Pemimpin Adalah Cermin Rakyatnya

www.ilmusunnah.comrakyat-raja

Bukan suatu yang aneh pada hari ini, ketika berlaku suatu musibah atau permasalahan, maka rakyat pun akan bangkit seraya menuding jari dan menyalahkan pihak kerajaan, pemerintah mereka. Pihak penguasa dijadikan sebagai tempat melonggokkan segala bagai kesalahan dan keburukkan. Bahkan tidak cukup dengan hal tersebut, adakalanya sengaja ditambah-tambah dengan hal-hal yang masih tidak jelas perkaranya.

Seakan-akan pemerintah adalah punca segala permasalahan yang menimpa mereka.

Namun, para ulama salaf memiliki pandangan yang berbeza bersesuaian ketajaman pemahaman dan ilmu yang Allah augerahkan buat mereka; di mana pemimpin adalah cerminan dan gambaran keadaan para rakyatnya.

Berikut kita lihat sebahagian dari pesan-pesan mereka dalam perkara ini.

Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) berkata:

وَقَدْ ذَكَرْت فِي غَيْرِ هَذَا الْمَوْضِعِ أَنَّ مَصِيرَ الْأَمْرِ إلَى الْمُلُوكِ وَنُوَّابِهِمْ مِنْ الْوُلَاة؛ وَالْقُضَاةِ وَالْأُمَرَاءِ لَيْسَ لِنَقْصِ فِيهِمْ فَقَطْ بَلْ لِنَقْصِ فِي الرَّاعِي وَالرَّعِيَّةِ جَمِيعًا ؛ فَإِنَّهُ ” كَمَا تَكُونُونَ: يُوَلَّى عَلَيْكُمْ ” وَقَدْ قَالَ اللَّهُ تَعَالَى: { وَكَذَلِكَ نُوَلِّي بَعْضَ الظَّالِمِينَ بَعْضًا }

“Aku telah menyebutkan di tempat (perbahasan) yang lain bahawa punca kepada masalah yang berlaku kepada penguasa, kemudian para menterinya, hakim-hakimnya, dan para panglimanya bukan hanya perlu dilihat dari kekurangan pada diri mereka sahaja, akan tetapi kerana kekurangan para pemimpin dan rakyat sekaligus, kerana sebagaimana keadaan kamu, maka begitulah akan dijadikan pemimpin untuk kamu. Allah Ta’ala berfirman:

Dan demikianlah Kami jadikan (kuasakan) sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi wali (pemimpin) bagi sebahagian yang lain (dengan sebab apa yang mereka lakukan). (Surah Al-An’am, 6: 129).” (Majmu’ Al-Fatawa, 35/20)

Manshur bin Abi Al-Aswad berkata, “Aku bertanya kepada Al-A’masy (salah seorang tokoh tabi’in) tentang firman Allah Ta’ala (Surah Al-An’am, 6: 129) tersebut, “Apa yang engkau dengar daripada mereka (yakni daripada para ulama sahabat – pent.) yang menjelaskan tentang perkara tersebut?”

Al-A’masy (Sulaiman bin Mihran) pun berkata, “Aku mendengar mereka menjelaskan:

إِذَا فَسَدَ النَّاسُ أُمِّرَ عَلَيْهِمْ شِرَارُهُمْ

“Apabila manusia telah rosak, maka mereka pun dipimpin oleh orang yang paling buruk dari kalangan mereka.” (Hilyat ul-Awliyaa’, 5/50-51)

Asy-Syaikh ‘Abdurrahman bin Nashir As-Si’di rahimahullah (Wafat: 1376H) menjelaskan ketika menafsirkan surah Al-An’am pada ayat 129:

أن العباد إذا كثر ظلمهم وفسادهم، ومنْعهم الحقوق الواجبة، ولَّى عليهم ظلمة، يسومونهم سوء العذاب، ويأخذون منهم بالظلم والجور أضعاف ما منعوا من حقوق الله، وحقوق عباده، على وجه غير مأجورين فيه ولا محتسبين. كما أن العباد إذا صلحوا واستقاموا، أصلح الله رعاتهم، وجعلهم أئمة عدل وإنصاف، لا ولاة ظلم واعتساف.

“Bahawa para hamba apabila mereka banyak berbuat kezaliman dan kefasadan (kerosakan), serta menahan hak-hak dan pelbagai kewajiban, maka akan dikuasakan atas mereka orang-orang yang zalim (sebagai pemimpin mereka) yang akan menimpakan kepada mereka azab penderitaan yang buruk serta mengambil hak-hak mereka secara zalim dan melampau, yang melampui dari apa-apa yang telah mereka tahan dari hak-hak Allah dan hak-hak para hamba-Nya, mereka tidak mendapat pahala padanya dan tidak pula diperhitungkan. Sebagaimana jika para hamba (masyarakat) itu jika berbuat kebaikan dan istiqamah (berada di atas jalan yang benar), maka Allah memperbaiki pemimpin mereka, dan menjadikan untuk mereka pemimpin-pemimpin yang bersikap adil dan insaf. Bukan yang zalim lagi jahat.” (Taisir Karim Ar-Rahman fii Tafsir Kalam Al-Mannan, 1/273-274)

Al-Hasan Al-Bashri rahimahullah (Wafat: 110H) pernah berkata:

إن الحجاج عذاب الله فلا تدفعوا عذاب الله بأيديكم ولكن عليكم بالاستكانة والتضرع فإن الله تعالى يقول ولقد أخذناهم بالعذاب فما استكانوا لربهم وما يتضرعون

“Sesungguhnya kemunculan Al-Hajjaj (salah seorang pemimpin zalim di zaman beliau – pent.) adalah disebabkan dari azab Allah, maka janganlah engkau melawan azab Allah dengan tangan-tangan kalian. Akan tetapi wajib bagi kalian untuk tunduk dan memohon dengan merendah diri kerana sesungguhnya Allah Ta’ala telah berfirman:

“Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan azab kepada mereka, maka mereka tidak tunduk kepada Rabb mereka, dan (juga) tidak memohon (kepada-Nya) dengan merendahkan diri.” (Surah Al-Mukminun, 23: 76).” (Minhaj As-Sunnah An-Nabawiyyah, 4/527 – Mu’asasah Al-Qurthubah)

Perkataan Al-Hasan Al-Bashri ini turut diriwayatkan oleh Ibn Abi Ad-Dunya dalam Al-‘Uquubah, no. 52 dan oleh Ibn Sa’d dalam Ath-Thabaqaat, 7/164.

Al-Imam Al-Hasan Al-Bashri juga diriwayatkan pernah berkata:

اعلم- عافاك الله- أن جور الملوك نقمة من نقم الله تعالى ، ونقم الله لا تلاقى بالسيوف ، وإنما تُتقى وتُستَدفع بالدعاء والتوبة والإنابة والإقلاع عن الذنوب ، إن نقم الله متى لقيت بالسيف كانت هي أقطع

“Ketahuilah, semoga Allah mengampuni engkau, bahawa kezaliman pemerintah itu merupakan salah satu tanda dari tanda kemurkaan Allah Ta’ala (atas suatu kaum), dan murka Allah itu tidak dihadapi dengan pedang (pemberontakan), akan tetapi ia hanya dapat ditangani dan ditolak dengan doa, dengan taubat (memohon keampunan kepada Allah), dengan inabah (kembali memperbaiki diri di atas jalan Allah), dan dengan menjauhkan diri dari segala dosa-dosa. Bahawasanya, murka Allah itu jika dihadapi dengan menghunuskan pedang-pedang, nescaya ia akan menjadi bertambah parah.” (Adab Al-Hasan Al-Bashri oleh Ibn Al-Jauzi, m/s. 19 – Dinukil dari kitab Al-Wajiz fi Aqidati As-Salafi Ash-Shaalih)

Al-Imam Ismail bin Muhammad Al-Ajluni Al-Jarahi rahimahullah (Wafat: 1162H) berkata:

وأقول رواه الطبراني عن الحسن البصري أنه سمع رجلا يدعو على الحجاج فقال له لا تفعل أنكم من أنفسكم أوتيتم إنما نخاف إن عزل الحجاج أو مات أن يتولى عليكم القردة والخنازير فقد روى أن أعمالكم عمالكم وكما تكونوا يولى عليكم .

“Suatu nukilan riwayat Ath-Thabrani dari Al-Hasan Al-Bashri, bahawa beliau (Al-Hasan Al-Bashri) mendengar seorang lelaki mendoakan keburukan untuk Al-Hajjaj (penguasa yang zalim di zamannya – pent.), lalu beliau pun berkata kepada lelaki tersebut:

“Janganlah engkau berbuat begitu, sesungguhnya kalian diberikan pemimpin sedemikian adalah disebabkan oleh diri kalian sendiri. Kami bimbang jika Al-Hajjaj dijatuhkan ataupun meninggal, maka yang menjadi pemimpin kalian kelak adalah monyet dan khindzir, di mana telah diriwayatkan bahawa pemimpin kalian adalah gambaran dari amal-amal kalian. Dan bagaimana keadaan kalian, begitulah pemimpin kalian.” (Kasyf Al-Khafa’, 1/147. Lihat juga: Adab Al-Hasan Al-Bashri oleh Ibnul Jauzi, m/s. 19 – Al-Wajiz fi Aqidati As-Salafi Ash-Shaalih)

Berkaitan fenomena kezaliman Al-Hajjaj bin Yusuf Ats-Tsaqafi ini, Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) telah menukilkan sebahagian dari atsar para salaf terkait dengannya. Beliau berkata:

وبالجملة فقد كان الحجاج نقمة على أهل العراق بما سلف لهم من الذنوب والخروج على الائمة، وخذلانهم لهم، وعصيانهم، ومخالفتهم، والافتيات عليهم

“Secara umum, bahawa Al-Hajjaj adalah bencana yang ditimpakan ke atas penduduk ‘Iraq kerana dosa-dosa lalu mereka dan perbuatan khuruj mereka kepada para pemimpin, menghinakan mereka, memaksiati mereka, menyelisihi mereka, dan tidak menghargai mereka.” (Al-Bidayah wa An-Nihayah, 9/151)

Al-Hafiz Ibn Katsir dan Ibnu ‘Asakir meriwayatkan dari jalan Ya’qub bin Sufyan (berkenaan apa yang pernah berlaku ketika zaman pemerintahan ‘Umar):

جاء رجل إلى عمر بن الخطاب فأخبره أن أهل العراق حصبوا أميرهم فخرج غضبان، فصلى لنا صلاة فسها فيها، حتى جعل الناس يقولون: سبحان الله سبحان الله، فلما سلم أقبل على الناس فقال: من ههنا من أهل الشام؟ فقام رجل ثم قام آخر ثم قمت أنا ثالثا أو رابعا، فقال: يا أهل الشام استعدوا لاهل العراق، فإن الشيطان قد باض فيهم وفرخ، اللهم إنهم قد لبسوا عليهم فالبس عليهم وعجل عليهم بالغلام الثقفي، يحكم فيهم بحكم الجاهلية، لا يقبل من محسنهم ولا يتجاوز عن مسيئهم. وقد رويناه في كتاب مسند عمر بن الخطاب من طريق أبي عذبة الحمصي عن عمر مثله.

“Seorang lelaki datang kepada ‘Umar bin Al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu lalu memberitahunya bahawa penduduk ‘Iraq melempari wakil pemimpin (gabernor) mereka, maka ‘Umar pun keluar (untuk solat) dalam keadaan marah, lalu beliau mengimami kami suatu solat, lalu beliau lupa di dalam solatnya sehingga orang-orang (para makmum) mengatakan, “Subhanallah, Subhanallah…”

Setelah salam, ‘Umar pun menghadap kepada para makmum lalu berkata, “Siapakah di sini dari kalangan penduduk Syam?”

Lalu berdirilah seorang lelaki, kemudian berdiri juga lelaki yang lainnya, kemudian aku (perawi Ya’qub bin Sufyan) juga berdiri sebagai orang ketiga atau keempat. Lalu ‘Umar berkata:

“Wahai warga Syam, bersiap-siaplah kalian untuk menghadapi penduduk ‘Iraq. Kerana Syaitan telah bertelur di tengah-tengah mereka dan menebarkan anak-anaknya. Ya Allah, sesungguhnya mereka telah menyamarkan diri mereka, maka samarkanlah atas mereka, dan segeralah ke atas mereka dengan anak Tsaqif yang memimpin (berhukum) dengan hukum jahiliyyah. Tidak akan diterima kebaikan dari orang baik mereka, dan tidak akan dimaafkan dari orang buruk mereka.”

Kata Al-Hafiz Ibnu Katsir, “Kami juga telah meriwayatkan di dalam kitab Musnad ‘Umar bin Al-Khaththab, dari jalan Abu Azabah Al-Himshi daripada ‘Umar yang semisal dengannya.” (Al-Bidayah wa An-Nihayah, 9/151-152)

‘Ali bin Abi Thalib radhiyallahu ‘anhu pernah berkata (berdoa):

اللهم كما ائمنتهم فخانوني، ونصحت لهم فغشوني فسلط عليهم فتى ثقيف الذيال الميال، يأكل خضرتها، ويلبس فروتها، ويحكم فيها بحكم الجاهلية.

“Ya Allah, aku telah memberi mereka amanah tetapi mereka mengkhianatiku, aku telah menasihati mereka tetapi mereka curang padaku. Maka kuasakanlah atas mereka seorang pemuda Tsaqif yang angkuh lagi sombong, yang memakan kesejahteraannya, yang memakai kulitnya, dan menerapkan hukum-hukum jahiliyyah atas mereka.”

Al-Hasan berkata, “Pada ketika itu Al-Hajjaj belum lahir lagi.” (Al-Bidayah wa an-Nihayah, 9/152. Tarikh Dimasyq oleh Ibnu ‘Asakir, 12/169)

Al-Imam Ibnu Abi Al-‘Izz Al-Hanafi rahimahullah (Wafat: 792H) menegaskan dalam kitab Aqidahnya:

وأما لزوم طاعتهم وإن جاروا، فلأنه يترتب على الخروج من طاعتهم من المفاسد أضعاف ما يحصل من جورهم، بل في الصبرعلى جورهم تكفير السيئات ومضاعفة الأجور، فإن الله تعالى ما سلطهم علينا إلا لفساد أعمالنا، والجزاء من جنس العمل، فعلينا الإجتهاد في الإستغفار والتوبة وإصلاح العمل. قال تعالى: وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ. وقال تعالى: أَوَلَمَّا أَصَابَتْكُمْ مُصِيبَةٌ قَدْ أَصَبْتُمْ مِثْلَيْهَا قُلْتُمْ أَنَّى هَذَا قُلْ هُوَ مِنْ عِنْدِ أَنْفُسِكُمْ. وقال تعالى: مَا أَصَابَكَ مِنْ حَسَنَةٍ فَمِنَ اللَّهِ وَمَا أَصَابَكَ مِنْ سَيِّئَةٍ فَمِنْ نَفْسِكَ. وقال تعالى: وَكَذَلِكَ نُوَلِّي بَعْضَ الظَّالِمِينَ بَعْضًا بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ. فإذا أراد الرعية أن يتخلصوا من ظلم الأمير الظالم، فليتركوا الظلم

“Adalah menjadi kewajiban bagi kita untuk mentaati mereka (para pemerintah) walaupun mereka banyak melakukan kefasadan (keburukan). Ini adalah kerana keburukan yang ditimbulkan akibat keluar dari ketaatan kepada mereka lebih besar dari kesan keburukan yang terhasil disebabkan keburukan mereka. Malah, kesabaran di dalam menghadapi kejahatan mereka dapat menghapuskan pelbagai keburukan dan melipat-gandakan pahala. Sesungguhnya Allah tidak menjadikan mereka berkuasa ke atas kita (dengan keburukannya tersebut) melainkan kerana buruknya amal-amal kita sendiri. Balasan yang diberikan itu bergantung kepada jenis amal yang dilakukan. Maka, yang menjadi kewajiban bagi kita adalah berusaha bersungguh-sungguh dengan memohon keampunan, bertaubat, dan memperbaiki amal. Allah Ta’ala telah berfirman:

“Dan setiap musibah yang menimpa kalian maka adalah disebabkan oleh perbuatan tangan-tangan kalian sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahan kalian).” (Surah Asy-Syuuraa, 42: 30)

Allah Ta’ala berfirman:

“Apa sahaja nikmat yang kalian perolehi adalah daripada Allah, dan apa sahaja bencana yang menimpa kalian, maka dari (kesalahan) diri kalian sendiri.” (Surah An-Nisaa’, 4: 79)

Allah Ta’ala berfirman:

“Dan demikianlah Kami jadikan (kuasakan) sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi wali (pemimpin) bagi sebahagian yang lain dengan sebab apa yang mereka lakukan.” (Surah Al-An’am, 6: 129)

Maka apabila rakyat mahu melepaskan diri dari kezaliman pemimpin yang zalim, hendaklah mereka meninggalkan kezaliman mereka (terlebih dahulu).” (Syarh Al-‘Aqidah Ath-Thahawiyyah oleh Ibnu Abi Al-‘Izz Al-Hanafi, m/s. 252 – Tahqiq Ahmad Muhammad Syakir)

Al-Imam Abu Bakr Muhammad bin Al-Walid Ath-Thurthusyi rahimahullah (Wafat: 520H) menyebutkan di kitab beliau:

فلئن قلت إن الملوك اليوم ليسوا كمن مضى من الملوك، فالرعية أيضًا ليسوا كمن مضى من الرعية، ولست بأن تذم أميرك إذا نظرت آثار من مضى منهم بأولى من أن يذمك أميرك إذا نظر آثار من مضى من الرعية، فإذا جار عليك السلطان، فعليك بالصبر، وعليه الوزر

“Sekiranya kalian mengatakan bahawa para raja (pemerintah) pada hari ini tidak seperti raja-raja terdahulu, maka para rakyat juga tidak seperti rakyat terdahulu. Kalian lebih gemar mencela para pemimpin kalian apabila kalian melihat kesalahan mereka sebagaimana para pemimpin terdahulu juga mencela kalian apabila mereka melihat kesalahan-kesalahan rakyat terdahulu. Maka apabila seorang pemerintah menzalimi kalian, maka hendaklah kalian bersabar. Dia akan mendapat dosa dari pebuatannya tersebut.”

Kata beliau lagi:

لم أزل أسمع الناس يقولون: أعمالكم عمالكم، كما تكونوا يولى عليكم، إلى أن ظفرت بهذا المعنى في القرآن؛ قال الله تعالى: ” وكذلك نولي بعض الظالمين بعضاً ” الأنعام: 129 وكان يقال: ما أنكرت من زمانك فإنما أفسده عليك عملك

“Aku masih mendengar orang-orang mengatakan, “Amal-amal kalian adalah (gambaran) pemimpin bagi kalian. Sebagaimana keadaan kalian begitulah pemimpin untuk kalian.” Sampailah aku pun menjumpai makna ini di dalam Al-Qur’an, Allah Ta’ala berfirman:

“Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi wali (pemimpin) bagi sebahagian yang lain.” (Surah Al-An’am, 6: 129)

Kemudian beliau menukilkan perkataan ‘Abdul Malik bin Marwan (seorang Khalifah Bani Umayyah) kepada rakyatnya:

قال عبد الملك بن مروان: ما أنصفتمونا يا معشر الرعية، تريدون منا سيرة أبي بكر وعمر ولا تسيرون فينا ولا في أنفسكم بسيرتهما

“Berkata ‘Abdul Malik bin Marwan, “Berlaku adillah kepada kami wahai seluruh rakyat. Kalian mahukan dari kami seperti pemerintahan Abu Bakr dan ‘Umar, tetapi kalian tidak mahu berjalan bersama kami dan tidak pula mencontohi rakyat di zaman mereka berdua (Abu Bakr dan ‘Umar).” (Siraj Al-Muluk oleh Ath-Thurthusyi, 1/94)

Perkataan ‘Abdul Malik bin Marwan ini hampir serupa dengan perkataan ‘Ali radhiyallahu ‘anhu sebagaimana yang disebutkan oleh Asy-Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah:

وذكروا أن رجلا من الخوارج الذين خرجوا على علي بن أبي طالب جاءوا إلى علي فقال له يا علي ما بال الناس قد تغيروا عليك ولم يتغيروا على أبي بكر وعمر؟ قال لأن رجال أبي بكر وعمر أنا وأمثالي ورجالي أنت وأمثالك

“Terdapat seorang lelaki dari kalangan khawarij datang untuk memberi peringatan kepada ‘Ali bin Abi Thalib lalu berkata, “Wahai ‘Ali, kenapa manusia ramai yang mengkritik pentadbiran engkau, sebaliknya tidak seperti permerintahan Abu Bakr dan ‘Umar?”

Maka ‘Ali pun menjawab, “Kerana para rakyat di zaman Abu Bakr dan ‘Umar adalah aku dan orang-orang yang sepertiku, tetapi rakyat pada masaku pula adalah engkau dan orang-orang yang seperti engkau.” (Syarh Riyadh Ash-Shalihin, 1/220. Bab 23: Al-Amr bil Ma’ruf wa An-Nahy ‘an Al-Mungkar)

Turut disebutkan oleh Al-Imam Ath-Thurthusy dalam Siraj Al-Muluk, 1/94.

Kata Ath-Thurthusy lagi:

وكتب أخ لمحمد بن يوسف يشكو إليه جور العمال، فكتب إليه محمد بن يوسف: بلغني كتابك وتذكر ما أنتم فيه، وليس ينبغي لمن يعمل المعصية أن ينكر العقوبة، ولم أر ما أنتم فيه إلا من شؤم الذنوب، والسلام؟

“Seorang lelaki menulis surat kepada Muhammad bin Yusuf (murid Abu Hanifah), beliau mengadu akan kekejaman para pemimpinnya. Maka Muhammad bin Yusuf pun membalas surat tersebut dengan mengatakan:

“Suratmu telah aku terima, di mana engkau menceritakan tentang keadaan kalian saat ini, padahal tidak sepatutnya orang yang berbuat dosa mengingkari akibat perbuatannya. Menurut perkiraan-ku, keadaan kalian seperti ini tidak lain adalah disebabkan oleh dosa-dosa kalian, was-salaam.” (Siraj Al-Muluk oleh Ath-Thurthusyi, 1/94)

Al-Imam Al-Baghawi rahimahullah (Wafat: 516H) berkata:

الناس تبع لقريش في هذا الأمر ” يريد في الولاية.

“Umat manusia itu mengikuti Quraisy dalam hal kebaikan dan keburukan.” (Hadis Muttafaq ‘alaih), maksudnya adalah dalam hal kepimpinan dan pemerintahan.”

Kemudian beliau menyebutkan:

أنهم إذا كانوا خيارا سلط الله عليهم الخيار منهم ، وإن كانوا شرارا سلط الله عليهم الأشرار كما قيل: أعمالكم عمالكم.

“(Di antara maknanya), jika mereka (kaum muslimin) itu baik, nescaya Allah akan menguasakan atas mereka orang yang baik dari kalangan mereka, tetapi jika mereka buruk, nescaya Allah akan menguasakan atas mereka orang-orang yang buruk pula, sebagaimana dikatakan, “Pemimpin kalian adalah gambaran dari amal-amal kalian.” (Syarh As-Sunnah oleh Al-Baghawi, 14/59)

Al-Imam Ibn Al-Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H) mengatakan:

وتأمل حكمته تعالى في ان جعل ملوك العباد وأمراءهم وولاتهم من جنس اعمالهم بل كأن أعمالهم ظهرت في صور ولاتهم وملوكهم فإن ساتقاموا استقامت ملوكهم وإن عدلوا عدلت عليهم وإن جاروا جارت ملوكهم وولاتهم وإن ظهر فيهم المكر والخديعة فولاتهم كذلك وإن منعوا حقوق الله لديهم وبخلوا بها منعت ملوكهم وولاتهم ما لهم عندهم من الحق ونحلوا بها عليهم وإن اخذوا ممن يستضعفونه مالا يستحقونه في معاملتهم اخذت منهم الملوك مالا يستحقونه وضربت عليهم المكوس والوظائف وكلما يستخرجونه من الضعيف يستخرجه الملوك منهم بالقوة فعمالهم ظهرت في صور اعمالهم وليس في الحكمة الالهية ان يولى على الاشرار الفجار الا من يكون من جنسهم ولما كان الصدر القرون وابرها كانت ولاتهم كذلك فلما شابوا شابت لهم الولاة فحكمه الله تأبى ان يولي علينا في مثل هذه الازمان مثل معاوية وعمر بن عبدالعزيز فضلا عن مثل ابي بكر وعمر بل ولاتنا على قدرنا وولاة من قبلنا على قدرهم وكل من الامرين موجب الحكمة ومقتضاها

“Sesungguhnya di antara hikmah Allah Ta’ala adalah dalam menjadikan para raja, pemimpin dan pelindung para hamba (rakyat) berdasarkan amalan rakyatnya, bahkan perbuatan rakyat seakan-akan merupakan gambaran (atau cerminan) pada pemimpin dan penguasa mereka. Jika rakyat lurus, maka akan lurus juga pemimpin mereka. Jika rakyat adil, maka akan adil pula penguasa mereka. Tetapi jika rakyat berbuat kezaliman, maka pemimpin mereka akan turut berbuat zalim. Jika terzahir amalan penipuan di tengah-tengah rakyat, maka demikian pula hal ini akan terjadi pada pemimpin-pemimpin mereka. Jika rakyat menolak hak-hak Allah dan enggan memenuhinya, maka para pemimpin juga enggan melaksanakan hak-hak rakyat dan enggan menerapkannya.

Jika dalam hal mu’amalah (urusan dunia), rakyat mengambil sesuatu (harta) dari orang-orang yang lemah mereka, maka pemimpin mereka pun akan mengambil hak yang bukan haknya dari rakyatnya (sama ada berupa cukai atau seumpamanya) serta akan membebani mereka dengan beban yang berat. Setiap yang rakyat ambil dari orang-orang lemah mereka, maka akan diambil pula oleh pemimpin mereka dari mereka secara paksa.

Dengan demikian, setiap amal perbuatan rakyat akan tergambar pada amalan pemimpin mereka. Dan bukanlah termasuk hikmah ilahi menguasakan pemimpin yang jahat dan keji (ke atas manusia) kecuali berdasarkan keadaan manusia itu sendiri.

Ketika masa-masa awal Islam, ia merupakan masa dan zaman yang terbaik, maka demikian pula pemimpin pada saat itu. Tetapi ketika rakyat mula rosak, maka pemimpin mereka juga akan ikut rosak.

Maka berdasarkan hikmah Allah, apabila pada zaman kita ini dipimpin oleh pemimpin seperti Mu’awiyah, ‘Umar bin ‘Abdul Aziz, apatah lagi dipimpin oleh Abu Bakar dan ‘Umar, maka tentu pemimpin kita itu bersesuaian dengan keadaan kita. Demikian pula pemimpin orang-orang sebelum kita tersebut; bersesuaian dengan keadaan rakyat pada ketika itu. Masing-masing dari kedua hal tersebut merupakan kesan dan ketentuan hikmah Allah Ta’ala.” (Miftah Daar As-Sa’adah, 2/177-178)

Kami kemukakan pula perkataan Al-Imam Al-Muzani rahimahullah (Wafat: 264H), yakni salah seorang murid utama Al-Imam Asy-Syafi’i rahimahullah (Wafat: 204H):

وَالطَّاعَة لأولي الْأَمر فِيمَا كَانَ عِنْد الله عز وَجل مرضيا وَاجْتنَاب مَا كَانَ عِنْد الله مسخطا، وَترك الْخُرُوج عِنْد تعديهم وجورهم وَالتَّوْبَة إِلَى الله عز وَجل كَيْمَا يعْطف بهم على رعيتهم

“Hendaklah taat kepada pemerintah dalam perkara yang diredhai di sisi Allah ‘Azza wa Jalla dan menjauhi perkara yang mendatangkan kemurkaan di sisi Allah, juga meninggalkan pemberontakan (melawan pemerintah) ketika pemerintah melampaui batas dan bertindak zalim. Dan hendaklah BERTAUBAT kepada Allah agar supaya Allah menjadikan pemerintah mereka (yang zalim) itu bersikap lemah-lembut kepada para rakyatnya.” (Syarh As-Sunnah oleh Al-Muzani, no. 14)

Renungilah, bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَأَوْرَثْنَا الْقَوْمَ الَّذِينَ كَانُوا يُسْتَضْعَفُونَ مَشَارِقَ الأرْضِ وَمَغَارِبَهَا الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ الْحُسْنَى عَلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ بِمَا صَبَرُوا وَدَمَّرْنَا مَا كَانَ يَصْنَعُ فِرْعَوْنُ وَقَوْمُهُ وَمَا كَانُوا يَعْرِشُونَ

“Dan Kami wariskan kepada kaum yang telah ditindas itu negeri-negeri bahagian timur bumi dan baratnya yang telah Kami beri berkah padanya. Dan telah sempurnalah kalimat Rabb-mu yang baik (sebagai janji) ke atas Bani Israil DENGAN SEBAB KESABARAN MEREKA. Dan Kami hancurkan apa yang telah dihasilkan Fir’aun dan kaumnya dan apa yang telah dibina oleh mereka.” (Surah Al-A’raaf, 7: 137)

Di ayat yang lain,

وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ

“Dan Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami KETIKA MEREKA SABAR. Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami.” (Surah As-Sajdah, 32: 24)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ

“Dan apa jua musibah yang menimpa kalian maka adalah akibat dari perbuatan tangan-tangan kalian sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahan kalian).” (Surah Asy-Syuura, 42: 30)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan yang melaksanakan amal-amal soleh di antara kalian, bahawa Dia benar-benar akan menjadikan kalian berkuasa (sebagai khalifah) di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan adalah benar bahawa Dia akan memperkukuhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, setelah sebelumnya mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap mentauhidkan-Ku dengan tidak mensyirikkan Aku. Dan sesiapa yang ingkar setelah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” (Surah An-Nuur, 24: 55)

Asy-Syaikh Soleh bin Fauzan Al-Fauzan hafizhahullah ketika berkomentar untuk satu muqaddimah buku, beliau mengulas tentang fenomena banyaknya jama’ah-jama’ah Islam baik dalam pergerakan NGO, politik mahupun gerakan-gerakan dakwah yang lainnya. Mereka ini semuanya menginginkan negara yang baik, mengimpikan daulah Islamiyyah, berangan-angan mahu membina khilafah Islamiyyah di atas manhaj kenabian.

… namun sangat disayangkan, mereka tidak memulakannya dengan tauhid, mereka tidak mendakwahkan tauhid, tidak memurnikan aqidah masyarakat, tidak mengajak masyarakat kepada amal-amal yang soleh, tidak membersihkan bid’ah-bid’ah dan syirik. Mereka membiarkan masyarakat menganggap baik pelbagai maksiat, riba’, dan bahkan membiarkan mereka berkubang dengan pelbagai aktiviti pemujaan kepada kuburan, yakni pemujaan terhadap orang-orang mati.

Mereka sibuk terhadap hak-hak keduniaan mereka dalam keadaan mereka mengabaikan hak-hak Allah?!

Maka, impian dan keinginan mereka ini tidak akan menjadi kenyataan kecuali setelah mereka memperbaiki aqidah mereka.

Kemudian Syaikh membawakan ayat 55 dari Surah An-Nuur. (Lihat muqaddimah buku Manhajul Anbiyaa’ fid Da’wah ilalLaah…)

Dari sini dapat kita memahami bahawa mengimpikan sebuah kerajaan yang baik dalam keadaan masyarakat (rakyat) sendiri lalai terhadap agama Allah, tidak memperbaiki diri, tidak mempelajari agama yang benar, suka berbohong, saling menzalimi satu sama lain, tidak menerapkan hukum-hakam Islam dalam perniagaan dan pekerjaan mereka, tidak menegakkan sunnah Nabi-Nya dalam kehidupan, dan masih hanyut dalam syirik dan bid’ah serta menganggap baik pelbagai perbuatan maksiat… maka impian tersebut hanyalah ibarat mimpi dan angan-angan kosong.

Mereka sibukkan diri mereka dengan mencari-cari ‘aib penguasa, mencela dan menghinakan pemerintah, sedang diri mereka sendiri terpalit dengan sekian banyak kemungkaran, lalai dari agama, mengabaikan sekian banyak dari sunnah-sunnah Rasulullah dan para sahabatnya.

Takut-takut kalau Allah gantikan, kuasakan dan timpakan atas mereka dengan pemerintah yang jauh lebih buruk lagi, bukannya yang lebih baik. Wa na’uudzhubillaah

Dan hari ini kita melihat manusia merungut itu kurang ini kurang dari dunia mereka, itu zalim ini tidak adil, sedang dalam masa sama mereka mengabaikan tauhid mereka, mereka tak peduli amal-amal mereka sudah benar atau tidak, tidak mensyukuri nikmat dan kurniaan Allah atas mereka dengan iman dan amal-amal soleh.

Pengajian-pengajian agama mereka hanya ibarat penglipur lara. Sekadar mengisi masa lapang antara maghrib dan isyak. Lihat pula anak-anak, apa yang dipersiapkan untuk mereka dari agama mereka, aqidah mereka, tauhid?

Bahkan di sisi yang lain, banyak dari mereka ini meremehkan dakwah-dakwah tauhid serta karya-karya tulis di bidang tauhid. Katanya jumud, ketinggalan, tidak moderate, ekstrim, dan semisalnya. Allaahul Musta’aan.

Di ayat yang lain Allah Ta’ala berfirman:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

“Kalau seandainya penduduk negeri itu beriman dan bertaqwa, nescaya Kami bukakan untuk mereka keberkahan dari langit dan bumi. Akan tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami), maka Kami adzab mereka dengan sebab apa yang telah mereka lakukan.” (Surah Al-A’raaf, 7: 96)

Dari ayat ini Allah menjelaskan bahawa Dia akan membukakan keberkahan dari langit dan bumi untuk suatu negera itu ketika mana para penduduknya beriman dan bertaqwa. Bukan ketika pemimpinnya bertaqwa! Akan tapi ketika para penduduknya beriman dan bertaqwa, mencakup para pemimpin dan rakyatnya sekaligus.

Manakala ketika para penduduknya mengingkari nikmat, tidak bersyukur, tidak beriman, dan tidak pula bertaqwa, maka keberkahan pun tertutup dan tertahan. Malah sebaliknya ketika mereka meremehkan keimanan dan taqwa dengan mengingkari ayat-ayat-Nya, adzab Allah akan menimpa atas mereka. Kehidupan pun menjadi sempit walaupun pada ketika itu mereka dikelilingi oleh limpahan harta dan kekayaan.

Mari-lah sama-sama kita merenungi hal tersebut sebagai bekal muhasabah buat diri kita masing-masing.

Wallaahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest