Sahur Itu Barakah

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

puasa ahli kitab tak sahur

Di ketika bulan Ramadhan, kita diperintahkan untuk berpuasa di siang hari dan berbuka di malam harinya. Selagi mana waktu masih malam, iaitu selagi belum terbitnya fajar (masuknya Subuh), maka kita dibolehkan untuk makan, minum, dan menggauli isteri yang mana perkara ini diharamkan dilakukan di waktu siangnya (khasnya bagi yang berpuasa dan di bulan Ramadhan).

Ini adalah berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala (maksudnya):

أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَى نِسَائِكُمْ هُنَّ لِبَاسٌ لَكُمْ وَأَنْتُمْ لِبَاسٌ لَهُنَّ عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَخْتَانُونَ أَنْفُسَكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ وَعَفَا عَنْكُمْ فَالآنَ بَاشِرُوهُنَّ وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الأبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الأسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ

“Dihalalkan bagi kamu pada malam hari bulan Ramadhan untuk bercampur dengan isteri-isteri kamu – mereka adalah pakaian bagimu, dan kamu pula adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu tidak dapat menahan nafsumu, kerana itu Allah mengampuni kamu dan memberi maaf kepadamu. Maka sekarang campurilah mereka dan ikutilah apa yang telah ditetapkan Allah untukmu, dan makan serta minumlah sehingga jelas bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu fajar (masuknya waktu Subuh).” (Surah Al-Baqarah, 2: 187)

Di antara sunnah Rasulullah ketika hendak berpuasa adalah makan sahur di penghujung malam sebelum terbitnya fajar.

Makna Sahur

Kalau ditinjau dari sudut kata bahasa Arab, As-Sahuur adalah hidangan makanan yang dimakan ketika ber-suhuur. Manakala suhuur pula adalah perbuatan memakan sahuur (hidangan) sebagai persediaan memulakan ibadah puasa. Cuma kebiasaan dalam masyarakat Melayu, perkataan sahuur (hidangan) biasa difahami sebagai suhuur (perbuatan makan sahur).

Dari kamus Ash-Shihah fi Al-Lughah dinyatakan:

والسَحور: ما يُتَسَحَّرُ به

As-Sahuur (dengan memfathahkan sin), ia adalah apa-apa yang dimakan (ketika sahur).” (lihat: Ash-Shihah fi Al-Lughah oleh Al-Jauhari, 1/305)

Demikian pula disebutkan oleh Ibn Al-Atsir rahimahullah (Wafat: 606H):

 السَّحُور وَهُوَ بِالْفَتْحِ اسمُ مَا يُتَسَحَّرُ بِهِ مِنَ الطَّعام والشَّراب. وبالضَّم المصدرُ والفعلُ نفسُه. وأكثرُ مَا يُرْوَى بِالْفَتْحِ. وَقِيلَ إِنَّ الصَّواب بِالضَّمِّ؛ لِأَنَّهُ بِالْفَتْحِ الطَّعَامُ. والبركَةُ وَالْأَجْرُ والثوابُ فِي الْفِعْلِ لَا فِي الطَّعَامِ.

As-Sahuur (dengan memfat-hahkan sin)… adalah penamaan pada apa-apa yang dimakan dan diminum ketika sahur. Dan jika didhommahkan (suhuur), maka ia merupakan mashdar (kata dasar) dan sebagai fi’il (perbuatan).

Dan yang banyak diriwayatkan adalah dengan fat-hah, tetapi dikatakan yang benar adalah dengan dhommah (suhuur), kerana jika dengan fat-hah (sahuur) ia bermakna makanan (yang dimakan ketika suhuur). Dan keberkahan, ganjaran, dan pahala adalah pada perbuatan bukan pada makanan.” (An-Nihaayah fi Ghorib Al-Hadits oleh Ibn Al-Atsir, 2/347)

Kata Asy-Syaikh Sa’id bin ‘Ali Al-Qahthani:

كل طعامٍ أو شرابٍ يَتَغَذَّى به آخر الليل في السحر من أراد الصيام

“(Sahur pada hakikatnya adalah) Setiap makanan dan minuman yang dimakan atau diminum pada akhir malam pada waktu sahar bagi orang yang hendak berpuasa.” (Ash-Shiyaamu fil Islaam, m/s. 247)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menyebutkan:

ضبطناه بفتح السين وضمها فالمفتوح اسم للمأكول والمضموم اسم للفعل وكلاهما صحيح هنا

“Kami mendhabthkannya (menyebutkan kata السحور) dengan mem-fat-hah-kan sin (as-sahuur) dan boleh juga mendhommahkannya (menjadi as-suhuur). Bila menyebutkannya dengan mem-fat-hah-kan sin, maka itu untuk sesuatu yang dimakan (ketika suhur). Dan apabila memembacanya dengan dhommah (as-suhuur), maka itu untuk kata yang menunjukkan perbuatan makan. Dan kedua-duanya adalah sahih di sisi kami.” (Syarh Shahih Muslim, 7/205-206)

Dinamakan sebagai sahur, kerana ia dimakan (disantap) ketika waktu sahar, yakni di akhir atau penghujung malam menjelang fajar (Subuh).

Al-Imam An-Nawawi juga menyebutkan:

والاسحار جمع سحر وهو آخر الليل قال الماوردى في تفسيره قال ابن زيد السحر السدس الآخر من الليل

Al-Ashaar (الاسحار) adalah jama’ kepada sahr, dan ia adalah akhir malam. Telah berkata Al-Mawardi di dalam Tafsir-nya, telah berkata Ibn Zayd, “As-Sahr adalah adalah satu per enam malam yang terakhir.”.” (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 4/44)

Dikatakan juga:

هو من ثلث الآخِر إِلى طلوع الفجر

“Sepertiga malam yang akhir hingga terbitnya fajar.” (Lisan Al-‘Arab, 4/348)

Suhur adalah ibadah yang membezakan antara puasa umat Islam dengan ahli kitab. Suhuur adalah suatu ibadah makan atau minum di penghujung waktu malam ketika hampir menjelang Subuh bertujuan untuk puasa. Atau lebih tepat lagi adalah akhir sepertiga malam sehingga terbitnya fajar (masuk waktu Subuh). Batas akhir bagi orang yang bersuhur adalah dengan terbitnya fajar.

Sebagaimana dijelaskan dalam firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ

“… makan serta minumlah sehingga jelas bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu terbitnya fajar (masuknya waktu Subuh), kemudian sempurnakanlah puasa…” (Surah Al-Baqarah, 2: 187)

Hukum Bersuhur

Hukum makan sahur adalah sunnah.

Dari hadis dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُوْرِ بَرَكَةً

“Makanlah sahur, kerana pada sahur itu terdapat keberkahan.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1923)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:

وأجمع العلماء على استحبابه وأنه ليس بواجب

“Para ulama telah ijma’ (sepakat) tentang sunnahnya makan sahur, tetapi ia bukanlah wajib (yakni tidak sampai hukum wajib).” (Syarh Shahih Muslim, 7/207)

Al-Imam Ibn Khuzaimah rahimahullah (Wafat: 311H) membuat bab dalam Shahih-nya:

بَاب الْأَمْرُ بِالسُّحُورِ أَمْرُ نَدْبٍ وَإِرْشَادٍ إِذِ السَّحُورُ بَرَكَةٌ، لَا أَمْرُ فَرْضٍ وَإِيجَابٍ، يَكُونُ تَارِكُهُ عَاصِيًا بِتَرْكِهِ

“Bab perintah bersuhur adalah perintah (yang menunjukkan sunnah) dan merupakan bimbingan kerana pada suhur itu keberkahan, bukan menunjukkan perintah yang berbentuk fardhu atau wajib yang menjadikan orang yang meninggalkannya bermaksiat dengan sebab meninggalkannya.” (Shahih Ibn Khuzaimah, 2/931)

Sahur Penuh Barakah

Dari hadis Abu Sa’id Al-Khudri radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

السَّحُورُ أَكْلُهُ بَرَكَةٌ، فَلَا تَدَعُوهُ، وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ، فَإِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ

As-Sahuur, memakannya adalah keberkahan, maka janganlah kamu meninggalkannya sekalipun hanya dengan seteguk air. Kerana Allah ‘Azza wa Jalla dan para Malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang bersahur.” (Musnad Ahmad, no. 11086. Dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arnauth)

Dalam hadis yang lain dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً

“Makanlah sahur, kerana pada sahur itu terdapat keberkahan.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1923)

Dalam hadis dari al-‘Irbadh bin Sariyah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

دَعَانِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى السَّحُورِ فِي رَمَضَانَ، فَقَالَ: هَلُمَّ إِلَى الْغَدَاءِ الْمُبَارَكِ

“Aku telah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memanggil seseorang untuk makan sahur lalu beliau bersabda:

“Marilah kepada makanan yang diberkati.” (Sunan Abi Dawud, no. 2344)

Di antara bentuk keberkahan dari sahur adalah mampu memberikan tenaga, menguatkan semangat, dan meringankan beban bagi mereka yang berpuasa. Ini adalah hasil dari makanan dan minuman yang diambil ketika sahur. Kemudian, waktu sahur itu sendiri pula termasuk ke dalam waktu mustajab berdoa, waktu terbaik beribadah, dan waktu diampunkan bagi mereka yang memohon keampunan.

Asy-Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah berkata:

إنه ينبغي للإنسان حين تسحره أن يستحضر أنه يتسحر امتثالا لأمر الله ورسوله ويتسحر مخالفة لأهل الكتاب وكرها لما كانوا عليه ويتسحر رجاء البركة في هذا السحور ويتسحر استعانة به على طاعة الله حتى يكون هذا السحور الذي يأكله خيرا وبركة وطاعة والله الموفق

“Sesungguhnya bagi seorang insan di ketika dia makan sahur, hendaklah menghadirkan dalam hatinya bahawa dia melaksanakan dalam rangka taat kepada Allah dan Rasul-Nya, dan untuk menyelisihi ahli kitab (Yahudi dan Nashara) serta membenci perbuatan orang-orang yang enggan makan sahur.

Dan hendaklah dia makan sahur dalam rangka mengharap keberkahan dan agar dapat membantunya untuk taat kepada Allah, sehingga dengan dia melakukan hal tersebut (dengan niat yang betul), makan sahurnya pun akan bernilai kebaikan, berberkah dan bernilai ketaatan. Wallaahul Muwaafiq.” (Syarhu Riyadh Ash-Shaalihin, 5/285)

Kata Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

وأما البركة التي فيه فظاهره لأنه يقوى على الصيام وينشط له وتحصل بسببه الرغبة في الازدياد من الصيام لخفة المشقة فيه على المتسحر فهذا هو الصواب المعتمد في معناه وقيل لأنه يتضمن الاستيقاظ والذكر والدعاء في ذلك الوقت الشريف وقت تنزل الرحمة وقبول الدعاء والاستغفار وربما توضأ صاحبه وصلى أو أدام الاستيقاظ للذكر والدعاء والصلاة أو التأهب لها حتى يطلع الفجر

“Adapun bentuk keberkahan pada sahur itu telah zahir (jelas), kerana sahur dapat menguatkan seseorang untuk melaksanakan puasa dan menjadi sebab yang mendorong dalam melaksanakannya, sekaligus menumbuhkan kemahuan untuk sentiasa berpuasa, kerana orang yang bersahur akan merasa ringan ketika menjalankan puasa. Inilah makna yang benar yang muktamad.

Dan berkata sebahagian ulama, bahawa keberkahan pada sahur itu didapatkan kerana pada waktu tersebut seseorang akan bangun dari tidurnya, dapat berdzikir, dan berdoa pada waktu yang mulia, yang merupakan waktu turunnya rahmat Allah, waktu terkabulnya doa, dan waktu untuk beristighfar (mendapatkan ampunan) kepada Allah. Orang yang bangun pada waktu tersebut juga dapat berwudhu’ dan melaksanakan solat (tahajjud), atau memperbanyakkan dzikir, doa, dan solat atau boleh juga dia mempersiapkan diri untuk menunaikan solat fardhu Subuh sampai terbit fajar.” (Syarh Shahih Muslim, 7/206)

Dalam hal ini ada hadis daripada Abi Hurairah radhiyallahu ‘anhu, di mana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الْآخِرُ فَيَقُولُ مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ

“Allah Tabaraka wa Ta’ala turun ke langit dunia pada setiap akhir sepertiga malam lalu berfirman, “Siapa sahaja yang berdoa kepada-Ku, maka Aku tunaikan untuknya. Sesiapa sahaja yang meminta kepada-Ku, Aku berikan kepadanya. Sesiapa sahaja yang memohon ampun kepada-Ku, maka Aku ampunkan baginya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 7494)

Berkenaan turunnya Allah ke langit dunia, Ahlus Sunnah wal-Jama’ah menerima sebagaimana zahir hadis tentangnya. Iaitu Allah turun secara hakiki bukan majazi, tanpa diserupakan dengan turunnya makhluk, tanpa diberi perumpamaan, dan tanpa mempersoalkannya bagaimana. Kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala itu tidak menyerupai segala sesuatu dan kita tidak mengetahui tentang-Nya melainkan dengan nash-nash yang sahih. Dia turun sebagaimana yang layak dengan kehendak dan keagungan-Nya.

Kata Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

فيه دليل على امتداد وقت الرحمة واللطف التام إلى اضاءة الفجر وفيه الحث على الدعاء والاستغفار في جميع الوقت المذكور إلى اضاءة الفجر وفيه تنبيه على أن آخر الليل للصلاة والدعاء والاستغفار وغيرها من الطاعات أفضل من أوله والله أعلم

“Pada hadis ini terdapat dalil bahawa rahmat dan kasih-sayang Allah terus disempurnakan sampai terbit fajar. Dan ini pendorong bagi para hamba agar terus berdoa dan beristighfar (memohon keampunan) kepada Allah sepanjang waktu malamnya sampailah masuknya waktu terbit fajar. Dan padanya terdapat tanbih (penjelasan dan catatan) bahawa berdoa, beristighfar, dan melakukan ibadah yang lainnya sebagai bentuk ketaatan kepada Allah adalah lebih afdhal dilaksanakan pada akhir malam berbanding di awalnya.” (Syarh Shahih Muslim, 6/37)

Seterusnya, dalam Al-Qur’an pula kita boleh lihat Allah memuji mereka yang beristighfar (memohon keampunan) ketika waktu sahur. Ini boleh disemak di Surah Ali ‘Imran, 3: 17 dan Adz-Dzaariyaat, 51: 18.

Yakni ketika Allah Subhanahu wa Ta’ala menyebutkan sebahagian dari sifat-sifat orang yang bertaqwa diikuti balasan Syurga disertai sebahagian sifat keindahannya, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

الصَّابِرِينَ وَالصَّادِقِينَ وَالْقَانِتِينَ وَالْمُنْفِقِينَ وَالْمُسْتَغْفِرِينَ بِالْأَسْحَارِ

“(Yakni) orang-orang yang sabar, yang benar, yang tetap taat, yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon keampunan) di waktu sahar.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 17)

Al-Hafiz Ibn Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) menyebutkan:

دل على فضيلة الاستغفار وقت الأسحار.

“Ini merupakan dalil yang menunjukkan keutamaan istighfar di waktu sahur.” (Tafsir Ibn Katsir, 2/23)

Kemudian Ibn Katsir turut menyebutkan dalil hadis sebagaimana dikemukakan di atas.

Demikian juga pada ayat yang lain Allah menyebutkan tentang sifat mereka (yakni sifat ahli Syurga):

كَانُوا قَلِيلًا مِنَ اللَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ (17) وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ

“Bahawa mereka (ketika di dunia) sedikit sekali tidur di waktu malam, dan mereka beristighfar (memohon keampunan) di waktu sahar.” (Surah Adz-Dzariyaat, 51: 17-18)

Selain penuh keberkahan sebagaimana dikemukakan dan dalam rangka mengikuti sunnah, bangun sahur juga dapat melatih untuk membuang sikap malas, bangun awal, dan membentuk ketaqwaan. Selain itu, bersahur turut disebutkan menjadi pembeza di antara puasa umat Islam dengan Ahli Kitab (Yahudi dan Nashara).

Dari hadis ‘Amr bin Al-‘Ash radhiyallahu ‘anh, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ أَكْلَةُ السَّحَرِ

“Pembeza di antara puasa kami dengan puasa Ahli Kitab adalah makan sahur.” (Musnad Ahmad, no. 17762. Shahih Muslim, no. 1096)

Melewatkan Sahur

Dari hadis Ibn ‘Abbass, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إنا معاشر الأنبياء أمرنا بتعجيل فطرنا وتأخير سحورنا

“Sesungguhnya kami para Nabi diperintahkan untuk menyegerakan berbuka (sebaik masuk waktunya) dan melewatkan sahur.” (Majma’ Az-Zawa’id, no. 2609. Kata Al-Haitsami, “Hadis riwayat Ath-Thabrani dalam Al-Kabir dan para perawinya perawi kitab Shahih.”)

‘Amr bin Maimun Al-Audi menyatakan, “Para sahabat Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah orang-orang yang paling bersegera dalam berbuka dan paling terakhir (lewat) dalam bersahur.” (Fath Al-Bari Syarh Shahih Al-Bukhari oleh Ibn Hajar, 4/199)

Al-Imam Al-Baghawi rahimahullah (Wafat: 516H) berkata:

وَاسْتَحَبَّ أَهْلُ الْعِلْمِ تَأْخِيرَ السُّحُورِ

“Para ahli ilmu menganjurkan supaya melewatkan suhur.” (Syarh As-Sunnah oleh Al-Baghawi, 6/253)

Waktu Disunnahkan Bersahur

Disunnahkan melewatkan sahur, yakni pada sepertiga malam yang akhir pada waktu yang mendekati terbitnya fajar (masuk waktu Subuh).

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) membuat bab dalam Syarh-nya:

باب بيان أن الدخول في الصوم يحصل بطلوع الفجر

“Bab penjelasan bahawa masuknya waktu berpuasa dimulai dengan terbitnya fajar.”

Kemudian beliau melanjutkan:

وأن له الأكل وغيره حتى يطلع الفجر وبيان صفة الفجر الذي تتعلق به الأحكام من الدخول في الصوم ودخول وقت صلاة الصبح وغير ذلك وهو الفجر الثاني ويسمى الصادق والمستطير وأنه لا أثر للفجر الأول في الأحكام وهو الفجر الكاذب المستطيل باللام كذنب السرحان وهو الذئب

“(Pada bab ini menjelaskan bahawa) Seseorang boleh makan (atau minum) atau yang lainnya sampai terbitnya fajar. Bab ini juga menjelaskan tentang ciri-ciri fajar dan hukum-hakam yang berkaitan dengannya, yakni dari masuknya waktu berpuasa, masuknya waktu solat Subuh dan yang lainnya, yakni fajar kedua yang biasanya dinamakan dengan fajar Ash-Shadiq yang bentuknya menyebar. Di mana fajar yang pertama tidaklah memberi kesan pada hukum-hakam yang ia biasanya dikenal sebagai fajar kadzib (dusta) yang bentuknya memanjang seperti ekor serigala.” (Syarh Shahih Muslim, 7/200)

Di antara dalil-dalil yang menjadi sandaran hal ini adalah sebagaimana berikut,

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ

“… makan serta minumlah sehingga jelas bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu terbitnya fajar (masuknya waktu Subuh), kemudian sempurnakanlah puasa…” (Surah Al-Baqarah, 2: 187)

Dari hadis Zaid bin Tsabit radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلَاةِ قُلْتُ كَمْ كَانَ بَيْنَ الْأَذَانِ وَالسَّحُورِ قَالَ قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً

“Kami pernah makan sahur bersama Nabi Shalallahu ‘alaihi wa Sallam. Setelah itu beliau langsung berdiri untuk solat.” Aku bertanya, “Berapa lama jarak antara azan dengan makan sahur?” Beliau menjawab, “Kira-kira sama seperti (panjangnya) bacaan lima puluh ayat Al-Qur’an.”.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1921)

Pada hadis ini menjelaskan disunnahkan makan sahur bersama-sama (berjama’ah), di mana Zaid bin Tsabit bertandang ke rumah Nabi lalu makan sahur bersama-sama Nabi. (lihat: Fath Al-Bari, 4/138)

Kemudian, hadis ini menjelaskan waktu bermulanya waktu sahur hingga selesai sahur dan tempoh berlangsungnya sehingga dikumandangkan adzan sekira-kira bacaan 50 ayat Al-Qur’an, lalu mereka pun solat sebaik selesai adzan, yakni solat sunnah fajar dan kemudian keluar untuk solat fardhu Subuh di masjid.

Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah (Wafat: 852H) berkata tentang hadis ini:

واستدل المصنف به على أن أول وقت الصبح طلوع الفجر لأنه الوقت الذي يحرم فيه الطعام والشراب والمدة التي بين الفراغ من السحور والدخول في الصلاة وهي قراءة الخمسين آية أو نحوها

“Penyusun (Al-Imam Al-Bukhari) berdalil dengan hadis ini untuk menjelaskan waktu masuknya solat fardhu Subuh adalah dengan terbitnya fajar, kerana ia adalah waktu yang diharamkan makan dan minum (bagi orang yang berpuasa). Manakala tempoh berlangsungnya antara makan sahur menuju masuknya solat adalah sekitar bacaan 50 ayat Al-Qur’an atau yang seumpama dengannya.” (Fath Al-Bari, 2/55)

Al-Imam Al-Bukhari juga membuat bab pada hadis ini dengan bab:

قَدْرِ كَمْ بَيْنَ السَّحُورِ وَصَلاَةِ الفَجْرِ

“Kadar tempoh di antara makan sahur dan solat fajr.”

Kemudian Al-Hafiz Ibnu Hajar mengatakan:

أي انتهاء السحور وابتداء الصلاة لأن المراد تقدير الزمان الذي ترك فيه الأكل والمراد بفعل الصلاة أول الشروع فيها قاله الزين بن المنير

“Yakni selesainya sahur dan permulaan solat, kerana yang dimaksudkan adalah perkiraan waktu di mana seseorang meninggalkan makan. Maksud melaksanakan solat adalah awal mulanya solat sebagaimana dikatakan Az-Zayn Ibn Al-Munayyir.” (Fath Al-Bari, 4/138)

Sahl bin Sa’d radhiyallahu ‘anhu berkata:

كُنْتُ أَتَسَحَّرُ فِي أَهْلِي، ثُمَّ تَكُونُ سُرْعَتِي أَنْ أُدْرِكَ السُّجُودَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“Aku makan sahur di rumah bersama ahli keluargaku, kemudian aku pun makan dengan cepat lagi tergesa-gesa agar tetap dapat sujud (solat Subuh) bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1920)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata pada hadis ini:

إشارة إلى أن السحور كان يقع قرب طلوع الفجر وروى مالك عن عبد الله بن أبي بكر عن أبيه كنا ننصرف أي من صلاة الليل فنستعجل بالطعام مخافة الفجر

“Ia merupakan isyarat mempercepat makan sahur yang menunjukkan waktunya yang sangat dekat dengan terbitnya fajar (Subuh). Dan diriwayatkan oleh Malik dari ‘Abdullah bin Abu Bakr dari ayahnya, beliau berkata, “Kami dulu sebaik saja selesai dari solat malam kami, maka kami pun langsung tergesa-gesa untuk makan (sahur) kerana bimbang datangnya fajr (Subuh).”.” (Fath Al-Bari, 4/137)

Riwayat yang disebutkan oleh Ibn Hajar tersebut menunjukkan panjangnya solat malam para sahabat sehingga hanya selesai sebaik mendekati Subuh, dan ini dijelaskan dalam banyak hadis-hadis yang lain juga. Kemudian sebaik mereka bersahur, mereka pun langsung solat Subuh.

Berkata Al-Qadhi ‘Iyadh:

مراد سهل بن سعد أن غاية اسراعه أن سحوره لقربه من طلوع الفجر كان بحيث لا يكاد أن يدرك صلاة الصبح مع رسول الله صلى الله عليه و سلم ولشدة تغليس رسول الله صلى الله عليه و سلم بالصبح

“(Maksudnya) Tujuan Sahl bin Sa’d tergesa-gesa pada sahurnya adalah kerana sangat dekatnya waktu sahur tersebut dengan terbitnya fajr (Subuh), di mana dia hampir-hampir tidak mendapatkan solat Subuh bersama-sama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam disebabkan Nabi melaksanakan solat Subuh ketika hari masih gelap (di awal waktu).” (Fath Al-Bari, 4/138)

Ibn Al-Munayyir berkata:

المراد إنهم كانوا يزاحمون بالسحور الفجر فيختصرون فيه ويستعجلون خوف الفوات تنبيه

“Maksudnya, mereka biasa makan sahur ketika Subuh benar-benar hampir menjelang, maka mereka pun memakannya dengan tergesa-gesa kerana bimbang kehabisan waktunya (di samping agar tetap dapat untuk solat Subuh bersama Rasulullah – pent.).” (Fath Al-Bari, 4/138)

Dari sini menjelaskan bahawa termasuk sunnah dan amalan para sahabat adalah melewatkan makan sahur sehingga benar-benar di penghujung malam dan benar-benar ketika akan menjelangnya Subuh, yakni tempoh lamanya mereka makan sahur hanyalah sekira-kira bacaan 50 ayat Al-Qur’an, lalu kemudian mereka pun solat.

Di hadis yang lain, Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam menjelaskan:

كُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُؤَذِّنَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ فَإِنَّهُ لَا يُؤَذِّنُ حَتَّى يَطْلُعَ الْفَجْرُ

“Makan dan minumlah sehingga Ibnu Ummi Maktum melaungkan azan. Dan adalah beliau tidak melaungkan azan sampailah benar-benar fajar telah terbit (yakni setelah masuknya waktu Subuh).” (Shahih Al-Bukhari, no. 1918.)

Dalam Lafaz Muslim:

إِنَّ بِلَالًا يُؤَذِّنُ بِلَيْلٍ، فَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى تَسْمَعُوا تَأْذِينَ ابْنِ أُمِّ مَكْتُومٍ

“Sesunguhnnya Bilal melaungkan adzan ketika hari masih malam. Maka makan dan minumlah sehingga kalian mendengar laungan adzan Ibnu Ummi Maktum.” (Shahih Muslim, no. 1092; dari hadis Ibn ‘Umar)

Dalam lafaz yang lain dari Ibnu ‘Umar, beliau berkata:

كَانَ لِرَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُؤَذِّنَانِ بِلَالٌ وَابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ الْأَعْمَى، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّ بِلَالًا يُؤَذِّنُ بِلَيْلٍ، فَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُؤَذِّنَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ» قَالَ: وَلَمْ يَكُنْ بَيْنَهُمَا إِلَّا أَنْ يَنْزِلَ هَذَا وَيَرْقَى هَذَا

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memiliki dua mu’adzin (tukang adzan), yakni Bilal dan Ibn Ummi Maktum yang buta. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Bahawa Bilal, beliau adzan ketika hari masih malam, maka makan dan minumlah sampai Ibn Ummi Maktum mengumandangkan.”

Ibnu ‘Umar berkata, “Dan tidaklah terjadi antara keduanya (yakni selang antara dua adzan tersebut) melainkan seorang turun (dari menara adzan), dan seorang lagi naik.” (Shahih Muslim, no. 1092)

Pada hadis ini menujukkan sunnah dua kali adzan untuk Subuh, yakni yang pertamanya dikumandangkan sebelum masuk waktu (oleh Bilal) antaranya sebagai isyarat untuk bersegera bangun, bersiap untuk solat, memulakan sahur, dan seumpamanya. Lalu kemudian dikumandangkan pula adzan yang kedua sebaik masuk waktu Subuh (yakni oleh Ibn Ummi Maktum – di zaman Nabi).

Dari hadis Ibn Mas’oud radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَا يَمْنَعَنَّ أَحَدًا مِنْكُمْ أَذَانُ بِلَالٍ – أَوْ قَالَ نِدَاءُ بِلَالٍ – مِنْ سُحُورِهِ، فَإِنَّهُ يُؤَذِّنُ – أَوْ قَالَ يُنَادِي – بِلَيْلٍ، لِيَرْجِعَ قَائِمَكُمْ وَيُوقِظَ نَائِمَكُمْ» وَقَالَ: «لَيْسَ أَنْ يَقُولَ هَكَذَا وَهَكَذَا – وَصَوَّبَ يَدَهُ وَرَفَعَهَا – حَتَّى يَقُولَ هَكَذَا» – وَفَرَّجَ بَيْنَ إِصْبَعَيْهِ –

“Jangan sampai adzan (atau seruan) Bilal menahan salah seorang dari kalian dari memakan sahurnya, kerana beliau adzan ketika hari masih malam, yakni agar dapat mengembalikan orang-orang yang qiyam (solat malam) ke tempat rehatnya dan agar dapat membangunkan orang-orang yang tidur di antara kalian.”

Dan beliau juga bersabda:

“Bukanlah fajar (yang menandakan masuknya Subuh itu) seperti orang yang mengatakan demikian dan demikian, dan beliau pun seraya merendahkan tangannya lalu mengangkatnya sampailah beliau mengatakan demikian.”

Kemudian beliau merenggangkan jari-jemarinya (sebagai isyarat melebar dan menyebarnya cahaya fajar yang menandakan masuknya subuh).” (Shahih Muslim, no. 1093)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menyatakan tentang hadis ini:

وقوله صلى الله عليه و سلم وَيُوقِظَ نَائِمَكُمْ أي ليتأهب للصبح أيضا بفعل ما أراد من تهجد قليل أو ايتار ان لم يكن أوتر أو سحور أن اراد الصوم أو اغتسال أو وضوء أو غير ذلك مما يحتاج إليه قبل الفجر

“Dan sabda Nabi, “(antara tujuan adzannya bilal – pent.)… agar dapat membangunkan orang-orang yang tidur di antara kalian.”

Maksudnya adalah supaya dapat bersiap-siap untuk melaksanakan solat Subuh, atau mungkin juga dengan melakukan sedikit tahajjud atau witr jika belum melaksanakannya, atau mungkin juga untuk makan sahur bagi yang ingin berpuasa, atau untuk mandi, wudhu’, dan yang lain yang seumpamanya yang dia perlukan sementara belum benar-benar masuk fajar.” (Syarh Shahih Muslim, 7/204)

Dalam lafaz yang lain, dinyatakan:

وَوَضَعَ الْمُسَبِّحَةَ عَلَى الْمُسَبِّحَةِ وَمَدَّ يَدَيْهِ

“Beliau meletakkan jari telunjuknya di atas jari telunjuknya yang lain seraya membentangkan kedua tangannya (sebagai bentuk isyarat menyebarnya cahaya).” (Shahih Muslim, no. 1093)

Dalam hadis yang lain dari Samurah bin Jundub radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَا يَغُرَّنَّ أَحَدَكُمْ نِدَاءُ بِلَالٍ مِنَ السَّحُورِ، وَلَا هَذَا الْبَيَاضُ حَتَّى يَسْتَطِيرَ

“Janganlah salah seorang dari kalian rasa tertipu dengan adzannya Bilal sehingga menjadikan kalian menghentikan makan sahur, dan jangan pula oleh cahaya putih (fajar) ini sampailah ianya menyebar (tanda masuk fajar).” (Shahih Muslim, no. 1094)

Dalam lafaz yang lain:

لَا يَغُرَّنَّكُمْ مِنْ سَحُورِكُمْ أَذَانُ بِلَالٍ، وَلَا بَيَاضُ الْأُفُقِ الْمُسْتَطِيلُ هَكَذَا، حَتَّى يَسْتَطِيرَ هَكَذَا» وَحَكَاهُ حَمَّادٌ بِيَدَيْهِ، قَالَ: يَعْنِي مُعْتَرِضًا

“Janganlah salah seorang dari kalian rasa tertipu dengan adzannya Bilal sehingga menjadikan kalian menghentikan makan sahur, dan jangan pula dengan cahaya putih di ufuk yang memanjang begini, sampailah cahaya itu menyebar begini.”

Dan Hammad (perawi) menceritakan sambil mengisyaratkan dengan tangannya, yakni mengisyaratkan cahaya melebar.” (Shahih Muslim, no. 1094)

Demikianlah dalil-dalil ini semuanya menunjukkan disunnahkan agar melewatkan sahur pada sepertiga malam yang akhir ketika mendekati terbit fajar (masuk waktu Subuh), dan makan sahur tetap dibolehkan sampailah adzan Subuh berkumandang (atau sebaik telah jelas terbitnya fajar). Dan tidak boleh lagi makan atau minum sebaik sahaja telah jelas masuknya waktu Subuh atau sebaik azan dikumandangkan.

Menghabiskan Makan dan Minum Ketika Azan

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا سَمِعَ أَحَدُكُمُ النِّدَاءَ وَالْإِنَاءُ عَلَى يَدِهِ، فَلَا يَضَعْهُ حَتَّى يَقْضِيَ حَاجَتَهُ مِنْهُ

“Apabila salah seorang di antara kamu mendengar panggilan (azan subuh) sedangkan bekas (minuman) masih ada di tangannya, maka janganlah ia meletakkannya sehingga ia menyelesaikan hajat darinya (menghabiskan minum).” (Musnad Ahmad, no. 10629. Sunan Abi Dawud, no. 2350. Al-Mustadrak oleh Al-Hakim, no. 729. As-Sunan Al-Kubra oleh Al-Baihaqi, no. 8019. Dinilai sahih oleh Al-Hakim, Adz-Dzahabi, dan Al-Albani. Hasan oleh Al-Wadi’i dan Al-Arnauth. Lihat: As-Silsilah Ash-Shahihah oleh Al-Albani, 3/381. Al-Jaami’ Ash-Shahih mimma Laisa fii Shahihain oleh Muqbil bin Hadi Al-Wadi’i, 2/373-374. An-Nawawi turut memperakui kesahihannya dalam Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 6/312)

Syaikh Muqbil bin Hadi Al-Wadi’i rahimahullah meletakkan hadis ini dalam bab:

“Mendengar Azan Sementara Bekas (Minuman) Berada Di Tangan Maka Dibolehkan Untuk Minum Darinya.” (lihat: Al-Jaami’ Ash-Shahih mimma Laisa fii Shahihain, m/s. 373)

Salah seorang perawi hadis ini, ‘Ammar bin Abi ‘Ammar (perawi Abu Hurairah) menyatakan:

وَكَانَ الْمُؤَذِّنُ يُؤَذِّنُ إِذَا بَزَغَ الْفَجْرُ

“Bahawasanya mereka mengumandangkan azan setelah terbit fajar.” (Musnad Ahmad, no. 10630. Dinilai sahih oleh Al-Albani dan Al-Arnauth)

Di antara riwayat lain yang menguatkan hadis ini adalah hadis daripada Abu Umamah radhiyallahu ‘anhu. Beliau berkata:

أُقِيمَتِ الصَّلاَةُ وَالإِنَاءُ في يَدِ عُمَرَ فَقَالَ: أَشْرَبُهَا يَا رَسُولَ الله؟ فَقَالَ: نَعَمْ، فَشَرِبَهَا

“Pernah ketika solat hendak didirikan sedangkan bekas (minuman) masih di tangan ‘Umar (Al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu). Dia bertanya kepada Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam, “Adakah aku boleh meminumnya?” Rasulullah menjawab, “Boleh.” Maka ‘Umar pun meminumnya.” (Tafsir Ath-Thabari, 3/527, no. 3017. Dinilai sahih isnadnya oleh Ahmad Muhammad Syakir, dan hasan oleh Al-Albani)

Juga hadis daripada Abu Az-Zubair, beliau berkata:

قَالَ: سَأَلْتُ جَابِرًا عَنِ الرَّجُلِ يُرِيدُ الصِّيَامَ وَالْإِنَاءُ عَلَى يَدِهِ لِيَشْرَبَ مِنْهُ، فَيَسْمَعُ النِّدَاءَ، قَالَ جَابِرٌ: كُنَّا نُحَدَّثُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: ” لِيَشْرَبْ

Aku pernah bertanya kepada Jabir tentang seseorang yang hendak berpuasa sedangkan dia masih memegang bekas untuk minum, kemudian beliau mendengar panggilan (azan Subuh). Jabir menjawab:

“Kami pernah mengatakan perkara seperti itu kepada Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam dan beliau bersabda, “Hendaklah dia minum.” (Musnad Ahmad, no. 14755. Al-Albani berkata, “Wa Isnaduhu laa ba’sa bihi fii asy-Syawaahid (Isnadnya tidak mengapa dapat diguna untuk penguat).” (lihat: As-Silsilah Ash-Shahihah, 3/381) Al-Haitsami berkata, “Diriwayatkan oleh Ahmad dan isnadnya hasan.” (Majma’ Az-Zawa’id, no. 4858) Syu’aib Al-Arna’uth menyatakan, “Hasan lighairihi, dan sanad hadis ini dha’if kerana buruknya hafalan Ibnu Lahi’ah.”)

Syaikh Al-Albani rahimahullah menyatakan:

وفيه دليل على أن من طلع عليه الفجر وإناء الطعام أو الشراب على يده أنه يجوز له أن لا يضعه حتى يأخذ حاجته منه فهذه الصورة مستثناة من الآية: وكلوا واشربوا حتى يتبين لكم الخيط الأبيض من الخيط الأسود من الفجر. فلا تعارض بينها وما في معناها من الأحاديث وبين هذا الحديث ولا إجماع يعارضه بل ذهب جماعة من الصحابة وغيرهم إلى أكثر مما أفاده الحديث وهو جواز السحور إلى أن يتضح الفجر وينتشر البياض في الطرق راجع ” الفتح ( 4 / 109 – 110 ) لأن من فوائد هذا الحديث إبطال بدعة الإمساك قبل الفجر بنحو ربع ساعة. لأنهم إنما يفعلون ذلك خشية أن يدركهم أذان الفجر وهم يتسحرون ولو علموا هذه الرخصة لما وقعوا في تلك البدعة

“Dalam hadis ini terdapat dalil yang menunjukkan bahawa sesiapa sahaja yang mengetahui fajar telah terbit tetapi bekas makanan atau minuman masih berada di tangannya, dia boleh segera menyelesaikan keperluannya tersebut (makan dan minum). Ini adalah bentuk pengecualian dari ayat “… makan serta minumlah sehingga jelas bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu terbitnya fajar (masuknya waktu Subuh).” (Surah Al-Baqarah, 2: 187)

Ayat ini dan hadis-hadis yang semakna dengannya tidak bertentangan dengan hadis tersebut. Tiada pula ijma’ ulama yang bertentangan dengannya. Bahkan sejumlah sahabat dan selain mereka berpendapat selari dengan makna hadis ini iaitu boleh makan sahur sehingga jelas terbitnya fajar dan menyebarnya cahaya di jalan-jalan (setelah jelas masuknya waktu Subuh). Lihatlah di kitab Fathul Bari (4/109-110). Dalam masa yang sama, hadis ini menolak bid’ah tentang penetapan waktu imsak sekitar 15 minit sebelum terbitnya fajar (sebelum masuknya waktu Subuh). Kebanyakan mereka yang mengamalkannya adalah disebabkan bimbang berkumandangnya azan Subuh dalam keadaan mereka sedang bersahur. Kalaulah mereka mengetahui rukhsah (keringanan) ini, sudah tentu mereka tidak akan terjerumus ke dalam bid’ah sedemikian rupa.” (Tamamul Minnah fii Ta’liq ‘ala Fiqh As-Sunnah, m/s. 417-418)

Benarlah apa yang dikatakan oleh Asy-Syaikh Al-Albani, makna tersebut diungkapkan antaranya oleh Al-Hafiz Ibn Hajar rahimahullah dalam kitab beliau, Fath Al-Bari dengan dukungan atsar-atsar para salaf, antaranya pada bab:

لاَ يَمْنَعَنَّكُمْ مِنْ سَحُورِكُمْ أَذَانُ بِلاَلٍ

“Janganlah Sampai Adzan Bilal menghalang Kalian dari Suhur Kalian.”

Walaupun demikian halnya, kebanyakan ulama berpendapat dan memilih untuk mengambil langkah hati-hati dengan menyatakan apabila telah jelas terbitnya fajar atau adzan Subuh telah dikumandangkan, maka hendaklah langsung berhenti dari makan, manakala makanan yang masih berada di dalam mulut hendaklah diluahkan. Dan ulama berbeza pendapat dalam memahami hadis ini; ada yang mensahihkan sebagaimana dikemukakan di atas, ada yang mendha’ifkan, ada yang mentakwilkan kepada makna yang lain, dan ada yang menilainya sebagai hadis yang syadz. Wallaahu a’lam.

Bersahur Dengan Tamar

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:sebaik-baik makanan sahur

نِعْمَ سَحُورُ الْمُؤْمِنِ التَّمْرُ

“Sebaik-baik sahur (makanan ketika suhur) seorang mukmin adalah tamar (kurma kering).” (Sunan Abi Dawud, no. 2345. Shahih Ibnu Hibban, no. 3475. Dinilai sahih oleh Ibnu Hibban, Al-Albani, dan Syu’aib Al-Arnauth)

Oleh itu, janganlah kita tinggalkan begitu sahaja sunnah bersahur ini walaupun hanya dengan kurma kering mahupun seteguk air. Selain beberapa hikmah dan bentuk barakah (tambahan kebaikan) yang dapat kita lihat secara umum, di sana masih ada lagi bentuk-bentuk barakah yang hanya diketahui di sisi Allah Ta’ala.

Menyahut sunnah makan sahur ini juga termasuk ke dalam ciri-ciri mengerjakan puasa di atas keimanan dan mengharapkan pahala Allah Subhanahu wa Ta’ala. Yang dengannya akan menjadi sebab diampunkan dosa-dosa kita yang telah lalu dan semoga kita dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang bertaqwa.

Ringkasan faedah

Amalan-amalan Sunnah Saat Bersahur:

1, Bangun sahur, kerana padanya ada keberkahan.

2, Memanfaatkan waktu mustajabnya doa.

3, Memperbanyakkan istighfar, dzikir, dan solat jika punya waktu.

4, Mengakhirkan makan sahur.

5, Disunnahkan makan tamr atau minum seteguk air.

6, Makan bersama.

7, Tidak lagi makan/minum sebaik masuk fajr (Subuh).

Hikmah Makan Sahur:

1, Mengikuti dan Menghidupkan sunnah.

2, Menyelisihi puasa Yahudi dan Nashara.

3, Mempersiapkan diri untuk beribadah.

4, Membantu untuk memperbanyakkan doa, istighfar dan dzikir.

5, Meraih waktu mustajabnya doa, diterimanya istighfar, dan turunnya rahmat Allah.

6, Allah melimpahkan keberkahan pada makanan sahur.

7, Memberi tenaga kepada tubuh.

Wallahu a’lam

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest