Menghidupkan Sunnah Di Bulan Sya’ban

www.ilmusunnah.com

BULAN SYA’BAN telah tiba manakala Ramadhan pula bakal menjelang. Seharusnya kita memanfaatkan pelbagai keutamaan dan peluang pada bulan Sya’ban ini sebaiknya.

Diriwayatkan dari sebahagian salaf (yakni para sahabat dan tabi’in) bahawa apabila masuk bulan Sya’ban, mereka pun akan membuat persiapan dalam rangka menyambut datangnya Ramadhan; di antaranya mereka memperbanyakkan puasa, mengeluarkan zakat dan sedekah dalam rangka membantu orang-orang faqir dan miskin menghadapi Ramadhan, dan menutup kedai-kedai perniagaan buat sementara lalu mula fokus mentadabbur Al-Qur’an. (lihat: Latha’if Al-Ma’aarif oleh Al-Hafiz Ibn Rajab Al-Hanbali, m/s. 135)

Kata Al-Hafiz Ibnu Rajab Al-Hanbali rahimahullah (Wafat: 795H):

ولما كان شعبان كالمقدمة لرمضان شرع فيه ما يشرع في رمضان من الصيام وقراءة القرآن ليحصل التأهب لتلقي رمضان وترتاض النفوس بذلك على طاعة الرحمن

“Kerana bulan Sya’ban itu seakan-akan seperti pembukaan bagi bulan Ramadhan, maka pada bulan tersebut disyari’atkan (dianjurkan) amalan-amalan yang disyari’atkan pada bulan Ramadhan, termasuklah seperti puasa dan membaca Al-Qur’an, (yang mana) ianya dalam rangka menyambut Ramadhan dan agar jiwa terlatih di atas ketaatan kepada Ar-Rahman.” (Lathaa’if Al-Ma’aarif, m/s. 135)

Abu Bakr Al-Balkhi rahimahullah berkata:

شهر رجب شهر للزرع وشعبان شهر السقي للزرع ورمضان شهر حصاد الزرع

“Bulan Rajab adalah bulan untuk menanam, Sya’ban adalah bulan untuk menyiram tanaman, dan Ramadhan pula adalah bulan untuk menuai hasil.” (Lathaa’if Al-Ma’aarif, m/s. 121)

Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) menyebutkan:

كان المسلمون إذا دخل شعبان أكبوا على المصاحف وأخرجوا الزكاة

“Bahawasanya kaum muslimin (dari kalangan salaf) apabila masuk saja bulan Sya’ban, mereka pun menyibukkan diri dengan mushhaf (membaca dan mentadabbur Al-Qur’an) dan mengeluarkan zakat (zakat harta dan sedekah).” (Fath Al-Bari, 13/310-311)

Amalan Diangkat

Bulan Sya’ban adalah bulan diangkatnya amal-amal perbuatan ke sisi Allah. Dan bulan Sya’ban juga adalah bulan yang padanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memperbanyakkan ibadah puasa sunnah berbanding bulan-bulan selainnya.

Antaranya sebagaimana hadis dari ‘Usamah bin Zaid, beliau pernah bertanya kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa pada suatu bulan sebagaimana engkau berpuasa pada bulan Sya’ban?” Rasulullah menjawab:

ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ

“Sya’ban adalah bulan yang terletak di antara Rejab dan Ramadhan yang sering dilupakan oleh manusia. Ia adalah bulan yang di dalamnya amal-amal perbuatan akan diangkat ke sisi Rabb semesta alam. Maka aku lebih suka apabila amalku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa.” (Musnad Ahmad, no. 21753. Sunan An-Nasaa’i, no. 2357. Dinilai hasan oleh Al-Albani dan Syu’aib Al-Arnauth)

‘Aisyah radhiyallahu ‘anha juga pernah mengkhabarkan dengan katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ لَا يُفْطِرُ وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ لَا يَصُومُ فَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ إِلَّا رَمَضَانَ وَمَا رَأَيْتُهُ أَكْثَرَ صِيَامًا مِنْهُ فِي شَعْبَانَ

“Aku tidak pernah mengetahui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berpuasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah mengetahui beliau lebih banyak berpuasa sunnah selain dari bulan Sya’ban.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1969)

Di antara hikmah dan faedah lain memperbanyakkan puasa di bulan Sya’ban adalah sebagai salah satu bentuk persiapan memasuki Ramadhan. Iaitu bulan yang padanya umat Islam akan menunaikan keawajiban berpuasa selama sebulan penuh. Semoga dengan membiasakan diri berpuasa sunnah di bulan Sya’ban mampu menjadikan tubuh-badan merasa ringan untuk berpuasa penuh di bulan Ramadhan, insyaAllah.

Kata Al-Hafiz Ibnu Rajab Al-Hanbali rahimahullah (Wafat: 795H):

أن صيامه كالتمرين على صيام رمضان لئلا يدخل في صوم رمضان على مشقة و كلفة بل قد تمرن على الصيام و اعتاده و وجد بصيام شعبان قبله حلاوة الصيام و لذته فيدخل في صيام رمضان بقوة و نشاط

“Bahawasanya puasa bulan Sya’ban itu ibarat latihan untuk puasa Ramadhan, agar tidak mengalami kepayahan dan rasa berat tatkala memasuki puasa Ramadhan, bahkan dia telah terlatih dan terbiasa dengan berpuasa. Dan dia akan mendapati kelazatan dan kemanisan dengan berpuasa di bulan Sya’ban, lalu kemudian dia pun memasuki puasa Ramadhan dengan kekuatan dan semangat.” (Lathaa’if Al-Ma’aarif, m/s. 135)

Puasa Penuh Di Bulan Sya’ban

‘Aisyah radhiyallahu ‘anha memberitahu Abu Salamah:

لَمْ يَكُنْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ شَهْرًا أَكْثَرَ مِنْ شَعْبَانَ فَإِنَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak pernah berpuasa pada suatu bulan yang lebih banyak dari bulan Sya’ban. Beliau berpuasa pada bulan Sya’ban seluruhnya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1970)

Para ulama berbeza pendapat dalam memahami hadis ini. Sebahagian daripada mereka menyatakan kadangkala Rasulullah berpuasa penuh, dan adakalanya Rasulullah berpuasa pada sebahagian besar dari keseluruhan bulan Sya’ban. Manakala sebahagian lagi berpendapat menyatakan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam hanya berpuasa sebahagian besar dari bulan Sya’ban dan tidak pernah berpuasa untuk keseluruhan bulan Sya’ban.

Dari perbezaan pendapat yang timbul ini, Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) menguatkan pendapat yang menyatakan bahawa Rasulullah hanya berpuasa pada sebahagian besar dari keseluruhan bulan Sya’ban dan bukan keseluruhan dari bulan Sya’ban. Beliau menukilkan perkataan Imam Ibnul Mubarak rahimahullah:

جائز في كلام العرب إذا صام أكثر الشهر أن يقول صام الشهر كله ويقال قام فلان ليلته أجمع ولعله قد تعشى واشتغل ببعض أمره

“Menurut konteks bahasa Arab, apabila seseorang berpuasa pada sebahagian besar dari sesuatu bulan maka boleh dikatakan dia berpuasa sebulan penuh. Dikatakan si fulan solat sepanjang malam padahal ada kemungkinan dia masih makan malam serta sibuk dengan urusan lain.” (Fath Al-Bari Syarh Shahih Al-Bukhari, 4/214)

Ini dikuatkan lagi dengan hadis-hadis yang lain sebagaimana disebutkan di atas daripada ‘Aisyah:

“Aku tidak pernah mengetahui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berpuasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1969)

Juga berdasarkan kefahaman yang dapat diambil daripada sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ini:

لَا يَتَقَدَّمَنَّ أَحَدُكُمْ رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ أَوْ يَوْمَيْنِ إِلَّا أَنْ يَكُونَ رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمَهُ فَلْيَصُمْ ذَلِكَ الْيَوْمَ

“Jangan sekali-kali salah seorang di antara kamu mendahului puasa Ramadhan dengan puasa sehari atau dua hari sebelumnya melainkan bagi orang yang sudah biasa berpuasa pada hari tersebut, maka bolehlah dia berpuasa pada hari tersebut.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1914)

Maka dari apa yang dapat difahami di sini kita disunnahkan supaya memperbanyakkan puasa sunnah di dalam bulan Sya’ban berbanding bulan-bulan selainnya. Dan tidak dianjurkan berpuasa sebulan penuh sebagaimana pendapat yang lebih tepat.

Dan bentuk puasa sunnah yang paling disukai di sisi Allah adalah puasanya Nabi Daud, iaitu berpuasa sehari dan berbuka (tidak berpuasa) sehari. Ini sebagaimana dalam sebuah hadis daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bin Al ‘Ash, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ أَحَبَّ الصِّيَامِ إِلَى اللَّهِ صِيَامُ دَاوُدَ وَأَحَبَّ الصَّلاَةِ إِلَى اللَّهِ صَلاَةُ دَاوُدَ عَلَيْهِ السَّلاَمُ كَانَ يَنَامُ نِصْفَ اللَّيْلِ وَيَقُومُ ثُلُثَهُ وَيَنَامُ سُدُسَهُ وَكَانَ يَصُومُ يَوْمًا وَيُفْطِرُ يَوْمًا

“Puasa yang paling disukai di sisi Allah adalah puasa Daud, dan solat yang paling disukai Allah adalah solat Nabi Daud. Beliau biasa tidur di pertengahan malam dan bangun pada sepertiga malam terakhir dan beliau tidur lagi pada se-per-enam malam terakhir. Dan beliau biasa berpuasa sehari dan buka sehari.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1131. Muslim, no. 1159)

Ini adalah sebagai salah satu rangka mengikuti dan menghidupkan sunnah-sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Mereka yang bersungguh-sungguh dalam mengikuti dan menghidupkan sunnah-sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam maka dia termasuk ke dalam golongan yang mencintai Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan sebenar-benarnya.

Adapun amalan lain tertentu di bulan Sya’ban seperti amalan kenduri majlis tahlil yang dilakukan oleh sebahagian kecil masyarakat Islam di negara kita hari ini, wallahu a’lam tidak ditemui satu pun dalil yang menganjurkannya. Bahkan amalan kenduri tahlilan itu sendiri termasuk amalan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Yang lebih tepat hendaklah ia ditinggalkan dan cukuplah dengan kembali menghidupkan sunnah-sunnah yang telah jelas sahih dalil-dalilnya dan anjurannya.

Nisfu Sya’ban

Sebahagian umat Islam apabila masuknya bulan Sya’ban mereka akan fokus menanti datangnya malam nisfu Sya’ban. Mereka juga akan mengkhususkan malam tersebut dengan beberapa jenis amalan tertentu seperti solat sunnah yang khusus dan bacaan ayat-ayat al-Qur’an tertentu. Sebahagian yang lain pula menganggap malam tersebut sebagai malam ditentukan rezeki dan ajal bagi seseorang.

Wallahu a’lam, di sebalik semua itu wujudkah dalil-dalil yang mendukung keistimewaan malam tersebut secara khusus? Apa sebenarnya keistimewaan malam tersebut? Apa pula kata para ulama berkaitan dengannya?

Al-Imam Al-Qurthubi rahimahullah (Wafat: 671H) menyebutkan dalam Tafsirnya:

وليس في ليلة النصف من شعبان حديث يعول عليه لا في فضلها ولا في نسخ الآجال فيها

“Berkenaan dengan malam nisfu Sya’ban, padanya tidak terdapat satu hadis pun yang dapat dijadikan sebagai sandaran, sama ada tentang keutamaannya atau tentang pembatalan ajal seseorang.” (Tafsir Al-Qurthubi, 16/128)

Pernyataan al-Qurthubi ini turut didukung antaranya oleh Al-Hafiz Ibnu Rajab Al-Hanbali dan Imam Abu Syamah.

Demikian pula Asy-Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin ‘Abdillah bin Baz rahimahullah berkata:

من البدع التي أحدثها بعض الناس: بدعة الاحتفال بليلة النصف من شعبان وتخصيص يومها بالصيام وليس على ذلك دليل يجوز الاعتماد عليه, وقد ورد في فضلها أحاديث ضعيفة لا يجوز الاعتماد عليها

“Di antara bid’ah-bid’ah yang diada-adakan oleh sebahagian manusia (adalah): Bid’ah perayaan/sambutan malam nishfu Sya’ban serta mengkhususkan siang harinya dengan puasa. Dan tidaklah ada dalil yang dapat digunakan sebagai dasar terhadap perkara tersebut. Dan telah datang riwayat-riwayat terkait keutamaan nishfu Sya’ban dari hadis-hadis yang lemah yang tidak boleh dijadikan sebagai sandaran atas hal tersebut.” (Majmu’ Fatawa Ibn Baz, 1/186-187)

Walau bagaimanapun di sana terdapat sebuah hadis (yang datang dengan beberapa lafaz) yang diperselisihkan status kesahihannya tentang keutamaan malam nisfu Sya’ban. Ia sebagaimana hadis berikut:

إِنَّ اللَّهَ لَيَطَّلِعُ فِي لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ

“Sesungguhnya Allah memerhatikan para hamba-Nya pada malam nisfu Sya’ban (pertengahan Sya’ban) lalu Dia mengampuninya kecuali orang-orang musyrik atau orang yang suka bermusuhan.”

Manakala pada sebahagian lafaz menyebutkan:

“Sesungguhnya Allah turun pada malam nisfu Sya’ban…”

Sebahagian ulama hadis mensahihkannya, manakala sebahagian lain pula mengingkari kesahihannya. Hadis ini diriwayatkan dari jalur sanad beberapa sahabat, iaitu Mu’adz bin Jabal, Abu Tsa’labah Al-Hutsaini, ‘Abdullah bin ‘Umar, Abu Musa Al-Ays’ari, Abu Hurairah, Abu Bakar Ash-Shiddiq, ‘Auf bin Malik, dan ‘Aisyah radhiyallahu ‘anhum ajma’in. Direkodkan antaranya oleh Ibnu Majah, Ibnu Abi Syaibah, ‘Abdurrazzaq, Ath-Thabrani, Al-Bazzar, dan Al-Mundziri.

Secara umum antara ulama yang mensahihkannya adalah Ibnu Hibban, Ibnu Hajar Al-Haitsami, dan Al-Albani. Manakala antara yang menjelaskan kedhaifannya adalah Al-Mubarakfuri dalam Tuhfatul Ahwadzi bi Syarah Jami’ At-Tirmidzi.

Seandainya sahih sekalipun hadis ini, maka ia hanya menunjukkan keutamaan malam nisfu sya’ban secara umum. Sebagaimana kata Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah:

“Dalam hal ini, pendapat yang dipegang oleh majoriti atau sebahagian besar ulama sama ada dari kalangan sahabat kami ataupun dari selainnya, mereka menyatakan bahawa malam nisfu Sya’ban adalah malam yang memiliki keutamaan.” (Iqtidha’ Ash-Shirathal Mustaqim, 1/302)

Walau bagaimanapun, hadis tersebut sedikitpun tidak menunjukkan adanya anjuran untuk mengkhususkan malam tersebut dengan amalan-amalan tertentu sama ada dengan berpuasa, bersolat, berdoa, mengkhatamkan Al-Qur’an, membaca ayat-ayat Al-Qur’an tertentu, atau sebarang bentuk ibadah lainnya. Malah turunnya Allah Tabaraka wa Ta’ala ke langit dunia sebenarnya berlaku di setiap malam bersesuaian dengan keagungan-Nya dan cara yang layak bagi-Nya. Tidak hanya pada malam nisfu Sya’ban. Ini sebagaimana hadis dalam dua kitab Shahih (Al-Bukhari dan Muslim).

Oleh itu, sesiapa yang mahu menyatakan adanya amalan khusus tertentu pada malam nisfu Sya’ban hendaklah dia mengemukakan dalil yang sahih. Antara ulama yang menegaskan bahawa tiadanya amalan khusus tertentu pada malam nisfu Sya’ban sama ada dengan solat, puasa, bacaan Al-Qur’an atau yang sewaktu dengannya adalah Ulama tabi’in Atha’ bin Rabah (Wafat: 114H) dan Zaid bin Aslam (Wafat: 136H), Al-Imam An-Nawawi, Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah, Imam As-Suyuthi, Imam Az-Zabidi, Al-Mubarakfuri, dan Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin Bazz.

Untuk penjelasan dengan lebih terperinci dalam bab ini, penulis mencadangkan supaya para pembaca meneliti sebuah kitab hasil thesis milik Syaikh ‘Abdullah bin ‘Abdul ‘Aziz at-Tuwaijiri berjudul Al-Bida’ Al-Hauliyyah (Bid’ah-bidah Sepanjang Tahun), dan buku ini telah pun diterjemahkan. Oleh itu, hendaklah kita menghidupkan amalan-amalan yang telah jelas anjurannya berdasarkan dalil-dalil yang sahih. Sebaliknya hendaklah kita meninggalkan amalan-amalan yang tidak memiliki dasarnya sedikitpun. Secara umumnya, meninggalkan amalan (ibadah) yang tidak diamalkan dan tidak pula dianjurkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam itu sendiri adalah termasuk salah satu sunnah, manakala menghidupkannya adalah bid’ah.

Wallaahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest