Melapangkan Kesusahan dan Menutupi Aib Seorang Muslim

www.ilmusunnah.com

Dari hadis ‘Abdullah bin ‘Umar, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:hak saudara seiman

وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً، فَرَّجَ اللهُ عَنْهُ بِهَا كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

“Dan siapa yang melapangkan suatu kesusahan dari seorang muslim, maka Allah pun akan melapangkan daripadanya suatu kesusahan di antara kesusahan-kesuhsannya di hari Kiamat. Dan siapa yang menutupi aib seorang muslim, maka Allah pun akan menutupi aibnya pada hari Kiamat.” (Musnad Ahmad, no. 5646. Shahih Al-Bukhari, no. 2442. Muslim, no. 2580)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:

في هذا فضل إعانة المسلم وتفريج الكرب عنه وستر زلاته ويدخل في كشف الكربة وتفريجها من ازالها بماله أوجاهه أو مساعدته والظاهر أنه يدخل فيه من أزالها بإشارته ورأيه ودلالته

“Pada hadis ini terkandung keutamaan membantu seorang muslim, dan melapangkan (memberi jalan keluar) dari kesusahannya, dan keutamaan menutupi ‘aib serta ketergelincirannya. Termasuk dalam makna menyingkap dan melapangkan (memberi jalan keluar) kesusahannya adalah dengan cara membantunya dengan harta, kedudukannya, atau membantunya (dengan pertolongan tertentu). Dan yang zahir, termasuk juga menghilangkan kesusahannya dengan memberi isyarat (saranan), pendapat, dan bimbingan petunjuk.”

وأما الستر المندوب إليه هنا فالمراد به الستر على ذوي الهيئات ونحوهم ممن ليس هو معروفا بالاذى والفساد فأما المعروف بذلك فيستحب أن لا يستر عليه بل ترفع قضيته إلى ولي الامر إن لم يخف من ذلك مفسدة لان الستر على هذا يطمعه في الايذاء والفساد وانتهاك الحرمات وجسارة غيره على مثل فعله هذا كله في ستر معصية وقعت وانقضت

“Adapun menutupi aib yang mandub (yang dituntut atau dianjurkan) padanya di sini, maksudnya adalah menutupi ‘aib orang-orang yang memiliki kedudukan tertentu dan seumpamanya dari kalangan mereka yang tidak dikenal membahayakan dan berbuat kerosakan, maka yang seperti ini disukai agar ditutupi kesilapan dan ketergelincirannya. Adapun yang dimaklumi terkenal dengan sifat membahayakan dan berbuat kerosakan, maka tidak boleh ditutupi kesalahan dan kemelampauannya, bahkan harus dilaporkan ke pihak berkuasa dari kalangan ulil amr, selagi mana tidak dibimbangi menimbulkan kerosakan yang lain, kerana menutupi kesalahan-kesalahan seperti ini boleh menyebabkan pelbagai bahaya, kerosakan, pelanggaran keharaman, dan hal-hal buruk lainnya yang semisal. Semua ini berkaitan dengan kemaksiatan yang telah dilakukannya.”

أما معصية رآه عليها وهو بعد متلبس بها فتجب المبادرة بانكارها عليه ومنعه منها على من قدر على ذلك ولا يحل تأخيرها فان عجز لزمه رفعها إلى ولي الامر اذا لم تترتب على ذلك مفسدة

“Adapun maksiat yang sedang dilihatnya (atau sedang berlaku), maka wajib dia mencegahnya dengan mengingkarinya dan melarangnya dari melakukannya bersesuaian dengan kadar kemampuannya, dan tidak boleh baginya menundanya, kerana jika seseorang tidak mampu mencegahnya, maka dia wajib melaporkannya kepada pihak berkuasa kerana dibimbangi kerosakan akan menjadi lebih besar.”

وأما جرح الرواة والشهود والأمناء على الصدقات والاوقاف والايتام ونحوهم فيجب جرحهم عند الحاجة ولا يحل الستر عليهم اذا رأى منهم ما يقدح في أهليتهم وليس هذا من الغيبة المحرمة بل من النصيحة الواجبة وهذا مجمع عليه قال العلماء في القسم الاول الذي يستر فيه هذا الستر مندوب فلو رفعه إلى السلطان ونحوه لم يأثم بالاجماع لكن هذا خلاف الاولى وقد يكون في بعض صوره ما هو مكروه والله اعلم

“Adapun jarh (penjelasan kelemahan) para perawi hadis, jarh pada orang-orang yang menjadi saksi, dan orang-orang yang diberi tugas mengelola (harta) sedekah (zakat), wakaf, anak-anak yatim, dan yang seumpama dengan mereka, maka wajib menjelaskan kelemahan-kelemahan mereka bersesuaian dengan apa yang diperlukan dan tidak boleh menutupi ‘aib-‘aib mereka apabila telah terlihat dari mereka yang mereka memang memiliki kelemahan-kelemahan dan kesalahan tertentu yang menodai kelayakan mereka, dan ini tidaklah termasuk dalam perbuatan ghibah (mengumpat) yang diharamkan, bahkan ia sebahagian dari bentuk nasihat (menginginkan kebaikan) yang diwajibkan, dan ini adalah perkara yang telah disepakati atasnya.

Para ulama berkata tentang kelompok pertama yang ‘aibnya wajar ditutupi, penutupan ‘aib ini merupakan suatu hal yang dianjurkan, tetapi jika seseorang melaporkannya kepada sultan dan seumpamanya (dari kalangan pihak berkuasa yang berautoriti), maka orang yang melaporkannya tersebut tidaklah berdosa berdasarkan ijma’ para ulama.

Hanya Cuma, ianya menyelisihi sikap yang lebih utama, yakni tidak melaporkannya, sebaliknya hendaklah menutupi ‘aibnya. Adakalanya pada sebahagian keadaan, perbuatan melaporkan ‘aib tersebut kepada pihak berkuasa adalah termasuk yang tidak disukai (dimakruhkan). Wallaahu a’lam.” (Syarh Shahih Muslim, 16/135)

Wallaahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest