Penyakit ‘Ain, Akibat Pandangan Mata

www.ilmusunnah.com

Pernahkah mendengar tentang “penyakit ‘Ain”?

Penyakit ‘ain atau pengaruh dari pandangan mata boleh menimpa diri seseorang, bahkan terhadap anak-anaknya dan juga harta bendanya. Pengaruh dari pandangan mata ini boleh mengakibatkan kemudharatan dengan sebab pandangan kekaguman, pandangan kesombongan/keangkuhan, atau pandangan jahat/hasad dari seseorang, yakni sama ada berupa penyakit, kerosakan harta benda, kemusnahan, kecelakaan, atau bahkan sehingga menyebabkan kematian.

Di surah Al-Kahfi, Allah Subhanahu wa Ta’ala menyebutkan tentang salah seorang yang angkuh dan kagum terhadap kelebihan kebun yang dia miliki, lalu kurniaan tersebut pun telah membuatnya lupa (kepada Allah yang telah menjadikannya untuknya). Akhirnya hal tersebut menjadi sebab kemusnahan pada kebun dan hartanya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَلَوْلَا إِذْ دَخَلْتَ جَنَّتَكَ قُلْتَ مَا شَاءَ اللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ

“Dan mengapa engkau tidak mengatakan ketika engkau memasuki kebunmu (dengan ucapan), “maa syaa Allaah, laa quwwata illaa billaah (benar-benar atas kehendak Allah-lah semua ini tercipta, tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah).” (Surah Al-Kahfi, 18: 39)

Kata Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H):

هذا تحضيض وحث على ذلك، أي: هلا إذا أعجبتك حين دخلتها ونظرت إليها حمدت الله على ما أنعم به عليك، وأعطاك من المال و الولد ما لم يعطه غيرك، وقلت: { مَا شَاءَ اللَّهُ لا قُوَّةَ إِلا بِاللَّهِ } ؛ ولهذا قال بعض السلف: من أعجبه شيء من حاله أو ماله أو ولده أو ماله، فليقل: { مَا شَاءَ اللَّهُ لا قُوَّةَ إِلا بِاللَّهِ } وهذا مأخوذ من هذه الآية الكريمة.

“Ini adalah penegasan dan dorongan supaya megucapkan ucapan seperti tersebut, yakni apabila ianya (nikmat kebun tersebut) membuatmu merasa takjub (atau kagum) ketika memasukinya atau ketika melihatnya, maka panjatkanlah pujian kepada Allah atas apa-apa nikmat yang telah Dia kurniakan atas-mu, (yang mana) Allah telah memberikan untukmu dari harta kekayaan dan anak keturunan yang tidak diberikan kepada selain dari-mu. Maka katakanlah:

مَا شَاءَ اللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ

maa syaa Allaah, laa quwwata illaa billaah (benar-benar atas kehendak Allah-lah semua ini tercipta, tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah).”

Oleh kerana itulah sebahagian salaf mengatakan:

“Siapa yang merasa kagum/takjub terhadap sesuatu dari keadaan atau urusannya, hartanya, atau anak keturunannya, maka hendaklah dia mengatakan,

مَا شَاءَ اللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ

maa syaa Allaah, laa quwwata illaa billaah (benar-benar atas kehendak Allah-lah semua ini tercipta, tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah).”

Dan kalimat ini diambil dari ayat yang mulia tersebut.” (Tafsir Ibnu Katsir, 5/158)

Di ayat yang lain Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman menyebutkan tentang hal ini:

وَإِن يَكَادُ الَّذِينَ كَفَرُوا لَيُزْلِقُونَكَ بِأَبْصَارِهِمْ لَمَّا سَمِعُوا الذِّكْرَ وَيَقُولُونَ إِنَّهُ لَمَجْنُونٌ

“Sesungguhnya orang-orang kafir itu benar-benar hampir menggelincirkan kamu dengan pandangan mereka, tatkala mereka mendengar Al-Qur’an dan mereka mengatakan, “Sesungguhnya dia (Muhammad) benar-benar gila.”.” (Surah Al-Qalam, 68: 51)

Kata Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H):

بِأَبْصَارِهِمْ، أي: ليعينونك بأبصارهم، بمعنى: يحسدونك لبغضهم إياك لولا وقاية الله لك، وحمايته إياك منهم. وفي هذه الآية دليل على أن العين إصابتها وتأثيرها حق، بأمر الله، عز وجل، كما وردت بذلك الأحاديث المروية من طرق متعددة كثيرة

“Kalimat “بِأَبْصَارِهِمْ” (dengan pandangan mereka) maknanya mereka (orang-orang kafir) dengki kepada engkau disebabkan kebencian mereka terhadap engkau dan jika bukan dengan penjagaan dan perlindungan Allah ke atas engkau, nescaya ia (penyakit ‘ain) itu akan mengenai engkau. Ayat ini mengandungi dalil tentang kebenaran adanya Al-‘Ain, sasarannya dan pengaruhnya dengan perintah Allah ‘Azza wa Jalla sebagaimana disebutkan dalam hadis-hadis yang diriwayatkan dari pelbagai jalan yang banyak.” (Tafsir Ibnu Katsir, 8/201)

Dalam satu hadis, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ مِنْ أَخِيهِ، أَوْ مِنْ نَفْسِهِ، أَوْ مِنْ مَالِهِ مَا يُعْجِبُهُ، فَلْيُبَرِّكْهُ فَإِنَّ الْعَيْنَ حَقٌّ

“Apabila salah seorang daripada kalian melihat sesuatu yang menakjubkan (atau mengkagumkan) pada saudaranya, atau pada dirinya sendiri, atau pada hartanya, maka doakanlah keberkahan padanya, kerana sesungguhnya Al-‘Ain itu haq (iaitu pengaruh pandangan mata itu benar adanya).” (Musnad Ahmad, no. 15700. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Dalam hadis yang lain, dari hadis Abi Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

الْعَيْنُ حَقٌّ، وَيَحْضُرُ بِهَا الشَّيْطَانُ وَحَسَدُ ابْنِ آدَمَ

“Al-‘Ain adalah haq (benar adanya), Syaitan hadir bersamanya dan dengan hasad anak Adam.” (Musnad Ahmad, no. 9668. Namun dinilai dha’if oleh Al-Albani dan Syu’aib Al-Arnauth kerana sanadnya munqathi’, Mak-hul tidak mendengar daripada Abi Hurairah)

Dalam Fathul Bari Syarh Shahih Al-Bukhari, Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) menegaskan:

والعين نظر باستحسان مشوب بحسد من خبيث الطبع يحصل للمنظور منه ضرر

“Al-‘Ain adalah pandangan yang disertai hasad (perasaan dengki) dari tabi’at buruk yang mampu mendatangkan mudharat terhadap yang dipandang. (lalu beliau menyebutkan hadis riwayat Ahmad tersebut).” (Fathul Bari, 10/200)

Dalam hadis Ibnu ‘Abbas, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

الْعَيْنُ حَقٌّ، وَلَوْ كَانَ شَيْءٌ سَابَقَ الْقَدَرَ سَبَقَتْهُ الْعَيْنُ، وَإِذَا اسْتُغْسِلْتُمْ فَاغْسِلُوا

“Al-‘Ain (pengaruh mata) itu benar adanya, kalau seandainya ada sesuatu yang dapat mendahului qadar maka Al-‘Ain akan mendahuluinya, dan apabila kalian diminta untuk mandi maka mandilah.” (Shahih Muslim, no. 2188)

Kata Al-Imam Ibn Al-Atsir rahimahullah (Wafat: 606H):

وَفِيهِ، «العَيْن حَقٌّ، وَإِذَا اسْتُغْسِلْتُم فاغْسِلوا» يُقَالُ: أصَابَت فُلاناً عَيْن إِذَا نَظر إِلَيْهِ عَدُوّ أَوْ حَسُود فأثَّرتْ فِيهِ فمَرِض بِسَببها.

“Pada hadis “Al-‘Ain adalah haq (benar adanya), dan apabila kalian diminta untuk mandi, maka mandilah…” – dikatakan bahawa fulan terkena ‘ain, yakni apabila musuh (orang yang benci) atau orang yang hasad memandang kepadanya, lalu pandangannya menjadi sebab (memberi kesan) yang menyebabkannya tertimpa penyakit (musibah).” (An-Nihayah fi Ghoribil Hadits wal Atsar, 3/332)

Kata Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

العين حق وأنكره طوائف من المبتدعة

“Al-‘Ain (pengaruh pandangan mata) adalah haq tetapi ia diingkari oleh kebanyakan kelompok dari ahli bid’ah.” (Syarh Shahih Muslim, 14/171)

Kemudian beliau mengatakan:

فيه إثبات القدر وهو حق بالنصوص واجماع أهل السنة وسبقت المسألة فى أول كتاب الايمان ومعناه أن الأشياء كلها بقدر الله تعالى ولا تقع إلا على حسب ما قدرها الله تعالى وسبق بها علمه فلايقع ضرر العين ولاغيره من الخير والشر إلابقدر الله تعالى وفيه صحة أمر العين وأنها قوية الضرر والله أعلم

“Pada hadis ini menjelaskan penetapan segala sesuatu terjadi dengan takdir Allah dan itu adalah benar dengan nash-nash dan ijma’ ahlus sunnah dan perkara ini telah dijelaskan pada bab terdahulu di Kitab Al-Iman. Maksudnya bahawa segala sesuatu itu terjadi dengan dengan qadar (taqdir) Allah Ta’ala, dan tidak akan terjadi kecuali bersesuaian dengan apa yang telah Allah taqdirkan serta didahului oleh ilmu Allah tentang kejadian tersebut. Maka tidak-lah akan terjadi bahaya Al-‘Ain dan selainnya dari segala hal yang baik mahupun yang buruk melainkan dengan taqdir Allah Ta’ala. Dan pada hadis ini juga terdapat penjelasan bahawa Al-‘Ain itu benar-benar sah adanya dan memiliki kekuatan untuk menimbulkan kemudharatan.” (Syarh Shahih Muslim, 14/174)

Maknanya, penyakit ‘ain tidaklah terjadi kecuali dengan izin Allah Subhanahu wa Ta’ala, dan ianya termasuk dalam ketetapan takdir-Nya.

Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah:

والمعنى أن الذي يصيب من الضرر بالعادة عند نظر الناظر إنما هو بقدر الله السابق لا بشيء يحدثه الناظر في المنظور

“Maknanya, bahawa orang yang tertimpa suatu mudharat disebabkan sesuatu yang telah Allah tetapkan ketika seseorang memandangnya, sebenarnya ia terjadi dengan takdir Allah yang telah ditetapkan sebelumnya, bukan sesuatu yang baru saja diciptakan oleh orang yang memandang terhadap yang dipandang.” (Fathul Bari, 10/203)

Kemudian Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) turut mengatakan:

وأن العين تكون مع الإعجاب ولو بغير حسد ولو من الرجل المحب ومن الرجل الصالح

“Dan sesungguhnya Al-‘Ain (pengaruh pandangan mata) boleh terjadi dari pandangan yang penuh ketakjuban (atau kekaguman) walaupun tanpa diiringi perasaan hasad. Dan boleh juga terjadi dari kalangan orang yang mencintai dan dari kalangan orang yang soleh.” (Fathul Bari, 10/215)

Ini sebagaimana disebutkan dalam satu hadis, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ مِنْ أَخِيهِ، أَوْ مِنْ نَفْسِهِ، أَوْ مِنْ مَالِهِ مَا يُعْجِبُهُ، فَلْيُبَرِّكْهُ فَإِنَّ الْعَيْنَ حَقٌّ

“Apabila salah seorang daripada kalian melihat sesuatu yang menakjubkan (atau mengkagumkan) pada saudaranya, atau pada dirinya sendiri, atau pada hartanya, maka doakanlah keberkahan padanya, kerana sesungguhnya Al-‘Ain itu haq (iaitu pengaruh pandangan mata itu benar adanya).” (Musnad Ahmad, no. 15700. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Kata Al-Hafiz juga:

ذلك بالمرأة الحائض تضع يدها في إناء اللبن فيفسد ولو وضعتها بعد طهرها لم يفسد وكذا تدخل البستان فتضر بكثير من الغروس من غير أن تمسها يدها ومن ذلك أن الصحيح قد ينظر إلى العين الرمداء فيرمد ويتثاءب واحد بحضرته فيتثاءب

“Ini (mungkin) adalah seperti (sebahagian kes) perempuan haidh yang meletakkan tangannya pada bekas susu, lalu susu tersebut menjadi basi. Sedangkan sekiranya dia meletakkan tangannya setelah suci, susu itu tidak pula basi. Demikian juga seseorang yang masuk ke dalam kebun sehingga menyebabkan sejumlah tanaman menjadi rosak sedangkan dia tidak menyentuhnya sedikitpun dengan tangannya. Dari contoh yang seumpama juga adalah apabila orang yang sihat menatap mata orang yang sakit, lalu dia pun terjangkiti penyakit mata tersebut. Dan kadangkala ada seseorang menguap, lalu orang yang berada berdekatan dengannya pun turut ikut menguap sama.” (Fathul Bari, 10/200)

Kemudian Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani menukilkan:

وقال المازري زعم بعض الطبائعيين أن العائن ينبعث من عينه قوة سمية تتصل بالمعين فيهلك أو يفسد وهو كأصابة السم من نظر الأفاعي وأشار إلى منع الحصر في ذلك مع تجويزه وأن الذي يتمشى على طريقة أهل السنة أن العين إنما تضر عند نظر العائن بعادة أجراها الله تعالى أن يحدث الضرر عند مقابلة شخص لآخر وهل ثم جواهر خفية أو لا هو أمر محتمل لا يقطع بإثباته ولا نفيه

“Al-Maziri mengatakan, sebahagian berpendapat bahawa dari pandangan pelaku ‘ain akan keluar kekuatan yang mengandungi racun yang sampai kepada orang yang dipandang sehingga mampu membinasakan atau merosakkannya. Ini seperti juga racun yang diakibatkan dari tatapan pandangan ular berbisa. Dan yang bertepatan dengan pandangan ahlus sunnah bahawa Al-‘Ain itu dapat menimbulkan mudharat ketika pelakunya menatap (objek yang dimaksudkan) berdasarkan kebiasaan pandangan yang telah ditetapkan oleh Allah akan mendatangkan mudharat. Namun adakah pada kes ini ada sesuatu yang tersembunyi atau tidak, maka ini adalah suatu yang mungkin sehingga tidak dapat dipastikan keberadaannya dan tidak pula dapat dinafikan.” (Fathul Bari, 10/200)

Ini sebagaimana hadis dari Ibnu ‘Umar, beliau mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda dari atas mimbar:

اقْتُلُوا الحَيَّاتِ، وَاقْتُلُوا ذَا الطُّفْيَتَيْنِ وَالأَبْتَرَ، فَإِنَّهُمَا يَطْمِسَانِ البَصَرَ، وَيَسْتَسْقِطَانِ الحَبَلَ

“Bunuhlah Al-Hayyaat (ular berbisa), dan bunuhlah ular dzal-thufyatain dan al-abtar, kerana ia boleh membuatkan penglihatan buta dan menggugurkan kandungan.” (Shahih Al-Bukhari, no. 3297)

Kerana ular jenis ini dapat memudharatkan dengan menatap mangsa atau sasarannya.

Al-Hafiz Ibnu Hajar membuat kesimpulan:

والحاصل أن التأثير بإرادة الله تعالى وخلقه ليس مقصورا على الاتصال الجسماني بل يكون تارة به وتارة بالمقابلة وأخرى بمجرد الرؤية وأخرى بتوجه الروح كالذي يحدث من الأدعية والرقي والالتجاء إلى الله وتارة يقع ذلك بالتوهم والتخيل فالذي يخرج من عين العائن سهم معنوي إن صادف البدن لا وقاية له أثر فيه وإلا لم ينفذ السهم بل ربما رد على صاحبه كالسهم الحسي سواء

“Kesimpulanya, dari sini dapat dilihat bahawa suatu pengaruh itu dapat terjadi dengan iradah (kehendak) Allah Ta’ala dan tidak terbatas hanya melalui sentuhan fizikal, yang mana adakalanya boleh berlaku dengan sentuhan dan tanpa sentuhan, dan terkadang hanya semata-mata kerana berhadapan. Sebahagian darinya diakibatkan tatapan pandangan dan sebahagian lain akibat pengaruh ruh seperti yang terjadi kerana doa-doa, ruqyah, dan mengembalikannya kepada Allah. Adakalanya boleh pula terjadi kerana ilusi dan khayalan. Apa yang keluar dari pelaku ‘ain seperti anak panah, apabila ia bertemu sasaran yang tidak memiliki pelindung, nescaya ia akan melukainya. Jika punya pelindung, maka anak panah tersebut tidak akan dapat menembusi sasarannya bahkan boleh kembali kepada yang melemparnya.” (Fathul Bari, 10/201)

Pengaruh ‘Ain Tanpa Melihat Langsung ke Sasaran

Kata Imam Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H):

 والتأثير غير موقوف على الاتصالات الجسمية كما يظنه من قل علمه ومعرفته بالطبيعة والشريعة بل التأثير يكون تارة بالاتصال وتارة بالمقابلة وتارة بالرؤية وتارة بتوجيه الروح نحو من يؤثر فيه وتارة بالأدعية والرقي والتعوذات وتارة بالوهم والتخيل ونفس العائن لا يتوقف تأثيرها على الرؤية بل قد يكون أعمى فيوصف له الشيء فتؤثر نفسه فيه وإن لم يره وكثير من العائنين يؤثر في المعين بالوصف من غير رؤية

“Kesan pengaruh itu tidak tergantung pada sentuhan atau kontek (hubungan) secara fizikal semata sebagaimana yang disangka sebahagian orang yang sedikit ilmu dan pengetahuannya tentang ilmu thabi’i (ilmu alam) dan ilmu syari’at. Bahkan (yang benar), kesan pengaruh itu adakalanya terjadi melalui sentuhan secara fizikal, dan adakalanya boleh terjadi dengan saling menghadap, bahkan boleh juga terjadi melalui penglihatan atau dengan pengaruh ruh (perasaan) terhadap sasarannya. Adakalanya boleh juga melalui jampi-jampi, doa, ruqyah dan ta’awudz. Bahkan adakalanya boleh juga terjadi melalui ilusi (mainan atau dorongan perasaan) dan imaginasi.

Orang yang mampu memberi pengaruh ‘ain sendiri; pengaruhnya juga tidak hanya bertumpu pada penglihatan, malah adakalanya ia seorang yang buta. Cukup dia diberi gambaran tentang sesuatu, maka jiwanya langsung berupaya mempengaruhi walaupun dia tidak dapat melihat orang yang dimaksudkan. Banyak sekali dari kalangan yang mampu mempengaruhi dengan ‘ain yang mampu mempengaruhi sasarannya tanpa melihat langsung, tetapi hanya sekadar mendengar penyebutan gambaran sifat-sifat sasarannya.” (Ath-Thibb An-Nabawi, m/s. 130-131 – Daar Al-Fikr)

Berlindung Kepada Allah Dari Bahaya ‘Ain

Rasulullah memerintahkan agar berlindung dari ‘ain. Ini adalah sebagaimana dari hadis ‘Aisyah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

اسْتَعِيذُوا بِاللَّهِ تَعَالَى مِنَ الْعَيْنِ فَإِنَّ الْعَيْنَ حَقٌّ

“Berlindunglah kepada Allah Ta’ala dari Al-‘Ain kerana sesungguhnya Al-‘Ain itu adalah benar.” (Sunan Ibnu Majah, no. 3508. Al-Mustadrak Al-Hakim, no. 7497)

Dari hadis ‘Abdullah bin ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

“Dahulu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah membacakan ta’awwudz (permohonan perlindungan) untuk Al-Hasan dan Al-Husain. Beliau mengatakan:

“Sesungguhnya dahulu ayah kamu berdua (Nabi Ibrahim) memohon perlidungan (kepada Allah) dengan doa tersebut untuk Isma’il dan Ishaq:

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ، مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ، وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لاَمَّةٍ

“Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna, dari setiap (gangguan) Syaitan, gangguan binatang berbisa, dan dari setiap ‘ain (pandangan mata) yang jahat.” (Shahih Al-Bukhari, no. 3371)

Lafaz ini boleh juga dijadikan sebagai dzikir dan doa untuk diri sendiri.

Manakala dalam riwayat Abu Dawud, lafaznya adalah:

أُعِيذُكُمَا بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ، مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ، وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لَامَّةٍ

“Aku memohonkan perlindungan untuk kamu berdua dengan kalimat-kalimat (ayat-ayat) Allah yang sempurna dari setiap Syaitan, dari binatang berbisa, dan dari setiap ‘ain (pandangan mata) yang jahat.” (Sunan Abi Dawud, no. 4737. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Kata Imam Abu Daud rahimahullah (Wafat: 275H):

هَذَا دَلِيلٌ عَلَى أَنَّ الْقُرْآنَ لَيْسَ بِمَخْلُوقٍ

“Ini adalah dalil bahawa Al-Qur’an bukanlah makhluk.” (Sunan Abi Dawud, 4/235)

Selain itu, dibolehkan juga mengamalkan dzikir-dzikir yang sahih sebagaimana terkandung pada himpunan dzikir pagi dan petang, ayat-ayat atau surah Al-Mu’awwidzatain (Surah Al-Falaq dan An-Naas), ayat Al-Kursi, dan dua ayat terakhir dari Surah Al-Baqarah secara umum. [Pembaca boleh merujuk ke artike penulis antaranya: Tips Menangkal Syaitan Dengan Cara Nabi, dan Mencari Perlindungan Allah Dengan Dzikir Pagi & Petang]

Di samping itu, bagi sesiapa yang melihat sesuatu yang mengkagumkan, maka ingatlah bahawa ia datang dari kurnia Allah Subhanahu wa Ta’ala. Maka ucapkanlah antaranya:

1, [بَارَكَ اللَّهُ فِيكُمْ] Baarakallaahufiikum/fiika/fiiki/fiihi/fiiha… (semoga Allah memberkahi kalian/engkau/padanya…) atau [اَللهُ يُباَرِك فيِهِ] Allaahu yubaarik fiih (semoga Allah memberkahinya), atau yang semakna dengannya.

Iaitu mendoakan keberkahan atas apa yang dilihat. (diambil dari hadis dari Abi Umamah bin Sahl bin Hunaif: Al-Muwaththa’, no. 3460. Sunan Ibnu Majah, no. 3509)

Juga sebagaimana hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ مِنْ أَخِيهِ، أَوْ مِنْ نَفْسِهِ، أَوْ مِنْ مَالِهِ مَا يُعْجِبُهُ، فَلْيُبَرِّكْهُ فَإِنَّ الْعَيْنَ حَقٌّ

“Apabila salah seorang daripada kalian melihat sesuatu yang menakjubkan (atau mengkagumkan) pada saudaranya, atau pada dirinya sendiri, atau pada hartanya, maka doakanlah keberkahan padanya, kerana sesungguhnya Al-‘Ain itu haq (iaitu pengaruh pandangan mata itu benar adanya).” (Musnad Ahmad, no. 15700. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

2, atau [مَا شَاءَ اللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ] Maa-syaa-Allaah, laa quwwata illaa billaah (Apa yang terwujud ini adalah dengan kehendak Allah, tiada kekuatan melainkan dengan (pertolongan) Allah). (lihat: Surah Al-Kahfi, 18: 39 dan Tafsirnya)

Kata Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah:

أي لا قوة لأحد على شيء إلاَّ بالله وهذا يعني تفويض القوة لله عزّ وجل، يعني فهو الذي له القوة مطلقاً، القوة جميعاً، فهذه الجنة ما صارت بقوتك أنت ولا بمشيئتك أنت ولكن بمشيئة الله وقوته، وينبغي للإنسان إذا أعجبه شيء من ماله أن يقول: «ما شاء الله لا قوة إلاَّ بالله» حتى يفوض الأمر إلى الله عزّ وجل لا إلى حوله وقوته، وقد جاء في الأثر أن من قال ذلك في شيء يعجبه من ماله فإنه لن يرى فيه مكروهاً

“Maksudnya tidak ada kekuatan bagi seseorang untuk berbuat sesuatu melainkan dengan pertolongan Allah. Dengan kata lain, penyerahan setiap bentuk kekuatan hanyalah kepada Allah, Dia-lah yang memiliki seluruh kekuatan. Kebun (kurniaan yang baik) ini tidaklah akan ada melainkan dengan kehendak dan kekuataan Engkau, bukan dengan kehendak dan kekuatan selain Engkau. Maka seharusnya bagi seseorang yang takjub dengan hartanya agar dia mengucapkan [مَا شَاءَ اللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ] sebagai bentuk penyerahan semua perkara kepada Allah, bukan kepada dirinya sendiri. Dalam sebuah hadis disebutkan bahawa sesiapa yang merasa takjub terhadap hartanya lalu dia mengucapkan ucapan tersebut, maka tidak akan menimpanya sesuatu yang tidak disukainya (terhadap hartanya).” (Tafsir Surah Al-Kahfi oleh Syaikh Al-‘Utsaimin; http://www.ibnothaimeen.com/all/books/article_17925.shtml)

Ini adalah sebagaimana hadis daripada Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

ما أنعم الله عزّ وجل على عبدٍ نعمةً في أهل ومال وولدِ، فيقول: ما شاء الله، لا قوة إلاَّ بالله، فيرى فيها آفة دون الموت، وقرأ: وَلَوْلاَ إِذْ دَخَلْتَ جَنَّتَكَ قُلْتَ مَا شَاءَ اللَّهُ لاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ

“Tidaklah Allah ‘Azza wa Jalla memberi nikmat ke atas hamba-Nya pada ahli keluarganya, hartanya, dan anak-keturunannya lalu dia mengucapkan:

مَا شَاءَ اللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ

“Apa yang terwujud/tercipta/dikurniakan ini adalah dengan kehendak Allah, tiada kekuatan melainkan dengan (pertolongan) Allah.”

Maka tidaklah tertimpa padanya suatu yang buruk (pada nikmat tersebut) melainkan kematian. Lalu Rasulullah membacakan ayat:

وَلَوْ لاَ إِذْ دَخَلْتَ جَنَّتَكَ قُلْتَ مَا شَاءَ اللَّهُ لاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ

“Dan mengapa engkau tidak mengatakan ketika memasuki kebunmu, “Maa Syaa Allaah, laa quwwata illaa billaah…” (dari Surah Al-Kahfi, 18: 39).” (lihat: Syu’abul Iman, no. 4207)

3, atau boleh juga mengucapkan Subhanallaah.

4, atau disunnahkan juga mengucapkan puji-pujian kepada Allah dan memohonkan doa-doa kebaikan serta keberkahan agar Allah menjaganya.

Apabila Terkena ‘Ain

Dua kaedah yang diajarkan di dalam Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila seseorang tertimpa ‘ain adalah dengan:

1, Memandikannya.

2, Meruqyahnya.

Ini adalah berdasarkan beberapa hadis, di antaranya:

Daripada ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata:

كَانَ يُؤْمَرُ الْعَائِنُ فَيَتَوَضَّأُ ثُمَّ يَغْتَسِلُ مِنْهُ الْمَعِينُ

“Bahawa Rasulullah memerintahkan Al-‘Aa-in (orang yang menyebabkan ‘ain) agar berwudhu’ lalu bekas air wudhu’nya digunakan untuk memandikan Al-Ma’iin (orang yang terkena ‘ain tersebut).” (Sunan Abi Dawud, no. 3880. Dinilai sahih isnadnya oleh Al-Albani dan Syu’aib Al-Arnauth)

Di hadis yang lain, dari hadis Abi Umaamah bin Sahl bin Hunaif, beliau berkata:

مَرَّ عَامِرُ بْنُ رَبِيعَةَ بِسَهْلِ بْنِ حُنَيْفٍ وَهُوَ يَغْتَسِلُ، فَقَالَ: لَمْ أَرَ كَالْيَوْمِ، وَلَا جِلْدَ مُخَبَّأَةٍ! فَمَا لَبِثَ أَنْ لُبِطَ بِهِ، فَأُتِيَ بِهِ النَّبِيَّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -، فَقِيلَ لَهُ: أَدْرِكْ سَهْلًا صَرِيعًا. قَالَ: “مَنْ تَتَّهِمُونَ بِهِ؟ ” قَالُوا: عَامِرَ ابْنَ رَبِيعَةَ. قَالَ: “عَلَامَ يَقْتُلُ أَحَدُكُمْ أَخَاهُ؟ إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ مِنْ أَخِيهِ مَا يُعْجِبُهُ، فَلْيَدْعُ لَهُ بِالْبَرَكَةِ” ثُمَّ دَعَا بِمَاءٍ فَأَمَرَ عَامِرًا أَنْ يَتَوَضَّأَ، فَيَغْسِلْ وَجْهَهُ وَيَدَيْهِ إِلَى الْمِرْفَقَيْنِ وَرُكْبَتَيْهِ وَدَاخِلَةَ إِزَارِهِ، وَأَمَرَهُ أَنْ يَصُبَّ عَلَيْهِ. قَالَ سُفْيَانُ: قَالَ مَعْمَرٌ عَنْ الزُّهْرِيِّ: وَأَمَرَ أَنْ يكْفئ الْإِنَاءَ مِنْ خَلْفِهِ

“‘Aamir bin Rabii’ah pernah melewati Sahl bin Hunaif yang sedang mandi, lalu beliau berkata:

“Aku tidak pernah melihat seperti hari ini dan aku tidak pernah melihat kulit yang disembunyikan.” Tidak lama setelah itu, Sahl pun terjatuh/terpelanting (pengsan).

Maka Sahl bin Hunaif pun didatangkan ke hadapan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Orang-orang pun mengatakan kepada beliau:

“Sahl ditemui dalam keadaan terbaring (pengsan tidak sedarkan diri).”

Nabi pun bertanya, “Siapa yang bersalah (bertanggungjawab) terhadap perkara ini?” Mereka menjawab, “‘Aamir bin Rabii’ah.” Nabi pun berkata:

“Untuk apa salah seorang di antara kalian hendak membunuh saudaranya? Apabila salah seseorang di antara kalian melihat sesuatu yang menakjubkan dari diri saudaranya, hendaknya dia mendoakan untuknya dengan keberkahan.”

Kemudian beliau (Nabi) meminta air dan memerintahkan ‘Aamir untuk berwudhu’, maka ‘Aamir pun membasuh wajahnya, kedua tangan hingga sikunya, kedua kaki hingga lututnya, serta bahagian dalam pakaiannya (atau kainnya). Lalu Nabi memerintahkan untuk menuangkan air itu ke atas Sahl.”

“Nabi juga memerintahkannya menuang air dari bekas ke bahagian belakang tubuhnya.” (Sunan Ibnu Majah, no. 3509. Dinilai sahih oleh Al-Albani dan Syu’aib Al-Arnauth)

Selain memandikan dengan air wudhu’ orang yang menyebabkan terjadinya ‘ain, disunnahkan juga agar meruqyah si pesakit.

Ini adalah sebagaimana dari hadis ‘Ubaid bin Rifaa’ah Az-Zuraqiy, bahawa Asmaa’ binti ‘Umais berkata kepada Rasulullah:

يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ وَلَدَ جَعْفَرٍ تُسْرِعُ إِلَيْهِمُ العَيْنُ أَفَأَسْتَرْقِي لَهُمْ؟ فَقَالَ: نَعَمْ، فَإِنَّهُ لَوْ كَانَ شَيْءٌ سَابَقَ القَدَرَ لَسَبَقَتْهُ العَيْنُ

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya anak Ja’far cepat sekali terkena Al-‘Ain, bolehkah aku meminta orang untuk meruqyah mereka?” Maka jawab Rasulullah:

“Ya boleh, jika seandainya ada sesuatu yang mendahului qadar (taqdir), maka Al-‘Ain akan mendahuluinya.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2059)

Dari hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata:

أَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْ أَمَرَ أَنْ يُسْتَرْقَى مِنَ العَيْنِ

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkanku atau memerintahkan agar meruqyah dari Al-‘Ain.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5738)

Dari hadis Umm Salamah radhiyallahu ‘anha:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَى فِي بَيْتِهَا جَارِيَةً فِي وَجْهِهَا سَفْعَةٌ، فَقَالَ: «اسْتَرْقُوا لَهَا، فَإِنَّ بِهَا النَّظْرَةَ

“Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melihat di rumahnya ada seorang jaariyah (anak kecil dari kalangan hamba) yang pada wajahnya tampak suf’ah (pucat), lalu beliau bersabda:

“Ruqyah-lah dia kerana padanya An-Nazhrah (terdapat tanda terkena ‘ain).” (Shahih Al-Bukhari, no. 5739)

Dari hadis Jaabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

رَخَّصَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِآلِ حَزْمٍ فِي رُقْيَةِ الْحَيَّةِ، وَقَالَ لِأَسْمَاءَ بِنْتِ عُمَيْسٍ: «مَا لِي أَرَى أَجْسَامَ بَنِي أَخِي ضَارِعَةً تُصِيبُهُمُ الْحَاجَةُ» قَالَتْ: لَا، وَلَكِنِ الْعَيْنُ تُسْرِعُ إِلَيْهِمْ، قَالَ: «ارْقِيهِمْ» قَالَتْ: فَعَرَضْتُ عَلَيْهِ، فَقَالَ: «ارْقِيهِمْ

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memberi keringanan kepada keluarga Hazm agar meruqyah bekas patukan ular. Nabi pernah bertanya kepada Asmaa’ binti ‘Umais, “Kenapa tubuh anak saudaraku kelihatan kurus kering, adakah mereka tidak cukup makan?”

Maka Asmaa’ jawab, “Tidak, tetapi mereka terkena ‘ain.” Nabi pun bersabda, “Ruqiyahilah mereka.” Asmaa’ berkata, “Aku meminta agar beliau sudi meruqyah mereka, tetapi beliau tetap mengatakan, “Ruqyahilah mereka.”.” (Shahih Muslim, no. 2198)

Dari hadis ‘Aisyah, beliau berkata:

دَخَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَمِعَ صَوْتَ صَبِيٍّ يَبْكِي، فَقَالَ: مَا لِصَبِيِّكُمْ هَذَا يَبْكِي، هَلَّا اسْتَرْقَيْتُمْ لَهُ مِنَ الْعَيْنِ

“Pernah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam masuk (ke suatu rumah), lalu tiba-tiba beliau mendengar anak kecil menangis. Maka beliau pun bersabda:

“Kenapa anak kecil kalian ini menangis, tidakkah kamu mencari orang yang dapat meruqyahnya dari penyakit ‘ain?” (Musnad Ahmad, no. 24442. Dinilai hasan oleh Al-Albani)

Dari hadis Abi Sa’iid, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ يَتَعَوَّذُ مِنْ عَيْنِ الْجَانِّ وأَعْيُنِ الْإِنْسِ، فَلَمَّا نَزَلَتْ الْمُعَوِّذَتَانِ، أَخَذَهُمَا وَتَرَكَ مَا سِوَى ذَلِكَ

“Dahulu Rasulullah berlindung dari gangguan ‘ain para jin dan ‘ain pada manusia, maka ketika diturunkan Al-Mu’awwidzatain (Surah Al-Falaq dan An-Naas), beliau mengambil keduanya dan meninggalkan yang lain.” (Sunan Ibnu Majah, no. 3511. Dinilai sahih oleh Syu’aib Al-Arnauth)

Boleh juga membaca doa Jibriil sebagaimana dalam hadis berikut:

Dari hadis Abi Sa’iid:

أَنَّ جِبْرِيلَ، أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ اشْتَكَيْتَ؟ فَقَالَ: «نَعَمْ» قَالَ:

“Bahawa Jibriil datang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam lalu bertanya, “Wahai Muhammad, engkau sedang sakitkah?” Maka Jawab Nabi, “Ya, benar.” Jibriil pun meruqyah (dengan doa berikut):

بِاسْمِ اللهِ أَرْقِيكَ، مِنْ كُلِّ شَيْءٍ يُؤْذِيكَ، مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أَوْ عَيْنِ حَاسِدٍ، اللهُ يَشْفِيكَ بِاسْمِ اللهِ أَرْقِيكَ

“Denga nama Allah aku meruqyah engkau dari segala yang menyakiti engkau, dari keburukan segala jiwa atau ‘ain (pandangan mata) yang hasad, semoga Allah menyembuhkan engkau dengan nama Allah aku meruqyah engkau.” (Shahih Muslim, no. 2186)

Selain mengamalkan bentuk penjagaan ini dari bahaya ‘ain, dituntut agar menyedari terjadinya hal tersebut adalah dari Allah, maka perbanyakkanlah mengingat Allah dengan kembali kepada-Nya iaitu bertaubat kepada-Nya, ber-inabah kepada-Nya, dan memohon pertolongan hanya kepada-Nya. Dituntut agar mempertingkatkan kesabaran, memperkukuhkan tawakkal, memperbaiki tauhid, dan memperbanyakkan amal-amal kebaikan.

Kata Al-Imam Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H):

هذه الكيفية لا ينتفع بها من أنكرها ولا من سخر منها ولا من شك فيها أو فعلها مجربا غير معتقد

“Tata cara rawatan ini tidak akan dapat memberikan manfaat atau kesan ke atas orang yang mengingkarinya, orang yang memperolok-olokkannya, orang yang meraguinya atau bagi mereka yang melakukannya hanya sekadar untuk cuba-cuba tanpa meyakini (atau mengimaninya).” (Fathul Bari, 10/205)

Wallahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest