Larangan Mencela Makanan

www.ilmusunnah.com

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:makan jangan melampau

مَا عَابَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَعَامًا قَطُّ، إِنِ اشْتَهَاهُ أَكَلَهُ، وَإِنْ كَرِهَهُ تَرَكَهُ

“Nabi tidak pernah mencela makanan sedikitpun. Jika beliau mahu, beliau makan, dan jika tidak suka, beliau meninggalkannya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5409. Muslim, no. 2064)

Maksudnya adalah tidak berkata yang bukan-bukan tentang makanan tersebut walaupun ianya tidak sedap. Hendaklah tidak mengejeknya, tidak mempersendakannya, dan tidak mencelanya. Sekiranya mahu atau menyukainya, dia boleh makan, dan sekiranya tidak mahu, maka dia boleh untuk tidak memakannya. Kerana setiap makanan yang dihidangkan untuk kita tersebut adalah merupakan rezeki dari Allah, maka hendaklah kita memanjatkan pujian kepada Allah, bukan malah bertindak mengeluarkan kata-kata celaan.

Jika kita bersyukur, nescaya Allah akan memberkahinya dan menambahkan dengan yang lebih baik lagi buat kita. Dan boleh jadi pula, di hari yang lain kita tidak lagi mendapati makanan yang lain yang dapat kita makan kecuali makanan tersebut. Atau bahkan Allah menarik nikmat tersebut sama sekali akibat celaan yang kita lakukan. Allaahul musta’aan.

Atau boleh jadi juga, makanan tersebut merupakan makanan yang sangat bermanfaat, diksukai dan diperlukan oleh orang yang lain berbanding kita. Sehingga apabila kita mencelanya, seakan kita telah meremehkannya dan menggambarkan kesombongan, lalu akan membuat orang lain berkecil hati.

Kata Asy-Syaikh Faishal bin ‘Abdul ‘Aziz Al-Mubarak rahimahullah:

في تعييب الطعام كسر لقلب صاحبه، وفي مدحه الثناء على الله سبحانه وتعالى وجبر لقلب صاحبه.

“Pada (perbuatan) mencela makanan akan melukakan hati pemiliknya, manakala pada (perbuatan) memujinya, ia terkandung dua faedah berupa memanjatkan pujian kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan menjadi penghibur di hati pemiliknya.” (Tathrizu Riyadhish Shalihin, m/s. 470)

Seandainya ada sesuatu yang tidak kena atau punya saranan tertentu yang baik terhadap makanan tersebut, dia boleh langsung mendapatkan orang yang menyediakannya dan menyampaikannya dengan ucapan-ucapan yang baik tanpa perlu mencela atau menyakiti.

Dan dalam hadis yang lain, apabila makanan tersebut sedap dan enak, maka dianjurkan memujinya ketika sedang menikmatinya.

Jabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhu berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَأَلَ أَهْلَهُ الْأُدُمَ، فَقَالُوا: مَا عِنْدَنَا إِلَّا خَلٌّ، فَدَعَا بِهِ، فَجَعَلَ يَأْكُلُ بِهِ، وَيَقُولُ: «نِعْمَ الْأُدُمُ الْخَلُّ، نِعْمَ الْأُدُمُ الْخَلُّ

“Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah meminta lauk daripada para isterinya. Maka para isterinya berkata, “Tiada apa di sisi kami kecuali khal (cuka).” Maka beliau pun meminta dibawakan cuka tersebut lalu beliau pun makan berlauk dengannya. Dan beliau mengatakan, “Lauk yang paling nikmat (enak) adalah cuka, lauk yang paling nikmat adalah cuka.” (Shahih Muslim, no. 2052)

Kata Asy-Syaikh Faishal bin ‘Abdul ‘Aziz Al-Mubarak rahimahullah:

في هذا الحديث: مدح التأدم بالخل. قال في القاموس: الخل ما حمض من عصير العنب وغيره نافع للمعدة، واللثة، والقروح الخبيثة، والحكة، ونهش الهوام، وأكل الأفيون، وحرق النار وأوجاع الأسنان وبخار حاره للاستقساء وعسر السمع والدوي والطنين.

“Pada hadis ini, terkandung pujian berlaukkan cuka. Disebutkan dalam Al-Qaamuus, “Al-Khaal (cuka) adalah asid (cecair masam bersifat asid) yang berasal dari jus/perahan anggur atau buah-buahan selainnya yang bermanfaat untuk perut, gusi, ulser mulut, gatal-gatal (atau kurap), kesan gigitan/sengatan serangga, ketagihan dadah (atau makan yang tak kunjung kenyang), kesan luka akibat terbakar, sakit gigi, untuk pengasapan yang haba panasnya digunakan untuk manfaat tertentu, untuk rawatan bagi gangguan pendengaran pada telinga dan sering berdegung.” (Tathrizu Riyadhish Shalihin, m/s. 470)

Tetapi apabila ditanya kenapa kita tidak makan makanan tertentu, maka dibolehkan menyatakan alasannya dengan baik tanpa memburuk-burukkan makanan tersebut. Ini sebagaimana hadis di mana Rasulullah enggan makan makanan berupa daging dhab (biawak padang pasir). Apabila beliau ditanya sama ada dhab itu haram dimakan, maka Rasulullah mengatakan:

لاَ، وَلَكِنْ لَمْ يَكُنْ بِأَرْضِ قَوْمِي، فَأَجِدُنِي أَعَافُهُ

“Tidak haram, tetapi Dhab tersebut tidak terdapat di kampung halamanku (bukan makanan kebiasaan bagi masyarakatnya), jadi aku rasa tidak biasa dengannya (atau tidak selera terhadapnya).” (Shahih Al-Bukhari, no. 5391, 5537)

Wallaahu a’lam..

Rujukan:

Syarh Riyadhish Shalihin oleh Asy-Syaikh Ibn ‘Utsaimin.

Tathrizu Riyadhish Shalihin oleh Asy-Syaikh Faishal Al-Mubarak.

Al-Adzkar oleh Al-Imam An-Nawawi rahimahumullaah.

Bahjatu An-Nadzirin oleh Asy-Syaikh Salim bin ‘Ied Al-Hilali.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest