Niat Yang Salah Menghilangkan Keberkahan Ilmu

Asy-Syaikh ‘Abdul ‘Aziz As-Sadhan hafidzahullah
Dipetik dari kitab Ma’aalim fi Thariiq Thalabil ‘Ilm
www.ilmusunnah.com

maalim_fi_thariq

Niat merupakan rukun dan tiang asas sesebuah amal. Apabila niat itu salah dan tercemar (rosak), maka amal yang dikerjakan pun akan ikut salah dan tercemar bersesuaian dengan kadar kesalahan dan kerosakan pada niatnya.

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى

“Sesungguhnya amal itu bergantung pada niatnya, dan bagi setiap orang akan mendapatkan (pahala dari amalnya) bersesuaian dengan apa yang dia niatkan.” (Muttafaqun ‘alaih)

Demikianlah niat merupakan rukun suatu amal, sebagaimana disebutkan dalam satu bait syair:

Rumah tidak akan berdiri tanpa ada tiang,

Dan tidak ada gunanya tiang sekiranya bukan dari kayu-kayu yang teguh.

Apabila niat telah tercemari dengan tujuan kotor dalam segala bentuknya, seperti ingin dikenal, mencari kemasyhuran, atau ingin menguasai majlis, maka perkara ini akan menjadi penghalang bagi orang yang memiliki niat tersebut dalam mencari ilmu.

Niat adakalanya dicemari dengan hal-hal yang dapat menjadi penghalang, sedangkan Allah akan sentiasa bersama-sama dengan orang-orang yang berbuat tulus lagi bersungguh-sungguh, sebagaimana dalam firman-Nya,

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ (69)

“Dan orang-orang yang bermujahadah (berusaha sungguh-sungguh) untuk (mencari keredhaan) Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang muhsinin.” (Surah Al-Ankabut, 29: 69)

Sementara Al-Imam Sufyan Ats-Tsauri rahimahullah (dengan sifat wara’ dan kemuliaan yang dimilikinya) pernah berkata:

ما عالجت شيئا اشد علي من نيتي

“Tidak ada satu urusan yang lebih berat bagiku untuk aku rawat (pelihara) selain dari niat.” (Tadzkirah As-Sami’ wa Al-Mutakallim oleh Ibnu Jamaa’ah, m/s. 68)

Jika seorang imam bernama Sufyan Ats-Tsauri saja demikian keadaannya, lalu bagaimana dengan kita? Oleh kerana itu, sudah sepatutnya bagi kita untuk fokus di dalam menuntut ilmu. Hendaklah tiada yang dicari di dalamnya melainkan hanya kerana mencari keredhaan Allah Ta’ala semata. Kerana orang yang berniat tidak akan terlepas dari tipu daya iblis, dan ini bukanlah hal yang aneh. Namun, perkara ini akan menjadi aneh apabila orang yang berniat itu tenggelam dalam tipu daya iblis. Sepatutnya dia melawan dan memeranginya dengan penuh kesungguhan sedaya mungkin, dan tidak mudah berputus-asa darinya.

Hendaklah dia membaca perkataan para ulama yang menceritakan tentang diri mereka; seperti yang dikatakan oleh Al-Imam Ad-Daruquthni Abul Hasan ‘Ali bin ‘Umar, seorang Amirul Mukminin (pemimpin) dalam bidang hadis, beliau rahimahullah telah berkata:

طلبنا العلم لغير الله فأبى أن يكون إلا لله

“Kami telah menuntut ilmu untuk selain Allah, maka ilmu pun enggan datang kecuali hanya untuk Allah.” (Tadzkirah As-Sami’ wa Al-Mutakallim oleh Ibnu Jamaa’ah, m/s. 47)

Sebahagian ulama telah menafsirkan nukilan perkataan ini dengan mengatakan bahawa terkadang di dalam hati kecil para penuntut ilmu terdetik perasaan ingin tampil dikenal. Jika setelah itu dia kembali kepada ilmu, membaca nash-nash serta sirah-sirah, lalu merenunginya dengan baik, maka dia adalah termasuk orang yang Allah Ta’ala kehendaki kebaikan baginya. Allah Ta’ala meluruskan hatinya dan mengembalikannya ke jalan yang benar, dan tidaklah sikap muhasabahnya tersebut kecuali akan menambah rindu kepada kebenaran dan kebaikan. Adapun orang yang lebih memilih untuk mengikuti hawa nafsunya, maka janganlah dia menyalahkan sesiapa selain dirinya sendiri.

Mencintai Kemasyhuran dan Mengejar Populariti

Ini sebenarnya masuk dalam perbahasan niat. Namun kerana ia permasalahan yang sangat penting, maka perlu dihuraikan secara tersendiri. Ingin kemasyhuran dan mengejar populariti merupakan penyakit kronik yang tidak seorang pun dapat selamat darinya, kecuali orang-orang yang dijaga oleh Allah Ta’ala. Sebagaimana diungkapkan oleh Al-Imam Asy-Syathibi rahimahullah:

آخر الأشياء نزولاً من قلوب الصَّالحين: حبُّ السُّلطة والتَّصدر

“Sesuatu yang paling akhir hilang dari orang-orang yang soleh adalah keinginan untuk berkuasa dan keinginan untuk popular.” (lihat Al-I’tisham karya Asy-Syathibi)

Apabila niat seorang penuntut ilmu ingin agar namanya terkenal, ingin selalu disebut-sebut, dan ingin selalu dihormati di mana saja dia berada atau berjalan, dan tidak ada yang dia inginkan kecuali hal tersebut, maka dia telah menempatkan dirinya pada kedudukan yang sangat bahaya. Cukuplah bagi kita untuk mengetahui bahaya hal ini dengan mengetahui satu sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berikut:

إِنَّ أَوَّلَ النَّاسِ يُقْضَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَلَيْهِ ثلاثة – إلى أن قال -:

 وَرَجُلٌ تَعَلَّمَ الْعِلْمَ، وَعَلَّمَهُ وَقَرَأَ الْقُرْآنَ، فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا، قَالَ: فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا؟ قَالَ: تَعَلَّمْتُ الْعِلْمَ، وَعَلَّمْتُهُ وَقَرَأْتُ فِيكَ الْقُرْآنَ، قَالَ: كَذَبْتَ، وَلَكِنَّكَ تَعَلَّمْتَ الْعِلْمَ لِيُقَالَ: عَالِمٌ، وَقَرَأْتَ الْقُرْآنَ لِيُقَالَ: هُوَ قَارِئٌ، فَقَدْ قِيلَ، ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى أُلْقِيَ فِي النَّارِ

“Sesungguhnya manusia yang pertama kali dihisab pada hari Kiamat adalah tiga orang; – sehinggalah beliau menyebutkan yang salah satunya:

“Dan seorang yang belajar ilmu (agama) dan mengajarkannya, serta yang membacakan Al-Qur’an, kemudian didatangkan kepadanya pelbagai kenikmatan, sehingga dia pun mengetahuinya dengan jelas.

Allah Ta’ala bertanya, “Apa yang telah engkau lakukan padanya?” Dia menjawab, “Aku telah belajar ilmu (agama) dan mengajarkannya, aku juga membaca Al-Qur’an demi Engkau.”

Allah Ta’ala berfirman, “Engkau berbohong, akan tetapi engkau belajar ilmu dan mengajarkannya agar dikatakan bahawa engkau adalah seorang ‘aalim (berilmu), dan engkau juga membaca Al-Qur’an agar dikatakan bahawa engkau adalah seorang qaari (yang mahir membaca Al-Qur’an), lalu engkau pun telah dikatakan demikian.”

Kemudian diperintahkan untuknya, agar dia diseret di atas wajahnya, sampai dia dicampakkan ke dalam api neraka…” (Shahih Muslim, no. 1905)

Dan dalam hadis lain disebutkan:

يا نعايا العرب! إن أخوف ما أخاف عليكم الرياء والشهوة الخفية

“Wahai bangsa ‘Arab, perkara yang paling aku takutkan menimpa kalian adalah riya’ dan syahwat yang tersembunyi.” (lihat: As-Silsilah Ash-Shahihah oleh Al-Albani, no. 508)

Ibnul Atsir rahimahullah mengatakan:

 إن الشهوةُ الخفيةُ حُبُّ اطلاعِ الناسِ عَلَى الْعَمَلِ

“Syahwat yang tersembunyi adalah meginginkan agar manusia melihat (atau mengetahui) amalnya.” (An-Nihayah fi Gharibil Hadits, 2/516)

Suatu hari ‘Umar bin Al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu melihat kerumunan orang sedang berjalan di belakang Ubay bin Ka’ab, maka beliau pun mengherdiknya lalu berkata:

كُفَّ عن هذا، فإنها فتنة للمتبوع مذلة للتابع

“Berhentilah dari perbuatan tersebut! Kerana sesungguhnya ia menjadi fitnah (ujian) bagi orang yang diikuti, dan kehinaan bagi orang yang mengikuti.” (Al-I’tisham oleh Asy-Syathibi)

Disebutkan dalam sebahagian kitab Ar-Raqaa’iq dan As-Suluk, jika seorang hamba bergembira dan merasa suka apabila mendapat penghormatan orang lantaran ilmu yang dia miliki dan amal yang dikerjakannya, maka ini telah membuka pintu yang besar dari pintu-pintu riya’ (ingin dilihat orang lain) dan sum’ah (ingin dikenal atau didengar oleh orang lain) dalam dirinya.

(Sebagaimana dalam hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam):

مَنْ سَمَّعَ سَمَّعَ اللَّهُ بِهِ، وَمَنْ يُرَائِي يُرَائِي اللَّهُ بِهِ

“Siapa yang memperdengarkan (amalnya), maka Allah pun akan memperdengarkannya (kepada manusia). Siapa yang memperlihatkan amal-amalnya (kerana riya’; kerana ingin dilihat orang), maka Allah pun akan memperlihatkannya (kepada manusia).” (lihat: Shahih Al-Bukhari, no. 6499)

Maka inilah dia musibah syahwat, kecuali bagi siapa yang diteguhkan hatinya oleh Allah.

Bahawasanya para ulama salaf rahimahumullah adalah manusia yang paling jauh dari mencintai kemasyhuran (atau mencari populariti).

Di antara contoh-contoh teladan dalam hal ini adalah:

Sebagaimana dalam biografi Ayyub As-Sakhtiyaani rahimahullah, Syu’bah menyebutkan tentang beliau:

Ayyub berkata:

ذُكرتُ و لا أحب أن أذكر

“Aku disebut-sebut (dipuji) padahal aku tidak suka disebut-sebut.” (Siyar A’lam An-Nubala’, 6/22)

Syu’bah juga mengatakan:

ربما ذهبت مع أيوب لحاجة فلا يدعني أمشي معه، و يخرج من ههنا و ههنا، لكيلا يفطن له

“Aku pernah pergi bersama Ayyub untuk suatu keperluan, beliau pun tidak membiarkan aku berjalan bersamanya, dia keluar dari sini dan sini, supaya beliau tidak dikenali.” (Siyar A’lam An-Nubala’, 6/22)

Hammad berkata:

كنت أمشي معه ( يعني أيوب ) فيأخذ في طرق إني لأعجب كيف يهتدي لها؛ فرارا من الناس أن يقال: هذا أيوب

“Aku pernah berjalan bersamanya (yakni bersama Ayyub), tetapi beliau mengambil jalan yang membuat aku benar-benar hairan, kenapa beliau berbuat begitu. Rupa-rupanya beliau melakukan begitu kerana mahu mengelak dari orang-orang yang akan mengatakan, “ini adalah Ayyub.” (Siyar A’lam An-Nubala’, 10/476)

Bisyr bin Al-Harits berkata:

ما اتقى الله من أحب الشهرة

“Tidaklah bertaqwa kepada Allah siapa yang mencintai populariti.” (Siyar A’lam An-Nubala’, 11/216)

Al-Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah berkata:

أريد أن أكون في شعب بمكة؛ حتى لا أعرف، و قد بليت بالشهرة

“Aku menginginkan kalau dijadikan tinggal di suatu perbukitan (tempat yang jauh dari manusia) di Makkah sehinggalah aku tidak dikenali, benar-benar aku telah diuji dengan populariti.” (Siyar A’lam An-Nubala’, 11/21)

Ketika berita sampai kepada Imam Ahmad bahawa orang-orang mendoakan kebaikan untuknya, maka beliau pun berkata:

ليته لا يكون استدراجا

“Aku berharap itu bukan istidraj (kebaikan yang memperdaya).” (Siyar A’lam An-Nubala’, 11/211)

Pernah suatu hari seorang murid imam Ahmad mengkhabarkan kepadanya bahawa orang-orang memujinya, maka beliau pun berkata kepada muridnya:

يا أبا بكر؛ إذا عرف الرجل نفسه فما ينفعه كلام الناس

“Wahai Abu Bakr, apabila seseorang telah mengetahui tentang dirinya, maka tidak akan bermanfaat lagi baginya ucapan manusia.” (Siyar A’lam An-Nubala’, 11/211)

Dan pada suatu hari, beliau juga pernah berkata kepada seorang yang menyampaikan bahawa orang-orang mendoakan kebaikan untuk beliau:

أسأل الله أن لا يجعلنا مرآئين

“Aku memohon kepada Allah agar tidak menjadikan kita sebagai orang-orang yang berbuat riya’.” (Siyar A’lam An-Nubala’, 11/211)

Sekian nukilan – Wallaahu a’lam.

Disarikan dari Kitab Ma’aalim fii Thariiq Thalabil ‘Ilm oleh Asy-Syaikh ‘Abdul ‘Aziz As-Sadhan hafidzahullah.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest