Dianjurkan Menyembelih Unta Dalam Keadaan Berdiri dan Terikat Satu Kakinya

www.ilmusunnah.com

Dari hadis Ziyad bin Jubair, beliau berkata:pisau-1

أَنَّ ابْنَ عُمَرَ، أَتَى عَلَى رَجُلٍ وَهُوَ يَنْحَرُ بَدَنَتَهُ بَارِكَةً، فَقَالَ: «ابْعَثْهَا قِيَامًا مُقَيَّدَةً، سُنَّةَ نَبِيِّكُمْ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“Bahawa Ibn ‘Umar pernah mendatangi seorang lelaki yang sedang hendak me-nahr[1] (menyembelih) unta korbannya dalam keadaan didudukkan. Maka Ibn ‘Umar pun berkata:

“Biarkanlah ia dalam keadaan berdiri dan terikat (satu kakinya), kerana itulah sunnah Nabi kalian Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Shahih Muslim, no. 1320)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menjelaskan:

قوله ( ابعثها قياما مقيدة سنة نبيكم صلى الله عليه و سلم ) أي المقيدة المعقولة فيستحب نحر الابل وهي قائمة معقولة اليد اليسرى صح في سنن أبي داود عن جابر رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه و سلم وأصحابه كانوا ينحرون البدنة معقولة اليسرى قائمة على ما بقى من قوائمها اسناده على شرط مسلم أما البقر والغنم فيستحب أن تذبح مضجعة على جنبها الايسر وتترك رجلها اليمنى وتشد قوائمها الثلاث وهذا الذي ذكرنا من استحباب نحرها قياما معقولة هو مذهب الشافعي ومالك وأحمد والجمهور

“(Dari hadis tersebut…) maksudnya, adalah dianjurkan (yakni disunnahkan) agar me-nahr syarah-shahih-muslim-korban-jilid-9(menyembelih) unta dalam keadaan ia berdiri dengan diikat satu kaki depannya yang kiri. Telah sah dalam Sunan Abi Dawud, dari hadis Jaabir radhiyallahu ‘anhu bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan para sahabatnya menyembelih unta dengan mengikat satu kaki depannya yang kiri dan ia dibiarkan dalam keadaan berdiri di atas tiga kakinya yang baki. Isnad hadis ini bersesuaian di atas syarat Muslim.[2]

Adapun bagi lembu dan kambing, maka dianjurkan (atau disunnahkan) menyembelihnya dalam keadaan dibaringkan di atas sisi badannya yang kiri, dan tiga kakinya diikat, manakala kakinya yang kanan dibiarkan tanpa ikatan.

Apa yang kami sebutkan ini, yakni me-nahr (menyembelih) unta dalam keadaan berdiri dan terikat adalah merupakan pendapat Al-Imam Asy-Syafi’i, Malik, Ahmad, dan jumhur para ulama.. Wallaahu a’lam.” (Syarh Shahih Muslim, 9/69)


[1] Yakni kaedah sembelihan khusus bagi unta dengan cara menusuk pada pangkal lehernya.

[2] Di antara dalil yang lain, adalah sebagaimana firman Allah Ta’ala:

وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُمْ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا صَوَافَّ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ

“Dan telah Kami jadikan bagi kalian unta-unta itu sebahagian dari syi’ar Allah, padanya kebaikan yang banyak, maka kalian sebutlah nama Allah ketika menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan terikat satu kaki depannya). Kemudian apabila telah rebah (mati), maka makanlah sebahagian darinya dan beri makanlah orang yang tidak meminta-minta dan orang yang meminta.” (Surah Al-Hajj, 22: 36)

Dari hadis ‘Abdurrahman bin Saabith, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَصْحَابَهُ كَانُوا «يَنْحَرُونَ الْبَدَنَةَ مَعْقُولَةَ الْيُسْرَى قَائِمَةً عَلَى مَا بَقِيَ مِنْ قَوَائِمِهَا

“Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan para sahabatnya me-nahr (menyembelih) unta dalam keadaan kaki depannya yang kiri diikat dan dibiarkan berdiri dengan baki tiga kakinya yang lain.” (Sunan Abi Dawud, no. 1767)

Juga dari Ziyad bin Jubair, beliau berkata:

رَأَيْتُ ابْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، أَتَى عَلَى رَجُلٍ قَدْ أَنَاخَ بَدَنَتَهُ يَنْحَرُهَا قَالَ: «ابْعَثْهَا قِيَامًا مُقَيَّدَةً سُنَّةَ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“Aku melihat Ibn ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma mendatangi seorang lelaki yang sedang membaringkan untanya untuk di-nahr (disembelih). Beliau pun berkata:

“Biarkanlah ia dalam keadaan berdiri dengan terikat, kerana itulah sunnah Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1713)

Manakala di Sunan Abi Dawud:

كُنْتُ مَعَ ابْنِ عُمَرَ بِمِنًى فَمَرَّ بِرَجُلٍ وَهُوَ يَنْحَرُ بَدَنَتَهُ وَهِيَ بَارِكَةٌ، فَقَالَ: «ابْعَثْهَا قِيَامًا مُقَيَّدَةً سُنَّةَ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“Aku pernah bersama-sama Ibn ‘Umar di Mina, lalu beliau melihat seorang lelaki sedang hendak me-nahr (menyembelih) untanya, dan untanya tersebut dalam keadaan duduk (mendekam). Maka beliau pun berkata:

“Biarkanlah ia dalam keadaan berdiri dan terikat, kerana itulah sunnah Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Sunan Abi Dawud, no. 1768)

Kata Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H):

وقال الأعمش، عن أبي ظِبْيَان، عن ابن عباس في قوله: { فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا صَوَافَّ }، قال: قيام على ثلاث قوائم، معقولة يدُها اليسرى، يقول: بِسْمِ اللَّهِ وَاللَّهُ أَكْبَرُ، لا إله إلا الله، اللَّهُمَّ مِنْكَ وَلَكَ. وكذلك روى مجاهد، وعلي بن أبي طلحة، والعَوْفي، عن ابن عباس، نحو هذا. وقال ليث. عن مجاهد: إذا عُقلت رجلها اليسرى قامت على ثلاث. ورَوَى ابن أبي نَجِيح، عنه، نحوه. وقال الضحاك: تُعقل رجل واحدة فتكون على ثلاث.

“Dari Al-A’masy, dari Abi Dzibbaan, dari Ibnu ‘Abbaas tentang firman Allah:

“..maka kalian sebutlah nama Allah ketika menyembelihnya dalam keadaan berdiri…”

(maksudnya) adalah dalam keadaan berdiri di atas tiga kaki, dan satu kaki depannya yang kiri diikat. Dalam keadaan seperti itu dia menyebutkan:

بِسْمِ اللَّهِ وَاللَّهُ أَكْبَرُ، لا إله إلا الله، اللَّهُمَّ مِنْكَ وَلَكَ

“Bismillaahi wallaahu akbar (dengan nama Allah dan Allah maha Besar), tiada yang berhak diibadahi (dengan benar) melainkan Allah, ya Allah dari Engkau dan untuk Engkau.”

Pendapat yang serupa diriwayatkan dari Mujahid, ‘Ali bin Abi Thalhah, dan Al-‘Aufi dari Ibnu ‘Abbas. Laits berkata, dari Mujahid, apabila diikat satu kaki depannya yang kiri, maka ia dibiarkan berdiri dengan tiga kakinya yang baki… Adh-Dhohhak berkata, Ia diikat satu kakinya, lalu dijadikan ia berdiri dengan tiga kakinya yang lain.” (Tafsir Ibnu Katsir, 1/467)

 Wallaahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest

Comments

  1. Pingback: Ucapan Yang Disunnahkan Ketika Menyembelih Haiwan Korban

Comments are closed.