Konsep al-Jama’ah Mendepani Fitnah Perpecahan

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Di kala fitnah perpecahan melanda, rata-rata melupakan sebuah kalimat besar yang kian dipinggirkan. Di ketika masyarakat berlumba-lumba mengangkat kumpulan masing-masing, mereka lupa merujuk khazanah agung rahsia sebuah perpaduan. Iaitu rahsia perpaduan dan kekuatan milik agama ini sebagaimana yang difahami oleh ahli sunnah wal-jama’ah sejak generasi awal hingga kini. Sehingga mungkinkah, sebahagian besar masyarakat hari ini anti perpaduan merintis perpecahan menjadi lebih parah?

Bukankah Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

“Dan berpeganglah kamu semua kepada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai. Ingatlah akan nikmat Allah kepadamu di ketika dahulu (di masa jahiliyyah) kamu saling bermusuhan, maka Allah telah menyatukan hati kamu, lalu menjadilah kamu dengan nikmat Allah orang-orang yang bersaudara.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 103)

Ayat ini turun berkenaan dengan kaum Aus dan Khazraj, menyorot keadaan mereka di masa jahiliyyah yang sering berperang sesama sendiri, bermusuhan, rasa dengki yang meluap-luap, dan dendam yang tidak pernah surut sehingga mengakibatkan saling berbunuhan serta pelbagai lagi bentuk pertempuran yang tiada sudahnya. Maka, Allah pun mendatangkan Islam lalu mereka menerimanya dan jadilah mereka golongan yang bersaudara, saling mencintai kerana Allah, saling menjalin persaudaraan, dan tolong-menolong dalam kebaikan dan ketaqwaan. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَإِنْ يُرِيدُوا أَنْ يَخْدَعُوكَ فَإِنَّ حَسْبَكَ اللَّهُ هُوَ الَّذِي أَيَّدَكَ بِنَصْرِهِ وَبِالْمُؤْمِنِينَ (62) وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ لَوْ أَنْفَقْتَ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مَا أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ إِنَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“Dia-lah yang memperkuatkan kamu dengan pertolongan-Nya dan dengan orang-orang yang beriman, dan Dia-lah yang menyatukan hati mereka. Walaupun kamu menghabiskan semua kekayaan yang ada di bumi ini, nescaya kamu tidak dapat menyatukan hati mereka, akan tetapi Allah-lah yang telah menyatukan hati mereka.” (Surah al-Anfal, 8: 62-63)

Demikianlah sebab yang telah Allah jadikan bagi sebuah perpaduan. Jadi, tali Allah yang dimaksudkan dalam ayat di atas tadi adalah berpegang teguh kepada agama-Nya. Iaitu sebagaimna yang Dia perintahkan kepada kita supaya sentiasa memelihara perpaduan, persaudaraan, dan kesepakatan di atas kebenaran serta tunduk dengan seluruh perintah-Nya. Sekaligus larangan untuk bercerai-berai dan keluar dari ketetapan-ketetapan yang telah ditentukan Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Dalam fitnah perpecahan yang terus memuncak dalam kalangan umat Islam sehingga hari ini, para ulama ahli sunnah wal-jama’ah sebenarnya telah lama menyebutkan kaedah dan prinsip untuk mendepani semua ini. Di antaranya, Imam ath-Thahawi rahimahullah (Wafat: 321H) telah menetapkan dengan katanya, “Kami berprinsip untuk tetap bersama jama’ah umat Islam sebagai sebuah kebenaran, manakala perpecahan adalah sebuah penyimpangan dan kesesatan.” (Rujuk: Matan Aqidah ath-Thahawiyah)

Maksud al-jama’ah di sini dapat difokuskan kepada dua bentuk. Iaitu pertamannya adalah jama’ah (kumpulan) kebenaran yang melazimi manhaj dan methodologi para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam beragama sehingga hari kiamat. Ini adalah jama’ah kebenaran yang umat Islam wajib untuk berpegang dengannya dan tidak dibenarkan untuk menyelisihinya supaya tidak tersesat dalam mengambil kefahaman agama. (Rujuk tulisan: Melazimi Methodologi Para Sahabat)

Manakala maksud keduanya adalah jama’ah (kumpulan) umat Islam yang telah bersepakat dalam mengangkat seorang pemimpin (muslim) yang kepadanya mereka memberikan ketaatan dalam urusan pentadbiran hal-ehwal umat Islam dan negara.

Dengan dua maksud al-jama’ah itulah Imam ath-Thabari rahimahullah (Wafat: 310H) menegaskan dengan meriwayatkan perkataan Imam Qatadah, katanya:

ولا تفرّقوا واذكروا نعمة الله عليكم”، إنّ الله عز وجل قد كره لكم الفُرْقة، وقدّم إليكم فيها، وحذّركموها، ونهاكم عنها، ورضي لكم السمعَ والطاعة والألفة والجماعة، فارضوا لأنفسكم ما رضى الله لكم إن استطعتم، ولا قوّة إلا بالله

“Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla tidak menyukai adanya perpecahan terhadap kamu. Allah telah menjelaskannya kepada kamu, memberi peringatan tentang perpecahan, dan melarang kamu dari terlibat dengannya. Sebaliknya Allah meredhai bagi kamu kepatuhan, ketaatan, perpaduan, dan al-jama’ah. Oleh sebab itu, redhailah untuk diri kamu sedaya-upaya apa sahaja yang telah Allah redhai bagi kamu. Bahawasanya tiada kekuatan melainkan dengan izin Allah.”

Kemudian ath-Thabari menyebutkan pula perkataan Ibnu Mas’oud radhiyallahu ‘anhu:

يا أيها الناس، عليكم بالطاعة والجماعة، فإنها حبل الله الذي أمرَ به، وإنّ ما تكرهون في الجماعة والطاعة، هو خيرٌ مما تستحبون في الفرقة

“Wahai manusia, tetaplah kamu dalam mentaati pemerintah, dan bersatulah dengan al-jama’ah, kerana keduanya adalah tali Allah yang telah Dia perintahkan untuk dipelihara. Sungguh, apa sahaja yang kamu benci dalam al-jama’ah dan ketaatan akan lebih baik dari apa yang kamu cintai dalam perpecahan.” (Tafsir ath-Thabari, 7/74-75. Tahqiq Ahmad Muhammad Syakir)

Hudzaifah Ibn al-Yaman radhiyallahu ‘anhu pernah bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا كُنَّا فِي جَاهِلِيَّةٍ وَشَرٍّ فَجَاءَنَا اللَّهُ بِهَذَا الْخَيْرِ فَهَلْ بَعْدَ هَذَا الْخَيْرِ مِنْ شَرٍّ قَالَ نَعَمْ قُلْتُ وَهَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الشَّرِّ مِنْ خَيْرٍ قَالَ نَعَمْ وَفِيهِ دَخَنٌ قُلْتُ وَمَا دَخَنُهُ قَالَ قَوْمٌ يَهْدُونَ بِغَيْرِ هَدْيِي تَعْرِفُ مِنْهُمْ وَتُنْكِرُ قُلْتُ فَهَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الْخَيْرِ مِنْ شَرٍّ قَالَ نَعَمْ دُعَاةٌ عَلَى أَبْوَابِ جَهَنَّمَ مَنْ أَجَابَهُمْ إِلَيْهَا قَذَفُوهُ فِيهَا قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ صِفْهُمْ لَنَا قَالَ هُمْ مِنْ جِلْدَتِنَا وَيَتَكَلَّمُونَ بِأَلْسِنَتِنَا قُلْتُ فَمَا تَأْمُرُنِي إِنْ أَدْرَكَنِي ذَلِكَ قَالَ تَلْزَمُ جَمَاعَةَ الْمُسْلِمِينَ وَإِمَامَهُمْ قُلْتُ فَإِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُمْ جَمَاعَةٌ وَلَا إِمَامٌ قَالَ فَاعْتَزِلْ تِلْكَ الْفِرَقَ كُلَّهَا وَلَوْ أَنْ تَعَضَّ بِأَصْلِ شَجَرَةٍ حَتَّى يُدْرِكَكَ الْمَوْتُ وَأَنْتَ عَلَى ذَلِكَ

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami berada di masa jahiliyyah dan keburukan, lalu Allah mendatangkan kebaikan ini kepada kami. Adakah setelah kebaikan ini ada keburukan?”

Rasulullah menjawab, “Benar, akan tetapi terdapat asap (kesamaran) padanya.” Aku bertanya, “Apakah asap (kesamaran) tersebut?” Beliau bersabda, “Iaitu orang-orang yang mengambil petunjuk selain daripada petunjukku. Engkau mengenali mereka dan mengingkarinya.”

Aku bertanya, “Adakah setelah kebaikan itu ada lagi keburukan?” Beliau bersabda, “Benar, para penyeru (pendakwah) kepada pintu-pintu jahannam. Sesiapa yang menyambut seruan mereka, maka mereka akan dicampakkan ke dalam jahannam (kebinasaan).”

Aku bertanya, “Wahai Rasulullah, sebutkan sifat-sifat mereka kepada kami.” Beliau menjawab, “Mereka berkulit sama seperti kita dan berbicara dengan bahasa kita.”

Aku bertanya, “Apakah yang engkau perintahkan kepadaku sekiranya aku bertemu dengan situasi seperti itu?” Beliau menyatakan, “Hendaklah kamu tetap bersama-sama dengan jama’ah (masyarakat) umat Islam dan pemerintah mereka.”

Aku bertanya, “Bagaimana sekiranya tidak ada jama’ah dan tidak pula ada pemerintah bagi umat Islam?” Beliau menjawab, “Jauhilah semua kelompok-kelompok (kumpulan atau parti-parti) itu walaupun engkau tinggal dengan menggigit akar kayu sehingga kematian datang menjemput dalam keadaan engkau seperti itu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 3606)

Hadis ini dengan jelas memerintahkan umat Islam supaya sentiasa bersatu dan tidak memisahkan diri dari ketaatan terhadap pemerintah. Terutamanya di ketika terjadinya fitnah dan pergolakan.

Lebih menguatkan perkara ini adalah hadis seterusnya juga daripada Hudzaifah. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

يَكُوْن بَعْدِيْ أَئِمَّة لاَ يَهتَدُوْنَ بِهُدَايَ وَلاَ يَسْتَنُوْنَ بِسُنَّتِيْ وَسَيَقُوْمُ فِيْهِمْ رجَال قُلُوْبُهُم قُلُوْبُ الشَّيَاطِيْنَ فِيْ جِثْمَانِ إِنْسِ قَالَ قُلْتُ كَيْفَ أَصْنَعُ يَا رَسُوْلَ اللهِ إِنْ أَدْرَكْتُ ذَلِكَ قَالَ تَسْمَعُ وَتَطِيْعُ لِلْأَمِيْرِ وَإِنْ ضَرَبَ ظَهْرَكَ وَأَخَذَ مَالَكَ فَاسْمَعْ وَأطِعْ

“Akan ada sepeninggalanku nanti para pemimpin yang tidak mengambil petunjukku, dan tidak mengambil sunnah dengan sunnahku. Akan muncul pula di tengah-tengah mereka orang-orang yang hatinya adalah hati syaitan dalam bentuk manusia.” Aku (Hudzaifah) bertanya, “Apa yang perlu aku lakukan jika aku menemuinya?” Beliau menjawab, “(Hendaklah) kamu mendengar dan taat kepada amir (pemerintah), walaupun ia memukul punggungmu dan merampas hartamu, tetaplah mendengar dan taat.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1847)

Kata Imam an-Nawawi rahimahullah:

وفي حديث حذيفة هذا لزوم جماعة المسلمين وإمامهم ووجوب طاعته وإن فسق وعمل المعاصي من أخذ الأموال وغير ذلك فتجب طاعته في غير معصية وفيه معجزات لرسول الله صلى الله عليه و سلم وهي هذه الأمور التي أخبر بها وقد وقعت كلها

“Dalam hadis riwayat Hudzaifah ini terdapat pelajaran berharga, iaitu perintah untuk sentiasa bersama-sama jama’ah umat Islam dan pemimpin mereka serta kewajiban mentaati mereka walaupun mereka itu fasiq dan melakukan banyak perkara maksiat seperti merampas harta dan seumpamanya. Maka wajib mentaati mereka dalam perkara selain maksiat. Hadis ini juga adalah merupakan mukjizat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di mana semua perkara yang beliau khabarkan telah pun terjadi.” (Syarah Shahih Muslim, 12/238)

Dua hadis ini adalah antara yang paling jelas bagi bab ini, kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah menyebutkan sifat-sifat pemimpin di mana mereka tidak mengikuti petunjuk Rasulullah dan tidak pula melaksanakan sunnah-sunnahnya. Itu adalah kemuncak kemungkaran serta penyelewengan dan kekerasan yang paling jelas dilakukan, di mana mereka (para pemimpin) tidak mengamalkan ajaran Rasulullah dalam urusan diri mereka, keluarga, dan rakyat. Walau demikian sikap mereka, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tetap memerintahkan supaya mereka ditaati (tidak ditentang kepimpinannya).

Kita tidak dibenarkan mengingkari kepimpinan mereka selagi mana mereka adalah muslim dan menegakkan solat berserta syi’ar-syi’arnya. Ini sebagaimana dijelaskan dalam hadis yang lain.

Berkenaan beberapa kesalahan yang mereka lakukan, ia sama sekali bukan tiket untuk kita melepaskan tali ketaatan terhadap kepimpinannya. Kesalahan mereka adalah urusan yang dipertanggungjawabkan ke atas diri mereka sendiri. Ia nanti akan dihisab dan diberi pembalasan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Adapun urusan kita dengan mereka, adalah apa yang dibebankan ke atas kita berdasarkan dalil-dalil yang sahih, tidak lebih dari itu. Kita sedikitpun tidak diperintahkan supaya mencelanya, mengaibkannya, menentangnya, memeranginya, mahupun menjatuhkannya. Tidak juga diperintahkan supaya keluar dari ketaatan terhadapnya dengan membina kumpulan-kumpulan baru bertindak sebagai organisasi pembangkang dan penentang!

Bahkan Rasulullah memerintahkan supaya kita meninggalkan kelompok-kelompok yang menyeru kepada perpecahan. Iaitu kelompok-kelompok yang memisahkan diri dari ketataan terhadap pemerintah. Rasulullah menamakan kelompok-kelompok tersebut sebagai “penyeru kepada pintu-pintu jahannam.”

al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah (Wafat: 852H) menyatakan di ketika mensyarahkan hadis di atas ini dengan katanya bahawa:

وبالدعاة على أبواب جهنم من قام في طلب الملك من الخوارج وغيرهم والى ذلك الإشارة بقوله الزم جماعة المسلمين وامامهم يعني ولو جار ويوضح ذلك رواية أبي الأسود ولو ضرب ظهرك وأخذ مالك وكان مثل ذلك كثيرا في امارة الحجاج ونحوه قوله تلزم جماعة المسلمين وامامهم بكسر الهمزة أي أميرهم زاد في رواية أبي الأسود تسمع وتطيع وان ضرب ظهرك وأخذ مالك وكذا في رواية خالد بن سبيع عند الطبراني فان رأيت خليفة فالزمه وان ضرب ظهرك فان لم يكن خليفة فالهرب

“Para penyeru kepada pintu-pintu jahannam adalah mereka yang berusaha mencari kekuasaan, sama ada dari kalangan khawarij (pembawa ideologi pemberontakan) ataupun yang selainnya. Itulah yang dimaksudkan oleh hadis “bersamalah dengan jama’ah muslimin dan pemimpin mereka”. Maksudnya, walaupun seseorang pemimpin itu melakukan kezaliman. Lebih menjelaskan perkara ini adalah riwayat Abu al-Aswad “walaupun dia memukul punggungmu dan merampas harta kamu.” Situasi seperti ini banyak berlaku pada masa pemerintahan al-Hajjaj dan selainnya.

“Bersamalah dengan jama’ah muslimin dan pemimpin mereka”, maksudnya adalah pemimpin (yang menaungi) mereka. Dalam riwayat Abu al-Aswad ditambahkan “hendaklah engkau mendengar dan mentaati walaupun dia memukul punggungmu dan mengambil harta kamu.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari, 13/36)

Al-Hafiz Ibnu Hajar turut menukilkan perkataan ath-Thabari, katanya:

والصواب أن المراد من الخبر لزوم الجماعة الذين في طاعة من اجتمعوا على تأميره فمن نكث بيعته خرج عن الجماعة قال وفي الحديث انه متى لم يكن للناس امام فافترق الناس احزابا فلا يتبع أحدا في لفرقة ويعتزل الجميع ان استطاع ذلك خشية من الوقوع في الشر

“Maksud hadis tersebut adalah bersama-sama dengan jama’ah yang mentaati orang yang mereka sepakati untuk memimpin mereka. Sesiapa yang melepaskan ketaatan (kepada pemimpin), maka dia terkeluar dari al-jama’ah. Melalui hadis ini, ia turut menjelaskan ketika manusia tidak memiliki imam (pemimpin muslim yang ditaati bagi sesebuah negara atau wilayah – pen.) dan masyarakat menjadi berpecah-belah (berkelompok-kelompok), maka kita tidak dibenarkan mengikuti sesiapa pun dari tokoh-tokoh (atau kumpulan) yang terlibat dalam seruan perpecahan tersebut. Tetapi, hendaklah kita menjauhkan diri dari kelompok-kelompok tersebut sekiranya mampu, kerana dibimbangi akan turut terjerumus dalam kancah keburukan (fitnah).” (Fathul Bari, 13/37)

Sebenarnya hadis tersebut mengandungi sanggahan untuk golongan pembangkang yang memisahkan diri dari jama’ah umat Islam dan pemimpin mereka sempena berlakunya fitnah. Alasan yang sering digunakan oleh mereka ini seperti untuk memperbaiki masyarakat (rakyat) dengan tindakan memisahkan diri tersebut sama sekali tidak tepat dan jelas disanggah oleh hadis-hadis tadi.

Kefahaman yang menyatakan apabila berlaku masalah dan pergolakan di peringkat barisan kepimpinan negara hendaklah membina kelompok baru, parti-parti politik, dan kumpulan-kumpulan pembangkang bagi menyelesaikannya, maka sebenarnya ia adalah bentuk-bentuk kefahaman yang songsang, kaedah berfikir yang sesat, serta merupakan bentuk tindakan yang sangat jauh menyimpang dari apa yang disarankan oleh Allah dan Rasul-Nya serta sebagaimana yang telah ditegaskan oleh para ulama ahli sunnah wal-jama’ah.

Bahkan dengan prinsip-prinsip songsang inilah yang menjadikan suburnya perpecahan atas nama demokrasi dan kebebasan bersuara pada hari ini.

Selain hadis tersebut, terdapat pesanan ‘Umar al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu kepada Suwaid B. Ghaflah yang lebih menguatkan lagi penegasan ini.

Suwaid B. Ghaflah mengkhabarkan:

قَالَ لِي عُمَرُ: يَا أَبَا أُمَيَّةَ، إِنِّي لاَ أَدْرِي لَعَلِّي لاَ أَلْقَاك بَعْدَ عَامِي هَذَا، فَاسْمَعْ وَأَطِعْ وَإِنْ أُمِّرَ عَلَيْك عَبْدٌ حَبَشِيٌّ مُجْدَعٌ، إِنْ ضَرَبَك فَاصْبِرْ، وَإِنْ حَرَمَك فَاصْبِرْ، وَإِنْ أَرَادَ أَمْرًا يَنْتَقِصُ دِينَك فَقُلْ: سَمْعٌ وَطَاعَةٌ، دَمِي دُونَ دِينِي، فَلاَ تُفَارِقَ الْجَمَاعَةَ

‘Umar berkata kepadaku, “Wahai Abu Umayyah (Suwaid), mungkin kamu masih hidup setelah peninggalanku nanti, maka taatilah pemimpinmu walaupun ia seorang hamba berketurunan Habsyi yang cacat hidungnya, jika ia memukul (menzalimi) kamu maka bersabarlah, bila ia menghalang hak kamu maka bersabarlah, bila ia mengajak kepada perkara yang merosakkan urusan dunia kamu, maka katakanlah, “Kami dengar dan mentaati dengan darah kami, bukan dengan agama kami.” Janganlah kamu berpecah dari al-Jama’ah.” (Atsar Riwayat al-Ajurri, asy-Syari’ah, 1/38 dengan sanad yang sahih. al-Khallal, as-Sunnah, no. 54. Ibnu Abi Syaibah, al-Mushannaf, 12/544, no. 34400. Al-Baihaqi, Sunan al-Kubra, 8/159, no. 16405)

Imam al-Ajurri rahimahullah (Wafat: 360H) menjelaskan:

من أُمِّر عليك من عربي أو غيره، أسود أو أبيض، أو أعجمي، فأطعه فيما ليس لله عَزَّ وَجَلَّ فيه معصية، وإن ظلمك حقًّا لك، وإن ضربكَ ظلمًا، وانتهكَ عرضك وأخذ مالك، فلا يَحملك ذَلِكَ عَلَى أنه يَخرج عليه سيفك حتَّى تقاتله، ولا تَخرج مع خارجي حتَّى تقاتله، ولا تُحرِّض غيرك عَلَى الخروج عليه، ولكن اصبر عليه

“Sesiapa pun yang menjadi pemimpin ke atas kamu (selagi mana dia muslim), sama ada berketurunan ‘Arab atau selainnya, hitam atau putih, atau selain bangsa ‘Arab, maka hendaklah kamu taat pada apa yang diperintahkannya melainkan pada perkara maksiat kepada Allah ‘Azza wa Jalla (maka jangan kamu ikuti). Dan walaupun dia menzalimi kamu, menyakiti kamu, memukul kamu dengan zalim, merampas harta dan hak-hak kamu, maka janganlah dengan sebab semua itu menjadikan kamu bertindak memeranginya dengan pedang (senjata), dan janganlah kamu keluar bersama-sama kaum khawarij sehingga menentangnya, dan juga jangan sampai kamu menghasut orang lain untuk keluar dari ketaatan terhadapnya, tetapi hendaklah kamu tetap bersabar.” (al-Ajurri, asy-Syari’ah, 1/40)

Mungkin akan ada yang berkeras beralasan dengan akta kebebasan bersuara dan hukum demokrasi. Namun bagi kita yang beriman dan benar-benar taat menjunjung al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi, hak kebebasan bersuara dan hukum demokrasi tidaklah lebih tinggi dari Hukum Allah. Demokrasi bukan alasan untuk berpecah meninggalkan hadis-hadis Rasulullah.

Maka apatah lagi pemerintah kita yang ada pada hari ini jelas jauh lebih baik dari apa yang disifatkan oleh hadis tersebut! Jadi, di mana hendak kita campakkan pesan-pesan Rasulullah ini?

Dalam sebuah atsar sahabat daripada ‘Abdullah B. Abi Aufa ketika dia diajukan persoalan pemimpin yang menzalimi rakyat oleh Ibnu Jumhan – beliau pun berkata:

عَلَيْكَ بِالسَّوَادِ الْأَعْظَمِ عَلَيْكَ بِالسَّوَادِ الْأَعْظَمِ إِنْ كَانَ السُّلْطَانُ يَسْمَعُ مِنْكَ فَأْتِهِ فِي بَيْتِهِ فَأَخْبِرْهُ بِمَا تَعْلَمُ فَإِنْ قَبِلَ مِنْكَ وَإِلَّا فَدَعْهُ فَإِنَّكَ لَسْتَ بِأَعْلَمَ مِنْهُ

“Hendaklah kamu sentiasa bersama as-sawadul a’dzam. Sekiranya engkau mahu pemimpin tersebut mendengar nasihatmu, maka datangilah rumahnya dan beritahu kepadanya apa-apa yang engkau ketahui sehingga ia menerimanya. Jika tidak, maka tinggalkanlah. Kerana kamu tidak lebih tahu daripada dia.” (Hadis Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, 32/157, no. 19415. Lihat tahqiq Syu’aib al-Arnauth. Dalam Majmu’ az-Zawa’id, 5/414, no. 9163 – al-Haitsami berkata, “Diriwayatkan oleh Ahmad dan ath-Thabrani, dan para perawi Ahmad adalah perawi tsiqah.” Dinilai hasan oleh al-Albani, Dzilal al-Jannah, 2/143, no. 905 dan Abdus Salam Barjas dalam Mu’ammalatul Hukkam)

Maksud as-sawadul a’dzam dalam hadis ini adalah merujuk golongan yang ramai yang melazimi manhaj para sahabat, tabi’in, dan tabi’ut tabi’in walaupun nanti ia menjadi sedikit jumlahnya pada satu-satu masa menuju akhir zaman. Termasuk as-sawadul a’dzam adalah golongan yang melazimi kebenaran dan bersatu dalam mentaati pemerintah.

Berkata Imam Ibnu al-Atsir rahimahullah (Wafat: 606H):

وفيه [ عليكم بالسَّوادِ الأعْظَم ] أي جُمْلة النَّاس ومُعْظَمهم الذين يجتمعون على طاعة السُّلطان وسُلُوك النَّهج المُسْتقيم

“Dan yang dimaksudkan dengan ‘Alaikum bi as-sawadul a’dzam (kamu di atas as-sawadul a’dzam) adalah sekumpulan besar manusia yang berhimpun di dalam mentaati sultan (pemerintah) dan berjalan di atas jalan yang benar (lurus).” (Rujuk: Ibnul Atsir, an-Nihayah fii Gharib al-Hadits, 2/1029)

Oleh itu sesiapa yang benar-benar ikhlas dalam persaudaraan dan menekuni khabar-khabar Rasulullah dengan baik, nescaya dia akan membenci persengketaan dan perpecahan.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَإِنْ طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا

“Dan jika ada dua golongan dari mereka yang beriman itu bertelagah hendaklah kamu damaikan antara keduanya.” (Surah al-Hujuraat, 49: 9)

Juga pesanan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

وَلاَ تَبَاغَضُوا وَلاَ تَدَابَرُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا

“Janganlah kamu saling membenci dan saling membelakangi, tetapi jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 6066, 6724. Muslim, no. 2563)

Oleh itu, berdamailah di atas dasar persaudaraan sesama Islam. Bersatulah di atas prinsip-prinsip ahli sunnah wal-jama’ah bertunjangkan al-Qur’an dan al-hadis di atas kefahaman para salaf. Tinggalkan sikap saling berpecah, caci-mencaci, memaki-hamun, saling mendedah aib, dan seumpamanya. Sikap-sikap seperti ini sedikit pun tidak akan menguntungkan umat Islam. Sebaliknya akan lebih memburukkan keadaan dengan memanjangkan sengketa yang merugikan dan melemahkan umat.

Oleh itu, bersatulah dan taatilah kepimpinan pemerintah yang ada pada hari ini atas dasar mentaati al-Qur’an dan as-Sunnah. Tinggalkanlah doktrin dan fikrah sesat gemar berpecah-belah anti pemerintah yang sejarahnya dipelopori kaum sesat khawarij. Melalui tulisan ini juga menjelaskan bahawa ahli sunnah wal-jama’ah adalah kelompok umat Islam yang paling mencintai perpaduan di atas kebenaran dan mencintai perpaduan dengan mentaati pemerintah.

Secara ringkas dan umum, demikianlah kefahaman para ulama ahli sunnah wal-jama’ah dalam memahami prinsip sebuah perpaduan mendepani fitnah perpecahan di bawah konsep yang disebut sebagai al-jama’ah. Iaitu dengan tetap melazimi methodologi kebenaran dan mentaati pemimpin umat Islam di mana mereka bernaung kepadanya.

Wallahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest