Khabar Gembira Buat Suri Rumah Sepenuh Masa

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

spring_5Secara ringkasnya, artikel ini hanya bertujuan untuk menyenaraikan beberapa keutamaan kaum wanita khasnya seorang isteri yang melazimi rumah suaminya sebagaimana yang terdapat pada dalil-dalil Al-Qur’an dan Al-Hadis serta sedikit pengalaman penulis, insyaaAllah. Sekaligus bagi menjelaskan tempat, posisi, dan profesi terbaik seorang wanita yang solehah.

Di mana pada hari ini sebagaimana kita maklum dan tanpa tersembunyi, telah menjadi suatu kelaziman dan kebiasaan bagi seorang wanita untuk keluar bekerja bersama-sama kaum lelaki. Bahkan telah menjadi amalan dan kelaziman zaman ini, anak-anak perempuan telah dilatih dan dididik untuk menjadi seorang yang bekerja di luar rumah, dididik untuk menguasai sejumlah kemahiran sehingga ke peringkat ijazah atau semisal, atau dihantar ke pusat-pusat pendidikan tertentu bagi menyambut dan memenuhi sektor-sektor pekerjaan di luar. Sehingga terdapat suatu tanggapan tidak baik dari kalangan masyarakat hari ini apabila seorang wanita itu tidak bekerja, maka mereka pun dianggap sebagai wanita yang tidak mampu bersaing, tidak berdaya maju, tidak punya wawasan, tidak mengenang jasa ibu bapa, dan dianggap kolot lagi tidak berkembang mindanya. Sampai-sampai hal seperti ini membuat sebahagian orang merasa kerdil dan kecil hati.

Bahkan atas dasar mentaliti semisal ini, malah tampak pula keterabaian pendidikan yang lebih utama (yang harus didahulukan) yang dituntut di dalam agama berupa kemahiran dan kepimpinan dalam mengendalikan rumah dan anak-anak.

Di mana apa yang dituntut di dalam agama bersesuaian dengan fitrah biologi seorang wanita itu tidaklah begitu, bahkan sebaliknya. Di mana agama fitrah ini, iaitu Islam telah memposisikan bagi seorang wanita itu agar tetap tinggal di rumah-rumah suaminya dan menjalankan tanggungjawab serta tugas-tugas mereka di sana. (yakni tanpa menafikan adanya skop-skop kerja yang patuh syari’ah bagi kaum wanita di luar). Secara tidak langsung tampak di sini sejumlah ciri pemuliaan dan penjagaan Islam terhadap kaum wanita.

Bahkan jika kita memahami hal ini dengan baik, terkandung banyak sekali hikmah dengan sejumlah pahala yang besar lagi melimpah-ruah di rumah-rumah mereka bagi kaum wanita. Di sinilah Syurga terindah buat mereka… Tidakkah mereka menyedarinya?

Bukankah dengan cara ini, para wanita atau para muslimah akan merasa lebih aman dan selamat? Mampu melaksanakan tugas-tugas fitrah mereka dan apa-apa yang diperintahkan agama di rumah dengan lebih cekap dan efisyen?

Dan insyaAllah di sini penulis akan senaraikannya dengan mudah dan ringkas sahaja yang penulis ambil dari beberapa sumber rujukan, iaitu secara point demi point tanpa memanjang perbahasan supaya lebih mudah dicerap, mudah dirujuk, dan lebih santai untuk dibaca. Sekaligus penulis berharap ia dapat menjadi motivasi dan khabar gembira buat para wanita yang memilih profesi sebagai isteri sepenuh masa di rumah suami mereka, termasuklah buat isteri penulis.

1, Dalil pertama; perintah agar tinggal di rumah,

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الأولَى

“Dan hendaklah kalian (yakni isteri-isteri Nabi) tetap di rumah-rumah kalian dan jangan bertabarruj seperti orang-orang jahiliyah terdahulu bertabarruj.” (Surah Al-Ahdzaab, 33: 33)

Dan para ulama tafsir menjelaskan bahawa para wanita beriman itu adalah mengikuti dan mencontohi isteri-isteri Nabi.

Kata Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H):

أي: الزمن بيوتكن فلا تخرجن لغير حاجة. ومن الحوائج الشرعية الصلاة في المسجد بشرطه

“Iaitu tinggallah di rumah kalian dan jangan keluar tanpa keperluan (yang syar’i). Dan dari bentuk keperluan syar’i adalah seperti solat di masjid berdasarkan syarat-syaratnya.” (Tafsir Ibnu Katsir, 6/409)

Walaupun demikian ada hadis yang menyebutkan bahawa “Solat seorang wanita di bilik rumahnya itu lebih utama berbanding dia keluar solat di masjid secara berjama’ah” walaupun bukanlah bermaksud wanita dilarang solat di masjid. (Boleh baca artikel: Tempat Solat Terbaik Bagi Wanita)

Termasuk makna tabarruj ala jahiliyah adalah sebagaimana kata Al-Imam Mujahid:

كانت المرأة تخرج تمشي بين يدي الرجال، فذلك تبرج الجاهلية

“Dahulu wanita keluar berjalan dalam kalangan kaum lelaki, maka yang demikian (termasuk) maksud tabarruj kaum jahiliyyah.” (Tafsir Ibnu Katsir, 6/10)

Seandainya seorang wanita atau isteri asyik keluar dan memperbanyakkan aktiviti di luar, bagaimana mereka akan mampu melaksanakan perintah dan sunnah ini? Dan bagaimana mereka akan terlepas dari gejala tabarruj ini?

2, Dalil kedua; wanita adalah aurat,

Dari hadis ‘Abdullah (bin Mas’oud) radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ الْمَرْأَةَ عَوْرَةٌ، فَإِذَا خَرَجَتِ اسْتَشْرَفَهَا الشَّيْطَانُ، وَأَقْرَبُ مَا تَكُونُ مِنْ وَجْهِ رَبِّهَا وَهِيَ فِي قَعْرِ بَيْتِهَا

“Sesungguhnya wanita itu aurat. Apabila dia keluar (dari rumah) maka syaitan pun menyambutnya (dengan mengangkat pandangan padanya). Keadaan wanita yang paling dekat dengan wajah Rabbnya adalah ketika dia berada di dalam rumahnya.” (Shahih Ibnu Khuzaimah no. 1685. Sunan At-Tirmidzi, no. 1173)

Hadis ini menjelaskan apabila kaum wanita itu keluar, maka syaitan pun akan menghiasinya seraya menjadikannya sebagai bahan tarikan kepada yang lainnya. Namun, apabila wanita tetap diam pada tempatnya iaitu dengan melazimi rumahnya, maka ini akan lebih membantunya dalam menjaga kehormatan dan auratnya.

Sahabat Nabi; ‘Ali radhiyallahu ‘anhu pernah berkata kepada isterinya, (iaitu) Fathimah radhiyallahu ‘anha:

يا فاطمة ما خير ما للمرأة؟

“Wahai Fathimah, apa yang terbaik untuk seseorang wanita?” Fathimah menjawab:

أن لا ترى الرجال ولا يروها

“Hendaklah dia tidak melihat lelaki (yang bukan mahramnya) dan lelaki pun tidak melihatnya.” ‘Ali berkata lagi:

ألا تستحيون؟ ألا تغارون؟ يترك أحدكم امرأته تخرج بين الرجال تنظر إليهم وينظرون إليها

“Tidakkah kamu malu? Tidakkah kamu cemburu? Salah seorang di antara kamu membiarkan isterinya pergi ke khalayak kaum lelaki dan dia melihat mereka serta mereka (para lelaki) pun melihat mereka pula.” (Lihat: Al-Kaba’ir oleh Adz-Dzahabi, m/s. 171-172. Dinukil daripada: Mas’uliyyah Al-Mar’ah Al-Muslimah oleh ‘Abdullah Al-Jarullah, m/s. 67)

Kemudian dalam Musnad Ahmad juga terdapat atsar yang hampir sama daripada ‘Ali bin Abi Thalib radhiyallahu ‘anhu:

أَلَا تَسْتَحْيُونَ أَوْ تَغَارُونَ؟ فَإِنَّهُ بَلَغَنِي أَنَّ نِسَاءَكُمْ يَخْرُجْنَ فِي الْأَسْوَاقِ يُزَاحِمْنَ الْعُلُوجَ

“Adakah kamu tidak malu atau cemburu? Sesungguhnya telah sampai kepadaku bahawa wanita-wanita kamu keluar di pasar-pasar lalu mereka bercampur dengan kaum lelaki.” (Musnad Ahmad,  no. 1118. Sanadnya jayyid kerana Syarik bin ‘Abdullah al-Qadhi dalam riwayatnya daripada Abu Ishaq adalah tsabit sebagaimana kata Imam Ahmad)

Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H):

ومن المعلوم أن العاقل يشتد عليه أن الأجنبي يرى وجه زوجته وابنته ونحو ذلك

“Dan dari yang dimaklumi bahawa orang yang memiliki akal akan merasa berat seandainya ada lelaki ajnabi (lelaki asing yang bukan mahram) memandang pada wajah isteri, anak perempuannya, dan seumpamanya.” (Fathul Bari, 12/245)

Beliau juga berkata:

ولم تزل عادة النساء قديمًا وحديثًا يسترن وجههن عن الأجانب.

“Kebiasaan para wanita dahulu dan sekarang adalah mereka sentiasa menutupi wajah mereka dari para lelaki yang bukan mahram.” (Fathul Bari, 9/324)

Ini kerana, memandang wanita yang tidak halal diikuti pula dengan rasa lazat pada memandangnya, saling beramah-mesra antara lelaki dan wanita ajnabi (yang bukan mahram), saling menyentuh (atau bersalaman) dan merasa seronok dengan hal tersebut, maka hal yang demikian termasuk bahagian-bahagian dari zina.

Sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

كُتِبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ نَصِيبُهُ مِنْ الزِّنَا مُدْرِكٌ ذَلِكَ لَا مَحَالَةَ فَالْعَيْنَانِ زِنَاهُمَا النَّظَرُ وَالْأُذُنَانِ زِنَاهُمَا الِاسْتِمَاعُ وَاللِّسَانُ زِنَاهُ الْكَلَامُ وَالْيَدُ زِنَاهَا الْبَطْشُ وَالرِّجْلُ زِنَاهَا الْخُطَا وَالْقَلْبُ يَهْوَى وَيَتَمَنَّى وَيُصَدِّقُ ذَلِكَ الْفَرْجُ وَيُكَذِّبُهُ

“Ditulis atas anak Adam akan nasib (ketentuan)nya berkaitan zina. Tidak mustahil ia pasti melakukannya. Dua mata berzina dengan melihat, dua telinga berzina dengan mendengar, lidah berzina dengan kata-kata, tangan berzina dengan menyentuh, kaki berzina dengan melangkah, hati berzina dengan angan-angan (keinginan), dan kemaluanlah yang akan membenarkan (merealisasikan) atau mendustakan semua itu.” (Shahih Muslim, no. 2657; dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu)

Namun sayangnya, hal seperti ini begitu banyak sekali berlaku di luar sana, di mana kaum lelaki dan wanita saling bercampur-baur, beramah-mesra, dan bahkan sampai saling bertepuk-tampar tanpa mengira status non-mahram serta lelaki atau isteri orang. Subhanallaah..

3, Dalil ketiga; tempat solat dan ibadah terbaik bagi wanita,

Dari hadis Ummu Salamah radhiyallahu ‘anha, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

خَيْرُ مَسَاجِدِ النِّسَاءِ قَعْرُ بُيُوتِهِنَّ

“Sebaik-baik masjid para wanita adalah pertengahan rumah-rumah mereka.” (Diriwayatkan oleh Ahmad, Ibnu Khuzaimah, Al-Hakim, dan Al-Baihaqi. Dinilai hasan oleh Al-Albani dalam As-Silsilah Al-Ahadits Ash-Shahihah, no. 1396). (Baca rinciannya di artikel: Tempat Solat Terbaik Bagi Wanita)

Jika tempat solat yang merupakan ibadah yang aman dari gangguan dan fitnah pun dituntut dengan keutamaan seperti ini, maka bagaimana bagi selain solat?

4, Dalil keempat; kepimpinan seorang wanita adalah di rumah suami mereka,

Allah Ta’ala berfirman:

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاء بِمَا فَضَّلَ اللّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُواْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللّهُ

“Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita disebabkan Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Maka wanita yang soleh adalah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tiada dengan apa yang Allah telah pelihara mereka.” (Surah An-Nisaa’, 4: 34)

Dari hadis ‘Abdullah bin ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ

“Seorang lelaki adalah pemimpin yang bertanggungjawab ke atas keluarganya, manakala seorang isteri menjadi pemimpin yang bertanggungjawab menguruskan rumah suami dan anak-anaknya.” (Shahih Al-Bukhari, Bab: Wanita Adalah Pemimpin Di Rumah Suaminya, no. 5200)

Dalam lafaz yang lain di riwayat Al-Imam Muslim, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ بَعْلِهَا وَوَلَدِهِ، وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ

“Seorang isteri itu adalah pemimpin (yang memegang amanah) atas rumah dan anak-anak suaminya, dan kelak dia akan dipertanggungjawabkan (oleh Allah).” (Shahih Muslim, no. 1829)

Jika ditelusuri sirah, perjalanan, dan biografi para ulama generasi awal sama ada dari kalangan sahabat, tabi’in, dan setelah mereka; pasti kita akan menemukan betapa besarnya peranan seorang ibu di balik dinding-dinding rumah yang sentiasa berkerja keras melakari sejarah ilmu dan kejayaan hidup mereka. Sampailah sejarah-sejarah mereka pun dikenang dan dikenal sampai ke hari ini. Ilmu-ilmu mereka terus dicari dan dikutip sebagai mutiara yang lumayan.

Adapun menyentuh isu kepimpinan wanita di luar rumah-rumah mereka, disebutkan dalam suatu hadis yang lain, dari hadis Abi Bakrah radhiyallahu ‘anhu, Nabi bersabda:

لَنْ يُفْلِحَ قَوْمٌ وَلَّوْا أَمْرَهُمُ امْرَأَةً

“Tidak akan beruntung suatu kaum yang menyerahkan urusan kepimpinannya kepada wanita.” (Shahih Al-Bukhari, no. 4425)

Ini kerana tugas kepimpinan bagi wanita itu adalah di rumah suami mereka atas anak-anak mereka. Bukannya di luar rumah, dan bukan pula pada masyarakat umum.

Untuk lebih jelas tentang hal ini, sila baca artikel kami dengan judul Di Mana Tempat Kepimpinan Seorang Wanita?

5, Dalil kelima; Memelihara diri ketika ditinggal suami,

Dari hadis ‘Abdurrahman bin ‘Auf radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallalalhu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَفِظَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا قِيلَ لَهَا: ادْخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شِئْتِ

“Apabila seorang wanita telah mendirikan solat 5 waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya (atau kemaluannya), serta mentaati suaminya, maka akan dikatakan kepadanya, “Masuklah engkau ke dalam Syurga dari pintu mana pun yang engkau mahu.”.” (Musnad Ahmad, no. 1661. Ath-Thabrani, Al-Mu’jam Al-Ausath, no. 4598, 8805. Shahih Ibnu Hibban, no. 4163. Dinilai hasan oleh Al-Albani)spring_5_2

Juga sebagaimana firman Allah Ta’ala:

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاء بِمَا فَضَّلَ اللّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُواْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللّهُ

“Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita disebabkan Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Maka wanita yang soleh adalah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tiada dengan apa yang Allah telah pelihara mereka.” (Surah An-Nisaa’, 4: 34)

Dalil ini menunjukkan tempat wanita yang soleh itu adalah di rumah suaminya dan dua dalil ini juga menunjukkan kemudahan yang Allah beri dan lebihkan atas kaum wanita berbanding kaum lelaki dalam mencari Syurga. Sehingga dikatakan untuk mereka:

“Masuklah engkau ke dalam Syurga dari pintu mana pun yang engkau mahu.”

Maka, tidakkah kalian gembira dan teruja untuk menerimanya? Tepuk dada, tanyalah iman.

6, Dalil keenam; Sentiasa bersedia dalam memenuhi hak, keperluan dan emosi suami,

Dari hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata:

كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَ إِلَّا فِي شَعْبَانَ»، الشُّغْلُ مِنَ النَّبِيِّ أَوْ بِالنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“Bahawa dahulu aku memiliki hutang puasa Ramadhan, sementara aku tidak mampu mengqadha’nya melainkan setelah masuk bulan Sya’ban, kerana aku sibuk melayani (memenuhi keperluan) Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1950)

Demikianlah ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha sebagai teladan isteri yang solehah, beliau sentiasa memberikan layanan dan khidmat sebaik mungkin untuk suaminya, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Dari hadis ini juga menjelaskan bahawa sebaik-baik ibadah bagi seorang perempuan (isteri) adalah dia berkhidmat untuk suaminya di rumah setelah dia melaksanakan kewajiban-kewajibannya kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Dan bagi mewujudkan keadaan seperti ini, ‘Aisyah sentiasa mempersiapkan dirinya pada bila-bila masa pun yang diinginkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sehingga terwujudlah keindahan, ketenangan dan kedamaian dalam sesebuah rumatangga. Dan demikianlah yang dilakukan oleh para isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam umumnya, mereka sentiasa bersaing bagi menyuburkan cinta bersama suaminya.

Dari hadis Jaabir radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَى امْرَأَةً، فَأَتَى امْرَأَتَهُ زَيْنَبَ، وَهِيَ تَمْعَسُ مَنِيئَةً لَهَا، فَقَضَى حَاجَتَهُ، ثُمَّ خَرَجَ إِلَى أَصْحَابِهِ، فَقَالَ: «إِنَّ الْمَرْأَةَ تُقْبِلُ فِي صُورَةِ شَيْطَانٍ، وَتُدْبِرُ فِي صُورَةِ شَيْطَانٍ، فَإِذَا أَبْصَرَ أَحَدُكُمُ امْرَأَةً فَلْيَأْتِ أَهْلَهُ، فَإِنَّ ذَلِكَ يَرُدُّ مَا فِي نَفْسِهِ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah melihat seorang wanita, lalu beliau pun pergi masuk kepada isterinya Zainab yang pada ketika itu sedang menyamak kulit miliknya, lalu beliau pun menunaikan “hajatnya” (yakni menyetubuhinya). Kemudian beliau pun keluar kepada para sahabatnya lalu bersabda:

“Sesungguhnya wanita itu datang dalam rupa syaitan dan pergi dalam rupa syaitan. Dari itu, jika salah seorang dari kalian melihat wanita (tanpa sengaja, lalu syahwatnya terangsang), maka hendaklah dia mendatangi isterinya, kerana dengan cara itu dia akan dapat menghilangkan apa yang ada di dalam dirinya (dari syahwat yang sedang bergelora).” (Shahih Muslim, no. 1403)

Pada hadis ini terdapat isyarat yang menganjurkan agar kaum wanita tetap tinggal di rumah sehingga mereka diibaratkan seperti syaitan (apabila keluar ke khalayak kaum lelaki) kerana pada diri mereka terdapat sesuatu yang mempersonakan kaum lelaki, menarik perhatian mereka, dan menimbulkan kecondongan terhadap wanita tersebut sehingga mampu mengundang fitnah dan hal-hal yang tidak diingini.

Dan pada hadis ini terkandung bimbingan dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bagi kaum lelaki agar mendatangi isterinya seandainya syahwatnya memuncak, dan manakala bagi si isteri pula hendaklah sentiasa bersedia dan tidak menolak ajakan suaminya, walaupun sedang berada di dapur menguruskan kerja-kerjanya. (lihat: Syarh Shahih Muslim oleh An-Nawawi, 9/178-179)

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَأَبَتْ فَبَاتَ غَضْبَانَ عَلَيْهَا لَعَنَتْهَا المَلاَئِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ

“Apabila seorang suami mengajak isterinya ke tempat tidurnya tetapi si isteri enggan sehingga membuat suami merasa marah pada ketika itu, maka para malaikat pun melaknatnya sampai masuk waktu Subuh.” (Shahih Al-Bukhari, no. 3237)

Lalu jika seandainya si isteri lebih sering sibuk dengan hal-hal di luar, atau selalu keletihan dengan hal-hal di luar, bagaimanakah anjuran dan bimbingan ini dapat tercapai dan disempurnakan?

Dari dalil-dalil ini juga terkandung faedah bahawa fitrah bagi wanita itu adalah dipimpin, yakni di bawah pangkuan suaminya, bukannya memimpin, atau mengurusi hal-ehwal luar rumahnya (masyarakat).

Dari hadis ‘Abdullah bin Abi Aufa radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ، لَا تُؤَدِّي الْمَرْأَةُ حَقَّ رَبِّهَا حَتَّى تُؤَدِّيَ حَقَّ زَوْجِهَا، وَلَوْ سَأَلَهَا نَفْسَهَا وَهِيَ عَلَى قَتَبٍ لَمْ تَمْنَعْهُ

“Demi jiwa Muhammad yang di Tangan-Nya, seorang isteri belumlah dianggap menunaikan hak Rabbnya sampailah dia menunaikan hak suaminya. Walaupun si suami “meminta” kepada isteri dalam keadaan dia sedang di atas unta (atau di dapur tempat penyediaan makanan), maka dia tidak boleh menolaknya.” (Sunan Ibn Majah, no. 1853. Shahih Ibn Hibban, no. 4171)

Hadis ini turut mengandungi penjelasan bahawa urusan di dapur termasuk dari salah satu pekerjaan seorang isteri di rumahnya, di mana sebahagian ulama menjelaskan maksud Al-Qatab sebagai sedang menguruskan urusan dapur.

Sebagaimana dari hadis yang lain, dari Thalq bin ‘Ali, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا الرَّجُلُ دَعَا زَوْجَتَهُ لِحَاجَتِهِ فَلْتَأْتِهِ، وَإِنْ كَانَتْ عَلَى التَّنُّورِ

“Apabila seorang lelaki (suami) mengajak isterinya untuk memenuhi “keperluannya” hendaklah dia segera mendatanginya walaupun si isteri sedang berada di dapur.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 1160. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Dari hadis Jaabir, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا قَدِمَ أَحَدُكُمْ لَيْلًا، فَلَا يَأْتِيَنَّ أَهْلَهُ طُرُوقًا، حَتَّى تَسْتَحِدَّ الْمُغِيبَةُ، وَتَمْتَشِطَ الشَّعِثَةُ

“Jika salah seorang dari kalian datang (yakni pulang dari safar atau perjalanan jauh) pada malam hari, maka janganlah dia langsung mendatangi isterinya, (tetapi berilah khabar) agar si isteri dapat membersihkan bulu kemaluannya dan merapikan rambutnya.” (Shahih Muslim, no. 715)Fikih_Ummahat_Khusus_Ibu_Ilmusunnah_2

7, Dalil ketujuh; Agar mudah menyusukan,

Allah Subhanahu wa Ta’ala befirman:

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ

“Para ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan.” (Surah Al-Baqarah, 2: 233)

Kata Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H):

هذا إرشاد من الله تعالى للوالدات أن يرضعن أولادهن كمال الرضاعة، وهي سنتان

“Ini adalah merupakan bimbingan dari Allah Ta’ala bagi para ibu supaya menyusukan anak-anak mereka dengan sempurna, iaitu sehingga dua tahun penuh.” (Tafsir al-Qur’an al-Adzim, 1/633)

Dalam ayat yang sama, seterusnya Allah Subahanahu wa Ta’ala menyebutkan:

وَإِنْ أَرَدْتُمْ أَنْ تَسْتَرْضِعُوا أَوْلَادَكُمْ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِذَا سَلَّمْتُمْ مَا آتَيْتُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

“Dan sekiranya kamu mahu anakmu disusukan oleh orang lain (dengan sebab kamu tidak mampu), maka tiada dosa bagi kamu apabila kamu memberikan upah menurut kewajaran, dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah bahawa Allah Maha Melihat apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Baqarah, 2: 233). (Baca juga artikel: Susu Ibu Lambang Kasih-Sayang)

Meninggalkan penyusuan anak kecil secara alami (fitrah) lalu beralih kepada penyusuan secara botol dengan selain susu ibu sebenarnya termasuk amalan penyusuan yang menyalahi sunnah jika dilaksanakan tanpa sebarang mudharat atau keperluan yang syar’i.

8, Dalil kelapan; Safar dan Hajinya wanita itu bersama mahram,

Dari hadis Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَا تُسَافِرْ الْمَرْأَةُ إِلَّا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ وَلَا يَدْخُلُ عَلَيْهَا رَجُلٌ إِلَّا وَمَعَهَا مَحْرَمٌ فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أَخْرُجَ فِي جَيْشِ كَذَا وَكَذَا وَامْرَأَتِي تُرِيدُ الْحَجَّ فَقَالَ اخْرُجْ مَعَهَا

“Janganlah seorang wanita bermusafir kecuali bersama mahramnya. Dan janganlah seorang lelaki keluar menemuinya kecuali ada bersama wanita itu mahramnya.”

Kemudian ada seorang lelaki bertanya, “Wahai Rasulullah, sebenarnya aku perlu berangkat bersama pasukan perang ini dan ini, tetapi isteriku ingin menunaikan haji.”spring_6_2

Maka beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun menjawab, “Keluarlah bersamanya (berhaji bersama si isteri).” (Shahih Al-Bukhari, no. 1862. Bab hajinya kaum wanita)

Dari hadis ini menunjukkan hukum asal bagi seorang perempuan adalah dia tidak berhaji dan tidak pula melakukan safar (perjalanan jauh) melainkan bersama mahramnya. Jika tanpa mahram, maka hendaklah dia tetap melazimi rumahnya sampai dia diberikan kelapangan.

Lalu bagaimana dengan selain haji, jika ibadah yang sepenting haji saja tidak dibenarkan ditunaikan melainkan bersama mahramnya?

9, Dalil kesembilan; Lebih aman dari fitnah (gangguan dan keburukan) atau dari menjadi sumber fitnah,

Allah Subhanahu wa Ta’ala juga berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لأزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isteri kalian, anak-anak perempuan kalian dan isteri-isteri orang mukmin, “Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.” Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal (sebagai orang beriman) yang dengannya mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-Ahdzab, 33: 59)

Dari hadis Usamah bin Zaid radhiyallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَا تَرَكْتُ بَعْدِي فِتْنَةً أَضَرَّ عَلَى الرِّجَالِ مِنْ النِّسَاءِ

“Aku tidak meninggalkan fitnah (ujian) sepeninggalanku yang lebih bahaya bagi lelaki melebihi fitnah wanita.” (Muttafaqun ‘alaih; Shahih Al-Bukhari, no. 5096. Muslim, no. 2740)

Dari hadis Abu Sa’id Al-Khudri radhiyallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa beliau bersabda:

إِنَّ الدُّنْيَا حُلْوَةٌ خَضِرَةٌ، وَإِنَّ اللهَ مُسْتَخْلِفُكُمْ فِيهَا، فَيَنْظُرُ كَيْفَ تَعْمَلُونَ، فَاتَّقُوا الدُّنْيَا وَاتَّقُوا النِّسَاءَ، فَإِنَّ أَوَّلَ فِتْنَةِ بَنِي إِسْرَائِيلَ كَانَتْ فِي النِّسَاءِ

“Sesungguhnya dunia itu manis lagi hijau dan sesungguhnya Allah menjadikan kalian khalifah di atasnya lalu Dia memerhatikan apa yang kalian lakukan. Dari itu, awaslah kalian terhadap (fitnah) dunia dan (fitnah) wanita. Sesungguhnya fitnah pertama (yang menghancurkan) Bani Israil adalah kerana wanita.” (Shahih Muslim, no. 2742)

10, Dalil kesepuluh; Lebih aman dari pandangan lelaki asing dan lebih mudah menundukkan pandangan,

Allah Subhanahu wa Ta’ala befirman:

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ (30) وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ

“Katakanlah kepada para lelaki yang beriman, “Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kehormatannya (atau kemaluannya); yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.” Dan katakanlah kepada para wanita yang beriman, “Hendaklah mereka menahan pandangan dan kehormatannya (atau kemaluannya), dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya…” (Surah An-Nuur, 24: 30-31)

11, Dalil kesebelas; Lebih Aman Dari Kemasukan Orang Yang Tidak Dizinkan oleh Suami,

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لاَ يَحِلُّ لِلْمَرْأَةِ أَنْ تَصُومَ وَزَوْجُهَا شَاهِدٌ إِلَّا بِإِذْنِهِ، وَلاَ تَأْذَنَ فِي بَيْتِهِ إِلَّا بِإِذْنِهِ، وَمَا أَنْفَقَتْ مِنْ نَفَقَةٍ عَنْ غَيْرِ أَمْرِهِ فَإِنَّهُ يُؤَدَّى إِلَيْهِ شَطْرُهُ

“Tidak halal bagi seorang isteri untuk berpuasa (yakni puasa sunnah) ketika suaminya hadir melainkan dengan izinnya, tidak boleh seorang isteri mengizinkan orang lain masuk ke rumahnya melainkan dengan izin suaminya, dan jika dia menafkahkan sesuatu tanpa ada perintah dari suaminya, maka suaminya akan mendapat setengah pahalanya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5195. Muslim, no. 1026)

Lalu bagaimana dengan keadaan di kebanyakan tempat-tempat kerja sebagaimana yang dimaklumi pada hari ini? Orang-orang dengan mudah keluar masuk menemui si isteri, sama ada yang dikenal mahupun tidak, yang lelaki mahupun wanita, yang mahram mahupun bukan, yang diketahui mahupun tidak diketahui oleh suami?

Bahkan suatu yang sudah menjadi kebiasaan pada hari ini, para isteri yang bekerja di luar ada yang keluar makan bersama teman-teman sekerjaranya yang lelaki, naik kereta bersama-sama, berjalan bersama-sama, bermesyuarat bersama, berbual seperti berbual dengan keluarga mereka, dan seumpamanya. Dan mereka tidak lagi mengangap ia suatu yang janggal, bukan lagi dari bentuk kemungkaran dan maksiat. Sifat malu dan kecemburuan pun sudah hilang. laa hawla walaa quwwata illaa billaah

12, Dalil ketiga belas; Lebih ringan bagi mempersiapkan kerja-kerja di rumah dan keperluan suaminya,

Termasuk tugas-tugas isteri adalah memantau keadaan di rumah suaminya, menyelengarakan makan dan minum, memperkemas tempat tidurnya, dan membantu suami dalam memberi makan haiwan ternakannya di rumah bersesuaian dengan kemampuan dan kebiasaan seorang wanita. Dan inilah pendapat yang benar (lebih tepat) bersesuaian dengan dalil-dalil dari Al-Qur’an dan hadis-hadis. Dan hal ini telah dilakukan oleh bukan wanita biasa-biasa, tetapi para wanita terhebat dan terbaik dari umat ini, dari kalangan isteri-isteri Nabi dan para sahabat. (lihat: Majmu’ Al-Fatawa oleh Ibn Taimiyyah, 34/90. Fathul Bari oleh Ibn Hajar, 9/322-324. Adab Az-Zifaf oleh Al-Albani, m/s. 214-218)

Dari hadis Jabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَأَلَ أَهْلَهُ الْأُدُمَ، فَقَالُوا: مَا عِنْدَنَا إِلَّا خَلٌّ، فَدَعَا بِهِ، فَجَعَلَ يَأْكُلُ بِهِ، وَيَقُولُ: «نِعْمَ الْأُدُمُ الْخَلُّ، نِعْمَ الْأُدُمُ الْخَلُّ

“Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah meminta lauk daripada para isterinya. Maka para isterinya berkata, “Tiada apa di sisi kami kecuali khal (cuka).” Maka beliau pun meminta dibawakan cuka tersebut lalu beliau pun makan berlauk dengannya. Dan beliau mengatakan, “Lauk yang paling nikmat (enak) adalah cuka, lauk yang paling nikmat adalah cuka.” (Shahih Muslim, no. 2052)

Dari hadis ini menjelaskan bahawa isteri memiliki tanggungjawab untuk membantu suaminya dalam mempersiapkan makan dan minum di rumah. Manakala seorang suami pula hendaklah sentiasa bersikap toleransi, lemah-lembut, dan memotivasikan si isteri dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Dari hadis ‘Ali radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

أَنَّ فَاطِمَةَ، اشْتَكَتْ مَا تَلْقَى مِنَ الرَّحَى فِي يَدِهَا، وَأَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَبْيٌ، فَانْطَلَقَتْ، فَلَمْ تَجِدْهُ وَلَقِيَتْ عَائِشَةَ، فَأَخْبَرَتْهَا فَلَمَّا جَاءَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أَخْبَرَتْهُ عَائِشَةُ بِمَجِيءِ فَاطِمَةَ إِلَيْهَا، فَجَاءَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَيْنَا، وَقَدْ أَخَذْنَا مَضَاجِعَنَا، فَذَهَبْنَا نَقُومُ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «عَلَى مَكَانِكُمَا» فَقَعَدَ بَيْنَنَا حَتَّى وَجَدْتُ بَرْدَ قَدَمِهِ عَلَى صَدْرِي، ثُمَّ قَالَ: «أَلَا أُعَلِّمُكُمَا خَيْرًا مِمَّا سَأَلْتُمَا، إِذَا أَخَذْتُمَا مَضَاجِعَكُمَا، أَنْ تُكَبِّرَا اللهَ أَرْبَعًا وَثَلَاثِينَ، وَتُسَبِّحَاهُ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ، وَتَحْمَدَاهُ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ، فَهْوَ خَيْرٌ لَكُمَا مِنْ خَادِمٍ

“Bahawa Fathimah pernah merasa tapak tangannya mengeras disebabkan sering menumbuk bebijian (gandum).

Dan pada ketika Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam baru saja mendapat tawanan perang (yang boleh dijadikan pembantu). Lalu Fatimah pun datang menemui Rasulullah untuk meminta seorang pembantu. Tetapi Fathimah tidak menemui Rasulullah (pada ketika itu) dan hanya bertemu dengan ‘Aisyah. Kemudian Fatimah berpesan kepada ‘Aisyah agar mengkhabarkan kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Ketika Rasulullah Shallallahu alaihi wa Sallam tiba di rumah, ‘Aisyah pun memberitahu beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tentang kedatangan Fathimah.

Maka kemudian Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun mendatangi rumah kami ketika kami sedang baring hendak tidur. Kami pun segera bangun, tetapi beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mencegahnya dan bersabda, “Tetaplah di tempat kamu berdua.”

Kemudian beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam duduk di antara kami sehingga aku merasakan sejuknya kaki beliau yang menyentuh dada-ku. Setelah itu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda:

“Inginkah kalian berdua aku ajarkan sesuatu yang lebih baik berbanding apa yang kalian minta? Apabila kalian berbaring hendak tidur, bacalah takbir (Allaahu Akbar) tiga puluh tiga kali, tasbih (Subhaanallaah) tiga puluh tiga kali, dan tahmid (Alhamdulillaah) tiga puluh tiga kali. Sesungguhnya yang demikian itu lebih baik bagi kalian berdua dari memiliki seorang pembantu…” (Shahih Muslim, no. 2727)

Dari hadis ini terdapat faedah bahawa seorang isteri telah dikenal memiliki kelaziman dalam membantu suami dalam menyiapkan kerja-kerja di rumah seperti menyediakan makanan dan seumpamanya. Sehingga walaupun kerja-kerja di rumah terasa berat bagi seorang isteri dan dibolehkan mendapatkan pembantu, namun mereka tetap dianjurkan agar menyiapkannya dengan air tangan sendiri (yakni air tangan si isteri) berbanding menyerahkannya kepada pembantu atau orang lain.Kriteria_Busana_Muslimah1

Pada hadis ini juga terkandung faedah di mana ketika Fathimah (anak Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam) mengadu kepada Nabi akan beratnya pekerjaan yang sedang beliau hadapi dalam membantu suaminya (‘Ali), Nabi sedikit pun tidak mengatakan urusan pekerjaan di rumah bukan termasuk tanggungjawab si isteri, atau mengatakan ianya bukan termasuk kewajiban isteri, tetapi bahkan sebaliknya Nabi tetap mendorong dan memotivasikannya agar tetap melaksanakan hal tersebut.

Lalu sekiranya si isteri telah terbeban dengan kerja-kerja di luar, bagaimana dia boleh fokus terhadap hal seperti ini? Tentu akan jauh lebih memberatkannya.

Dalam perkara ini dapat kita lihat perbezaan yang sangat besar dengan keadaan hari ini bagi sebahagian dari kita di mana mereka lebih menganjurkan agar si isteri keluar bekerja manakala kerja-kerja di rumah diserahkan kepada para pembantu. Sedangkan di sisi Nabi, halnya tidaklah demikian.

Kemudian hal ini dikuatkan lagi dengan dalil-dalil yang lain, antaranya dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau pernah menceritakan:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْتِينِي، فَيَقُولُ: أَعِنْدَكِ غَدَاءٌ؟، فَأَقُولُ: لاَ، فَيَقُولُ: إِنِّي صَائِمٌ، قَالَتْ: فَأَتَانِي يَوْمًا، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنَّهُ قَدْ أُهْدِيَتْ لَنَا هَدِيَّةٌ، قَالَ: وَمَا هِيَ؟، قَالَتْ: قُلْتُ: حَيْسٌ، قَالَ: أَمَا إِنِّي قَدْ أَصْبَحْتُ صَائِمًا، قَالَتْ: ثُمَّ أَكَلَ.

“Pernah suatu hari Nabi mendatangiku, lalu beliau berkata, “Adakah makanan untuk hari ini?” Maka aku jawab, “Tiada.” Lalu beliau mengatakan, “Tak mengapa, aku puasa hari ini.”

(Kata ‘Aisyah lagi), di hari yang lain beliau datang lagi dan aku katakan padanya, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kita diberi hadiah berupa makanan.” Beliau bertanya, “Apa dia?” Maka aku katakan, “Hays (yakni sejenis makanan dari adunan kurma, minyak dan tepung).” Beliau pun berkata:

“Sebenarnya tadi aku telah berniat puasa.” Kemudian beliau pun memakannya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 734)

Dari hadis Anas radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَ بَعْضِ نِسَائِهِ، فَأَرْسَلَتْ إِحْدَى أُمَّهَاتِ المُؤْمِنِينَ بِصَحْفَةٍ فِيهَا طَعَامٌ، فَضَرَبَتِ الَّتِي النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي بَيْتِهَا يَدَ الخَادِمِ، فَسَقَطَتِ الصَّحْفَةُ فَانْفَلَقَتْ، فَجَمَعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِلَقَ الصَّحْفَةِ، ثُمَّ جَعَلَ يَجْمَعُ فِيهَا الطَّعَامَ الَّذِي كَانَ فِي الصَّحْفَةِ، وَيَقُولُ: «غَارَتْ أُمُّكُمْ» ثُمَّ حَبَسَ الخَادِمَ حَتَّى أُتِيَ بِصَحْفَةٍ مِنْ عِنْدِ الَّتِي هُوَ فِي بَيْتِهَا، فَدَفَعَ الصَّحْفَةَ الصَّحِيحَةَ إِلَى الَّتِي كُسِرَتْ صَحْفَتُهَا، وَأَمْسَكَ المَكْسُورَةَ فِي بَيْتِ الَّتِي كَسَرَتْ

“Pernah suatu ketika Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berada di tempat salah seorang isterinya. Lalu salah seorang Ummahatul Mukminin (yakni salah seorang isteri Nabi yang lain) mengirimkan hidangan berisi makanan. Maka isteri Nabi yang mana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sedang berada di rumahnya ketika itu pun memukul bekas (pinggan) yang berisi makanan tersebut lalu jatuh dan pecah dari tangan orang yang mengirimnya. Maka beliau pun segera mengumpulkan makanan yang bertaburan ke dalam bekasnya semula, lalu beliau bersabda:

“Ibu kalian (yakni isterinya) sebenarnya sedang kecemburuan.”

Kemudian beliau pun menahan si pembantu (yakni pengirim makanan) sehingga dibawakanlah bekas (pinggan) dari rumah si isteri di mana beliau berada (yakni rumah isteri yang memecahkannya), lalu beliau menyerahkan bekas (pinggan) yang elok kepada si isteri yang bekasnya telah dipecahkan dan membiarkan bekas yang telah pecah di rumah isteri yang telah memecahkannya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5225)

Dari hadis ini terdapat dalil menunjukkan hal-ehwal penyediaan atau pengurusan makanan di rumah telah sedia dikenal termasuk dari kebiasaan para isteri (yakni kaum wanita). Sehingga para isteri Nabi pun saling belumba-lumba dan bersaing untuk menambat hati Nabi dengan cara tersebut.

Dalam masa sama, pada hadis ini terkandung petunjuk dari Nabi, bahawa seorang suami seharusnya bijak dan bersabar dalam menangani sikap para isterinya.

Dalam satu potongan hadis dari Asma’ binti Abu Bakr radhiyallahu ‘anha, beliau berkata:

تَزَوَّجَنِي الزُّبَيْرُ، وَمَا لَهُ فِي الأَرْضِ مِنْ مَالٍ وَلاَ مَمْلُوكٍ، وَلاَ شَيْءٍ غَيْرَ نَاضِحٍ وَغَيْرَ فَرَسِهِ، فَكُنْتُ أَعْلِفُ فَرَسَهُ وَأَسْتَقِي المَاءَ، وَأَخْرِزُ غَرْبَهُ وَأَعْجِنُ، وَلَمْ أَكُنْ أُحْسِنُ أَخْبِزُ، وَكَانَ يَخْبِزُ جَارَاتٌ لِي مِنَ الأَنْصَارِ، وَكُنَّ نِسْوَةَ صِدْقٍ، وَكُنْتُ أَنْقُلُ النَّوَى مِنْ أَرْضِ الزُّبَيْرِ الَّتِي أَقْطَعَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى رَأْسِي

“Az-Zubair (bin Al-‘Awwam) telah menikahiku. Pada ketika itu, beliau tidak memiliki suatu apa pun di muka bumi dari harta (berupa tanah bercucuk tanam dan unta tunggangan) dan tidak pula hamba serta tidak memiliki apa-apa kecuali alat/unta penyiram tanaman dan seekor kuda. Maka akulah yang memberi makan dan minum kudanya, menjahit bekas airnya serta mengadunkan roti sedangkan aku bukanlah seorang yang pandai membuat roti. Kerana itulah jiran-jiranku dari kalangan wanita-wanita Anshar yang membantu dan membuatkan roti untuk kami, dan mereka adalah para wanita yang jujur. Aku juga turut memetik bebijian dengan membawanya di atas kepalaku dari tanah kebun Az-Zubair yang telah diberikan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepadanya (dari harta fa’i)…” (Shahih Al-Bukhari, no. 5224. Shahih Muslim, no. 2182 – lihat Syarah oleh Al-Hafiz Ibn Hajar di Fathul Bari)

Pada hadis ini terkandung penjelasan kebiasaan pekerjaan yang dilakukan oleh para wanita dari kaum Anshar pada ketika itu dalam membantu suaminya yang berupa menyelenggarakan urusan makanan (memasak), dan seumpamanya di rumah.

Walau bagaimanapun, hadis ini berlaku sebelum turunnya ayat hijab (yakni ayat yang menjelaskan perintah menutup aurat dengan sempurna, larangan ikhtilath, dan tegahan dari banyak melakukan urusan di luar bagi wanita sehingga mudah bertembung dengan kaum lelaki).

Diriwayatkan dalam satu hadis yang lain dari hadis Mu’adz bin Jabal radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَوْ تَعْلَمُ الْمَرْأَةُ حَقَّ الزَّوْجِ، لَمْ تَقْعُدْ مَـا حَضَرَتْ غَدَاءَهُ وَعَشَاءَهُ، حَتَّى يَفْرُغَ مِنْهُ

“Seandainya isteri mengetahui hak suaminya, maka dia tidak akan duduk selagi belum menyiapkan makan siang dan makan malamnya sampailah dia menyelesaikan darinya.” (Al-Mu’jam Al-Kabir oleh Ath-Thabarani, no. 333. Majma’ Az-Zawa’id, no. 7647. Dinilai dha’if oleh Al-Albani)

Walaupun demikian, seorang suami tetap dianjurkan agar membantu dan meringankan beban kerja isterinya di rumah, sebagaimana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga adakalanya turut membantu mengurusi kerja-kerja isterinya di rumah sebagaimana disebutkan dalam sebahagian hadis, dan hal ini tentunya akan mewujudkan suasana kasih-sayang dan bentuk pergaulan yang lebih baik.

Baca juga artikel tentang hal ini, Memasak dan Tanggungjawab Isteri.

13, Lebih Ekonomi, masa, dan barakah,fiqih_sunnah_Wanita_cetakan_baru

Sebenarnya keluar bekerja di luar memerlukan kos yang tidak kurang tinggi. Para pembaca boleh membuat kira-kira (bergantung kepada jenis dan keadaan pekerjaan); (antaranya) kos untuk pakaian, kos makan, kos kenderaan berserta bahan api, jika punya anak maka perlu sediakan kos pengasuh dan kos makanan anak, sukar menyalurkan susu ibu secara alami sehingga memerlukan kos susu formula yang tinggi (sedangkan kualitinya sama sekali tidak akan mampu menandingi susu ibu), selain peruntukan waktu dan tenaga untuk anak-anak dan keluarga akan menjadi terhad kerana akan dibahagi untuk tugas-tugas di luar yang asalnya bukan termasuk kewajiban seorang wanita, khasnya seorang ibu. Sehingga sebahagian besar pendapatan hasil kerja mungkin hanya akan diperuntukkan untuk kos-kos ini.

Berbanding jika melazimi rumah masing-masing, sebahagian kos akan dapat dijimatkan atau diminimakan khasnya bagi yang telah punya anak kecil; (antaranya) kos pakaian dapat diminimakan, kos makan dapat diminimakan dengan masakan sendiri, kos kenderaan dan bahan api boleh dikurangkan, anak-anak akan dapat disusukan secara alami sekaligus mengelakkan pengambilan susu formula, kasih-sayang seorang ibu dapat disalurkan dengan lebih berkesan, anak-anak dapat dipantau sendiri, dan pendidikan anak-anak dapat disampaikan dari seorang ibu secara terus dan mengikut acuan dikehendaki, manakala peruntukkan waktu untuk anak-anak dan keluarga turut dapat disusun dengan lebih kualiti, insyaAllah.

Sebenarnya, beban kerja dan tanggungjawab di rumah saja sudah cukup berat, kenapa mahu ditambah dengan beban dari luar?

Ketahuilah, seandainya kita bersyukur dengan pemberian Allah walaupun nampak sedikit pada mata kasar, nescaya Allah akan turunkan keberkahan padanya.

Dalam sebuah hadis dari Abu Al-‘Ala’ bin Syikhkhir dari seorang Bani Sulaim, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أَنَّ اللهَ يَبْتَلِي عَبْدَهُ بِمَا أَعْطَاهُ، فَمَنْ رَضِيَ بِمَا قَسَمَ اللهُ لَهُ، بَارَكَ اللهُ لَهُ فِيهِ، وَوَسَّعَهُ، وَمَنْ لَمْ يَرْضَ لَمْ يُبَارِكْ لَهُ

“Bahawa Allah akan menguji hamba-Nya dengan apa-apa (rezeki) yang diberikan kepadanya. Maka siapa yang redha dengan bahagian yang Allah berikan padanya, pasti Allah akan memberkahinya padanya dan meluaskan untuknya. Tetapi siapa yang tidak redha, maka Allah tidak akan memberkahinya.” (Musnad Ahmad, no. 9274. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Maka, merasa cukup dengan apa-apa yang Allah kurniakan itu adalah suatu yang menenangkan dan membahagiakan. Malah ia menjadi sebab turunnya keberkahan dan kecukupan. Dan berusahalah untuk meninggalkanlah hal-hal yang menjadi sebab kita melanggar larangan-larangan Allah yang dengan kita melanggar larangan-larangan tersebut menjadi sebab pula turunnya kermukaan Allah.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّكَ لَنْ تَدَعَ شَيْئًا لِلَّهِ إِلَّا بَدَّلَكَ اللهُ بِهِ مَا هُوَ خَيْرٌ لَكَ مِنْهُ

“Sesungguhnya tidaklah engkau meninggalkan sesuatu kerana Allah, melainkan Allah akan gantikan untukmu dengan apa yang lebih baik bagimu darinya.” (Musnad Ahmad, no. 23074)

Penutup;

Semoga berbahagialah wanita-wanita yang istiqomah melazimi rumah-rumah mereka dan berusaha menjauh dari fitnah-fitnah di luar rumah mereka. Semoga Allah merahmati dan memberkahi kalian bersama anak-anak dan keluarga kalian. Tidak perlu rasa terpencil, tidak perlu kecil hati, tidak perlu rasa tersisih. Sesungguhnya Allah bersama kalian, bersama orang yang sabar, yang beriman lagi menjaga kehormatan diri. Semoga Allah mengganjari kalian dengan pahala yang besar dan balasan yang baik dari sisi-Nya, berupa Syurga yang luas terbentang, yang akan kalian masuki dari mana-mana pintunya.

Wallahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest