Larangan Terus Melaksanakan Solat Sunnah Sejurus Selesai Solat Fardhu

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Artikel ini bertujuan menjelaskan agar antara solat fardhu dengan solat sunnah rawatib itu diselangi dengan sesuatu sama ada berupa dzikir, perbicaraan, atau dengan berpindah tempat. Terdapat dalil-dalil yang menjelaskan larangan langsung menunaikan solat sunnah sebaik selesai dari solat fardhu, tetapi hendaklah diselangi sama ada dengan dzikir, perbicaraan, atau berpindah tempat sebelum melaksanakan solat sunnah setelahnya.

‘Umar bin ‘Athaa’ bin Abi Al-Khuwaar mengkhabarkan:

أَنَّ نَافِعَ بْنَ جُبَيْرٍ، أَرْسَلَهُ إِلَى السَّائِبِ – ابْنِ أُخْتِ نَمِرٍ – يَسْأَلُهُ عَنْ شَيْءٍ رَآهُ مِنْهُ مُعَاوِيَةُ فِي الصَّلَاةِ، فَقَالَ: نَعَمْ، صَلَّيْتُ مَعَهُ الْجُمُعَةَ فِي الْمَقْصُورَةِ، فَلَمَّا سَلَّمَ الْإِمَامُ قُمْتُ فِي مَقَامِي، فَصَلَّيْتُ، فَلَمَّا دَخَلَ أَرْسَلَ إِلَيَّ، فَقَالَ: «لَا تَعُدْ لِمَا فَعَلْتَ، إِذَا صَلَّيْتَ الْجُمُعَةَ، فَلَا تَصِلْهَا بِصَلَاةٍ حَتَّى تَكَلَّمَ أَوْ تَخْرُجَ، فَإِنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَنَا بِذَلِكَ، أَنْ لَا تُوصَلَ صَلَاةٌ بِصَلَاةٍ حَتَّى نَتَكَلَّمَ أَوْ نَخْرُجَ

Bahawasanya Naafi’ bin Jubair pernah mengutus beliau kepada As-Saa’ib (Ibn Ukhti Namr) agar beliau dapat menanyakan sesuatu yang pernah dilihatnya darinya Mu’awiyah di dalam solat. Maka beliau menjawab:

“Ya, aku memang pernah melaksanakan solat Juma’at bersamanya di al-Maqshuurah (iaitu sebuah bilik atau penghadang di dalam masjid sebagai benteng – pent.). Setelah imam mengucapkan salam (bagi solat Juma’at), aku langsung berdiri di tempatku lalu terus solat (yakni solat sunnah). Setelah beliau masuk, beliau mengutus seseorang kepadaku lalu berkata:

“Janganlah engkau mengulangi lagi perbuatanmu tersebut. Jika engkau melaksanakan solat Juma’at, janganlah engkau menyambungnya dengan solat yang lain sehingga engkau memisahkannya dengan berbicara atau keluar (ke tempat yang lain). Kerana sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan kita melakukan perkara tersebut, iaitu tidak menyambung solat (fardhu) dengan solat sunnah yang lain sehingga kita berbicara atau keluar (berpindah tempat -pent.).”.” (Shahih Muslim, no. 883. Bab: Solat Setelah Juma’at)

Berkata Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

فَإِنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَنَا بِذَلِكَ، أَنْ لَا تُوصَلَ صَلَاةٌ بِصَلَاةٍ حَتَّى نَتَكَلَّمَ أَوْ نَخْرُجَ فيه دليل لما قاله أصحابنا أن النافلة الراتبة وغيرها يستحب أن يتحول لها عن موضع الفريضة إلى موضع آخر وأفضله التحول إلى بيته والا فموضع آخر من المسجد أو غيره ليكثر مواضع سجوده ولتنفصل صورة النافلة عن صورة الفريضة وقوله حَتَّى نَتَكَلَّمَ دليل على أن الفصل بينهما يحصل بالكلام أيضا ولكن بالانتقال أفضل لما ذكرناه والله أعلم

Disebutkan: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan kita melakukan perkara tersebut, iaitu tidak menyambung solat dengan solat yang lain sehingga kita berbicara atau keluar.”

Pada hadis ini terdapat dalil bagi apa yang diperkatakan oleh sahabat-sahabat kami (yakni dari kalangan tokoh-tokoh mazhab Asy-Syafi’i) bahawa jika seseorang mahu melakukan solat sunnah rawatib dan yang lainnya (setelah selesai dari solat fardhu – pent.), maka dianjurkan agar berpindah dari tempat dia melaksanakan solat fardhu tersebut ke tempat yang lain, dan yang paling afdhal adalah dengan melaksanakannya di rumah. Jika tidak, maka boleh di tempat yang lain di dalam masjid ataupun tempat lainnya supaya tempat-tempat sujudnya menjadi banyak dan terpisah di antara solat sunnah dengan solat fardhu.

Perkataan: “… sehingga kita berbicara…” merupakan dalil yang menunjukkan pemisah antara dua solat, iaitu sela waktu antara selesai solat fardhu dengan memulakan solat sunnah boleh dipisahkan dengan perbicaraan, namun jika dipisahkan dengan berpindah ke tempat yang lain adalah lebih utama sebagaimana yang telah kami sebutkan. Wallahu a’lam.” (Syarh Shahih Muslim, 6/170-171)

Kata Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H):

وَالسُّنَّةُ أَنْ يَفْصِلَ بَيْنَ الْفَرْضِ وَالنَّفَلِ فِي الْجُمُعَةِ، وَغَيْرِهَا. كَمَا ثَبَتَ عَنْهُ فِي الصَّحِيحِ {أَنَّهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى أَنْ تُوصَلَ صَلَاةٌ بِصَلَاةٍ، حَتَّى يُفْصَلَ بَيْنَهُمَا بِقِيَامٍ أَوْ كَلَامٍ} فَلَا يَفْعَلُ مَا يَفْعَلُهُ كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ. يَصِلُ السَّلَامَ بِرَكْعَتِي السُّنَّةِ، فَإِنَّ هَذَا رُكُوبٌ لِنَهْيِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“Yang sunnah, hendaklah dia memisahkan di antara solat fardhu Juma’atnya dengan solat sunnah setelah Juma’atnya, dan juga solat-solat yang lainnya. Sebagaimana tsabit (ditetapkan) darinya di dalam Ash-Shahiih (salah satu kitab Shahih), “Bahawa beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang menyambung solat fardhu dengan solat sunnah sehinggalah dia memisahkan di antara keduanya dengan sama ada dengan bangun dari tempatnya atau dengan berbicara.” Maka janganlah dia melakukan apa yang dilakukan oleh kebanyakan orang yang mana dia menyambung salam dengan raka’at sunnah, kerana perbuatan ini dilarang oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Ibnu Taimiyyah, Al-Fataawaa al-Kubra, 2/359)

Kata Syaikh Al-Albani rahimahullah (Wafat: 1420H):

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى الْعَصْرَ، فَقَامَ رَجُلٌ يُصَلِّي، فَرَآهُ عُمَرُ فَقَالَ لَهُ: اجْلِسْ، فَإِنَّمَا هَلَكَ أَهْلُ الْكِتَابِ أَنَّهُ لَمْ يَكُنْ لِصَلَاتِهِمْ فَصْلٌ. فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَحْسَنَ ابْنُ الْخَطَّابِ، فهذا الحديث نص صريح في تحريم المبادرة إلى صلاة السنة بعد الفريضة دون تكلم أو خروج

“(Sebagaimana dalam sebuah hadis) bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah solat ‘ashar, kemudian bangunlah seorang lelaki untuk solat sunnah. Maka ‘Umar melihatnya lalu beliau pun berkata:

“Duduklah, kerana telah binasa ahli kitaab disebabkan mereka tidak memisahkan di antara satu solat dengan satu solat mereka yang lain.” Maka berkata Rasulullah:

“Sungguh baik apa yang dikatakan oleh Ibn Al-Khaththab (‘Umar).” (Musnad Ahmad, no. 23121. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Maka hadis ini adalah nash (dalil) yang shariih (jelas) tentang haramnya melangsungkan solat sunnah sebaik saja selesai solat fardhu tanpa didahulukan dengan sebarang perbicaraan atau keluar (beranjak dari tempatnya).” (As-Silsilah Ash-Shahihah oleh Al-Albani, no. 2549)

Termasuk yang dimaksudkan dengan perbicaraan atau hal yang dapat menjadi pemisah (antara dua solat) adalah dengan melaksanakan dzikir-dzikir, atau istighfar, atau bacaan-bacaan yang disunnahkan sebaik selesai solat fardhu.

Di antara dalil-dalil yang lain

Dalam Sunan Abi Dawud daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أَيَعْجِزُ أَحَدُكُمْ – قَالَ: عَنْ عَبْدِ الْوَارِثِ – أَنْ يَتَقَدَّمَ، أَوْ يَتَأَخَّرَ، أَوْ عَنْ يَمِينِهِ، أَوْ عَنْ شِمَالِهِ ” – زَادَ فِي حَدِيثِ حَمَّادٍ: «فِي الصَّلَاةِ»، يَعْنِي فِي السُّبْحَةِ

“Adakah salah seorang di antara kamu merasa berat untuk bergerak ke hadapan atau mundur ke belakang, atau ke kanannya atau pun ke kirinya?” Abu Dawud menambah pada hadis Hammaad, “Iaitu maksudnya ketika (hendak) solat sunnah (sebaik selesai solat fardhu – pent.).” (Sunan Abi Dawud, no. 1006. Bab: Seorang lelaki yang solat tathawwu’ (sunnah) di tempat dia solat maktuubah (fardhu). Dinilai sahih oleh al-Albani)

Lafaz dalam riwayat Al-Baihaqi:

إِذَا أَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يَتَطَوَّعَ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ فَلْيَتَقَدَّمْ أَوْ لِيَتَأَخَّرْ، أَوْ عَنْ يَمِينِهِ، أَوْ عَنْ شِمَالِهِ

“Apabila salah seorang di antara kamu hendak melaksanakan tathawwu’ (solat sunnah) sebaik selesai solat fardhu, maka beranjaklah ke depan atau mundur ke belakang, atau bergerak ke kanannya, ataupun ke kirinya.” (As-Sunan Al-Kubra lil Baihaqi, no. 3044. Bab: Seorang imam berpindah dari tempatnya apabila hendak melaksanakan tathawwu’ di masjid)

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma:

كَانَ إِذَا كَانَ بِمَكَّةَ فَصَلَّى الْجُمُعَةَ، تَقَدَّمَ فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ، ثُمَّ تَقَدَّمَ فَصَلَّى أَرْبَعًا، وَإِذَا كَانَ بِالْمَدِينَةِ صَلَّى الْجُمُعَةَ، ثُمَّ رَجَعَ إِلَى بَيْتِهِ فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ، وَلَمْ يُصَلِّ فِي الْمَسْجِدِ، فَقِيلَ لَهُ، فَقَالَ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَفْعَلُ ذَلِكَ

“Bahawasanya beliau apabila berada di Makkah lalu solat Juma’at, beliau mara ke depan lalu solat dua raka’at, kemudian (setelah selesai) beliau mara ke depan lagi lalu solat empat raka’at. Dan apabila beliau di Madinah solat Juma’at, setelah itu beliau pun pulang ke rumahnya lalu solat dua raka’at di rumah dan beliau tidak solat di masjid. Maka ditanyakan kepada beliau, maka beliau pun jawab:

“Demikianlah yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Sunan Abi Dawud, no. 1130. Bab: Solat setelah selesai fardhu Juma’at. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam Mushannaf daripada Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

لَا يَتَطَوَّعُ حَتَّى يَتَحَوَّلَ مِنْ مَكَانِهِ الَّذِي صَلَّى فِيهِ الْفَرِيضَةَ

“Janganlah solat tathawwu’ sehingga dia berpindah dari tempat di mana dia solat fardhu padanya.” (Mushannaf Ibn Abi Syaibah, no. 6012. Bab: Dibenci bagi imam melaksanakan solat tathawwu’ di tempatnya)

Daripada ‘Ali radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

إِذَا سَلَّمَ الْإِمَامُ، لَمْ يَتَطَوَّعْ حَتَّى يَتَحَوَّلَ مِنْ مَكَانِهِ، أَوْ يَفْصِلَ بَيْنَهُمَا بِكَلَامٍ

“Apabila selesai salam seorang imam, janganlah dia terus melaksanakan tathawwu’ (solat sunnah) sehingga dia berpindah dari tempatnya atau memisahkan di antara keduanya (antara solat fardhu dengan solat sunnahnya) dengan perbicaraan.” (Mushannaf Ibn Abi Syaibah, no. 6021. Bab: Dibenci bagi imam melaksanakan solat tathawwu’ di tempatnya)

Wallahu a’lam.

Ensiklopedi_Solat_Menurut_Al_Quran_dan_Sunnah_main

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest