Memahami Maksud Sya’ir, Nyanyian, dan Muzik

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

————————–
Muqaddimah
————————–

Muzik dan Penyakit Dibawanya

Islam adalah agama fitrah yang bersesuaian dengan fitrah manusia itu sendiri. Islam tidak pernah menafikan fitrah dan kehendak atau keinginan manusia untuk bergembira, tertawa, tersenyum, merasa suka, riang, dan bermain. Berbeza dengan makhluk Allah yang bernama malaikat. Seluruh waktu malaikat itu digunakan sepenuhnya hanya untuk melaksanakan ketaatan dan bertasbih kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala tanpa merasa penat dan tanpa henti.

Terdapat begitu banyak bentuk permainan dan hiburan yang dibenarkan syari’at yang diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada manusia untuk bergembira. Ini adalah seperti bersukan lumba lari, memanah, berenang, berkuda, keluar berburu, dan seumpamanya. Perkara ini di samping berbentuk permainan yang menghiburkan, ia juga memiliki nilai latihan membina kekuatan dalam peperangan di medan jihad.

Malah sebenarnya banyak lagi bentuk-bentuk berhibur yang lainnya, iaitu apa sahaja yang tidak menyalahi syar’iat apabila kita melakukannya akan membuatkan kita rasa terhibur, maka itu juga termasuk hiburan yang dibolehkan.

Di samping adanya bentuk-bentuk hiburan yang dibenarkan dalam syari’at Islam, ada juga beberapa bentuk hiburan atau permainan yang dilarang, dibenci, dan diharamkan kerana bertentangan dengan fitrah manusia, sebaliknya merosakkan fitrah manusia itu sendiri. Di antara yang dimaksudkan adalah nanyian dan bermain alat-alat muzik.

Untuk perincian, penjelasan, meluruskan, dan meletakkan persoalan muzik ini secara adil, kita perlu melihat bentuk-bentuk penjelasan yang dikemukakan oleh Al-Qur’an, As-Sunnah, dan tafsiran para ulama Ahlus Sunnah wal-Jama’ah generasi awal Islam. Kita perlu melihat bagaimana para ulama awal Islam berinteraksi dengan muzik ini.

Bagi mereka yang berusaha menela’ah kitab-kitab dan perkataan para ulama salaf (generasi awal Islam), mereka tentu akan menemui perkataan-perkataan yang tegas dan keras yang menunjukkan kebencian mereka terhadap muzik. Bahkan boleh ditemui fatwa-fatwa mereka yang menyebutkan ijma’ (kesepakatan) berkenaan haramnya muzik. Namun, disebabkan keadaan manusia yang telah begitu banyak berubah mengikuti arus masa dan suasana, mungkin fatwa-fatwa tersebut hanya tinggal dalam lipatan kertas dan sejarah. Kebanyakan umat Islam mungkin lebih seronok dengan keasyikkan alat-alat muzik dan buaian candu kemerduan nyanyian yang memukau. Sehingga mereka menjadi ketagih dengannya. Menjadi tidak keruan tanpa kehadiran bunyi alunan muzik, sama ada di rumah, pusat-pusat pendidikan (universiti), pusat membeli-belah, tempat kerja (atau pejabat), kenderaan, dan sebagainya. Bahkan sehingga ada yang telinga-telinga mereka sentiasa disumbatkan dengan alat-alat pemain muzik saban waktu ke sana dan ke mari. Sambil menggoyang-goyang kepala dan memukul-mukul tangan. Sampai mahu berdzikir kepada Allah pun dengan diiringi muzik. Subhanallaah…

Lebih disayangkan lagi dukacita apabila para guru, tok-tok imam masjid, para ustaz, tok-tok guru, sehinggalah mereka yang digelar ulama setempat juga turut mendengar, memainkan, dan mengiktiraf muzik sebagai sebahagian aktiviti harian yang menyeronokkan lagi halal. Seolah-olah tiada apa-apa kesalahan yang sedang mereka lakukan. Seolah-olah mereka tidak pernah mengetahui adanya tegahan dan peringatan yang sangat keras dari para ulama generasi awal Islam, bahkan dari dalil-dalil wahyu.

Di antara contoh-contoh yang menunjukkan betapa muzik ini telah menjadi fitnah kepada agama dan masyarakat adalah:

1 – Manusia tampak semakin jauh dari syari’at Allah Subhanahu wa Ta’ala. Mereka hidup dalam keadaan pelbagai perselisihan, tonggang-terbalik, berpecah-belah dan tidak bersatu. Sehingga yang benar (al-Haq) dikatakan bathil, dan yang bathil pula dikatakan sebagai benar. Yang sunnah dikatakan bid’ah (tokok tambah dalam agama), dan yang bid’ah pula dikatakan sebagai sunnah. Manakala yang halal dikatakan sebagai haram, dan yang haram dikatakan sebagai halal. Tetapi mereka tidak sedar dengan pelbagai bentuk kelemahan yang mereka alami, sebaliknya mereka terus leka, khayal, dan hanya tahu untuk berseronok dan berhibur. Antaranya dengan nyanyian dan muzik.

2 – Sebahagian besar manusia ketika ini menjadikan muzik sebagai gaya hidup dan pekerjaan (mata pencarian). Sehingga sebahagian lainnya pula, mereka manjadikan muzik sebagai sarana untuk berdakwah dan ibadah. Manakala masyarakat yang jahil pula, hanya tahu ikut membuta tuli. Mereka berdakwah dan berbicara tentang agama sambil menyanyi dan menari. Persoalannya, adakah ini dibenarkan dalam Islam?

3 – Pelbagai bentuk persembahan dan konsert-konsert muzik diadakan di sana-sini. Industri muzik tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Pertandingan dan ujibakat menyanyi serta bermain alat muzik sudah menjadi fenomena biasa lagi ditunggu-tunggu. Para ibu dan bapa berlumba-lumba menghantar anak-anak mereka ke kelas-kelas muzik dan vokal. Sedangkan semua ini begitu jelas melalaikan kita dari amal-amal soleh mengingati Allah Subhanahu wa Ta’ala (dzikrullah). Sehingga sebenarnya budaya gila muzik ini telah bertindak menyemai benih-benih hawa nafsu dan syahwat serakah ke dalam jiwa-jiwa anak muda umat Islam tanpa disedari. Yang mana kesannya begitu buruk sekali. Bukan sahaja memberi kesan kerosakan kepada aqidah, bahkan sekaligus kepada corak hidup yang tidak berpedoman, melalaikan, bergelumang maksiat, dan melahirkan manusia berhawa nafsu haiwan lantaran mabuk ketagihan muzik. Na’uzubillahimin dzalik.

Benarlah sebagaimana kata sebahagian ulama generasi awal Islam bahawa muzik dan nyanyian itu menumbuhkan kemunafikan, merosakkan hati, dan termasuk mantera-mantera zina.

4 – Musibah dan fitnah muzik ini kian menyebar dan sukar untuk dibendung. Bahkan hampir mustahil, melainkan dengan izin Allah Subhanahu wa Ta’ala. Kepada Allah-lah kita memohon hidayah dan petunjuk. Muzik dan lagu-lagu nyanyian ini setiap hari dan hampir saban waktu dimainkan dan didendangkan tanpa mengira peringkat umur, sama ada anak-anak sehinggalah kepada golongan datuk dan nenek. Bahkan para ustaz dan pendakwah juga turut memainkannya.

Melihatkan hal seperti inilah antara yang mencetuskan hati penulis untuk menyusun dan menyiapkan sebuah tulisan berkaitan muzik ini. Agar ianya mampu menjadi kekuatan, pedoman, nasihat, dan peringatan buat diri penulis sendiri serta umat Islam secara umum dalam menjauhi fitnah-fitnah muzik yang datang bersamanya hasutan-hasutan syaitan dan mantera hawa nafsu. Semoga tulisan ini memiliki manfaat buat diri penulis dan para pembaca yang mana hanya kepada Allah-lah tempat mengharap kebaikan dan pahala.

Imam Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H) berkata:

اعلم أن للغناء خواصَّ لها تأثير في صبغ القلب بالنفاق، ونباته فيه كنبات الزرع بالماء. فمن خواصه: أنه يُلهي القلب ويصده عن فهم القرآن وتدبره، والعمل بما فيه، فإن الغناء والقرآن لا يجتمعان في القلب أبداً لما بينهما من التضاد، فإن القرآن ينهى عن اتباع الهوى، ويأمر بالعفة، ومجانبة شهوات النفوس، وأسباب الغيّ، وينهى عن اتباع خطوات الشيطان، والغناء يأمر بضد ذلك كله، ويحسنه، ويهيِّج النفوس إلى شهوات الغيّ فيثير كامنها، ويزعج قاطنها، ويحركها إلى كل قبيح، ويسوقها إلى وصْل كل مليحة ومليح، فهو والخمر رضيعا لبانٍ، وفي تهييجهما على القبائح فرسا رهان

“Ketahuilah bahawasanya muzik mampu memberikan suatu kesan yang khusus dalam menyelubungi hati dengan kemunafikan. Tumbuhnya penyakit nifaq dalam hati seperti tumbuhnya tanaman yang disirami air. Di antara kesannya adalah muzik ini mampu melalaikan dan menghalang hati dari memahami Al-Qur’an serta menghalang dari mentadabbur (menghayati) dan mengamalkan kandungannya. Kerana nyanyian dan Al-Qur’an tidak akan bertemu dalam hati selama-lamanya. Keduanya saling tidak sehaluan lagi saling bertentangan. Sesungguhnya Al-Qur’an melarang mengikuti hawa nafsu, menyuruh supaya menjaga kesucian diri, menjauhi nafsu syahwat, menjauhi sebab-sebab kesesatan dan melarang dari mengikuti langkah-langkah syaitan. Manakala muzik pula mengajak kepada perkara yang bertentangan dengannya. Ia menghiasasinya sehingga nampak menawan. Muzik mendorong jiwa kepada syahwat kesesatan dan membangkitkan kesan-kesan negatif yang tersembunyi di dalamnya, mengusik dan menggerakkannya kepada keburukan. Mengajak kepada hubungan para pemuda dan pemudi. Muzik dan minuman keras ibarat dua bayi yang menyusu kepada ibu susu yang sama. Keduanya sama-sama mengajak kepada perbuatan-perbuatan yang keji.” (Ibnul Qayyim, Ighatsatul Lahfan min Masho’idusy Syaithan, 1/249)

Perihal Muzik Masa Kini

Dunia muzik masa kini berkembang dengan sangat pesat. Dengannya telah menjadi seribu satu kepentingan, seiring dengan gaya hidup manusia masa kini yang konon menganggap amat mementingkan seni dan daya ketamadunan. Pelbagai teknologi dan peralatan telah dicipta seiring dengan keinginan muzik yang lebih kepuasan lagi luar biasa. Pelbagai genre muzik terus berevolusi dan dikehadapankan. Menjadi satu sumber pendapatan dan penjanaan kewangan serta ekonomi sejagat. Bakat-bakat baru terus dicari dan tampil ke khalayak umum. Lelaki dan wanita seiring berlumba mendapatkan tempat dan glamour.

Begitulah dunia muzik terus pesat memenuhi ruang dengan menebarkan sayap-sayapnya ke segenap sudut kehidupan manusia. Bermula dengan genre muzik kompang, instrumental, joget lambak, nasyid, muzik islami, pop yeh yeh, retro, balada, seni tradisional, hip hop, metal, rock, heavy metal, sehinggalah kepada black metak dan muzik ganas. Kini ianya tampak berjaya menembusi sehingga ke liang-liang hati manusia seluruhnya. Segenap tempat dan ruang sentiasa dan pasti dipenuhi dengan suara-suara bingit bernama muzik. Dari ruang-ruang kamar rumah, kenderaan, pejabat, pasaraya, universiti, majlis-majlis, malah sehingga ke dalam masjid-masjid mereka pun kini mula diisi dengan suara-suara nyanyian dan muzik. Tanpanya, manusia tampak lemah dan lesu. Begitulah betapa telah jayanya propaganda musuh-musuh menguasai hati-hati umat Islam dengan senjata tanpa rupa. Hanya dengan kombinasi gubahan bunyi dan suara, manusia terperangkap menjadi pencandu.

Dari itu, pernahkah kita terfikir bagaimanakah sebenarnya Islam meletakkan persoalan muzik ini? Bagaimanakah sebenarnya Islam meletakkan hukum berkaitan muzik yang semakin bermaharajalela ini? Di mana manusia semakin mabuk dan hanyut asbab kemerduan serta gemersik irama muzik dari hari ke sehari. Yang kini manusia ketagih dengannya, terasa sepi lagi sunyi tanpanya. Seakan kehidupan tanpa muzik boleh menjadikan mereka gila tak tentu hala.

Mungkinkah ini sebahagian realiti apabila kita meninggalkan Islam dalam menilai kewujudan dan perkembangan muzik tersebut. Yang dengan muzik, manusia menjadi gila, mabuk, tersihir, dan terpesona dengan pelbagai jenis syubhat dan kemaksiatan. Genderang muzik menjadi penebar semangat ke arah pelbagai gejala rosak akhlak. Genderang muzik jugalah yang mengobarkan semangat menentang hukum-hukum Allah dari tunjang utamanya yang bernama tauhid. Dengannya jarum-jarum syubhat dan perosak jiwa dimasukkan. Melalui liriknya yang merosakkan aqidah dan agama menjadi makanan yang mudah dihadam disebabkan salutan istimewanya yang begitu lazat berupa iringan muzik mempersona. Racun-racun menusuk ke dalam jiwa dan hati tanpa dirasakan sakitnya. Umat Islam tumbang longlai secebis demi secebis. Diruntuhkan nilai-nilai keislamannya dari tunjang qalbu dan lubuk jiwa tanpa sedar. Dengan senjata bernama muzik. Semakin benarlah senjata muzik ini tampak keampuhannya menyihir jiwa-jiwa umat Islam secara langsung. Jiwa-jiwa terpukau diracuni keindahan yang menipu.

Maka dari itu, tulisan ini penulis dedikasikan sebagai salah sebuah buku dari antara buku-buku yang hadir ke hadapan kita semua sebagai nasihat dan peringatan berkaitan persoalan sebenar muzik dari kaca mata Islam. Tulisan ini tampil dengan sebuah pembentangan berdasarkan dalil ayat-ayat Al-Qur’an, hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan fatwa-fatwa serta pendapat para ulama dari generasi awal umat Islam iaitu generasi para sahabat, tabi’in, dan ulama setelahnya yang berpegang teguh di atas prinsip Ahlus Sunnah wal-Jama’ah. Semoga dengannya mampu menjadi neraca ukur terhadap fenomena muzik yang semakin bermaharajalela di persada dunia manusia sejagat. Yang dengannya tampak kebanyakan umat Islam menjadi mabuk, kecanduan, dan hanyut. Tertipu dengan pelbagai alasan tempelan muzik berentak nasyid, muzik dzikir, muzik islami, lagu dakwah, dan seumpamanya. Semoga jiwa-jiwa yang sakit selama ini dek terbuai tipu daya nyanyian dan muzik dapat dirawat dan “diruqyah”. Agar diri kita tidak terus diracuni muzik berbisa penuh tipu daya. Mengubati jiwa agar kembali menekuni Al-Qur’an, As-Sunnah dan usaha-usaha mempelajarinya, sekaligus mengamalkannya dengan benar.

Abu Numair Nawawi B. Subandi,
21 Jamadil Ula 1435H (23 Mac 2014M),
Bandaraya Anggerik, Shah Alam.
www.ilmusunnah.com

————————————–
Definisi: Sya’ir dan Al-Ghinaa’
————————————–

Sya’ir yang difahami dan dikenali di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersama para sahabatnya adalah berbeza dengan al-ghinaa’ (nyanyian tanpa iringan alat muzik). Dalam masyarakat ‘Arab, sya’ir boleh merujuk kepada lantunan suara seperti Hudaa’, Nashbu, Ar-Rukbaan, dan Rojaz dengan susunan kata dan wazan sya’ir tertentu. Dalam masyarakat kita, mungkin merujuk kepada lantunan suara dengan nada biasa seperti ketika berpantun, puisi, sajak, atau nyanyian lembut (yakni yang bersahaja tanpa mengikuti susunan note-note khusus) serta tanpa alunan alat muzik.

Al-ghinaa’ (nyanyian) pula merujuk kepada lantunan suara seperti sya’ir tetapi dengan bentuk alunan suara yang dinyaringkan dan diperindahkan dengan susunan seni suara (irama) tertentu yang khusus yang berbeza dengan susunan kata atau wazan sya’ir.

Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) menyebutkan:

ويطلق الغناء (بالمد والكسر): على الترنم الذي تسميه العرب (النصب) بفتح النون وسكون المهملة

“Disebut al-ghinaa’ (dengan memanjangkan huruf nuun dan mengkasrahkan huruf ghain) adalah menyanyi dengan susunan irama (intonasi) yang dinyaringkan (disebut an-Nashab) oleh orang ‘Arab.” (Al-Hafiz Ibnu Hajar, Fathul Bari Syarah Shahih Al-Bukhari, 2/442 – Daar Al-Ma’rifah, Beirut)

Dalam Lisanul ‘Arab pula disebutkan:

أن الغناء هو كل من رفع صوته ووالاه، فصوته عند العرب غناء. والغناء من الصوت ماطرّب به

“Bahawasanya al-ghinaa’ (nyanyian) ia adalah sesiapa sahaja yang mengeraskan suaranya dan meninggikannya (menyaringkannya). Suaranya tersebut menurut orang ‘Arab disebut sebagai nyanyian (al-ghinaa’). Dan al-ghinaa’ (nyanyian) adalah suara yang memiliki dendangan irama.” (Lisanul ‘Arab, 15/135)

Syaikh Ahmad bin Hussein Al-Azhari menyebutkan:

الغناء هو رفع الصوت بالكلام الموزون المطرب المصاحب بالآلات غالباً، وعلى هذا فإن المتصوفة وأهل الغناء متفقون على الظاهر، غير أنهم يختلفون من جهة الباطن، وهو كون سماع الغناء عند المتصوفة يكون بطريقة التعبد والتقرب إلى الله تعالى

وعلى هذا فإن الغناء المعروف عند العرب، ورفع الصوت وموالاته مع شيء من التطريب والتلحين ولم يكن معروفاً بضرب الكف أو القضيب أو غيرها من الآلات

“Nyanyian (al-ghinaa’) adalah mengangkat suara dengan melantunkan kata-kata yang tersusun serta berirama yang biasanya diringi dengan alat-alat muzik. Oleh sebab itu kaum sufi dan para pemuzik sepakat akan maksudnya secara zahir dan berselisih (yakni berbeza pendapat) berkenaan isinya (yakni kandungan nyanyian). Mendengar muzik bagi kaum sufi adalah merupakan salah satu cara beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala.

Berdasarkan keadaan ini, nyanyian yang dikenali dari kalangan orang-orang ‘Arab adalah mengangkat suara dan meninggikannya (menyaringkannya) dengan disertai lenggok irama dan intonasi seni suara. Pada asalnya tidak diikuti dengan tepukan tangan atau pukulan gendang atau alat-alat muzik lainnya.” (Ahmad bin Hussein Al-Azhari, An-Nuur Al-Kaasyif fii Bayaan Hukma Al-Ghinaa’ wal Ma’aazif, m/s. 4)

Syaikh Al-Albani rahimahullah (Wafat: 1420H) berkata:

فأما الأشعار التي ينشدها المغنون المتهيئون للغناء يصفون فيها المستحسنات والخمر وغير ذلك مما يحرك الطباع ويخرجها عن الاعتدال ويثير كامنها من حب اللهو وهو الغناء المعروف في هذا الزمان مثل قول الشاع

ذهبي اللون تحسب من وجنته النار تقتدح

خوفوني من فضيحته ليته وافى وأفتضح

 وقد أخرجوا لهذه الأغاني ألحانا مختلفة كلها تخرج سامعها عن حيز الاعتدال وتثير حب اللهو ولهم شيء يسمونه ( البسيط ) يزعج القلوب عن مهل ثم يأتون بالنشيد بعده فيعجعج القلوب وقد أضافوا إلى ذلك ضرب القضيب والإيقاع به على وفق الإنشاد والدف بالجلاجل والشبابة النائبة عن الزمر

“Adapun sya’ir-sya’ir yang dilantunkan oleh para penyanyi yang sememangnya memiliki kebolehan untuk bernyanyi dengan lirik-lirik yang menggambarkan pelbagai kemaksiatan, minuman keras (khamr), dan selainnya yang dapat menggerakkan jiwa dan mengeluarkannya dari keadaan yang sepatutnya, malah dapat membangkitkan kesenangan kepada nyanyian yang terpendam, yang terkenal diketahui di zaman sekarang ini dengan istilah al-ghinaa’, sebagaimana ungkapan yang dikenali daripada seorang penya’ir:

(khamr) berwarna kuning keemasan, engkau menganggap api keluar dari tepinya,

Mereka menakut-nakutkanku dari celanya, tapi sekiranya ia benar, biarkan sahaja aibku terpampang jelas.

Untuk menghiasi lagu-lagu seperti itu, mereka menciptakan irama dan nada-nada yang pelbagai jenisnya. Kesemuanya mengeluarkan para pendengarnya dari keadaan yang sepatutnya yang membangkitkan perasaan naluri cinta. Mereka memperkenalkan irama yang mereka sebut sebagai irama balada, yang dapat membangkitkan hati melalui nadanya yang perlahan, lalu kemudian mereka mengumandangkan lagu, kompang, dan gelang-gelang kaki, serta terompet yang menggantikan tempat seruling.” (Al-Albani, Tahrim Alat Ath-Tharb, m/s. 135)

Imam Abu Ishaq Asy-Syathibi rahimahullah (Wafat: 790H) menyebutkan:

لكن العرب لم يكن لها من تحسين النغمات ما يجرى مجرى ما الناس عليه اليوم بل كانوا ينشدون الشعر مطلقا من غير ان يتعلموا هذه الترجيعات التي حدثت بعدهم بل كانوا يرققون الصوت ويمططونه على وجه يليق بأمية العرب الذين لم يعرفوا صنائع الموسيقى فلم يكن فيه إلذاذ ولا إطراب لهى وإنما كان لهم شىء من النشاط كما كان الحبشة وعبد الله بن رواحة يحدوان بين يدى رسول الله صلى الله عليه وسلم

وكما كان الأنصار يقولون عند حفر الخندق

نحن الذين بايعوا محمداً

على الجهاد ما حيينا أبداً

فيجيبهم صلى الله عليه وسلم

اللهم لا خير إلا خير الأخرة

فاغفر للأنصار والمهاجرة

“Namun, orang ‘Arab generasi terdahulu tidaklah mengenal teknik alunan suara sebagaimana yang dilakukan (atau dipraktikkan) oleh manusia pada hari ini. Mereka sekadar melantunkan sya’ir secara umum tanpa mempelajari note-note muzik (atau irama suara dan bunyi) sebagaimana yang telah muncul setelah generasi mereka. Sebaliknya mereka sekadar melembutkan suara dan memanjangkannya sebagaimana kebiasaan kaum ‘Arab yang ummi yang mana mereka tidak mengetahui alunan seni suara (berdasarkan note-note muzik). Maka dari itu, tidak timbul alunan dan irama melalaikan. Yang ada hanyalah sekadar membangkitkan semangat sebagaimana ‘Abdullah bin Rawaahah melantunkan sya’irnya (Hudaa’) di hadapan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Juga sebagaimana kaum Anshar yang melantunkannya ketika menggali parit (di waktu menjelang perang Khandaq):

Kamilah yang membaiat Muhammad,

Untuk berjihad selamanya selagi kami masih hidup.

Maka Nabi Shallallahu ’alaihi wa Sallam membalas sya’ir mereka dengan (dengan sya’ir seterusnya):

Ya Allah, tidak ada kebaikan melainkan kebaikan akhirat,

Maka ampunilah kaum Anshar dan Muhajirin. (lihat: Asy-Syathibi, Al-I’tisham, 1/201)

Dalam perkara ini, terdapat perkataan tabi’in Sa’id bin Al-Musayyib rahimahullah dengan katanya:

إِنِّي لأَبْغَضُ الْغِنَاءَ، وَأُحِبُّ الرَّجَزَ

“Sesungguhnya aku benar-benar membenci nyanyian (al-ghinaa’) dan menyukai rojaz (sejenis sya’ir).” (Diriwayatkan oleh ‘Abdurrazzaq dalam Al-Mushannaf, no. 19743, 20506. Syarhus Sunnah Al-Baghawi, 12/379. Dinilai sahih oleh Al-Albani, Tahrim Alat Ath-Tharb, m/s. 101)

Al-Hafiz Ibnu ‘Abdil Barr rahimahullah (Wafat: 463H) mengatakan:

وأما الغناء الذي كرهه العلماء فهذا الغناء بتقطيع حروف الهجاء وإفساد وزن الشعر والتمطيط به طلبا للهو والطرب وخروجا عن مذاهب العرب

“Dan adapun nyanyian yang dibenci oleh para ulama, maka itu adalah nyanyian yang dilantunkan dengan cara memotong-motong huruf hijaiyah dan merosak wazan sya’ir (yakni timbangan sya’ir atau kaedah asal dalam bahasa ‘Arab), dan dengannya dipanjang-pendekkan sebutannya kerana memainkan intonasi dan mengolah suara, serta keluar pula dari kebiasaan asal orang-orang ‘Arab.” (Ibnu ‘Abdil Barr, At-Tamhid li maa fii Al-Muwaththa’ minal Ma’aani wal Asaaniad, 22/198 – Mu’asasah Al-Qurthubah)

Al-Hafiz Ibn Rojab rahimahullah (Wafat: 795H) menyebutkan:

فأما الغناء بغير ضرب دف ، فإن كان على وجه الحداء والنصب فهو جائز . وقد رويت الرخصة فيه عن كثير من الصحابة . والنصب : شبيه الحداء – : قاله الهروي وغيره . وهذا من باب المباحات التي تفعل أحيانا للراحة .

“Adapun nyanyian dengan tanpa duff (atau alat muzik) yang berbentuk Huda (sejenis syair ‘Arab yang dilantunkan dalam perjalanan) atau Nashb, maka ianya dibolehkan dan telah diriwayatkan keringanan padanya dari banyak kalangan sahabat-sahabat Nabi. An-Nashb menyerupai Al-Huda, telah berkata tentangnya Al-Harawi dan selainnya. Dan ini termasuk perkara yang mubah (dibolehkan) untuk dilakukan sekali-sekala untuk kerehatan.” (Fathul Bari oleh Ibn Rojab, 6/82)

Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) menyebutkan:

قال بن عبد البر الغناء الممنوع ما فيه تمطيط وإفساد لوزن الشعر طلبا للضرب وخروجا من مذاهب العرب

“Berkata Ibnu ‘Abdil Barr, al-ghinaa’ (nyanyian) itu terlarang jika dilakukan dengan mengolah suara serta merosak timbangan (wazan) sya’ir bertujuan membuai perasaan dan keluar dari asal kebiasaan orang-orang ‘Arab.” (Fathul Bari, 10/543)

Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah (Wafat: 728H) berkata:

وإذا عرف هذا: فاعلم أنه لم يكن في القرون الثلاثة المفضلة لا بالحجاز ولا بالشام ولا باليمن ولا بمصر والمغرب والعراق وخراسان من أهل الدين والصلاح والزهد والعبادة، من يجتمع على مثل سماع المكاء والتصدية إنما حدث هذا بعد ذلك في أواخر المائة الثانية، فلما رآه الأئمة أنكروه

“Sekiranya perkara ini telah difahami, maka ketahuilah bahawa tidak ditemui pada tiga kurun yang utama (generasi Sahabat bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan generasi Tabi’in) sama ada di Hijjaz, Syam, Yaman, Mesir, Al-Maghrib (Morocco), ‘Iraq dan Khurasan dari kalangan ahli agama, orang-orang soleh, zuhud, dan ibadah yang mereka berkumpul mendengar nyanyian yang disertai dengan tepukan tangan dan siulan seperti ini (merujuk kepada kaum sufi). Sesungguhnya perkara ini hanya baru berlaku pada akhir abad kedua. Di ketika para imam (ulama) melihatnya, mereka lantas segera mengingkarinya (membantah).” (Ibnu Taimiyah, Majmu’ Al-Fatawa, 11/569)

Berkenaan al-ghinaa’ dan hukumnya, insyaAllah akan diperincikan lagi pada perbahasan berikutnya.

Cuma dapat disimpulkan dari nukilan-nukilan para ulama di atas, bahawa sya’ir tidaklah sama dengan nyanyian (al-ghinaa’). Namun, adakalanya perkataan al-ghinaa’ (nyanyian) juga digunakan untuk menyebutkan atau menunjukkan maksud sya’ir sebagaimana dalam hadis atau riwayat tertentu, dan ini telah disebutkan perbezaannya di atas.

Di zaman Nabi atau salaf, atau dari kalangan orang-orang ‘Arab terdahulu sendiri, mereka tidak pernah mengenal dan tidak pernah mempelajari teknik-teknik suara khas demi untuk melantunkan sya’ir sebagaimana yang banyak dilakukan oleh orang-orang yang bernyanyi hari ini. Atau sebagaimana orang-orang yang bernyanyi namun mengaku sebagai sedang bersya’ir atau berqasidah.

Kerana maksud asal dari sya’ir itu adalah dilantunkan dengan bersahaja dan yang menjadi tujuan dari sya’ir itu adalah kandungan yang dilantunkannya yang disampaikan dengan keelokan bahasa serta susunan perkataan terpilih, bukannya jenis irama atau kemerduan suaranya. Jadi, mereka pun tidak melantunkannya dengan alunan-alunan suara yang khusus sebagaimana dilakukan oleh orang-orang yang bernyanyi pada hari ini seperti ada yang dikenal dengan teknik suprano atau sopran, mezzo, alto, tenor, bariton, dan seumpamanya atau dengan mengikuti genre-genre dan note-note tertentu. Maka di sinilah letak perbezaan antara sya’ir dengan nyanyian (al-ghinaa’).

Secara umumnya, sya’ir adalah mubah (dibolehkan) selagi mana di dalamnya tidak mengandungi sesuatu yang terlarang dan tidak melampaui batas padanya. Dan telah sahih riwayat-riwayat di mana sebahagian sahabat Nabi sendiri terkenal dan biasa melantunkan sya’ir-sya’ir yang baik, mengandungi nasihat, dan sya’ir-sya’ir yang mengandungi bantahan atas orang-orang kafir pada ketika itu. Antaranya adalah seperti ‘Abdullah bin Rawahah, ‘Amir bin Al-Akwa’, Hasan bin Tsabit, dan Ka’ab bin Malik. Dan asalnya orang-orang ‘Arab itu memang terkenal dengan kehebatan bahasa dan sya’irnya.

Dari hadis Ubai bin Ka’ab, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ مِنَ الشِّعْرِ حِكْمَةً

“Sesungguhnya sebahagian dari sya’ir itu ada hikmah (pelajaran dan kebijaksanaan).” (Shahih Al-Bukhari, no. 6145)

Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H):

قوله إِنَّ مِنَ الشِّعْرِ حِكْمَةً أي قولا صادقا مطابقا للحق وقيل أصل الحكمة المنع فالمعنى أن من الشعر كلاما نافعا يمنع من السفه

“Sabda Nabi, “Sesungguhnya sebahagian dari sya’ir itu ada hikmah (pelajaran)…” maksudnya adalah perkataan yang benar bersesuaian dengan kebenaran, dan dikatakan bahawa asal kepada al-hikmah adalah pencegahan, maka maknanya dari sya’ir itu ada kata-kata yang bermanfaat yang dapat mencegah dari kebodohan.” (Fathul Bari, 10/540)

Dari hadis ‘Abdullah bin ‘Amru, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

الشِّعْرُ بِمَنْزِلَةِ الْكَلامِ، حَسَنُهُ كَحَسَنِ الْكَلامِ، وَقَبِيحُهُ كَقَبِيحِ الْكَلامِ

“Sya’ir itu berada pada tingkatan pembicaraan, sya’ir yang baik adalah seperti perbicaraan yang baik, dan sya’ir yang buruk adalah seperti perbicaraan yang buruk.” (Al-Adab Al-Mufrad, no. 865. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

‘Aisyah radhiyallahu ‘anha pernah berkata:

الشَّعْرُ مِنْهُ حَسَنٌ وَمِنْهُ قَبِيحٌ، خُذِ الْحَسَنَ وَدَعِ الْقَبِيحَ وَلَقَدْ رَوَيْتُ مِنْ شِعْرِ كَعْبِ بْنِ مَالِكٍ أَشْعَارًا مِنْهَا الْقَصِيدَةُ فِيهَا أَرْبَعُونَ بَيْتًا

“Sya’ir itu ada yang indah (baik) dan ada yang buruk, maka ambillah yang baik dan tinggalkan yang buruk. Benar-benar aku telah meriwayatkan dari sya’inya Ka’ab bin Malik yang di antaranya adalah qashidah yang terdiri dari 40 bait sya’ir.” (Al-Adab Al-Mufrad, no. 866. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) juga berkata:

والذي يتحصل من كلام العلماء في حد الشعر الجائز أنه إذا لم يكثر منه في المسجد وخلا عن هجو وعن الإغراق في المدح والكذب المحض والتغزل بمعين لا يحل

“Dan apa yang diperolehi dari kata-kata para ulama tentang batas sya’ir yang dibenarkan adalah hendaknya tidak terlalu banyak dikumandangkan di dalam masjid, hendaklah sya’ir itu tidak mengandungi unsur provokasi (saling mencela), tidak melampau dalam memuji, tidak mengandungi kedustaan, serta tidak mengandungi unsur-unsur yang merangsang syahwat (berahi) pada seseorang yang tidak halal.” (Fathul Bari, 10/539)

Namun terdapat dalil yang menjelaskan larangan sekiranya asyik dan disibukkan dengan bersya’ir, apatah lagi apabila padanya mengandungi dusta dan kemaksiatan.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

هَلْ أُنَبِّئُكُمْ عَلَى مَنْ تَنَزَّلُ الشَّيَاطِينُ (221) تَنَزَّلُ عَلَى كُلِّ أَفَّاكٍ أَثِيمٍ (222) يُلْقُونَ السَّمْعَ وَأَكْثَرُهُمْ كَاذِبُونَ (223) وَالشُّعَرَاءُ يَتَّبِعُهُمُ الْغَاوُونَ (224) أَلَمْ تَرَ أَنَّهُمْ فِي كُلِّ وَادٍ يَهِيمُونَ (225) وَأَنَّهُمْ يَقُولُونَ مَا لَا يَفْعَلُونَ (226) إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَذَكَرُوا اللَّهَ كَثِيرًا وَانْتَصَرُوا مِنْ بَعْدِ مَا ظُلِمُوا وَسَيَعْلَمُ الَّذِينَ ظَلَمُوا أَيَّ مُنْقَلَبٍ يَنْقَلِبُونَ

“Adakah akan Aku khabarkan kepada kalian, kepada siapakah syaitan-syaitan itu turun? Mereka turun kepada setiap pendusta lagi pendosa. Mereka menadahkan pendengaran (kepada syaitan) tersebut, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang pendusta. Dan penya’ir-penya’ir itu diikuti oleh orang-orang sesat yang tidak ada hala tuju. Tidakkah kalian melihat bahawa mereka merayau-rayau tidak tentu hala di tiap-tiap lembah. Dan bahawasanya mereka suka mengatakan apa yang mereka sendiri tidak lakukan? Kecuali orang-orang (dari kalangan penya’ir) yang beriman dan beramal soleh dan banyak mengingat Allah serta mendapat kemenangan setelah mereka dizalimi. Dan orang-orang yang zalim itu kelak akan mengetahui ke destinasi mana mereka akan kembali.” (Surah Asy-Syu’araa’ 26, 221-227)

Ayat ini menunjukkan celaan atas orang-orang yang menjadikan sya’irnya untuk perkara melampaui batas, mengadakan kedustaan, dan menyesatkan manusia dari jalan kebenaran. Dan pada hari ini, perbuatan seperti ini banyak berlaku pada golongan yang bergelar artis-artis. Na’uudzubillaahimin dzalik.

Kemudian ada hadis di mana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَأَنْ يَمْتَلِئَ جَوْفُ أَحَدِكُمْ قَيْحًا خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمْتَلِئَ شِعْرًا

“Lebih baik salah seorang daripada kamu memenuhi perutnya dengan nanah dari dia memenuhinya dengan sya’ir.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6154)

Juga sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

لَأَنْ يَمْتَلِئَ جَوْفُ رَجُلٍ قَيْحًا يَرِيهِ خَيْرٌ مِنْ أَنْ يَمْتَلِئَ شِعْرًا

“Lebih baik salah seorang daripada kamu memenuhi perutnya dengan nanah sehingga rosak perutnya daripada ia penuhi dengan sya’ir.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6155. Muslim, no. 2257)

Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) berkata:

هذه المبالغة في ذم الشعر أن الذين خوطبوا بذلك كانوا في غاية الإقبال عليه والاشتغال به فزجرهم عنه ليقبلوا على القرآن وعلى ذكر الله تعالى وعبادته فمن أخذ من ذلك ما أمر به لم يضره ما بقي عنده مما سوى ذلك والله أعلم

“Penekanan pada celaan terhadap sya’ir di sini adalah disebabkan orang-orang yang sedang ditanggapi adalah orang-orang yang sangat menyibukkan diri dan menghabiskan waktunya hanya untuk sya’ir, sehingga Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun mencela mereka supaya mereka kembali kepada Al-Qur’an, zikir mengingat Allah, dan beribadah hanya kepada Allah. Maka sesiapa yang telah melaksanakan apa yang diperintahkan kepadanya, maka tidak mengapa jika baki waktunya yang tinggal (sisa waktu yang tinggal) digunakan untuk perkara lain. Wallahu a’lam.” (Fathul Bari, 10/550)

Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata ketika menjelaskan berkenaan hadis yang menyebutkan persoalan sya’irnya Umayyah:

وَمَقْصُود الْحَدِيث أَنَّ النَّبِيّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اِسْتَحْسَنَ شِعْر أُمِّيَّة، وَاسْتَزَادَ مِنْ إِنْشَاده لِمَا فِيهِ مِنْ الْإِقْرَار بِالْوَحْدَانِيَّةِ وَالْبَعْث، فَفِيهِ جَوَاز إِنْشَاد الشِّعْر الَّذِي لَا فُحْش فِيهِ، وَسَمَاعه، سَوَاء شِعْر الْجَاهِلِيَّة وَغَيْرهمْ، وَأَنَّ الْمَذْمُوم مِنْ الشِّعْر الَّذِي لَا فُحْش فِيهِ إِنَّمَا هُوَ الْإِكْثَار مِنْهُ، وَكَوْنه غَالِبًا عَلَى الْإِنْسَان. فَأَمَّا يَسِيره فَلَا بَأْس بِإِنْشَادِهِ وَسَمَاعه وَحِفْظه

“Maksud hadis ini menunjukkan bahawa Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam menganggap baik sya’ir Umayyah dan meminta tambahan sya’ir terhadap apa yang ada di dalamnya dari pengakuannya terhadap ke-Esaan (Allah) dan hari akhir. Dan di dalamnya terdapat maklumat yang menunjukkan bolehnya melantunkan sya’ir yang tidak mengandungi kekejian, sekaligus mendengarnya. Sama sahaja, adakah sya’ir tersebut merupakan sya’ir Jahiliyyah atau selainnya. Dan yang perlu dijauhi berkaitan persoalan sya’ir yang tidak mengandungi kekejian ini adalah yang tidak berlebihan padanya. Dan itulah yang biasanya terjadi kepada diri manusia. Adapun sedikit sya’ir dengan cara melantunkan, mendengarnya, atau menghafalnya maka tidak mengapa.” (An-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 12/15)

Dari keterangan hadis dan penjelasannya tersebut dapat kita lihat bahawa asal hukum bagi sya’ir itu adalah harus (mubah). Dibolehkan bersya’ir atau mendengarnya bagi mengisi masa yang tersisa atau terluang, atau untuk menyampaikan sesuatu maksud. Namun tidak boleh berlebih-lebihan dengannya sehingga menghabiskan waktu dan tenaga semata-mata untuk bersya’ir.

Di Antara Sya’ir-sya’ir Yang Dibolehkan (berdasarkan apa yang disebutkan oleh hadis-hadis):

1, Sya’ir para jama’ah haji. Mereka biasa melantunkan sya’ir-sya’ir yang mengisahkan tentang Ka’abah, Maqam Ibrahim, kelebihan air zam-zam, dan seumpamanya.

2, Sya’ir para pejuang yang dapat membakar semangat untuk berperang. Dan adakalanya sya’ir jenis ini (untuk membangkitkan semangat dalam peperangan) disebut juga sebagai al-ghinaa’ kerana dilantunkan dengan suara yang merdu dan lahaan (susunan irama) sebagaimana dalam perang Khaibar. (lihat: Fathul Bari, 10/543)

3, Sya’ir yang membangkitkan semangat bekerja, sebagaimana sya’ir yang dilantunkan oleh kaum Muhajirin dan Anshar ketika mereka menggali parit pada peperangan Khandaq.

4, Sya’ir yang dilantunkan oleh penunggang unta supaya unta mereka bersemangat untuk melakukan perjalanan sebagaimana yang dilakukan oleh ‘Amir bin Al-‘Akwa dan Anjasyah.

5, Sya’ir yang mengandungi hikmah (kebaikan), nasihat, dan selainnya. Dan bukan sya’ir yang berisi kemungkaran atau maksiat.

Lalu, sekiranya bersya’ir sahaja tidak boleh berlebih-lebihan dengan menghabiskan waktu, usaha, dan tenaga terhadapnya, bagaimana pula dengan menyanyi dan bermain atau mendengar muzik? Kalau kita lihat apa yang berlaku pada hari ini, nyanyian dan muzik sudah menjadi satu medan industri dan sumber pendapatan bagi sebahagian besar masyarakat dunia. Malah, ia telah sebati dengan jiwa sebahagian besar masyarakat Islam sendiri di mana mereka saling berkerjasama dan bersungguh-sungguh dalam mengangkat nyanyian dan muzik setinggi-tingginya. Jadi, inilah yang akan kita lihat dari perspekstif agama dan pendirian tokoh-tokohnya terutamanya dari ulama generasi salaf (awal).

——————————————-
Memahami Definisi Al-Ma’aazif
——————————————-

Perkataan al-ma’aazif  banyak digunakan dalam menunjukkan hukum muzik berdasarkan hadis-hadis tertentu. Oleh itu, memahami terlebih dahulu definisi al-ma’aazif adalah suatu yang penting dan perlu diambil perhatian.

Al-Ma’aazif (اْلمَعَازِف) merupakan jamak dari al-mi’zaf (مِعْزَفَ). Dalam Qamus Al-Muhith halaman 753, dinyatakan:

هي الملاهي، كالعود والطنبور

“Ia adalah al-malaahi (yakni alat-alat muzik), seperti al-‘uud dan ath-thanbur (gitar atau rebab).”

Ibnu Al-Atsiir rahimahullah (Wafat: 606H) menyebutkan:

العَزْف: اللَّعِب بالمَعَازِف، وَهِيَ الدُّفوف وغَيرها مِمَّا يُضْرَب

Al-‘Azf: adalah bermain dengan al-ma’aazif, dan al-ma’aazif adalah ad-duuf (kompang-kompangan) dan selainnya dari jenis alat-alat muzik yang dipalu.” (An-Nihayah fii Ghoribil Hadiits wal Atsar, 3/230)

Imam Adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 748H) melalui kitab beliau, Siyar A’laam An-Nubalaa’ mengatakan:

المعازف: اسم لكل آلات الملاهي التي يعزف بها، كالزمر، والطنبور، والشبابة، والصنوج.

Al-Ma’aazif: adalah kata nama bagi setiap alat muzik yang dimainkan seperti seruling, thanbur, simbal, dan terompet.” (Siyar A’lam An-Nubala’, 21/158)

Definisi yang sama juga tertera dalam kitab beliau yang lain, Tadzkiratul-Huffazh, 2/1337.

Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H) melalui kitabnya Ighatsatul Lahfan memberikan makna yang lebih umum dan global untuk definisi al-ma’aazif:

وهي آلات اللهو كلها، لا خلاف بين أهل اللغة في ذلك

“Ia adalah seluruh peralatan yang digunakan untuk bermain muzik. Dan ini tidak diperselisihkan oleh kalangan ahli bahasa (‘Arab).” (Ighatsatul Lahfan, m/s. 260)

Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani (Wafat: 852H) rahimahullah pula menyebutkan:

وَالْمَعَازِف آلاَت الْمَلاَهِي الْوَاحِدَة مِعْزَفَة

Al-Ma’aazif adalah bentuk jama’ dari kata mi’zafah iaitu al-malaahi (alat-alat muzik).” (Fathul Bari, 7/265. 10/55)

Kata Al-Hafiz lagi:

ونقل القرطبي عن الجوهري أن المعازف الغناء والذي في صحاحه أنها آلات اللهو وقيل أصوات الملاهي

“Al-Qurthubi menukil daripada Al-Jauhari bahawa al-Ma’aazif adalah nyanyi-nyanyian manakala dalam kitab Ash-Shihah beliau, al-ma’aazif adalah alat-alat permainan untuk berhibur. Dan dikatakan bahawa maksudnya adalah hasil bunyi (suara) dari alat-alat tersebut.” (Fathul Bari, 10/55)

Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah (Wafat: 728H) dalam Majmu’ Al-Fatawa-nya menyatakan:

الْمَعَازِفُ هِيَ الْمَلاَهِي كَمَا ذَكَرَ ذَلِكَ أَهْلُ اللُّغَةِ

Al-Ma’aazif adalah al-malaahi (yakni alat-alat yang digunakan untuk bermain muzik) sebagaimana yang disebutkan oleh ahli bahasa.” (Majmu’ Al-Fatawa, 10/576)

Berdasarkan kamus-kamus terkemuka termasuk beberapa bentuk kemudahan masa kini seperti google Translator serta beberapa kamus umum lainnya, dari ‘Arab ke English, ia juga mengutarakan maksud alat-alat muzik (musical instruments).

Dari penjelasan ini, dapat kita ketahui bahawa perkataan Al-Ma’aazif (اْلمَعَازِف) adalah merujuk kepada alat-alat muzik atau apa sahaja alatan yang digunakan untuk bermain atau menghasilkan paduan bunyi bernama muzik. Perlu difahami bahawa muzik adalah termasuk kategori bunyi, namun tidak setiap bunyi adalah merupakan muzik.

Sebenarnya muzik adalah hasil kombinasi bunyi yang dihasilkan oleh manusia melalui gabungan atau paduan bunyi tertentu berpandukan note-note atau irama-irama tertentu yang dicipta (atau disusun) khas dengan menggunakan alat-alat tertentu (al-ma’aazif). Maka, bunyi seperti suara air terjun, kicauan unggas, bunyi lori, dan bunyi kipas yang berpusing adalah di antara contoh yang tidak termasuk dalam kategori muzik melainkan jika bunyi tersebut disusun khas.

Perkataan al-ma’aazif antaranya disebutkan dalam hadis nabi sebagaimana diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H):

لَيَكُونَنَّ مِنْ أُمَّتِي أَقْوَامٌ، يَسْتَحِلُّونَ الحِرَ وَالحَرِيرَ، وَالخَمْرَ وَالمَعَازِفَ

“Akan datang dari kalangan umatku suatu kaum yang menghalalkan zina, sutera, al-khamr (arak), dan al-ma’aazif.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5590. Hadis ini sahih dan bersambung sanadnya sebagaimana dinyatakan oleh seluruh ulama hadis dahulu dan kini)

Sungguh benarlah hadis ini dan telah tampak pada hari ini bahawa telah muncul kelompok orang yang menghalalkan apa yang disebutkan dalam hadis tersebut. Antaranya pada hari ini ada yang menghalalkan zina dengan istilah mut’ah, menghalalkan sutera atas alasan jenama dan kualiti, menghalalkan arak dengan nama-nama yang lain, dan demikianlah mereka menghalalkan muzik dengan nama hiburan, dakwah, qasidah, dan nasyid.

Bersambung di tulisan berikutnya dengan judul Pengharaman Nyanyian dan Muzik dari Ayat-ayat Al-Qur’an.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest