusan dalam setiap keadaannya. Dari mula ia tumbuh sampai keringnya, dimakan semua jenis buahnya. Kemudian, setelah itu seluruh bahagian pokoknya dapat diambil manfaatnya, sampai bijinya pun dapat digunakan sebagai makanan ternakan. Demikian pula sabutnya, dapat dijadikan sebagai tali, serta yang lainnya pun demikian. Perkara ini sudah jelas. Demikian juga barakah seorang muslim, meliputi seluruh keadaannya. Manfaatnya berterusan untuknya dan untuk orang lain sampai setelah ia mati.” (Fathul Bari, 1/145-146)

Dalam sebahagian kajian perubatan terkini, biji kurma juga boleh dikisar menjadi serbuk lalu direndam dan airnya diminum sebagaimana teh.

Dalam kitab-kitab hadis pula ada diletakkan bab-bab khas berkaitan kurma serta dimasukkan oleh para ulama dalam kitab-kitab mereka berkaitan thibbun Nabawi. Antaranya seperti Imam Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H), beliau menghuraikan berkaitan tamr dan ruthab dalam kitabnya Thibbun Nabawi dan Zaadul Ma’ad. Termasuk di dalamnya adalah kurma ajwah, atau kurma bumi Madinah.

Antaranya, sebagaimana hadis dari Sa’ad radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

عَنْ سَعْدٍ، قَالَ: مَرِضْتُ مَرَضًا أَتَانِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُنِي فَوَضَعَ يَدَهُ بَيْنَ ثَدْيَيَّ حَتَّى وَجَدْتُ بَرْدَهَا عَلَى فُؤَادِي فَقَالَ: «إِنَّكَ رَجُلٌ مَفْئُودٌ، ائْتِ الْحَارِثَ بْنَ كَلَدَةَ أَخَا ثَقِيفٍ فَإِنَّهُ رَجُلٌ يَتَطَبَّبُ فَلْيَأْخُذْ سَبْعَ تَمَرَاتٍ مِنْ عَجْوَةِ الْمَدِينَةِ فَلْيَجَأْهُنَّ بِنَوَاهُنَّ ثُمَّ لِيَلُدَّكَ بِهِنَّ

“Pada suatu hari aku menderita sakit, kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjengukku. Beliau meletakkan tangannya di antara kedua dadaku (dua payudara), sehingga jantungku terasa sejuknya tangan beliau. Kemudian beliau bersabda:

“Sesungguhnya engkau mengalami sakit jantung, temuilah Al-Haarits bin Kaladah dari Bani Tsaqif, kerana sesungguhnya beliau adalah seorang dokter. Dan hendaknya beliau (Al-Haarits bin Kaladah) mengambil tujuh kurma ‘ajwah dari Madinah, kemudian ditumbuk beserta biji-bijinya, kemudian meminumkannya kepada engkau.” (Sunan Abi Daud, no.3875. Dinilai dha’if oleh Al-Albani)

Dalam Sunan Abi Daud, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ تَصَبَّحَ سَبْعَ تَمَرَاتٍ عَجْوَةٍ لَمْ يَضُرَّهُ ذَلِكَ الْيَوْمَ سَمٌّ وَلَا سِحْرٌ

“Sesiapa yang bersarapan (makan pagi) dengan tujuh biji kurma ‘ajwah, maka pada hari tersebut dia tidak akan dibahayakan dengan racun dan tidak juga sihir.” (Sunan Abi Dawud, no. 3876)

Dari hadis Abu Hurairah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

اَلْعَجْوَةُ مِنَ الْجَنَّةِ، وَهِيَ شِفَاءٌ مِنَ السُّمِّ

“Al-‘Ajwah (sejenis kurma dari bumi Madinah) itu berasal dari Syurga, ia adalah syifaa’ (penawar) dari racun.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2066)

Kata Imam Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H):

إنَّ هذا فى عجوة المدينة، وهى أحدُ أصناف التمر بها، ومن أنفع تمر الحجاز على الإطلاق، وهو صِنف كريم، ملذذ، متين للجسم والقوة، مِن ألين التمر وأطيبه وألذه

“Al-‘Ajwah di sini adalah kurma Ajwah Al-Madinah, iaitu sejenis kurma di kota Madinah, dikenal sebagai kurma Hijaz yang terbaik lagi bermanfaat dari seluruh jenisnya. Betuknya amat bagus, lazat, teksturnya agak kukuh, dari jenis yang lembut, empuk, dan lazat.” (Zaadul Ma’ad, 4/341)

Dari Aisyah Radhiyallahu ‘anha, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ فِي عَجْوَةِ الْعَالِيَةِ شِفَاءً، اَوْإنَّهَا تِرْيَاقٌ، أَوَّلَ الْبُكْرَةِ

“Sesungguhnya pada kurma ‘Ajwah Al-‘Aaliyah (di dataran tinggi di kota Madinah berdekatan Nejd) itu mengandungi penawar atau suatu penawar yang bersifat anti racun apabila diambil (dimakan) pada awal pagi.” (Shahih Muslim, no. 2048)

Kemudian, di antara manfaat dan keutamaan kurma yang lainnya adalah sebagaimana dalam hadis-hadis yang lain disebutkan:

Dari Ummul Mukminiin ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau pernah menceritakan:

إِنْ كُنَّا آلَ مُحَمَّدٍ نَمْكُثُ شَهْرًا مَا نَسْتَوْقِدُ بِنَارٍ إِنْ هُوَ إِلَّا المَاءُ وَالتَّمْرُ

“Kami, keluarga Muhammad pernah tidak menyalakan dapur dengan api untuk tempoh sebulan lamanya, makanan kami ketika itu hanyalah air sejuk dan at-tamr (kurma kering).” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2471)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah bersabda:

لَا يَجُوعُ أَهْلُ بَيْتٍ عِنْدَهُمُ التَّمْرُ

“Tidak akan kelaparan penghuni rumah yang di dalamnya memiliki at-tamr (kurma kering).” (Shahih Muslim, no. 2046)

Kata Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

فيه فضيلة التمر وجواز الادخال للعيال والحث عليه

“Pada hadis ini terdapat petunjuk akan keutamaan kurma (at-tamr) dan dibolehkan untuk menyimpannya untuk ahli keluarga serta anjuran menyimpannya.” (Syarah Shahih Muslim, 13/230)

Dari hadis-hadis ini menunjukkan tentang keutamaan dan kelebihan kurma sebagai makanan yang baik serta mampu menampung keperluan pemakanan harian bagi seseorang dan keluarganya. Dan memang demikianlah kurma adalah termasuk makanan kebiasaan atau harian mereka yang berada di wilayah panas yang dingin.

Banyak hadis-hadis yang lain yang mengkhabarkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memang biasa memakan kurma. Sama ada untuk berbuka puasa, bersahur, ketika menyambut kelahiran bayi, atau selainnya, bahkan juga ketika di medan perang.

Antaranya sebagaimana hadis dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُفْطِرُ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ عَلَى رُطَبَاتٍ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ رُطَبَاتٌ فَتُمَيْرَاتٌ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تُمَيْرَاتٌ حَسَا حَسَوَاتٍ مِنْ مَاءٍ

“Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berbuka puasa sebelum solat dengan beberapa ruthab, jika tiada ruthab maka beliau berbuka dengan beberapa tamr, jika tiada tamr maka beliau berbuka dengan beberapa tegukan air sejuk.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 696)

Dari Abu Hurairah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

نِعْمَ سَحُورُ الْمُؤْمِنِ التَّمْرُ

“Sebaik-baik makanan sahur seorang mukmin adalah tamar (kurma kering).” (Sunan Abu Daud, no. 2345. Shahih Ibnu Hibban, no. 3475)

Dari Abi Musa radhiyallahu ‘anhu:

وُلِدَ لِي غُلاَمٌ، فَأَتَيْتُ بِهِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَمَّاهُ إِبْرَاهِيمَ، فَحَنَّكَهُ بِتَمْرَةٍ، وَدَعَا لَهُ بِالْبَرَكَةِ، وَدَفَعَهُ إِلَيَّ

“Ketika anakku lahir, aku membawanya kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Beliau memberi nama bayiku Ibrahim, dan beliau mentahniknya dengan kurma lalu mendoakannya dengan keberkahan. Kemudian beliau kembalikan kepadaku.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5467)

Dalam peperangan Badar sebagaimana hadis dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

فَدَنَا الْمُشْرِكُونَ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «قُومُوا إِلَى جَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَوَاتُ وَالْأَرْضُ»، قَالَ: – يَقُولُ عُمَيْرُ بْنُ الْحُمَامِ الْأَنْصَارِيُّ: – يَا رَسُولَ اللهِ، جَنَّةٌ عَرْضُهَا السَّمَوَاتُ وَالْأَرْضُ؟ قَالَ: «نَعَمْ»، قَالَ: بَخٍ بَخٍ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَا يَحْمِلُكَ عَلَى قَوْلِكَ بَخٍ بَخٍ؟» قَالَ: لَا وَاللهِ يَا رَسُولَ اللهِ، إِلَّا رَجَاءَةَ أَنْ أَكُونَ مِنْ أَهْلِهَا، قَالَ: «فَإِنَّكَ مِنْ أَهْلِهَا»، فَأَخْرَجَ تَمَرَاتٍ مِنْ قَرَنِهِ، فَجَعَلَ يَأْكُلُ مِنْهُنَّ، ثُمَّ قَالَ: لَئِنْ أَنَا حَيِيتُ حَتَّى آكُلَ تَمَرَاتِي هَذِهِ إِنَّهَا لَحَيَاةٌ طَوِيلَةٌ، قَالَ: فَرَمَى بِمَا كَانَ مَعَهُ مِنَ التَّمْرِ، ثُمَّ قَاتَلَهُمْ حَتَّى قُتِلَ

“Ketika kaum musyrikin semakin dekat, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Majulah kalian menuju Syurga, yang luasnya seluas langit dan bumi.”

Anas berkata, “Tiba-tiba ‘Umair bin Al-Humaam Al-Anshari berkata, “Ya Rasulullah, Syurga yang luasnya seluas langit dan bumi?!” Beliau menjawab, “Ya.” ‘Umair berkata, “Bah, bah!” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Mengapa kamu mengatakan bah, bah?” Umair menjawab, “Tidak, demi Allah wahai Rasulullah, aku tidak mengucapkannya kecuali kerana aku mengharap aku menjadi penghuninya.” Beliau bersabda:

“Sesungguhnya engkau termasuk dari penghuninya.” Kemudian ‘Umair mengeluarkan beberapa kurma dari dalam poket dan memakan sebahagian darinya. Setelah itu beliau berkata, “Jika aku masih hidup sampai aku menghabiskan semua kurmaku ini, tentu itu adalah kehidupan yang lama.” Anas berkata, “Maka kurma yang masih ada lebih di tangannya dia tinggalkan begitu saja, lalu kemudian dia pergi bertempur hingga terbunuh.” (Shahih Muslim, no. 1901)

Dalam hadis yang lain pula, dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لاَ يَغْدُو يَوْمَ الفِطْرِ حَتَّى يَأْكُلَ تَمَرَاتٍ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidaklah keluar di waktu pagi ‘iedul fithri sampailah beliau terlebih dahulu memakan beberapa tamr (kurma kering).” (Shahih Al-Bukhari, no. 953)

Wallahu a’lam, demikianlah sedikit perkongsian sebahagian hadis-hadis yang berkaitan dengan tamr atau kurma.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest