Belajar Tauhid 1 » Memahami Makna Aqidah dan Keutamaannya

Syaikh Dr. Soleh bin Fauzan Al-Fauzan hafidzahullah
www.ilmusunnah.com

Aqidah Secara Etimologi

Aqidah berasal dari kata ‘aqd yang membawa maksud pengikatan (i’tikad). اعتقدت كذا Membawa maksud: “Saya beriqtiqad begini”. Maksudnya, saya mengikat hati terhadap hal tersebut. Aqidah adalah apa yang diyakini oleh seseorang. Jika dikatakan, “Dia mempunyai aqidah yang benar,” ini membawa pengertian bahawa aqidahnya adalah bebas dari keragu-raguan.

Aqidah adalah perbuatan hati, iaitu kepercayaan hati, dan pembenarannya kepada sesuatu.

Definisi Aqidah Secara Syara’

Iaitu iman kepada Allah, para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para Rasul-Nya, dan kepada Hari akhirat serta Qadar yang baik mahupun yang buruk. Hal ini juga disebut sebagai rukun iman.

Syari’at terbahagi kepada dua bahagian:

1 – I’tiqadiyah, dan

2 – Amaliyah

I’tiqadiyah adalah perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan tatacara amal. Seperti iqtiqad (kepercayaan) terhadap Rububiyah Allah dan kewajiban beribadah kepada-Nya, juga beriqtiqad terhadap rukun-rukun iman yang lain. Hal ini disebut ashliyah (dasar agama). (Lihat: Syarah ‘Aqidah Safariniyah, 1/4)

Manakala amaliyah adalah segala perkara yang berkaitan dengan tata cara amal. Seperti solat, zakat, puasa, dan seluruh hukum-hukum amaliyah. Bahagian ini disebut far’iyah (cabang agama), kerana ia dibina di atas i’tiqadiyah. Kebenaran atau rosaknya amaliyah bergantung kepada sama ada kesahihan i’tiqadiyah atau rosaknya i’tiqadiyah.

Maka aqidah yang benar adalah merupakan asas bagi pembinaan agama serta merupakan syarat sahnya amalan. Sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala berikut:

فَمَنْ كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا

“Maka sesiapa yang mengharap pertemuan dengan Rabb-nya, maka hendaklah dia melaksanakan amal yang soleh dan janganlah mensyirikkan Allah dengan sesuatu apa pun di dalam ibadahnya.”. (Surah al-Kahfi, 18: 110)

وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepada engkau dan kepada (nabi-nabi) yang sebelum engkau, “Jika engkau mensyirikkan Allah, nescaya akan terhapuslah amal-amal engkau dan tentulah engkau termasuk ke dalam golongan orang-orang yang rugi.” (Surah az-Zumar, 39: 65)

إِنَّا أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ فَاعْبُدِ اللَّهَ مُخْلِصًا لَهُ الدِّينَ. أَلَا لِلَّهِ الدِّينُ الْخَالِصُ

“Sesungguhnya Kami turunkan kepada engkau kitab dengan kebenaran. Maka sembahlah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya. Ingatlah, hanya kepunyaan Allah-lah agama yang bersih (dari syirik).” (Surah az-Zumar, 39: 2-3)

Ayat-ayat di atas dan yang seumpamanya, yang jumlahnya amat banyak, menunjukkan bahawa segala amalan yang dikerjakan tidak akan diterima jika tidak dibersihkan dari perbuatan syirik. Kerana itulah fokus yang menjadi keutamaan Nabi Shallahu ‘alaihi wa Sallam dalam dakwah yang beliau sampaikan adalah perkara-perkara berkaitan pemulihan dan pemurnian aqidah. Dan merupakan hal yang paling utama dan pertama yang di-dakwahkan oleh para rasul kepada setiap umatnya adalah mengabdikan diri kepada Allah semata-mata dan meninggalkan segala yang dituhankan selain Dia. Sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala berikut:

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus rasul pada setiap umat (supaya menyerukan), “Sembahlah Allah (sahaja), dan jauhilah Thaghut itu”.” (Surah an-Nahl, 16: 36)

Adalah setiap rasul itu sentiasa mengucapkan pada awal dakwahnya:

يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ

“Wahai kaumku sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada tuhan bagimu melainkan Dia.” (al-A’raaf, 7: 59, 65, 73, 85)

Pernyataan tersebut diucapkan oleh Nabi Nuh, Hud, Sholeh, Syu’aib, dan seluruh rasul ‘alaihimus salam. Dan selama 13 tahun baginda Nabi Shallahu ‘alaihi wa Sallam di Makkah sesudah bi’tsah (kerasulannya), baginda mengajak manusia kepada tauhid dan pemurnian aqidah, kerana hal itu merupakan landasan (asas) pembangunan (binaan) Islam. Para da’i dan para pemurni agama dalam setiap masa telah mengikuti jejak para rasul dalam manhaj dakwah mereka ini. Iaitu mereka memulakan dakwah mereka bermula dari asas ketauhidan dan penerapan aqidah yang sahih, dan kemudiannya barulah mereka mengajak kepada seluruh perintah-perintah agama yang lain.

Pengambilan Aqidah Berdasarkan Manhaj Ahli Sunnah wal-Jama’ah

Aqidah adalah suatu yang tauqifiyah (tidak diambil melainkan ada dalilnya). Ini bermakna ia tidak boleh ditetapkan kecuali dengan dalil-dalil yang syar’i, tidak ada ruang ijtihad dan pendapat di dalam-nya. Ini adalah kerana sumber-sumbernya yang hanya terbatas kepada apa yang ada di dalam al-Qur’an dan as-Sunnah. Sebab tiada seorang pun yang lebih mengetahui tentang Allah, tentang sebarang apa yang wajib bagi-Nya dan apa yang wajib disucikan dari-Nya melainkan Allah sendirilah yang sedia mengetahui. Dan tidak seorang pun sesudah Allah yang lebih mengetahui tentang Allah selain Rasulullah Shallahu ‘alaihi wa Sallam.

Oleh yang demikian, manhaj ahli sunnah wal-jama’ah dan para pengikutnya dalam mengambil aqidah adalah terbatas kepada al-Qur’an dan as-Sunnah.

Dengan itu segala apa yang ditunjukkan oleh al-Qur’an dan as-Sunnah berkenaan hak Allah, mereka pasti mengimaninya, meyakininya, dan mengamalkannya. Sedangkan apa yang tidak ditunjukkan oleh al-Qur’an dan as-Sunnah mereka menolak dan menafikannya dari Allah. Kerana itu tidak ada pertentangan di antara mereka di dalam i’tiqad. Bahkan aqidah mereka adalah satu dan jama’ah mereka juga satu. Kerana Allah sudah menjamin orang yang berpegang teguh dengan al-Qur’an dan Sunnah Rasul-Nya dengan kesatuan kata, kebenaran aqidah, dan kesatuan manhaj (dasar prinsip). Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai,…” (Surah Ali Imran, 3: 103)

فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُمْ مِنِّي هُدًى فَمَنِ اتَّبَعَ هُدَايَ فَلَا يَضِلُّ وَلَا يَشْقَى

“Maka jika datang kepadamu petunjuk daripada-Ku, maka siapa yang mengikuti petunjuk-Ku, dia tidak akan sesat dan tidak akan celaka.” (Surah Thoha, 20: 123)

Kerana itulah mereka dinamakan sebagai al-firqatun najiyah (golongan yang selamat). Kerana Rasulullah Shallahu ‘alaihi wa Sallam telak mengakui bahawa merekalah yang selamat, ketika mana beliau Shallahu ‘alaihi wa Sallam menyatakan bahawa umat ini akan berpecah menjadi 73 golongan yang mana kesemuanya diancam ke neraka, kecuali satu golongan. Ketika ditanya berkenaan golongan yang satu tersebut, beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjawab:

مَا أَنَا عَلَيْهِ الْيَوْمَ وَأَصْحَابِي

“Mereka adalah orang yang berada di atas ajaran yang sama dengan ajaranku pada hari ini dan para sahabatku.”

Kebenaran sabda baginda Rasulullah Shallahu ‘alaihi wa Sallam tersebut telah terbukti ketika sebahagian manusia membina aqidah dan manhaj mereka di atas selain kitab Allah dan sunnah yang sahih, iaitu dengan mengambil landasan ilmu kalam (mantiq dan aqal) yang diwarisi dari falsafah Yunani dan Romawi. Maka atas sebab itulah, terjadinya pelbagai penyimpangan dan perpecahan dalam persoalan aqidah yang mana seterusnya mengakibatkan pecahnya umat dan retaknya masyarakat Islam kepada pelbagai jenis firqah (kelompok ideologi).

Faktor Utama Penyimpangan Aqidah dan Cara Mengatasinya

Penyimpangan dan penyelewengan aqidah dari landasan yang benar adalah merupakan suatu detik bermulanya kehancuran dan kesesatan. Kerana aqidah yang benar adalah merupakan pembimbing dan syarat yang paling penting bagi perlaksanaan amal yang berguna.

Tanpa pegangan aqidah yang benar, seseorang akan menjadi mangsa kepada beberapa syubhat dan keraguan yang akhirnya akan menjadi penghalang dari melihat jalan hidup yang diredhai, yang bahagia, sehingga perjalanan hidupnya terasa begitu sempit dan payah lalu hadirnya suatu naluri agar ingin dibebaskan dari pelbagai perasaan yang menghimpit tersebut akibat gagal memahami ruh agama ini dengan baik. Mungkin juga akibat terlalu tertekan dengan pelbagai permasalahan, membawa dia keluar dari norma-norma tabi’i sehingga sanggup untuk membunuh diri dan melakukan perkara-perkara yang tidak baik lantaran gagal memahami agama dari dasarnya yang sebenar.

Ini banyak berlaku dalam kalangan masyarakat kita yang mana hidupnya jauh dari hidayah serta pedoman agama. Apabila datangnya pelbagai masalah yang menekan, dirinya mula menjadi serabut dan tidak keruan. Masyarakat yang tidak dipimpin oleh aqidah yang benar adalah merupakan masyarakat bahimi (haiwani), tidak memiliki prinsip-prinsip hidup yang sejahtera, sekalipun mereka bergelumang dengan harta kekayaan namun, mereka sering terjerumus ke lembah sengsara, sebagaimana yang banyak kita saksikan pada era masyarakat jahiliyyah sebelum kedatangan Muhammad Shallahu ‘alaihi wa Sallam. Harus difahami bahawa setiap kekayaan sangat memerlukan kepada taujih (disiplin dan perancangan) dalam penggunaannya, dan tidak ada pemberi tata cara disiplin yang tepat kecuali atas jalan landasan aqidah yang sahih.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ

“Wahai para Rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang soleh. Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Mukminun, 23: 51)

وَلَقَدْ آتَيْنَا دَاوُودَ مِنَّا فَضْلًا يَا جِبَالُ أَوِّبِي مَعَهُ وَالطَّيْرَ وَأَلَنَّا لَهُ الْحَدِيدَ. أَنِ اعْمَلْ سَابِغَاتٍ وَقَدِّرْ فِي السَّرْدِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

“Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Daud kurniaan dari Kami. (Kami berfirman), “Wahai gunung-gunung dan burung-burung, bertasbihlah berulang-ulang bersama Daud”, dan Kami telah melunakkan besi untuknya, (iaitu) buatlah baju besi yang besar-besar dan ukurlah anyamannya; dan kerjakanlah amalan yang soleh. Sesungguhnya Aku melihat apa yang kamu kerjakan.” (Surah Saba’, 34: 10-11)

Dengan itu, jelaslah bahawa kekuatan aqidah tidak seharusnya terpisah dari kekuatan madiyah (kebendaan). Jika hal tersebut diraih dan dikerjakan atas landasan aqidah yang salah, maka kekuatan yang lahir dari hasil kebendaan serta kekayaan pasti akan berubah menjadi suatu sarana yang merosakkan dan bertukar menjadi agen penghancur, sebagaimana yang dapat kita lihat banyak terjadi di negara-negara kafir yang memiliki harta kekayaan dan kekuatan kebendaan namun berpegang dengan aqidah yang batil.

Sebagaimana kita ketahui, setiap perkara yang berlaku pasti memiliki sebab-sebab yang tertentu. Begitu juga penyimpangan aqidah yang terjadi di sekeliling kita, turut memiliki faktor-faktor yang dapat kita lihat. Antara faktor-faktor tersebut yang wajib kita fahami dan ketahui adalah:

1 – Kejahilan terhadap aqidah yang sahih. Ini berlaku adalah atas sebab tidak mahu mempelajari serta mendalami ilmu aqidah itu sendiri. Kurangnya inisitif untuk menyebarkan aqidah yang benar ke dalam diri setiap masyarakat yang ada. Ramai yang sengaja menjauhkan diri (berlepas diri) daripada mempelajari aqidah yang tulen ini. Sehingga tumbuhlah generasi yang tidak mengenal aqidah yang sahih dan juga tidak mengetahui yang haq atau batil. Akibatnya mereka meyakini yang haq sebagai sesuatu yang batil dan yang batil dianggap sebagai yang haq. Sebagaimana yang pernah dinyatakan oleh ‘Umar radhiyallahu ‘anhu:

إنَّمَا تُنْقَضُ عُرَى الْإِسْلَامِ عُرْوَةً عُرْوَةً إذَا نَشَأَ فِي الْإِسْلَامِ مَنْ لَمْ يَعْرِفْ الْجَاهِلِيَّةَ

“Sesungguhnya ikatan Islam akan pudar satu demi satu, manakala di dalam Islam terdapat orang yang tumbuh tanpa mengenal kejahilan.” (Majmu’ al-Fatawa, 10/301)

2 – Faktor yang kedua adalah kerana Ta’ashub (taksub/fanatik) kepada sesuatu yang diwarisi dari kelompok-kelompok, ibu bapa mereka, nenek-moyang mereka, atau orang-orang tua mereka, sekalipun hal itu jelas kebatilannya, sehingga dengan begitu sahaja mencampakkan apa sahaja yang menyalahi kepercayaan mereka sekalipun hal itu benar. Sebagaimana yang difirmankan Allah Subhanahu wa Ta’ala:

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ اتَّبِعُوا مَا أَنْزَلَ اللَّهُ قَالُوا بَلْ نَتَّبِعُ مَا أَلْفَيْنَا عَلَيْهِ آبَاءَنَا أَوَلَوْ كَانَ آبَاؤُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ شَيْئًا وَلَا يَهْتَدُونَ

“Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Ikutilah apa yang telah diturunkan oleh Allah.” Mereka menjawab: “(Tidak), bahkan Kami (hanya) mengikuti apa yang kami dapati dari apa-apa yang nenek-moyang kami amalkannya.” Patutkah (mereka mengikutinya) sekalipun nenek-moyang mereka itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara agama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?” (Surah al-Baqarah, 2: 170)

3 – Taqilid buta, dengan mengambil pendapat manusia dalam masalah aqidah tanpa mengetahui dalilnya dan tanpa menyelidiki sejauh mana kebenarannya. Sebagaimana yang terjadi terhadap golongan-golongan seperti Muktazilah, Jahmiyah, dan lain-lainnya. Mereka bertaqlid kepada orang-orang sebelum mereka dari para imam yang sesat, sehingga mereka juga mengikuti kesesatan imam ikutan mereka itu dan menyimpang jauh dari aqidah yang sebenar.

4 – Ghuluw (berlebih-lebihan) dalam mencintai para wali, para imam, dan orang-orang soleh, serta mengangkat mereka di atas darjat yang melebihi kewajaran, sehingga meyakini pada diri mereka sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan kecuali oleh Allah, sama ada dengan mempercayai bahawa ia mampu mendatangkan kemanfaatan mahupun menolak kemudharatan. Juga menjadikan para wali itu sebagai perantara Allah dengan makhluk-Nya, sehingga sampai pada kedudukan menyembah para wali tersebut dan bukan menyembah Allah. Malah ada di antara mereka yang bertaqarrub (beribadah) kepada kubur para wali dengan membawa haiwan yang dikorbankan, nadzar, doa-doa, istighatsah, dan dengan membawa hajat-hajat yang tertentu. Sebagaimana yang terjadi kepada kaum Nabi Nuh ‘alaihis salam:

وَقَالُوا لَا تَذَرُنَّ آلِهَتَكُمْ وَلَا تَذَرُنَّ وَدًّا وَلَا سُوَاعًا وَلَا يَغُوثَ وَيَعُوقَ وَنَسْرًا

“Dan (Ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: “Janganlah kamu tinggalkan (penyembahan terhadap) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, Suwaa’, dan Yaghuts, dan Ya’uuq, serta Nasr.” (Surah Nuh, 71: 23)

Wadd, Suwaa’, Yaghuts, dan Nasr adalah nama berhala-berhala yang terbesar pada kabilah-kabilah kaum Nabi Nuh, yang pada asalnya adalah dari nama orang-orang soleh.

Dan begitulah yang banyak berlaku terhadap kelompok-kelompok manusia yang mendewa-dewakan kuburan di pelbagai negeri pada zaman ini.

5 – Ghaflah (lalai) dari menghayati ayat-ayat Allah yang terhampar di jagat raya ini (ayat-ayat kauniyah) dan ayat-ayat Allah yang terdapat dalam Kitab-Nya (ayat-ayat Qur’aniyah).

Di samping itu, tidak kurang yang lalai terbuai dengan hasil-hasil teknologi dan kebudayaan, sehingga mengira bahawa itu semua adalah hasil ciptaan manusia semata-mata, sehingga mereka mengagung-agungkan manusia serta menisbatkan seluruh kemajuan ini kepada jerih payah dan penemuan manusia semata-mata. Sebagaimana kesombongan Qarun yang mengatakan:

قَالَ إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَى عِلْمٍ عِنْدِي

“Sesungguhnya aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku”. (Surah al-Qashash, 28: 78)

Dan sebagaimana perkataan orang lain yang juga sombong:

وَلَئِنْ أَذَقْنَاهُ رَحْمَةً مِنَّا مِنْ بَعْدِ ضَرَّاءَ مَسَّتْهُ لَيَقُولَنَّ هَذَا لِي وَمَا أَظُنُّ السَّاعَةَ قَائِمَةً وَلَئِنْ رُجِعْتُ إِلَى رَبِّي إِنَّ لِي عِنْدَهُ لَلْحُسْنَى فَلَنُنَبِّئَنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِمَا عَمِلُوا وَلَنُذِيقَنَّهُمْ مِنْ عَذَابٍ غَلِيظٍ

“Dan Demi sesungguhnya! jika Kami beri dia merasai sesuatu rahmat dari Kami sebaik setelah ia ditimpa suatu kesusahan, berkatalah ia (dengan sikap tidak bersyukur): “Ini ialah hakku (hasil usahaku semata-mata), dan aku tidak fikir bahawa hari kiamat akan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sekalipun), sudah tentu aku akan beroleh kebaikan di sisi-Nya (seperti kesenanganku sekarang ini)!” Maka Demi sesungguhnya! Kami akan memberi tahu kepada orang-orang yang kufur ingkar itu akan keburukan apa yang telah mereka kerjakan, dan Kami akan beri mereka merasai azab siksa yang seberat-beratnya.” (Surah Fushilat, 41: 50)

فَإِذَا مَسَّ الْإِنْسَانَ ضُرٌّ دَعَانَا ثُمَّ إِذَا خَوَّلْنَاهُ نِعْمَةً مِنَّا قَالَ إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَى عِلْمٍ بَلْ هِيَ فِتْنَةٌ وَلَكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

“Maka apabila manusia disentuh suatu bahaya, ia pun berdoa kepada Kami; kemudian apabila Kami berikan kepadanya suatu nikmat (sebagai kurniaan) dari Kami, berkatalah ia (dengan sombongnya): “Aku diberikan nikmat ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku.” (Tidaklah benar apa yang dikatakannya itu) sebaliknya nikmat tersebut adalah fitnah (ujian: sama ada ia bersyukur atau sebaliknya), akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.” (Surah az-Zumar: 49)

Mereka tidak berfikir dan tidak pula melihat ke-Agungan Tuhan yang telah menciptakan alam ini dan yang telah memperlihatkan pelbagai bentuk keistimewaan di dalam-nya. Juga yang telah menciptakan manusia lengkap dengan bekalan maklumat dan kemampuan yang berguna untuk mengkaji keistimewaan-keistimewaan alam serta mengaplikasikannya demi kepentingan manusia.

Allah Ta’ala berfirman:

وَاللَّهُ خَلَقَكُمْ وَمَا تَعْمَلُونَ

“Dan Allah-lah yang mencipta kamu serta benda-benda yang kamu buat itu!” (surah as-Shaffat, 37: 96)

أَوَلَمْ يَنْظُرُوا فِي مَلَكُوتِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَمَا خَلَقَ اللَّهُ مِنْ شَيْءٍ وَأَنْ عَسَى أَنْ يَكُونَ قَدِ اقْتَرَبَ أَجَلُهُمْ فَبِأَيِّ حَدِيثٍ بَعْدَهُ يُؤْمِنُونَ

“Dan adakah mereka tidak memperhatikan kerajaan langit dan bumi dan segala sesuatu yang diciptakan Allah, dan kemungkinan telah dekatnya kebinasaan mereka? Maka kepada berita manakah lagi yang mereka akan beriman setelah al-Qur’an itu?” (Surah al-A’raaf, 7: 185)

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَأَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرَاتِ رِزْقًا لَكُمْ وَسَخَّرَ لَكُمُ الْفُلْكَ لِتَجْرِيَ فِي الْبَحْرِ بِأَمْرِهِ وَسَخَّرَ لَكُمُ الْأَنْهَارَ. وَسَخَّرَ لَكُمُ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ دَائِبَيْنِ وَسَخَّرَ لَكُمُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ. وَآتَاكُمْ مِنْ كُلِّ مَا سَأَلْتُمُوهُ وَإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَتَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا إِنَّ الْإِنْسَانَ لَظَلُومٌ كَفَّارٌ

“Allah-lah yang telah menciptakan langit dan bumi dan menurunkan air hujan dari langit, kemudian Dia mengeluarkan dengan air hujan itu pelbagai buah-buahan menjadi rezeki untukmu; dan Dia telah menundukkan bahtera bagimu supaya bahtera itu berlayar di lautan dengan kehendak-Nya, dan Dia telah menundukkan (pula) bagimu sungai-sungai. Dan Dia telah menundukkan (pula) bagimu matahari dan bulan yang terus menerus beredar (dalam orbitnya); dan telah menundukkan bagimu malam dan siang. Dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dan segala apa yang kamu mohon kepadanya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghitungnya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah).” (Surah Ibrahim, 14: 32-34)

6 – Secara umumnya rumah tangga dan institusi kekeluargaan sekarang ini kosong dari pengisian dan pendidikan yang benar menurut Islam. Padahal baginda Rasulullah Shallahu ‘alaihi wa Sallam telah bersabada:

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ، أَوْ يُنَصِّرَانِهِ، أَوْ يُمَجِّسَانِهِ

“Setiap bayi itu dilahirkan atas dasar fitrah (Islam). Maka kedua orang tuanyalah yang (kemudian) menjadikannya Yahudi, Nasrani, atau Majusi.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Jadi, di sini jelas bahawa orang tua atau ahli keluarga perlu memainkan peranan dalam hal-hal pendidikan anak-anak mereka kepada akidah yang benar.

7 – Sikap enggan media-media penyiaran melaksanakan tugasnya. Sistem pendidikan di jabatan-jabatan pendidikan juga tidak menerapkan perihal pendidikan yang berkaitan dengan aqidah yang sebenar. Malahan, media maklumat sama ada media cetak atau elektronik berubah menjadi sarana penghancur dan perosak, atau paling tidak mereka hanya memfokuskan terhadap perkara-perakara yang bersifat materialistik dan hiburan semata-mata. Tidak memerhatikan perkara-perkara yang dapat memperbaiki moral dan menanamkan aqidah serta menangkis aliran-aliran sesat. Dari sini, muncullah generasi yang telanjang tanpa asas pertahanan (iman), dan tidak mampu untuk berhadapan dengan pasukan kekufuran yang lengkap persenjataannya.

Beberapa Langkah Mengatasi Penyimpangan Aqidah

1 – Kembali kepada Kitabullah dan Sunnah Rasulullah Shallahu ‘alaihi wa Sallam untuk mengambil aqidah yang sahih. Dan mengambilnya sebagaimana para salafus soleh mengambilnya. Ini kerana tidak akan menjadi baik umat ini, melainkan kembali kepada apa yang menjadikan umat yang terdahulu itu baik. Sentiasa berusaha mempelajari aqidah yang benar dan mampu membezakan fahaman aliran yang menyimpang. Juga mengambil inisiatif mengkaji pelbagai aliran pemikiran yang menyimpang berserta syubhat-syubhat yang muncul supaya dapat dibantah dan dikawal. Ini adalah kerana sesiapa yang tidak mengenali keburukan, dikhuwatiri dia akan terhumban ke dalamnya.

2 – Memberi perhatian kepada pengajian-pengajian aqidah yang benar sumbernya, iaitu sebagaimana aqidah yang dipegang oleh para salaf soleh (golongan terdahulu yang terbaik), di pelbagai lapangan pendidikan. Memberi ruang pengajian yang baik serta mengadakan pengawalan yang ketat dalam menyediakan sumber-sumber rujukan untuk ini.

3 – Bahan-bahan pengajian berserta kitab-kitab mestilah ditetapkan berdasarkan sumber-sumber para ulama salaf yang bersih (dari penyimpangan) sebagai wadah (bahan) pengajian. Manakala kitab-kitab dan sumber-sumber dari kelompok yang menyeleweng haruslah dijauhkan.

4 – Menyebarkan para da’i yang berupaya membersihkan dan memurnikan aqidah umat Islam dengan mengajarkan aqidah para salaf serta menjawab dan menolak seluruh aqidah yang batil dan mungkar.

Teruskan dengan perbahasan berikutnya >> Tauhid Rububiyyah.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest

Comments

  1. Zul
    December 15, 2009 at 5:58 pm

    Tauhid 3 serangkai : Antara kebenaran dan kepalsuan : Yang mana satu?
    84. Tanyakanlah (Wahai Muhammad): "Kepunyaan siapakah bumi ini dan Segala Yang ada padanya, kalau kamu mengetahui?"
    85. Mereka akan menjawab: "Kepunyaan Allah". katakanlah: "Mengapa kamu tidak mahu ingat (dan insaf)?"
    86. Tanyakanlah lagi: "Siapakah Tuhan Yang memiliki dan mentadbirkan langit Yang tujuh, dan Tuhan Yang mempunyai Arasy Yang besar?"
    87. Mereka akan menjawab: "(Semuanya) kepunyaan Allah". katakanlah: "Mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?"
    88. Tanyakanlah lagi: siapakah Yang memegang Kuasa pemerintahan tiap-tiap sesuatu, serta ia dapat melindungi (segala-galanya) dan tidak ada sesuatupun Yang dapat disembunyi daripada kekuasaannya? (Jawablah) jika kamu mengetahui!"
    89. Mereka akan menjawab: "(Segala-galanya) dikuasai Allah". katakanlah: "Jika demikian, Bagaimana kamu tertarik hati kepada perkara Yang tidak benar?"
    90. (bukanlah sebagaimana tuduhan mereka) bahkan Kami telah membawa kepada mereka keterangan Yang benar, dan Sesungguhnya mereka adalah berdusta.
    91. Allah tidak sekali-kali mempunyai anak, dan tidak ada sama sekali sebarang Tuhan bersamaNya; (Kalaulah ada banyak Tuhan) tentulah tiap-tiap Tuhan itu akan Menguasai dan menguruskan Segala Yang diciptakannya Dengan bersendirian, dan tentulah setengahnya akan bertindak mengalahkan setengahnya Yang lain. Maha suci Allah dari apa Yang dikatakan oleh mereka (yang musyrik) itu.

    Rujuk kepada orang nasrani : Mereka mengaku Tuhan mereka bernama Allah, Tetapi tidak Tauhid kepada Allah.

    Nyatalah : Jalan tauhid itu satu jalan jua. "Mengesakan Allah Taala"

  2. Zarina Ismawi
    July 17, 2011 at 4:13 pm

    Assalammualaikumwarahmatullah…sudah lama ana mencari blog yg menekankan perkara berkaitan tauhid.Alhamdulillah…ana terjumpa juga di sini..
    ana rasa, memang wajib kita umat islam mempelajari, memahami dan mempraktikkan perkara Tauhid ni, sebab ianya asas kepada pegangan kita..Memiliki akidah yang kuat seperti akar pokok yang kuat mencengkam tanah, walau dilanda badai dan ribut, ia tetap berdiri kukuh…
    ana mohon copy ya utk berkongsi dgn teman-teman..
    a'aala kulli hal, syukran jazilan akhy, sbb mengetengahkan perkara ni..
    Jazakallahu khoiran…

Comments are closed.