Mengantuk Ketika Solat?

www.ilmusunnah.com

Dari hadis ‘Aisyah, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:Ensiklopedi_Solat_Menurut_Al_Quran_dan_Sunnah_main

إِذَا نَعَسَ أَحَدُكُمْ وَهُوَ يُصَلِّي فَلْيَرْقُدْ، حَتَّى يَذْهَبَ عَنْهُ النَّوْمُ، فَإِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا صَلَّى وَهُوَ نَاعِسٌ، لاَ يَدْرِي لَعَلَّهُ يَسْتَغْفِرُ فَيَسُبُّ نَفْسَهُ

“Jika salah seorang dari kalian mengantuk dan dia sedang dalam keadaan solat, maka hendaklah dia pergi tidur terlebih dahulu sampailah hilang rasa tidurnya. Kerana apabila seseorang itu solat dalam keadaan mengantuk, boleh jadi dia ingin beristighfar (memohon ampun), namun malah yang dia lakukan adalah mencela dirinya sendiri.” (Shahih Al-Bukhari, no. 212. Muslim, no. 786)

Dari hadis Anas bin Malik, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا نَعَسَ أَحَدُكُمْ فِي الصَّلاةِ فَلْيَنَمْ حَتَّى يَعْلَمَ مَا يَقْرَأُ

“Jika salah seorang dari kalian mengantuk ketika solat, maka hendaklah dia tidur sampailah dia memahami apa yang dia baca.” (Shahih Al-Bukhari, no. 213)

Dari hadis Abu Hurairah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا قَامَ أَحَدُكُمْ مِنَ اللَّيْلِ، فَاسْتَعْجَمَ الْقُرْآنُ عَلَى لِسَانِهِ، فَلَمْ يَدْرِ مَا يَقُولُ، فَلْيَضْطَجِعْ

“Apabila salah seorang dari kalian bangun di malam hari (untuk solat), namun lisannya merasa sukar untuk membaca Al-Qur’an (kerana ngantuk), lalu dia tidak sedar apa yang dia ucapkan, maka hendaklah dia baring (agar hilang ngantuknya terlebih dahulu).” (Shahih Muslim, no. 787)

Penjelasan Hadis

Kata Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

وفيه الحث على الإقبال على الصلاة بخشوع وفراغ قلب ونشاط وفيه أمر الناعس بالنوم أو نحوه مما يذهب عنه النعاس وهذا عام في صلاة الفرض والنفل في الليل والنهار وهذا مذهبنا ومذهب الجمهور لكن لا يخرج فريضة عن وقتها قال القاضي وحمله مالك وجماعة على نفل الليل لأنه محل النوم غالبا قوله صلى الله عليه و سلم فإن أحدكم إذا صلى وهو ناعس لعله يذهب يستغفر فيسب نفسه قال القاضي معنى يستغفر هنا يدعو قوله صلى الله عليه و سلم فاستعجم عليه القرآن أي استغلق ولم ينطلق به لسانه لغلبة النعاس

“Pada hadis ini terkandung anjuran agar mengerjakan solat dengan khusyu’, menghadirkan hati, dan dengan penuh semangat.

Pada hadis ini juga terkandung perintah bagi orang yang mengantuk agar tidur atau melakukan sesuatu yang dapat menghilangkan ngantuknya.

Kenyataan (perintah) pada hadis ini adalah umum sama ada bagi solat fardhu mahupun solat sunnah, malam mahupun siang. Dan ini adalah mazhab kami (mazhab Asy-Syafi’i) dan jumhur. Walau bagaimanapun, tidaklah boleh dia tidur sampai keluar dari waktunya, yakni jika solat fardhu.

Al-Qadhi berkata, “(Adapun) Imam Malik dan sejumlah ulama memahami hadis ini adalah bagi solat sunnah di malam hari sahaja, kerana ia sinonim dengan waktu untuk tidur.”

Sabda Nabi, “… boleh jadi dia ingin beristighfar (memohon ampun), namun malah yang dia lakukan adalah mencela dirinya sendiri.”

Kata Al-Qadhi, “Makna istighfar di sini adalah ketika dia berdoa (di dalam solat).”

Sabda Nabi, “… Lalu lisannya merasa sukar untuk membaca Al-Qur’an.”

Maksudnya adalah lidahnya tidak dapat bergerak (dengan baik dan betul) disebabkan kengantukkannya.” (Syarh Shahih Muslim, 6/74-75)

Wallaahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest