Menyeru Selain Allah Sebagai Tandingan, Wasilah, dan Syafa’at

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Akhir-akhir ini tampak muncul kembali amalan-amalan seperti memohon doa, meraih keberkatan, dan mencari-cari syafa’at kepada selain Allah dalam rangka mendapatkan hajat-hajat tertentu. Dan hal ini adalah termasuk bentuk-bentuk kesyirikan iaitu termasuk perbuatan mengadakan tandingan-tandingan bagi Allah.

Antaranya terkandung dalam bait-bait qasidah kaum sufi, mereka melantunkan:

Wahai sebaik-baik makhluk (Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam), tiada sesiapa untukku berlindung, moga keadaanmu tidak sempit untuk menolongku.”

Bahkan mereka juga mengatakan (sebagai rangka doa), “Berilah syafa’at kepada kami, wahai kekasih kami (Nabi Muhammad).”

Kami berlindung padamu wahai yang tercinta, engkaulah harapan makhluk wahai sang penawar.”

Kemudian, sampai-sampai ada Sang Habib terkenal dari kalangan penganut ajaran tarekat sufi tertentu berani mengatakan:

Kesimpulannya saudaraku, meminta pada para wali Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak syirik, sama ada ia masih hidup atau telah wafat, kerana kita tidak meminta pada diri orang itu, kita meminta padanya kerana kesolehannya, kerana ia ulama, kerana ia orang yang dicintai Allah, maka hal ini tidak terlarang dalam syariah dengan dalil yang jelas.”

Mereka juga sampai mengatakan:

“Meminta kepada Nabi (sedangkan Nabi telah wafat) itu ibarat kita meminta rawatan dari para dokter, dokter hanya merawat sedang yang menyembuhkan adalah Allah. Demikian ketika kita meminta atau memohon pertolongan kepada Nabi (yang telah wafat), hakikatnya Allah-lah yang memberi kita pertolongan.”

Kemudian, perhatikan pula bait-bait lafaz yang terkandung dalam sebahagian versi kitab Berzanji seperti berikut:

السلام عليك يا كل المرام

Salam atasmu (Muhammad) wahai tempat memohon segala hajat (ya kullal maraam).

السلام عليك يا جالى الكروب

Salam atasmu (Muhammad) wahai penghapus bencana (ya jaaliyal kuruub).” (dan masih banyak lagi contoh-contoh lainnya yang jelas kesyirikannya)

Dalam konteks sedikit berbeza (walaupun hakikatnya sama), terdapat segelintir umat Islam yang apabila berdoa, mereka menyeru sama kepada Rasulullah, kepada ‘Abdul Qadir Jailani, kepada Ja‘far ash-Shadiq, kepada al-Baidhawi, kepada Hasan, kepada Husain, atau seumpamanya… Seperti contohnya (mereka mengungkapkan dalam bait-bait doa mereka):

Ya Allah, ya Rasulullah, bi barakati Sayyidi asy-Syaikh (dengan keberkatan tuan Syaikh) Ja’far ash-Shaadiq, bi barakati laa ilaaha illallaah, Muhammad Rasulullah.”

Menurut mereka, ini dilakukan adalah dalam rangka tawassul, mencari barakah, dan berwasilah kepada para makhluk dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah agar doa-doa mereka segera diperkenankan. Dan hakikatnya, ini sama sahaja. Ia termasuk perbuatan memanjatkan doa kepada selain Allah di samping berdoa kepada Allah. Dan hal ini termasuk dalam bentuk-bentuk bid’ah lagi syirik yang menyebabkan seseorang keluar dari Islam. Dan inilah aqidah kaum musyrikin, aqidah para penyembah berhala yang telah disebutkan dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi.

Kata Syaikh Muhammad bin ‘Abdil Wahhab rahimahullah (Wafat: 1206H):

من جعل بينه وبين الله وسائط يدعوهم ويسألهم الشفاعة ويتوكل عليهم كفر إجماعاً

“Sesiapa yang menjadikan perantara-perantara antara dia dengan Allah, iaitu dalam berdoa, memohon syafa’ah, dan bertawakkal kepada mereka, maka dia telah kafir secara ijma’.” (Nawaqidhul Islaam, no. 2)

Maka dalam hal ini, banyak sekali ayat-ayat Allah Subhanahu wa Ta’ala yang melarang dan menjelaskannya. Antaranya Allah Ta’ala berfirman:

وَلَا تَدْعُ مِنْ دُونِ اللَّهِ مَا لَا يَنْفَعُكَ وَلَا يَضُرُّكَ فَإِنْ فَعَلْتَ فَإِنَّكَ إِذًا مِنَ الظَّالِمِينَ

“Dan janganlah engkau menyeru (memohon) kepada selain Allah, iaitu apa-apa yang tidak memberi manfaat dan tidak (pula) memberi mudharat kepada engkau selain Allah. Kerana jika engkau melakukan (begitu), maka sesungguhnya engkau termasuk orang-orang yang zalim.” (Surah Yunus, 10: 106)

Dalam ayat yang lain:

وَإِنْ يَمْسَسْكَ اللَّهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ وَإِنْ يُرِدْكَ بِخَيْرٍ فَلَا رَادَّ لِفَضْلِهِ يُصِيبُ بِهِ مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ وَهُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

“Jika Allah menimpakan sesuatu kemudharatan kepada engkau, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah menghendaki kebaikan untuk engkau, maka tidak ada yang dapat menolak kurniaan-Nya. Dia memberikan kebaikan itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Yunus, 10: 107)

Dalam ayat yang lain:

إِنَّمَا تَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ أَوْثَانًا وَتَخْلُقُونَ إِفْكًا إِنَّ الَّذِينَ تَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ لَا يَمْلِكُونَ لَكُمْ رِزْقًا فَابْتَغُوا عِنْدَ اللَّهِ الرِّزْقَ وَاعْبُدُوهُ وَاشْكُرُوا لَهُ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

“Sesungguhnya apa yang kamu ibadahi selain Allah itu adalah berhala, dan kamu telah berbuat kedustaan. Sesungguhnya yang kamu ibadahi selain Allah itu tidak mampu memberikan rezeki kepada kamu; maka mintalah rezeki itu di sisi Allah, dan sembahlah Dia dan bersyukurlah kepada-Nya. Hanya kepada-Nya-lah kamu akan dikembalikan.” (Surah al-‘Ankabut, 29: 17)

Dan ketauhilah bahawa doa adalah termasuk ibadah, maka berdoalah hanya kepada Allah, bukan kepada selain Allah. Kata Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

الدُّعَاءُ هُوَ العِبَادَةُ ثُمَّ قَرَأَ وَقَالَ رَبُّكُمْ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

“Doa adalah ibadah. Rabb kalian berfirman, “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan aku perkenankan untukmu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari mengibadahi-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan yang hina.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 3247. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

Maka sesiapa yang berdoa (memohon) kepada selain Allah, maka dia termasuk orang yang sombong dan telah beribadah kepada selain Allah.

Ingatlah, pesan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ini:

إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللَّهَ، وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ

“Apabila engkau berdoa maka berdoalah kepada Allah, dan apabila engkau memohon (pertolongan) maka mohonlah kepada Allah.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2516)

Kemudian, firman Allah Ta’ala lagi:

فَادْعُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ

“Maka berdoalah kepada Allah dengan memurnikan ibadah kepada-Nya walaupun orang-orang kafir tidak menyukainya.” (Surah Al-Mukmin, 40: 14)

Dalam ayat yang lain:

 أَإِلَهٌ مَعَ اللَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ. أَمَّنْ يُجِيبُ الْمُضْطَرَّ إِذَا دَعَاهُ وَيَكْشِفُ السُّوءَ وَيَجْعَلُكُمْ خُلَفَاءَ الْأَرْضِ أَإِلَهٌ مَعَ اللَّهِ قَلِيلًا مَا تَذَكَّرُونَ

Adakah bersama-sama Allah itu ada ilah (sembahan yang diibadahi) yang lain selain dari Allah? Bahkan (sebenarnya) kebanyakan dari mereka tidak mengetahui. Atau siapakah yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesusahan (dalam keadaan terdesak) apabila ia berdoa kepada-Nya, dan yang menghilangkan kesusahan dan yang menjadikan kamu (manusia) sebagai khalifah di bumi? Adakah bersama-sama Allah itu ada ada ilah (sembahan yang diibadahi) yang lain selain dari Allah? Amat sedikitlah kamu mengingat.” (Surah An-Naml, 27: 61-62)

Faedah ayat:

1, Ayat ini menunjukkan salah satu bentuk kesyirikan yang akan menjadi pemusnah kepada tauhid, iaitu perbuatan memohon pertolongan kepada selain Allah dari pelbagai mara bahaya.

2, Allah telah melarang berdoa kepada sesiapa pun dari kalangan makhluk-Nya yang mana mereka tidak mampu memberi manfaat mahupun mudharat. Dan hanya kepada Allah-lah tempat memohon pertolongan (berdoa) atau menolak mara bahaya.

3, Allah Ta’ala menjelaskan bahawa Dia bersendirian (Maha Esa) dalam kekuasaan, penaklukan, pemberian, atau penahanan, mendatangkan bencana atau manfaat. Tidak ada selain-Nya yang mampu melakukan hal tersebut. Maka dari itu, hanya Allah sahajalah satu-satunya yang diseru (diibadahi dan tempat memohon doa), bukan kepada selainnya yang tidak mampu mendatangkan manfaat mahupun mara bahaya bagi dirinya sendiri.

4, Beribadah dan berdoa kepada selain Allah adalah termasuk kemaksiatan (syirik) dan merupakan kedustaan yang diada-adakan. Apa jua yang diibadahi selain Allah adalah termasuk berhala (autsan).

5, Setiap apa yang diseru, diibadahi, dijadikan tempat memohon, dan permohonan doa selain Allah itu tidak akan mampu memberikan manfaat mahupun rezeki. Kerana rezeki dan manfaat itu hanyalah dari Allah. Maka mintalah rezeki kepada Allah, beribadahlah kepada Allah, dan bersyukur-lah kepada-Nya.

6, Orang yang memohon kepada selain Allah, maka itu termasuk penyembahan dan peribadatan kepada selain Allah, serta mereka termasuk orang-orang yang berbuat syirik, dusta, dan tidak tahu bersyukur.

7, Orang-orang yang meninggalkan doa kepada Allah, atau yang menjadikan tandingan bagi Allah dengan menyeru (berdoa) kepada selain Allah di samping berdoa kepada Allah, maka itu termasuk bentuk-bentuk kesombongan. Dan Allah mengancam mereka ini dengan Neraka Jahannam.

8, Dalam surah An-Naml (27, 61-62), Allah Ta’ala menegakkan hujjah-Nya terhadap kaum musyrikin yang telah menjadikan selain Allah sebagai penolong-penolong (atau wasilah-wasilah) bagi mereka dalam hal permohonan doa. Maka ayat ini menjadi hujjah yang kuat akan bathilnya perbuatan berdoa kepada selain Allah atau menjadikannya sebagai wasilah berdoa di samping berdoa kepada Allah. Sebaliknya Allah menegaskan agar berdoa hanya kepada-Nya semata-mata dengan tulus.

Apa-apa Jua Yang Diibadahi (Atau Dipuja) Selain Allah Akan Menjadi Musuh

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَمَنْ أَضَلُّ مِمَّنْ يَدْعُو مِنْ دُونِ اللَّهِ مَنْ لَا يَسْتَجِيبُ لَهُ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَهُمْ عَنْ دُعَائِهِمْ غَافِلُونَ. وَإِذَا حُشِرَ النَّاسُ كَانُوا لَهُمْ أَعْدَاءً وَكَانُوا بِعِبَادَتِهِمْ كَافِرِينَ

“Dan siapakah yang lebih sesat dari mereka yang menyeru (meng-ibadahi) sesuatu selain Allah yang tidaklah dapat memperkenankan (doa)-nya sampai hari kiamat dan mereka yang diseru lalai dari (memperhatikan) doa mereka? Dan apabila manusia dikumpulkan (pada hari kiamat) nescaya apa yang mereka seru (dalam doa mereka) itu akan menjadi musuh mereka dan mengingkari pemujaan-pemujaan mereka.” (Surah Al-Ahqaaf, 46: 5-6)

Dalam ayat yang lain Allah berfirman:

ذَلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمْ لَهُ الْمُلْكُ وَالَّذِينَ تَدْعُونَ مِن دُونِهِ مَا يَمْلِكُونَ مِن قِطْمِيرٍ. إِن تَدْعُوهُمْ لاَ يَسْمَعُوا دُعَاءكُمْ وَلَوْ سَمِعُوا مَا اسْتَجَابُوا لَكُمْ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يَكْفُرُونَ بِشِرْكِكُمْ وَلاَ يُنَبِّئُكَ مِثْلُ خَبِيرٍ

“Yang (berbuat) demikian itu adalah Allah Rabb-mu, kepunyaan-Nya-lah kerajaan. Dan apa-apa yang kamu seru (dalam ibadah dan doa) selain dari Allah itu tidaklah memiliki apa-apa pun walau senipis qithmiir (selaput biji kurma). Jika kamu menyeru mereka, mereka tidak mendengar seruanmu; dan kalau mereka mendengar, mereka tidak pula dapat memperkenankan permintaanmu. Dan di hari kiamat mereka akan mengingkari kesyirikkanmu dan tidak ada yang dapat memberi keterangan kepada engkau sebagaimana yang diberikan oleh Yang Maha Mengetahui.” (Surah Fathir, 35: 13–14)

Faedah ayat:

1, Allah Ta’ala menghukumi bahawa tidak ada yang lebih sesat berbanding orang yang menyeru (berdoa) kepada selain Allah. Yang mana yang diseru itu sendiri tidak mampu mendengar dan tidak pula mampu mengambil tahu apa yang diserukan kepadanya dan tidak pula mampu memperkenankannya.

Allah Ta’ala berfirman:

أُولَئِكَ الَّذِينَ يَدْعُونَ يَبْتَغُونَ إِلَى رَبِّهِمُ الْوَسِيلَةَ أَيُّهُمْ أَقْرَبُ وَيَرْجُونَ رَحْمَتَهُ وَيَخَافُونَ عَذَابَهُ إِنَّ عَذَابَ رَبِّكَ كَانَ مَحْذُورًا

“Orang-orang yang mereka seru (ketika berdoa), mereka itu sendiri mencari jalan kepada Rabb mereka siapa di antara mereka yang lebih dekat (kepada Allah), dan mereka mengharapkan rahmat-Nya dan takut akan azab-Nya.” (Surah Al-Israa’, 17: 57)

2, Pada hari Kiamat, mereka yang diibadahi (atau yang dijadikan tempat berdoa) dari selain Allah akan memusuhi orang-orang yang berdoa kepadanya serta berlepas diri dari mereka.

3, Maka tidak adalah yang diperolehi oleh mereka ini melainkan kerugian di dunia dan di akhirat. Di dunia, mereka tidak akan mendapat jawaban atas permohonan mereka, dan di akhirat ibadah mereka diingkari oleh hujjah yang kuat berbanding ketika di dunia lagi.

4, Oleh itu, sesiapa yang menyerahkan atau memanjatkan doanya kepada selain Allah, maka dia termasuk para musyrik. Dan setiap apa yang diseru (dijadikan sebagai tempat berdoa) selain Allah, maka ia tidak dapat mendengar doa orang-orang yang berdoa, dan tidak pula dapat memperkenankannya.

Nabi Mengingkari Perbuatan Berdoa Kepada Dirinya

Diriwayatkan oleh ath-Thabrani di dalam Mu’jamnya:

أَنَّهُ كَانَ فِي زَمَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُنَافِقٌ يُؤْذِي الْمُؤْمِنِينَ فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ الصِّدِّيقُ: قُومُوا بِنَا لِنَسْتَغِيثَ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ هَذَا الْمُنَافِقِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إنَّهُ لَا يُسْتَغَاثُ بِي وَإِنَّمَا يُسْتَغَاثُ بِاَللَّهِ

“Bahawa pada zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah ada seorang munafiq yang sering menyakiti orang-orang beriman. Kata Abu Bakar ash-Shiddiq (atau sebahagian sahabat), “Marilah kita ber-istighotsah (berdoa memohon pertolongan bagi menyekat mara bahaya) kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam terhadap apa yang telah dilakukan oleh munafiq ini.”

Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda:

“Sesungguhnya tidak boleh ber-istighotsah kepada aku. Sesungguhnya istighotsah itu hanya kepada Allah sahaja.” (Majma’ Az-Zawa’id, no. 17276. Majmu’ al-Fatawa, 1/101, 1/110, 1/303, 1/329. Al-Jami’ al-Kabiir, no. 1900. Kata al-Haitsami, “Hadis riwayat Ath-Thabrani dan para perawinya adalah perawi Ash-Shahih kecuali Ibn Lahi’ah dan beliau hasanul hadits. Diriwayatkan juga oleh Ahmad (no. 22706) dengan siyaq (redaksi) yang berbeza)

Perumpamaan orang yg berdoa kepada selain ALLAH

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ ضُرِبَ مَثَلٌ فَاسْتَمِعُوا لَهُ إِنَّ الَّذِينَ تَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ لَنْ يَخْلُقُوا ذُبَابًا وَلَوِ اجْتَمَعُوا لَهُ وَإِنْ يَسْلُبْهُمُ الذُّبَابُ شَيْئًا لَا يَسْتَنْقِذُوهُ مِنْهُ ضَعُفَ الطَّالِبُ وَالْمَطْلُوبُ

“Wahai manusia, telah dibuat perumpamaan, maka dengarlah perumpamaan itu. Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah sekali-kali tidak dapat menciptakan seekor lalat pun, walaupun mereka bersatu menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu dari mereka, tidaklah mereka dapat merampasnya kembali dari lalat itu. Amat lemahlah yang meminta dan amat lemah (pula-lah) yang diminta.” (Surah Al-Hajj, 22: 73)

Berdoa Kepada Selain Allah Balasannya Neraka

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ مَاتَ وَهْوَ يَدْعُو مِنْ دُونِ اللَّهِ نِدًّا دَخَلَ النَّارَ

“Sesiapa yang mati dalam keadaan dia menyeru (berdoa) kepada selain Allah di samping berdoa kepada Allah, maka dia masuk Neraka.” (Shahih Al-Bukhari, no. 4497)

‘Abdullah B. Mas’oud radhiyallahu ‘anhu menambah (sebagai penjelas):

مَنْ مَاتَ وَهْوَ لاَ يَدْعُو لِلَّهِ نِدًّا دَخَلَ الجَنَّةَ

“Sesiapa yang mati dan dia tidak menyeru di sisi Allah sebagai tandingan, maka dia masuk Jannah (Syurga).”

Mereka Kata, Itu Hanya Wasilah dan Pemberi Syafa’at?

Atau mereka mengatakan, “Tidaklah kami berdoa kepada mereka (iaitu kepada para Nabi atau orang-orang soleh yang telah wafat), dan tidaklah kami menghadapkan wajah kepada mereka melainkan untuk mendekatkan diri dan mencari syafa’at.”

Maka Allah Subhanahu wa Ta’ala jawab dalam firman-Nya:

أَلَا لِلَّهِ الدِّينُ الْخَالِصُ وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِنْ دُونِهِ أَوْلِيَاءَ مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَى إِنَّ اللَّهَ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ فِي مَا هُمْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي مَنْ هُوَ كَاذِبٌ كَفَّارٌ

“Ingatlah, hanya milik Allah-lah agama yang bersih tulus (dari kesyirikan). Dan orang-orang yang mengambil pelindung (wali) selain Allah (mengatakan): “Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami (sebagai wasilah) kepada Allah dengan sedekat-dekatnya.” Sesungguhnya Allah akan memutuskan di antara mereka tentang apa yang mereka berselisih padanya. Sesungguhnya Allah tidak menunjuki orang-orang yang pendusta dan sangat ingkar.” (Surah Az-Zumar, 39: 3)

Dalam ayat yang lain, Allah membantah mereka:

وَيَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ مَا لَا يَضُرُّهُمْ وَلَا يَنْفَعُهُمْ وَيَقُولُونَ هَؤُلَاءِ شُفَعَاؤُنَا عِنْدَ اللَّهِ قُلْ أَتُنَبِّئُونَ اللَّهَ بِمَا لَا يَعْلَمُ فِي السَّمَاوَاتِ وَلَا فِي الْأَرْضِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى عَمَّا يُشْرِكُونَ

“Dan mereka menyembah selain daripada Allah apa yang tidak dapat mendatangkan kemudharatan kepada mereka dan tidak (pula) kemanfaatan, dan mereka mengatakan (beralasan): “Mereka itu adalah pemberi syafa’at kepada kami di sisi Allah.” Katakanlah: “Adakah kamu mengkhabarkan kepada Allah apa yang tidak diketahui-Nya baik di langit dan tidak (pula) di bumi?” Maha Suci Allah Subhanahu wa Ta’ala dari apa yang mereka persekutukan.” (Surah Yunus, 10: 18)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

أَمِ اتَّخَذُوا مِنْ دُونِ اللَّهِ شُفَعَاءَ قُلْ أَوَلَوْ كَانُوا لَا يَمْلِكُونَ شَيْئًا وَلَا يَعْقِلُونَ

“Bahkan mereka mengambil pemberi syafa’at selain Allah. Katakanlah, “Dan adakah (kamu mengambilnya juga) walaupun mereka tidak memiliki sesuatupun dan tidak dapat memikirkan?”

قُلْ لِلَّهِ الشَّفَاعَةُ جَمِيعًا لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

“Katakanlah, “Hanya kepunyaan Allah syafa’at itu seluruhnya. Kepunyaan-Nya kerajaan langit dan bumi. Kemudian kepada-Nyalah kamu dikembalikan” (Surah Az-Zumar, 39: 43-44)

Adapun termasuk cara mendapatkan syafa’at di akhirat kelak adalah dengan cara memurnikan tauhid kepada Allah, beramal dengan sunnah-sunnah Rasulullah, membaca dan mengamalkan Al-Qur’an, memperbanyakkan amalan-amalan sunnah seperti berpuasa, serta memperbanyakkan selawat ke atas Nabi (sebagaimana yang telah disunnahkan oleh Nabi).

Bukan dengan cara berdoa kepada Nabi atau kepada orang-orang yang lain yang telah meninggal dunia.

Dari itu, menyeru (dalam rangka memohon sesuatu atau meraih kedekatan kepada Allah) kepada hal-hal yang ghaib selain dari Allah seperti kepada para malaikat, syaitan, orang mati, atau kepada benda-benda yang mati dan orang yang tidak hadir yang tidak memiliki kemampuan, maka ini adalah termasuk kesyirikan yang mengeluarkan seseorang dari wilayah keislaman.

Wallahu a’lam…

InsyaAllah akan bersambung dengan perbahasan memohon Syafa’at kepada selain Allah.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest