Orang-Orang yang Mendapat Keringanan untuk Tidak Berpuasa Di Bulan Ramadhan

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Sesungguhnya Islam ini adalah agama yang mudah dan penuh kemudahan. Di saat datangnya perintah untuk berpuasa, ada beberapa orang yang mendapat keringan untuk tidak berpuasa. Benar-benar Islam bukanlah agama untuk memberatkan umatnya.

Berikut adalah perinciannya secara ringkas.

Pertama: Musafir

Secara umum, Allah Ta’ala memberikan keringanan kepada para musafir, iaitu mereka yang sedang berada dalam safar (perjalanan jauh) untuk tidak berpuasa.

Ini adalah berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

“Maka, sesiapa di antara kalian yang sakit atau berada dalam perjalanan (lalu berbuka), (dia wajib berpuasa) sebanyak hari (puasa) yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.” (Surah Al-Baqarah, 2: 184)

Suatu hal yang telah diketahui bersama adalah bahawa perjalanan safar kadang meletihkan dan kadang tidak meletihkan.

Adapun pada perjalanan yang meletihkan, hal yang paling utama bagi seorang musafir adalah berbuka. Ini adalah berdasarkan hadis dari Jaabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفَرٍ، فَرَأَى رَجُلًا قَدِ اجْتَمَعَ النَّاسُ عَلَيْهِ، وَقَدْ ظُلِّلَ عَلَيْهِ، فَقَالَ: «مَا لَهُ؟» قَالُوا: رَجُلٌ صَائِمٌ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «لَيْسَ الْبِرَّ أَنْ تَصُومُوا فِي السَّفَرِ»

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam suatu safar (perjalanan), lalu beliau melihat seseorang yang dikerumuni orang ramai dan dibawa ke tempat yang teduh. Maka Rasulullah bertanya, “Apa kena dengannya?” Lalu dijawab, “Dia sedang berpuasa.”

Maka Rasulullah pun bersabda, “Bukanlah termasuk kebaikan kalian berpuasa dalam perjalanan.” (Shahih Muslim, no. 1115)

Walaupun demikian, hadis ini tidaklah menunjukkan tentang keharaman berpuasa dalam perjalanan yang meletihkan secara mutlak. Ini kerana di sana terdapat indikasi tentang dibolehkannya bagi orang yang mampu berpuasa walaupun sedang berada dalam suatu perjalanan yang meletihkan asalkan tidak memudharatkan atau membahayakannya. Ini adalah sebagaimana keterangan dalam hadis dari sebahagian sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, bahawa sahabat tersebut berkata:

رَأَيْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ النَّاسَ فِيْ سَفَرِهِ عَامَ الْفَتْحِ بِاْلفِطْرِ وَقَالَ تَقَوَّوْا لِعَدُوِّكُمْ وَصَامَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَبُوْ بَكْرٍ قَالَ الَّذِيْ حَدَّثَنِيْ لَقَدْ رَأَيْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِاْلعَرْجِ يُصِبُ عَلَى رَأسِهِ الْمَاءَ وَهُوَ صَائِمٌ مِنَ اْلعَطْشِ أَوْ مِنْ الْحَرِّ

“Aku melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan manusia untuk berbuka puasa dalam safar beliau di tahun penaklukan Makkah, dan beliau berkata:

“Siapkanlah kekuatan kalian untuk menghadapi musuh kalian.” Sedangkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri sedang berpuasa.”

Abu Bakar (bin ‘Abdurrahman: rawi yang meriwayatkan dari sahabat) berkata, “Sahabat yang bercerita kepadaku mengatakan, “Sesungguhnya aku melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di ‘Araj menuangkan air ke atas kepalanya kerana kehausan atau kepanasan, sedangkan beliau dalam keadaan berpuasa.” (Al-Muwaththa’, no. 310/1032. Sunan Abi Dawud, no. 2365. Ma’rifatus Sunan wal Atsar, no. 8769)

Juga sebagaimana dalam hadis yang lain dari Abi Dardaa’ radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

خَرَجْنَا مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ فِي حَرٍّ شَدِيدٍ، حَتَّى إِنْ كَانَ أَحَدُنَا لَيَضَعُ يَدَهُ عَلَى رَأْسِهِ مِنْ شِدَّةِ الْحَرِّ، وَمَا فِينَا صَائِمٌ، إِلَّا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَبْدُ اللهِ بْنُ رَوَاحَةَ

“Kami pernah keluar bersama-sama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam bulan Ramadhan padah hari yang panas terik sekali, sampai ada salah seorang antara kami yang meletakkan tangannya di atas kepala (kerana tidak tahan) dari panas yang terik. Di antara kami tidak ada yang berpuasa kecuali Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan ‘Abdullah bin Rawaahah.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1945. Muslim, no. 1122)

Adapun dalam perjalanan yang tidak meletihkan, berpuasa adalah lebih utama berbanding tidak berpuasa.

Untuk perbahasan berkaitan puasa musafir ini secara rinci, boleh juga melihat artikel yang lalu di, https://ilmusunnah.com/?p=10077

Kedua: Orang Yang Sakit

Ini adalah berdasarkan firman Allah Ta’ala:

فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

“Maka sesiapa di antara kalian yang sakit atau berada dalam perjalanan (lalu berbuka), (dia wajib berpuasa) sebanyak hari (puasa) yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.” (Surah Al-Baqarah, 2: 184)

Ketiga dan Keempat: Perempuan Haidh dan Perempuan Nifas

Ini adalah berdasarkan hadis dari Abu Sa’id Al-Khudri radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أَلَيْسَ إِذَا حَاضَتْ لَمْ تُصَلِّ وَلَمْ تَصُمْ

“Bukankah apabila haidh, seorang perempuan tidak mengerjakan solat dan tidak pula berpuasa?” (Shahih Al-Bukhari, no. 304)

Dalam hadis yang lain, dari Mu’aazah. Kata beliau:

سَأَلْتُ عَائِشَةَ فَقُلْتُ: مَا بَالُ الْحَائِضِ تَقْضِي الصَّوْمَ، وَلَا تَقْضِي الصَّلَاةَ. فَقَالَتْ: أَحَرُورِيَّةٌ أَنْتِ؟ قُلْتُ: لَسْتُ بِحَرُورِيَّةٍ، وَلَكِنِّي أَسْأَلُ. قَالَتْ: «كَانَ يُصِيبُنَا ذَلِكَ، فَنُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّوْمِ، وَلَا نُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّلَاةِ

“Aku bertanya kepada ‘Aisyah, “Kenapa wanita yang haidh mengqadha’ puasa tetapi tidak pula mengqadha’ solat?” Maka ‘Aisyah bertanya, “Adakah engkau ini Haruriyah (khawarij)?” Aku jawab, “Aku bukan Haruriyah, tetapi aku hanya mahu bertanya.” ‘Aisyah pun menjawab, “Kami dahulu juga mengalami haidh, maka kami diperintahkan untuk mengqadha’ puasa dan tidak diperintahkan untuk mengqadha’ solat.” (Shahih Muslim, no. 335)

Perempuan nifas dalam syari’at Islam hukumnya sama dengan perempuan haidh. Ini adalah berdasarkan hadis dari Ummu Salamah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata:

بَيْنَا أَنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، مُضْطَجِعَةٌ فِي خَمِيصَةٍ، إِذْ حِضْتُ، فَانْسَلَلْتُ، فَأَخَذْتُ ثِيَابَ حِيضَتِي، قَالَ: «أَنُفِسْتِ» قُلْتُ: نَعَمْ، فَدَعَانِي، فَاضْطَجَعْتُ مَعَهُ فِي الخَمِيلَةِ

“Ketika berbaring bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di atas baju, tiba-tiba aku haidh, maka aku pun segera pergi lalu mengambil pakaian haidh-ku. Maka, beliau bersabda:

“Adakah engkau sedang nifas?” Saya menjawab, “Ya.” lalu beliau memanggilku, kemudian aku pun berbaring bersamanya di atas tikar.” (Shahih Al-Bukhari, no. 298)

Kelima: Lelaki dan Perempuan Tua yang Tidak Mampu Berpuasa, serta Perempuan yang Hamil dan Menyusui Anak

Lelaki dan perempuan tua yang tidak mampu berpuasa serta perempuan hamil atau perempuan yang sedang menyusukan anak, maka mereka dibolehkan tidak berpuasa. Iaitu maksudnya perempuan hamil atau perempuan yang sedang menyusui, yang bimbang memberi kesan atau akibat negatif terhadap dirinya, kandungannya, atau anak yang berada dalam penyusuannya, apabila dia tetap berpuasa.

Ini adalah berdasarkan dalil hadis dari Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, riwayat Abu Dawud, Ibnu Jaaruud dalam Al-Muntaqaa, dan selainnya, bahawa tentang firman Allah Ta’ala:

وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ.

“Dan orang-orang yang berat menjalankan (puasa) tersebut (jika tidak berpuasa) wajib membayar fidyah, (iaitu) memberi makan seorang miskin (bagi setiap puasa yang ditinggalkan).” (Surah Al-Baqarah, 2: 184)

Ibnu ‘Abbas radhiyallaahu ‘anhumaa berkata:

رَخَّصَ لِلشَّيْخِ الْكَبِيْرِ وَاْلعَجُوْزِ اْلكَبِيْرَةِ فِيْ ذَلِكَ وَهُمَا يُطِيْقَانِ الصَّوْمَ أَنْ يُفْطِرَا إِنْ شَاءا أَوْيُطْعِمَا كُلَّ يَوْمٍ مِسْكِيْناً وَلاَ قَضَاءَ عَلَيْهِمَا ثُمَّ نُسِخَ ذَلِكَ فِيْ هَذِهِ اْلآيَةِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمْ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَثَبَتَ لِلشَّيْخِ الْكَبِيْرِ وَاْلعَجُوْزِ الْكَبِيْرَةِ إِذَا كَانَا لاَ يُطِيْقَانِ الصَّوْمَ وَالْحُبْلَى وَالْمُرْضِعِ إِذَا خَافَتَا أَفْطَرَتَا وَأَطْعَمَتَا كُلَّ يَوْمٍ مِسْكِيْنًا

“(Asalnya) Laki-laki dan perempuan tua diberikan keringanan dalam hal itu (iaitu untuk tidak berpuasa – pent.), walaupun mereka mampu berpuasa. (Keduanya diberikan keringanan) untuk berbuka apabila menghendaki, atau memberi makan satu orang miskin setiap hari dan tidak ada qadha atas mereka berdua, kemudian hal tersebut di-nasakh (dihapus hukumnya) dalam ayat ini:

“Sesiapa di antara kalian yang menyaksikan bulan (Ramadhan), hendaknya dia berpuasa.”

Maka, tetaplah hukum tersebut bagi laki-laki dan perempuan tua yang tidak mampu berpuasa, juga bagi perempuan hamil dan menyusui apabila bimbang (bahawa puasanya akan membahayakan kandungannya atau anak yang ia susui – pent.) (iaitu mereka) berbuka dan membayar fidyah(berupa makanan untuk satu orang miskin) bagi setiap hari (yang ditinggalkan).” (Sunan Abu Dawud, no. 2318. Al-Muntaqaa li Ibnul Jaaruud, no. 381. Lafaz ini adalah milik Ibnul Jaaruud dan dinilai sahih oleh Al-Albani)

Dari Nafi’, beliau berkata:

كَانَتْ بِنْتٌ لِابْنِ عُمَرَ تَحْتَ رَجُلٍ مِنْ قُرَيْشٍ وَكَانَتْ حَامِلًا فَأَصَابَهَا عَطَشٌ فِي رَمَضَانَ , فَأَمَرَهَا ابْنُ عُمَرَ «أَنْ تُفْطِرَ وَتُطْعِمَ عَنْ كُلِّ يَوْمٍ مِسْكِينًا

“Anak perempuan Ibnu ‘Umar yang menikah dengan orang Quraisy sedang hamil. Ketika berpuasa di bulan Ramadhan, dia merasa  kehausan. Kemudian Ibnu ‘Umar memerintahkan anak perempuannya tersebut agar berbuka dan memberi makan orang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan.” (Sunan Ad-Daruquthni, no. 2389)

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest